Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-32 dan Ke-33

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-32 dan Ke-33

3268
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-32

Malaikat adalah sejenis makhluk yang tidak makan, tidak minum, tidak tidur dan sebagainya. Maka, mereka tidak perlu kepada benda-benda itu. Maka Allah tidak mengajar tentang benda-benda itu kepada mereka.

قالوا سُبحانَكَ لا عِلمَ لَنا إِلّا ما عَلَّمتَنا ۖ إِنَّكَ أَنتَ العَليمُ الحَكيمُ

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

قَالُوا سُبْحَانَكَ

Malaikat jawab: “Maha Suci Kamu, Tuhan”

Subhanallah – Maha Suci Engkau daripada jahil. Kami sahaja yang jahil, tetapi Engkau tidak. Kami tidak tahu melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami. Engkau sahaja yang Maha Mengetahui.

لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا

“Tidaklah ada pengetahuan pada kami melainkan apa yang Engkau ajar kepada kami”.

Malaikat tengok benda-benda itu tetapi tidak boleh hendak menyebut namanya.

Mungkin ada yang kata, mana adil kalau begitu – ajar nama benda-benda kepada Nabi Adam dan kemudian tanya beliau, dengan tanya kepada malaikat tanpa diajar nama-nama benda itu. Ini bukan isu adil atau tidak. Allah beri ilmu kepada Nabi Adam dan kerana itu adalah kelebihan kepada baginda. Allah boleh beri kelebihan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Itu hak Allah.

Ada juga yang kata Allah ajar juga nama benda-benda itu kepada malaikat, tetapi mereka tidak boleh hendak ingat, kerana manusia seperti ada ‘chip’ untuk membolehkan kita mengingati dalam jangka yang lama. Ini pandangan kedua, dan dua-dua pendapat boleh dipakai.

إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ

“Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.

Allah yang Maha Tahu segala-galanya, ilmu Allah tidak terbatas.

Al-Hakim maksudnya Maha Bijaksana. Maha Bijaksana Engkau yang buat keputusan manakah pengetahuan yang diketahui oleh satu makhluk dan tidak yang lainnya.

Ayat ini hendak mengatakan, kalau tidak kerana kurnia Allah untuk memberikan ilmu kepada kita, kita tidak akan tahu apa-apa, sama ada ilmu tentang agama atau ilmu tentang kehidupan juga.

Tafsir Ayat Ke-33:

Selepas bercakap dengan para malaikat, Allah kembali berfirman kepada Nabi Adam.

قالَ يا آدَمُ أَنبِئهُم بِأَسمائِهِم ۖ فَلَمّا أَنبَأَهُم بِأَسمائِهِم قالَ أَلَم أَقُل لَكُم إِنّي أَعلَمُ غَيبَ السَّماواتِ وَالأَرضِ وَأَعلَمُ ما تُبدونَ وَما كُنتُم تَكتُمونَ

“Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan?”.

قَالَ يَا آدَمُ أَنْبِئْهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ

“Allah berkata kepada Nabi SAW Adam: Ceritalah kepada mereka nama-nama benda itu”.

Setelah para malaikat tidak tahu apakah nama benda-benda itu, Allah suruh Nabi Adam pula yang beritahu.

فَلَمَّا أَنْبَأَهُمْ بِأَسْمَائِهِمْ

“Tatkala Nabi SAW Adam menceritakan kepada mereka nama benda-benda itu”.

Huruf ‘ف’ dalam ayat ini menunjukkan Nabi Adam terus jawab, tidak perlu fikir lama, sebab baginda memang sudah tahu. Allah telah berikan kelebihan ilmu kepada Nabi Adam.

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ

“Allah berkata: Tidakkah aku telah katakan kepada kamu bahawa Aku mengetahui apa yang ghaib yang berada di tujuh petala langit dan tujuh petala bumi”.

Yang tahu segala perkara ghaib hanya Allah SWT sahaja. Maka, jangan kita kata ada makhluk lain yang tahu ilmu ghaib.

Sebagai contoh, ada kalangan orang Melayu kita kata tok bomoh tahu benda ghaib.

Dan golongan Syiah kata para imam mereka itu tahu hal ghaib. Itu adalah fahaman syirik. Hanya Allah sahaja yang tahu hal ghaib.

وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ

“dan Aku Maha Mengetahui apa yang kamu nyatakan”

Apa yang malaikat sebut, Allah tahu. Iaitu malaikat telah berkata yang manusia akan berbuat kerosakan dan menumpahkan darah.

وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُونَ

“dan apa yang kamu sembunyikan

Allah juga tahu apa yang disembunyikan sama ada malaikat atau apa-apa sahaja makhluk yang mahu menyembunyikan sesuatu, Allah pasti tahu.

Persoalan di sini adalah, kenapa Allah kata ‘apa yang kamu sembunyikan’?. Takkan malaikat hendak sorok dari Allah pula. Jadi ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah Iblis. Kerana Iblis waktu itu adalah berada dalam kalangan malaikat. Dialah yang menyembunyikan sesuatu. Malaikat yang lain pun tidak tahu apakah yang disimpan oleh Iblis waktu itu.

Iblis sebenarnya dari kalangan jin dan sesama jin, Iblis pernah kata kepada mereka yang Allah tidak akan buat makhluk yang lebih mulia dari mereka. Itulah yang disembunyikan oleh Iblis. Tapi Allah tahu juga. Sama sahaja sama ada luahkan atau tidak, Allah tahu.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa manusia lebih mulia dari malaikat dan jin kerana ilmu. Kelebihan itu kerana ilmu, bukan kerana amal. Jadi kalau tiada ilmu, tiadalah kelebihan kepada kita. Maka kita kenalah prihatin kepada kelebihan kita ini. Dan ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu Makrifah. Makrifah bermaksud ‘kenal’ dan yang penting kita kenal adalah Allah. Iaitu kenal ilmu tentang tauhid kepada Allah. Inilah ilmu yang terpenting sekali yang dengannya akan menyebabkan Allah akan masukkan hamba-Nya ke dalam syurga. Dan untuk kenal Allah, kenalah kenal melalui wahyu Al-Quran.

nota: ini bukan ilmu ‘makrifat’ yang digembar-gemburkan oleh golongan tarekat itu. Mereka tidak belajar tafsir Al-Quran tetapi cuba hendak kenal Allah melalui cara yang direka-reka.

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan