Utama Bilik (109) Beriman Dgn Akhirat Pendahuluan dan Hidayah

Pendahuluan dan Hidayah

219
0
Iklan

1. Pendahuluan – bab kepercayaan kepada hari Akhirat.

Selalu disebut di dalam Al-Quran supaya beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Adakah percaya sahaja hari Akhirat kelak wujud atau apakah sebenarnya maksud “percaya” itu?

1. Percaya Akhirat wujud, Neraka wujud, Syurga wujud, Mahsyar wujud. Adakah cukup hanya dengan percaya sahaja?

2. Percaya maksudnya di sini adalah tahu sungguh-sungguh akan hari Kiamat itu dan tahu akan keadaan Syurga, Neraka dan Mahsyar.

Memadaikah setakat percaya sahaja? Ramai umat Islam hanya percaya sahaja. Mereka tidak tahu pun Syurga itu macamana? Neraka macamana? Mahsyar macamana? Kasihannya kalau kita tidak tahu. Itu bukan beriman sempurna pada hari Akhirat. Itu main-main sahaja.

Allah SWT telah beri wahyu dan Nabi kita SAW menghuraikan dengan terperinci tetapi kita tidak buat bersungguh-sungguh untuk tahu pun. Kita hanya percaya. Bila Ayahaji mengajar di mana-mana masjid atau surau, “Tolong cerita sikit tentang Neraka?”

Mereka menjawab, “Neraka tempat azab. Di bakar”.
Bila ditanya, “Bagaimana apinya? Panasnya?”
Terpesir mereka lalu menjawab, “Panaslah tidak terbayang”.
Ayahaji bertanya lagi, “Bagaimana mereka dimasukkan ke dalam Neraka?”
Terus terdiam.

Bila Ayahaji bertanya tentang Syurga. Mereka tersenyum lalu berkata bahawa di sana ada bidadari, ada istana.
Ayahaji bertanya, “Bagaimana untuk ke Syurga?”
Terus terdiam.

Inikah “tahu” namanya?
Perumpamaannya, kita hendak ke America. Kita perlu pergi dengan kapal terbang, ada passport, ada duit, ada tempat tuju. Kita tahu apa yang hendak kita makan dan di mana. Kita juga tahu di mana hendak solat dan bagaimana. Tempat yang kita hendak pergi itu, kita tahu caranya ke sana, kita tahu musimnya; musim sejuk atau musim panas serta berbagai maklumat yang perlu kita tahu. Kalau kita cakap kita hendak ke America dan orang bertanya, “Di mana?” Lalu kita terus jawab, “Tidak tahu,” maka pelik sedikitlah. Selain itu, kita tahu berapa banyak duit untuk dibawa. Jika tidak tahu, itu sudah kira pelik sedikit.

Faham atau tidak maksud Ayahaji? Kita hendak ke Syurga tetapi Syurga itu sendiri kita tidak kenal. Kita takut ke Neraka, Neraka itu sendiri tidak kenal. Kita tahu kita akan dibicarakan,tetapi kita tidak tahu macamana perbicaraan itu berlaku sedangkan semua itu sudah diberitahu kepada kita dengan terperinci sekali.

Allahu Akbar! Percaya sahaja pada hari Akhirat tetapi tidak tahu apa-apa itu adalah suatu perbuatan yang cuai kepada diri sendiri. Insya Allah, Ayahaji akan cuba mengajar mengikut sedikit ilmu Ayahaji yang Allah SWT beri kepada Ayahaji.

2. Hidayah Milik Allah SWT

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

[Al-Qasas: 56]

Bab 1
Sesungguhnya kamu, penyebar tauhid, tidak ada kuasa untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang kamu kasihi.

Tafsir
Tiada sesiapapun yang Allah SWT beri kuasa memberi hidayah tauhid kepada sesiapa yang mereka kasihi iaitu anak-anak, isteri-isteri, suami, ibubapa, kerabat terdekat dan jauh, sahabat-sahabat baik, jiran-jiran, kenalan-kenalan dan lain-lain.

Bab 2
Akan tetapi Allah SWT jualah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia pilih.

Tafsir
Tugas penyebar tauhid hanyalah mengajak orang lain pada tauhid. Tidak diberi kuasa memberi hidayah itu kepada sesiapapun. Allah SWT sahaja yang berkuasa memberi hidayah. Allah SWT memberi hidayah-Nya kepada sesiapa yang ada tersemat di hati kecilnya hendak mencari kebenaran di antara tauhid dan syirik dan di antara amal soleh dan bid’ah. Tidak kiralah orang itu asal kafir atau tidak. Itupun di atas kehendak Allah SWT.

Bab 3
Dan Dia-lah Allah Maha Mengetahui terhadap orang-orang yang mendapat petunjuk atau hidayah.

Ajakan Tauhid.
Al-Kahfi ayat 4 dan 5 memberitahu tentang pentingnya mengajak orang pada tauhid. Ayat-ayat ini ialah ayat bab tawassul. Tidak ada lagi perantaraan dalam memohon doa melalui nabi-nabi, wali-wali atau malaikat-malaikat. Buruk sungguh kata-kata membolehkan bertawassul/perantara dalam berdoa yang keluar dari hati-hati orang-orang yang buruk sangka kepada Allah SWT.

Tidaklah Allah SWT mengajar mereka dari Al-Quran atau hadis-hadis nabi-Nya. Tidaklah mereka berkata atau tok-tok guru mereka yang mengajar akidah sesat tawassul itu, melainkan bohong sahaja.

فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِنْ لَمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا

[Al-Kahf: 6]

Bab 1
Maka boleh jadi kamu, penyebar tauhid, ingin membinasakan dirimu.

Tafsir
Bukanlah ayat ini kata Nabi SAW ingin bunuh diri atau guru-guru atau penyebar tauhid ingin bunuh diri.

Bab 2
Di atas kesan-kesan keingkaran mereka pada ajakan tauhid serta tidak akan beriman membuatkan penyeru-penyeru ini kecewa.

Tafsir
Bila diajak pada tauhid, lebih-lebih lagi kepada orang-orang yang kita hormati atau sayangi tidak terima ajakan itu, penyeru-penyeru itu akan menjadi sangat kecewa kerana mereka sayang kepada orang-orang itu. Seorang penyeru tidak boleh bunuh diri kerana dosa besar tetapi maksud ayat ini ialah penyeru itu tidak mahu lagi mengajak atau mengajar tauhid kepada orang-orang yang dia kasihi atau kepada orang lain. Tidak mengajak atau tidak mengajar tauhid ini adalah dosa besar kerana orang yang tahu tauhid wajib mengajak orang lain pada tauhid. Kalau tidak, dia sudah menyembunyikan perintah Allah SWT seperti tertera di surah [Al-Baqarah: 159-163].

Tempat orang-orang yang menyembunyikan perintah tauhid atau ayat-ayat Al-Quran ialah Neraka kekal. Oleh itu setiap orang yang mengajak orang lain pada tauhid tetapi ajakan mereka tidak diterima akan berasa kecewa. Itulah pahalanya, itulah juga ujiannya.

Janganlah kita berputus asa kerana itulah tugas dan tanggungjawab orang yang tahu tauhid. Sekiranya orang-orang yang dikasihi ini terus menolak tauhid, iaitu menolak agama Islam kita tidak boleh berdoa memohon keampunan mereka. Kita hanya boleh memohon hidayah mereka.

Contohnya, surah [Hud: 45], Allah SWT memberitahu bahawa Nabi Nuh AS merayu sambil meminta kepada Allah SWT bila anaknya mati lemas mengampuni dosa anaknya.

Ayat berikutnya, Allah SWT melarang Nabi Nuh AS meminta ampun akan dosa anaknya kerana anaknya bukan beramal soleh. Namun ini bukanlah maksud ayat itu tetapi ia adalah kata-kata pujukan Allah kepada Rasul-Nya, Nabi Nuh AS. Maksudnya, anak Nabi Nuh AS bukan beramal cara sunnahnya. Anaknya seorang yang ingkar tauhid.

Allah SWT berkata lagi, “Lain kali jangan kamu buat sesuatu yang dibuat oleh orang-orang jahil iaitu jangan kamu buat sesuatu yang kamu tidak ada ilmu atau tidak tahu”.

Nabi Nuh AS terus menjawab, “Aku berlindung dengan Zat-Mu dari sifat-sifat orang-orang jahil”. Maksudnya, lain kali aku tidak akan buat.

Doa Nabi Ibrahim AS pun sama, dia minta ampun untuk ayahnya yang syirik kepada Allah SWT. Itu tidak boleh. Di ayat lain Allah SWT berkata yang bermaksud, doa Nabi Ibrahim AS itu hanyalah janjinya kepada ayahnya sahaja. Allah SWT tidak terima.

Doa kepada orang-orang tauhid sahaja diterima. Doa kepada yang ingkar tauhid hanyalah meminta taufiq dan hidayah untuk mereka sahaja; tidak boleh minta ampun dosa.

Doa Nabi Luth AS adalah doa yang betul. Begitulah cara berdoa kepada Allah SWT untuk selamatkan dirinya, keluarga dan pengikut-pengikutnya. Itu pun hanya dua orang anak perempuannya sahaja yang ikut ajakan tauhid.

Wallahua’alam.

Komen dan Soalan