Utama Bilik (06) Ulat Buku Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran: Tip 20 – Cemerlang dengan menegakkan Keadilan

Tip-Tip Cemerlang daripada Al-Quran: Tip 20 – Cemerlang dengan menegakkan Keadilan

153
0
Iklan

TIP-TIP CEMERLANG DARIPADA AL-QURAN

TIP 20
CEMERLANG DENGAN MENEGAKKAN KEADILAN

“Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menghalang kamu dari berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada taqwa.”[ Al-Maidah: 8 ].

🔺Bersikap adil dalam pergaulan menjadikan kita seorang yang terhormat.

🔺Kezaliman adalah lawan kepada keadilan.
Apabila kezaliman dibiarkan berleluasa, marah dan benci akan timbul. Akhirnya, si zalim akan binasa.

🔺Sebaliknya, mereka yang adil dalam tindak tanduknya akan disayangi dan disenangi.

🔺Kehidupan dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat dan memudahkan untuk mencapai kejayaan.

🔹Kezaliman timbul kesan daripada pengaruh emosi yang tidak dapat dikawal.

🔹Al-Quran mengarahkan untuk mengenepikan kebencian serta kemarahan dan berusaha membantu orang yang pernah melakukan kezaliman.

🔹Sifat ini bila dimiliki akan membawa kepada ketaqwaan dan kecemerlangan.

Sistem Dunia yang Zalim

🔴Sistem kehidupan yang tidak berdasarkan wahyu tidak akan mendatangkan kesejahteraan kepada manusia.

🔸Ajaran agama Hindu melahirkan sistem kasta yang membahagikan manusia kepada golongan Brahman, Kshatriya, Vaisya dan Sudras.

🔸Manusia dari kasta yang berbeza tidak boleh berkahwin antara satu sama lain.

🔸Kasta terendah iaitu golongan Paria dianggap kotor dan keji.

🔴Amerika menzalimi golongan kulit hitam dan tidak mendapat hak asasi mereka.

🔴Afrika Selatan mengamalkan dasar apartheid di mana mengagungkan golongan kulit putih berbanding kulit hitam walaupun peratus golongan kulit putih hanya 13%.

🔴Sistem kekeluargaan di Eropah juga diselimuti dengan ketidakadilan di mana wanitanya dikotak-katikkan.

🔸Isteri tidak mempunyai hak di sisi undang-undang, tidak berhak membawa kes ke mahkamah, tidak boleh menjadi juri, tidak boleh memiliki harta dan tidak boleh menulis wasiat.

Islam datang membawa Keadilan

Semasa dunia mementingkan warna kulit, kasta, kabilah dan bangsa, Islam datang dengan sistem sosialnya yang tersendiri.

Bagi Islam manusia mempunyai asal usul yang sama. Justeru, sebarang kebanggaan dan kemuliaan yang diasaskan kepada keturunan dan warna kulit adalah ditolak.

“Wahai manusia, Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah mereka yang paling bertaqwa di antara kamu.”
[ al-Hujurat: 13 ].

“Allah telah membuang daripada kamu kekejian jahiliah dan sikap suka berbangga-bangga dengan keturunan. Sesungguhnya, seseorang itu (boleh menjadi) seorang mukmin yang bertaqwa atau seorang pelaku maksiat yang keji. Manusia berasal dari Adam dan Adam berasal dari tanah.” [Imam Tirmizi dan Abu Daud ].

♥️Wanita Islam mendapat kemuliaan dan keadilan dalam Islam. Mereka boleh mewakilkan diri mereka di mahkamah, boleh menuntut cerai atau fasakh apabila suami tidak bertanggungjawab, boleh memiliki harta, malah harta tidak boleh diambil secara paksa oleh suami, berhak mendapat penjagaan anak-anak yang masih kecil semasa berlaku penceraian.

Dan isteri-isteri mempunyai hak ke atas suami yang seimbang dengan kewajipannya secara yang makruf.” [ al-Baqarah: 228 ].

“Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang yang beramal antara kamu baik lelaki atau pun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan dari sebahagian yang lain.” [ Ali Imran: 195 ].

♥️Apabila berpoligami, suami diwajibkan berlaku adil kepada semua isteri. “Maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi dua, tiga atau pun empat. Jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil maka kahwinilah seorang sahaja” [ an-Nisa’: 3 ].

🔷Dalam keluarga ibu bapa perlu bersikap adil dengan anak-anaknya.

🔷Dalam konteks negara, Tuhan mewajibkan setiap pemimpin berlak adil ke atas rakyat jelata.
“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia kamu menetapkannya dengan adil.” [ an-Nisa’: 58 ].

🔹Satu Jemaah ulama Islam berpendapat bahawa “pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yng adil, ihsan dan mulia. Adapun yang fasik dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin.” [ Imam Qartubi, al-Jamik li Ahkamil Quran ].

🔹Pemimpin Islam perlu bersikap adil kepada semua orang termasuk ke atas mereka yang bukan Islam
“Jika kafir zimmi dianiayai, pemerintahan negeri itu dianggap sebagai pemerintahan musuh.” [ Imam Tabrani ].
“Sesiapa yang menyakiti seorang kafir zimmi aku akan menentangnya dan jika aku menentang seseorang aku akan menentangnya hinggalah ke hari kiamat.” [ Hadis Nabi SAW oleh Khatib ].

🔹Kezaliman ke atas haiwan juga dilarang. Khalifah Omar bin Khattab memarahi dan menegur lelaki yang meletakkan muatan yang berat ke atas untanya.

Keadilan Islam dibudayakan

Khalifah Omar bin Khattab berjaya menakluki Mesir di mana Benteng Babilon di Kota Memphis dapat dilemahkan hanya dengan mengamalkan keadilan dalam kalangan tentera Islam.
“Kami telah melihat satu kaum yang cintakan mati. Sifat ramah mereka mengatasi keangkuhan mereka. Mereka duduk bersila di atas tanah dan pihak atasan tidak berbeza dengan golongan bawahan dalam pergaulan. Tidak ada perbezaan antara golongan mulia dan hina, begitu juga antara tuan dan hamba sahaya dalam kalangan mereka. Apabila tiba masa untuk menyembah Tuhan, tidak ada seorang pun yang mengabaikannya.”9

Khalifah Omar bin Khattab pernah memarahi gabenor Islam di Mesir iaitu sahabat Amru bin ‘As kerana memukul seorang Kristian Qibti. “Sejak bila kamu memperhambakan manusia sedangkan ibunya melahirkannya sebagai seorang insan yang merdeka.”

Khalifah Omar bin Khattab semasa hampir meninggal dunia berpesan, “Aku berpesan kepada khalifah sesudahku supaya berlaku baik ke atas golongan kafir zimmi. Hendaklah ditunaikan janji ke atas orang-orang bukan Islam dan berperang untuk melindungi mereka. Janganlah mereka dibebani dengan sesuatu yang di luar kemampuan mereka.”

Ledakan Kecemerlangan

🖌Sikap adil hanya boleh dihayati oleh mereka yang mementingkan Tuhan kerana mereka sedar apabila mereka bertindak zalim, Tuhan akan memusnahkan mereka.

🖌Dalam hidup, kita utamakan kebenaran dan bukannya kelompok, bangsa dan keturunan.

🖌Bayangkan kita sedang berdiri di atas sebuah pelantar yang di bawahnya terdapat satu kolah yang mendidih. Apabila berada di bahagian hujung pelantar, ia akan berat sebelah dan kita akan jatuh dan binasa. Kita hanya akan selamat apabila kita berada pada bahagian tengahnya. Itulah keadilan.

🖌“Sesungguhnya orang yang berlaku adil akan diletakkan di mimbar-mimbar yang bercahaya (di hari Kiamat).” [ Imam Muslim ].

Komen dan Soalan