Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-66 hingga Ke-70

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-66 hingga Ke-70

539
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-67

Ayat Takhwif Ukhrawi

الأَخِلّاءُ يَومَئِذٍ بَعضُهُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ إِلَّا المُتَّقينَ

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

 Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain,

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut bagaimana ada kalangan Musyrikin Mekah berdebat dengan Nabi Muhammad SAW. Mereka yang berdebat dengan Nabi Muhammad SAW tentang Nabi Isa a.s dalam ayat-ayat itu adalah kawan-kawan rapat belaka.

Itulah sebabnya mereka berani kerana ada kawan untuk sama-sama menggelakkan Nabi Muhammad SAW. Namun begitu mereka ini adalah jenis kawan yang menyebabkan mereka jadi sesat dan sama-sama menempah tempat dalam neraka.

Ini kerana sama-sama bertolongan untuk keburukan, bukan untuk kebaikan. Semasa mereka di dunia, mereka berkawan amat rapat tetapi di akhirat nanti, mereka akan menjadi musuh yang amat jauh.

Kalimah الْأَخِلَّاءُ adalah dari kata dasar خلل (Khalil) yang bermaksud ‘menembus’ dan oleh itu ia bermaksud ‘kawan yang amat rapat’ yang menembus ke dalam hati dan bukan kawan yang biasa. ‘Khalil’ adalah persahabatan yang paling rapat sekali. Sepertimana Nabi Ibrahim diberi gelaran Khalilullah.

Selalunya, manusia menjadi sesat sebab ada kawan yang ajak mereka ke arah kesesatan itu. Merekalah yang mengajak kepada berbuat perkara yang tidak baik. Kita biasa sangat dengan kawan-kawan yang jenis macam ini. Mereka menjadikan perkara yang buruk nampak baik.

Apabila kita bersama dengan mereka, macam tidak ada apa-apa sahaja kesalahan yang kita lakukan. Kita rasa macam tidak berapa bersalah apabila buat kejahatan bersama dengan dia. Mereka itulah yang jadi teman ponteng kelas, hisap rokok, mengintai anak dara orang dan sebagainya.

Bagaimana kawan yang rapat semasa di dunia dulu boleh menjadi musuh pula di akhirat? Sebagai contoh, ada orang yang beriman, tetapi berkawan juga dengan kawan yang tidak beriman. Bagi yang beriman itu nanti akan masuk syurga dan yang tidak beriman akan dimasukkan ke dalam neraka.

Semasa di Mahsyar lagi, mereka yang sudah ada masalah itu nanti akan merayu kepada kawannya yang beriman itu. Dia bersungguh-sungguh minta tolong kepada kawannya itu.

Namun kawannya akan memberitahu bahawa dulu semasa mereka di dunia, dia sudah ajak kawannya yang tidak beriman itu, banyak kali untuk datang belajar, jangan buat perkara buruk dan sebagainya, tetapi kawannya itu tidak mahu.

Maka, itulah sebabnya mereka dibezakan di akhirat kelak. Walaupun mereka di dunia dulu berkawan, tetapi di akhirat nanti, mereka sudah tidak berkawan lagi. Mereka tidak boleh menolong orang lain. Mereka sudah jadi musuh pada waktu itu.

Ada kawan yang halang kawan pergi untuk belajar atau buat kebaikan. Mungkin ada yang hendak pergi belajar Tafsir al-Quran atau belajar di kelas agama, tetapi ada pula kawannya yang berkata: “Buat apa yang kau sibuk hendak belajar, jom kita pergi makan lagi bagus” hingga menyebabkan kawannya itu tidak jadi untuk belajar. Maka, di akhirat kelak, kawan yang telah dipesongkan itu akan marah dengan kawannya yang menghalangnya itu, dan mereka menjadi musuh waktu itu. Ini kerana mereka akan kata: “Kalaulah bukan kerana kau, aku tentu sudah belajar dengan bagus dan tidak susah di akhirat ini! Nyah kau dari aku, aku dan kau musuh sekarang!”. Begitulah lebih kurang penjelasan yang boleh kita sampaikan.

إِلَّا الْمُتَّقِينَ

kecuali orang-orang bertaqwa

Dalam kitab tafsir Jalalain, yang dimaksudkan dengan ‘taqwa’ adalah muwahhidoon – orang yang mengamalkan tauhid.

Persahabatan yang didasari oleh taqwa akan berterusan sampai ke syurga. Mereka itulah yang bersama-sama pergi belajar, bersama-sama berdakwah dan menegakkan hukum Allah SWT. Mereka berkawan ‘kerana Allah SWT’.

Mungkin kenal di kelas pengajian dan perkenalan itu berterusan sampai mereka menjadi kawan yang rapat. Bukanlah mereka berkawan kerana harta atau kerana kerja di tempat yang sama tetapi kerana persamaan akidah dan ini adalah persahabatan yang amat manis sekali. Persahabatan itu akan berkekalan sampai ke syurga.

Sedangkan persahabatan yang didasari oleh perkara-perkara lain, tidak akan berterusan sampai ke syurga. Mereka hanya setakat berkawan di dunia sahaja. Kita adalah makhluk yang bersosial. Kita memerlukan teman untuk berbicara, untuk buat kerja sama-sama dan sebagainya.

Untuk buat kebaikan, ia akan lebih mudah dengan adanya kawan yang boleh membantu dan memberi semangat kepada kita untuk meneruskan usaha kita. Masalahnya, untuk buat keburukan turut memerlukan kawan juga dan kita memang mudah terpengaruh dengan kawan.

Kalau kawan itu baik, maka kita selalunya akan jadi baik dan kalau kawan itu jahat, maka kita boleh jadi jahat juga. Maka berjaga-jagalah dalam berkawan. Ayat ini juga bermaksud, orang yang bertaqwa tidak terikut dengan kelakuan salah kawannya.

Walaupun kawannya buat perkara yang tidak baik, dia tidak ikut kerana dia ada prinsip taqwa yang mantap dalam dirinya. Dia akan tegur kesalahan kawannya dan mengajak kawannya ke arah kebaikan kerana dia tahu bahawa apa yang kawannya lakukan itu adalah salah dan akan membawa kepada keburukan di akhirat kelak. Orang yang bertaqwa seperti itu tidak masuk ke neraka disebabkan kawannya.

Walaupun kawannya buat perkara syirik atau bidaah, dia tidak terkesan, tidak ikut sekali. Dia tetap berkawan kerana dia hendak dakwah kepada kawannya itu. Kawan yang baik akan mengajak kepada kebaikan. Mereka jugalah yang memberitahu tentang ilmu yang baik kepada kawannya.

Kalau belajar agama, dia akan beritahu dan ajak kawannya sekali untuk sama-sama menadah ilmu. Dia akan kongsi bersama ilmu yang dia tahu walau sedikit mana pun. Oleh itu, kalau anda belajar agama seperti belajar Tafsir al-Quran, belajar Hadis, maka ajak kawan-kawan sekali.

Tafsir Ayat ke-68

Ayat Tabshir Ukhrawi.

Apakah balasan kepada mereka yang bertaqwa itu?

يٰعِبادِ لا خَوفٌ عَلَيكُمُ اليَومَ وَلا أَنتُم تَحزَنونَ

(Mereka – yang bertaqwa – itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita”.

يٰعِبَادِ لَا خَوْفٌ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ

Allah Taala berfirman: “Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini tidak ada ketakutan ke atas kamu;

Ada jumlah muqaddar dalam ayat ini (yang tidak disebut) – ini adalah kata-kata sambutan dari Allah SWT. Ini adalah satu penghormatan kepada mereka dan ini menunjukkan yang mereka mendapat layanan baik dari Allah SWT sendiri.

Mereka yang dirujuk dalam ayat ini adalah orang-orang yang bertaqwa – yang berkawan kerana Allah SWT, menolong sesama sendiri kepada jalan Allah SWT. Allah SWT sambut mereka dengan kata-kata yang menyenangkan apabila mereka sampai ke syurga nanti.

Ketakutan adalah perasaan tidak sedap dengan apa yang mungkin terjadi di masa hadapan. Maksudnya, mereka akan diselamatkan di akhirat kelak.

Mereka akan diselamatkan di setiap ‘tempat pelepasan’ seperti yang telah disebut dalam ayat Zumar:61

وَيُنَجِّي اللهُ الَّذِينَ اتَّقَوْا بِمَفَازَتِهِمْ لَا يَمَسُّهُمُ السُّوءُ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

(Dan Allah akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa di tempat ‘pelepasan’ mereka; mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk dan tidak akan berdukacita.)

 ‘Tempat Pelepasan’ yang dimaksudkan adalah tempat-tempat azab seperti kubur, Mahsyar, Titian Sirat, Neraka. Itulah tempat-tempat yang akan dikenakan kesusahan dan azab dan mereka yang beriman akan diselamatkan di tempat-tempat itu. Mereka juga akan dapat minum air dari Telaga Kautsar yang apabila minum sahaja air itu, tidak akan dahaga sampai bila-bila.

وَلَا أَنتُمْ تَحْزَنُونَ

dan kamu pula tidak akan berdukacita”.

Kalau ‘takut’ itu adalah perasaan tidak senang kepada apa yang akan terjadi di masa hadapan, ‘dukacita’ adalah perasaan yang tidak sedap dengan apa yang telah terjadi dahulu. Maksudnya iaitu, apabila kita teringat sesuatu yang terjadi dahulu, menaikkan perasaan sedih. Jadi, ‘takut’ untuk masa hadapan, dan ‘dukacita’ adalah untuk masa lampau.

Termasuk dalam sedih itu adalah perasaan menyesal atas perbuatan mereka yang lalu. Itulah yang akan terjadi kepada mereka yang tersilap memilih kawan sampaikan mereka berbuat benda yang salah hingga dimasukkan ke dalam neraka. Mereka akan sedih mengenangkan kesilapan lampau yang mereka lakukan.

Apabila dalam syurga, tidak akan ada langsung perasaan sedih kerana syurga adalah tempat untuk menikmati segala nikmat. Kalau ada perasaan sedih, akan berkuranglah kenikmatan itu. Di syurga nanti, tidak akan rasa sedih kerana kita tidak ingat segala masalah, segala kesusahan semasa di dunia dulu.

Kita sampaikan tidak terkenang lagi orang yang kita sayang, kalau mereka tidak masuk ke syurga. Katakanlah anak kita tidak dapat masuk syurga, atau ayah, atau ibu, kita tidak teringatkan mereka.

Allah SWT akan cabut perasaan itu dari kita kerana kalau kita terkenangkan mereka, kita akan rasa sedih. Allah SWT tidak mahu kita rasa sedih kalau kita ahli syurga. Lihatlah penggunaan nahu dalam ayat ini. Allah SWT akan berkata sendiri kepada penghuni syurga itu.

Alangkah nikmatnya, Allah SWT sendiri yang akan memberitahu kita yang kita tidak perlu takut dan tidak akan bersedih. Itu akan menenangkan kita. Kalau orang lain yang cakap, belum tentu lagi.

Tafsir Ayat ke-69

Siapakah mereka yang selamat itu?

الَّذينَ ءآمَنوا بِئآيٰتِنا وَكانوا مُسلِمينَ

(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh,

الَّذِينَ ءآمَنُوا بِئآيٰتِنَا

(Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami,

Apabila mereka beriman, mereka juga kenalah beramal dengan ayat-ayat itu. Maka, hendaklah kita belajar Tafsir al-Quran dan belajar memahami hadis-hadis Nabi SAW dari mereka yang tahu, supaya kita dapat faham agama ini dari sumber yang sahih. Bukan dari mereka yang jahil.

Ini kerana itu akan menyebabkan kita salah faham. Maka, bukan hanya memilih kawan sahaja kita kena berhati-hati, tetapi memilih guru juga kena lebih berhati-hati lagi kerana silap pilih guru lah yang menyebabkan ramai akan salah mengamalkan agama ini.

وَكَانُوا مُسْلِمِينَ

serta mereka dahulu orang-orang Islam yang taat patuh,

Maksudnya iaitu dulu mereka taat dan patuh dengan suruhan Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Muslim bermaksud tunduk patuh kepada arahan Allah SWT dengan ikut syariat.

Janganlah kita baca sahaja ayat-ayat Allah SWT tetapi kita tidak tunduk patuh. Maka kenalah belajar apakah syariat yang perlu kita ikuti.

Tafsir Ayat ke-70

Masih dalam ayat Tabshir lagi.

ادخُلُوا الجَنَّةَ أَنتُم وَأَزوٰجُكُم تُحبَرونَ

(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan”.

ادْخُلُوا الْجَنَّةَ

“Masuklah kamu semua ke dalam Syurga

Inilah nikmat yang amat besar sekali. Yang paling penting, di syurga juga, barulah kita dapat melihat Allah SWT. Sekali lagi, Allah SWT sendiri bercakap dengan kita. Alangkah nikmatnya!

أَنتُمْ وَأَزْوٰجُكُمْ تُحْبَرُونَ

kamu dan isteri-isteri kamu, dalam keadaan bergembira”.

Gembira yang amat sangat sampaikan tidak ada ruang untuk bersedih. Allah SWT suruh kita masuk dengan pasangan kita kerana ‘kawan yang baik’ termasuklah juga pasangan hidup kita.

Bukan di dunia sahaja mereka menjadi pasangan kita, tetapi boleh sampai ke syurga dengan syarat, mereka juga beriman.

Kalimah تُحْبَرُونَ dari kata dasarحبر yang bermaksud ‘mencantikkan sesuatu’. Jadi perkataan تُحْبَرُونَ bermaksud ‘dicantikkan’ iaitu apabila muka kita berseri-seri dengan kegembiraan.

Itulah kecantikan yang sebenarnya. Kadang-kadang, ada orang yang dipakaikan dengan baju dan perhiasan yang cantik, tetapi muka mereka tidak berseri dengan kegembiraan kerana mereka sebenarnya tidak gembira.

Namun, apabila dimasukkan ke dalam syurga, memang jelas yang wajah mereka akan berseri dengan kegembiraan. Bukankah kecantikan seseorang itu lebih terserah dengan cahaya kegembiraan pada wajahnya?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan