Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Kelas 5 : Tafsir الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Kelas 5 : Tafsir الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

604
0
Iklan

Tafsir : الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ Alhamdulillahi Rabbil Aalameen
“Segala Puji Yang Khusus Buat Allah:”

Dalam ayat ini, Allah mengajar kita untuk memujiNya sebelum berdoa kepadaNya.

Maksud kalimah الحَمدُ لِلَّهِ َselalunya diterjemahkan: ‘segala puji kepada Allah’. Tapi mungkin ada persoalan, takkan segala puji bagi Allah sahaja, sedangkan kita pun ada puji yang lain, bukan? Sebagai contoh, kita pun ada puji orang lain yang baik-baik juga, bukan? Oleh itu, ulama tafsir kata, walaupun kita puji selain Allah, segala puji itu pergi juga kepada Allah. Kerana kalau orang itu baik pun, Allah juga yang jadikan dia baik, bukan? Kalau dia cantik, siapa yang cantikkan dia kalau bukan Allah? Maknanya, apa-apa sahaja yang kita puji, ianya akan pulang kepada Allah juga. Itulah sebabnya dikatakan segala puji itu untuk Allah akhirnya.

Pujian ada banyak jenis:

1. Pujian Allah kepada diriNya. Banyak dalam Qur’an.
2. Pujian Allah kepada makhluk. Contohnya pujian Allah kepada Nabi dan orang beriman.
3. Pujian makhluk kepada Allah. Ini sesuatu yang biasa, seperti yang kita lakukan dalam lafaz alhamdulillah.
4. Pujian makhluk kepada makhluk. Sebagai contoh, kita selalunya memuji orang lain kerana mereka cantik, pandai atau sebagainya.

Semua jenis pujian itu sebenarnya pulang balik kepada Allah. Kerana Allah lah yang menyebabkan semua itu terjadi.
Marilah kita lihat keindahan bahasa yang digunakan dalam Quran ini berkenaan perkataan ini. Perkataan الحَمدُ bukan hanya bermaksud ‘pujian’ sahaja. Ia sebenarnya mempunyai dua maksud: ‘pujian’ dan juga ‘terima kasih’.

Dua-dua makna itu terangkum dengan indahnya dalam perkataan الحَمدُ itu. Kalau pujian, dalam bahasa Arab, ianya adalah ‘madh‘. Dan terima kasih dalam bahasa Arab adalah ‘syukr‘. Apabila dua perkataan itu digabungkan, ianya adalah dengan menggunakan satu perkataan sahaja الحَمدُ, sudah merangkum kedua-dua makna. Itulah indahnya bahasa Arab. Sebab itulah Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Dan sebab itulah kita sepatutnya belajar bahasa Arab supaya kita faham dengan lebih mendalam lagi Quran ini.

Kenapa ianya indah? Kerana kadang-kadang kita puji seseorang dan tidak berterima kasih kepadanya; dan kadang kita berterima kasih tetapi memujinya

1. Berterima kasih tapi tidak memuji: contohnya Nabi Ibrahim berterima kasih kepada bapanya kerana telah menjaganya sejak dari kecil, tetapi baginda tidak memuji bapanya kerana kesyirikan bapanya.

2. Memuji tetapi tidak berterima kasih : contohnya kita nampak kereta cantik dan hebat, kita puji kereta itu tetapi tidaklah kita berterima kasih kepadanya kerana tidak ada jasa pun kereta itu kepada kita.

Tetapi, kepada Allah, dengan sebutan alhamdulillah satu itu sahaja, terangkum dua makna itu. Kerana kita puji Allah kerana kebesaran Allah dan dalam masa yang sama kita berterima kasih kepada Allah kerana segala nikmat yang telah diberikan kepada kita.

Satu cara lagi untuk tafsir adalah kita nisbahkan pujian dalam itu kepada sebab Qur’an diturunkan. Qur’an mula sekali diturunkan kepada Arab Mekah. Kita kena tahu yang orang Arab Mekah memang dah pakai lafaz الحَمدُ dah sebelum Islam. Mereka tujukan pujian itu kepada ilah-ilah mereka. ilah-ilah mereka itu adalah dalam bentuk berhala, wali, Jin, malaikat dan sebagainya. Allah nak beritahu bahawa apa yang mereka buat itu salah. Kena guna lafaz الحَمدُ hanya kepada Allah sahaja. Yang mereka beri kepada ilah-ilah mereka itu, sepatutnya hanya untuk Allah sahaja. Iaitu pujian yang ‘khusus’. Bukan semua pujian, tetapi pujian yang layak diberikan kepada ilah sahaja.

Kita selalu menyebut alhamdulillah ketika kita mendapat nikmat, dapat gaji, dapat hadiah dari kawan dan sebagainya. Tapi bagaimana kalau kita dapat musibah? Wang kita hilang, kesihatan kita ditarik balik? Jarang yang akan sebut alhamdulillah waktu itu. Adakah Allah tidak terpuji waktu itu? Satu nikmat ditarikNya, tapi entah berapa banyak nikmat lain telah dan sedang diberikanNya kepada kita, tapi fikiran kita hanya ingat musibah itu sahaja. Janganlah kita jadi begitu… kita adalah umat yang memuji dan berterima kasih kepada Allah sentiasa. Kita kena sebut: alhamdulillah ala kulli hal… segala pujian yang khusus untuk Allah dalam segala hal….

Baik, sekarang kita masuk perbincangan tentang lafaz الله pula.

Allah mempunyai banyak nama, tapi Allah menggunakan namaNya اللَّهِ dalam ayat ini. Ini adalah kerana ayat ini adalah dalam surah al-Fatihah, pembuka kepada Quran. Surah Fatihah juga adalah pengenalan kepada Allah. Kalau ada manusia yang hendak mengenal siapakah Tuhan, kita boleh bacakan surah Fatihah ini sebagai permulaan untuk mereka mengenal Allah. Kerana beginilah Allah telah meletakkan cara untuk mengenal DiriNya. Dan dimulakan dengan Dia memperkenalkan DiriNya dengan NamaNya.

Allah adalah nama Dzat Tuhan kita. Itulah Nama Dia. Ar-Razzaq, al-Hakim. Al-Hakim dan sebagainya adalah Nama-nama SifatNya. Tapi lafaz ‘Allah’, itu adalah NamaNya. Allah nak kenalkan Diri Dia kepada kita semua dalam Surah Fatihah ini. Macam kita kalau pertama kali jumpa orang, kita akan kenalkan nama kitalah, bukan? Takkan kita kata “apa khabar? Saya peguam”. Ini tidak patut kerana peguam adalah satu sifat sahaja. Jadi di awal Quran ini Dia menyebut NamaNya yang mulia: ALLAH.

Sekarang kita masuk kepada perbincangan lafaz ‘Rabb’. Kita juga kena faham maksud lafaz رَبِّ. Ia selalu diterjemahkan sebagai ‘Tuhan’ sahaja, sedangkan itu adalah terjemahan terlalu ringkas. Ia juga bukan hanya bermaksud ‘Tuhan yang mencipta’ sahaja. Sebab Arab Mekah sudah terima yang Allah sahaja yang boleh mencipta.

Lalu apakah maksud RABB? Maksud asalnya adalah ‘Tuan’. Ia juga ada membawa maksud ‘memelihara’. Allah nak beritahu yang Dia sahaja yang memelihara. Macam Allah pelihara kita dari bayi lagi. Bayi itu dapat apa yang dia perlukan padahal kita sebagai ibubapa dia, tak tahu pun apa bayi itu cakap. Walaupun nampak dari zahir emak ayah yang pelihara, tapi sebenarnya semuanya Allah yang pelihara. Segala apa yang terjadi dalam dunia ini adalah dari pengurusan dan penjagaan Allah swt. Tidak ada yang terlepas dari urusan Allah.

Oleh itu, lafaz Rabb bermaksud Yang mencipta, memiliki dan memelihara. Allah bukan sahaja jadikan alam ini dan kemudian tinggalkan ia begitu sahaja. Kalau Allah biarkan sahaja, alam ini akan hancur. Macam kita tangkap burung dan letak dalam sangkar. Kalau kita dah letak burung itu dalam sangkar, maka kitalah kena beri burung itu makan, kalau tidak, ia akan mati. Begitulah, apabila Allah dah jadikan kita, Allah akan beri kita makan, minum, udara dan sebagainya.

Dalam Quran, kadang-kadang Allah merujuk kepada DiriNya dengan menggunakan namaNya, kadang-kadang Allah menggunakan nama SifatNya, dan kadang-kadang Allah menggunakan lafaz Rabb, bukan? Itu semua untuk mengingatkan kita kepada sifat Allah yang mencipta, memelihara dan menjaga. Ada beza dan sebab yang tertentu kenapa Allah tukar-tukar gantinamaNya. Jadi, apa yang Allah cipta dan pelihara dalam ayat ini?

Lafaz seterusnya adalah kalimah العالَمينَ. Allah telah mencipta, memelihara dan terus menjaga alam ini termasuk kita yang di dalamnya.

Banyak pendapat telah diberikan oleh ulama tentang maksud lafaz ini. Kita bentangkan dua daripadanya yang masyhur:

1. Ianya diambil dari perkataan علم yang bermaksud ‘alamat’ dari segi bahasa. Kerana semua makhluk adalah ‘alamat’ kepada Qudrat Allah. Dengan kita melihat kepada alamat itu, kita boleh melihat hebatnya Qudrat Allah dalam mencipta. Setiap kejadian alam ini mengingatkan kita kepada Allah. Apabila kita lihat alam yang indah ini, kita diingatkan bahawa alam yang indah ini tentu ada penciptanya. Dan pencipta alam ini adalah Allah.

2. Alam dalam bentuk yang jamak (plural). علم adalah mufrad/singular dan العالَمينَ adalah dalam bentuk jamak/plural. Iaitu ia merujuk kepada semua yang dicipta dalam alam ini.

Ada alam malaikat, alam binatang, alam jin, alam tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Ada yang kita tidak tahu pun wujudnya.

Dan alam yang paling penting adalah alam manusia dan alam jin. Kerana dua makhluk inilah yang dipertanggungjawabkan dengan syariat. Dan kerana semua yang lain yang dicipta adalah untuk kegunaan manusia dan jin. Bumi langit dan lain-lainnya adalah dicipta kerana manusia dan jin. Ianya adalah ‘bekas’ atau tempat untuk menguji manusia dan jin. Apabila ujian di dunia telah selesai dan Kiamat sudah berlaku, alam ini semuanya akan hancur berkecai dan tidak berguna lagi.

Itulah antara dua tafsir bagi lafaz العالَمينَ.

Kesimpulan: Apabila digabungkan semua lafaz-lafaz itu, tahulah kita yang Allah sedang memperkenalkan DiriNya, sifat-sifatNya kepada kita. Kita telah sebutkan bagaimana Surah Fatihah adalah summary kepada keseluruhan Quran. Allah memperkenalkan DiriNya secara ringkas dalam ayat ini. Tapi sepanjang-panjang ayat Quran dalam surah-surah yang lain, amat banyak lagi penerangan tentang Allah lagi dan sifat- sifatNya. Maka hendaklah kita mempelajari semua ayat itu supaya tidak ada yang tertinggal.

Jadi, semasa kita membaca ayat ini, terutama di dalam solat, maka kita sudah semakin faham apakah yang kita bacakan. Kita sudah sedar siapa Allah itu kepada kita. Ringkasnya, Allah itu Rabb, dan kita adalah hambaNya. Apabila kita hamba kepada Rabb, kita kena terima apa sahaja yang Allah hendak lakukan kepada kita. Kita tertakluk di bawah kehendakNya. Tidak ada kuasa kita hendak melawan kehendak Allah. Semasa membacanya kita patut rasa kerdil dengan Allah, kagum dengan Allah dan rasa tertakluk kepada kekuasaan Allah. Kita sedar yang kita puji Allah dengan cara yang dikehendakiNya dan diajarNya sendiri.

Alhamdulillah, telah selesai tafsir ringkat ayat الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

Komen dan Soalan