Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-26

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-26

3851
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-26

Latar belakang ayat: Ayat ini adalah jawapan bagi kesamaran kedua yang ada pada Musyrikin Mekah dan mereka yang tidak beriman dengan Al-Quran.

Kesamaran pertama: kita telah belajar bagaimana mereka tidak yakin bahawa Al-Quran itu dari Allah SWT. Maka, Allah SWT telah mencabar mereka untuk buat suatu surah yang sama dengan Al-Quran. Sudah tentu mereka tidak boleh buat.

Kesamaran kedua: Manusia apabila mereka tidak boleh lawan dengan menggunakan hujah, mereka mula akan menghina. Mereka beri gelaran untuk menghina dan memberi aib. Ini datang dari bisikan syaitan. Ini adalah sifat manusia yang mudah termakan dengan bisikan syaitan.

Seperti zaman sekarang, apabila ada yang tidak dapat berhujah dengan golongan yang sunnah, mereka akan beri gelaran wahabi kepada mereka. Berilah berbagai-bagai-bagai dalil akhirnya mereka akan kata, “Ah!puak wahabi memang begitu!”.

Selepas tidak dapat mendatangkan surah yang sama seperti Al-Quran, puak kafir Mekah telah mengkritik Al-Quran. Mereka kata ada kekurangan dalam Al-Quran. Namun hujah mereka itu amat lemah sekali. Mereka tidak peduli kerana pada mereka asal sahaja mereka dapat mengkritik. Tidak peduli sama ada kritikan itu bijak atau tidak.

Oleh yang demikian, orang yang degil akan menggunakan kata-kata yang buruk apabila mereka tiada hujah. Mereka hendak burukkan juga perkara yang benar supaya ditolak oleh manusia yang lain. Mereka hendak jatuhkan juga orang lain dengan cara memburukkan individu yang memberi hujah tersebut.

Jadi, ayat ini adalah kritikan mereka yang jahil untuk mencela Al-Quran.

Mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini, sama ada Musyrikin Mekah atau Yahudi, sememangnya mereka tidak boleh lawan hujah-hujah kuat yang diberikan oleh Allah. Maka, Musyrikin Mekah yang kehabisan idea telah pergi ke Madinah (yang bernama Yathrib waktu itu) untuk berjumpa dengan pendita-pendita Yahudi dengan tujuan untuk mencari hujah untuk melawan dan mengalahkan Nabi Muhammad SAW dan bukannya untuk mencari kebenaran.

Apabila Musyirikin Mekah berjumpa dengan ahli kitab, ahli kitab pun mengambil kesempatan ke atas mereka. Ahli Kitab telah nampak bahawa ini adalah ruang dan peluang untuk menjatuhkan Islam dari dalam kerana mereka tahu Musyrikin Mekah itu adalah jenis tidak ada kitab dan jahil. Ahli kitab ini boleh bercakap apa sahaja dan akan dipercayai oleh Musyrikin Mekah itu.

Maka, ahli kitab ini telah membuat kajian tentang ayat-ayat Al-Quran yang Nabi sampaikan itu. Mereka kata dalam ayat-ayat itu ada perumpamaan tentang lalat, lebah, labah-labah dan nyamuk. Mereka pun beritahu kepada Musyrikin Mekah yang datang itu bahawa tidak layak jika Kalam Allah menggunakan perumpamaan yang remeh temeh macam itu. Mana mungkin Allah yang Maha Mulia dan Maha Besar itu menggunakan benda-benda kecil sebagai contoh! Maka Yahudi kata, Al-Quran itu pastinya bukanlah Kalam Allah.

Musyrikin Mekah itu pun membawa balik apa yang diberitahu oleh Yahudi itu dan menjajakan kisah itu di Mekah. Tujuannya adalah untuk menjatuhkan Nabi Muhammad SAW. Inilah nasib orang jahil yang tiada neraca untuk membandingkan antara perkara yang benar dan yang salah.

Mereka hanya ikut apa yang orang kata dan percaya bulat-bulat walaupun hujah yang diberikan itu tidak kuat. Maka, berpeluanglah Yahudi untuk cuba menjatuhkan Islam melalui penduduk Mekah.

Ataupun mungkin juga Musyrikin Mekah sendiri dengar ayat-ayat Al-Quran tentang perumpamaan itu dan mereka kritik terus sebab mereka memang hendak menolaknya. Jadi, sama ada mereka diberi idea oleh Yahudi atau mereka sendiri yang dapat idea itu (dibisikkan oleh syaitan).

Begitulah latar belakang ayat ini. Inilah kepentingan belajar tafsir, supaya kita dapat tahu apakah latar belakang ayat kerana jika tidak, agak sukar hendak memahaminya jika baca sendiri.

إِنَّ اللَّهَ لا يَستَحيي أَن يَضرِبَ مَثَلًا

“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja”,

Maka Allah SWT telah memberi jawapan dalam ayat ini tentang kesamaran mereka itu. Allah SWT tidak malu untuk menggunakan bandingan dengan makhluk yang kecil supaya bandingan itu dapat memberi hidayah kepada manusia dan memberi kesan kepada pemahaman manusia. Allah SWT tidak kisah hendak mengajar makhluk-Nya dengan menggunakan makhluk-Nya sekecil mana pun.

Menggunakan perumpamaan adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengajar manusia. Allah SWT tahu diri kita maka, Allah SWT sudah jadikan satu cara belajar, iaitu untuk kita beri pemahaman tentang perkara yang baru, kita bandingkan dengan perkara yang mereka telah tahu.

Sebagai contoh, kita hendak ajar anak kita tentang kabinet kerajaan. Kita gunakan hierarki dalam keluarga kerana mereka sudah faham tentang keluarga kita. Kita kata kepadanya: “Perdana menteri itu macam abahlah dan Timbalan Perdana Menteri itu macam ibu” dan sebagainya. Maka, banyak ayat-ayat bandingan atau analogi yang digunakan di dalam Al-Quran.

ما بَعوضَةً فَما فَوقَها

“(seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih kecil daripadanya”.

Allah juga ada menggunakan contoh-contoh binatang kecil yang lain seperti lalat. Bagaimanakah Allah gunakan lalat sebagai perumpamaan? Iaitu dengan menunjukkan betapa lemahnya sembahan mereka itu hinggakan tidak boleh hendak halau lalat yang singgah padanya. Allah SWT hendak tunjuk betapa bodohnya mereka.

Labah-labah pula dijadikan sebagai perumpamaan lemahnya pergantungan mereka kepada sembahan mereka yang selain Allah SWT. Ianya seperti sarang labah-labah, malah lebih teruk lagi.

Allah SWT tidak malu, sebab semua itu Dia juga yang cipta. Manusia tidak boleh cipta sayap nyamuk pun. Memang ada lagi makhluk yang lebih kecil dari nyamuk. Hadis Nabi berkenaan dengan sebelah sayap iaitu lebih kecil lagi daripada keseluruhan badan nyamuk.

Rasulullah SAW pernah bersabda, “Seandainya dunia ini sama nilainya dengan sayap nyamuk di sisi Allah SWT, nescaya Dia tidak akan memberikan minuman dari dunia itu kepada orang kafir, meskipun hanya seteguk air” (HR. Tirmidzi. Syeikh Albani menshahihkan hadis ini).

Mereka sangka nyamuk itu benda kecil, tetapi sekecil-kecil nyamuk, kalau kita tidur dia kacau, boleh tidak tidur jadinya.

Sekecil-kecil nyamuk, bila bawa virus malaria, satu negara boleh hapus.

Sekecil-kecil nyamuk, jika bawa denggi, satu keluarga, satu kampung boleh demam.

Sekecil-kecil nyamuk, entah berapa ramai yang dapat rezeki kerana nyamuk – berniaga buat kelambu, buat ubat nyamuk, klinik dan hospital yang jaga orang demam dan bermacam lagi.

فَأَمَّا الَّذينَ آمَنوا فَيَعلَمونَ أَنَّهُ الحَقُّ مِن رَبِّهِم

“orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka”.

Disebabkan mereka beriman, mereka terima bahawa perumpamaan itu dari Allah SWT. Walaupun mereka mungkin tidak faham dengan perumpamaan itu kerana untuk memahami sesuatu misalan yang dibuat oleh Allah SWT, memerlukan intelek dan pengajian juga. Kena belajar dengan orang yang sudah tahu. Bila diberitahu persamaan antara kedua perumpamaan itu, barulah kita, “Oh! itu maksudnya.”

Perumpamaan itu penting untuk diketahui kerana ada sebab yang hendak disampaikan oleh Allah SWT. Kadangkala perumpamaan itu tidak jelas kepada yang tidak belajar. Walaupun seorang mukmin itu tidak faham apakah maksud perumpamaan Allah SWT itu, tetapi dia terima bahawa itu adalah dari-Nya. Mereka terima seadanya namun, tetap juga kena belajar kerana sampai bila hendak jadi jahil?

وَأَمَّا الَّذينَ كَفَروا فَيَقولونَ ماذا أَرادَ اللَّهُ بِهٰذا مَثَلًا

“dan orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?”

Orang yang baca Al-Quran ini ada beberapa jenis. Ada yang baca untuk mencari kebenaran, maka mereka akan mendapat maklumat yang akan menguatkan iman mereka; dan ada yang membaca sebab hendak menolaknya, maka mereka akan berjumpa dengan sesuatu yang dia rasa sebagai hujah untuk menolak Al-Quran itu. Jika belajar Al-Quran untuk tolak, maka seseorang itu akan sesat, tetapi jika baca sebab hendak faham dan ikut maka, Allah akan beri hidayah kepada orang itu.

Amat berbahaya jika sebelum baca Al-Quran, mereka sudah ada pemahaman yang salah. Jadi, bila mereka baca Al-Quran, mereka ‘jumpa’ pula hujah mereka untuk menyokong fahaman salah mereka itu. Pernah saya membaca pendapat seorang gay. Bila dia baca Al-Quran, dia kata ada pula ayat-ayat Al-Quran yang mengatakan dalam syurga nanti Allah akan beri budak-budak lelaki untuk ahli syurga!

يُضِلُّ بِهِ كَثيرًا

“Dengan Al-Quran itu boleh menyesatkan kebanyakan manusia”.

Sama ada dimaksudkan dengan perumpamaan itu atau dengan Al-Quran sendiri, boleh menyebabkan orang menjadi sesat kerana pada asalnya mereka memang tidak beriman. Ada orang yang tidak belajar tafsir Al-Quran dengan benar, maka mereka tidak faham apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT. Mereka cuba hendak faham sendiri dan fahaman itu salah. Ataupun mereka diajar oleh guru yang tidak juga belajar tafsir Al-Quran, maka mereka akan tersesat. Itulah bahayanya kalau faham Al-Quran bukan dengan cara pemahaman para sahabat dan salafussoleh. Kita pun banyak dengar tentang golongan Anti-Hadis, bukan? Itulah mereka yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran sendiri untuk menyokong hujah sesat mereka. Ada banyak lagi golongan lain sebenarnya.

وَيَهدي بِهِ كَثيرًا

 “Dan dengan Al-Quran juga boleh memberi hidayat kepada ramai manusia”.

Kalau seseorang itu membaca Al-Quran kerana hendak mencari kebenaran, orang yang baca Al-Quran akan berjumpa dengan kebenaran tersebut. Berapa banyak kita dengar kisah orang kafir, diberikan dengan Al-Quran, mereka baca sendiri dan mereka jumpa kebenaran di dalamnya. Allah SWT beri mereka faham kerana mereka ada keinginan ke arah tersebut. Jika hati sudah mahu kepada kebenaran, Allah akan bawa orang itu sedikit demi sedikit kepada kebenaran.

وَما يُضِلُّ بِهِ إِلَّا الفاسِقينَ

“dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab Al-Quran itu melainkan orang- orang yang fasik”.

Allah tidak akan menyesatkan seseorang dengan Al-Quran, melainkan kepada orang yang fasik iaitu yang memang hendak tolak Al-Quran. Fasik itu bermaksud keluar dari taat, iaitu mereka yang tidak mahu ikut wahyu. Dalam hati mereka memang sudah ada kejahatan, hendak puaskan nafsu dia sahaja, memang mereka akan jadi sesat. Orang-orang sebegini kerana mereka hendak sesat, maka Allah beri mereka peluang untuk menjadi sesat.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan