Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-5

Tafsir Surah Ad-Dukhan – Tafsir Ayat Ke-3 hingga Ke-5

2946
0
Iklan

Tafsir Surah Ad-Dhukan

Tafsir Ayat ke-3

Allah SWT menerangkan maklumat baru tentang Al-Quran kepada kita dalam ayat ini. Allah SWT memberitahu kita ‘bilakah’ Al-Quran diturunkan.

إِنّا أَنزَلنٰهُ في لَيلَةٍ مُّبارَكَةٍ ۚ إِنّا كُنّا مُنذِرينَ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).

إِنَّا أَنزَلْنٰهُ

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu

Perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah أَنزَلْ. Perkataan ini bermaksud ‘diturunkan’ tetapi lebih terperinci, ia bermaksud ‘diturunkan sekali gus’. Oleh itu, ayat ini menceritakan bahawa Al-Quran pada malam itu diturunkan sekali gus.

Ada kalanya, Allah SWT menyebut Al-Quran diturunkan sekali gus dan kadangkala disebut Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat. Ia bergantung kepada konteks ayat itu. Dalam konteks ayat ini, Allah SWT hendak menyentuh keadaan di mana Al-Quran diturunkan sekali gus.

Allah SWT menekankan di dalam ayat ini yang Dia turunkan Al-Quran. Maka perlu ambil tahu lah tentang apa yang hendak disampaikan di dalam Al-Quran ini.

فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ

pada satu malam yang berkat;

Musyrikin Mekah menolak Al-Quran kerana mereka tidak suka kepada Al-Quran. Maka Allah SWT memberitahu, penurunan Al-Quran itu penuh dengan kebaikan. Tambahan pula malam ia diturunkan juga sudah berkat, apalagi Al-Quran itu sendiri.

Salah satu pendapat mengatakan malam itu adalah pada 17 Ramadhan. Inilah malam yang dinamakan Lailatul Qadr. Dalam ayat lain, ada disebut bahawa Al-Quran memang diturunkan pada malam Lailatul Qadr.

Kita tidak pasti bilakah tarikh yang tepat namun kita yakin dan tahu ia diturunkan di dalam bulan Ramadhan seperti yang disebut di dalam [ Baqarah: 185 ]. Pada malam ke-berapa juga tidak dapat dipastikan kerana ada banyak pendapat tentang perkara ini.

Ada pendapat yang mengatakan malam penurunan Al-Quran adalah pada 15 Syaaban (Nisfu Syaaban), namun pendapat ini dikritik kerana ia adalah pegangan Syiah. Maka kita menolak fahaman ini kerana berlawanan dengan nas Al-Quran.

Kita sudah tahu, Al-Quran itu diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad ﷺ hingga mengambil masa selama hampir 23 tahun. Jadi mengapa disebutkan di dalam ayat ini yang ia diturunkan pada satu malam?

Kita kena fahami bahawa Al-Quran itu diturunkan di dalam dua fasa: pertama diturunkan sekali gus dan kemudian diturunkan secara berperingkat-peringkat.

Maksud ‘penurunan’ di dalam ayat ini adalah penurunan Al-Quran dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah – Langit Dunia. Maka dari Baitul Izzah inilah ayat Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi ﷺ.

Jadi, ayat ini hendak menceritakan tentang penurunan Al-Quran peringkat pertama. Ia diturunkan pada malam yang ‘penuh berkat’. Menunjukkan kepentingan Al-Quran kerana diturunkan pada malam yang khas.

Sesuatu yang diturunkan pada malam yang khas tentunya hebat dan penting seperti kita juga akan memakai pakaian khas jika ada hari yang penting. Mungkin kita pakai baju khas itu pada hari perbarisan, hari pernikahan dan sebagainya.

Lihatlah bagaimana Al-Quran itu diturunkan pada malam yang amat mulia, iaitu malam Lailatul Qadr. Kalau malam penurunannya ternyata sudah berkat, apalagi Al-Quran itu sendiri!

📍Malam itu penuh dengan keberkatan dan kebaikan. Dalam Surah Al-Qadr, ada disebut yang malam itu lebih baik dari seribu bulan dan penuh berkat kerana malam itulah diturunkan Al-Quran.

Ia juga adalah malam amar (perintah) Allah SWT kepada para malaikat untuk tahun itu diberikan (apa yang akan terjadi tahun itu, nasib setiap orang dan sebagainya). Ketentuan segala sesuatu telah ditentukan oleh Allah SWT dan diletakkan di Lauh Mahfuz.

Malaikat juga tidak mengetahui apakah yang akan terjadi melainkan perkara yang akan terjadi pada tahun itu sahaja. Perkataan ‘berkat‘ membawa maksud sesuatu yang mengeluarkan kebaikan lebih dari apa yang diharapkan. Contoh wang yang sedikit, tetapi terasa macam banyak.

Oleh sebab itulah Nabi ﷺ suruh kita mencari-cari malam itu kerana ia akan memberi kebaikan kepada kita sepanjang tahun nanti. Kita juga menyentuh pendapat lain yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah malam ‘Nisfu Syaaban’.

Banyak orang kita yang menyambut dan membuat amalan khas pada malam itu. Pendapat ini adalah pendapat yang lemah kerana ia berdasarkan kepada hadis yang dhaif.

Tambahan pula ia bertentangan dengan ayat-ayat lain yang mengatakan Al-Quran itu diturunkan di dalam bulan Ramadhan. Ibn Abbas juga mengatakan Al-Quran diturunkan di dalam bulan Ramadhan.

Hadis-hadis yang berkenaan dengan Nisfu Syaaban adalah lemah dan tidak boleh dijadikan sebagai hujah dan pegangan. Namun oleh kerana masyarakat kita jahil, mereka ikut sahaja apa yang telah diamalkan oleh orang sebelum kita.

📍Dari kajian ulama, didapati pendapat yang menyatakan kelebihan malam Nisfu Syaaban itu sebenarnya datang dari Syiah yang hendak mengelirukan umat Islam. Mereka hendak mengatakan bahawa Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu oleh mereka akan dibangkitkan pada malam itu juga.

Oleh kerana mereka sudah lama bertapak di negara ini, mereka telah menyelitkan amalan sesat mereka dalam masyarakat kita. Amat menyedihkan sekali, ketika kita benar-benar menentang Syiah di negara ini, dalam masa yang sama, kita turut mengamalkan amalan mereka. Itu semua kerana jahil dan beramal dengan hanya mengikut orang sahaja.

Satu lagi kekarutan masyarakat kita tentang Malam Lailatul Qadr adalah mereka berpegang dengan pendapat, mengatakan Nabi Khidr menjelma pada Malam Lailatul Qadr.

Guru yang sesat pula telah mengajar masyarakat kita, kalau berjumpa Nabi Khidr, pegang janggut beliau dan minta dipanjangkan umur serta diberikan harta yang banyak. Itulah ajaran yang mengarut. Sebenarnya itulah ajaran yang khurafat dan memperbodohkan manusia.

Tambahan lagi, tiada dalil yang sah yang boleh dipegang untuk menyatakan bahawa Nabi Khidr masih hidup lagi. Sememangnya amat ramai dalam masyarakat kita yang sangka begitu.

Seterusnya, sudahlah diajar ajaran salah mengatakan Nabi Khidr hidup lagi, diajar pula yang dia akan turun pada Malam Lailatul Qadr. Kemudian disuruh minta kepadanya benda-benda yang pelik. Maka semakin teruk masyarakat kita dibuai oleh ilmu-ilmu yang salah dan tidak bermanfaat langsung.

إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ

sesungguhnya Kami memberi ancaman

Inilah tujuan diturunkan Al-Quran: untuk memberi amaran dan ancaman. Dalam Al-Quran itu ada ancaman yang kita kena beri perhatian. Kalau kita tidak ikut apa yang disampaikan di dalam Al-Quran, nanti kita akan mengalami masalah di akhirat.

Allah SWT sentiasa memberi peringatan dan ancaman kepada kita. Allah SWT lakukan sejak dari awal masa lagi dan ini bukanlah perkara yang baru.

Ini adalah satu rahmah dari Allah SWT untuk mengingatkan kita. Kalau Allah SWT tidak memberitahu, tentu kita tidak tahu dan kalau tahu sekalipun, pasti tidak ingat.

Tafsir Ayat Ke-4

Allah SWT menerangkan lebih lanjut lagi kepada kita apakah malam yang penuh berkat itu. Apakah yang terjadi pada malam itu?

فيها يُفرَقُ كُلُّ أَمرٍ حَكيمٍ

(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).

فِيهَا يُفْرَقُ

pada malam itu, ditetapkan.

Perkataan يُفْرَقُ dari perkataan فرق yang bermaksud ‘memisahkan’. Apakah yang dipisahkan?

Kalimah فرق bermaksud ‘memisahkan antara dua perkara’. Ia ‘membezakan’ antara dua perkara iaitu dua perkara yang hampir sama supaya kita dapat membezakan antara keduanya. Supaya jelas apakah satu-satu perkara itu.

Apakah yang ditetapkan pada malam itu?

كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

setiap perintah yang penuh hikmah

Kalimah حَكِيمٍ bermaksud ‘penuh hikmah’, juga ‘yang tetap yang tidak boleh diubah’.

Oleh itu أَمْرٍ حَكِيمٍ bermaksud ‘perintah yang tetap yang tidak boleh diubah’. Jadi ada dua maksud kalimah حَكِيمٍ ini:

  1. Ia penuh hikmah.
  2. Ia adalah hukum ketetapan dari Allah SWT yang tidak boleh diubah.

Ia tetap dan tidak boleh diubah kerana ia adalah perintah dari Allah SWT. Kalau dari makhluk, boleh lagi diubah-ubah. Ia juga dari Allah SWT yang Maha Bijaksana. Oleh itu, apa sahaja keputusan yang Allah SWT telah tetapkan pada malam ini, ia adalah satu ketetapan yang penuh hikmah.

📍Kalimah أَمْرٍ itu adalah perintah Allah SWT untuk dijalankan pada tahun itu. Perintah itu diberikan kepada para malaikat untuk menjalankannya.

Ia telah ditetapkan pada tahun itu. Tahun depan akan diberikan penetapan yang baru. Seperti siapa yang akan dilahirkan, akan mati, jatuh sakit, apa yang dia akan dapat dan segala-galanya.

Kalau dalam Parlimen kita ada pembentangan belanjawan untuk tahun itu. Oleh itu di dalam belanjawan, akan diberitahu bagaimanakah kewangan negara akan dibelanjakan.

Maka, malam ini adalah malam yang amat hebat. Jadi, amatlah rugi sekali kalau kita tidak mengambil peluang untuk beribadat di dalamnya. Ia adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Kalau kita berdoa yang baik pada malam itu, ia akan memberi kebaikan untuk kita dalam tahun itu. Kita minta supaya kita mendapat kebaikan sepanjang tahun itu. Bayangkan kalau tahun itu kita telah ditakdirkan mati. Alangkah ruginya kalau kita tidak memohon keampunan kepada Allah SWT pada malam itu.

Walaupun kita tidak tahu manakah malam Lailatul Qadr, kita perlulah berdoa pada setiap malam di dalam bulan Ramadhan terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir.

Tafsir Ayat Ke-5

Allah SWT sambung lagi penceritaan tentang Malam Lailatul Qadr itu.

أَمرًا مِّن عِندِنا ۚ إِنّا كُنّا مُرسِلينَ

Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul.

أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا

Perintah dari sisi Kami;

Setiap perintah itu ditetapkan oleh tidak lain melainkan daripada Allah SWT. Oleh itu, perintah tidak boleh berubah, ia akan tetap dijalankan; kita juga yakin bahawa, kerana ia diberikan oleh yang Maha Hikmah, maka ia adalah sesuatu yang baik.

إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

sesungguhnya Kami lah yang mengutus.

Ada dua makna dari maksud ‘mengutus’ ini:

1. Maksud ayat ini adalah Allah SWT mengutus para malaikat untuk menjalankan segala perintah-Nya yang ditetapkan itu.

2. Begitu juga, ia bermaksud Allah SWT mengutus para Rasul untuk menyampaikan risalah dari Allah SWT.

Seperti yang kita telah tahu, Allah SWT telah menurunkan Kalam-Nya sebagai panduan. Allah SWT bukan sahaja turunkan wahyu, tetapi Allah SWT utuskan juga para Rasul untuk mengajar bagaimana untuk mengamalkan wahyu.

Apakah kepentingan para Rasul itu? Seperti yang kita selalu sebut: Panduan hidup kita adalah Al-Quran. Kita sepatutnya menjadikan ia seperti ‘manual’ bagi hidup kita.

Contohnya kita membeli iPhone yang baru tetapi kita tidak tahu gunakan kerana bukan kita yang mencipta iPhone itu. Oleh itu, kita akan gunakan manual yang diberikan bersama iPhone.

Walaupun sudah membaca manual, mungkin kita masih tidak tahu menggunakannya. Ini kerana kita tidak dapat memahami lenggok bahasa yang digunakan atau bahasa teknikal iPhone.

Oleh itu, kita meminta tolong dari rakan yang faham dan sudah biasa menggunakan iPhone. Minta dia ajarkan kita satu persatu, maka hal ini akan menjadi lebih mudah berbanding jika kita melakukannya sendiri.

Itulah perumpamaan Nabi Muhammad ﷺ. Kita tidak tahu apakah yang dimaksudkan di dalam Al-Quran, kalau bukan Nabi ﷺ yang menjelaskan kepada kita. Nabi ﷺ mempraktikkan apa yang ada di dalam Al-Quran supaya kita tahu bagaimana hendak menjalankan kehidupan kita agar selari dengannya.

Kita boleh ikuti cara Nabi ﷺ kerana baginda juga seorang manusia dan lebih memahami Al-Quran dari kita. Maknanya, Allah SWT tunjukkan bagaimana hendak mengamalkan Al-Quran dengan diberikan contoh dari seorang manusia yang mengamalkannya.

Ini menunjukkan kepentingan kita belajar sunnah. Kalau tidak belajar sunnah, bagaimana kita hendak tahu cara mengamalkan Al-Quran? Itulah peliknya bagaimana ada manusia yang boleh percaya kepada Al-Quran, tetapi tidak percaya kepada hadis?

Golongan yang paling jelas pelik adalah Golongan Anti-Hadis yang diketuai oleh Kasim Ahmad. Kalau dia seorang sahaja yang gila, kita boleh faham kerana memang ramai orang gila di dalam dunia tetapi yang menghairankan, kenapa ada yang ikut dia?

✍🏻SESI MUZAKARAH

Tafsir surah Ad Dukhan (Ayat 3-5)

📍Adakah Malaikat Jibril datang mengajar al-Quran kepada Nabi ﷺ pada malam Lailatul Qadar?

🔵Tidak. Tadarus itu dilakukan setiap malam Ramadhan.

✍🏻__Ibnu Abbas berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang paling dermawan, dan beliau bertambah kedermawanannya di bulan Ramadhan ketika bertemu dengan malaikat Jibril, dan Jibril menemui beliau di setiap malam bulan Ramadhan untuk mudarosah (mempelajari) Al-Quran” (HR Bukhari).__

📍Apakah sebab mereka anti kepada hadis?

🔵Tidak pasti asalnya bagaimana. Mungkin kerana ada yang beri ajakan salah kepada mereka tentang hadis dan kerana jahil mereka percaya.

Sebagai contoh, mereka meragui kesahihan hadis yang disebut 1,400 tahun dahulu dan disampaikan dari mulut ke mulut oleh ramai perawi. Tentu ada yang tersilap, kata mereka.

📍Adakah masih boleh diubah takdir kita yang malaikat sudah tahu dalam tempoh setàhun itu, sekiranya ia suatu takdir yang buruk?

🔵Takdir dalam tangan Allah SWT dan bukan kita boleh ubah. Malah kita tidak tahu apa yang akan terjadi esok maka macam mana hendak ubah?

 📍Adakah jika doa kepada Allah SWT masih tidak boleh mengubah takdir?

🔵Bagaimana awak hendak berdoa kerana tidak tahu takdir buruk yang akan dikenakan kepada awak. Awak berdoa itu juga dalam takdir Allah SWT dan bukan dengan kehendak awak sendiri. Doa itu wajib bagi kita, tetapi harus sahaja bagi Allah SWT. Jadi kalau berdoa belum tentu Allah SWT akan ubah.

📍Adakah pendapat yang mengatakan malam Nuzul al-Quran itu tepat pada 17 Ramadhan ?

🔵Salah satu pendapat sahaja dalam banyak pendapat. Tiada kepastian antara mana-mana pendapat itu. Ia tetap menjadi rahsia sampai bila-bila.

📍Bagaimana dengan penjelasan di bawah ini.

Taqdir Mubram dan Mu’allaq.

Takdir mubram adalah muktamad dan tertulis di Luh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan pada takdir ini.

Takdir mu’allaq pula adalah takdir yang tertulis dalam catatan para malaikat. Dengan izin Allah, takdir ini boleh tetap dan boleh berubah, bergantung kepada sebab-sebab yang diusahakan oleh manusia. Mu’allaq adalah perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud “tergantung”.

🔵Mubram seperti lahir sebagai lelaki dan tidak boleh hendak berubah menjadi perempuan.

Muallaq adalah boleh ubah. Seperti mati sekian waktu. Kalau eratkan silaturrahim akan memanjangkan ajal.

📍Maksud Al-Quran ini diturunkan pada malam Lailatul Qadr ialah Al-Quran diturunkan sebanyak 30 juz dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah. Seterusnya diturunkan beransur ansur selama lebih kurang 23 tahun dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad SAW. Betulkah pemahaman saya ini?

🔵Ya.

📍Catatan tentang kejadian yang berlaku kepada kita dalam 1 tahun ditentukan pada malam Lailatul Qadr juga?

🔵Catatan sudah ada di Lauh Mahfuz tetapi baru diberikan kepada para malaikat yang akan menjalankan penetapan itu. Malaikat dapat mengetahui untuk setahun sahaja.

📍Antara berkat dengan rahmat manakah yang lebih kedudukannya? Apakah rahmat mencakupi keberkatan dan keredhaan Allah SWT?

🔵Tidak perlu hendak timbang antara keduanya kerana keduanya kita perlukan.

📍Adakah panduan dan pegangan mempunyai maksud yang sama dan Al-Quran dan as sunnah adalah pegangan kita?

🔵Ya sama sahaja kerana apabila sudah menjadi ‘panduan’, maka kenalah ‘pegang’.

📍Bukankah semua yang terjadi kepada kita sudah ditetapkan sebelum kita dilahirkan lagi? Kenapa pula ditetapkan pada setiap tahun?

🔵Bukan ditetapkan, tetapi diberitahu kepada malaikat sebab malaikat juga tidak tahu. Malaikat yang akan jalankan penetapan itu. Contoh berapa banyak hujan hendak turun, siapa yang akan mati, siapa yang lahir dan sebagainya.

📍Adakah Nabi akan mentafsirkan Al-Quran kepada para sahabat dan umat? Contoh apabila mendapat wahyu, terus Nabi akan tafsir maksud wahyu itu disampaikan.

🔵Ya, Nabi SAW akan ajar kepada para sahabat. Kemudian sahabat akan sampaikan kepada pelajar mereka. Kalau ada yang tidak faham, mereka boleh terus tanya kepada baginda.

📍Adakah manusia yang terlalu leka dengan kehidupan, tidak mahu belajar ilmu agama, bebas berbelanja tetapi hakikatnya murung, sedih bila keseorangan masih ada perasaan tidak tenang di dalam hatinya atau Allah SWT tutup sama sekali ?

🔵Tetap ada tidak tenang dalam hati dia kerana dia melawan fitrah dirinya sendiri.

📍Adakah ketika berdoa kena sebut 3 perkara ini iaitu meminta berkat, redha dan rahmat?

🔵Tidaklah ‘kena’. Tiada penetapan doa kena sebut ini dan ini kerana jika hendak doa semua benda, tentu tidak cukup masa. Maka kita doa mana yang perlu sahaja dan guna doa dari ajaran Nabi.

 📍Adakah menjadi kesalahan jika kita ada perasaan takut mati? Jika ada perasaan sedia atau tidak, kita kena terima dan jangan takut kerana mati itu kiamat kecil.

🔵Biasa sahaja kalau ada perasaan takut mati. Macam budak takut ‘exam’ tetapi kena hadapi juga, jadi dia tidak lari sebab hendak ke mana juga tidak tahu. Larikan diri dari peperiksaan boleh lagi, tetapi lari dari mati, tidak boleh langsung. Biarpun takut tetapi dalam masa yang sama kita kena sedar yang kita tetap akan menghadapinya. Maka ini sepatutnya mendidik kita untuk berlaku baik dalam kehidupan.

📍Pada pandangan ustaz pilihan yang mana bagus supaya berfikiran positif. Ada perasaan tidak lama lagi mati atau membiarkan perasaan itu supaya tidak menjadi doa yang buruk, sebab kata pakar psikologi kena fikir positif supaya kita menjadi sihat dan ceria sentiasa. Kalau terlalu fikir akan menjadi sebaliknya.

🔵Kita perlu selalu ingat mati. Ini dinamakan zikrul maut. Setiap muka surat al-Quran ada menyebut kematian/akhirat jadi manusia memang kena ingat kematian.

Kata-kata pakar psikologi itu kena nilai semula dengan agama sebab tidak ingat mati menyebabkan orang tidak takut berbuat dosa. Namun begitu, tidaklah teringat sahaja sepanjang masa hingga hendak makan tidak lalu dan urusan kehidupan terganggu, kena seimbangkan (balance).

 Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan