Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-24 hingga Ke-26

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-24 hingga Ke-26

213
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-24

Ayat Syikayah. Ini adalah tuduhan Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad SAW. Dan tuduhan yang sama juga diberikan kepada penyebar tauhid sekarang. Allah SWT beri jawapan dalam ayat ini.

أَم يَقولونَ افتَرىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا ۖ فَإِن يَشَإِ اللهُ يَختِم عَلىٰ قَلبِكَ ۗ وَيَمحُ اللهُ البٰطِلَ وَيُحِقُّ الحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ ۚ إِنَّهُ عَليمٌ بِذاتِ الصُّدورِ

(Orang-orang kafir tidak mengakui kerasulan Nabi Muhammad) bahkan mereka mengatakan: “Ia telah mereka-reka perkara dusta terhadap Allah SWT” (Sebenarnya tidak patut mereka berkata demikian) kerana Allah SWT berkuasa – jika Ia menghendaki – menutup hatimu (dan ingatanmu daripada menyatakan apa yang engkau telah nyatakan itu, tetapi Allah SWT tidak menghendaki yang demikian, bahkan Ia memberi kuasa menyampaikan perintah-Nya, maka semua kenyataan yang engkau sampaikan adalah benar belaka). Dan sememangnya Allah SWT tetap menghapuskan perkara yang salah serta Ia menetapkan yang benar dengan kalimah-kalimah wahyu-Nya dan keputusan-Nya. Sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

 أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَىٰ عَلَى اللهِ كَذِبًا

Adakah mereka mengatakan: “Dia telah mereka-reka dusta terhadap Allah SWT”

Musyrikin Mekah memegang agama ajaran dari tok nenek mereka. Pada mereka, itulah ajaran yang benar. Dan mereka sangka ia adalah ajaran peninggalan dari Nabi Ibrahim.

Apabila Nabi datang dan mengatakan bahawa pegangan mereka itu salah, maka mereka mengatakan Nabi mereka-reka agama yang baru. Mereka juga menuduh yang Nabi Muhammad SAW reka sendiri Al-Quran itu. Mereka pula yang kata Nabi Muhammad SAW sesat sedangkan mereka yang sesat.

Mereka menuduh tanpa mendengar dulu pun apa yang hendak disampaikan oleh baginda. Mereka buat tuduhan melulu. Begitulah juga dengan kebanyakan dari kalangan masyarakat kita. Sebelum dengar dakwah dari kita, mereka terus label kita sebagai ‘wahabi’.

Musyrikin Mekah sebenarnya kenal Allah SWT dan menerima Allah SWT sebagai Tuhan. Tetapi apabila Nabi datang dan membawakan ajaran tauhid la ilaaha illAllah, (tidak ada ilah yang lain selain Allah SWT), maka mereka melenting marah.

Kerana mereka menyembah sembahan yang lain sebagai perantara (tawassul) kepada Allah SWT. Mereka bukan sahaja sembah Allah SWT, tetapi mereka juga mahu sembah tuhan-tuhan yang lain yang mereka terima anggap sebagai ‘tuhan-tuhan mini’ kepada Allah SWT.

Begitulah juga dengan sesetengah dari masyarakat Islam kita. Mereka itu terima bahawa Allah SWT itu adalah Tuhan yang mencipta alam ini, tetapi mereka menggunakan Nabi, wali dan malaikat sebagai perantara antara mereka dan Allah SWT dalam berdoa dan dalam ibadat.

Maka apabila kita katakan bahawa itu adalah cara berdoa yang salah, melentinglah mereka. Dan mereka kata kita bawa ajaran yang baru. Kerana mereka telah lama menerima ajaran bertawassul itu dari guru-guru dan tok nenek kita yang lama dulu sampaikan mereka sangka itulah agama.

فَإِن يَشَإِ اللهُ يَخْتِمْ عَلَىٰ قَلْبِكَ

jika Allah SWT menghendaki, Dia boleh menutup hati mu

Jika Nabi Muhammad SAW itu benar-benar berdusta atas nama Allah SWT, bawa ajaran baru, bawa ajaran yang tidak benar, Allah SWT akan tutup hati baginda. Allah SWT boleh kunci mati hati Nabi SAW iaitu baginda tidak akan ingat lagi apa yang telah baginda sampaikan dari Al-Quran itu. Tetapi lihatlah bagaimana walaupun Al-Quran itu telah diturunkan dalam masa selama 23 tahun, baginda tidak lupa langsung apa yang baginda telah sampaikan pada awal Islam.

Dan baginda tidak lupa pun apa yang telah baginda katakan pada awal Islam sampailah ke hujung hayat baginda.

Bandingkan dengan penulis buku zaman sekarang. Hanya selepas beberapa tahun sahaja, mereka akan keluarkan edisi baru untuk memperbetulkan edisi asal tulisan mereka, kerana mereka jumpa maklumat baru, atau mereka nampak ada kesalahan dalam tulisan mereka yang dahulu.

Namun, itu tidak berlaku kepada Nabi, kerana baginda bukanlah penulis kepada Al-Quran. Itu adalah tanda bahawa Nabi menyampaikan ajaran yang benar.

Kalau Nabi pun akan dikunci mati hatinya jika baginda mereka-reka agama, bagaimana pula kalau kita sendiri yang memandai mereka-reka agama, atau tambah amalan agama?

Ayat ini juga boleh bermaksud, kalau seseorang yang bukan Nabi tetapi mengaku sebagai Nabi, orang itu akan dimatikan terus. Allah SWT tidak beri peluang ada seseorang yang mengaku Nabi dan orang ikut Nabi palsu itu kerana Allah SWT tidak mahu ada kekeliruan dalam kalangan manusia.

Tetapi ini adalah sebelum Nabi Muhammad SAW dibangkitkan. Maksudnya kalau selepas Nabi Isa a.s diangkat dan sebelum Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Nabi, kalaulah ada yang mengaku sebagai Nabi, orang itu akan dimatikan terus. Kalau ada yang mengaku sebagai Nabi palsu selepas Nabi Muhammad SAW tidaklah orang itu terus dimatikan.

Oleh itu, jika Nabi Muhammad SAW telah mengaku sebagai Nabi, dan baginda hidup sahaja lagi, itu adalah dalil yang baginda adalah Nabi yang sebenar.

وَيَمْحُ اللهُ الْبٰطِلَ

Dan Allah SWT menghapuskan perkara yang salah

Ini adalah kaedah Allah SWT untuk memastikan agama yang benar sahaja yang kekal. Dia akan menghapuskan ajaran yang salah. Kalaulah benar apa yang Nabi SAW sampaikan itu adalah dari kata-kata baginda sendiri, telah lama Allah SWT akan menghapuskannya.

Tetapi lihatlah bagaimana selepas 1,400 tahun, ayat-ayat Al-Quran itu masih sama sahaja sampai ke hari ini.

Allah SWT juga menghapuskan ajaran yang salah dengan membangkitkan Nabi Muhammad SAW untuk membawa ajaran yang benar. Dan pada zaman sekarang, agama yang benar akan tetap dibawa oleh guru yang akan mengajar kepada manusia ajaran yang benar supaya manusia ada yang berada atas landasan yang benar.

Itulah mereka yang belajar tafsir Al-Quran dan hadis yang sahih, dan mengajar ajaran yang benar itu kepada manusia supaya dapat menghapuskan ajaran yang salah.

وَيُحِقُّ الْحَقَّ بِكَلِمٰتِهِ

Dan Dia menetapkan yang benar dengan kalimah–kalimah wahyu-Nya.

Allah SWT menyampaikan kebenaran kepada kita melalui ayat-ayat Al-Quran. Hujah-hujah yang disampaikan adalah dengan dalil-dalil yang jelas dan mantap. Namun, ia hanya jelas kepada mereka yang belajar dan membuka hati mereka kepada kebenaran.

Ayat ini juga bermaksud Allah SWT akan jaga mereka yang menyatakan kebenaran.

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.

Allah SWT tahu apa yang ada dalam hati Musyrikin Mekah itu. Mereka tuduh Nabi mereka-reka Al-Quran. Tetapi Allah SWT tahu bahawa mereka sebenarnya percaya yang Al-Quran itu bukanlah buatan manusia. Cuma mereka sombong untuk menerimanya.

Allah SWT juga Maha Tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam amalan ibadat kita. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Malaikat pencatit amal kita pun tidak tahu.

Malangnya, ada kalangan masyarakat kita yang kata tok guru tahu niat dalam hati kita pula. Itu adalah fahaman yang syirik. Kerana hanya Allah SWT sahaja yang tahu dalam hati kita dan kalau kita kata ada makhluk yang tahu juga, maka itu menyamakan sifat makhluk dengan Allah SWT. Itu adalah fahaman syirik.

Allah SWT juga Maha Tahu sama ada kita ada syak atau tidak dengan ayat-ayat Al-Quran itu. Ada Muslim yang membaca ayat-ayat Al-Quran tetapi mereka masih ragu dengan apa yang disampaikan dalam ayat-ayat itu.

Itu adalah kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Quran. Dan walaupun mereka belajar tafsir, ada yang tidak belajar dengan ikhlas untuk mencari kebenaran.

Oleh itu, apabila mereka berjumpa dengan ayat-ayat yang tidak kena dengan amalan dan fahaman mereka, mereka tolak ayat-ayat itu.

Tafsir Ayat Ke-25

Kenapa kena seru Allah sahaja?

وَهُوَ الَّذي يَقبَلُ التَّوبَةَ عَن عِبادِهِ وَيَعفو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعلَمُ ما تَفعَلونَ

Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Dan Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya

Sebelum ini Allah telah mengajar tentang syirik dalam berdoa.

Maka adalah orang yang setelah belajar tauhid, setelah belajar tafsir Al-Quran, barulah tahu yang mereka selama ini telah melakukan amalan dan fahaman yang syirik.

Maka tentunya mereka hendak bertaubat dan meninggalkan amalan dan fahaman salah mereka itu. Maka, Allah SWT beritahu dalam ayat ini, Allah SWT menerima taubat mereka.

Allah SWT sahaja yang mampu menerima taubat dari hamba-Nya. Tidak ada sesiapa lagi yang mampu menerima taubat dari makhluk.

Oleh kerana itu, kita kena taubat terus kepada Allah SWT.

Ini berlawanan dengan ajaran yang sesat seperti Nasara yang mengajar penganutnya untuk memberitahu dosa-dosa kepada paderi mereka dan paderi itu pula yang ampunkan dosa mereka.

Itu adalah ajaran salah. Sepatutnya kita sendiri yang kena minta ampun kepada Allah SWT.

‘Taubat’ bermaksud ‘kembali kepada Allah SWT’. Allah SWT suka untuk menerima taubat hamba-Nya walau banyak mana pun dosa manusia.

Allah SWT telah sebut dalam surah [ Zumar: 53].

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Jangan putus harap dengan Allah SWT. Allah SWT mampu untuk mengampunkan segala dosa kita tidak kira berapa banyak pun.

Jangan ada perasaan dalam hati kita yang dosa kita telah banyak sangat sampaikan Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa kita yang banyak itu.

Berapa banyak pun dosa kita, rahmat dari Allah SWT lebih besar lagi.

Ayat ini juga bermaksud yang Allah SWT ‘senang’ untuk menerima taubat kita.

Allah SWT tidaklah macam manusia yang susah untuk menerima permohonan maaf dari orang lain. Kadang-kadang mulut kata maafkan, tetapi kalau orang itu buat salah lagi, kesilapan yang telah dimaafkan sebelum ini pun akan diungkit balik, bukan?

Syaratnya, kita kena minta ampun sendiri kepada Allah SWT. Syarat taubat adalah menyesal dengan dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

Ia mesti dilakukan sebelum pintu taubat ditutup – kalau Malaikat Maut telah sampai, nyawa sudah di kerongkong, taubat itu tidak akan diterima.

Syarat lagi satu adalah ikhlas dalam taubat itu. Bukan kita sebut sahaja dengan mulut tetapi hendaklah hati kita mahu bertaubat.

Ada dua jenis taubat yang dibahagikan oleh ulama untuk pemahaman kita:

1. Taubatul Kul – iaitu taubat ‘keseluruhan’ dosa. Sebagai contoh, seorang yang baru masuk Islam. Dia akan memohon ampun atas segala dosanya semasa dia musyrik dahulu.

Dan Allah SWT akan ampunkan segala dosanya itu, hinggakan dia adalah seperti kain bersih yang tidak ada kekotoran langsung.

2. Taubatul Juz. Taubat ‘sebahagian’ sahaja.

Mungkin sebab seseorang itu tidak ingat apakah dosa yang telah dilakukan.

Atau dia sendiri tidak tahu apakah dosa yang dilakukan kerana dia tidak tahu ada perbuatannya yang berdosa.

Taubat jenis manakah yang Allah SWT terima? Allah SWT terima kedua-duanya sekali.

Doa lebih makbul selepas buat amal kebaikan dan solat adalah ibadat terbaik Kena sedar yang taubat adalah doa sebenarnya.

وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ

serta memaafkan kejahatan-kejahatan

Taubat menghapuskan semua dosa sebelum itu jika Allah SWT terima taubat itu. Apabila Allah SWT terima taubat hamba itu, segala dosa-dosanya akan dihapuskan.

Sebagai contoh, apabila seseorang masuk Islam, segala dosanya akan diampunkan dan tidak sedikit pun tinggal. Begitu juga kalau kita banyak dosa dan kita minta ampun dengan ikhlas. Kalau Allah SWT terima taubat itu, Allah SWT boleh ampunkan berapa banyak pun dosa kita. Walau sebanyak buih di lautan.

Atau Allah SWT boleh sahaja bersihkan dosa yang tidak diminta ampun kerana kita tidak ingat atau tidak tahu yang kita berdosa. Allah SWT boleh sahaja lakukan.

Ataupun kita dalam proses belajar, maka ada dosa-dosa yang kita lakukan kerana kita tidak tahu ia adalah dosa. Maka, kerana kita sudah mula belajar, Allah SWT akan maafkan kita.

Kita memang ada banyak dosa, namun tidak semua Allah SWT beri musibah.

Mafhum dari ayat-ayat yang lain, segala musibah yang kita hadapi semasa di dunia adalah kerana kesalahan dosa kita.

Sebagai contoh, hidup kita susah, hati tidak tenang, kerja tidak dapat diselesaikan dan macam-macam lagi.

Kalau Allah SWT balas segala dosa kita dengan musibah di dunia ini lagi, tentulah lagi susah hidup kita maka, banyak yang Allah SWT telah maafkan.

Oleh itu, kalau kita ada masalah dengan musibah yang bertimpa-timpa, kenalah kita kenang balik apakah dosa kita dan minta ampunlah atas segala dosa-dosa kita. Kalau Allah SWT ampunkan dosa kita semuanya, maka tidak adalah musibah lagi.

Ada yang membezakan potongan ayat ini dengan potongan ayat sebelum ini.

Taubat untuk dosa-dosa yang besar dan beri maaf adalah untuk dosa-dosa yang kecil. Maknanya, dua-dua Allah SWT boleh ampunkan. Allahu a’lam.

Dan ada dosa-dosa yang Allah SWT ampunkan melalui syafaat Nabi Muhammad SAW nanti di akhirat. Namun, kena tunggu di akhirat, jangan minta syafaat dari Nabi SAW sekarang seperti yang dilakukan oleh puak Habib sekarang.

Tetapi dosa syirik, tidak akan diampunkan melainkan kita sendiri minta ampun. Jadi tidak boleh hendak ajar tauhid kepada ahli kubur.

وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ

dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.

Semuanya Allah SWT tahu. Allah SWT tahu apa kita telah buat, segala kesalahan kita, berapa banyak kesalahan dan dosa yang kita lakukan, tetapi Allah SWT masih mahu ampunkan semua dosa-dosa itu.

Sama ada kita sendiri tahu atau tidak tahu apakah dosa yang kita lakukan, Allah SWT Maha Mengetahui. Tidak ada dosa yang kita boleh sembunyikan dari Allah SWT.

Allah SWT juga tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam bertaubat dan meminta ampun.

Tafsir Ayat Ke-26

 Ayat Tabshir. Targhib kepada doa. Juga Takhwif Ukhrawi.

وَيَستَجيبُ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَيَزيدُهُم مِّن فَضلِهِ ۚ وَالكٰفِرونَ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Dan Dia memperkenankan doa permohonan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, dan Dia menambahi mereka dari limpah kurnia-Nya (selain dari yang mereka pohonkan). Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.

وَيَسْتَجِيبُ الَّذِينَ ءآمَنُوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan Dia menerima doa orang-orang yang beriman serta beramal soleh,

Menerima apa? Bermaksud Allah SWT menerima dan ‘menjawab’ doa manusia.

Hanya Allah SWT sahaja yang mampu menerima doa kita. Tidak ada makhluk lain yang mampu mendengar dan menerima dan memakbulkan doa-doa itu. Oleh itu, permohonan doa kepada selain daripada Allah SWT adalah syirik. Sama ada permintaan doa itu terus memohon kepada entiti selain Allah SWT, ataupun menggunakan entiti selain Allah SWT sebagai perantara dalam berdoa (tawassul).

Sebagai contoh, ramai yang dari kalangan kita yang meminta pertolongan dari Nabi Muhammad SAW tetapi mampu kah baginda mendengar permintaan kita, sedangkan baginda sudah mati?

Tidak ada dalil yang menyuruh kita meminta kepada baginda, sama ada dari Al-Quran atau hadis. Yang mengajar kita meminta pertolongan kepada Nabi itu adalah guru-guru yang sesat sahaja.

Allah SWT suka untuk memakbulkan doa kita. Cuma tidaklah semua doa dimakbulkan di dunia ini. Ada yang dimakbulkan di akhirat kelak. Tetapi kena ada dua syarat itu. Pertama, kena beriman sempurna dan beramal soleh.

‘Beriman sempurna’ bermaksud tidak melakukan syirik. Kalau orang yang buat syirik, tidak diterima doanya.

Keduanya, ibadat itu mestilah ibadat yang diajar oleh Nabi. Itulah baru dikatakan amal yang soleh. Ibadat yang tidak soleh adalah amalan yang bidaah dan akan menambah dosa sahaja, bukannya pahala seperti yang diharapkan.

Ayat ini juga boleh bermaksud Allah SWT ‘menerima amal manusia’, asalkan amalan itu dilakukan oleh orang yang beriman dan amal itu kenalah amal yang soleh.

Walaupun kita melakukan sebanyak mana amal ibadat dan amal kebaikan, tetapi jika kita tidak beriman sempurna, ada mengamalkan syirik, maka sia-sia sahaja amalan itu.

Entah berapa ramai yang tidak tahu tentang akidah tauhid dan manakah amalan yang syirik. Padahal mereka itu rajin beribadah.

Mereka sangka amalan mereka itu menambah pahala, tapi sebenarnya amalannya itu tidak dikira lagi kerana mereka tidak ‘beriman sempurna’. Seumpama orang kafir yang solat, adakah dia mendapat pahala? Tentu tidak.

Dan entah berapa ramai manusia yang melakukan amalan dengan banyak, tapi amalan itu tidak diajar oleh Nabi SAW, atau tidak dengan cara yang diajar Nabi SAW.

Mereka berusaha dan bertungkus lumus melakukan amalan itu, tetapi ia adalah amalan yang bidaah yang bukan dari amalan sunnah. Amalan bidaah pun tidak diterima oleh Allah SWT. Maka, sia-sia sahaja amalan mereka.

Pengajaran yang penting dalam ayat ini adalah: hendaklah kita belajar tentang tauhid dan lawannya: syirik; dan hendaklah kita belajar tentang amalan soleh dan lawannya: bidaah.

Kekeliruan timbul kerana tidak belajar. Atau ada yang kononnya sudah belajar, tetapi bukan dari aliran sunnah. Maka itulah sebabnya mereka punah.

وَيَزِيدُهُم مِّن فَضْلِهِ

dan Dia menambahi mereka dari limpah kurnia-Nya

Selepas Allah SWT terima amal ibadat hamba-Nya itu, Allah SWT akan balas berganda-ganda. Allah SWT bukan balas sama banyak dengan amalan, tetapi berganda-ganda kerana Allah SWT Maha Pemurah. Allah SWT hendak beri lebih kepada hambaNya.

Dan apabila Allah SWT menerima doa hamba-Nya, Allah SWT boleh beri lebih lagi dari apa yang diminta oleh hamba itu. Kita pun tidak sangka kita akan dapat apa yang kita dapat itu. Kita harapkan sikit sahaja, tetapi Allah SWT beri lebih lagi.

Semuanya bergantung kepada Allah SWT. Sebagai contoh, mungkin kita minta basikal, tetapi Allah SWT boleh sahaja beri kereta kepada orang itu.

Memang doa manusia adalah terhad kerana kita hanya boleh minta apa yang kita nampak sahaja. Pengetahuan kita terhad. Sebab itu kalau kita lihat doa-doa yang diajar Nabi, baginda ajar untuk minta perkara-perkara yang kita sendiri tidak terfikir untuk minta.

Sebagai contoh, Nabi ajar kita minta ‘afiat’. Maksud afiat itu adalah tidak didatangi ujian-ujian – contohnya, tidak jatuh sakit. Ini permintaan sebelum sakit lagi.

Ini adalah permintaan yang baik sekali, maka mintalah afiat di dunia dan akhirat; selain dari itu, Nabi SAW pernah ajar kita untuk minta terus Syurga Firdaus.

Maknanya, minta terus perkara yang paling balik sekali, jangan malu-malu. Kalau Allah SWT kabulkan doa kita itu, maka tentulah Allah SWT akan beri kita amalan-amalan baik untuk memasukkan kita ke dalam Syurga Firdaus itu.

Atau, kalau tidak dapat Syurga Firdaus pun, kita dapat masuk syurga yang rendah sedikit, tetapi dapat jugalah masuk syurga, bukan? Tetapi lihatlah bagaimana Nabi ajar kita untuk ‘aim’ kepada sesuatu yang tinggi supaya usaha kita pun jadi tinggi.

وَالْكٰفِرُونَ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, disediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya.

Ini pula adalah takhwif. Sebaliknya, kalau tidak beriman dan tidak beramal dengan amal yang soleh, balasan mereka adalah azab seksa.

Dan jika ingkar dalam berdoa, iaitu berdoa dengan cara orang kafir, pun mereka akan mendapat azab seksa juga. Contohnya, mereka yang menggunakan tawassul yang dilarang. Bukan semua tawassul yang dilarang.

Atau mereka meminta kepada selain dari Allah SWT. Sebagai contoh, sekarang ramai dari masyarakat kita yang menerima ajaran sesat dari golongan Habib yang mengajar meminta doa kepada orang mati di kubur. Alangkah ruginya manusia yang sebegitu.

Bagaimana pula dengan orang yang tidak beriman sempurna dan beramal soleh, doa mereka dimakbulkan oleh Allah SWT. Sebagaimana orang-orang kafir, kehendak mereka serta doa-doa mereka (walaupun tidak betul caranya) Allah SWT makbulkan? Ini dinamakan sebagai istidraj iaitu ujian untuk mereka supaya mereka terus duduk dalam kesesatan dan buat dosa sebanyaknya kerana Allah SWT hendak azab mereka dengan secukupnya. Lagi banyak dosa mereka buat, lagi teruk azab akan dikenakan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan