Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Kelas 4 : Pengenalan Surah Al-Fatihah

Kelas 4 : Pengenalan Surah Al-Fatihah

6634
2
Iklan

Pengenalan Surah Al-Fatihah

Walaupun Surah Fatihah ini pendek sahaja, tetapi ianya mewakili seluruh ayat-ayat Quran 30 juzuk. Ianya adalah ringkasan (summary) kepada seluruh Qur’an. Sebab itu, ia juga dinamakan Ummul Qur’an.

Oleh itu, amat penting untuk kita memahami maksud Surah Fatihah kerana dengan memahaminya, seolah-olah kita memahami ringkasan seluruh Qur’an.

Surah ini dinamakan al-Fatihah kerana ianya adalah pembukaan (فتح) kepada kitab Qur’an secara tertulis. Dan dengan al-Fatihah itu dibukakan bacaan di dalam solat. Ia juga disebut Ummul Kitab, as-Sab’ul Mathani (tujuh ayat yang dibaca berulang- ulang) dan al-Qur-anul Azhim.

Ia juga dipanggil dengan sebutan ‘al-Hamdu’ kerana Nabi ada meriwayatkan firman Allah dalam hadis Qudsi: “Aku membahagi solat antara diriKu dan hambaKu menjadi dua bahagian. Jika seorang hamba mengucapkan: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin, maka Allah berfirman; Aku telah dipuji oleh hambaKu… hingga akhir hadis..” Dari perkataan alhamdulillah itu dinamakan Surah Fatihah sebagai ‘alhamdu’.

Dan surah ini juga dipanggil ‘ash-Solah’, kerana al-Fatihah itu sebagai syarat sahnya solat.

Ia juga disebut dengan nama asy-Syifa’ kerana ada diriwayatkan satu hadis: “Fatihatul kitab itu merupakan syifa’ (penyembuh) dari setiap racun.”

Kalau sesiapa baru masuk Islam, Surah Fatihah adalah surah pertama yang kena diajar kepada mereka. Supaya mereka dapat memahami kesimpulan Quran. Mereka juga dapat mula mengenali Allah dengan penjelasan yang diberiNya sendiri dalam surah Fatihah ini.

Semasa kita di dalam solat, kalau kita dapat faham maksud Surah Fatihah, ianya akan memberi kesan yang mendalam dalam solat kita. Inilah salah satu cara untuk membolehkan kita khusyuk dalam solat. Kita boleh jadi khusyuk kalau kita memahami apa kita lafazkan. Tidaklah baca kosong sahaja.

Untuk mula memahami bagaimana fatihah itu adalah ringkasan Qur’an, kita kena tahu yang ada 6 perkara besar yang dibahas dalam Quran:

  1. Tauhid
  2. Risalah – kerasulan
  3. Akhirat
  4. Ahkam – hukum dan undang-undang
  5. Keadaan orang yang taat
  6. Keadaan orang yang durhaka

Apabila dikatakan Surah Fatihah itu adalah Induk Quran, maka keenam-enam perkara itu mesti ada dalam Fatihah:

1.Tentang Tauhid disentuh dalam tiga ayat pertama.

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

الحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ العالَمينَ

الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

2. Tentang Akhirat disentuh dalam ayat

مالِكِ يَومِ الدّينِ

3. Tentang Risalah (Kerasulan) disentuh dalam ayat

إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ

dan

اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ

Ayat إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ mengajar tentang melakukan ibadat kepada Allah dan ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ adalah tentang memohon untuk ditunjukkan cara beribadat kepadaNya. Tanpa Nabi, kita tidak akan tahu cara buat ibadat.

4. Tentang Ahkam, tentang undang-undang dan cara hidup Islam, disentuh dalam ayat اهدِنَا الصِّراطَ المُستَقيمَ.Oleh itu, ayat ini juga adalah tentang ahkam selain daripada tentang Risalah.

5. Keadaan mereka yang taat dan diberi hikmat disentuh dalam potongan ayat صِراطَ الَّذينَ أَنعَمتَ عَلَيهِم.

Ayat ini juga memberi isyarat kepada dua perkara: Orang yang taat dan juga merujuk kepada Risalah (Kerasulan). Kerana para Nabi dan para Rasul adalah antara mereka yang juga diberi nikmat.

6. Tentang keadaan orang yang durhaka, disebut dalam potongan ayat seterusnya

غَيرِ المَغضوبِ عَلَيهِم وَلَا الضّالّينَ

Setiap satu dari tajuk-tajuk besar itu disentuh dalam ayat-ayat Qur’an yang lain. Sebagai contoh, sifat ar-rahman Allah disebut dalam satu surah yang dinamakan surah ar-Rahman; hari Kiamat dijelaskan banyak sekali dalam satu juzuk – juz 30.

Apabila kita sudah faham ayat-ayat yang lain itu, maka apabila kita baca surah Fatihah, kita akan diingatkan dengan keseluruhan ayat-ayat Quran. Dan kita pun tahu yang surah fatihah ini sekurang-kurangnya telah dibaca setiap hari dalam solat kita.

Sebagai satu analogi, apabila kita mula baca buku, sebelum masuk bab pertama, kita akan jumpa Table of Content, bukan? Maka surah Fatihah itu adalah seumpama Table of Content kepada keseluruhan Qur’an. Tentunya tidak cukup kita hanya membaca indeks sesuatu buku sahaja, maka kita hendaklah mempelajari keseluruhan Qur’an ini untuk menjadikannya sebagai panduan hidup kita.

 

2 KOMEN

  1. Untuk mula memahami bagaimana fatihah itu adalah ringkasan Qur’an, kita kena tahu yang ada 6 perkara besar yang dibahas dalam Quran:

    Tauhid
    Risalah – kerasulan
    Akhirat
    Ahkam – hukum dan undang-undang
    Keadaan orang yang taat
    Keadaan orang yang durhaka

    Rujukan mana yang puan guna ya untuk dapatkan isi ini?

Komen dan Soalan