Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-57 hingga Ke-60

Tafsir Surah Al-An’am: Tafsir Ayat Ke-57 hingga Ke-60

212
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-57
Dalam ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ melarang menggunakan dalil daripada hawa nafsu. Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menerangkan apakah dalil yang sahih. Jadi ini adalah cara keenam untuk tabligh wahyu kepada manusia. Dan diajar bagaimana untuk menjawab golongan yang acah-acah minta azab disegerakan kepada mereka.

قُل إِنّي عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبّي وَكَذَّبتُم بِهِ ۚ ما عِندي ما تَستَعجِلونَ بِهِ ۚ إِنِ الحُكمُ إِلّا ِللهِ ۖ يَقُصُّ الحَقَّ ۖ وَهُوَ خَيرُ الفٰصِلينَ

Katakanlah: “Sesungguhnya aku tetap berada di atas (kebenaran yang berdasarkan) bukti-bukti yang nyata (Al-Qur’an) daripada Tuhanku; sedang kamu mendustakannya. Tidak ada padaku apa yang kamu minta disegerakan (dari azab seksa); hanya Allah jualah yang menetapkan hukum; Dia menerangkan kebenaran, dan Dia lah sebaik-baik yang memberi keputusan”.

قُلْ إِنِّي عَلَىٰ بَيِّنَةٍ مِّن رَّبِّي

Katakanlah: “Sesungguhnya aku berada di atas hujah yang nyata daripada Tuhanku,

Hujah yang nyata jelas itu adalah hujah-hujah daripada Al-Qur’an. Apa yang diberitahu dalam Al-Qur’an, kita akan ikut. Ia adalah dalil yang cukup sempurna dan ia adalah jelas. Mana mungkin ia tidak sempurna sedangkan ia datangnya daripada Allah ‎ﷻ?

Definisi بَيِّنَةٍ dijelaskan dengan panjang lebar dalam Surah al-Bayyinah. Ringkasnya, ia mempunyai dua elemen: dalil yang nyata dan karektor yang sempurna. Dalil yang nyata adalah Al-Qur’an dan penyampainya adalah Rasulullah.

وَكَذَّبْتُم بِهِ

sedang kamu mendustakannya.

Masdar ‘nya’ dalam ayat ini sama ada merujuk kepada ‘dalil yang nyata’ ataupun ‘Allah’ sendiri. Apabila manusia menolak dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan hadith, bermakna mereka menolak Allah ‎ﷻ sebenarnya.

Mereka menolak pula tanpa dalil. Kita beri dalil yang nyata daripada Al-Qur’an dan Sunnah, tetapi ramai yang menolak begitu sahaja, tanpa diberi dalil pun. Mereka cuma beri hujah akal sahaja selalunya. Mereka amat jahil sampai sangkakan hujah mereka kuat, hujah mereka terpakai. Padahal tidak, kerana agama ini memerlukan dalil daripada Al-Qur’an atau daripada perbuatan Nabi ﷺ. Inilah yang susah sangat masyarakat kita hendak faham kerana sudah lama jauh daripada didikan wahyu.

مَا عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ

Tidak ada padaku kuasa untuk menyegerakan kedatangannya.

Orang Musyrikin Mekah selalu minta kepada Nabi ﷺ untuk membawakan mukjizat, atau kalau betul mereka buat itu salah, segerakan datangnya azab itu. Kalimah ما dalam ayat ini bermaksud ‘azab’. Mereka sebenarnya mengejek Nabi Muhammad ﷺ dalam permintaan mereka itu. Sepatunya mereka minta diselamatkan daripada azab tetapi mereka tergesa-gesa menolak sampaikan minta azab disegerakan pula.

Nabi ﷺ disuruh memberitahu kepada mereka bahawa baginda tidak ada kuasa untuk mempercepatkan datangnya azab itu. Nabi ﷺ juga tidak ada kuasa untuk mengeluarkan mukjizat untuk diberikan kepada mereka. Baginda juga adalah manusia dan memang tidak ada kuasa untuk berbuat begitu.

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا ِللهِ

Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah

Keputusan untuk beri azab itu hanya ada pada Allah ‎ﷻ. Bagaimana cara, besar mana dan bilakah azab itu akan diberikan, terpulang kepada Allah ‎ﷻ.

Begitu juga, para Nabi tidak dapat mengeluarkan mukjizat dengan kehendak sendiri kerana ia adalah keputusan Allah ‎ﷻ semata-mata.

يَقُصُّ الْحَقَّ

Dia menerangkan yang haq.

Apa sahaja maklumat yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ adalah kebenaran belaka. Maka janganlah kita meraguinya. Allah ‎ﷻ tentunya akan memberikan penerangan yang jelas.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menjelaskan kebenaran. Apakah ‘haq’ itu? Haq itu diberikan oleh Allah ‎ﷻ untuk menzahirkan kebenaran kepada kita. Kebenaran apa? Iaitu Allah ‎ﷻlah sahaja Tuhan yang menjadikan alam ini. Hanya Dia sahaja yang layak disembah, tidak ada yang lain. Hanya kepada-Nya sahaja kita boleh berdoa.

وَهُوَ خَيْرُ الْفٰصِلِينَ

dan Dia Pemberi keputusan yang paling baik”.

Perkataan الْفَاصِلِينَ berasal daripada perkataan ف ص ل yang bermaksud ‘memisahkan’. Dalam konteks ayat ini الْفَاصِلِينَ bermaksud ‘pemberi keputusan’ kerana keputusan akan diberikan setelah yang haq dan batil akan dipisahkan. Allah ‎ﷻ juga akan pisahkan orang yang beriman dan kufur.

Terpulang kepada Allah ‎ﷻ: Allah ‎ﷻ boleh terus beri azab atau Allah ‎ﷻ boleh tangguh azab itu untuk beri peluang kepada manusia untuk bertaubat.

Tafsir Ayat Ke-58

قُل لَّو أَنَّ عِندي ما تَستَعجِلونَ بِهِ لَقُضِيَ الأَمرُ بَيني وَبَينَكُم ۗ وَاللهُ أَعلَمُ بِالظّٰلِمينَ

Katakanlah: “Kalau ada padaku (kuasa menurunkan) azab seksa yang kamu minta disegerakan kedatangannya itu, nescaya selesailah perkara (yang sedang berbangkit) antaraku dengan kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim”.

قُل لَّوْ أَنَّ عِندِي مَا تَسْتَعْجِلُونَ بِهِ

Katakanlah: “Kalau sekiranya ada padaku kuasa untuk mempercepatkan apa yang kamu minta itu,

Ini kalaulah Nabi ﷺ ada kuasa untuk mempercepatkan azab kepada mereka. Mereka sentiasa meminta-minta azab diturunkan dengan segera kepada mereka sebagai ejekan kepada Nabi. Bagaimana kalau memang benar Nabi Muhammad ﷺ ada kuasa itu?

لَقُضِيَ الْأَمْرُ بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ

tentu telah diselesaikan urusan antara aku dan kamu.

Kalau Nabi ﷺ ada kuasa untuk beri azab kepada mereka, tentu sudah lama mereka kena azab kerana Nabi Muhammad ﷺ pun adalah manusia juga. Tentunya Nabi ﷺ terkesan dan terasa hati dengan apa yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu. Nabi ﷺ tidak boleh sabar seperti Allah ‎ﷻ.

Allah itu al-Halil – Maha Lembut – bermaksud tidaklah Allah ‎ﷻ seperti kita, cepat sahaja menghukum orang yang buat salah dengan kita. Allah ‎ﷻ bersabar dengan hamba-Nya dan Allah‎ﷻ boleh beri tangguh lagi. Allah ‎ﷻ boleh sahaja lihat manusia buat syirik dengan tidak membuat apa-apa.

Sama juga dengan kita. Kalau kita ada kuasa, sudah lama kita akan kenakan sesuatu yang tidak baik dengan orang yang menentang kita. Sebab kita manusia bukan boleh sabar sangat. Mereka yang kata macam-macam tentang kita, ejek kita dan kutuk kita, tentulah kita marah kepada puak-puak ini.

Jadi, dengan rahmat Allah ‎ﷻlah, Allah ‎ﷻ tidak beri kuasa mengazab kepada manusia kerana kalau kita ada kuasa, tidak ada manusia yang hidup sekarang kerana semua sudah kena azab dan sudah lama mati.

وَاللهُ أَعْلَمُ بِالظّٰلِمِينَ

Dan Allah lebih mengetahui tentang orang-orang yang zalim.

‘Zalim’ dalam ayat ini adalah mereka yang buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ayat ini bermaksud bukan Allah ‎ﷻ tidak tahu siapakah yang zalim dan melakukan kezaliman. Bukanlah Allah ‎ﷻ tidak mengazab lagi mereka yang zalim itu kerana Allah ‎ﷻ tidak tahu mereka sudah melakukan kezaliman dan kesyirikan. Tidak. Bukan begitu. Allah ‎ﷻ tidak mengazab lagi kerana Allah ‎ﷻ hendak beri peluang lagi kepada mereka untuk bertaubat.

Ada hikmah kenapa Allah ‎ﷻ melambatkan azab itu. Berapa ramaikah Musyrikin Mekah yang masuk Islam setelah sekian lama menentang Nabi ﷺ? Sebagai contoh, Abu Sufyan yang menjadi ketua perang menentang Rasulullah namun akhirnya masuk Islam dan menjadi Muslim yang hebat. Begitu juga dengan Khalid al Walid dan ramai lagi. Kalau awal-awal lagi mereka diazab, tentu mereka tidak ada peluang untuk beriman.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah ‎ﷻ mengetahui segala perbuatan kita di dunia ini. Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan kita sama ada yang baik ataupun yang buruk. Sepatutnya kita takut dengan balasan Allah ‎ﷻ itu kalau kita buat perkara yang salah. Tetapi kalau kita buat perkara yang salah kepada manusia, kita takut sangat kalau mereka tahu.

Sebagai contoh, kalau kita sedang memandu dan tiba-tiba polis lalu, tentu kita rasa takut. Namun dalam masa yang sama kita tidak takut pada Allah ‎ﷻ padahal Allah ‎ﷻ Maha Tahu segala yang kita lakukan.

Tafsir Ayat Ke-59

Ini adalah ayat jenis Dalil Aqli. Ia menyebut tentang ilmu Allah ‎ﷻ yang maha luas.

۞ وَعِندَهُ مَفاتِحُ الغَيبِ لا يَعلَمُها إِلّا هُوَ ۚ وَيَعلَمُ ما فِي البَرِّ وَالبَحرِ ۚ وَما تَسقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلّا يَعلَمُها وَلا حَبَّةٍ في ظُلُمٰتِ الأَرضِ وَلا رَطبٍ وَلا يابِسٍ إِلّا في كِتٰبٍ مُّبينٍ

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.

وَعِندَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ

Dan hanya pada sisi Allah-lah kunci-kunci khazanah ghaib;

Tidak ada sesiapa selain Allah ‎ﷻ yang ada kunci khazanah perkara ghaib. Dalam ayat sebelum ini telah diberitahu yang Nabi Muhammad ﷺ tidak tahu perkara ghaib. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib (Para Rasul hanya tahu setelah diberitahu oleh Allah ‎ﷻ). Jadi kalau ingin mengetahui perkara ghaib, mesti dapatkan maklumat itu daripada Allah ‎ﷻ. Bukanlah kena dapatkan daripada guru sesat yang kononnya boleh tahu pula perkara ghaib. Itu karut sahaja.

Antaranya mereka kata guru mereka boleh “scan” jin. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu apa yang akan terjadi. Ada pula yang kata guru mereka boleh tahu bilakah hari Kiamat akan berlaku – pelbagai kesesatan yang disampaikan oleh mereka yang kadang-kadang digelar ‘guru’.

لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia (Allah),

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu perkara ghaib. Maka perkara ini perlu difahami benar-benar supaya tidak mudah ditipu oleh golongan sesat.

Antara masalah yang manusia hadapi adalah tentang jin. Maka ramailah manusia yang sangka ada orang yang boleh “scan” jin, nampak jin, kawal jin, kawan dengan jin, bunuh jin dan sebagainya. Padahal kalau kita baca dalam Surah Jin, Nabi ﷺ sendiri pun tidak dapat tahu kehadiran jin yang mendengar bacaan Al-Qur’an yang dibaca oleh baginda.

Salah satu perkara ghaib adalah kejadian masa hadapan. Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Malangnya banyak dalam kalangan manusia yang percaya masa hadapan boleh diramal. Jadi ada yang menggunakan ilmu Feng Shui, bomoh, ahli nujum, astrologi, Kad Tarot dan berbagai lagi cara syirik yang manusia lakukan.

Kalau dalam kalangan orang Islam pula, ada yang percaya terdapat wali-wali yang kononnya ada ilmu kasyaf iaitu tabir yang menghalang daripada melihat sesuatu perkara ghaib itu telah diangkat. Jadi orang itu kononnya boleh nampak perkara ghaib, boleh tahu masa hadapan, boleh ramal itu dan ini. Ini adalah satu penipuan. Ada melibatkan campurtangan jin dalam perkara ini.

وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ

dan hanya Dia yang mengetahui apa yang di daratan dan di lautan,

Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu segala-galanya yang terjadi dalam bumi ini, sama ada di daratan atau lautan. Maknanya, Allah ‎ﷻ tahu apa yang sedang berlaku di seluruh dunia. Dan itu hanya di dunia sahaja. Allah ‎ﷻ bukan hanya tahu hal di dunia ini, tetapi seluruh alam ini. Cuma ditekankan dalam ayat ini darat dan laut kerana kita tinggal di dunia ini dan kita boleh nampak daratan dan lautan setiap hari.

Ini pun termasuk dalam bab Tauhid juga. Perbincangan Tauhid bukanlah menceritakan tentang Allah ‎ﷻ sahaja satu-satunya Tuhan. Akan tetapi ada banyak lagi. Antaranya adalah beriktikad yang sifat-sifat Allah ‎ﷻ tidak dimiliki oleh mana-mana makhluk. Satu sifat pun tidak boleh diberikan kepada makhluk. Kalau itu berlaku, bermaksud kita telah melakukan syirik.

Antara syirik yang dilakukan oleh manusia adalah bab ilmu. Ada fahaman sesat yang mengatakan ada makhluk yang tahu ilmu ghaib. Sedangkan mengetahui ilmu ghaib, mengetahui segala-galanya adalah Allah ‎ﷻ sahaja.

Salah satu contoh adalah fahaman Sufi Bathiniah yang mengatakan ada wali-wali yang menjadi Ahli Naubah boleh tahu segala apa yang berlaku, yang akan berlaku dan mereka boleh menentukan apa yang akan berlaku.

وَمَا تَسْقُطُ مِن وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا

dan tiada sehelai daun (dan kelopak) pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya,

Kalau sebelum ini mengenai benda besar (alam) maka sekarang Allah ‎ﷻ sebut benda kecil-kecil pun Allah ‎ﷻ tahu. Allah ‎ﷻ berikan contoh daun yang di seluruh alam ini. Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja daun yang gugur, bilakah ia gugur, berapa lama masa yang diambil untuk ia gugur, di mana ia gugur dan selepas itu apa akan jadi kepada dedaunan dan kelopak bunga yang gugur itu dan segala-galanya tentangnya.

Kalau benda yang sekecil itu pun Allah ‎ﷻ tahu, apatah lagi kalau benda lain. Maknanya, Allah ‎ﷻ tahu segala perkara. Termasuk yang Dia tahu adalah segala perbuatan kita, segala detik hati kita. Maka kalau kita dapat faham perkara ini maka kita tidak akan berani hendak melakukan dosa kerana kita tahu yang Allah ‎ﷻ mengetahui segala perbuatan kita.

وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمٰتِ الْأَرْضِ

dan tidak sebutir biji pun dalam kegelapan bumi,

Allah ‎ﷻ tahu tentang biji-bijian dalam kegelapan malam pun. Ini termasuklah biji benih yang ditanam dalam tanah. Sudahlah bijian itu kecil, dalam kegelapan bumi pula lagi. Termasuk juga semua biji-bijian yang walaupun tidak tertanam dalam tanah. Tidak kiralah sama ada terdedah, tersembunyi atau tidak. Semuanya Allah ‎ﷻ tahu dan tidak ada yang tersembunyi bagi Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ tidak malu menggunakan contoh-contoh benda yang kecil pun untuk mengingatkan kita kepada-Nya. Sepatutnya kita dalam melihat kepada benda yang kecil pun boleh memikirkan tentang Allah ‎ﷻ.

وَلَا رَطْبٍ

dan tidak sesuatu yang basah

Perkataan رطب asalnya merujuk kepada buah tamar yang masih ranum, masih segar lagi. Semasa masak, ia berada dalam keadaan basah. Maka sebab itulah digunakan perkataan رَطْبٍ untuk merujuk kepada ‘sesuatu yang basah’.

Contoh tamar digunakan kerana masyarakat Arab amat biasa dengan buah tamar dan mereka adalah penerima wahyu yang awal. Maka, contoh-contoh dalam Al-Qur’an kebanyakannya akan menggunakan perkara-perkara yang mereka biasa dengannya.

وَلَا يَابِسٍ

atau yang kering,

Perkataan يبس adalah lawan kepada رطب. Jadi ia bermaksud sesuatu yang kering, kecut, sudah layu.

Ada juga yang mengatakan bahawa perkataan رطب merujuk kepada benda yang hidup seperti manusia dan binatang kerana semua yang bernyawa ada air di dalamnya.

Dan perkataan يبس merujuk kepada benda yang tidak bernyawa seperti batu, plastik dan sebagainya.

Kalimah رطب juga dikatakan bermaksud lidah yang ingat kepada Allah ‎ﷻ. Seperti sabda Nabi ﷺ yang menyuruh kita membasahkan lidah dengan zikir kepada Allah. Oleh itu, يَابِسٍ bermaksud lidah yang tidak zikir kepada Allah ‎ﷻ. Ini menunjukkan yang Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita lakukan. Termasuk sama ada kita zikir ataupun tidak.

إِلَّا فِي كِتٰبٍ مُّبِينٍ

melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfudz)”

Semuanya Allah ‎ﷻ tahu (Ilmu Ilahi) dengan segala terperinci. Apa sahaja yang wujud dan berlaku, ada pengetahuannya pada Allah ‎ﷻ. Ia sudah tertulis di dalam Kitab Lauh Mahfuz yang telah menulis semua perkara yang akan terjadi sampailah Kiamat nanti. Ia digelar kitab yang nyata kerana apa yang tertulis di dalamnya pasti akan berlaku dan tidak akan berubah.

Tafsir Ayat Ke-60

Ini satu lagi sifat Allah ‎ﷻ yang tidak ada pada sesiapa. Oleh kerana itu tidak boleh ingkar adanya Kiamat kerana Allah ‎ﷻ boleh buat apa sahaja. Sekarang Allah ‎ﷻ beri dalil dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ menggunakan contoh tidur yang setiap hari terjadi kepada kita.

Kiamat nanti kita akan mati, dan akan dihidupkan kembali. Sekarang belum Kiamat lagi tetapi Allah ‎ﷻ sudah beri perumpamaannya kepada kita dalam bentuk tidur dan bangun daripada tidur.

وَهُوَ الَّذي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيلِ وَيَعلَمُ ما جَرَحتُم بِالنَّهارِ ثُمَّ يَبعَثُكُم فيهِ لِيُقضىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى ۖ ثُمَّ إِلَيهِ مَرجِعُكُم ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ

Dan Dia lah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nyalah tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

وَهُوَ الَّذِي يَتَوَفّٰكُم بِاللَّيْلِ

Dan Dialah yang mengambil roh kamu di malam hari

Perkataan يَتَوَفَّاكُم daripada katadasar و ف ي yang bermaksud ‘mengambil sesuatu dengan lengkap’. Ambil sepenuhnya sehingga tiada apa-apa lagi yang tinggal. Selalunya digunakan untuk bermaksud ‘mematikan’ kerana keseluruhan Roh akan diambil oleh Allah ‎ﷻ apabila telah habis ajal seseorang.

Digunakan dalam ayat ini untuk bermaksud ‘tidur’ kerana waktu kita tidur, roh kita akan dipisahkan daripada badan. Manusia ada dua jenis roh. Satu dinamakan ‘roh hayat’ dan satu lagi ‘roh kesedaran’. Apabila kita tidur, hanya roh kesedaran kita sahaja yang diambil.

Tetapi kita tidak mati lagi kerana roh hayat masih ada lagi. Oleh kerana bukan semua roh diambil, maka perkataan يَتَوَفَّاكُم digunakan iaitu ia dalam bentuk isim fa’il. Allah ‎ﷻ menyebut bahawa Allah ‎ﷻ menidurkan kita seperti juga difirmankan dalam ayat [ Zumar: 42 [.

Kalimah اللَّيْلِ ‘Malam hari’ disebut dalam ayat ini kerana kebiasaannya manusia akan tidur waktu malam. Fitrah manusia memang memerlukan tidur di malam hari. Kalau kita tidak tidur di malam hari, maka kita telah melawan fitrah yang Allah ‎ﷻ telah jadikan untuk manusia. Maka akan ada masalah di siang hari nanti, jika kita melawan fitrah ini.

Malangnya, ramai yang tidur lambat di malam hari sampaikan mereka tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya pada siang hari. Ada yang buang masa dengan bermain game, ada yang clubbing dan sebagainya. Lainlah kalau dia beribadat, barulah ada faedah untuknya. Namun begitu, untuk qiyamullail juga, sunnah mengajar kita bagaimana Nabi ﷺ pun tidur sebelum baginda bangun mengerjakan salat malam.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa tidur itu diberi oleh Allah ‎ﷻ. Tidur itu pun suatu nikmat juga. Kalau Allah ‎ﷻ tidak berikan kita nikmat tidur walaupun di malam hari, maka kita pun tidak dapat tidur. Pusinglah macam mana pun, tetapi kita tidak dapat tidur.

Kita tidak dapat kawal sepenuhnya tidur kita. Kadang-kadang kita hendak sangat tidur tetapi tidak boleh tidur juga. Kadang-kadang kita tidak mahu tidur, tetapi Allah ‎ﷻ tidurkan juga kita. Sebagai contoh, kita sedang memandu tetapi keadaan mengantuk sangat dan mata (otak sebenarnya) buat keputusan untuk tidur sendiri (dipanggil micro sleep). Entah berapa ramai yang tertidur semasa sedang memandu itu dan kerana itu banyak kejadian kemalangan yang berlaku.

Jadi, kalau kita ada masalah dengan tidur kita, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk memperbetulkannya kerana tidur itu dikawal oleh Allah ‎ﷻ. Kita mintalah kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi nikmat tidur kepada kita. Tidur ini pun memang satu masalah besar kepada manusia. Memang kita memerlukan kualiti tidur yang bagus. Bukan sahaja dapat tidur, tetapi ‘kualiti’ tidur itu pun penting juga. Ini dinamakan “deep sleep”.

Kalau kita tidak dapat tidur di malam hari, mungkin itu bermakna Allah ‎ﷻ hendak kita salat dan berdoa kepada-Nya. Mungkin waktu itulah kalau kita berdoa, doa itu akan dimakbulkan. Daripada berpusing-pusing atas katil tidak boleh tidur, baik kita bangun untuk salat, baca Al-Qur’an dan berdoa kepada-Nya.

Maka Allah ‎ﷻhendak memberitahu yang Dia boleh ‘matikan’ kita di malam hari, Allah ‎ﷻ boleh ambil roh kita bagaimana Dia kehendaki. Maka Allah ‎ﷻ tentu sahaja boleh mematikan kita terus dan jadikan Kiamat sebagaimana kehendak Dia.

وَيَعْلَمُ مَا جَرَحْتُم بِالنَّهَارِ

dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari,

Tadi Allah ‎ﷻ menceritakan tentang malam. Sekarang Allah ‎ﷻ sebut tentang siang pula. Apa sahaja yang kita lakukan pada siang hari, Allah ‎ﷻ mengetahui mengenainya. Kalimah جَرَحْتُم daripada katadasar ج ر ح yang asalnya bermaksud ‘memberi luka kepada seseorang’.

Dalam ayat ini boleh bermaksud ‘perbuatan yang dilakukan oleh seseorang’. Macam-macam perbuatan yang kita lakukan sepanjang hari. Perbuatan itu boleh jadi perbuatan yang baik dan boleh jadi perbuatan yang jahat.

Jadi, Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang kita lakukan sepanjang hari kita. Oleh itu hendaklah kita memikirkan apakah yang kita lakukan sepanjang hari dari pagi sampai ke malam. Adakah ia sesuatu yang buang masa sahaja atau adakah ia sesuatu yang akan beri manfaat kepada kita di hari akhirat nanti? Tidakkah kita malu yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan perbuatan kita itu kalau perbuatan kita itu mengundang dosa?

ثُمَّ يَبْعَثُكُمْ فِيهِ

kemudian Dia membangunkan kamu padanya (siang hari)

Setelah kita telah tidur di malam hari kemudiannya apabila menjelangnya siang, maka Allah ‎ﷻ akan bangunkan kita. Bangun di siang hari juga adalah satu nikmat. Kerana ada yang Allah ‎ﷻ tidak bangunkan terus. Sebab itu kita diajar untuk mengucapkan syukur apabila kita bangun daripada tidur. Lihat doa yang diajar oleh Rasulullah:

الحَمْد لِلّهِ الّذِي أَحْيَانَا بَعْدَمَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْر

Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kami selepas mematikan kami dan kepada-Nya kami akan kembali.

Waktu siang memang waktu untuk berjaga. Sebab itu adalah amat susah untuk kita tidur pada siang hari. Sudahlah cahaya terang, bunyi pula bising ketika itu kerana memang manusia lain sedang bekerja dan bergerak. Memang waktu siang bukan keadaan yang sesuai untuk tidur kecuali kalau kita penat sangat atau kita tidak sihat pada waktu itu.

Tujuan apa Allah ‎ﷻ hidupkan kita semula di pagi hari?

لِيُقْضَىٰ أَجَلٌ مُّسَمًّى

untuk disempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan,

Masa kita daripada kita mula lahir sampai kita mati telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Itulah yang dinamakan ‘ajal’. Ajal itu bermaksud masa yang telah ditetapkan dari saat kita lahir sampailah kita menghembuskan nafas kita yang terakhir. Kita akan memenuhkan masa itu. Selagi belum sempurna masa itu, Allah ‎ﷻ akan beri kita bangun daripada tidur lagi.

Kalimah لِيُقْضَىٰ bermaksud ‘untuk disempurnakan’. Bermakna kehidupan kita di dunia ini bukan untuk disia-siakan. Ada tujuan kita hidup ini dan ia hendaklah disempurnakan.

Satu persoalan: memang kita tahu tujuan dan tugas kita di dunia ini iaitu untuk menjadi hamba Allah ‎ﷻ dan beribadat kepada-Nya. Tetapi BAGAIMANA kita memenuhi tanggungjawab itu? Sepanjang kita hidup dari pagi sampai ke malam hari, adakah kita buat sesuatu untuk mencapai tujuan hidup kita itu?

ثُمَّ إِلَيْهِ مَرْجِعُكُمْ

kemudian kepada Allah-lah kamu kembali,

Sama ada kamu mahu atau tidak, kamu akan dimatikan dan akan dikembalikan kepada Allah ‎ﷻ. Sama ada kamu bersedia atau tidak. Sama ada kamu muda atau tua. Kematian datang tidak mengenal usia. Bila-bila masa sahaja boleh mati kerana tidak diketahui bilakah saat kita akan mati.

Maka, hendaklah kita bersedia setiap masa. Entah-entah sekejap lagi kita akan mati. Maka sampai satu masa, Allah ‎ﷻ akan mematikan semua makhluk dan semuanya akan kembali mengadap Allah ‎ﷻ. Maka jangan kita tangguh untuk bertaubat, untuk memperbaiki keadaan kita, untuk buat persediaan kepada akhirat.

ثُمَّ يُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

lalu Dia memberitahukan kepadamu apa yang dahulu kamu kerjakan.

Kalimah يُنَبِّئُكُم daripada perkataan naba’ yang bermaksud ‘maklumat-maklumat yang penting’. Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya yang kita telah lakukan dalam hidup kita semenjak kita lahir sampai kita mati. Kita sendiri lupa semua yang kita lakukan tetapi Allah‎ ﷻ tidak lupa.

Kalau setakat semalam dan pagi tadi, mungkin kita masih ingat lagi, tetapi apakah yang terjadi semasa kita berumur 20 tahun? Allah ‎ﷻ tahu segala apa yang kita telah lakukan dan hari akhirat nanti Allah ‎ﷻ akan memberitahu semula kepada kita apakah nilai segala perbuatan tersebut. Dan Allah ‎ﷻ akan balas, sama ada dengan kebaikan atau dengan keburukan, bergantung kepada apakah amalan itu.

Ini bermakna, bukan sia-sia sahaja kita dibangkitkan kelak. Bukan untuk suka-suka, tetapi akan dibentangkan apakah yang kita telah lakukan.

‘Yang dahulu kamu kerjakan‘: ini bermakna, tiada ‘pahala pos’ atau ‘pahala sedekah’ daripada majlis tahlil, daripada bacaan Al-Qur’an orang lain. Tidak ada. Hanya apa yang kita lakukan sahaja yang akan menjadi pahala. Beratus kali ayat seperti ini diulang di dalam Al-Qur’an. Sebab Allah ‎ﷻ hendak beritahu kepada kita bahawa memang tidak ada sedekah pahala. Maka, amalan tahlil untuk sedekah pahala itu adalah sia-sia, kerana tidak sampai.

Dan amatlah sia-sia apabila kita dengar sahaja orang mati, ramai yang terus automatik sebut: ‘Al-fatihah’. Mereka yang buat seperti itu berniat hendak menghadiahkan pahala bacaan fatihah itu kepada si mati. Namun itu bukan daripada ajaran Islam yang sunnah dan ia adalah amalan yang sia-sia sahaja.

Allah ‎ﷻ menceritakan semula apa yang kita telah lakukan itu bukan sengaja suka-suka untuk bercerita, tetapi Allah ‎ﷻ hendak mengadili dan akan menghukum segala perbuatan kita itu.

Allahu a’lam.

#Ilmu#Prihatin#Amal

Komen dan Soalan