Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-30 hingga Ke-34

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-30 hingga Ke-34

304
0
Iklan

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat ke-30

Ayat Syikayah (rungutan Allah SWT)

‎وَلَمّا جاءَهُمُ الحَقُّ قالوا هٰذا سِحرٌ وَإِنّا بِهِ كٰفِرونَ

Dan ketika kebenaran (Al-Qur’an) itu disampaikan kepada mereka, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir, dan sesungguhnya kami tetap mengingkarinya”.

‎وَلَمَّا جَاءَهُمُ الْحَقُّ

Dan ketika kebenaran itu disampaikan kepada mereka,

Kebenaran wahyu yang disampaikan kepada manusia adalah jelas, tetapi musyrikin Mekah masih menolaknya. Maka Nabi Muhammad SAW telah bawa kembali wasiat Nabi Ibrahim seperti dalam ayat-ayat yang lepas tetapi apa mereka kata?

‎قَالُوا هَٰذَا سِحْرٌ

berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini adalah sihir,

Maksudnya mereka hendak mengatakan bahawa al-Quran yang dibaca oleh Nabi SAW itu adalah ajaran sesat kerana mereka tidak pernah dengar. Musyrikin Mekah tidak dapat menjelaskan apakah al-Quran itu, ia bukan syair dan juga bukan kata-kata biasa.

Mereka sendiri terpegun dengan ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh Nabi SAW itu tetapi mereka tidak mahu juga hendak menerimanya kerana hati mereka telah tertutup. Maka, mereka mengatakan bahawa apa yang dibaca oleh Nabi SAW itu adalah sihir semata-mata. Mereka kata begitu kerana mereka sudah tidak tahu hendak memberi label apa kepada al-Quran itu.

Mereka ada juga mengamalkan sihir dan pada mereka, sihir itu adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan. Tambahan pula, mereka perasan yang kalau ada yang mendengar al-Quran itu, ada kemungkinan orang yang mendengar bacaan al-Quran itu akan masuk Islam.

Maka, mereka kata yang mereka yang ikut Nabi Muhammad SAW setelah mendengar bacaan al-Quran, mereka itu telah terkena sihir, telah terpukau. Pada mereka, al-Quran itu tidak benar tetapi masih juga ada orang yang ikut. Mereka hairan kenapa ada orang mengikut Nabi Muhammad SAW kerana biasanya, orang akan ikut perkara macam ini kalau ada imbuhan seperti harta.

Namun tidaklah Nabi Muhammad SAW itu menawarkan harta kepada orang yang ikut baginda SAW. Oleh kerana itulah mereka kata ini tidak lain dan tidak bukan, tentu sihir. Zaman sekarang juga ramai yang sebegitu juga. Apabila disampaikan kepada mereka tafsir kepada ayat-ayat al-Quran, mereka ada yang kata itu adalah tafsir yang sesat, tafsir yang salah.

Mereka kata ustaz yang mengajar Tafsir al-Quran itu pakai jin dalam mengajar sebab ramai yang ikut (Ustaz saya kena tuduhan ini). Kalau pakai jin, bermakna mereka hendak mengatakan yang ajaran itu adalah ajaran sihir. Mereka kata kalau belajar dengan ustaz yang ajar tafsir itu, ramai yang akan ikut telunjuk ustaz itu. Mereka gunakan hujah yang bodoh ini kerana mereka tidak dapat lagi berhujah melawannya dengan dalil lain.

Mereka sendiri tidak belajar Tafsir al-Quran, jadi mereka tidak dapat hendak berikan hujah lagi. Ini kerana, kalau apa yang kita tafsirkan ini salah, maka berilah tafsir yang benar, kalau ada. Mereka tidak dapat menjawab kerana mereka sendiri tidak belajar.

وَإِنَّا بِهِ كٰفِرُونَ

dan sesungguhnya dengannya kami ingkari”.

Mereka tidak dapat hendak lawan hujah yang diberikan dalam al-Quran, tetapi hati mereka tidak dapat menerimanya. Jadi, mereka tolak buta-buta sahaja. Mereka tolak dengan tidak beri hujah kerana kalau salah, tunjuklah mana yang salah. Mereka tidak dapat hendak tunjuk mana yang salah.

Tafsir Ayat Ke-31

Sesudah mereka mengatakan yang bacaan al-Quran itu sihir, mereka beri lagi hujah yang lain. Mereka tolak al-Quran dengan beri hujah yang tidak munasabah. Salah satunya, mereka hina kedudukan Nabi Muhammad SAW. Ini adalah ayat Syikayah (Rungutan Allah SWT).

Sekarang mereka hina Nabi Muhammad SAW pula. Mereka kata Nabi Muhammad SAW tidak layak terima wahyu kerana baginda SAW miskin dan tidak ada pengaruh walaupun mereka juga sudah kenal yang baginda itu seorang yang jujur.

Mereka berhujah dengan berkata sepatutnya wahyu itu kena diturunkan kepada orang yang ada pengaruh, barulah cepat orang terima. Begitulah Syaitan membisikkan kepada mereka untuk hina Nabi SAW. Sebelum ini mereka telah hina al-Quran, sekarang mereka hina penyampainya pula, iaitu Rasulullah SAW. Ini semua adalah syaitan yang ajar.

وَقالوا لَولا نُزِّلَ هٰذَا القُرءآنُ عَلىٰ رَجُلٍ مِّنَ القَريَتَينِ عَظيمٍ

Dan mereka berkata: “kenapa al-Quran ini tidak diturunkan kepada seorang besar dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?”

وَقَالُوا لَوْلَا نُزِّلَ هَٰذَا الْقُرْءآنُ

Dan mereka berkata: “kenapa al-Quran ini tidak diturunkan

Sekarang, mereka hendak mempersoalkan pilihan Allah SWT pula. Lihatlah apa kata mereka:

عَلَىٰ رَجُلٍ مِّنَ الْقَرْيَتَيْنِ عَظِيمٍ

kepada seorang yang hebat dari salah sebuah dua bandar itu?”

Dua bandar yang dimaksudkan adalah Mekah dan Taif. Mekah adalah bandar yang besar waktu itu kerana ada Kaabah padanya. Taif adalah tempat peranginan orang-orang kaya Arab kerana ia mempunyai cuaca yang molek kalau dibandingkan dengan Mekah. Orang-orang kaya akan ada rumah peranginan mereka di sana.

Mungkin ada yang hairan, kenapa bukan ‘Mekah dan Madinah’? Kita kena ingat bahawa Madinah waktu itu bukan bandar yang besar lagi. Namanya adalah Yathrib pada waktu itu dan ia hanya menjadi besar dan terkenal hanya selepas Nabi Muhammad SAW berhijrah ke sana.

Orang hebat dari Taif, yang dimaksudkan adalah Urwah ibn Mas’ud As-Tsaqafi. Manakala dari Kota Mekah pula, yang dimaksudkan adalah Walid al Mughirah ataupun Utbah ibn Rabi’ah. Mereka itu adalah orang-orang yang hebat dan berpengaruh pada pandangan masyarakat Arab pada waktu itu.

Pada mereka, sepatutnya wahyu yang diturunkan kepada manusia itu diberikan kepada dua orang ini yang sudah ada pengaruh dalam masyarakat kerana cakap mereka juga sudah didengari oleh masyarakat waktu itu. Maka senanglah orang hendak ikut suruhan wahyu itu, kata mereka.

Mereka kata begitu adalah kerana mereka hanya melihat kelebihan seseorang itu daripada segi kekayaan dan pengaruh sahaja. Allah SWT menegur mereka yang bersifat begini, bertepatan dengan tema surah ini yang menyentuh tentang salah faham manusia tentang kebendaan dan kemewahan dunia.

Memang ramai yang ada masalah begini. Kita mengagung-agungkan mereka yang ada harta dan ada pengaruh dalam masyarakat. Apa-apa sahaja yang mereka kata, kita lebih mudah untuk terima kalau dibandingkan dengan kata-kata mereka yang miskin dan tidak ada pengaruh.

Padahal, tanda kebenaran seseorang itu bukanlah dari segi keduniaan, tetapi dari segi iman dan taqwa mereka.

Musyrikin Mekah tidak dapat menerima yang Nabi Muhammad SAW yang diberikan dengan wahyu kerana mereka rasa ada lagi orang lain yang lebih layak dari baginda. Mereka lihat Nabi SAW itu adalah seorang yang tidak pandai membaca, tidak boleh bersyair.

Baginda SAW juga seorang yang miskin dan anak yatim piatu pula. Padahal, baginda SAW jadi miskin itu hanya sebab baginda banyak menolong orang. Ingatlah bahawa baginda SAW telah berkahwin dengan Siti Khadijah rah yang seorang jutawan tetapi kenapa pula mereka berdua jadi miskin?

Ini adalah kerana baginda telah melihat kesesatan yang diamalkan kaumnya itu dan baginda cuba berdakwah dengan mereka menggunakan harta benda mereka. Apabila ada yang bertawaf telanjang di Kaabah, baginda telah memberi mereka wang untuk membeli kain ihram. Baginda juga seorang yang amat dermawan dan sentiasa memberi pertolongan.

Namun, tidaklah baginda SAW dapat memberi hidayah kepada kaumnya itu dengan kemurahan hatinya, sehinggalah baginda SAW mendapat wahyu dari Allah SWT. Maka dengan wahyu itulah, baru baginda SAW dapat mengubah keseluruhan Tanah Arab itu menjadi Muslim dan menegakkan kalimah tauhid.

Maknanya, berdakwah guna wang itu tidak akan berjaya. Berdakwah sebenarnya adalah dengan menggunakan al-Quran. Oleh itu, mereka hendak katakan Nabi SAW itu hina sebab miskin. Tentulah apabila Nabi SAW mendengar kata-kata mereka ini, sedihlah hati baginda SAW.

Hakikatnya kelebihan yang sebenar adalah dalam ketulusan dan kesucian hati seseorang itu. Nabi Muhammad SAW itu memang terkenal dengan kebaikan hati baginda SAW dan sifat amanah baginda sampaikan baginda dikenali dengan gelaran al-Amin.

Masyarakat Arab Mekah waktu itu juga telah terima baginda SAW sebagai seorang yang amanah. Bagaimana pula kaitan ayat ini dengan zaman sekarang? Kita boleh lihat bagaimana manusia memandang status orang yang mengajar. Mereka hanya mahu belajar dengan orang yang terkenal dan berpengaruh.

Pada mereka, sepatutnya yang mengajar tafsir dan mengajar agama itu mestilah orang yang ‘nampak pandai’, terkenal di seluruh negara dan sudah masuk televisyen, barulah dipercayai, kan? Namun, apabila yang mengajar itu nampak seperti orang biasa sahaja, kelas juga tidak penuh orang datang, mereka sudah tolak (kerana mereka rasa tentu tidak terkenal).

Janganlah begitu, yang penting adalah kebenaran yang dibawa. Kalau seseorang itu terkenal sekalipun, sudah masuk televisyen, tetapi kalau ajarannya salah, takkan kita hendak terima pula?

Tafsir Ayat ke-32

Allah SWT patahkan hujah mereka itu

‎أَهُم يَقسِمونَ رَحمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحنُ قَسَمنا بَينَهُم مَّعيشَتَهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۚ وَرَفَعنا بَعضَهُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجٰتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعضُهُم بَعضًا سُخرِيًّا ۗ وَرَحمَتُ رَبِّكَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

‎أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَتَ رَبِّكَ

Adakah mereka yang membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu?

Mereka kah yang layak hendak tentukan siapa dapat apa? Mereka sangka mereka siapa? Sampai mereka sanggup mempersoalkan pemberian wahyu yang Allah SWT tentukan itu? Begitu kurang ajar mereka seperti mereka mengatakan yang Allah SWT telah silap pilih dalam memberi wahyu itu?

Perkara yang dimaksudkan dengan رَحْمَتَ رَبِّ dalam ayat ini adalah wahyu Allah SWT, iaitu al-Quran.

Beginilah juga kata-kata Syiah sekarang. Mereka kata Jibrail silap beri wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka kata sepatutnya diberikan wahyu itu kepada Saidina Ali. Kalau mereka kata Jibrail silap, tentunya Allah SWT turut silap juga dalam pemberian itu.

Malangnya, amat ramai yang telah terpesong dengan menganut agama Syiah yang sesat itu. Itu adalah kerana mereka tidak ada pelajaran agama dan kerana itu, mereka senang ditipu oleh penganut Syiah yang memang pandai memutar belitkan fakta dan hujah.

‎نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

Kamilah yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini,

Dalam kehidupan dunia, siapakah yang membahagi-bahagikan keperluan hidup manusia? Siapa yang beri? Tentulah Allah SWT. Ada penekanan dalam ayat ini.

Ini adalah ayat jumlah ismiah dan selalunya dari segi balaghah, jumlah ismiah digunakan untuk beri penekanan. Kalau kita terjemah ayat ini dengan tepat, ada pengulangan ‘Kami’ dalam ayat ini: نَحْنُ قَسَمْنَا [Kami, Kamilah yang membahagikan]

Kalau manusia juga diberi peluang untuk membahagikan harta kepada manusia , mereka tidak akan mampu. Sebagai contoh, banyak persatuan yang cuba untuk membantu manusia lain. Adakah mereka mampu untuk menolong semua orang? Tentu tidak. Usaha manusia adalah terhad.

Kaya dan miskin bukanlah bermakna Allah SWT sayang atau benci kepada seseorang itu. Tidaklah kaya itu bermaksud bagus dan miskin itu bermaksud buruk. Miskin dan kaya kedua-duanya adalah dugaan daripada Allah SWT.

Oleh itu, apabila Musyrikin Mekah mempersoalkan keputusan Allah SWT untuk memberikan pangkat kenabian dan wahyu kepada seorang yang miskin, maka itu adalah satu pemahaman yang amat salah.

Allah SWT pandai hendak bahagikan rahmat-Nya dan kekayaan manusia dan pengaruh manusia bukanlah tanda orang itu hebat dan benar. Tidak ada hinanya orang yang miskin. Kita boleh perhatikan bagaimana mereka yang dimuliakan oleh Allah SWT, bukanlah mereka yang kaya-raya.

Seperti para Nabi, mereka kebanyakannya hidup dalam kemiskinan. Adakah mereka itu hina? Tentu tidak. Mereka itu amat mulia di mata Allah SWT.

Maka rezeki kita Allah SWT yang tentukan pembahagiannya. Oleh kerana keperluan kehidupan manusia hanya ditentukan oleh Allah SWT, maka keputusan untuk memberikan pangkat kenabian dan menerima wahyu juga hanya boleh diberikan oleh Allah SWT.

‎وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجٰتٍ

dan Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tinggi dari darjat setengahnya yang lain;

Ada manusia yang tinggi darjatnya dan ada yang rendah serta ada yang kaya dan yang miskin. Itu adalah kerana Allah SWT yang menentukan darjat setiap orang. Allah SWT menentukan itu dalam hikmah-Nya. Jangan kita sekali-kali mempersoalkan keputusan Allah SWT.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa jikalau kita hendak memberikan kesamarataan kepada seluruh rakyat, ia tidak akan berjaya. Ahli-ahli politik cuba hendak menghapuskan kemiskinan dalam negara ini, tetapi ia tidak akan berjaya kerana Allah SWT memang telah menetapkan yang akan ada orang yang kaya dan miskin. Memang itulah sunnah alam ini yang Allah SWT telah tetapkan.

Allah SWT hendak menempelak Arab Mekah yang memandang kekayaan – seolah-olah Allah SWT berkata: “Wahai musyrikin Mekah, bukan beginikah keadaannya sekarang? Ada kuli dan ada tuan tetapi tuan itu juga jadi kuli kepada orang lain pula.”

Allah SWT yang jadikan begitu. Kalau sesiapa yang kaya dan berpengaruh, ada lagi yang lebih kaya dan lebih berpengaruh dari dia. Bagi yang menjadi pemimpin di Mekah, mereka tetap duduk di bawah takluk Yaman juga.

Tafsir Ayat Ke-33

Sebenarnya pangkat dan kedudukan dunia tidak ada nilai pada Allah SWT. Bukan itu cara ukuran Allah SWT dalam memilih Rasul-Nya. Harta tidak ada harga pada Allah SWT. Ia cuma ada harga pada manusia sahaja.

‎وَلَولا أَن يَكونَ النّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً لَّجَعَلنا لِمَن يَكفُرُ بِالرَّحمٰنِ لِبُيوتِهِم سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ وَمَعارِجَ عَلَيها يَظهَرونَ

Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu (dalam kekufuran), nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka daripada perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya (daripada perak juga),

‎وَلَوْلَا أَن يَكُونَ النَّاسُ أُمَّةً وٰحِدَةً

Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu

Oleh kerana harta tidak ada harga pada Allah SWT, maka Allah SWT boleh beri sahaja harta itu kepada manusia, walaupun mereka kafir. Allah SWT boleh bagi semua kaya raya tetapi Allah SWT tidak buat begitu kerana ia akan menyebabkan kekufuran semakin banyak. Allah SWT tidak mahu seluruh umat manusia berada di dalam kekufuran. Allah SWT tidak mahu semua manusia ‘satu’ dalam kekufuran.

‎لَّجَعَلْنَا لِمَن يَكْفُرُ بِالرَّحْمَٰنِ لِبُيُوتِهِمْ سُقُفًا مِّن فِضَّةٍ

nescaya Kami jadikan bagi orang-orang yang kufur ingkar kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka daripada perak,

 ‎سُقُفًا adalah bumbung yang dilihat dari bahagian dalam. Maknanya kalau kita berada di dalam rumah itu kita memandang ke atas, kita akan nampak bumbung itu dibuat daripada perak. Bumbung ini adalah satu bahagian binaan dalam rumah yang tidak dikisahkan sangat.

Jadi, kalau bumbung juga sudah daripada perak, bagaimana pula dengan hiasan dalaman dan dinding, tentulah lagi hebat, bukan? Maknanya, kalau Allah SWT sudah beri sampai bumbung juga daripada perak, maknanya orang itu memang kaya sangat. Tidaklah ada yang jadi macam itu.

Kalau kita tengok orang kafir yang banyak harta dalam dunia ini, tidaklah sampai bumbung rumah juga sampai dibuat daripada perak, bukan? Orang yang paling kaya sekarang adalah Bill Gates; adakah dia buat bumbung rumahnya daripada perak? Tidak.

Allah SWT boleh sahaja memberikan kekayaan yang melimpah-limpah kepada orang kafir iaitu kekayaan yang tidak dapat difikirkan oleh akal kita sekalipun. Ini kerana kekayaan dunia itu tidak bernilai langsung kepada Allah SWT. Macam kita hendak beri besi buruk kepada orang lain, kita tidak kisah juga sebab besi buruk itu tidak ada nilai.

Namun, kalau Allah SWT beri kekayaan yang banyak sangat kepada orang kafir, maka orang-orang Islam juga apabila tengok orang kafir teramat kaya, maka mereka turut teringin pula hendak jadi macam orang kafir itu.

Mereka akan terikut-ikut dengan amalan-amalan orang kafir itu. Maka mereka akan terikut-ikut dengan cara hidup orang kafir itu sampaikan agama mereka turut tergugat juga. Akhirnya semua sekali akan jadi umat yang satu dalam kekufuran.

Sekarang Allah SWT beri kekayaan lebih sedikit sahaja, ada orang Islam yang sudah tergugat, bukan? Sudah mula ikut cara hidup orang kafir, sudah tiru cara hidup mereka yang hidup dalam kekufuran. Bayangkan kalau kekayaan mereka itu tidak ada had? Tentulah semua orang Islam hendak jadi orang kafir juga. Allah SWT sudah tahu sifat manusia, kerana Dia Maha Tahu.

‎وَمَعَارِجَ عَلَيْهَا يَظْهَرُونَ

dan tangga-tangga yang mereka naik di atasnya

‎مَعَارِجَ adalah tangga yang jenis panjang dan tinggi yang boleh membawa orang yang menaikinya ke tempat yang tinggi.

Maknanya rumah itu bertingkat-tingkat dan jika hendak naik kena guna tangga yang tinggi. Allah SWT boleh jadikan tangga itu pun sebagai perak juga tetapi adakah Allah SWT jadikan bumbung rumah mereka dan tangga rumah mereka daripada perak? Tidak. Tidak ada manusia kafir mana-mana jua yang melakukan begitu.

Allah SWT tidak jadikan begitu kerana kalau orang kafir kaya sangat, orang beriman juga jadi kafir. Allah SWT tidak mahu jadikan itu sebagai ujian kepada orang Islam.

Tafsir Ayat ke-34

‎وَلِبُيوتِهِم أَبوابًا وَسُرُرًا عَلَيها يَتَّكِئونَ

Dan juga pintu-pintu rumah mereka (daripada perak juga), dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (daripada perak juga),

وَلِبُيُوتِهِمْ أَبْوَابًا

Dan juga pintu-pintu rumah mereka

Allah SWT boleh sahaja jadikan pintu-pintu rumah mereka daripada perak juga tetapi adakah pintu-pintu rumah mereka ada dibuat daripada perak? Tidak. Allah SWT tidak jadikan orang-orang kafir sampai kaya begitu.

‎وَسُرُرًا عَلَيْهَا يَتَّكِئُونَ

dan kerusi-kerusi yang mereka berbaring di atasnya

Kalau zaman ayat ini diturunkan, mereka yang ada kerusi sebegini adalah orang yang kaya tetapi, kalau kaya setara mana pun, tidaklah kerusi itu dijadikan daripada perak juga. Ini kerana kalau mereka diberikan dengan kekayaan yang bersangatan, orang-orang Islam turut akan tergugat keimanan mereka.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan