Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-5

Tafsir Surah Asy-Shura – Tafsir Ayat Ke-5

102
0
Iklan

Tafsir Surah Asy-Shura

Tafsir Ayat Ke-5

Dalam ayat sebelum ini, Allah SWT telah memberitahu Sifat-sifat-Nya. Apabila makhluk itu tahu betapa Agungnya Allah SWT, hamba itu akan sujud hanya kepada Allah SWT dan tidak akan doa kepada selain dari Allah SWT. Dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu betapa Agungnya Dia.

تَكادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرنَ مِن فَوقِهِنَّ ۚ وَالمَلٰئِكَةُ يُسَبِّحونَ بِحَمدِ رَبِّهِم وَيَستَغفِرونَ لِمَن فِي الأَرضِ ۗ أَلا إِنَّ اللهَ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya; dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi. Ingatlah! Sesungguhnya Allah SWT, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

تَكَادُ السَّمٰوٰتُ يَتَفَطَّرْنَ مِن فَوْقِهِنَّ

Alam langit nyaris-nyaris pecah dari sebelah atasnya

Langit itu hampir pecah kerana keagungan Allah SWT. Hampir pecah itu kerana takut dan takjub kepada Allah SWT. Kita tidak dapat hendak membayangkan betapa besarnya langit itu sendiri dan langit yang amat besar itu pun takut dan takjub dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Kenapa? Kerana langit sedar dengan kebesaran Allah SWT. Kita sahaja yang tidak sedar. Sebab itu kita buat biasa sahaja.

Ayat ini mengajar kita bahawa makhluk-Nya yang mengenal kebesaran dan keagungan Allah SWT, akan tunduk dan takut kepada-Nya. Mereka tidak akan berdiri sombong di hadapan Allah SWT. Mereka tidak akan ingkar dengan petunjuk dan perintah Allah SWT.

Kalimah فَوْقِهِنَّ bermaksud ‘di atasnya’. Maknanya kalau langit itu pecah, ia akan bermula daripada bahagian atas, iaitu langit ketujuh pecah dan kemudian langit keenam, kelima dan seterusnya. Ini adalah kerana, langit yang atas adalah yang lebih hampir dengan Allah SWT.

Satu lagi, maksud hampir terpecahnya langit itu adalah kerana marahnya langit kerana kesyirikan manusia yang mengatakan Allah SWT mempunyai anak. Ini ada disebut dalam surah [ Maryam: 90-91 ].

تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنشَقُّ الْأَرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا

Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap, –

أَن دَعَوْا لِلرَّحْمَٰنِ وَلَدًا

Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah SWT) Ar-Rahman mempunyai anak.

Apa yang mereka katakan itu adalah amat buruk sekali, sampaikan hampir-hampir terpecahnya langit itu kerana kemarahan Allah SWT dan kemarahan langit itu. Allah SWT itu Maha Tinggi dan Maha Mulia, lalu bagaimana ada yang mengatakan Allah SWT memerlukan anak? Hanya makhluk sahaja yang memerlukan anak kerana kita lemah dan memerlukan pertolongan. Kita juga inginkan penyambung zuriat kita kerana kita tahu yang kita akan mati.

Namun, Allah SWT akan terus kekal sampai bila-bila. Lalu bagaimana manusia boleh mengatakan sesuatu yang amat dusta tentang Allah SWT? Kalau kita berdusta tentang manusia pun manusia itu sudah marah, apatah lagi kalau yang didustakan adalah Allah SWT, Tuhan kita! Tentulah tidak sama. Jadi, langit itu amat marah kerana ada makhluk yang melakukan syirik kepada Allah SWT. Ini adalah kerana hal syirik itu bukanlah perkara yang kecil.

Ada juga pendapat yang mengatakan langit itu hampir pecah kerana banyaknya malaikat-malaikat yang beribadat kepada Allah SWT dan mereka berada di langit itu. Banyak hadis-hadis yang menceritakan bagaimana besarnya mereka dan mereka memenuhi langit itu. Apa yang mereka lakukan? Allah SWT sambung lagi:

وَالْمَلٰئِكَةُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ

dan malaikat bertasbih dengan memuji Tuhannya

Malaikat-malaikat itu hanya beribadat kepada Allah SWT sahaja tanpa lelah dan tanpa bosan. Mereka tidak pernah ingkar kepada Allah SWT walau sedikit pun. Kerana apa? Kerana mereka kenal Allah SWT dan kenal Sifat-Sifat Allah SWT.

Seperti juga langit yang kenal Allah SWT, malaikat juga amat kenal Allah SWT dan kerana itu mereka amat taat kepada Allah SWT. Itulah maksudnya apabila makhluk mengenal Allah SWT, Maka mereka tidak akan sombong dan akan tunduk kepada-Nya sahaja.

Jadi, pertama sekali, diberitahu dalam ayat ini yang para malaikat beribadat kepada Allah SWT di langit itu.

وَيَسْتَغْفِرُونَ لِمَن فِي الْأَرْضِ

serta memohon ampun bagi makhluk-makhluk yang ada di bumi.

Selain dari beribadat, para malaikat itu juga memohon keampunan untuk makhluk, seperti juga disebut dalam surah [ Ghafir: 7 ].

الَّذِينَ يَحْمِلُونَ الْعَرْشَ وَمَنْ حَوْلَهُ يُسَبِّحُونَ بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَيُؤْمِنُونَ بِهِ وَيَسْتَغْفِرُونَ لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا وَسِعْتَ كُلَّ شَيْءٍ رَّحْمَةً وَعِلْمًا فَاغْفِرْ لِلَّذِينَ تَابُوا وَاتَّبَعُوا سَبِيلَكَ وَقِهِمْ عَذَابَ الْجَحِيمِ

Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.

Dalam ayat dari surah Ghafir ini, kita boleh tahu bahawa malaikat-malaikat itu hanya meminta keampunan bagi mereka yang beriman sahaja. Tetapi, kenapa kalau mereka sudah beriman, kenapa masih lagi malaikat itu meminta ampun untuk mereka?

Kerana walaupun mereka itu sudah beriman, tetapi kerana mereka itu manusia biasa, maka tentunya ada kesalahan dan kesilapan yang mereka lakukan. Lihatlah bagaimana beruntungnya orang-orang yang beriman sampaikan malaikat pun memohon keampunan untuk mereka.

Ada lagi kelebihan yang kita boleh faham dari ayat ini kerana istighfar bukan sahaja untuk pengampunan dosa tetapi dia juga adalah sebagai asbab (penyebab) diturunkan rahmat yang banyak kepada mereka yang beristighfar itu. Seperti yang disebut di dalam [ Nuh: 10-12 ].

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا

“Sehingga aku (Nabi Nuh a.s.) berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;

وَيُمْدِدْكُم بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَل لَّكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَل لَّكُمْ أَنْهَارًا

“Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).

Dalam ayat ini Nabi Nuh a.s memberitahu kepada umatnya jikalau mereka beristighfar kepada Allah SWT, Allah SWT akan memberikan rezeki yang banyak kepada mereka dan akan memberikan kekayaan serta anak pinak. Jadi, apabila para malaikat itu melakukan istighfar untuk orang-orang yang beriman, ia bukan sahaja untuk menghapuskan dosa mereka tetapi supaya rahmat Allah SWT akan diturunkan kepada mereka juga.

Jadi, ini adalah salah satu cara untuk kita mendapat keampunan dari Allah SWT. Dalil telah diberikan dalam ayat ini. Malangnya, ada yang reka amalan baru seperti mereka yang reka ‘Solat Taubat’. Datang dari mana pun, kita tidak tahu. Tidak ada hadis langsung tentang perkara ini. Yang ada cumalah anjuran melakukan solat sebelum bertaubat – tidaklah itu menjadikan ‘Solat Taubat’.

Apabila sudah direka satu perkara bidaah, ia akan bertambah-tambah. Sebagai contoh, apabila sudah ada Solat Taubat, ada yang tambah pula dengan ‘Mandi Sunat Taubat’. Kemudian direka cara mandi pula – kena mandi pukul 3 pagi. Macam-macam kebodohan yang kita boleh lihat manusia yang jahil lakukan.

Itulah contoh ibadat rekaan yang berkenaan dengan taubat. Padahal, lihatlah dalam ayat surah

[ Ghafir: 7 ], Allah SWT memberitahu kita bahawa para malaikat akan meminta ampun kepada mereka yang bertaubat dan mengikuti jalan Allah SWT sahaja.

Maknanya untuk mendapat kelebihan doa mereka, kita kena ikut Al-Quran dan Sunnah kerana jalan Allah SWT itu bermaksud ikut Al-Quran dan Sunnah. Itulah cara yang kita patut ikut. Bukannya jalan yang lain. Kalau ikut jalan tarekat, Habib dan guru-guru karut, tidak akan dapat kelebihan ini.

أَلَا إِنَّ اللهَ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Ingatlah! Sesungguhnya Allah SWT, Dia lah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Di hujung ayat ini, Allah SWT memberitahu lagi kepada kita sifat-Nya. Itulah kepentingan belajar tauhid menggunakan Al-Quran. Kita belajar tentang Allah SWT dari kalam-Nya sendiri. Bukannya belajar Sifat 20 yang tidak pasti dari manakah dalilnya.

Dua sifat yang disebut dalam ayat ini adalah sifat-sifat Jamaliah-Nya – sifat-sifat yang cantik yang manusia suka. Ada manusia yang melihat Allah SWT itu sebagai Tuhan yang garang padahal Allah SWT memberitahu tentang sifat-Nya yang Maha Pengampun dan belas kasihan-Nya di hujung ayat ini. Walaupun banyak manusia yang berbuat dosa, malah sampai melakukan syirik, sampaikan langit itu hampir pecah kerana kata-kata mereka, tetapi langit itu tidak pun pecah dan tetap utuh kerana sifat Allah SWT Yang Ghafir dan Rahim itu.

Dan Allah SWT masih tetap mengampunkan dosa syirik kepada mereka yang bertaubat kepada-Nya sebelum mati. Cuma kalau mati tidak sempat bertaubat dari dosa syirik itulah yang Allah SWT kata Dia tidak akan ampunkan. Kalau selagi belum mati, masih ada harapan lagi untuk Allah SWT ampunkan dosa. Tetapi kalau tidak belajar apakah tauhid dan apakah syirik, bagaimana manusia hendak minta ampun dari dosa-dosa syirik itu?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan