Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-21 hingga Ke-23

Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-21 hingga Ke-23

345
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dukhan

Tafsir Ayat Ke-21

Jika mereka tidak mahu terima Islam, sekurang-kurangnya;

وَإِن لَّم تُؤمِنوا لي فَاعتَزِلونِ

Dan sekiranya kamu tidak juga mahu berimankan kerasulanku, maka putuskanlah perhubungan kamu denganku (janganlah mengganggu daku).

وَإِن لَّمْ تُؤْمِنُوا لِي

Dan sekiranya kamu tidak juga mahu beriman denganku,

Ada orang yang memang, walaupun kita telah dakwah dan ajak mereka kepada kebenaran, mereka tidak akan terima. Ini kerana mereka telah ditaqdirkan tidak akan beriman.

فَاعْتَزِلُونِ

biarkanlah aku

Kalau tidak mahu beriman, janganlah hendak mencederakan dan mengacau baginda عليه السلام hendak berdakwah kepada manusia lain. Baginda عليه السلام hanya mahu membawa mereka kepada jalan tauhid. Ini kerana telah ada tanda-tanda yang Firaun akan mencederakan malah mahu membunuh baginda عليه السلام .

Nabi Musa عليه السلام bukan takut dibunuh oleh Firaun kerana Allah ﷻ telah beritahu yang baginda عليه السلام akan selamat. Namun, membunuh seorang Nabi adalah jenayah yang paling besar sekali, jadi baginda عليه السلام ingatkan mereka jangan mencari masalah.

Jika mereka buat begitu, mereka sebenarnya mencari masalah dengan Allah ﷻ. Riwayat hidup mereka akan jadi pendek sekali kalau mereka teruskan juga. Nabi Musa عليه السلام ingatkan sahaja. Zaman sekarang, tidak ada lagi Nabi dan Rasul. Namun, masih ada penyebar dan pendakwah Tauhid. Merekalah yang meneruskan tugas Nabi dan Rasul.

Kalau mereka diancam untuk dibunuh atau disakiti, kemudian mereka angkat tangan berdoa kepada Allah ﷻ, itu juga akan menjadi satu sebab untuk azab diturunkan.

Tafsir Ayat Ke-22

Walaupun Nabi Musa عليه السلام telah bercakap kepada Firaun supaya meninggalkan baginda dan jangan mencederakannya, Firaun masih bertekad hendak membunuh baginda. Maka, Nabi Musa عليه السلام telah berdoa kepada Allah ﷻ:

فَدَعا رَبَّهُ أَنَّ هٰؤُلاءِ قَومٌ مُّجرِمونَ

(Setelah Nabi Musa berputus asa daripada iman mereka), maka ia pun merayu kepada Tuhannya lalu berkata: “Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa, (yang telah sebati dengan kekufurannya, dan berhaklah mereka menerima balasan yang seburuk-buruknya)”.

فَدَعَا رَبَّهُ

ia pun merayu kepada Tuhannya

Sekian lama Nabi Musa عليه السلام berusaha berdakwah kepada Firaun dengan menggunakan pelbagai cara dan menunjukkan berbagai mukjizat baginda عليه السلام. Malah Firaun juga dikenakan bala untuk menundukkan ego, tetapi masih lagi sama. Mereka tetap tidak mahu beriman atau membiarkan baginda عليه السلام menjalankan tugas dakwah.

Maka, barulah Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ untuk berbuat sesuatu kepada Firaun dan kaumnya. Maknanya, apabila sampai kepada satu tahap, baginda عليه السلام sudah tidak tahan lagi, barulah baginda عليه السلام berdoa kepada Allah ﷻ. Inilah senjata ampuh orang mukmin iaitu berdoa kepada Allah ﷻ.

Bukanlah Nabi Musa عليه السلام awal-awal terus berdoa untuk menjatuhkan azab kepada mereka. Begitu juga kita, tidak boleh kita terus hendak doakan kehancuran kepada mereka yang tidak mahu beriman dan terus mahu melakukan syirik.

Memang tidak disebut dalam ayat ini apa yang terjadi, tetapi dari ayat-ayat yang lain, kita dapat tahu bahawa berbagai-bagai perkara telah berlaku antara ayat ke-21 dan ke-22 ini. Makan masa bertahun-tahun kisah itu. Begitu juga kita kena berdakwah dengan berbagai cara dan berkali-kali sebelum kita meninggalkan orang yang menentang itu.

✍🏻Doa Nabi Musa عليه السلام itu kita boleh lihat dalam [ Yunus: 88 ]:

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَا إِنَّكَ آتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُ زِينَةً وَأَمْوَالًا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا عَن سَبِيلِكَ رَبَّنَا اطْمِسْ عَلَىٰ أَمْوَالِهِمْ وَاشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا حَتَّىٰ يَرَوُا الْعَذَابَ الْأَلِيمَ

Musa berkata: “Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, ya Tuhan Kami — akibatnya mereka menyesatkan (manusia) dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta benda mereka, dan kunci matilah hati mereka, maka mereka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang pedih”.

أَنَّ هَٰؤُلَاءِ قَوْمٌ مُّجْرِمُونَ

Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa.

Ijram adalah dosa yang paling besar. Ini kerana Firaun bukan sahaja tidak mahu beriman, tetapi telah menentang Nabi Musa عليه السلام , mengejek, ugut untuk membunuh dan menambahkan kezaliman kepada Bani Israel.

Firaun juga telah mengeluarkan arahan untuk membunuh kanak-kanak Bani Israel. Dulu dia sudah keluarkan arahan itu semasa Nabi Musa عليه السلام lahir, kali ini dia hendak mengulangi perbuatan itu lagi.

Dosa paling besar Firaun dan pengikutnya adalah dosa syirik dan ia telah menjadi tabiat mereka. Doa adalah senjata paling kuat seorang Nabi. Kalau seorang Nabi berdoa, Allah ﷻ akan makbulkan.

Allah ﷻ ingatkan bangsa Quraisy bahawa boleh sahaja Nabi Muhammad ﷺ berdoa untuk diturunkan azab kepada mereka seperti doa Nabi Musa عليه السلام ini, maka berhati-hatilah. Ini kerana mereka juga ada mengancam hendak membunuh baginda ﷺ.

Mereka diingatkan supaya jangan sampai Nabi Muhammad ﷺ berdoa seperti doa Nabi Musa عليه السلام ini. Tentera malaikat menunggu sahaja hendak menghancurkan mereka jika Nabi ﷺ berdoa.

Tafsir Ayat Ke-23

Setelah Nabi Musa عليه السلام berdoa begitu, maka Allah ﷻ telah memperkenankan doa dan memberikan arahan kepada baginda عليه السلام .

Ini adalah perlaksanaan kepada doa yang telah dimakbulkan itu. Nabi Musa عليه السلام kena ikut arahan ini:

فَأَسرِ بِعِبادي لَيلًا إِنَّكُم مُّتَّبَعونَ

Lalu (diperintahkan kepadanya): “Bawalah hamba-hamba-Ku keluar pada waktu malam, kerana sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya).

فَأَسْرِ بِعِبَادِي

Bawalah hamba-hamba-Ku keluar pada waktu malam

Ada muqaddar dalam ayat ini, قلنا (Kami [Allah] berkata). Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi arahan kepada Nabi Musa عليه السلام untuk membawa Bani Israel bersama untuk lari pada malam hari, waktu bangsa Qibti sedang tidur.

Allah ﷻ memberi penghormatan kepada mereka dengan menggelar mereka ‘hamba-Nya’.

Padahal bukan semua yang mengikut Nabi Musa عليه السلام itu semuanya beriman. Ada juga yang tidak beriman tetapi dibawa juga kerana mereka adalah dari Bani Israel.

Antara mereka yang termasuk dalam menyeberang adalah dari bangsa Qibti yang ada beriman dengan Nabi Musa عليه السلام . Ada yang mengatakan termasuklah seorang Lelaki Mukmin yang disebut-sebut dalam Surah Ghafir.

Timbul satu persoalan: kalau difikirkan, Nabi Musa عليه السلام boleh sahaja membawa kaumnya lari awal-awal lagi. Namun, lihatlah bagaimana baginda عليه السلام telah pergi berjumpa dengan Firaun sendiri dan memohon kepada Firaun untuk membenarkan baginda عليه السلام membawa mereka keluar.

Kemudian setelah tidak dibenarkan oleh Firaun, baginda telah menunggu bertahun-tahun. Kenapa?

Kenapa perlu melalui proses itu? Ini kerana hendak memberi peluang kepada Firaun untuk bertaubat tetapi apabila Firaun tidak mahu ikut dan terus dalam kesesatan, barulah Allah ﷻ memberikan arahan kepada Nabi Musa عليه السلام untuk melakukan tindakan seterusnya.

لَيْلًا

pada satu ketika dari waktu malam,

Perkataan أَسْرِ sendiri sudah bermaksud ‘keluar pada waktu malam’ tetapi ditambah dengan perkataan لَيْلًا untuk merujuk ia adalah waktu yang tertentu pada waktu malam.

Ketika itu adalah waktu yang selamat untuk mereka lari. Mungkin semua orang lain sudah tidur, waktu pengawal tidak ada dan sebagainya.

Mereka kena keluar pada waktu malam kerana mereka kena lari dalam rahsia kegelapan malam dan kena pilih waktu yang sesuai. Ayat ini lebih kurang sama seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{وَلَقَدْ أَوْحَيْنَا إِلَى مُوسَى أَنْ أَسْرِ بِعِبَادِي فَاضْرِبْ لَهُمْ طَرِيقًا فِي الْبَحْرِ يَبَسًا لَا تَخَافُ دَرَكًا وَلا تَخْشَى}

 

dan sesungguhnya telah Kami wahyukan kepada Musa, “Pergilah kamu dengan hamba-hamba-Ku (Bani Israel) di malam hari, maka buatlah untuk mereka jalan yang kering di laut, kamu tak usah khuatir akan tersusul dan tidak usah takut (akan tenggelam).” [ Thaha: 77 ].

إِنَّكُم مُّتَّبَعُونَ

kerana sesungguhnya kamu akan dikejar

Allah ﷻ telah beritahu awal-awal lagi yang mereka akan dikejar oleh Firaun. Apabila Firaun dan orang-orangnya sedar yang kaum Bani Israel yang menjadi hamba mereka telah hilang, mereka terus mengejar Bani Israel itu. Firaun mengarahkan semua sekali ikut pergi mengejar Musa عليه السلام dan Bani Israel.

Dia tidak benarkan sesiapa pun tinggal. Beginilah cara Allah ﷻ jadikan supaya mereka semua sekali keluar. Sebab Allah ﷻ hendak musnahkan mereka semua sekali. Allah ﷻ mahu mengeluarkan mereka semua sekali dari Mesir dan mereka akan dimusnahkan. Maka Mesir tidak terganggu dan akan diberikan kepada orang lain pula.

Allah ﷻ telah merancang perjalanan masa itu, supaya apabila mereka keluar lari pada malam hari, mereka dapat lari pada satu jarak yang jauh.

Supaya nanti apabila Firaun dan pengikutnya mengejar, mereka akan bertembung di tepi laut. Semua itu dalam perancangan Allah ﷻ. Allah ﷻ juga memberi isyarat kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini bahawa baginda ﷺ juga akan dikejar apabila berhijrah nanti.

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 21-23)

📍Pendakwah juga boleh berdoa agar Allah ﷻ akan jatuhkan azab kepada orang yang ingkar itu?

🔵Ya boleh.

📍 Boleh jelaskan maksud Ijram?

🔵Penjenayah yang telah sabit kesalahannya. Maknanya memang ‘confirm’ mereka itu berdosa.

📍Pendosa-pendosa besar sahajakah?

🔵Ya.

📍”Allah ﷻ juga memberi isyarat kepada Nabi Muhammad ﷺ dalam ayat ini bahawa baginda ﷺ juga akan dikejar apabila berhijrah nanti.”

Isyarat di atas ini dan sebelumnya menunjukkan betapa banyaknya persamaan di antara perjalanan dakwah Rasulullah ﷺ dengan Nabi Musa عليه السلام? Nabi ﷺ harus mengambil pengajaran dari kisah Nabi Musa عليه السلام?

🔵Benar. Sebab itu banyak kisah Nabi Musa dalam Al-Quran. Sampai ulama ada kata: Hampir hampir Al-Quran ini berkenaan Nabi Musa sahaja kerana ada banyak persamaan dugaan dan dakwah baginda.

📍 Antara mereka yang termasuk dalam menyeberang adalah dari bangsa Qibti yang ada beriman dengan Nabi Musa عليه السلام . Ada yang mengatakan termasuklah seorang Lelaki Mukmin yang disebut-sebut dalam surah Ghafir.

Maksudnya lelaki itu adalah yang berhujah dengan Firaun di dalam istana?

🔵 Ya. Terdapat dalam surah Ghafir.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan