Utama Bilik (06) Ulat Buku Tip-Tip Cemerlang daripada Quran – Tip 5 Cemerlang dengan Membaca dan Meneliti...

Tip-Tip Cemerlang daripada Quran – Tip 5 Cemerlang dengan Membaca dan Meneliti Al-Quran

240
0
Iklan

TIP5

CEMERLANG DENGAN MEMBACA DAN MENELITI QURAN

“Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu iaitu al-kitab (Quran) dan dirikanlah solat.”[ Al-Ankabut: 45 ].

Sumber ilmu terpenting bagi umat Islam adalah al-Quran kerana al-Quran adalah petunjuk.

Tanpa petunjuk manusia akan sesat dan terbabas.

“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus ( aqwam) dan memberi khabar gembira kepada orang-orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa mereka ada pahala yang besar.” [ al-Israk: 9 ].

Aqwam – jalan yang paling benar, paling adil dan paling tepat [ Imam Qartubi dalam al-Jamik li ahkam al-Quran ].

Kesejahteraan dan ketenangan akan menaungi mereka yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan.

Al-Quran adalah Peta

Jalan kecemerlangan perlukan peta dan peta yang umat Islam perlukan adalah al-Quran.

“Segala puji bagi Allah SWT yang telah menurunkan kepada hamba-Nya al-Kitab (al-Quran) dan Dia tidak mengadakan sesuatu yang bengkok di dalamnya.” [ Al-Kahfi: 1 ]

Untuk memahami peta, perlu untuk membaca dan memahami isi-isi al-Quran.

“Apakah mereka tidak mentadabbur al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah SWT tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.” [ an-Nisa’: 82 ].

“Allah SWT mengarahkan mereka agar mengamati isi-isi al-Quran dan melarang dari berpaling daripadanya. Memahami maksud ayat-ayat al-Quran yang begitu halus lafaznya serta dipenuhi kebijaksanaan.” [ Imam Ibn Kathir – Tafsir al-Quran al-Azim ].

“Dan mereka yang telah Kami berikan kitab kemudian mereka membaca dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itulah yang beriman dengannya. Barang siapa yang ingkar mereka adalah orang yang rugi.” [ al-Baqarah: 121 ].

“Demi Allah, maksud membaca Kitab dengan bacaan yang sebenarnya ialah menghalalkan apa yang dihalalkannya, mengharamkan apa yang diharamkannya, membaca seperti mana ia diturunkan Allah, tidak mengubah kalam Tuhan dari tempatnya dan tidak mentakwilkan ayat-ayatnya secara yang tidak betul.” [ Abdullah bin Mas’ud – al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa ].

Antara sebab yang menutup atau menghijab hati individu daripada memahami al-Quran adalah:

[ Imam Ghazali – Kitab Ihya Ulumuddin]

  • Terlampau memberi tumpuan pada huruf, sebutan dan makhraj.
  • Fanatik terhadap pegangan dan pendapat yang pernah didengarnya sehingga tertutup hatinya daripada kefahaman yang lebih mendalam berkenaan al-Quran.
  • Kekal berada dalam dosa sehingga hatinya menjadi gelap dan berkarat.

Fisiologi Quran

Quran merupakan penawar (syifa) dan rahmat bagi mereka yang beriman.” [ al-Israk: 82 ]

“Syifa bermaksud (Quran adalah penawar) yang dapat menghilangkan syak, nifak, penyelewengan, kelemahan dan penyakit dalam hati. Quran juga adalah rahmat yang dapat menghasilkan iman, hikmat dan kebahagiaan.” [ Said Hawa – al-Asas fit Tafsir ].

“Sesiapa yang menghendaki ilmu pengetahuan maka hendaklah dia membaca Quran. Di dalamnya terdapat ilmu orang-orang terdahulu dan yang kemudian.” [ Abdullah bin Mas’ud].

“Sesungguhnya akan lapanglah penghuni rumah yang dibaca Quran di dalamnya, banyaklah kebajikan dan akan datang para malaikat ke rumah itu dan keluarlah syaitan daripadanya. Sebaliknya rumah yang tidak dibacakan Quran akan mendatangkan kesempitan, kebajikan akan berkurangan, para malaikat akan keluar dan syaitan akan memasuki rumah itu.” [ Abu Hurairah r.a.h]

“Berhubung kesan mendengar bacaan Quran ke atas denyutan jantung, tekanan darah, tekanan saraf dan otot, yang mendengarnya termasuk daripada kalangan bukan Muslim dan bukan Arab, mengalami perubahan fisiologi positif dalam diri mereka.” [ Kajian Dr Ahmed el-Kadi dari Klinik Akbar Panama City, Florida – Islamic Perspectives In Medicine Shahid Athar ].

“3 perkara menambahkan kesejahteraan badan dan menghilangkan kahak iaitu bersugi, berpuasa dan membaca Quran.” [ Ali bin Abi Talib ].

Al-Quran Hebat

Dr Gary Miller pakar matematik, tokoh dalam bidang ilmu teologi Kristian. Memeluk Islam pada tahun 1978 melalui hadiah al-Quran terjemahan bahasa Inggeris. “Al-Quran boleh dikaji secara saintifik kerana ia mengutarakan sesuatu yang tidak diutarakan oleh kitab-kitab lain. Pakar sains tidak akan mempedulikan teori melainkan disertai dengan bukti-bukti melalui ujian saintifik. 1400 tahun sudah berlalu dan tiada sesiapa yang mampu membuktikan kepalsuan al-Quran, justeru al-Quran adalah sebuah kitab yang hak lagi benar.” [ The Amazing Quran – Dr Gary Miller ].

Ledakan Kecemerlangan

  • Orang-orang zaman jahiliah adalah golongan yang tidak bertadamadun. Namun, setelah memeluk Islam cara hidup berubah sehingga berjaya bina tamadun yang gilang-gemilang.
  • Jadikan al-Quran sebagai landasan kecemerlangan.
  • Bawa al-Quran dan terjemahannya bersama setiap hari dan baca dengan tajwid yang betul.
  • Baca al-Quran sambil duduk tanpa perlu berwuduk dan menghadap kiblat.
  • Baca dengan 10 ayat, teliti maksudnya sebelum menambah 10 ayat lagi.

“Apabila seseorang membaca al-Quran, para malaikat akan mencium antara kedua belah matanya.” [ Imam Sufyan at-Thauri ].

 

 

 

 

 

 

Komen dan Soalan