Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-6 dan Ke-7

272
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-6

Ayat Zajrun dan Takhwif Ukhrawi.

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ اللهُ حَفيظٌ عَلَيهِم وَما أَنتَ عَلَيهِم بِوَكيلٍ

Dan orang-orang yang menjadikan sesuatu yang lain dari Allah sebagai pelindung (yang disembah dan diharapkan pertolongannya), Allah sentiasa mengawasi tingkah laku mereka (serta akan membalasnya); dan engkau (wahai Muhammad hanyalah penyampai) bukanlah menjadi wakil yang menguasai soal (bawaan dan amalan) mereka.

وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاءَ

Dan orang-orang yang mengambil selain dari Allah sebagai wali

Tujuan mereka mengambil selain daripada Allah SWT sebagai wali mereka adalah dengan tujuan untuk merapatkan diri dengan Allah SWT sebenarnya. Tujuan mereka baik tetapi dengan cara yang salah.

Kalimah أَوْلِيَاءَ adalah jamak kepada kalimah ‘wali’. Dan siapakah pula ‘wali’ itu? Kalimah wali ini selalu disebut dan mempunyai banyak sekali pentafsiran. Dan ada berjenis-jenis wali dalam dunia ini.

Pertamanya, sifat Wali ini adalah seseorang yang rapat dengan kita dan kalau kita ada masalah, kita akan pergi kepadanya untuk meminta pertolongan.

Wali juga adalah seseorang yang ‘mahu’ memberi perlindungan kepada kita. Walaupun mungkin dia tidak dapat menolong kita, tetapi sekurang-kurangnya, dia berkeinginan untuk memberi pertolongan kepada kita.

Wali juga adalah seseorang yang kita taat kepadanya. Oleh itu, wali bukanlah hanya seseorang yang rapat sahaja dengan kita tetapi yang bantu membantu, taat mentaati. Sebab itulah, wali kepada seorang perempuan adalah ayahnya, atau kalau ayahnya tidak ada, jatuh kepada datuknya atau pakciknya dan ahli keluarganya yang lelaki. Bukankah anak perempuan itu kena taat kepada ayahnya?

Wali juga bermaksud seseorang yang akan membantu dan melindungi kita. Tidaklah dia sentiasa boleh melindungi kita, tetapi sekurang-kurangnya dia mahu melindungi kita. Sebab itu selalunya perkataan ‘wali’ diterjemahkan dalam terjemahan bahasa kita sebagai ‘pelindung-pelindung’.

Selain dari itu, Wali selalunya dikatakan sebagai seorang yang mempunyai kuasa luar biasa yang dapat memberi bantuan. Dalam perkara inilah banyak salah faham manusia. Ramai yang berharap kepada kuasa ‘luar biasa’ wali itu sampai menjerumuskan mereka ke lembah kesyirikan. Mereka sangka orang-orang alim yang telah mati itu diberi pangkat wali oleh Allah SWT dan mereka boleh berharap kepada para ‘wali’ itu. Ini adalah syirik.

Soalan pertama yang kena tanya kepada mereka: “macam mana kamu tahu mereka itu ‘wali’? Kamu adakah sekali semasa wali itu mendapat watikah pelantikan dia?” Tentu tidak ada kerana wali ini rahsia Allah SWT. Tidak ada sesiapa yang kenal wali. Yang ada sekarang adalah pelantikan ‘tidak rasmi’ iaitu manusia sahaja pandai-pandai kata orang itu dan orang ini sebagai wali.

Oleh itu, sesiapa yang mengambil selain dari Allah SWT sebagai wali, bermaksud mereka itu mengharap kepada wali-wali itu, taat kepada mereka, memohon pertolongan kepada mereka. Ini adalah satu perbuatan yang syirik. Ini adalah kerana mereka telah menyamaratakan kedudukan Allah SWT dengan wali-wali itu. Sepatutnya mereka memohon pertolongan, taat dan mengharap kepada Allah SWT, tetapi mereka buat begitu kepada yang selain Allah SWT.

Lebih teruk lagi, kalau mereka anggap yang wali-wali mereka itu ada kuasa luar biasa dan kerana mereka sangka wali-wali itu ada kuasa luar biasa, mereka sembah, puja wali itu, menyembelih binatang ternakan atau memberi persembahan kepada wali itu. Itu semua adalah perbuatan yang syirik, malangnya ada kalangan orang yang mengaku Islam pun ada buat juga.

Ramai sangat yang buat begitu. Kalau musyrikin Mekah, mereka mengambil berhala-berhala mereka sebagai salah satu dari wali mereka. Tetapi ada juga orang-orang Islam yang melakukan kesalahan yang sama.

Sebagai contoh, ramai yang mengambil orang-orang tertentu yang telah mati sebagai wali. Mereka akan berdoa kepada roh wali yang telah mati itu. Mereka sembelih ayam atau apa-apa sahaja korban, kononnya supaya hajat mereka sampai. Mereka lawat kubur wali itu akan minta macam-macam kepada wali itu. Itu semua adalah satu kesyirikan yang dilakukan oleh mereka yang jahil. Ada yang sampai dah tawaf keliling kubur itu.

Dari mana mereka dapat ajaran sebegini? Dari guru-guru sesat. Dan itulah yang sekarang telah mula diajar oleh puak-puak Habib di negara ini. Mereka telah mula ajak anak-anak muda kita berkumpul dan beribadat di kuburan ‘wali-wali’ (yang mereka lantik sendiri).

Kita terpaksa sebut tentang keburukan yang dibawa oleh mereka itu kerana jika tidak, akan ramai lagi yang akan sesat kerana terikut-ikut dengan mereka. Mereka datang dengan watak yang nampak alim, buat amalan yang nampak macam islamik tetapi sebenarnya tidak.

Mereka itu akan menyesatkan masyarakat kita kalau kita tidak membongkar kesalahan mereka. Mereka itu tidak lain daripada penyanyi yang hendak mendapatkan upah sahaja dari nyanyian mereka.

Mereka itu sebenarnya adalah golongan quburiiyyun – penyembah kubur – yang telah ditolak di tempat asal mereka – Yaman. Namun, yang hairannya mereka mendapat tempat pula di negara kita ini. Ini adalah kerana kebanyakan orang kita keliru tentang hal agama dan tertipu dengan melihat kepada perwatakan manusia sahaja.

Yang berdoa kepada kubur Nabi Muhammad SAW pun ada juga. Ini adalah kerana salah faham dengan kedudukan Nabi Muhammad SAW. Mereka telah menaikkan baginda ke kedudukan yang melampau tinggi yang tidak sepatutnya bagi seorang manusia. Dan ajaran ini diamalkan dengan banyak sekali kerana dibawa dan diajar oleh guru-guru yang sesat.

اللهُ حَفِيظٌ عَلَيْهِمْ

Allah SWT lah Penjaga atas mereka

Allah SWT yang jaga segala amalan manusia, akan tulis amalan manusia untuk dihukum nanti di akhirat, bukan kamu wahai Muhammad SAW. Ini hendak meringankan tugas Nabi SAW supaya Nabi SAW tidak perlu sibuk dengan mereka.

Biar Allah SWT sahaja yang menjaga amalan derhaka mereka untuk hukum. Nabi SAW hanya perlu tabligh sahaja. Kita pun tidak perlu hendak sibuk jaga dosa dan pahala orang lain. Serahkan kepada Allah SWT sahaja.

Selain dari itu, mereka yang sesat itu mengharap wali-wali itu melindung, menjaga dan memelihara mereka. Tetapi di dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu kita bahawa Dia lah yang menjaga dan memelihara mereka. Bukannya wali-wali itu yang memelihara dan menjaga mereka kerana wali-wali itu tidak mempunyai kuasa apa pun.

Bukanlah wali-wali itu yang dapat memenuhi doa mereka tetapi Allah SWT. Bukanlah wali-wali itu yang melindungi mereka tetapi Allah SWT lah yang melindungi mereka. Wali-wali itu pun memerlukan perlindungan dari Allah SWT, maka bagaimana mereka hendak lindungi orang lain pula?

Ada antara mereka yang sesat itu yang telah mendapat sesuatu setelah mereka memohon kepada wali-wali yang telah mati itu. Mereka pun kata yang mereka telah dapat kelebihan setelah meminta kepada Wali itu, setelah buat itu dan ini di kubur wali-wali itu.

Tetapi hendaklah kita ingat bahawa walaupun mereka meminta kepada selain dari Allah SWT, tetapi apa sahaja yang mereka dapat sebenarnya adalah dari Allah SWT juga. Bukannya wali itu yang beri. Orang dalam kubur itu pun tidak tahu apa yang diminta kepada mereka.

Sifat Allah SWT adalah Maha Pemurah yang bermaksud walaupun manusia meminta kepada selain dari-Nya, tetapi Dia masih tetap juga memberi kepada manusia itu hajat-hajat mereka. Jadi jangan gunakan apa yang mereka dapat itu sebagai dalil untuk mengatakan perbuatan mereka itu benar. Kesamaran ini telah dijelaskan dalam Surah Fussilat.

Cubalah fikirkan, sebelum mereka meminta kepada wali-wali itu, siapakah yang telah memberi mereka kehidupan dan keselamatan selama mereka hidup? Bukanlah mereka lahir-lahir sahaja telah minta kepada roh wali-wali itu, bukan? Tentulah segala nikmat yang mereka dapat adalah daripada Allah SWT juga dan tidak ada kena mengena dengan wali-wali itu.

Sebenarnya, yang mereka ambil sebagai wali itu adalah syaitan. Mereka sahaja yang tidak perasan kerana mata hati mereka telah dikelabui. Mereka sangka mereka puja Nabi dan wali, padahal sebenarnya mereka memuja syaitan. Sebagaimana Allah SWT telah berfirman dalam [ surah Al-Kahf: 50 ].

أَفَتَتَّخِذُونَهُ وَذُرِّيَّتَهُ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِي وَهُمْ لَكُمْ عَدُوٌّ بِئْسَ لِلظَّالِمِينَ بَدَلًا

Oleh itu, patut kah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai wali-wali selain daripada-Ku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim itu, pengganti yang mereka pilih itu.

Maka kenapa hendak ambil syaitan-syaitan sebagai wali, sedangkan mereka itu adalah musuh kamu?

Ada satu lagi pemahaman dari ayat ini: sesiapa yang mengambil wali selain Allah SWT, Allah SWT akan menjadi حَفِيظٌ (Pengawas) ke atas mereka. Allah SWT tahu apa yang mereka lakukan dan Allah SWT tulis apa yang mereka perbuat. Ini adalah bahagian Takhwif Ukhrawi di mana Allah SWT menakutkan kita. Allah SWT hendak beritahu yang Dia akan balas segala perbuatan syirik mereka itu dengan neraka yang mereka akan kekal di dalamnya.

وَمَا أَنتَ عَلَيْهِم بِوَكِيلٍ

dan engkau bukanlah menjadi penjaga amalan mereka.

Nabi Muhammad SAW tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman dan melakukan amal ibadat. Tidak ada paksaan di dalam agama. Begitu juga kita tidak dapat menjaga amal ibadat orang lain.

Nabi Muhammad SAW dan kita juga hanya boleh menyampaikan dakwah dan mengajak manusia ke arah tauhid sahaja. Tidak boleh buat lebih dari itu. Hanya Allah SWT sahaja yang menjadi wakil kepada mereka bagaimana firman Allah SWT di dalam ayat [Hud: 12 ].

إِنَّمَا أَنتَ نَذِيرٌ وَاللهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah SWT jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu.

Dan di dalam ayat [ Yunus: 99 ], Allah SWT telah memberitahu kita bahawa kita tidak mampu untuk memaksa manusia untuk beriman:

أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ

maka patut kah engkau hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Maka, jikalau kita telah menyampaikan kepada manusia ajakan tauhid dan mereka ingkar tidak mahu menerimanya, maka mereka itu bukan tanggungjawab kita lagi. Kita tidak akan dipersalahkan jikalau mereka mengambil wali selain Allah SWT kerana kita telah menjalankan tugas kita memberi dakwah kepada mereka.

Tetapi bagaimana pula kalau kita tidak beri dakwah tauhid kepada mereka? Ini yang menakutkan kita kerana takut kita akan dipertanggungjawabkan nanti. Entah berapa ramai orang yang kita rapat dengan mereka, tetapi kita tidak dakwah lagi kepada mereka.

Tafsir Ayat Ke-7

Ini adalah ayat Targhib untuk kita mendekatkan diri dengan Al-Quran. Targhib maksudnya yang memberi motivasi. Allah SWT hendak beri galakan kepada kita untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran.

وَكَذٰلِكَ أَوحَينا إِلَيكَ قُرءآنًا عَرَبِيًّا لِّتُنذِرَ أُمَّ القُرىٰ وَمَن حَولَها وَتُنذِرَ يَومَ الجَمعِ لا رَيبَ فيهِ ۚ فَريقٌ فِي الجَنَّةِ وَفَريقٌ فِي السَّعيرِ

Dan begitulah, Kami wahyukan kepada mu Al-Quran dalam bahasa Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk Syurga dan sepuak lagi masuk neraka.

وَكَذَٰلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ قُرْءآنًا عَرَبِيًّا

Bagi tujuan kesempurnaan, Kami wahyukan kepada mu Al-Quran dalam bahasa Arab,

Lafaz كَذَٰلِكَ perlu diterjemahkan ‘bagi tujuan kesempurnaan’, baru ayat ini boleh difahami. Maknanya, tujuan Allah SWT menurunkan Al-Quran adalah untuk memberi kesempurnaan kerana dengan Al-Quran ini kamu akan mendapat nikmat yang sempurna. Nikmat yang amat besar.

Lafaz Al-Quran pula bermaksud: kitab yang selalu dan sentiasa dibaca.

Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Memang Kitab-kitab dari Allah SWT diturunkan dalam bahasa umatnya. Kalau Taurat, ia diturunkan dalam bahasa Hebrew kerana itulah bahasa mereka.

Tujuannya supaya umat yang menerima kitab itu boleh faham. Oleh itu, kerana Al-Quran mulanya diturunkan kepada bangsa Arab, maka Al-Quran itu di dalam bahasa Arab.

Ini mengajar kita untuk menyampaikan dakwah dalam bahasa yang manusia yang didakwahkan itu boleh faham. Kalau dengan bangsa Cina, kenalah kita menyampaikan dakwah dalam bahasa Cina.

Ini mengajar kita bahawa Al-Quran itu mestilah disampaikan di dalam bahasa Arab. Maka janganlah kita hanya menggunakan terjemahan Al-Quran tanpa diletakkan bersamanya ayat Al-Quran yang asal. Memang ada dalam pasaran sekarang terjemahan Al-Quran yang tidak diletakkan ayat Al-Quran yang asal.

Ini adalah amat bahaya kerana lama kelamaan ia nanti akan menjadi rujukan utama kepada mereka yang tidak tahu membaca dan memahami Al-Quran di dalam bahasa Arab. Nanti mereka tidak merujuk lagi kepada ayat Al-Quran yang asal. Mereka sangka yang terjemah itulah Al-Quran, sedangkan ia tidaklah begitu kerana, terjemahan ke dalam bahasa lain tidak boleh dipercayai sangat kerana terjemahan itu bukanlah terjemahan yang tepat. Ia tidak akan tepat kerana bahasa lain tidak akan sama dengan Al-Quran.

Ia hanyalah sebagai rujukan kepada mereka yang tidak mahir bahasa Arab sahaja. Kita kena juga merujuk kepada Al-Quran yang asal. Memang ramai kita tidak tahu bahasa Arab, tetapi bila kita beri rujukan ayat Al-Quran, kena juga disertakan dengan ayat Al-Quran yang asal.

Kita takut Al-Quran nanti tidak dirujuk dalam bahasa Arab lagi. Begitulah yang terjadi kepada kitab-kitab yang sebelum Al-Quran. Sebagai contoh, Kitab Injil yang asalnya di dalam bahasa Hebrew telah dialih bahasa dari kitab yang asal tanpa disertai dengan teks Hebrew yang asal, sampaikan manusia sudah tidak tahu apakah teks asalnya.

Mereka hanya merujuk kepada terjemahan ke dalam bahasa lain dan hingga mudah untuk mereka menukar-nukar maksud kitab Injil itu. Takkan kita hendak jadi begitu dengan Al-Quran pula?

Jadi, jangan kita guna hanya terjemahan Al-Quran. Begitulah juga bila kita memberikan ayat-ayat Al-Quran kepada orang lain, dalam e-mel, whatsapp atau apa sahaja, hendaklah kita menyertakan bersama teks ayat itu, iaitu ayat Al-Quran yang asal. Jangan kita beri yang terjemahan sahaja. Kerana terjemahan itu tidak akan sama dengan Al-Quran yang asal. Ia hanya sebagai rujukan sahaja kepada mereka yang tidak tahu bahasa Arab.

Selain dari itu, ayat ini mengajar kita bahawa kita kena belajar bahasa Arab. Supaya kita dapat faham Al-Quran dengan lebih mendalam. Kerana kita kena faham dengan lebih mendalam Al-Quran ini.

Kerana seperti yang kita telah tahu, hidup ini adalah ujian. Dan seperti dalam ujian peperiksaan, tentu ada buku rujukan, bukan? Maka, buku rujukan kita adalah Al-Quran ini. Untuk kita memahaminya dengan lebih baik, kita kena tahu bahasa Al-Quran dengan fasih.

Tetapi, janganlah pula tunggu sampai telah pandai bahasa Arab baru hendak belajar tafsir. Kita belajarlah sekali harung. Semasa belajar tafsir, boleh belajar sekali bahasa Arab. Ia akan menjadi lebih cepat lagi kerana kita akan lebih bermotivasi untuk mempelajari bahasa Arab kerana kita hendak mengetahui maksud Al-Quran dengan lebih mendalam.

Jangan pula ada yang beri alasan tidak belajar tafsir kerana hendak belajar bahasa Arab dulu – sampai bila-bila pun tidak akan belajar tafsir jika macam itu.

Saya tidaklah kata wajib tetapi kita sebagai penuntut ilmu yang prihatin dengan Al-Quran, tidak boleh tidak kena lah belajar.

لِّتُنذِرَ أُمَّ الْقُرَىٰ

supaya engkau memberi peringatan kepada (penduduk) “Ummul-Qura”

‘Ummul Qura’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah penduduk Mekah.

Ummul Qura bermaksud ‘ibu segala pekan’. Sebagaimana anak akan pergi ke mana-mana tetapi akan tetap balik kepada ibunya. Begitulah juga perumpamaan kepada setiap tempat dalam dunia ini. Ibu negara dunia ini adalah di Mekah. Kerana di situlah permulaan penempatan manusia. Dan dari sejarah pun, penduduk-penduduk lain akan sentiasa datang ke Mekah untuk melakukan ibadat haji.

Tetapi tidaklah Al-Quran ini diberikan kepada Mekah pula, jadi maksudnya yang tersirat: ia untuk diberikan kepada penduduk Mekah itu.

Lihatlah bagaimana Allah SWT menghantar Rasul-Nya ke ibu negara sesuatu negara itu untuk berdakwah. Maka, ini sebagai sunnah yang kita kena ikut. Iaitu kita kena mulakan dakwah dari ibu negara. Kalau di Malaysia, kita kena mulakan dari Kuala Lumpur kerana dari Kuala Lumpur itu orang kawasan lain akan ikut.

Maka begitulah Nabi Muhammad SAW telah mula-mula dihantar kepada penduduk Mekah, kaumnya pada peringkat awal. Ini adalah kerana Nabi kena betulkan kaumnya dahulu sebagai model untuk menjadi rujukan kepada orang umat lain. Kerana itulah mereka menjadi penerima wahyu yang terawal. Mereka yang kena masuk Islam ramai-ramai dulu. Kalau mereka telah terima, maka senanglah untuk manusia yang lain untuk terima juga ajaran tauhid ini.

وَمَنْ حَوْلَهَا

dan sekelian penduduk di sekelilingnya,

Maksud pertama ‘penduduk sekelilingnya’ adalah mereka yang di sekeliling Mekah kerana mereka yang tahu bahasa Arab. Jadi mudah mereka untuk memahami ayat-ayat Al-Quran itu. Namun, bukan setakat mereka sahaja.

Al-Quran itu bukanlah hanya untuk penduduk Mekah sahaja tetapi untuk penduduk-penduduk di sekelilingnya yang lebih besar dan luas lagi. Bukanlah juga setakat bermaksud di sekeliling tanah Arab sahaja. Kerana kalau begitu, tentulah Al-Quran tidak sampai kepada kita.

Maksud ‘sekelilingnya’ apabila diperbesarkan, ia akan meliputi seluruh dunia kerana kawasan dakwah akan berkembang dan berkembang. Sekeliling Mekah, membesar ke sekeliling Tanah Arab, membesar sekeliling benua Timur Tengah, kemudian membesar lagi meliputi seluruh dunia. Begitulah maksudnya.

Maksudnya, Al-Quran ini perlu disampaikan ke seluruh dunia sebenarnya. Dan itulah yang telah dilakukan oleh para sahabat. Mereka telah merantau ke serata dunia untuk menyampaikan ayat Al-Quran kepada manusia lainnya. Sebab itulah ramai antara mereka yang mati di negara lain kerana mereka menyebarkan Islam. Mereka tinggalkan anak isteri untuk memperkenalkan Allah SWT kepada dunia.

Marilah kita menyampaikan ajaran Al-Quran ini kepada masyarakat kita dahulu. Masyarakat kita ini telah lama jauh daripada pemahaman Al-Quran. Mereka kebanyakannya adalah orang yang baik-baik dan warak, tetapi malangnya mereka tidak mendapat ilmu tafsir Al-Quran. Kalau yang mereka mahir pun adalah ‘membaca Al-Quran’ dan ilmu-ilmu lain seperti fekah, contohnya. Tetapi bagaimana dengan pemahaman ayat dalam Al-Quran itu?

Memang ilmu Tafsir Al-Quran ini boleh dikatakan tidak ada di negara ini sebelum ini. Jarang sekali diajar di negara kita kerana kita jarang dengar ada kelas pengajian Tafsir Al-Quran, sampaikan ia menjadi sesuatu yang asing kepada kita.

Pengajaran lain kita banyak dengar, tetapi tentang Tafsir Al-Quran, kita tidak dengar lagi. Janganlah kita terus berada di dalam kejahilan ini. Mulakan ajak manusia untuk memahami Al-Quran yang mereka baca setiap hari itu. Berhentilah jadi burung Belatok yang hanya pandai menyebut perkataan, tetapi tidak langsung memahami apa yang disebutnya.

Bukan kepada orang Islam sahaja yang kita perlu ajar tafsir Al-Quran ini, tetapi kepada orang-orang kafir juga. Kalau bukan kita yang sampaikan, siapa lagi yang akan lakukan?

وَتُنذِرَ يَوْمَ الْجَمْعِ

serta memberi peringatan dan amaran mengenai Hari Perhimpunan

Lihatlah yang pertama sekali disampaikan adalah tentang Hari Akhirat. Hari Perhimpunan ini bukan hari perhimpunan di sekolah tetapi perhimpunan di Mahsyar pada Hari Kiamat. Allah SWT suruh kita ingatkan manusia kepada hari di mana semua makhluk akan dikumpulkan pada hari itu.

Dari makhluk yang mula dicipta semenjak alam ini dijadikan, sampailah kepada makhluk yang dimatikan pada Hari Kiamat. Semua sekali akan dikumpulkan dan tidak ada makhluk yang boleh melarikan diri.

Bukan manusia dan jin sahaja, bukan makhluk yang hidup di bumi sahaja yang akan dikumpulkan, tetapi SEMUA makhluk, sama ada yang di langit atau di bumi dan di mana-mana sahaja. Tidak dapat dibayangkan berapa banyaknya makhluk waktu itu. Suasana akan menjadi amat kecoh waktu itu.

Untuk apa pengumpulan itu? Untuk dibacakan apakah yang mereka telah lakukan dan akan dijalankan pengadilan sama ada seseorang itu masuk syurga atau masuk neraka.

لَا رَيْبَ فِيهِ

yang tidak ada syak tentang datangnya;

Maknanya pasti Allah SWT akan jadikan hari itu berlaku. Pasti kita akan bertemu dengannya. Maka apabila telah tahu, kenalah buat persiapan awal untuk menghadapinya. Pertamanya, kena kenal tauhid dan kemudian kena buat amalan soleh.

Dan kemudian kita kena ingatkan manusia dengan hari akhirat. Supaya lembut hati manusia untuk menerima ajakan tauhid ini kerana takutkan akan balasan di akhirat kelak. Kita kena ingatkan walaupun kalau degil, kena ingatkan mereka.

فَرِيقٌ فِي الْجَنَّةِ

sepuak masuk Syurga

Yang beriman dan beramal baik akan dimasukkan ke dalam syurga. Iaitu mereka yang buat persiapan awal. Tidaklah dengar tetapi buat tidak tahu, tidak buat amalan apa-apa. Semoga kita menjadi dalam golongan ini.

وَفَرِيقٌ فِي السَّعِيرِ

dan sepuak lagi masuk neraka.

Yang tidak beriman dan tidak melakukan amal kebaikan, akan dimasukkan ke dalam neraka yang apinya menyala-nyala. Itulah maksud kalimah السَّعِيرِ.

Mulanya makhluk dikumpulkan dan kemudian selepas pengadilan dilakukan, mereka pecah kepada dua kumpulan sahaja: sama ada masuk syurga atau masuk neraka. Tidak ada pilihan ketiga.

Pilihan mana yang kamu hendak? Kita kenalah fikir-fikirkan.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan