Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-36 dan Ke-37

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-36 dan Ke-37

434
0
Iklan

Tafsir Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-36

Allah SWT menceritakan hakikat dunia. Allah SWT juga memberitahu bahawa ramai manusia yang lalai kerana mereka leka dengan dunia. Bukanlah salah kalau mahu kepada dunia, cuma jangan sampai jadi hamba dunia.

Oleh kerana bahayanya dunia dan segala keindahan pada mata manusia ini, Allah SWT beri peringatan dalam ayat ini. Jadilah seperti orang zuhud yang lebih minat kepada akhirat. Mereka juga menggunakan dunia untuk keperluan hidup, maknanya sayangkan akhirat bukanlah sampai tinggalkan dunia terus.

فَما أوتيتُم مِّن شَيءٍ فَمَتٰعُ الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَما عِندَ اللهِ خَيرٌ وَأَبقىٰ لِلَّذينَ ءآمَنوا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja, dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah SWT (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;

فَمَا أُوتِيتُم مِّن شَيْءٍ

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu,

Apa sahaja yang kita diberikan dalam dunia, segala harta, segala kekayaan dan sebagainya. Kita nampak macam banyak sahaja harta yang diberikan kepada kita itu. Tetapi apakah hakikatnya?

فَمَتٰعُ الْحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja,

Walau banyak mana pun harta itu, walau sebanyak harta Qarun pun, sebanyak harta Bill Gates pun, walaupun sepenuh bumi, ianya hanya مَتَاعُ dunia sahaja. Perkataan مَتَاعُ dari kata dasar متع yang bermaksud sesuatu yang digunakan tetapi ia hanya untuk sementara sahaja. Sebagai contoh, perabot, rumah, kerusi, apa sahaja.

Ia memang untuk keperluan kita, tetapi hanya setakat kita hidup sahaja. Sama ada barang itu rosak dahulu atau kita yang mati dulu. Tidak kisah bagaimana menariknya, betapa hebat dan cantiknya benda itu, ia tidak kekal. Sedikit sahaja nilainya.

Namun, kita kena faham Allah SWT bukan suruh tinggalkan dunia tetapi zuhud. Zuhud itu maksudnya tidak minat sangat kepada dunia kerana lebih minat kepada akhirat tetapi mereka pakai juga dunia kerana itu adalah keperluan hidup.

Ini menegur perangai kebanyakan manusia yang mementingkan harta dunia. Sebagai contoh, ramai yang meletakkan status kejayaan mereka pada rumah besar, kereta mewah, duit berkepuk dalam bank, alat elektronik yang canggih-canggih, baju yang cantik-cantik, dan macam-macam lagi.

Allah SWT ingatkan kita bahawa semua itu hanyalah kegunaan di dunia sahaja yang tidak akan kekal.

Dalam surah [ Kahf: 46 ], Allah SWT juga telah membezakan perhiasan dunia dan akhirat.

المالُ وَالبَنونَ زينَةُ الحَياةِ الدُّنيا ۖ وَالباقِياتُ الصّالِحاتُ خَيرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوابًا وَخَيرٌ أَمَلًا

Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhan mu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

وَمَا عِندَ اللهِ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah SWT (dari pahala hari akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal.

Bandingkan apa yang kita ada di dunia ini dengan apa yang Allah SWT berikan di akhirat nanti, kalau seseorang itu masuk syurga kerana apa sahaja yang kita ada di dunia, ia tidak kekal.

Dan ia tidak sempurna, ada sahaja kekurangannya. Ada sahaja masalahnya. Ada sahaja tidak kena dengan hati kita walaupun kita suka.

Memang kita suka dan sayang kerana ia cantik, tetapi mungkin warnanya kita tidak berapa suka. Begitulah kita dengan harta kesayangan kita. Tidak semestinya ia sempurna, walaupun kita sayang sekalipun.

Tetapi, apa yang Allah SWT akan berikan di syurga nanti adalah lebih baik lagi. Ia sempurna, ia akan kekal sampai bila-bila. Dan ia akan sempurna di mana kita tidak akan nampak apa-apa kekurangan pun pada apa yang Allah SWT akan beri di akhirat nanti.

Kalau kita diberi pilihan antara barang yang sekejap sahaja hayatnya dengan barang yang kekal, apakah pilihan kita? Tentunya kita mahukan yang kekal, bukan? Oleh itu, hendaklah kita membuat pilihan sama ada untuk mendapatkan harta akhirat ataupun harta dunia.

Dan untuk mendapatkan harta syurga itu, bukannya senang-senang sahaja akan diberikan kerana ia memerlukan kesabaran dan usaha. Ia juga tidak diberikan kepada semua orang.

لِلَّذِينَ ءآمَنُوا

bagi orang-orang yang beriman

Siapa yang dapat pemberian di syurga yang kekal itu? Adakah semua orang? Tentu tidak. Ia hanya diberikan kepada mereka yang beriman sahaja iaitu yang beriman sempurna – tidak mengamalkan syirik. Akidah mereka mantap, kemas. Tauhid mereka jelas dan tidak goyang.

Untuk mendapatkan akidah yang sebegitu, hendaklah belajar tafsir al-Quran dan memahami apa yang Allah SWT sampaikan dalam al-Quran. Bukannya mengambil dalil dari kata-kata manusia sahaja. Tidaklah cukup faham tauhid dengan hanya belajar Sifat 20 sahaja.

Kelebihan dunia diberikan kepada semua orang sama ada beriman atau tidak, Islam atau tidak kerana ia tidak bernilai. Benda yang tidak bernilai, senang sahaja kita beri kepada orang lain, bukan? Namun, kalau ia berharga sedikit, kita akan pilih orang yang akan diberikan. Begitu jugalah dengan syurga dan segala perhiasannya. Ia amat bernilai.

Oleh kerana itu, tidak semua akan dapat. Ada syarat untuk mendapatkannya. Dan syarat pertama yang disebut dalam ayat ini: beriman sempurna. Tidak buat syirik.

وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya;

Syarat kedua adalah seseorang itu hendaklah bertawakal hanya kepada Allah SWT. Kita serahkan urusan kita selepas kita berusaha kepada Allah SWT. Apa yang Allah SWT berikan keputusan kepada kita, kita terima.

Tetapi kena ingat, kita kena tawakal itu selepas melakukan taat. Kita taat dan tawakal dalam masa yang sama. Sebagai contoh, sewaktu kita solat, tentulah kita tinggalkan hal dunia, bukan?

Maksudnya, dalam melakukan taat, tentu ada perkara keduniaan yang kita abaikan. Apa akan jadi kalau begitu? Adakah kita akan rugi?

Ada yang rasa begitu kerana mereka rasa mereka akan rugi kalau mereka taat dalam agama. Maka Allah SWT hendak ingatkan yang tawakal itu adalah taat dan serahkan apa yang akan jadi dengan dunia kita kerana kalau kita jaga ketaatan kita kepada-Nya, Dia akan akan jaga keperluan dunia kita.

Kita percaya bahawa jikalau kita korbankan dunia ini kerana Allah SWT, kita akan mendapat kelebihan di akhirat. Kadang-kadang kita mendapat peluang untuk mendapatkan kepentingan dan kelebihan dunia, tetapi ia salah di sisi agama.

Apabila seseorang itu ada iman dan ada tawakal, dia akan sanggup untuk melepaskan peluangnya di dunia itu asalkan dia mendapat kebaikan akhirat.

Sebagai contoh, dia ada peluang untuk mencuri, berzina, tetapi dia tidak melakukannya kerana imannya menghalangnya. Dia ada tawakal – dia tahu bahawa dengan menahan dirinya di dunia, dia akan mendapat balasan di akhirat yang lebih baik.

Dia percaya yang kalau dia tahan dari mencuri, dia akan dapat barangan yang lebih baik dan lebih kekal di akhirat kelak; jikalau dia tahan dari berzina, dia tahu yang dia akan mendapat isteri dan bidadari yang cantik-cantik di akhirat kelak.

Semua ini memerlukan kepercayaan (tawakal) yang penuh kepada Allah SWT kerana kalau tidak yakin penuh, tidak sampai kepada tahap melepaskan perkara-perkara yang salah itu.

Setelah mengetahui kelebihan syurga setelah diberitahu dengan berbagai-bagai ayat, kita tentu teringin untuk memasukinya. Semua ada peluang untuk memasukinya, tetapi seperti yang telah kita sebut, ia memerlukan usaha.

Maka ada 10 syarat untuk memasukinya dan dua darinya telah disebut dalam ayat ini:

1. Iman sempurna dan yakin dengan janji Allah SWT.

2. Tawakal selepas melakukan taat.

Tafsir Ayat Ke-37

Selain dari dua syarat di atas, apa lagi syarat untuk mendapat kebaikan di akhirat? Kita bukan hanya beriman sahaja, tetapi hendaklah disertakan dengan perlakuan yang mencerminkan iman kita.

Ini termasuklah juga meninggalkan sesuatu. Ayat ini adalah tentang meninggalkan sesuatu. Kerana ada perkara yang kita kena buat, dan ada perkara yang kita kena tinggalkan.

وَالَّذينَ يَجتَنِبونَ كَبٰئِرَ الإِثمِ وَالفَوٰحِشَ وَإِذا ما غَضِبوا هُم يَغفِرونَ

Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya;

وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبٰئِرَ الْإِثْمِ

Dan juga orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar

Perkataan يَجْتَنِبُونَ dari kata dasar جنب yang bermaksud ‘sisi badan’. إجتنب bermaksud menyelamatkan sisi tubuh. Kita mengelak tubuh kita dari kena sesuatu.

Oleh itu, إجتنب bermaksud meninggalkan sesuatu yang kita ada peluang untuk melakukannya. Maksudnya, kita ada peluang, tetapi kita tidak ambil peluang itu.

Memang senang tidak buat dosa apabila tidak ada peluang. Tetapi apabila ada peluang, itu yang susah. Itu yang menduga iman kita. Memang kita pandang zina itu sebagai dosa besar, tetapi kalau ada wanita cantik yang menyerahkan dirinya depan kita, adakah kita ada kekuatan untuk menolaknya?

Dosa besar dipanggil dosa besar, kerana perbuatan itu adalah sesuatu yang besar dan kesan perbuatan itu juga besar. Sebagai contoh, syirik. Satu lagi adalah zina. Sudahlah dosanya besar, ia juga memberi kesan buruk yang besar.

Bagaimana kita hendak tahu mana satu dosa besar? Dosa besar adalah dosa yang telah dikategorikan sebagai dosa besar oleh syariat iaitu melalui al-Quran dan hadis serta dosa yang telah ditetapkan balasannya.

Sebagai contoh, hukum hudud. Hukum membunuh, mencuri, zina dan sebagainya telah ditetapkan hukumannya dalam al-Quran dan Hadis. Hukuman itu boleh dikenakan semasa di dunia lagi. Hukum mencuri, potong tangan; menuduh orang berzina tanpa bawa bukti, 80 kali sebatan.

Selain dari itu, ada perbuatan yang telah diberikan ancaman seksa di akhirat. Sebagai contoh, orang yang memakan harta anak yatim dikatakan akan memakan api neraka ke dalam perut mereka.

Selain dari itu, dosa besar juga termasuk kalau Allah SWT melaknat perbuatan itu. Sebagai contoh, Allah SWT melaknat mereka yang melaknat ibu bapa mereka.

Selain dari itu, ada perbuatan yang Allah SWT marah. Sebagai contoh, Allah SWT marah kepada isteri yang menolak keinginan suami untuk bersama.

Ataupun, jikalau telah jelas dalam dalil yang sah bahawa sesuatu perbuatan itu adalah haram. Sebagai contoh, Allah SWT telah jelas mengharamkan riba.

Ataupun, apabila diberitahu bahawa jikalau manusia melakukan sesuatu perbuatan itu, imannya ditolak. Sebagai contoh, jika kita menyakiti jiran kita.

Akhir sekali, jikalau manusia berterusan melakukan dosa-dosa kecil, itu juga adalah satu dosa besar.

Ada ulama yang cuba menyenaraikan dosa-dosa besar itu untuk kemudahan kita. Antaranya, ada yang menyenaraikan lebih dari 300 dosa-dosa besar.

Bukanlah dosa besar sahaja yang perlu kita jauhi, tetapi dosa kecil pun kita kena cuba jauhi juga. Namun, Allah SWT beri syarat untuk memasuki syurga dengan menjauhi dosa besar, kerana amat susah untuk menjauhi dosa-dosa kecil.

Jadi, kalau diletakkan sebagai syarat memasuki syurga kena jauhi dosa kecil, tidak adalah orang yang dapat masuk syurga pula nanti. Ini adalah salah satu dari rahmat Allah SWT ke atas kita.

وَالْفَوٰحِشَ

serta perbuatan-perbuatan yang keji;

Ianya adalah perbuatan yang memalukan dan selalunya berasal dari syahwat yang tidak terkawal. Sebagai contoh, zina, homoseksual, mengahwini mereka yang tidak sepatutnya dikahwini.

Termasuk juga apa sahaja yang memalukan seperti pornografi, berbogel di tempat yang tidak sepatutnya, melihat aurat orang yang tidak sepatutnya, melihat dengan nafsu kepada yang tidak sepatutnya, berkata perkara lucah, menulis, melukis perkara lucah. Ini adalah kerana dengan melakukan perkara-perkara itu, boleh menyebabkan syahwat naik. Termasuk dalam perkara ini adalah duduk bersama lelaki dan perempuan yang bukan mahram, memegang tangannya, bersembang dengannya. Mendengar sesuatu yang lucah juga ada termasuk dalam perkara ini.

Dosa-dosa الْفَوَاحِشَ ini adalah dosa yang memalukan diri kita. Kita sendiri malu hendak beritahu kepada orang, atau kita sendiri malu kalau orang lain tahu. Termasuklah kalau orang itu yang rapat dengan kita, contohnya ibu kita, isteri kita, kawan-kawan kita, adik beradik kita.

Kalau difikirkan, zina pun termasuk dalam dosa-dosa besar juga tetapi kenapa disebut berasingan pula? Ini adalah kerana selalunya manusia akan berjaya mengelak dari dosa-dosa besar yang lain seperti membunuh, mencuri dan sebagainya. Dosa besar yang melibatkan syahwat ini, manusia memang susah hendak tinggalkan.

Kalau tidak sampai buat zina pun, mereka ada juga buat benda-benda lain yang kurang sikit, tetapi termasuk juga dalam perkara الْفَوَاحِشَ. Jadi, Allah SWT beri penekanan khusus lagi dalam al-Quran. Maka, kena jauhi diri dari dosa-dosa besar, terutama sekali dosa-dosa keji yang melibatkan syahwat.

Jika kita rasa amalan kita sedikit sedangkan dosa kita melambung, setiap hari dosa bertambah sedangkan amalan yang dibuat tidak tau apakah di terima atau tidak. Apakah dengan pengakhiran yg baik cukup untuk menebus dosa-dosa kita umpamanya menyebut syahadah terus dimasukkan ke syurga? Maka, kena baiki amalan dan tingkatkan usaha. Teruskan belajar dan jaga akhlak, jadi orang yang berilmu dan baik akhlaknya.

وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

dan apabila mereka marah, mereka memaafkan;

Ini adalah syarat seterusnya untuk masuk syurga. Ini adalah kerana marah boleh membawa kepada banyak kesalahan. Mula-mula marah, tetapi kemudian boleh pukul orang itu, malah sampai boleh bunuh dia pula.

Orang yang mukmin, apabila mereka marah, mereka akan memaafkan orang yang menyebabkan mereka marah. Kerana marah jenis غَضِبُ, ia adalah jenis marah yang boleh menyebabkan orang yang marah itu balas dendam kepada orang yang menyebabkan dia marah. Atau menyebabkan dia menyakiti orang itu.

Itu adalah salah kerana kita tidak boleh menyakiti sesiapa. Tambahan lagi kalau orang yang menyebabkan kita marah itu adalah orang yang lebih tua dari kita, yang sepatutnya kita hormati. Takkan kita nak pukul orang tua pula?

Ataupun kadang-kadang anak-anak kita akan melakukan sesuatu yang menyebabkan kita marah sangat sampaikan kita rasa nak pukul dia, nak rotan dia, nak maki dia. Perbuatan kita itu akan memberi kesan kepada mental, emosi dan psikologi dia. Ditakuti ia akan menyebabkan pembesarannya boleh terganggu, dia menjadi orang yang penakut, tidak mesra dengan kita dan sebagainya.

Ada keadaan yang kita rasa kita boleh ambil tindakan, kerana kita kuat, kita berkuasa dan sebagainya. Namun, apabila kita menahan kemarahan itu sampaikan tidak mengambil tindakan, itu adalah salah satu asbab untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Ketahuilah bahawa perasaan marah itu adalah dari syaitan kerana syaitan itu dijadikan dari api. Memang kita sebagai manusia, sekali sekala akan jadi marah. Sebab itu ayat ini tidak melarang kita dari jadi marah kerana perasaan itu memang susah ditolak.

Tetapi lihatlah yang disuruh dalam ayat ini adalah يَغْفِرُونَ – memaafkan, biarkan ia berlalu, jangan ambil tindakan kerana perasaan marah itu.

Jangan layan perasaan itu. Jangan sampai ia menyebabkan kita ambil tindakan yang tidak sepatutnya. Ini memang memerlukan kesabaran yang tinggi tetapi balasannya adalah besar sekali iaitu syurga.

Jangan kita rasa yang apabila kita menunjukkan kemarahan kita, ia menunjukkan kekuatan kita. Ramai yang marah kerana hendak menunjukkan kuatnya dia, egonya dia, dia boleh buat apa-apa dia hendak.

Nabi Muhammad telah memberitahu kita bahawa kekuatan adalah dalam menahan kemarahan kita. Orang yang boleh tahan marah itulah orang yang kuat sebenarnya.

Berikut beberapa hadis tentang keutamaan menahan marah:

Rasulullah SAW bersabda : “Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam gulat (ghuluw – berlebihan) tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Dari Ibnu Mas’ud ra Rasulullah SAW bersabda : “Siapa yang dikatakan paling kuat di antara kalian? Sahabat menjawab : iaitu antara kami yang paling kuat gulatnya. Beliau bersabda : “Bukan begitu, tetapi dia adalah yang paling kuat mengendalikan nafsunya ketika marah.” (HR. Muslim).

Al-Imam Ahmad meriwayatkan hadis dari Anas Al-Juba’i , bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang mampu menahan marahnya padahal dia mampu menyalurkannya, maka Allah SWT menyerunya pada hari kiamat dari atas khalayak makhluk disuruh memilih bidadari mana yang mereka mahu.” (HR. Ahmad dengan sanad hasan)

Al-Imam Ahmad juga meriwayatkan hadis dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Tidaklah hamba meneguk tegukan yang lebih utama di sisi Allah SWT, dari meneguk kemarahan kerana mengharap wajah Allah SWT.” (Hadis shahih riwayat Ahmad)

Al-Imam Abu Dawud rahimahullah mengeluarkan hadis secara makna dari sahabat Nabi, bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Tidaklah seorang hamba menahan kemarahan kerana Allah SWT kecuali Allah SWT akan memenuhi baginya keamanan dan keimanan.” (HR. Abu Dawud dengan sanad Hasan).

“Dari Abu Hurairah ra, bahawa seseorang berkata kepada Nabi SAW : berwasiatlah kepada ku. Beliau bersabda : “jangan menjadi seorang pemarah”. Kemudian diulang-ulang beberapa kali. Dan beliau bersabda : “janganlah menjadi orang pemarah” (HR. Bukhari) .

Nabi Muhammad SAW sendiri pun ada marah juga kerana Nabi juga manusia. Tetapi hanya apabila agama dilanggar. Kalau ada yang bersalah kepada dirinya, baginda tidak marah. Itulah cara marah yang betul kerana kalau tiada marah langsung, itu bukan manusia, tetapi itu keldai.

Oleh itu, dalam ayat ini, sudah ada 3 lagi syarat untuk memasuki syurga. Ringkasnya:

3.  Sentiasa berusaha menjauhi dosa besar.

4.  Menjauhi terutamanya dosa-dosa besar yang melibatkan hawa nafsu.

5. Bila terbit kemarahan kepada orang lain, mereka mudah maafkan.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan