Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-29 dan Ke-30

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-29 dan Ke-30

245
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-29

Dalil Aqli sebagai alamat kepada Qudrat Allah SWT. Kenapa kita kena sembah Allah SWT sahaja.

وَمِن ءآيٰتِهِ خَلقُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ وَما بَثَّ فيهِما مِن دابَّةٍ ۚ وَهُوَ عَلىٰ جَمعِهِم إِذا يَشاءُ قَديرٌ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).

وَمِنْ ءآيٰتِهِ

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya

Allah SWT menyebut-nyebut tanda-tanda kekuasaan-Nya untuk mengingatkan kita yang Dia lah Tuhan kita dan kita kena sembah dan seru hanya kepada Dia.

خَلْقُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ

ialah penciptaan langit dan bumi

Allah SWT selalu menyebut langit dan bumi kerana itulah dua makhluk besar yang kita selalu boleh lihat. Tidak mustahil ada lagi makhluk-makhluk Allah SWT yang lain yang kita tidak dapat lihat. Sebagai contoh, Arasy adalah lebih besar lagi dari langit dan bumi, tetapi kita tidak nampak.

Allah SWT hendak memberitahu, begitu besar langit dan bumi itu, Dia sahaja yang mencipta keduanya, tidak berkongsi dengan sesiapa pun dalam penciptaannya.

وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَابَّةٍ

serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk-makhluk yang melata;

Lihatlah berapa banyak makhluk Allah SWT yang melata di bumi dan terbang di langit. Sama ada manusia atau kehidupan yang lain. Apabila kita lihat segala makhluk itu, kita ingat dalam hati kita yang Allah SWT lah yang menjadikan semua makhluk itu.

Semua yang ada atas bumi ini, binatang dan manusia dan apa sahaja, tidak terjadi sendiri. Tidaklah kita dan mereka membiak sendiri, melainkan Allah SWT juga yang membiakkan kita. Kena ingat perkara ini.

وَهُوَ عَلَىٰ جَمْعِهِمْ إِذَا يَشَاءُ قَدِيرٌ

dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki

Walaupun makhluk itu merata-rata, ada di langit dan ada di bumi, tetapi Allah SWT mampu untuk mengumpulkan semua makhluk-Nya itu apabila tiba masanya.

Kita hendak kumpulkan anak beranak kita yang duduk di negeri lain pun susah, tetapi Allah SWT mampu nak mengumpulkan makhluk-Nya walau di mana mereka berada.

Semua makhluk nanti mati berlainan tempat dan berlainan masa, tetapi Allah SWT boleh kumpul semuanya sekali di Mahsyar.

Bila Allah SWT yang jadikan dan menghidupkan makhluk, tentu Dia juga boleh matikan. Jadi kenapa musyrikin Mekah tidak boleh terima yang makhluk akan dihidupkan sedangkan mereka pun terima yang Allah SWT sahaja yang boleh menjadikan?

Mereka sepatutnya kena terima kerana itu semua dari Qudrat yang sama juga. Bila terima tentang Qudrat, maka syariat pun kena terima lah juga.

Tafsir Ayat Ke-30

Takhwif duniawi. Ayat ini adalah tentang bala yang menimpa manusia.

Allah SWT menceritakan kenapa manusia ditimpa bala itu. Ia adalah kerana kesalahan yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri.

وَما أَصٰبَكُم مِّن مُّصيبَةٍ فَبِما كَسَبَت أَيديكُم وَيَعفو عَن كَثيرٍ

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah SWT memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Sila beri perhatian. Ayat ini menjelaskan banyak perkara yang terjadi dalam kehidupan kita.

وَمَا أَصٰبَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana),

Macam-macam kesusahan dan musibah yang kita alami dalam kehidupan dunia ini. Itulah namanya kehidupan, tidak sunyi dari masalah, tidak sunyi dari musibah.

Sama ada berbentuk kesihatan, kewangan, pekerjaan, perhubungan antara manusia, malah apa-apa sahaja.

Ada musibah yang besar dan ada musibah yang kecil. Apa yang Allah SWT kata tentang musibah itu?

فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ

maka ia adalah disebabkan apa yang tangan kamu lakukan

Musibah-musibah itu ditimpakan kepada kita kerana perbuatan tangan kita sendiri.

Manusia mendapat musibah kerana amalan dosa yang dilakukan. Bukan dosa tangan sahaja tetapi dosa yang dilakukan oleh semua anggota walaupun disebut hanya tangan sahaja.

Ia terjadi kerana kesalahan kita iaitu perbuatan dosa yang banyak kita lakukan. Perbuatan yang baik akan membawa kebaikan, dan perbuatan buruk akan membawa kepada keburukan.

Allah SWT hendak memberitahu kita, apabila derhaka, di dunia lagi Allah SWT boleh beri azab sedikit demi sedikit.

Kalau orang kafir, apa sahaja musibah yang menimpa mereka itu sudah dikira azab iaitu azab yang kecil sebelum kena azab lebih teruk di neraka.

Maka kalau hendak selamatkan diri dari musibah, perbaiki amalan dari jahat kepada baik.

Jangan jadi zalim, contohnya, taat kepada Allah SWT dan serahkan diri kepada Allah SWT.

Kepada orang mukmin yang ada buat dosa, ia adalah peringatan atau sebagai asbab gugur dosa. Diberi musibah supaya orang itu insaf.

Allah SWT beri musibah-musibah itu untuk memberi peringatan kepada kita supaya selalunya apabila kita jatuh terduduk kerana masalah, baru kita teringat dengan Allah SWT. Baru teringat dosa-dosa yang kita telah lakukan.

Baru hendak istighfar, baru hendak buat amal kebaikan. Masa kita kaya, masa kita ada kuasa dulu, kita menikmati kehidupan ini tanpa mengingati Allah SWT.

Sembahyang pun pakai mana yang mampu sahaja, kelas agama tidak sempat hendak pergi sebab sibuk hendak membelanjakan harta, pergi ke sana dan ke sini.

Tetapi bagaimana dengan orang mukmin yang tidak buat dosa seperti para Nabi? Kenapa mereka kena musibah juga?

Kepada mereka, dengan musibah yang mereka dapat itu, mereka akan naik darjat. Dan mereka akan diberikan pahala tambahan kerana sabar kerana kalau mereka tidak diuji, bagaimana orang mukmin hendak dapat pahala sabar? Dan pahala sabar ini tidak ada had.

Ubat kepada musibah adalah sabar dan istighfar sebab musibah terjadi kerana dosa. Maka minta lah keampunan dari-Nya. Ia juga sebagai kafarah dan sebagai peringatan kepada kita. Bagus kerana Allah SWT beri peringatan masa di dunia lagi bukan?

وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ

dan (dalam pada itu) Allah SWT memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

Allah SWT dengan Sifat Rahmat-Nya, tidak hukum kita terus dengan segala dosa-dosa yang kita lakukan.

Kalau hendak dikirakan, banyak sekali dosa-dosa yang kita lakukan. Tetapi, musibah yang dikenakan kepada kita itu bukanlah atas semua dosa-dosa itu.

Dosa-dosa yang kecil yang manusia lakukan, banyak yang Allah SWT sudah ampunkan.

Dosa itu diampunkan apabila kita solat, wuduk, buat kebaikan dan lain-lain ibadat. Kerana kalau Allah SWT hendak balas dengan semua dosa yang kita lakukan, tentu kita tidak mampu menanggungnya.

Bukan semua amalan jahat kita dibalas di dunia. Allah SWT maafkan begitu sahaja. Ini kerana Allah SWT beri peluang untuk bertaubat tetapi kalau tidak dikenakan azab di dunia, di akhirat akan kena juga. Maka, jangan sangka akan terlepas begitu sahaja.

Tetapi ada jenis dosa yang tidak diampunkan kerana pembuatnya kena minta ampun secara spesifik kepada Allah SWT. Itulah dosa-dosa besar dan dosa-dosa syirik.

Termasuk dalam perbuatan syirik adalah amalan-amalan dan fahaman bidaah. Ini adalah kerana amalan bidaah adalah amalan menambah dalam agama, ia adalah syirik juga. Ini kita telah belajar dalam tafsir ayat ke-21 surah ini.

Tetapi, kerana tidak belajar tafsir Al-Quran, tidak belajar sunnah, manusia tidak tahu manakah amalan bidaah dan syirik yang mereka lakukan.

Oleh kerana mereka tidak tahu, maka mereka tidaklah meminta ampun atas dosa-dosa itu. Jika mereka tahu, tentulah mereka akan meminta ampun.

Oleh kerana ada dosa yang mereka lakukan, dan mereka tidak mohon keampunan lagi, maka Allah SWT telah menjatuhkan musibah ke atas mereka.

Musibah itu dikenakan untuk mengingatkan manusia apakah kesalahan yang mereka telah lakukan. Apa yang patut kita lakukan adalah memohon ampun kepada Allah SWT atas dosa-dosa kita itu. Bukannya dengan buat Solat Tolak Bala, Doa Tolak Bala, Solat Hajat dan amalan-amalan bidaah yang lain.

Oleh kerana dosa-dosa yang tidak diminta ampun itulah yang menyebabkan kita dikenakan dengan musibah itu.

Maka, kita kenalah sentiasa istighfar dan minta ampun kepada Allah SWT supaya Allah SWT terus ampunkan sahaja dosa kita dan tidak diganti dengan balasan musibah.

Manusia pertama yang melakukan kesilapan dan dikenakan musibah adalah Nabi Adam a.s.

Baginda telah dihukum dengan diturunkan ke dunia dari syurga tempat tinggal asalnya. Itu adalah musibah yang amat besar.

Bayangkan, setelah duduk di syurga dengan segala kenikmatannya, terpaksa tinggal di dunia yang serba tidak cukup, serba kurang dan serba payah. Maka, apakah yang baginda telah lakukan? Baginda telah memohon keampunan dari Allah SWT.

Walaupun baginda seorang yang amat bijak, tetapi doa-doa taubat baginda tidak diterima oleh Allah SWT sehinggalah Allah SWT sendiri ajar baginda bagaimana memohon ampun.

Doa yang diajar oleh Allah SWT dan diamalkan oleh Nabi Adam ada tertulis dalam surah [ A’raf: 23 ]

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Nabi Adam dan Hawa mengaku kesalahan yang mereka lakukan dan memohon keampunan dari Allah SWT. Selepas mengamalkan doa ini, barulah Allah SWT ampunkan baginda dan Hawa.

Maka, tidaklah benar yang Nabi Adam bertawasul dengan nama Nabi Muhammad SAW yang belum lahir, seperti yang diajar oleh puak-puak bidaah dan puak-puak tarekat sedangkan telah jelas dalam ayat ini bagaimana cara Nabi Adam memohon ampun dari Allah SWT.

Maka, kalau kita ditimpa musibah, ada kemungkinan ia adalah dari kesalahan yang kita lakukan, maka moleklah kalau kita amalkan doa ini juga.

Kalau kita tidak rasa kita ada buat dosa pun, sepatutnya kita kena selalu istighfar kepada Allah SWT kerana kita tidak tahu apakah dosa yang kita telah lakukan.

Tentunya ada sahaja dosa yang kita lakukan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan