Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy Shura- Tafsir Ayat Ke-15 dan Ke-16

Tafsir Surah Asy Shura- Tafsir Ayat Ke-15 dan Ke-16

171
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-15

Ibn Kathir berkata ada 10 perkara yang disentuh dalam satu ayat ini sahaja dan setiap satu itu adalah hukum yang kita perlu perhatikan. Ia adalah hukum yang boleh berdiri sendiri.

فَلِذٰلِكَ فَادعُ ۖ وَاستَقِم كَما أُمِرتَ ۖ وَلا تَتَّبِع أَهواءَهُم ۖ وَقُل ءآمَنتُ بِما أَنزَلَ اللهُ مِن كِتٰبٍ ۖ وَأُمِرتُ لِأَعدِلَ بَينَكُمُ ۖ اللهُ رَبُّنا وَرَبُّكُم ۖ لَنا أَعمٰلُنا وَلَكُم أَعمٰلُكُم ۖ لا حُجَّةَ بَينَنا وَبَينَكُمُ ۖ اللهُ يَجمَعُ بَينَنا ۖ وَإِلَيهِ المَصيرُ

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka – wahai Muhammad – kepada berugama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepada mu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepada-Nya lah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan)”.

فَلِذَٰلِكَ فَادْعُ

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah

1. Serulah manusia kepada tauhid. Ini adalah arahan dan seruan dari Allah kepada kita untuk berdakwah.

Serulah manusia kepada menyembah hanya Allah sahaja. Serulah manusia kepada belajar tafsir Quran, kepada sunnah, kepada agama yang benar.

Jangan berhenti berdakwah. Ada peluang sahaja, kita dakwah kerana ramai manusia yang tidak tahu, ramai yang jahil tentang agama. Ajak mereka belajar.

Kerana ajaran tauhid lah yang boleh menyatukan manusia. Untuk bersatu, kena ajak manusia kepada tauhid.

Bila ramai yang mengamalkan ajaran tauhid, maka semakin senang kita untuk mengamalkan agama ini kerana ramai yang buat sama macam kita. Hanya sembah satu Tuhan sahaja, iaitu Allah SWT.

Dalam manusia kebingungan tentang agama, maka bawalah mereka kepada menyembah Allah SWT.

Dakwah adalah satu kewajipan. Kita disuruh berkali-kali dalam Quran dan dalam hadis untuk berdakwah.

Ini adalah tanggungjawab kita kepada Allah dan kepada manusia.

Malangnya, ramai yang belajar agama tetapi mereka tidak ajak pun orang lain untuk datang belajar. Mereka hendak selamatkan diri mereka sahaja nampaknya.

Adakah agama Islam ini benar? Tentulah ia agama yang benar, bukan? Bagaimana pula dengan agama selain Islam? Tentulah agama lain tidak benar.

Maka, kalau agama Islam ini benar, maka hendaklah kita sampaikan kepada orang lain. Kenapa biarkan penganut agama lain pula yang berdakwah?

Lihatlah bagaimana setiap hari kita boleh lihat penganut agama lain bersemangat berdakwah mengajak manusia kepada agama mereka. Padahal agama mereka adalah agama yang salah.

Jadi kalau kita tidak buat kerja kita menyebarkan agama yang benar ini, maka manusia akan mendapat agama yang salah kerana mereka yang beragama salah pula yang semangat untuk menyampaikan agama mereka.

وَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ

serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepada mu,

2. Selain dari berdakwah, kita sendiri hendaklah mengamalkan apa yang kita dakwahkan itu.

Atau, dalam bentuk yang umum, kena jalankan apa yang Allah SWT perintahkan, dari segi ibadat dan adat.

Jangan pandai cakap sahaja. Jangan kata apa yang kita sendiri tidak lakukan.

Dan tetap teguh dalam melakukan dakwah itu. Walaupun banyak yang menghalang kerja-kerja dakwah kita.

Jangan takut dengan orang lain. Lebih-lebih lagi jangan takut dengan orang yang jahil. Orang yang sudah terima sunnah ada satu masalah: takut hendak amalkan sunnah kerana takut apa orang akan kata, takut kena marah, kena ejek, kena boikot.

Mereka takut dengan orang yang jahil. Ini adalah masalah yang perlu diatasi dalam kalangan kita.

Buatlah seperti yang Allah SWT perintah. Jangan buat cara yang lain.

Maka, untuk mengetahui apakah yang diperintah, kenalah kita belajar, bukan? Maka hendaklah kita belajar tafsir Al-Quran dan sunnah untuk mengetahui apakah perintah Allah SWT kerana perintah Allah ada dalam Al-Quran dan sunnah. Bukannya dari kitab tulisan manusia.

Dan ingat, dakwah lah guna ayat-ayat Al-Quran. Bukannya dengan menggunakan lagu nasyid, qasidah, puisi, tulisan khat, Zikir Munajat dan lain-lain cara.

Padahal Allah perintahkan kita untuk berdakwah menggunakan Al-Quran. Nabi pun dakwah pakai ayat Al-Quran.

Istiqamah kena ada pengisian jiwa. Kita amalkan maka akan istiqamah.

وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

dan janganlah sekali-kali engkau menurut hawa nafsu mereka;

3. Jangan ikut mereka yang hanya menurut hawa nafsu mereka sahaja. Ramai manusia yang tidak kisah tentang agama, hanya mahu ikut apa yang nafsu mereka perintahkan mereka sahaja. Jangan terpedaya dengan mereka.

Dan kena berhujah dengan dalil wahyu. Hujah yang bukan dari Al-Quran dan sunnah adalah dalil hawa nafsu belaka – tidak boleh dipakai. Tetapi itulah yang dibawa oleh kebanyakan guru dan ustaz di negara ini.

وَقُلْ ءآمَنتُ بِمَا أَنزَلَ اللهُ مِن كِتٰبٍ

katakanlah: “Aku beriman kepada segala Kitab yang diturunkan oleh Allah,

4. Memang akan ada sahaja perbezaan pendapat, sampai kepada perbalahan dan perpecahan.

Kalau itu terjadi, kita katakan kepada mereka bahawa apa yang kita lakukan adalah apa yang diwahyukan oleh Allah SWT dalam Kitab-Nya. Kalau apa sahaja yang Allah wahyukan, kenalah kita ikut tanpa berbelah bahagi.

Dan segala Kitab yang Allah turunkan adalah berkenaan Tauhid. Cuma apabila telah diubah oleh penganut-penganut mereka, maka hilanglah berita tentang Tauhid itu.

Kena selamatkan diri kita dulu. Macam oksigen dalam flight. Kena pakai diri sendiri dulu sebelum beri orang bawah jagaan kita. Kalau kita sendiri pengsan hendak tolong macam mana?

Maka selamatkan diri dulu. Kena amalkan dulu.

“Giving advice is like trying out a new recipe. You should try it first before giving to others.”

وَأُمِرْتُ لِأَعْدِلَ بَيْنَكُمُ

dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.

5.  Lafaz ‘Adil’ dalam ayat ini bermaksud memberitahu apa yang Allah SWT sampaikan. Dengan tidak pilih kasih. Kalau salah, sebut yang ia adalah salah. Jangan kita simpankan kebenaran kalau dengan sesetengah orang. Kadang-kadang, kalau dengan orang yang kita rasa tidak boleh terima, kita tidak cerita habis. Itu sudah tidak berlaku adil, namanya.

Juga hendaklah kita adil dalam berdakwah. Kena sampaikan kepada semua orang. Tidak pilih-pilih kepada siapa yang kita sampaikan ajaran tauhid ini. Jangan kita beritahu kepada sesetengah kawan kita dan keluarga kita, tetapi kita simpan dari sesetengah kawan yang lain kerana kita rasa mereka tidak akan terima.

Dan adil itu bermaksud tidak seleweng makna. Tidak hurai lebih dari yang sepatutnya. Tidak tambah dari yang sepatutnya. Kita cuma beritahu apa yang kita belajar sahaja, jangan tambah dari pendapat kita sendiri. Kerana bahaya kalau kita beri pendapat kita kerana ia tidak pasti benar lagi. Dan kalau ia benar pun, itu adalah salah.

Ada juga yang kata ayat ini bermaksud ia adalah adil dalam memberi hukuman iaitu Nabi Muhammad SAW diperintah untuk adil dalam memberi keputusan dalam hukuman. Cuma pendapat itu agak lemah kerana ayat ini diturunkan di Mekah dan waktu itu, baginda tidak dijadikan sebagai hakim lagi dalam urusan orang Islam dan orang Yahudi. Ia hanya mula terjadi di Madinah. Allahu a’lam.

اللهُ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ

Allah SWT jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu.

6. Katakan kepada mereka bahawa Tuhanku ini adalah Tuhan kamu juga. Walaupun kamu tidak mahu menerima-Nya, tetapi Dia tetap juga Tuhan yang mencipta, memelihara dan menjaga kamu.

لَنَا أَعْمٰلُنَا

Bagi kami amal kami

7.  Kami hanya akan amalkan amalan yang diajar oleh Nabi dan yang diamalkan oleh para sahabat.

Ayat ini juga bermaksud, kita akan dapat hasil dari amalan kita. Kalau hendak pahala, kena lakukan sendiri.

وَلَكُمْ أَعْمٰلُكُمْ

dan bagi kamu amal kamu.

Kamu buatlah amalan kamu itu iaitu amalan yang direka oleh guru-guru, dari manusia, yang bukan dari Allah SWT dan Nabi SAW itu.

Amalan itu kita tidak mahu terima, kita tidak akan amalkan. Kalau ahli bidaah hendak amalkan, terpulang kepada mereka, kita tidak masuk campur dan kita tidak akan sertai.

Juga, ia bermaksud kamu akan mendapat balasan dari apa yang kamu amalkan. Maknanya, setiap orang hanya bertanggungjawab dengan amalan mereka sendiri. Kalau buat amalan yang betul, akan dapat balasan pahala. Kalau amalan salah, akan dapat dosa.

Dan kita hanya akan dapat pahala kalau amalan itu kita buat sendiri. Tidaklah boleh hendak kirim-kirim pahala seperti yang dilakukan oleh kebanyakan orang kita sekarang. Jadi, amalan Majlis Tahlil untuk mengirim pahala itu tidak benar dan hanya rekaan sahaja.

لَا حُجَّةَ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ

Tidaklah ada hujah antara kami dengan kamu

8.  Tidak ada hujah antara kita melainkan menggunakan Al-Quran dan sunnah kerana kebenaran telah jelas nyata di dalam keduanya.

Yang kamu tidak tahu hujah itu adalah kerana kamu sahaja yang tidak belajar. Maknanya, sebenarnya tidak ada keperluan untuk kita berhujah dan bertegang urat mempertahankan pendapat kita masing-masing. Kerana dalil yang ada amat jelas.

Kalau kita ada perbezaan pendapat, rujuk dua sumber itu dahulu.

Macam inilah jawapan kita dengan golongan bidaah sekarang. Kalau kita berhujah dengan mereka, kita gunakan Al-Quran dan sunnah. Tetapi selalunya mereka akan pakai kata-kata guru dan ustaz mereka, pendapat orang itu dan ini, akal mereka, kitab itu dan ini, malah macam-macam lagi.

Rasanya seperti tidak berbaloi hendak berhujah dengan mereka yang mengamalkan bidaah. Sebab kita bagi ayat Quran dan mereka beri dalil lain. Rasa macam tidak kena sahaja. Adakah hujah lain yang boleh lawan Al-Quran dan hadis?

Sepatutnya mereka dengar sahaja apa yang kita sampaikan dan ikut kerana kita berikan dalil dari Al-Quran dan hadis. Tidak perlu hendak berhujah lagi.

Ayat ini juga memberitahu kepada kita, yang kita bukannya hendak berhujah dan berdebat. Kita bukan mahu bandingkan mana kumpulan yang lebih bagus antara kita semua. Banyak kumpulan yang melakukan kerja dakwah maka jangan kita cari perbezaan antara mereka dan kita.

Apa lagi yang kita kena sampaikan?

اللهُ يَجْمَعُ بَيْنَنَا

Allah SWT akan menghimpunkan kita bersama

9.  Kalau kamu tidak mahu percaya juga, tidak mengapa, kerana Allah SWT akan mengumpulkan kita semua pada Hari Kiamat nanti. Dan keputusan siapa yang benar akan diberitahu pada hari itu. Tetapi di sana, keputusan akan dibuat secara amali.

Maksudnya, bukanlah di sana baru tahu mereka salah, tidak. Sekarang di dunia lagi mereka telah salah, cuma tidak dilakukan hukuman secara amali lagi. Hukuman secara amali hanya akan diadakan di akhirat kelak.

وَإِلَيْهِ الْمَصِيرُ

dan kepada-Nyalah tempat kembali semuanya”

10.  Dikembalikan kepada-Nya adalah untuk dihakimi dan diberi balasan.

Adakah mahu tunggu perjumpaan di Mahsyar baru hendak bertaubat, baru hendak kembali ke dunia kerana hendak amalkan ajaran tauhid?

Banyak ayat-ayat Al-Quran menyebut tentang mereka yang menyesal kerana amalan salah mereka semasa di dunia dan mereka minta kembali ke dunia untuk beramal dengan benar, tetapi tidak dimakbulkan permintaan mereka itu.

Tafsir Ayat Ke-16:

Ayat ini adalah tentang mereka yang membantah ayat-ayat Allah SWT setelah mereka menerima Islam.

وَالَّذينَ يُحاجّونَ فِي اللَّهِ مِن بَعدِ مَا استُجيبَ لَهُ حُجَّتُهُم داحِضَةٌ عِندَ رَبِّهِم وَعَلَيهِم غَضَبٌ وَلَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Dan orang-orang yang berhujah menyangkal dan membantah tentang kebenaran ugama Allah SWT sesudah disambut dan diterima agama-Nya itu – bantahan (dan tuduhan palsu) mereka itu sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka. Dan mereka pula ditimpa kemurkaan (dari Allah SWT) serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.

وَالَّذِينَ يُحَاجُّونَ فِي اللَّهِ

Dan orang-orang yang membantah terhadap Allah SWT

Mereka membantah tentang Allah SWT iaitu orang-orang yang membantah tentang ilmu tauhid.

Termasuk mereka yang membantah tentang ayat-ayat tauhid yang Allah SWT berikan di dalam Al-Quran. Ayat-ayat tauhid telah jelas dalam Al-Quran, tetapi mereka masih tidak mahu terima. Apabila kita tafsirkan kepada mereka apakah maksud ayat-ayat itu, mereka tidak mahu terima.

Mereka kata tafsir kita salah. Padahal mereka tidak belajar pun tafsir lagi. Ini amat menghairankan: yang tidak belajar kata yang belajar pula yang salah!?

Yang membantah ayat-ayat Allah SWT ini ada dua jenis: ada yang membantah kerana jahil dan ada yang membantah setelah tahu. Kalau yang membantah itu kerana jahil, maka kenalah ajak mereka untuk belajar tafsir Al-Quran. Dan kena berlembut dengan mereka, kerana mereka tidak ada ilmu.

مِن بَعْدِ مَا اسْتُجِيبَ لَهُ

sesudah disambut dan diterima agama-Nya itu

Ada yang sudah masuk Islam dengan Nabi Muhammad SAW tetapi masih juga membantah tentang Allah SWT. Sebab masih lagi hendak pegang pemahaman yang lama.

Begitulah kebanyakan masyarakat Muslim negara kita. Sesudah dia sendiri terima Islam, atau dia lahir dalam Islam, dia pun sudah ucap Dua Kalimah Syahadah, tetapi dia hendak lawan tentang perkara tauhid. Padahal dia telah terima yang Allah SWT itu adalah Tuhan.

Tetapi ada perkara-perkara lain yang dia tidak terima. Antaranya, tentang tawassul, dia tidak mahu terima yang tawassul itu adalah salah. Sepatutnya selepas dia masuk Islam, ataupun mengaku seorang Muslim, hendaklah dia menerima semua sekali ayat-ayat tauhid dalam Al-Quran itu.

حُجَّتُهُمْ دَاحِضَةٌ عِندَ رَبِّهِمْ

hujah mereka sia-sia belaka di sisi Tuhan mereka.

Mereka berilah berbagai-bagai hujah yang bukan datang dari Al-Quran atau Sunnah. Ataupun datang dari Al-Quran dan Sunnah, tetapi mereka tafsir dengan fahaman mereka sendiri, tidak ikut fahaman salafussoleh.

Hujah-hujah mereka tidak ada dalil, oleh kerana itu ia tidak bernilai langsung di sisi Allah SWT. Ia ditolak. Itulah hujah-hujah dari guru, dari kitab, dari kitab karangan manusia, dari akal dan sebagainya. Yang laku di sisi Allah SWT hanyalah dalil dan hujah dari Al-Quran dan sunnah.

Oleh itu, kalau ada orang-orang Islam yang membawa hujah-hujah dari kitab tulisan manusia, maka hujah itu tertolak kerana hujah itu berlawanan dengan hujah-hujah dari Al-Quran yang jelas nyata. Yang tidak nyata adalah kerana mereka tidak belajar sahaja.

Banyaklah dari kalangan masyarakat kita yang belajar tidak kemas mana, maka mereka berjumpa amalan-amalan tawassul dan syirik yang berlawanan dari Al-Quran dan sunnah. Apabila ditanya kenapa mereka amal dengan amalan-amalan sebegitu, mereka kata amalan itu adalah dari kitab sekian dan sekian. Ingatlah yang itu bukanlah hujah.

Apa-apa kitab pun, kenalah berlandaskan kepada Al-Quran dan hadis yang sahih. Apa-apa sahaja ajaran tidak boleh lari dari apa yang dibawa oleh Al-Quran. Itulah sebabnya penting untuk belajar tafsir Al-Quran dahulu sebelum belajar ilmu-ilmu yang lain.

Atau, mereka beri hujah kenapa mereka tidak berpegang kepada tauhid: mereka kata mereka tidak tahu. Hujah ini juga tertolak kerana alasan ‘tidak tahu’ tidak boleh diterima kerana mereka sepatutnya kena belajar. Allah SWT telah beri 30 juzuk Al-Quran untuk dipelajari. Orang lain boleh sahaja terima, kenapa kamu pula tidak boleh terima?

Atau, mereka kata mereka ikut orang yang salah. Alasan ini juga tidak diterima kerana mereka kena tahu manakah kebenaran. Tidak boleh ikut buta sahaja. Masalah ini banyak dihadapi oleh orang kita. Ramai antara mereka yang mengikut sahaja.

وَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ

dan ke atas mereka kemurkaan

Yang mereka dapat hanyalah kemurkaan dari Allah SWT. Hujah mereka itu akan mendapat kemurkaan dari Allah SWT. Murka Allah SWT tidak sama dengan murka manusia. Allah SWT murka kepada mereka kerana mereka tidak belajar.

وَلَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ

serta mereka beroleh azab seksa yang seberat-beratnya.

Iaitu azab neraka akan dikenakan ke atas mereka kerana penolakan mereka itu. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

Allahu a’lam.

 

Komen dan Soalan