Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-34 hingga Ke-36

Tafsir Surah Ad-Dukhan: Tafsir Ayat Ke-34 hingga Ke-36

442
0
Iklan

Tafsir Ayat ke-34

Ayat Syikayah. Sekarang Allah ﷻ kembali memperkatakan tentang Musyrikin Mekah yang tidak mahu beriman.

Ini adalah iltifad – perubahan tajuk. Setelah diberikan contoh tentang Bani Israel, Al-Quran kembali menyentuh tentang Musyrikin Mekah. Ia mengenai bagaimana mereka telah diberikan peluang untuk mendapat kelebihan agama.

Bayangkan, mereka telah diberikan dengan Nabi Muhammad ﷺ, Rasul dan Nabi akhir zaman. Itu adalah satu kelebihan yang amat besar tetapi malangnya, mereka tidak mengambil peluang keemasan itu.

Apa kata mereka?

إِنَّ هٰؤُلاءِ لَيَقولونَ

(Berbalik kepada kisah kaum musyrik penduduk Makkah, Allah berfirman): “Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu – wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu)

إِنَّ هَٰؤُلَاءِ لَيَقُولُونَ

Sesungguhnya mereka ini berkata:

Apa yang mereka katakan menunjukkan apakah fahaman dan iman mereka. Bukan mereka cakap dengan mulut sahaja.

Jadi kita boleh tahu apakah pegangan mereka dengan melihat kata-kata mereka ini. Kita tidak tahu apakah yang ada dalam hati manusia, tetapi kita boleh agak dari perkataan-perkataan mereka.

Sebab itu, kita tidak boleh kata seseorang itu sesat atau kafir kerana perkara itu dalam hati manusia. Namun, kalau dia sudah mengeluarkan kata-kata yang kufur, tidakkah boleh kita mengatakan mereka telah sesat?

Ini kerana ia telah keluar dari mulut mereka sendiri dan kita hanya menilai dari apa yang mereka katakan dan tulis, atau perbuatan yang mereka lakukan di hadapan kita. Kalau dalam hati, memang kita tidak tahu.

Tafsir Ayat ke-35

Inilah kata-kata mereka.

إِن هِيَ إِلّا مَوتَتُنَا الأولىٰ وَما نَحنُ بِمُنشَرينَ

Mati, hanyalah mati kita yang pertama, dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu);

إِنْ هِيَ إِلَّا مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ

Mati, hanyalah mati kita yang pertama,

Mereka percaya bahawa kehidupan di dunia dan mati itu hanya sekali sahaja serta tidak akan dihidupkan lagi setelah mati.

Apakah yang dimaksudkan dengan مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ? Kita semua ada dua kali kematian.

Ia adalah sebelum kita hidup di dunia ini, kita dalam keadaan ‘mati’ – iaitu ketiadaan nyawa. Ketiadaan nyawa juga adalah satu kematian. Kemudian Allah ﷻ hidupkan kita dalam dunia ini.

Setelah itu kita akan mati sekali lagi dan akan dihidupkan semula di akhirat. Ini adalah pemahaman kita sebagai orang Islam. Jadi مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ adalah keadaan mati kita sebelum dihidupkan di dunia iaitu kita tidak ada apa-apa, belum jadi apa-apa.

Apakah fahaman musyrikin Mekah? Apabila kehidupan ini telah habis, manusia akan kembali kepada keadaan مَوْتَتُنَا الْأُولَىٰ itu, iaitu tidak ada apa-apa dan tidak menjadi apa-apa. ‘Non-existence’. Mereka sangka mereka akan habis begitu sahaja.

وَمَا نَحْنُ بِمُنشَرِينَ

dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup semula

Mereka tidak percaya akan dihidupkan semula kerana tidak ada kitab wahyu dan juga tidak tahu. Namun lain pula dengan Ahli Kitab kerana mereka memang tahu tentang akhirat. Maka, untuk boleh terima akhirat kena rapat dengan wahyu.

Apabila diberitahu tentang akhirat kepada musyrikin Mekah, mereka tidak dapat terima kerana kalau percaya akan dibangkitkan, mereka kena terima akan diadili tentang perkara yang telah dilakukan semasa di dunia.

Mereka tidak mahu kalau jadi begitu, kerana hendak buat apa yang mereka suka. Pemahaman seperti ini masih ada lagi sekarang. Lihatlah agama-agama lain seperti Buddha yang tidak percaya dengan kiamat.

Mereka percaya akan dihidupkan semula (reinkarnasi). Kalau mereka tidak baik, maka akan dihidupkan sebagai binatang atau serangga.

Tafsir Ayat ke-36

Mereka sanggup cabar Nabi Muhammad ﷺ dengan kata-kata ini:

فَأتوا بِئآبائِنا إِن كُنتُم صٰدِقينَ

(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

فَأْتُوا بِئآبَائِنَا

Maka kamu semua bawakanlah datuk nenek kami

Mereka cabar Nabi ﷺ dan orang-orang Islam untuk bawa hidup kembali datuk nenek mereka yang telah mati. Kemudian baru mereka hendak percaya adanya kehidupan selepas kematian.

Mereka kata, “biarkan mereka yang telah mati itu sendiri beritahu yang mereka telah hidup setelah mereka mati, tidak payah kamu (Nabi Muhammad ﷺ dan orang Mukmin) sibuk hendak beritahu kami, biar mereka sahaja yang beritahu”.

Maka inilah dalil orang jahil. Masih juga hendak pakai dalil tok nenek. Mereka berhujah yang tok nenek mereka tidak pernah cakap tentang kehidupan semula. Mereka hendak suruh Nabi ﷺ membawa balik tok nenek untuk beritahu mereka bahawa ada akhirat.

Begitulah juga orang jahil dari kalangan masyarakat Islam kita yang masih juga menyebut amalan-amalan tok nenek dahulu. Orang beriman dan bijak berbeza, kerana dapat yakin dengan wahyu.

إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

Ini adalah hujah mereka yang mengarut. Mereka sangka sudah pandai dan berjaya membungkam orang mukmin dengan memberikan cabaran ini. Mereka juga memang tidak pernah lihat orang mati hidup semula, maka mereka sudah rasa bangga dengan hujah ini.

Namun, ini adalah hujah yang dangkal. Ini kerana tidak mungkin akan dihidupkan orang yang mati. Bukan begitu cara Allah ﷻ untuk menunjukkan kebenaran.

Allah ﷻ, Nabi dan orang mukmin tidak katakan yang manusia akan dihidupkan kembali semasa ‘di dunia ini’, tetapi selepas kiamat sahaja. Mereka tidak dapat hendak bezakan.

📍Ingatlah bahawa Allah kata bahawa semua kita ini akan dihidupkan di akhirat kelak, apabila semua makhluk telah mati di Hari Kiamat, bukan di dunia sekarang.

Tidaklah Allah ﷻ kata hendak hidupkan tok nenek mereka yang telah lama mati itu semasa di dunia. Hanya yang dijanjikan adalah semua makhluk akan dihidupkan semula di akhirat kelak.

Allah ﷻ tidak menjawab tuduhan mereka ini kerana tuduhan ini tidak layak dilayan. Allah ﷻ terus cerita benda lain selepas ini.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 34-36)

 📍Apakah fahaman musyrikin Mekah masa itu? Adakah mereka tidak percaya hari akhirat kerana berfikir apabila mati begitu sahaja tanpa balasan macam binatang?

🔵Ya, mereka tidak percaya hari kiamat dan hari kebangkitan. Sudah lama tiada Nabi dalam kalangan mereka, malah telah ditipu oleh syaitan.

📍Adakah Nabi Ibrahim merupakan nabi terakhir di kalangan mereka? Adakah setiap bangsa mempunyai Nabi atau Rasul?

🔵Nabi Ismail ialah nabi terakhir. Ya, setiap bangsa ada Nabi atau Rasul.

📍Adakah bangsa Melayu turut ada Nabi juga?

🔵Kalau ada manusia zaman dulu duduk di semenanjung ini, maka ada.

✍🏻[ Fathir: 24 ]:

إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ بِالْحَقِّ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَإِن مِّنْ أُمَّةٍ إِلَّا خَلَا فِيهَا نَذِيرٌ

Sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (Ugama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); dan tidak ada, sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.

📍Nabi dan rasul berbeza kan?

🔵Semua Rasul adalah Nabi tetapi bukan semua Nabi adalah Rasul.

📍Jadi, kemungkinan nabi sahajakah untuk kaum Melayu pada zaman itu, bukan rasul?

🔵Berkemungkinan. Kita tidak mendalami hal ini.

✍🏻 [ Ghafir: 78 ]:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ مِنْهُم مَّن قَصَصْنَا عَلَيْكَ وَمِنْهُم مَّن لَّمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ وَمَا كَانَ لِرَسُولٍ أَن يَأْتِيَ بِآيَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ فَإِذَا جَاءَ أَمْرُ اللَّهِ قُضِيَ بِالْحَقِّ وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْمُبْطِلُونَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.

📍Kalau bangsa Melayu hendak ada Rasul atau Nabi, bangsa Melayu kena wujud sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW?

Adakah bangsa Melayu dan Kepulauan Melayu ada ketika itu?

🔵Kita mungkin sudah ada tamadun yang lama. Bila ada tamadun, menolak Nabi, maka mereka akan dihancurkan. Habis begitu sahaja.

📍Apakah kondisi manusia ketika dibangunkan dan berkumpul di padang Mahsyar. Adakah dalam keadaan tiada sehelai benang atau bergantung tingkat keimanan mereka ( bagi orang beriman akan memakai pakaian yang cantik)?

🔵Semua seperti lahir dulu tetapi akan ada yang ada pakaian. Nabi Ibrahim yang mula dapat pakaian sebagaimana disebutkan dalam sabda baginda SAW :

وَأَوَّلُ مَنْ يُكْسَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِبْرَاهِيمُ.

Orang pertama yang diberi pakaian pada hari Kiamat adalah Nabi Ibrahim.

[HR Bukhari].

📍Bagaimana pula dengan usia mereka ketika di padang Mahsyar. Semua berusia muda atau ikut usia semasa mati?

🔵Tidak pasti.

📍Semasa kecil ada dengar cerita di akhirat nanti dikumpulkan di padang Mahsyar tanpa sehelai benang, jadi perempuan kena rambut panjang supaya dapat menutupi bahagian aurat.

🔵Semasa itu sudah tidak hiraukan hal ini sebab takut sangat dan tiada masa fikirkan malu atau tidak.

✍🏻Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda :

إِنَّكُمْ مَحْشُورُونَ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا ثُمَّ قَرَأَ كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُعِيدُهُ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ

Sungguh kalian akan dibangkitkan dalam keadaan tidak mengenakan sandal (pelindung kaki), telanjang dan masih berkulup (belum dikhitan),” kemudian beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam membaca firman Allah : [Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya. Itulah janji yang pasti Kami tepati; sesungguhnya Kami-lah yang akan melaksanakannya.

[al Anbiya: 104) ]. [ HR Bukhari ].

Di dalam shahihain, terdapat hadits ‘Aisyah yang menggambarkan peristiwa ini.

✍🏻Sabda baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam :

يُحْشَرُ النَّاسُ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا قَالَتْ عَائِشَةُ فَقُلْتُ الرِّجَالُ وَالنِّسَاءُ جَمِيْعًا يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ فَقَالَ الْأَمْرُ أَشَدُّ مِنْ أَنْ يُهِمَّهُمْ ذَاكِ

Manusia digiring (di Padang Mahsyar) dalam keadaan tidak mengenakan sandal (pelindung kaki), telanjang dan masih berkulup (belum dikhitan)”. Lalu ‘Aisyah berkata: Aku bertanya,”Laki-laki dan perempuan semuanya? Sebahagian mereka melihat sebahagian lainnya?” Maka baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjawab : “Keadaannya lebih mengerikan dari membuat mereka berfikir demikian”.

[Muttafaqun ‘alaih].

✍🏻Sebagaimana dijelaskan Allah ﷻ di dalam firman-Nya :

فَإِذَا جَاءَتِ الصَّاخَّةُ ﴿٣٣﴾ يَوْمَ يَفِرُّ الْمَرْءُ مِنْ أَخِيهِ ﴿٣٤﴾ وَأُمِّهِ وَأَبِيهِ ﴿٣٥﴾ وَصَاحِبَتِهِ وَبَنِيهِ ﴿٣٦﴾ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ يَوْمَئِذٍ شَأْنٌ يُغْنِيهِ

Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka, pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.

[‘Abasa: 33-37 ].

 

 Allahu a’lam.

Komen dan Soalan