Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Kawthar – Tafsir Ayat Pertama

Tafsir Surah Al-Kawthar – Tafsir Ayat Pertama

2325
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Kawthar

Maksud: Nikmat yang banyak / berkelimpahan

Surah ke: 108 (akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 15)

Bilangan ayat: 3

Kategori: Makkiyyah

Kaitan surah ini dengan surah sebelumnya:

Dalam Surah Al Ma’un, Allah SWT telah memberitahu 4 sifat buruk orang kafir (musyrikin atau munafik). Manakala kaitannya dengan Surah Al-Kawthar ini:

1 – Bukhl – bakhil/kedekut dan menolak anak yatim jauh dari mereka dan tidak menggalakkan orang lain memberi makan kepada mereka yang susah.

Di dalam Surah Al-Kawthar ini pula disebut tentang banyak nikmat yang diberikan, maka berikanlah juga kepada orang lain (berlawanan dengan bukhl).

2 – Lalai tentang solat kerana mereka tidak mementingkan solat dan juga tidak kisah tentang solat.

Di dalam Surah Al-Kawthar ini akan disebut tentang arahan solat dari Allah SWT. Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW dan orang Islam untuk menjaga solat.

3 – Menunjuk-nunjuk di dalam solat. Mereka tidak ikhlas di dalam solat mereka, di mana kalau mereka solat, ia adalah kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada orang lain (riyak), mungkin juga orang nampak mereka seperti seorang yang warak.

Dalam Surah Al-Kawthar ditekankan : فَصَلِّ لِرَبِّكَ (Solat kerana Allah SWT). Apabila kita solat kerana Allah SWT, maka kita solat dalam ikhlas dan bukannya menunjuk kepada orang lain.

4 – Mereka tidak mahu membantu orang lain, walaupun dengan bantuan yang kecil. Begitu teruk sekali mereka itu.

Dalam Surah Al-Kawthar ini disebut tentang : نحَر (korban)

Iaitu sembelihan korban. Untuk memberi daging sembelihan kepada orang lain, memerlukan kita untuk menjauhi sifat bakhil, tamak dan kedekut dan mengajar kita untuk memberi walaupun dalam kadar yang sedikit.

Dalam surah ini, Allah SWT menyebutkan spesifik iaitu “korban”. Namun sebenarnya maksud Allah SWT boleh dilihat juga lebih luas.

Contoh : Allah SWT kerap sebut kaitan solat dan zakat beriringan.

Ia tidak bermaksud, hanya DUA ibadah itu sahaja yang penting. Namun “kebijaksanaan” Allah SWT memilih dua ibadah itu untuk menggabungkan :

– Solat : Hubungan manusia dengan Allah SWT

– Zakat : Hubungan manusia dengan manusia

Pengenalan:

Musyrikin Makkah berdoa supaya Nabi Muhammad SAW tidak mendapat anak lelaki kerana bencinya mereka kepada baginda. Mereka juga takut jika baginda mempunyai keturunan.

Oleh itu mereka tidak mahu baginda ada zuriat, kerana pada mereka, baginda seorang yang susah untuk dilayan. Disebabkan rencana mereka itu, Allah SWT menurunkan surah ini untuk memberitahu bahawa mereka (musyrikin) itulah yang terputus baka sebenarnya.

Oleh kerana itu kebanyakan mereka (musyrikin) tidak ada keturunan. Bahkan jika ada sekalipun, keturunan mereka sendiri tidak mahu mengaku.

Surah Al-Kawthar ini diturunkan di Mekah dan ia adalah surah yang menceritakan tentang nikmat besar yang Allah SWT berikan kepada baginda Rasulullah SAW.

Dan betapa sayangnya Allah SWT kepada baginda SAW. Disebut tentang pemberian kepada baginda SAW dalam hal dunia dan di akhirat kelak.

Tafsir Ayat Pertama:

إِنّا أَعطَيناكَ الكَوثَرَ

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepada mu nikmat yang banyak.

Apakah dia الكَوثَرَ itu?

Dari segi bahasa : ia bermaksud ‘kebaikan yang terlalu banyak’.

Satu lagi pendapat mengatakan ia adalah satu telaga di Syurga, dan juga satu tasik di Mahsyar di mana Nabi Muhammad SAW akan memberi minum kepada umat baginda yang mengamalkan sunnahnya, sebelum mereka masuk ke dalam syurga.

Belajar untuk menjadi orang yang bersyukur. Itulah yang menjadikan seseorang itu pandai menilai nikmat Allah SWT.

Ibrah dan Kesimpulan

Pertama :

Sifat seorang hamba yang mendapat tarbiah dari Allah SWT ialah sentiasa “berkelimpahan” (abundance). Namun dalam keadaan yang teratur dan mengikut panduan dari Allah SWT.

Kedua :

Surah ini mengajar untuk kita merenung nikmat yang pelbagai, seterusnya melahirkan rasa syukur dengan tindakan ibadah kepada Allah SWT.

Ketiga :

Orang Islam jangan takut belanja ke arah membuat kebaikan kerana ganjaran dari Allah SWT adalah pasti.

Kita telah membincangkan:

1. Muqaddimah ayat pertama

2. Kaitan surah Al-Kawthar dan ayat sebelumnya.

Apakah dia الكَوثَرَ itu?

Ada pendapat mufassir mengatakan

1. Ia adalah satu telaga di Syurga,

2. Dan juga satu tasik di Mahsyar

Di mana Nabi Muhammad SAW akan memberi minum kepada umat baginda yang mengamalkan sunnahnya, sebelum mereka masuk ke dalam syurga.

Kenapa seperti ada dua telaga pula (di syurga dan di Mahsyar)?

Pendapat mengatakan air di Mahsyar itu datang dari telaga yang terdapat di syurga. Jadi ia mengalir dari sumber yang satu dinamakan Al-Kawthar di mana airnya tidak melimpah, tetapi menjadi tidak putus dan berterusan. Allahu a’lam.

Pendapat ini didapati dari golongan salaf yang sampai kepada kita dalam bentuk hadis dan atsar.

Yang disebut, الكَوثَرَ kepada Rasulullah SAW pula, bermaksud ‘kebaikan yang teramat banyak’.

Contoh : ini boleh dilihat dari surah-surah sebelum ini yang telah dipelajari.

Seperti:

1. Allah SWT tidak meninggalkan Rasulullah SAW dan tidak marah kepada baginda.

Ini seperti yang disebut dalam Surah Adh-Dhuha (93): 3

ما وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَما قَلىٰ

Tuhan mu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepada mu.

1. Allah SWT melapangkan dada Rasulullah SAW dalam menghadapi masalah dalam dakwah baginda.

Ini disebut dalam Surah Al-Inshirah (94) : 1

أَلَم نَشرَح لَكَ صَدرَكَ

Bukankah Kami telah melapangkan untuk mu dada mu?

1. Allah mengaitkan nama-Nya dengan nama Rasulullah SAW.

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: “أَتَانِي جِبْرِيلُ فَقَالَ: إِنَّ رَبِّي وَرَبَّكَ يَقُولُ: كَيْفَ رَفَعْتُ ذِكْرَكَ؟ قَالَ: اللَّهُ أَعْلَمُ. قَالَ: إِذَا ذُكِرتُ ذُكِرتَ مَعِي”

Rasulullah SAW pernah bersabda : Jibril datang kepada ku dan berkata, ” Sesungguhnya Tuhan ku dan Tuhan mu pernah berfirman : Tahu kah kamu bagaimana Aku meninggikan sebutan nama mu? Rasul SAW menjawab : Allah SWT lebih mengetahui. Allah SWT berfirman : Apabila nama-Ku disebut, maka disebut pula nama mu bersama-Ku’.”

Antara contoh lain nikmat Allah SWT kepada Baginda seperti yang tercatat dalam Al-Quran:

1. Baginda Rasulullah SAW dapat menghadap Allah SWT di Sidratul Muntaha di mana Jibril pun tidak boleh bersama.

2. Ucapan Syahadah

3. Laungan dalam azan

4. Tasyahud tahiyat

5. Seruan khatib dalam khutbah

6. Beristeri lebih dari 4 – nikmat yang diperolehi oleh Nabi bukan pada nafsu, tetapi berpeluang mengembangkan syariat Islam dalam bentuk hikmah. Ramai yang salah faham, seolah-olah Nabi SAW bersuka-ria dalam perkahwinan semata.

Serta banyak lagi nikmat Allah SWT berikan kepada Baginda SAW. Apatah lagi kalau dihitung dari mula surah Al-Fatihah sehingga ke penghujung Al-Quran.

Sekarang kita juga dapat melihat kecantikan Al-Quran, menyusun “Al-Kawthar” di penghujung Al-Quran.

Kalimah

أَعطَيناكَ

Kami telah memberikan kamu

Ada beberapa kalimah lain yang boleh digunakan untuk bermaksud ‘memberi’ seperti,

اتي

(Beri) seperti yang digunakan dalam surah [ Ali-Imran: 26 ]

قُلِ اللَّهُمَّ مالِكَ المُلكِ تُؤتِي المُلكَ مَن تَشاءُ

Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki

Kalimah ini digunakan dalam ayat Ali-Imran, tetapi kalimah اتي bererti bukan lagi pemberian yang ‘sempurna’.

Bermaksud : Allah SWT boleh beri, tetapi Allah SWT juga boleh tarik balik.

Sebagai contoh (dalam ayat Ali-Imran di atas), Allah SWT menyebut bagaimana DIA boleh beri kerajaan kepada sesiapa dan boleh menarik semula kerajaan itu dari mereka.

Berbanding Al-Kawthar :

Ia adalah nikmat yang tidak terhingga, diberikan terus menerus tanpa akan diambil semula oleh Allah SWT.

Sudah tentu ia nikmat yang tidak terhingga, melebihi perkara yang ada di atas dunia (kerana pemberian nikmat dunia tidak kekal, pasti akan diambil semula oleh Allah SWT).

Adakah ini membawa maksud, nikmat ini lebih kepada nikmat di Syurga?

Benar, surah ini secara dalam maksudnya, Allah SWT lebih ingin mengkhabarkan nikmat-nikmat yang banyak di Syurga.

Namun ada dua pandangan :

1. Nikmat yang tidak putus-putus iaitu sungai / telaga yang terus mengalir.

2. Nikmat syurga keseluruhannya.

Ibrah dan kesimpulan :

Pertama

Boleh kita fahami, erti Al-Kawthar yang lebih dalam ialah nikmat yang tidak terhingga banyak dan tidak putus ialah janji syurga Allah SWT dan seisinya.

Kedua

Surah Al-Kawthar mengingatkan kita agar menjadi orang yang bijaksana, mengutamakan ganjaran akhirat dari sekadar merebut nikmat dunia yang sementara.

Ketiga

Sangat bertuah bagi mereka yang mendapat nikmat dari syurga. Semoga kita tergolong di dalam golongan yang berjaya mendapat nikmat Allah SWT ini. Terasa perlu lebih semangat dan berusaha keras untuk syurga.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan