Utama Blog Halaman 96

LIDAH : ‘AQIL VS JAHIL

0

DARI MEJA REKTOR

LIDAH : ‘AQIL VS JAHIL

Pesan Imam Ibnu Hibban rahimahullah:

لِسَانُ الْعَاقِل مِنْ وَرَاءِ قَلْبِهِ

Lidah orang yang berakal berada di sebalik hatinya.

فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُولَ رَجَعَ إِلَى قَلْبِهِ

Apabila dia ingin mengatakan sesuatu, dia akan merujuk kepada hatinya dahulu.

فَإِنْ كَانَ لَهُ قَالَ وَإِنْ كَانَ عَلَيْهِ أَمْسَكَ

Jika ada (kebaikan/manfaat) untuknya, maka dia akan berkata. Jika tidak ada (kebaikan/manfaat), maka dia tidak akan berkata.

وَإِنَّ الْجَاهِلَ قَلْبُهُ فِي طَرَفِ لِسَانِهِ

Dan orang yang jahil, hatinya berada di hujung lidahnya.

مَا أَتَى عَلَى لِسَانِهِ تَكَلَّمَ بِهِ

Apa sahaja yang sampai menyentuh lidahnya, dengan cepat dia akan mengatakannya.

مَا عَقَلَ دِينَهُ مَنْ لَمْ يَحْفَظْ لِسَانَهُ

Dan tidaklah seseorang (dianggap) mengetahui agamanya hinggalah dia menjaga lisannya.

[Raudhah Al-‘Uqala’ wa Nuzhah Al-Fudhala’]

#BroSyariefShares

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.
Surah Al-Kahf (18:46)

Kenali Manhaj

0

📚📖✍

🔴 Apakah manhaj Al-Azhar?


Syazili, tariqat nombor satu di Mesir.

🔴 Adakah manhaj salaf terdapat di Al-Azhar juga?


Di Al-Azhar semua aliran ada.

🔴 Adakah ini bermaksud ada banyak aliran salaf?


Ya, rujukan hadith umatku berpecah kepada 73 kelompok.

🔴 Apakah benar Dr Yusof Al-Qaradhawi pernah mengkritik hadith 73 kelompok ini?


Ya, sahih.
Dalam beberapa kitabnya seperti Fatawa Mu’asirat dan Fiqh Ikhtilaf. Dr Yusof Al-Qardhawi mengikuti Ibnu Hzam dari mazhab Zahiri yang mendhaifkan hadith tersebut.
Mengkritik sanad, menurut Dr Yusof Al-Qardhawi, semua riwayat adalah bermasalah, pasti ada perawi yang bermasalah, mengkritik matan, ia ada banyak versi, menunjukkan kerancuannya. Ia juga ada pelbagai tambahan matan.

Antara mengkritik matan yang lain, ia bercanggah dengan Al-Qur’an.
Antaranya ayat:

{ كنتم خير أمة أخرجت للناس }

“Kalian adalah sebaik-baik umat yang dipersembahkan untuk umat manusia.”
[ Al-Maidah: 110 ]

dan ayat:

وكذلك جعلناكم أمة وسطاً

“Dan demikianlah kami jadikan kalian umat yang pertengahan.”
[ Al-Baqarah: 143 ]

Seterusnya menurut Dr Yusof Al-Qardhawi, hadith ini membawa impak negatif kepada umat Islam. Masing-masing akan mendakwa kelompok mereka sahaja yang benar.

🔴 Apabila terdapat perselisihan sebegini, siapa yang sepatutnya orang awam ikuti?


Ikuti ahli hadith, kerana ia sahih dengan pelbagai jalur riwayat. Ia mencapai darjat mutawatir dan pengesahan Imam Abu Isa At-Tirmizi, dan Imam Al-Bukhari yang menggredkan hadith tersebut sebagai hasan sahih. Apabila Imam Abu Isa mengredkan hadith sebagai hasan sahih, maka ia sememangnya sahih.

Cuma, kena melihat syarah, hadith maqlubah. Ada kefahaman terbalik dari sebahagian Salafiyah dan Harakah Islam seperti Ikhwan dan Pas yang beranggapan mereka adalah satu-satunya kelompok yang benar dan akan masuk syurga.

Kefahaman maqlubah (songsang dari hadith perpecahan kepada 73 kelompok).
Bagaimana hadith ini difahami secara songsang atau terbalik (maqlubah)?

1. Orang mula menghitung jama’ah, kumpulan, tariqat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan parti di dalam negara masing-masing sampai angka 73 dan menyesatkan 72 kelompok, dan hanya membenarkan 1 kelompok sahaja yang masuk syurga. Ini pernah dilakukan oleh KH Sirajuddin Abbas (semoga Allah mengampuninya) dalam kitabnya “Itiqad AhlusSunnah Wal Jamaah” telah menghitung 73 kelompok dan menyesatkan 72 kelompok tersebut (salah satunya puak wahabiah).

2. Setiap jama’ah dan kumpulan Islam akan menganggap dan meyakini bahawa merekalah golongan yang selamat itu, Thaifah Mansyuurah, kumpulan AhlusSunnah Wal Jamaah, atau Tha’ifah Najiah, dan lain-lain lagi.

Tahqiq:
Ini adalah fahaman yang maqlubah (songsang), menzalimi hadith Nabi ﷺ, dan menzalimi kumpulan yang mereka telah sesatkan dan telah digelar masuk neraka.

Pemahaman yang betul tentang hadith ini, jika kita menetapkan ia hadith sahih atau hasan, ialah perpecahan memang benar-benar terjadi ke atas umat Islam. Jika kita tidak berpecah, masakan kita menjadi 56 buah negara Pertubuhan Persidangan Islam (Organization Islamic Conference)!

Oleh kerana itulah kita lemah, dijajah dan hina di atas pentas politik dunia. Perpecahan ini berlaku bukan dalam jangka waktu tertentu atau di sesebuah lokaliti sahaja, melainkan perpecahan yang panjang dan merata.
Bermula dari zaman Nabi ﷺ lagi, mendapat momentum semasa pembunuhan Uthman رضي الله عنه hinggalah zaman kejatuhan khilafah Uthmaniah, seterusnya era penjajahan dan terus menerus hingga Kiamat.

Perpecahan di zaman Nabi ﷺ ialah wujudnya golongan munafiq. Inilah ibu segala perpecahan, seperti virus atau kanser yang menunggu masa untuk menghentam.

Dalil kewujudan golongan munafiq ialah:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَبِٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ ﴿٨﴾

“Di antara manusia ada yang mengatakan: “Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian ,” pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman”
[ Al-Baqarah: 8 ].

Dari golongan munafiq inilah mereka muncul di zaman Abu Bakar رضي الله عنه dengan:

1. Murtad dari agama.

2. Pembunuhan Umar رضي الله عنه oleh majusi yang juga munafiq.

3. Kekacauan di zaman Uthman dan Ali oleh munafiq, Ibnu Saba’.

4. Kemudian Khawarij, Muktazilah dan Qadariah.

Sehingga terus menerus ke abad 20 dengan Qadiani dan anti-hadithnya. Sekarang muncul pulak gerakan Liberal atau Jaringan Islam Liberal (JIL).

Kisah perpecahan ini hendaklah dilihat dalam kitab-kitab karya Al-Syahrastani, Ibnu Hazm dan Khatib Al-Baghdadi.

Terkecuali dari hadith perpecahan ini ialah perselisihan dalam masalah furu’ akidah, seperti pendapat Dr Yusof Al-Qaradhawi, perselisihan antara golongan Salafiyah dan Asya’irah dalam masalah sifat Allah ﷻ, perselisihan dalam masalah furu’ fiqh atau mazhab, ini adalah masih dalam kerangka perselisihan yang dibenarkan.

Isu penting dalam hadith ini ialah ‘siapakah ‘al-jama’ah atau siapa yang mengikuti jalanku dan sahabat-sahabatku’?

Maka, masing-masing di antara kita, mulai sekarang tekunlah menyelidiki siapakah golongan AhlusSunnah Wal Jamaah. Mengenali manhaj yang pertengahan, yang paling hampir dengan kaum salaf.

Jangan cepat ingin mendakwa anda benar, dan berada di atas jalan salaf, dan orang lain tidak. Akan tetapi pastikan dahulu sejauh mana anda telah memahami intipati ajaran kaum Salafus-soleh dan telah merasai kemanisan beramal dengan ajaran AhlusSunnah Wal Jamaah itu.

@bicarathtl
#SnJfiqhassunnah

Dalil Majlis Zikir

0

🔴 Mohon penjelasan berkenaan hadith di bawah ini:

Telah menceritakan kepada kami (Abu Bakr bin Abu Syaibah) telah menceritakan kepada kami (Marhum bin ‘Abdul ‘Aziz) dari(Abu Na’amah As-Sa’di) dari (Abu ‘Utsman) dari (Abu Sa’id Al-Khudri)dia berkata; “Pada suatu hari Mu’awiyah melewati sebuah halaqah (majlis) di masjid. Kemudian ia bertanya; ‘Majlis apakah ini? ‘ Mereka menjawab; ‘Kami duduk di sini untuk berzikir kepada Allah .’ Mu’awiyah bertanya lagi; ‘Demi Allah, benarkah kalian duduk-duduk di sini hanya untuk itu? ‘ Mereka menjawab; ‘Demi Allah, kami duduk hanya untuk itu.’ Kata (Mu’awiyah) selanjutnya; ‘Sungguh saya tidak menyuruh kalian bersumpah kerana mencurigai kalian. Kerana tidak ada orang yang menerima hadis dari Rasulullah ﷺ yang lebih sedikit daripada saya.’ Sesungguhnya Rasulullah ﷺ pernah melewati halaqah para sahabatnya. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Majlis apa ini? ‘ Mereka menjawab; ‘Kami duduk untuk berzikir kepada Allah ﷻ dan memuji-Nya atas hidayah-Nya berupa Islam dan anugerah-Nya kepada kami.’ Rasulullah ﷺ bertanya lagi: ‘Demi Allah, apakah kalian duduk di sini hanya untuk ini? ‘ Mereka menjawab; ‘Demi Allah, kami duduk-duduk di sini hanya untuk ini.’ Kata Rasulullah ﷺ selanjutnya: ‘Sungguh aku menyuruh kalian bersumpah bukan kerana mencurigai kalian. Tetapi kerana aku pernah didatangi Jibril. Kemudian ia memberitahukan kepadaku bahawasanya Allah ﷻ membanggakan kalian di hadapan para malaikat.

[ Muslim: 4869 ]


Dalil hadith:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ خَرَجَ مُعَاوِيَةُ عَلَى حَلْقَةٍ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ مَا أَجْلَسَكُمْ قَالُوا جَلَسْنَا نَذْكُرُ اللَّهَ قَالَ آللَّهِ مَا أَجْلَسَكُمْ إِلَّا ذَاكَ قَالُوا وَاللَّهِ مَا أَجْلَسَنَا إِلَّا ذَاكَ قَالَ أَمَا إِنِّي لَمْ أَسْتَحْلِفْكُمْ تُهْمَةً لَكُمْ وَمَا كَانَ أَحَدٌ بِمَنْزِلَتِي مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَقَلَّ عَنْهُ حَدِيثًا مِنِّي وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ عَلَى حَلْقَةٍ مِنْ أَصْحَابِهِ فَقَالَ مَا أَجْلَسَكُمْ قَالُوا جَلَسْنَا نَذْكُرُ اللَّهَ وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا هَدَانَا لِلْإِسْلَامِ وَمَنَّ بِهِ عَلَيْنَا قَالَ آللَّهِ مَا أَجْلَسَكُمْ إِلَّا ذَاكَ قَالُوا وَاللَّهِ مَا أَجْلَسَنَا إِلَّا ذَاكَ قَالَ أَمَا إِنِّي لَمْ أَسْتَحْلِفْكُمْ تُهْمَةً لَكُمْ وَلَكِنَّهُ أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَخْبَرَنِي أَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُبَاهِي بِكُمُ الْمَلَائِكَةَ

Fiqh Hadith:
Boleh duduk beramai-ramai dalam suatu majlis, berzikir perlahan-lahan. Jika berzikir secara kuat seperti amalan bid’ah di Malaysia (ada pak lebai yang mengetuai, dengan suara yang kuat, menggunakan mikrofon), maka sudah tentu Muawiyah tidak akan bertanya. Oleh kerana zikir perlahan sangat, Muawiyah menjadi hairan. Kalian berbuat apa di sini? maka, para penduduk menjelaskan mereka sedang berzikir perlahan, dan tidak berkumpulan, sendiri-sendiri sahaja. Ini berlaku di Syria, di zaman pemerintahan amir Muawiyah.

🔴 Adakah ini dalil membolehkan majlis halaqah untuk berzikir kerana Allah ﷻ?


Ya, boleh.
Misalnya orang yang datang awal hari Jumaat. mereka duduk bersama-sama dan berzikir secara perlahan. Pada hari Jumaat, penghujung salat ‘Asar dan sambil menunggu waktu Maghrib. Ini kerana doa mustajab ketika waktu ini.
Cara salaf, duduk beramai-ramai tetapi masing-masing berzikir perlahan tanpa ada pak lebai yang mengetuai secara berkumpulan.

🔴 Adakah dalil ini boleh digunakan untuk majlis zikir perdana seperti yang kaum sufi lakukan?


Hadith sama. Cuma cara takwil berbeza. Tareqat menggunakan hadith yang sama untuk melakukan halaqah zikir, Ya Hanana, Hol, membaca ratib, aurad, hizib. Manakala Harakah seperti Ikhwan, Haluan, Ikram, Isma membaca Al-Ma’thurat beramai-ramai, malahan partai Pas juga membaca Al-Ma’thurat secara beramai-ramai.

Mereka ini ikhlas mahu berzikir, akan tetapi syaitan membelit mereka dalam cara berzikir.

🔴 Apakah perlu merujuk kepada dalil-dalil yang lain untuk mentakwil hadith?


Tidak. Rujuk kitab asal, kitab teras, induk, yakni Fathul Bari, Syarah Sahih Al-Bukhari, Syarah Al-Bukhari Al-Ayni, Syarah Sahih Muslim oleh An-Nawawi atau Syarah Sahih Al-Bukhari oleh Ibnu Rajab.

@bicarathtl
#SnJfiqhassunnah

Hari Kelahiran: Syukur atau Kufur

0

Bila Tiba Hari Kelahiran Ucapkan Syukur Dan Muhasabah Diri

SETIAP manusia ada hari kelahiran masing- masing. Bila sampai harinya ada yang menyambutnya dengan meriah, sederhana dan ada yang tidak menyambut langsung.

Bagi orang mukmin hari kelahiran disambut dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT kerana masih diizinkan Allah untuk bernafas di dunia ini, diberinya sihat walafiat dan dimurahkan rezeki.

Allah SWT berfirman maksudnya :

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” [ Ibrahim: 7 ]

Hakikat sebenarnya bila tiba hari lahir itu menandakan umur kita semakin hampir bertemu Allah SWT, maka perlulah kita bermuhasabah sejauh mana kita jaga solat fardhu berjemaah, bacaan al- Quran, zikir harian, solat tahajud, witir, dhuha, menuntut ilmu, puasa sunat, sedekah, ziarah orang sakit dan mengajarkan ilmu yang bermanfaat.

Adakah kita istiqamah setiap hari dengan amal- amal soleh, amal ibadah, kerja- kerja kebajikan dan amal makruf nahi mungkar?

Tidak cukup rutin kehidupan seorang mukmin setiap hari hanya dihabiskan bekerja, makan, minum, berwhatsapp dan berhibur sahaja.

Hadith Nabi SAW

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِى بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلاً قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ خَيْرٌ قَالَ « مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ ». قَالَ فَأَىُّ النَّاسِ شَرٌّ قَالَ « مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ »

Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya, bahawa seorang laki-laki berkata,

“Wahai Rasûlullâh, siapakah manusia yang terbaik?”

Baginda menjawab, “Orang yang panjang umurnya dan baik amalnya”.

Dia bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang terburuk?”

Baginda menjawab, “Orang yang berumur panjang dan buruk amalnya”.

[HR. Ahmad; Tirmidzi; dan al-Hâkim. Disahihkan oleh al-Albâni rahimahullah dalam Shahîh at-Targhîb wat Tarhîb, 3/313, no. 3363, Maktabul Ma’arif, cet. 1, th 1421 H / 2000 M]

Oleh itu marilah kita insaf dan sedar untuk sentiasa berwaspada dan tingkatkan amal soleh kerana saat kematian datang tidak kira tua atau muda, sakit atau pun sihat.

🥦 Wassalam 🥦

Makmum Sundari
8.2.2019

#MS#AB
#SuaraPrihatin

Hadis 75: Apa Yang Datang Berkenaan Selipar Rasuli Llah (Tali Qibal)

0

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 75
Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

December 17, 2018

بَابُ مَا جَاءَ فِي نَعْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab 11: Apa Yang Datang Berkenaan Selipar Rasuli Llah

75 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ الطَّيَالِسِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا هَمَّامٌ، عَنْ قَتَادَةَ، قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: كَيْفَ كَانَ نَعْلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: لَهُمَا قِبَالَانِ.

75- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu Dawud At-Tayalisiy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Hammam, daripada Qatadah, dia berkata: Saya berkata kepada Anas bin Malik: Bagaimanakah selipar Nabi? Dia berkata: Kedua-duanya mempunyaï dua tali qibal.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menceritakan tentang pertanyaa Qatadah kepada Anas bin Malik tentang selipar Rasuli Llah. Di dalam hadis kedua puluh tujuh yang lalu, Qatadah juga telah bertanya kepada Anas bin Malik tentang rambut Rasuli Llah. Di dalam hadis ketiga puluh tujuh, Qatadah bertanya kepada Anas bin Malik tentang adakah Nabi telah mewarnakan rambutnya. Seterusnya di dalam hadis keenam puluh dua, Qatadah meriwayatkan daripada Anas bin Malik tentang pakaian Nabi.

Sangat menarik jika kita melihat hal ini secara kolektif dan keseluruhan, kerana Qatadah sentiasa bertanya kepada Anas bin Malik tentang Nabi. Justeru, apakah yang menyebabkan hal ini?

Qatadah ialah seorang tabi`iy yang lahir pada tahun 60 Hijrah dalam keadaan buta. Namanya ialah Qatadah bin Di`amah As-Sadusiy. Menurut Syu`bah, Qatadah meriwayatkan tujuh puluh hadis daripada Anas bin Malik. Beliau meninggal dunia pada tahun 118 Hijrah. Imam Ahmad menyebut:

كَانَ قَتَادَةُ أَحْفَظَ أَهْلِ الْبَصْرَةِ لَا يَسْمَعُ شَيْئًا إِلَّا حَفِظَهُ، قُرِئَ عَلَيْهِ صَحِيفَةُ جَابِرٍ مَرَّةً وَاحِدَةً فَحَفِظَهَا

Qatadah ialah penduduk Basrah yang paling mengingat. Dia tidak mendengar sesuatu melainkan dia menghafaznya. Telah dibacakan kepadanya Sahifah Jabir sekali, dan dia mengingatinya.

Dapat diketahuï daripada latar belakang Qatadah ini bahawa Qatadah dilahirkan dalam keadaan buta, iaitu dia tidak dapat melihat. Justeru, dia mempelajari ilmu dengan mendengar dan menghafaz apa yang dia dengar. Allah telah memberikannya anugerah ingatan yang kuat, sehingga dia boleh menghafaz sesuatu dengan hanya sekali dengar sahaja. Justeru, pertanyaan Qatadah tentang selipar Nabi ini adalah disebabkan Anas bin Malik menyimpan selipar Nabi, dan Qatadah tidak boleh melihat selipar itu dengan matanya.

Mendengar pertanyaan Qatadah yang buta, Anas bin Malik menjelaskan bahawa selipar Nabi mempunyaï dua tali qibal. Tali qibal ialah tali selipar yang berada di antara jari tengah dan jari di sebelahnya. Dan Anas menjelaskan bahawa tali qibal itu ada dua.

Untuk memahami hadis ini, kita perlu melihat kepada alas kaki yang biasa kita pakai hari ini, sama ada selipar, sandal atau capal. Ketiga-tiga alas kaki ini tidak mempunyaï tali qibal, justeru, selipar Nabi bukanlah seperti ketiga-tiga alas kaki ini.

Jika dikaji, selipar dan capal biasanya mempunyaï satu tali yang naik dari tapaknya ke atas. Apabila kita memakai selipar dan capal, tali ini biasanya berada di antara ibu jari kaki dan jari telunjuk kaki. Sering kali, apabila selipar itu sudah lama, tali ini akan tercabut dan kita perlu memasukkan semula tali ini ke bahagian bawah selipar sebelum dapat memakai semula selipar itu.

Berbeza dengan selipar dan capal kita, selipar Nabi mempunyaï dua tali yang naik dari tapaknya ke atas. Apabila dipakai, satu tali itu akan berada di antara ibu jari kaki dan jari telunjuk kaki, manakala tali yang satu lagi akan berada di antara jari hantu kaki dan jari manis kaki. Dua tali yang naik dari tapak ini dipanggil tali qibal.

Apabila Anas bin Malik menyebut bahawa selipar Nabi mempunyaï dua tali qibal, ia bermaksud bahawa tali yang naik itu ialah dua utas atau dua urat tali. Ini berbeza dengan selipar Jepun, kerana selipar Jepun hanya menggunakan satu urat tali yang naik dari tapak. Capal pula biasanya mempunyaï dua urat tali.

Membaca hadis ini membuatkan kita sedar satu perkara, iaitu budaya yang berbeza antara selipar kita sekarang dengan selipar Nabi. Perbezaan budaya ini sangat penting untuk kita sedari kerana perbezaan negara dan zaman menyebabkan budaya menjadi berbeza. Justeru, disebabkan perbezaan itu, apabila kita membaca hadis Nabi, kita sedar bahawa kita berhadapan dengan sesuatu yang tidak ada di mata dan di dalam ilmu kita.

Walaupun hadis ini menyebut tentang sesuatu yang sangat remeh, iaitu selipar, tetapi, sekarang kita tahu bahawa perbezaan budaya dan zaman menyebabkan rupa selipar kita berbeza dengan rupa selipar Nabi. Justeru, kita perlu sedar bahawa ada banyak lagi perbezaan yang harus kita akuï antara budaya kita dan Nabi.

Kesedaran ini penting, agar kita tidak berfikir tentang Nabi sebagaimana kita berfikir tentang diri kita. Kesedaran ini perlu agar kita tidak menggambarkan Nabi sebagaimana kita menggambarkan seorang lelaki Melayu sejati. Ini kerana Nabi ialah orang `Arab, maka cara berfikir, sudut pandangannya, perilakunya, aktiviti sehariannya, bahasanya, pakaiannya, makanannya, malah seluruh kehidupannya adalah diacu oleh budaya `Arab.

Dan kerana hadis ini bercakap tentang perkara yang sangat remeh iaitu selipar, kita harus merenung kembali kepada diri kita, adakah kita tahu tentang selipar yang kita pakai? Kita berkata bahawa selipar itu remeh, lantas kita tidak mengambil berat dan tidak mengkajinya. Ini berbeza dengan Islam, perkara seremeh selipar juga menjadi ilmu, ditanya dan diriwayatkan, serta diambil berat dan ditumpukan perhatian.

Ini bermakna, seseorang yang tidak cakna tidak akan dapat menjadi seorang muslim yang baik. Ini bermaksud, seseorang yang tidak peka tidak akan mampu menjadi seorang muslim yang sempurna. Menjadi seorang muslim bermakna kita lebih cakna dan peka dengan apa yang ada di sekeliling kita, sehingga kepada perkara yang paling kecil. Jangan kerana perkara itu kecil dan remeh, kita sampai mengabaikannya. Mulalah baiki diri kita dengan memberi perhatian kepada perkara yang kecil, agar kita tidak terlepas apa-apa yang boleh memberi kebaikan kepada diri kita.

Thaharah: Najis (Bahagian 2)

1

Kitab : Thaharah (Bersuci)
Bab : Bab Air dan Najis
Bahagian : Jenis Air
Topik : Najis (Sambungan)

7. Air liur anjing

Masyarakat Melayu kita cepat melatah. Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam timbul, pelbagai reaksi telah lahir antaranya:

🔺Anjing adalah binatang yang dimusuhi oleh Islam.
🔺Video itu menghina umat Islam.
🔺Perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam.
🔺Apa salahnya kita membela anjing macam orang lain.

Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasarkan fakta dan ada yang berdasarkan emosi. Ramai yang bercakap tanpa ilmu. Tiada ilmu tetapi hendak komen juga, janji komen, kan?

Jangan kita hina anjing itu sangat. Ada anjing yang lagi mulia daripada kita. Di dalam Al-Quran, Allah SWT menceritakan tentang anjing yang mengiringi para pemuda al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman mereka.

✍🏻Firman Allah: (maksudnya) “dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” [ al-Kahfi: 18 ]

Anjing tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan.

✍🏻Sementara dalam hadis pula, Nabi ﷺ bersabda:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia mengikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu”
[ Riwayat al-Bukhari ]

Betapa seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah SWT kerana dengan ikhlas memberi minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika seorang muslim memberi makan dan minum kepada anjing?!! Jika ada seorang muslim yang memberi makan kepada anjing, dia patutlah dipuji.

Anjing ada banyak gunanya dalam kehidupan manusia: ada yang dijadikan sebagai anjing pemburu, anjing peneman, pengawal rumah, pengesan dadah, pengesan bom, anjing juga ada yang boleh membuat CPR.

Malangnya ada budak-budak (juga orang tua tetapi berakal budak lagi) yang apabila nampak anjing, mereka akan membaling dengan batu seolah-olah anjing itu hina.
Siapakah yang mengajar mereka begitu? Ibubapa merekalah agaknya.

📌Bolehkah Muslim memiliki anjing?

✍🏻Tertulis di dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya)

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisab-Nya” [ al-Maidah: 4 ]

Haiwan pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu utama.

Jadi janganlah berasa pelik jikalau ada orang Islam yang membela anjing. Hanya di Malaysia sahaja orang kita tidak tahu sebab duduk di bawah tempurung. Ada handphone canggih tetapi duduk buat dengar lagu dan baca pasal artis sahaja.

Cuma, tidaklah boleh dibela di dalam rumah sebagai binatang peliharaan (pet) pula. Ini dilarang. Ertinya, muslim boleh memiliki anjing buruan. Demikian juga, dia boleh memiliki anjing yang menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab al-Kahfi yang disebutkan tadi.

📍Baik, soalan maut hari ini: Bolehkah sentuh anjing?

Ada yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Namun ini tidak tepat, kerana jika benda najis haram dipegang, maka haram jugalah seseorang menyentuh najis dirinya sendiri, ataupun najis anaknya ataupun sesiapa yang di bawah jagaannya ketika membersihkannya. Basuh berak kena pakai sarung tangan (glove) lah lepas ni.

Maka haramlah juga mereka yang berkerja yang membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah ataupun nanah dan lain-lain. Begitu jugalah dengan doktor veterinar.
📍Maka itu kesimpulan hukum yang cetek.

📌Najis boleh disentuh, tetapi hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat.

▪️Menyentuh anjing yang kering, sepakat ulama mengatakan tidak najis.

▪️Menyentuh anjing basah, ia adalah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafi’y agak tegas dalam hal ini.

▪️Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut di dalam hadits:

✍🏻“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah”
[ Riwayat al-Bukhari ]

Maka janganlah kita geli sangat dengan anjing.

✍🏻Lihat hadits riwayat ‘Abd Allah ibn ‘Umar (yang menerangkan)

Anjing masuk dan keluar di masjid pada masa Rasulullah dan para sahabat tidak memercikkan air apa pun.”
[ Hadis Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud ]

Lihatlah anjing ada keluar masuk masjid zaman Nabi dulu, namun Nabi tidak suruh untuk pagar masjid itu! Maka kalau anjing menjilat bekas makanan kita dan kita hendak mengguna pakai lagi bekas itu, maka itulah yang kena disertu. Sekiranya masih ada bekas lain, boleh sahaja dibuang bekas itu kerana bukan hendak pakai sangat pun.

Ada pun tentang sentuhan anjing, air liur yang anjing itu jilat selain dari makanan, masih ada banyak pendapat lain lagi. Adakah perlu air tanah juga? Zaman dahulu tiada sabun maka pakailah air tanah tetapi di zaman sekarang bermacam-macam detergent sudah ada, maka tidak perlu lagi pakai air tanah.

Walaupun begitu, ada pendapat yang mengatakan tetap kena pakai air tanah juga kerana zaman dulu ada juga bahan lain seperti bidara yang dijadikan sabun, tetapi Nabi tidak suruh pula pakai bidara itu. Lagi pun, ada kajian yang menunjukkan tanah mengandungi bahan yang dapat menghilangkan kesan atau bahaya dari enzim anjing. Maka ini pun pendapat yang kuat.

🍀SESI SOAL JAWAB ☘️
========================

1) Apakah pendapat Imam Asy-Syafi’iy ‎رحمه الله dan pendapat mazhab Asy-Syafi’iy berkenaan hukum menyentuh anjing?

🔵 Tidak boleh menyentuh anjing. Namun, pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha’ hanya membataskan najis anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut di dalam hadith:

“Apabila anjing menjilat bekas seseorang daripada kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” [ Riwayat al-Bukhari ].

2) Bagaimanakah dengan situasi ini?
Beli kuali (barangan terpakai) di pasar karat yang kita tidak pasti siapa pengguna sebelumnya (jika pemilik asalnya orang kafir dan pernah memasak babi). Adakah perlu disertu?

🔵 Bila tidak nampak, maka tidak perlu sertu.

3) Berdasarkan penerangan sebelum ini, babi tidak perlu sertu, hanya basuh sahaja. Anjing yang perlu disertu. Benarkah begitu?

🔵 Ya, menyentuh babi tidak perlu disertu.
Kalau air liur anjing terkena bekas makanan dan bekas itu hendak digunakan, baharulah sertu.

4) Manakah yang perlu disertu, sentuh binatangnya (babi) atau sentuh daging babi?

🔵 Sama sahaja. Sentuh babi tidak perlu sertu.

5) Bagaimanakah pula dengan pakaian terpakai yang dibeli di pasaran. Lebih-lebih lagi di Australia di mana majoriti penduduknya orang kafir dan membela anjing sebagai binatang peliharaannya. Kadang-kadang tidurnya pun dengan anjing. Perlukah disertu atau basuh sahaja?

🔵 Tidak perlu. Kita tidak dipertanggungjawabkan dengan perkara yang kita tidak nampak.

6) Jikalau ingin membela anjing tidak boleh letak di dalam rumah, di manakah tempat yang boleh diletakkannya?

🔵 Tidak boleh membela anjing tanpa keperluan.

7) Kalau anjing menjilat baju atau mengesel-gesel pada baju, apakah yang perlu dilakukan? Baju tersebut di pakai untuk kegunaan harian.

🔵 Bertenang sahaja. Tidak mengapa. Nanti basuh baju seperti biasa sahaja.

8) Saya ada meletakkan bekas makanan dan minuman untuk kucing di depan rumah. Pada suatu pagi, saya ternampak anjing menjilat bekas makanan tu dan minum air. Bekas makanan tersebut saya terus buang tetapi bekas minuman itu tidak. Bolehkah begini?

🔵 Jikalau hendak buang, tidak salah, cuma rugilah. Sebab bukan anda yang hendak makan dan minum dari bekas itu tetapi kucing. Kucing tidak disyariatkan untuk solat, maka tidak mengapa.

9) Jiran berbangsa cina saya suka membasuh najis anjingnya. Setiap hari air itu masuk ke dalam longkang. Andaikata kain yang disidai jatuh ke dalam longkang, perlukah disertu atau hanya basuh seperti biasa?

🔵 Tidak perlu disertu, basuh seperti biasa sahaja.

10) Perlu disertu ialah bekas makanan yang dijilat oleh anjing dan bekas itu kita hendak guna semula. Selain daripada bekas makanan tidak perlu sertu. Benarkah apa yang saya fahami?

🔵 Ya, tidak perlu disertu

11) Hikmah sertu adalah kerana hendak menghilangkan kesan atau bahaya enzim dari air liur anjing. Jika kita dijilati anjing, maka perlu disertu. Benarkah begitu?

🔵 Tidak sama kerana anjing mengeluarkan enzim itu kalau hendak makan sahaja. Sebab itulah bekas makanan yang kena jilatan anjing disertu kerana semasa dia jilat itu, dia hendak makan.

12) Kalau membeli rumah bekas penghuninya orang Cina. Orang Cina itu ada membela anjing. Adakah perlu disertu rumah itu?

🔵 Tidak perlu disertu kerana tidak diketahui manakah bahagian yang dijilat anjing. Kita dipertanggungjawabkan kalau nampak sahaja.

Lagipun pun, bahaya enzim anjing apabila kita memakannya. Kita bukan hendak jilat pun dinding-dinding rumah itu kan?

13) Adakah najis anjing itu sekadar dibersihkan dengan air sudah memadai?

🔵 Ya. najis anjing itu sama dengan najis yang lain.

14) Kalau anjing menjilat kaki atau tangan kita, maka adakah tidak perlu sertu juga?

🔵 Ya, kerana semasa anjing menjilat kaki atau tangan kita, anjing bukan hendak makan kita.

15) Adakah yang perlu disertu ialah “jilatan” pada bekas makanan dan bukannya air liur anjing tersebut?

🔵Jilatan/air liur anjing yang terkena pada bekas makanan perlu disertu.

16) Ini bermakna air liur/jilatan anjing pada selain bekas makanan hanya perlu dibasuh macam biasa sahaja?

🔵Ya benar. air liur/jilatan anjing pada selain bekas makanan adalah najis, tetapi tidaklah perlu disertu.

17) Kenapakah jika anjing menjilat kita tidak perlu disertu tetapi jika bekas makanan yang hendak kita pakai perlu disertu?

🔵Anjing mempunyai enzim di dalam mulutnya. Anjing akan mengeluarkan enzim apabila hendak makan kerana ia membantu mencerna makanan supaya mudah dihadam.

Apabila anjing menjilat anak-anaknya, menjilat orang, anjing tidak mengeluarkan enzim tersebut.

Oleh kerana itu, kalau menggunakan anjing untuk memburu, kita perlu tengok keadaan binatang buruan yang dibawa baliknya bagaimana.

Kalau digigit sahaja, kita boleh makan binatang itu.
Tetapi jika digigitnya dan makan sedikit, maka sudah tidak boleh kita makan binatang itu, kerana anjing telah keluarkan enzim pada air liurnya.

18) Perkara ini sering menjadi persoalan kepada saya sejak dahulu lagi. Adakah tindakan saya betul, jika seseorang itu membela anjing, maka segala pemberiannya seperti masakan dan kek akan saya ambil tetapi kemudiannya dibuang (tanpa dilihat si pemberi)?Ini disebabkan dia ada membela anjing dan saya khuatir tangannya tidak dibasuh apabila memegang anjing.

🔵Rugi. Geli itu hanyalah perasaan sahaja. Dari segi hukum, tidak ada masalah untuk menerima pemberian orang yang membela anjing.

19) Jikalau ingin menyertu bekas makanan anjing. Perlukah menggunakan air tanah atau air sabun atau boleh menggunakan keduanya?

🔵Saya lebih menyukai kalau menggunakan air tanah.

Tetapi ada juga pendapat mengatakan cukup hanya memakai sabun sahaja. Pandangan jumhur (majoriti) di dalam mazhab Hanbali menyatakan yang boleh digunakan sabun sebagai ganti kepada tanah dalam semua keadaan. Syeikh Muhammad Shaltut, bekas Syeikhul Azhar cenderung menerima pendapat ini.

Cumanya, zaman Nabi Muhammad ‎ﷺ sudah ada juga bahan seperti sabun iaitu bidara, tetapi Nabi Muhammad ‎ﷺ tetap menyuruh memakai tanah juga untuk menyertu.

20) Bagaimanakah anjing buruan itu kita lepaskan?
Adakah dengan bacaan bismillah? Adakah perlu rusa itu mati digigit atau perlu masih hidup kemudian disembelih baru boleh dimakan?

🔵
1. Kita mestilah melatih anjing itu dahulu.
2. Ketika memburu, lepaskan anjing dengan bacaan bismillah.
3. Rusa tidak perlu hidup semasa anjing bawa balik. Apabila membaca bismillah, maka gigitan anjing itu diumpamakan sebagai pisau sembelihan.

21) Bagaimankah perlu dilakukan jika terpijak najis anjing?

🔵Ia najis. Hanya basuh dengan air sahaja tanpa perlu disertu.

22) Bagaimanakah perlu dilakukan apabila digigit dengan anjing?Adakah air liur anjing itu mempunyai enzim juga dan hanya perlu dibasuh dengan air sahaja. Sebagai contoh, anjing mengejar pencuri dan menggigit kaki pencuri sehingga meleleh air liur.

🔵Apabila digigit anjing yang lebih penting adalah perlu pergi ke klinik terlebih dahulu.
Digigit anjing bukan perkara yang remeh. Di klinik nanti akan dicuci kesan gigitan dengan antiseptik. Bersih dan suci.

23) Kenapakah jilatan anjing itu tidak perlu disertu? Bukankah anjing itu najis mughallazah?

🔵Itu adalah pendapat dalam mazhab Asy-Syafi’iy. Saya berikan pendapat yang lain.

24) Berkenaan dengan sabun untuk mencuci kenajisan anjing, adakah pendapat lain yang menyatakan sabun hanya boleh digunakan jika ketiadaan tanah?

🔵Memang ada pendapat boleh menggunakan sabun walaupun tanpa tanah. Pendapat Hanabilah (Mazhab Ahmad).

Contohnya apabila berada di kutub utara di mana sukarnya untuk mencari tanah.

25) Jika ada anjing mati, kemudian mereput sehingga tinggal tulang sahaja. Saya mengambilnya untuk dibuang ke dalam tong sampah atau ditanam. Adakah saya boleh mencuci tangan dengan sabun sahaja?

🔵Cuci tangan dengan sabun sahaja. Tidak perlu disertu.

26) Adakah perlu untuk melafaz niat apabila ingin menyertu atau hanya cukup dengan lintasan di dalam hati sahaja?

🔵Buat apa-apa pun sudah ada niat.

Situasi yang tiada niat adalah sebegini:
Ketika membasuh tangan tiba-tiba terfikir apakah yang sedang dilakukan oleh tangannya?

Keadaan ini barulah dipanggil tiada niat. Penyakit ini perlu dirawat.

27) Ketika jiran A sedang membasuh tahi dan kencing anjing, percikan air basuhan itu terkena pada pakaian jiran B yang sedang dijemur. Adakah perlu jiran B itu membasuh semula pakaiannya?

Jika jiran C terlihat dan mengetahui perkara tersebut, adakah dikira berdosa kerana tidak memberitahu jiran B?

🔵
1. Jikalau pasti air najis yang terkena pada pakaian, maka harus dibasuh. Gunakan air dan sabun sahaja, tidak perlu disertu.

Orang kita ini perasaan was-wasnya kuat sangat. Walaupun tidak nampak perkara tersebut, mereka tetap mahu membasuhnya juga.

Kita hanya dipertanggungjawabkan dengan perkara najis yang jelas sahaja. Makanya was-was tidak dipakai dalam hal ini. Ianya menyusahkan hidup jika ada sikap begitu. Boleh ditimpa penyakit OCD lama-kelamaan.

OCD = Obsessive Compulsive Disorder

2. Jikalau jiran C nampak perkara tersebut, maka dia hendaklah memberitahu jiran B, tetapi jangan pula menambah kisah yang tidak benar

28) Apakah bekas untuk menghidangkan masakan daging babi atau anjing harus disertu?

🔵 Daging babi dan anjing adalah najis, maka bekas masakannya hendaklah dibersihkan tetapi tidak perlu disertu.

29) Saya ada melihat anjing berak dan kencing di koridor, kemudian jiran saya membasuh koridor itu dengan menggunakan sabun. Air percikan sabun itu mengenai pakaian. Adakah air percikan sabun itu menjadi najis?

🔵Jika sudah dibasuh dengan sabun, maka bersihlah najis anjing tersebut. Pada zaman Nabi, anjing keluar dan masuk ke dalam masjid tetapi tiada tindakan/suruhan untuk membasuhnya.

30) Adakah sah solat di kawasan yang menjadi laluan anjing dan terkena air liur anjing yang meleleh

🔵Anjing keluar dan masuk di dalam masjid Nabi seperti disebut dalam hadith Riwayat ‘Abdullah ibn ‘Umar (yang menerangkan)

كَانَتْ الْكِلَابُ تُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي الْمَسْجِدِ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

“Anjing masuk dan keluar di masjid pada masa Rasulullah dan para sahabat tidak memercikkan air apa pun.” [ Hadis Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud ].

Lihatlah anjing keluar dan masuk masjid pada zaman Nabi dahulu dan Nabi tidak menyuruh untuk memagar masjid itu! Jika anjing menjilat bekas makanan kita dan kita hendak menggunakannya bekas itu lagi, maka kerana itulah bekas makanan perlu disertu. Sekiranya masih ada bekas lain, boleh sahaja dibuang bekas itu kerana bukan hendak dipakai kembali.

31) Manakah najis yang lebih berat di antara jilatan bekas makanan anjing atau babi?

🔵Najis anjing lebih berat kerana perlu disertu.

32) Apakah dalil atau hujah yang tepat bagi menyokong pernyataan yang menyatakan bahawa anjing ini tidak boleh dijadikan haiwan peliharaan?

🔵Dalil di dalam lafaz yang mantuq tidak ada. Cuma ada hadith yang mengisyaratkan larangan membela anjing mengurangkan pahala.

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ يَقُولُ
سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ اقْتَنَى كَلْبًا إِلَّا كَلْبًا ضَارِيًا لِصَيْدٍ أَوْ كَلْبَ مَاشِيَةٍ فَإِنَّهُ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ

Abdullah bin Umar dia berkata: “Aku mendengar Nabi ‎ﷺ bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya.”
(Riwayat Al-Bukhari no. 5059 dan Muslim, no: 2940)

Hadith ini menjadi hujah larangan atau sekurang-kurangnya makruh membela anjing.

33) Apakah hukum membela anjing terbiar yang cacat?

🔵Boleh membela anjing terbiar yang cacat, tetapi perlu tinggalkan di luar rumah sahaja. Jangan dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

📝Soalan Tambahan

1) Semasa kecil dahulu, saya diajarkan bahawa binatang yang akan masuk api neraka ialah anjing dan khinzir. Adakah benar dan kenapa?

🔵Itu adalah ilmu yang salah. Semua binatang akan menjadi tanah sahaja nanti. Tidak masuk syurga atau neraka.

2) Adakah haiwan akan berada di syurga nanti?

🔵Haiwan tidak masuk syurga mahupun neraka.

3) Apakah hadith yang menyatakan pada zaman dahulu anjing diperintahkan untuk dibunuh kerana disebabkan bahayanya anjing?

🔵Jawapan

جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُا أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِقَتْلِ الْكِلَابِ حَتَّى إِنَّ الْمَرْأَةَ تَقْدَمُ مِنْ الْبَادِيَةِ بِكَلْبِهَا فَنَقْتُلُهُ ثُمَّ نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِهَا وَقَالَ عَلَيْكُمْ بِالْأَسْوَدِ الْبَهِيمِ ذِي النُّقْطَتَيْنِ فَإِنَّهُ شَيْطَانٌ

Jabir bin Abdullah berkata: Rasulullah ‎ﷺ memerintahkan kami supaya membunuh anjing, bahkan anjing milik seorang wanita badui yang selalu mengiringinya kami bunuh juga. Kemudian Nabi ﷺ melarang membunuh anjing seperti itu, namun beliau bersabda: “Bunuhlah anjing yang berwarna hitam dengan dua titik putih dikeningnya, karena anjing itu adalah jelmaan dari syaitan. [ Riwayat Muslim no 2938 ]

Daripada hadith sahih di atas ada tiga peringkat mengenai anjing pada awal Islam.

▪️Pertama:
Apabila Nabi berhijrah ke Madinah, didapati orang arab Madinah membela anjing. Mereka mengikuti Yahudi yang membela anjing. Yahudi waktu itu kaya dan berjaya. Jadi orang arab waktu itu kaitkan kejayaan mereka dengan membela anjing. Mereka jadi terlebih hormat pula kepada anjing.

Maka Nabi mengarahkan supaya anjing dibunuh untuk menghilangkan salah faham mereka kepada anjing. Ini seumpama Yahudi disuruh menyembelih lembu untuk menghilangkan rasa hormat mereka pada lembu. Kisah ini dinukilkan dalam surah Al-Baqarah.

▪️Kedua:
Kemudian, selepas hilang rasa hormat melampau mereka itu terhadap anjing. Maka pada peringkat ini, tidaklah disuruh membunuh semua anjing melainkan anjing jelmaan syaitan sahaja.

▪️Ketiga:
Dan akhirnya pada peringkat ini, anjing dibiarkan sahaja. Maka kita sekarang pada peringkat ketiga. Jangan hendak menggunakan hadith-hadith pembunuhan anjing itu menyeksa atau membunuh anjing sesuka hati. Pada zaman itu ada keperluan tetapi pada zaman sekarang sudah tidak ada.

4) Kenapakah anjing boleh dibunuh berdasarkan hadith tersebut?

🔵Anjing boleh dibunuh kerana ia adalah jelmaan syaitan. Nabi mengetahui perkara ini kerana baginda telah mendapat wahyu.

5) Adakah anjing tidak boleh dibunuh sesuka hati?

🔵Ya. Tidak boleh. Kecuali di atas sebab penyakit, gangguan ganas dan lain-lain.

6) Bagaimanakah hukumnya apabila orang di jabatan saya menangkap anjing dan membunuhnya menggunakan racun? Adakah dalil yang mengharuskan keadaan ini?

🔵Perkara tersebut adalah bersebab. Mereka yang di dalam jabatan kerajaan melakukan sedemikian adalah kerana mengikut kepentingan negara dan masyarakat awam.

Jika ingin mengetahui dan mengeluarkan sesuatu hukum dari dalil, maka perlulah belajar hadith dahulu. Hal ini mempunyai beberapa peringkat.

**Seperti kata Imam al-Harmain (Abu Ma’ali al-Juwaini) menuturkan di dalam karyanya Nihayatul Mathlab fi Dirayatil Madzhab:

والكلب الذي لا منفعة له، ولا ضرار منه لا يجوز قتله. وقد ذكرنا طرفاً من ذلك مقنعاً في باب الصيود من المناسِك عند ذكرنا الفواسق، وقد صح أن النبي صلى الله عليه وسلم أمر بقتل الكلاب مرة، ثم صح أنه نهى عن قتلها، واستقر عليه على التفصيل الذي ذكرناه. وأمر بقتل الكلب الأسود البهيم. وهذا كان في الابتداء، وهو الآن منسوخ

Anjing yang tidak boleh dimanfaatkan dan tidak pula membahayakan, tidak boleh dibunuh. Kami telah menjelaskan permasalahan ini dalam pembahasan “Perburuan Pada Waktu Manasik” ketika menyentuh berkenaan haiwan-haiwan fasik (berbahaya). Memang ada riwayat sahih yang menyatakan Nabi ﷺ memerintah membunuh anjing dan kemudian pada satu riwayat dikatakan Nabi ﷺ melarangnya. Penjelasan terperinci masalah ini sudah kami jelaskan. Sesungguhnya perintah Nabi untuk membunuh anjing hitam itu sudah di-nasakh (dihapus).”

7) Adakah anjing yang mempunyai penyakit anjing gila boleh dibunuh kerana ianya berbahaya kepada orang ramai dan boleh berjangkit ?

🔵Anjing tersebut boleh dibunuh. Dikhuatiri anjing tersebut menggigit manusia dan menjangkiti mereka.

8) Adakah akan menjadi kecelaruan kepada anak-anak apabila diajarkan fiqh sunnah kerana berbeza dengan aliran yang diajarkan oleh guru di sekolah?

🔵Kita harus menerangkan kepada anak-anak tentang kepelbagaian pendapat di dalam fiqh. Kita ajarkan keluasan bidang fiqh.

Supaya sejak kecil lagi fikiran mereka sudah terbuka dan tidak terkongkong pada satu jenis pendapat sahaja.

Allahu a’lam.

Thaharah: Bab Air dan Najis – Najis

0
cof

5. Bangkai

Bangkai dalam bahasa Arab disebut al Mayyitah (bunyi ala-ala mayat kan?). Pengertiannya adalah haiwan yang mati tanpa disembelih mengikut syarak. Mungkin ia mati dengan cara mati sendiri tanpa sebab atau dengan campur tangan manusia yang membunuhnya (dengan cara mencekik atau memukul dengan batu dan sebagainya). Bangkai binatang itu adalah najis.

✍🏻Dalil najisnya bangkai:

Dari Abdullah bin Abbas dia berkata,” Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,” Apabila kulit telah disamak, maka sungguh ia telah suci.”
[ HR. Muslim ]

Penjelasan daripada Hadis: Apabila Nabi ﷺ berkata kulit yang sudah disamak menjadi suci, maka ini memberi isyarat bahawa kulit itu asalnya najis. Hanya setelah disamak baharulah ianya menjadi suci.

📌Nota tambahan:

Kita mahu membetulkan sedikit terma/istilah yang dipakai oleh orang kita. Ramai yang tidak tahu membezakan antara ‘samak’ dan ‘sertu’. Dengar dan fahami baik-baik.

🔺Sertu: membasuh bekas makanan yang dijilat dan terkena air liur anjing dengan 7 kali basuhan dan salah satunya dengan air yang bercampur tanah.

🔺Samak: proses membersihkan kulit binatang supaya kulit itu boleh digunakan. Kalau tidak dibersihkan, memang tidak boleh dipakai, sebab kulit tersebut akan berbau busuk. Tiada orang yang akan membeli beg Birkin atau beg Bijan jikalau tidak disamak terlebih dahulu.

Cara samak:

▪️Membersihkan dahulu segala sesuatu yang boleh menyebabkan kulit itu berbau busuk iaitu dengan membuang daging dan lemak yang melekat pada kulit itu. Setelah itu diberikan cairan mengkakis seperti cuka atau semisalnya.

▪️Kemudian direndam beberapa waktu (agak lama atau mungkin beberapa hari). Setelah semua tahap ini selesai baharulah kulit bangkai binatang tersebut menjadi suci dan boleh dimanfaatkan. Boleh dibuat beg, tali pinggang, dompet dan sebagainya. Baik, harap selepas ini kita semua tahulah hendak menggunakan istilah yang mana samak dan yang mana sertu.

✍🏻Para ulama berpendapat, anggota tubuh (daging) yang dipotong dari haiwan yang masih hidup, termasuk dalam kategori bangkai, dengan berdasarkan sabda Rasulullah ‎ﷺ:

‎مَا قُطِعَ مِنْ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَمَا قُطِعَ مِنْهَا فَهُوَ مَيْتَةٌ

Semua yang dipotong dari haiwan dalam keadaan masih hidup adalah bangkai”.
[ HR Abu Daud no. 2858 dan Ibnu Majah no. 3216 dan disahihkan Al Albani dalam Sunan Abu Daud ]

Dengan demikian hukumnya sama dengan hukum bangkai. Jadi, daripada ini kita tahu yang bangkai adalah najis. Dikecualikan dalam hal ini, iaitu:

[a] Bangkai ikan dan belalang,

✍🏻Berdasarkan kepada sabda Rasulullah ‎ﷺ

‎أُحِلَّتْ لَكُمْ مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ وَأَمَّا الدَّمَانِ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

Dihalalkan bagi kalian dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Adapun dua bangkai tersebut adalah ikan dan belalang. Sedangkan dua darah tersebut adalah hati (liver) dan limpa.
[HR Ibnu Majah no. 3314 dan dishohihkan Syeikh Al Albani dalam Silsilah Al Ahadits Al Shohihah no.1118]

[b] Bangkai haiwan yang tidak memiliki darah yang mengalir seperti lalat, lebah, semut dan sejenisnya.

✍🏻Berdasarkan kepada sabda Rasulullah ‎ﷺ .

‎إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالْأُخْرَى شِفَاءً

Apabila seekor lalat hinggap dalam minuman salah seorang kalian, maka hendaknya dia menenggelamkannya kemudian membuangnya, kerana pada salah satu dari kedua sayapnya terdapat penyakit dan pada (sayap) yang lainnya (terdapat) ubatnya (penawar)
[HR Al Bukhari no. 3320]

📍Nota: Maka kalau termakan semut itu, kira halal lah.

[c] Tulang, tanduk dan kuku bangkai

Ini semuanya suci sebagaimana dijelaskan Imam Al Bukhari daripada Al Zuhri tentang tulang bangkai, seperti gajah dan lainnya, dengan sanad mu’allaq dalam sahih Al Bukhari (1/342).

✍🏻Imam Al Zuhri menyatakan : “Aku telah menemui sejumlah orang daripada kalangan ulama salaf, menggunakannya sebagai sisir dan berminyak dengannya, Mereka memperbolehkannya”

[ Shohih fiqhus Sunnah 1/73 ]

6. Daging Babi

Daging babi jelas najis.

✍️Dalilnya dalam al-An’am:145

قُل لا أَجِدُ في ما أوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلىٰ طاعِمٍ يَطعَمُهُ إِلّا أَن يَكونَ مَيتَةً أَو دَمًا مَسفوحًا أَو لَحمَ خِنزيرٍ فَإِنَّهُ رِجسٌ أَو فِسقًا أُهِلَّ لِغَيرِ اللَّهِ بِهِ

Katakanlah: “Tiadalah aku perolehi dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi — kerana sesungguhnya semua itu kotor — atau binatang yang disembelih atas nama selain daripada Allah.

Bagaimana pula dengan kulit babi atau bulu babi? Ini tentu menjadi satu perkara yang menjadi persoalan yang bermain di fikiran.

Terutama kalau membeli kasut kulit tetapi rupa-rupanya kasut itu diperbuat dari kulit babi. Apabila memakai berus melukis, rupa-rupanya berus diperbuat dari bulu babi pula. Alamak!

Walaupun ada juga pendapat yang mengatakan kulit babi dan bulu babi tidak najis, tetapi pendapat yang rajih, mengatakan kulit babi dan bulu babi juga adalah najis. Kalau disamak pun ia tidak akan menjadi suci, kerana memang ia berasal dari benda yang tidak suci.

📍Ibnu Utsaimin menjelaskan, bahawa kulit binatang ada 3 :

1. Kulit binatang yang statusnya suci dan boleh dimanfaatkan, meski pun tidak disamak. Itu adalah kulit haiwan yang halal dimakan dan disembelih dengan cara yang benar. Contohnya, ada orang makan kulit lembu, kulit ayam dan sebagainya.

2. Kulit binatang yang tidak boleh disucikan, meskipun telah disamak. Statusnya tetap najis, apapun keadaannya. Itulah kulit semua binatang yang haram dimakan, seperti babi atau anjing.

3. Kulit binatang yang suci setelah disamak, dan najis jika tidak disamak. Itulah kulit bangkai binatang yang halal dimakan, seperti kulit bangkai lembu, dan sebagainya. (Liqa’at Bab Al-Maftuh, Volume 52, no. 8).

Lalu bolehkah kita memakai beg, kasut atau sebagainya yang diperbuat dari kulit babi?

✍️Terdapat suatu hadis dari Muawiyah radhiyallahu ‘anhu,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ لُبُوسِ جُلُودِ السِّبَاعِ، وَالرُّكُوبِ عَلَيْهَا

Bahawa Rasulullah ‎ﷺ melarang memakai kulit binatang buas dan menungganginya.
[ HR. An-Nasai 4255, Abu Daud 4131 dan dishahihkan Al-Albani ].

Oleh kerana Nabi melarang memakai kulit binatang buas kerana binatang buas tidak boleh dimakan, maka tentulah larangan tersebut terpakai untuk kulit babi juga kerana daging babi tidak boleh dimakan. Oleh itu kalau membeli beg atau kasut kenalah tengok ia diperbuat dari kulit apa.

📌Sekarang timbul persoalan lain pula: Bagaimana sekiranya terpakai, atau tersentuh kulit babi? Perlukah disertu tubuh badan atau pakaian kita?

Prinsip penting yang kita pegangi dalam hal ini adalah: tidak semua perkara yang berkaitan menyentuh benda najis, menyebabkan badan kita menjadi najis. Ini kerana, ada dua hal yang perlu dibezakan: Adakah benda itu najis, dan menyentuh benda najis.

Menyentuh benda najis boleh menyebabkan badan kita menjadi najis, jika ada bahagian benda najis itu yang melekat pada tubuh kita. Sebaliknya, jika tidak ada bahagian benda najis itu yang melekat, maka status badan kita tetap suci.

✍️Syaikh Dr. Sholeh Al-Fauzan menjelaskan,

وإذا لمس الإنسان نجاسة رطبة؛ فإنه يغسل ما لمسها به من جسمه؛ لانتقال النجاسة إليه، أما النجاسة اليابسة؛ فإنه لا يغسل ما لمسها به؛ لعدم انتقالها إليه

Jika ada orang menyentuh benda najis yang basah maka dia harus mencuci bagian tubuhnya yang terkena benda najis itu, kerana ada bahagian najisnya yang berpindah kepadanya. Namun jika menyentuh najis kering, maka tidak perlu mencuci badan yang menyentuhnya, kerana tidak ada bahagian najis yang menempel.
[ Al-Muntaqa min Fatawa Al-Fauzan ]

Oleh itu, cuma perlu membasuh tubuh kita sekiranya kulit babi itu basah atau tubuh kita basah. Ini kerana dalam keadaan basah sahaja baru ada perpindahan (transfer) najis. Jika kedua-duanya kering, maka tidak perlu dicuci.

📌Tetapi bagaimanakah cara membasuhnya? Guna air tanah juga kah (sertu)?

Tidak, basuh biasa sahaja. Cara mencucinya hanya dengan sekali basuhan air, sebagaimana najis pada umumnya. Sebahagian ulama’ ada yang menyamakan najisnya babi seperti najisnya air liur anjing. Namun analogi ini tidak benar dan tidak memiliki dasar yang kuat.

Di antara ulama’ yang membantah pendapat yang menyamakan status najisnya kulit babi dengan air liur anjing adalah Imam Ibnu Utsaimin.

✍🏻Beliau menjelaskan,

وهذا قياس ضعيف ؛ لأن الخنزير مذكور في القرآن ، وموجود في عهد النبي صلى الله عليه وسلم ، ولم يرد إلحاقه بالكلب ، فالصحيح أن نجاسته كنجاسة غيره ، لا يغسل سبع مرات إحداها بالتراب

Menyamakan kulit babi dengan anjing adalah analogi yang lemah kerana babi telah disebutkan dalam Al-Quran dan sudah wujud di zaman Nabi ﷺ. Sementara tidak ada riwayat yang menyamakan babi dengan anjing. Kerana itu yang benar, najisnya babi sama dengan najisnya benda najis lainnya. Tidak perlu dicuci tujuh kali dan salah satunya dengan tanah. (As-Syarhul Mumthi’, 1/356).

Semoga penjelasan ini jelas dan apabila berpegang dengan pendapat ini, maka tidaklah susah hidup kita. Islam bukanlah agama yang menyusahkan manusia.

Oleh kerana tidak tahu tentang perkara ini, maka ada orang yang sertu rumahnya, atau menukar karpet di masjid yang telah dimasuki babi dan sebagainya lagi. Itu adalah ghuluw (berlebihan dalam agama). Buang masa dan buang duit belaka.

🍀SESI SOAL JAWAB☘️
========================

📍Adakah samak ini hanya untuk orang Islam dan mesti berniat sebelum melakukannya?

🔵 Tidak. Samak ini proses pembersihan sahaja dan boleh dilakukan oleh sesiapa pun.

📍Adakah benar jika termakan semut nanti hati tidak terang bila belajar?

🔵Tidak betul. Ini fahaman khurafat. Tidak ada orang makan semut tetapi termakan adalah. Jadi tidak perlu hadith sudah faham.

📍Kakak saya telah menghadiahkan sebuah beg yang dibeli semasa berada di Australia. Saya berasa was-was hendak gunakan sebab ia diperbuat daripada kulit binatang dan bimbang jika ia kulit binatang yang haram disentuh. Boleh jelaskan binatang apa yang memang tidak boleh kulitnya disamak?
Bagaimana jika beg atau kasut itu daripada kulit ular atau buaya?

🔵Babi dan binatang buas. Jadi sebelum membeli kena tahulah dari bahan apa beg itu diperbuat.
Termasuk dalam binatang buas maka tidak boleh dipakai. Jika penjual tidak tahu, janganlah beli dan kita tidak rugi apa pun.

📍Sentuh babi tidak perlu sertu sebab apa yang dipelajari ia najis berat?
Adakah sama sertu dan samak?

🔵Tidak perlu sertu hanya basuh biasa sahaja.
Keduanya tidak sama. Harap selepas ini ramai yang faham dan sampaikan ilmu ini kepada orang lain.

📍Jika kita beli barangan terpakai yang kita tidak tahu sama ada pengguna itu Islam atau bukan Islam, perlukah sertu atau samak?

🔵Bila tidak nampak, maka tidak perlu sertu. Kita tidak dipertanggungjawabkan dengan perkara yang kita tidak nampak.

📍Adakah istilah dibenci maksudnya haram? Adakah pendapat lain selain dari ulama tersebut?
Kesimpulannya babi tidak perlu sertu, basuh sahaja dan anjing baru sertu.

🔵Tentu ada sahaja pendapat yang lain. Begitulah bab agama ni. Kita tidak memaksa untuk ikut. Kita bentangkan apa yang kita tahu. Mungkin ada yang boleh beri pendapat yang lain. Boleh kita berbincang.

Ya, sentuh babi atau daging babi tidak perlu sertu. Kalau air liur anjing kena bekas makanan dan hendak pakai bekas itu, barulah sertu.

Allahu a’lam.

Thaharah: Bab Air dan Najis – Bahagian Ke-2

0

Air yang suci tetapi tidak menyucikan

Air yang suci, tetapi tidak menyucikan. Sekarang kita masuk ke topik yang baharu:

🔺Thaharah/Air dan Najis/Jenis Air/Air yang suci tetapi tidak menyucikan.

Pada asalnya ia adalah air mutlak tetapi telah dicampuri benda suci seperti pewarna, cuka, kopi, teh dan lain-lain lagi. Percampuran itu banyak sehingga mengubah status air itu menjadi ‘air berwarna’, ‘air cuka’, ‘air kopi’, ‘air teh’ dan sebagainya.

Orang tidak panggil ‘air’ sahaja, tetapi sudah ditambah dengan nama lain. Air jenis ini tidak boleh dijadikan air wuduk dan mandi junub.

✍🏻Imam Bukhari telah menaqalkan:

وَكَرِهَهُ الْحَسَنُ وَأَبُو الْعَالِيَةِ وَقَالَ عَطَاءٌ التَّيَمُّمُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ الْوُضُوءِ بِالنَّبِيذِ وَاللَّبَنِ

Al Hasan dan Ata’ Abu Aaliyah tidak suka menggunakannya. Ata’ berkata: bertayamum lebih aku sukai dari berwudu’ menggunakan Nabiz dan susu.

Nabiz adalah air yang direndam kurma di dalamnya (sehari semalam) dan menyebabkan perubahan pada air itu. Ia boleh dikira sebagai air perasa kurma dan pada zaman sekarang, dipanggil air jus. Maka air jenis ini tidak boleh dijadikan sebagai air wudhu’.

Topik : Air Najis

Jenis yang ke 3: Air Najis

🔺Thaharah/Air dan Najis/Jenis Air/Air Najis

Ini adalah air mutlak tetapi telah bercampur dengan najis, sehingga telah mengubah warna, bau atau rasa air itu. Air jenis ini tidak boleh digunakan sebagai air wudhu’. Tidak kira sama ada air itu sedikit atau banyak.

Maksudnya, kalau sudah lebih dari dua qullah pun, tetapi kalau ada perubahan pada warna, bau dan rasa, ia tidak boleh digunakan.

Bahagian: Jenis-jenis Najis

Bahagian: Najis

Sebelum ini kita katakan, air kalau bercampur dengan najis, dan telah mengubah warna, bau atau rasanya, maka kita tidak boleh menggunakan air itu untuk bersuci. Maka kenalah kita tahu, apakah yang dikira sebagai najis.

1. Tahi dan air kencing

Dua perkara ini telah diketahui oleh semua orang kerana ia najis, tahi dan kencing tidak boleh dibawa ke dalam solat. Maka kerana itulah kena disucikan dahulu dengan air yang suci lagi menyucikan yang kita telah pelajari sebelum ini.

Cuma ada perincian tentang kencing anak lelaki yang berumur kurang dari dua tahun:

▪️Ia adalah najis ringan iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umurnya dua tahun dan belum makan makanan secara mengenyangkan melainkan susu ibunya sahaja.

▪️Mana-mana pakaian yang terkena najis mukhaffafah ini, memadai dengan merenjis air ke atas pakaian-pakaian yang terkena najis itu.

✍🏻Dalil Dari Ummu Qais binti Mihsan katanya:

Dia datang kepada Rasulullah s.a.w dengan anak lelakinya yang belum makan sesuatu selain dari susu ibunya; ketika anak itu dalam pangkuan Nabi s.a.w, dia terkencing. Berkata yang meriwayatkan hadith ini dari Ummu Qais, bahawa Rasulullah SAW tidak lebih dari memercikkan air ke tempat yang terkena kencing itu.
(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, syaratnya kena ada tiga:

i. Mesti anak lelaki (anak perempuan tidak termasuk)

ii. Umur anak itu kurang dari dua tahun.

iii. Hanya makan susu ibu sahaja. Kalau sudah makan makanan lain, maka tidak termasuk.

2. Darah Haidh

Darah haidh itu najis dan kenalah dihilangkan sebelum dibawa ke dalam solat.

✍🏻Ini berdasarkan riwayat berikut,

‎عن أبي هريره رضي الله عنه, أن خولة بنت يسار قالت, يا رسول الله ليس لي إلا ثوب واحـد وأنا أحيض فيه؟ قال فإذا طهرت فاغسلى موضع الـدم ثم صلي فيه, فقالت يا رسول الله إن لم يخرج أثر؟ قال, يكفـيــك الماء ولا يضرك أثره.

“Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Khaulah binti Yasar berkata, ‘Ya Rasulullah, aku hanya mempunyai satu helai pakaian, dan (sekarang) saya haidh mengenakan pakaian tersebut.’
Maka Rasulullah menjawab, ‘Apabila kamu telah suci, maka cucilah yang terkena haidhmu, kemudian salatlah kamu dengannya.’
Dia bertanya, ‘Ya Rasulullah, (bagaimana) kalau bekasnya tidak boleh hilang?’
Rasulullah menjawab, ‘Cukuplah air bagimu (dengan mencucinya) dan bekasnya tidak membahayakan (salat)mu.’”
(Sahih, Riwayat Abu Dawud dalam Sahih-nya (no. 351) dan ‘Aunul Ma’bud (II/26 no. 361), al-Baihaqi (II/408))

📍Nota: kalau ia tidak najis, tentulah Nabi tidak menyuruh supaya dibersihkan dahulu. Kalau ada kesan sedikit-sedikit, itu dimaafkan. Zaman dahulu tidak ada clorox.

3. Wadi

Air wadi adalah cairan berlendir yang keluar dari zakar lelaki sesudah membuang air kecil. Keluarnya membatalkan wudhu’.

Warnanya putih dan cair. Ia sejenis cecair yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan apabila seseorang itu kepenatan seperti berlari, ber”jogging” dan lain-lain daripada pekerjaan yang menggunakan tenaga.

Hukumnya tidak wajib mandi junub, hanya dikehendaki membasuh anggota yang terkena air wadi tersebut. Jika hendak solat, kena ambil wudhu’ balik.

📍Air wadi ini najis dan tidak sah dibawa solat.

4. Madzi

Madzi adalah air yang keluar dari kemaluan, air ini jernih dan melekit.

Keluarnya air ini disebabkan syahwat yang muncul ketika seseorang memikirkan atau membayangkan jima’ (hubungan seksual) atau ketika pasangan suami isteri bercumbu (foreplay).

Ia keluar dengan tidak memancar (air mani akan memancar). Keluarnya air ini tidak menyebabkan seseorang menjadi lemah (tidak seperti keluarnya air mani, yang pada umumnya menyebabkan tubuh menjadi lemah) dan terkadang air ini keluar tanpa disedari (tidak terasa).

Air madzi boleh terjadi pada laki-laki dan wanita, meskipun pada umumnya lebih banyak terjadi pada wanita. Sebagaimana air wadi, hukum air madzi adalah najis. Apabila air madzi terkena pada tubuh, maka wajib mencuci tubuh yang terkena air madzi tersebut.

Adapun apabila air ini, jika terkena pakaian, maka memadai dengan memercikkan air ke bahagian pakaian yang terkena air madzi tersebut, sebagaimana sabda Rasulullah SAW terhadap seseorang yang pakaiannya terkena madzi,

✍🏻“Cukuplah bagimu dengan mengambil segenggam air, kemudian engkau percikkan bahagian pakaian yang terkena air madzi tersebut.”
(HR. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah dengan sanad hasan).

📍Keluarnya air madzi membatalkan wudhu’. Apabila air madzi keluar dari kemaluan seseorang, maka dia wajib mencuci kemaluannya dan berwudhu’ apabila hendak solat.

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah, “Cucilah kemaluannya, kemudian berwudhu’lah.”
(HR. Bukhari Muslim)

Maknanya, tidak perlu mandi wajib.

🍀SESI SOAL JAWAB ☘️
=========================

📍Apakah maksudnya lebih suka dalam hadis di bawah? Adakah bermaksud boleh buat?
Kalau hal berkait bahasa hadith, adakah kita kena faham gaya bahasa dan budaya Arab masa itu?

Imam Bukhari telah menaqalkan:

وَكَرِهَهُ الْحَسَنُ وَأَبُو الْعَالِيَةِ وَقَالَ عَطَاءٌ التَّيَمُّمُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ الْوُضُوءِ بِالنَّبِيذِ وَاللَّبَنِ

Al Hasan dan Ata’ Abu Aaliyah tidak suka menggunakannya. Ata’ berkata: bertayamum lebih aku sukai dari berwudhu’ menggunakan Nabiz dan susu.

🔵Bahasa lenggok orang Arab. Maknanya dia tidak buat. Betul juga jika dibaca cara Melayu macam ada pilihan pula.
Ya,kena faham agar kita tidak salah faham maksud. Oleh sebab itu kena belajar kerana kalau baca sendiri ditakuti akan salah.

📍Benarkah jika air berwarna sama ada sedikit atau banyak jumlah air, ia tetap tidak menyuci kan seperti air sirap tawar?

🔵Ya, ‘air sirap’ itu sudah ditambah ‘sirap’ pada namanya. Maka tidak boleh.

📍Adakah sama kaedah merenjis air dan spray? Adakah kita perlu cuci dan gosok dengan air pada tempat yang terkena air kencing itu?

🔵Spray juga boleh tetapi nanti setiap kali terkena air kencing perlu spray. Jadi kaedah renjis lebih senang. Renjis sekali dua sahaja buat syarat.

📍Mengapakah kaedah merenjis hanya untuk anak lelaki sahaja? Bagaimana pula jika bayi itu ada dua jantina?

🔵Dalil dari Nabi SAW. Ulama kata hikmahnya kerana zarath/chemical tidak sama antara kencing budak lelaki dan perempuan. Semoga nanti ada kajian sains yang akan jelaskan.
Dua jantina ini adalah Khunsa. Maka kena basuh dan tidak boleh renjis sahaja.

📍Adakah merenjis ini boleh dilakukan sama ada air kencing itu banyak terkena pakaian atau sedikit walaupun 5 titis sahaja? Jika anak itu masih menyusu dan sudah mulai makan Nestum, kaedah merenjis pada air kencing sudah tidak boleh dilakukan?

🔵Ini dipanggil ta’abbud. Ikut seperti disuruh. Kalau hendak kira bersih, belum tentu tetapi sebab ini cara yang cukup dan terbaik (it’s good enough) kepada Nabi SAW, maka cukup bagi kita juga.
Untuk bayi sudah tidak boleh merenjis sebab sudah ada benda asing dimakan.

📍 Adakah air wadi sama dengan madzi?

🔵Tidak sama.

📍 Benarkah sama kaedah merenjis air pada kencing bayi untuk pakaian yang ada air madzi dan adakah ia termasuk dalam najis ringan?

🔵Ya. Sama sebab susah hendak dikesan maka syarak permudahkan.
Tidak termasuk, ia hanya dipermudahkan cucian kerana susah dikesan sahaja.

📍Jika darah haidh kita kena cuci dulu, adakah wajib cuci juga untuk darah kudis atau darah nyamuk yang terkena pakaian solat.

🔵Darah haidh sahaja yang kena cuci. Darah kudis bukan najis. Nanti kita masuk bab darah pula.

📍Adakah jika darah keluar sikit dalam setitik dua dalam 2 atau 3 hari itu dianggap darah haidh juga?

🔵Wanita kenal mana haidh dan tidak. Warna dan sifat tidak sama dengan darah biasa.

📍Apakah yang perlu dilakukan jika ada air kencing yang meleleh 1 atau 2 titik lalu terkena seluar dalam?

🔵Najis ini kalau nampak baru kita cuci. Kalau tidak nampak maka tidak perlu dicari.

Ini penting kerana ramai penyakit was-was di negara ini. Benda tidak ada tetapi dibasuh bagai hendak ‘rak’. Ini tidak disuruh dalam Islam. Jadi setitik dua begitu kalau nampak barulah dibasuh. Tidak perlu hendak belek. Konsep ‘kot-kot ada’ tidak dipakai dalam ilmu thaharah ini.
Kalau pasti ada baru dibasuh, selalunya tidak pasti. Agak-agak sahaja. Maka jadilah penyakit was-was. Orang melayu sahaja ada. Bangsa lain saya tidak tahu. Benda khayalan sahaja.

📍Kita perlu basuh jika terpijak tahi binatang atau ia terkena seluar, seperti tahi ayam dan kucing. Adakah nanti batal wudhu?

🔵Ya, kenalah basuh. Satu lagi konsep orang melayu kena faham (banyak sangat kekeliruan orang Melayu). Sentuh najis tidak batalkan wudhu’. Basuh sahaja seperti biasa.

📍Adakah benar pakaian solat setelah dicuci mesin atau tangan perlu bilas dengan air mengalir iaitu air paip?

🔵Cara itu tidak betul. Apabila sudah masuk mesin basuh, ia akan bersihkan pakaian itu. Nama pun ‘mesin basuh’ kan? Air dalam mesin basuh lebih banyak daripada najis (kalau ada). Maka air yang banyak akan membersihkan pakaian dan menghilangkan najis. Selalu tiada najis, ada peluh sahaja dan peluh bukan najis.

📍Semasa tinggal di asrama saya cuci kain, bilas dengan air paip sebab ada yang kata kena bilas air mengalir kalau hendak pakai untuk solat.

🔵Siapa yang ajar? Apa sebab dia ajar? Mana dia dapat? Inilah ajaran pak lebai di Malaysia yang menyusahkan rakyat jelata. Saya tahu ada yang diajar sebegitu tetapi ia menyusahkan dan tiada dalil. Kononnya air mengalir itu sahaja air mutlak tetapi sudah belajar apakah air mutlak.

Memang merata fahaman sebegini. Itulah sampai hendak buat kedai dobi khas untuk orang Islam sahaja. Karut sungguh! Sama sahaja pakaian untuk solat dengan pakaian untuk dipakai. Kita pergi kerja, kemudian sampai masa solat, pakai pakaian itulah juga. Cuba fikirkan,sahabat Nabi dulu ada satu pakaian dan mereka bukan ada almari pakaian hendak tukar-tukar.

📍Bagaimana jika baju atau telekung terkena darah, ustazah di sekolah ajar kena basuh bersih dan pastikan hilang kesan?

🔵Ini hadis ajaran Nabi SAW kata kalau ada sikit-sikit itu dimaafkan.

‎عن أبي هريره رضي الله عنه, أن خولة بنت يسار قالت, يا رسول الله ليس لي إلا ثوب واحـد وأنا أحيض فيه؟ قال فإذا طهرت فاغسلى موضع الـدم ثم صلي فيه, فقالت يا رسول الله إن لم يخرج أثر؟ قال, يكفـيــك الماء ولا يضرك أثره.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahwa Khaulah binti Yasar berkata, ‘Ya Rasulullah, aku hanya mempunyai satu helai pakaian, dan (sekarang) saya haidh mengenakan pakaian tersebut.’
Maka Rasulullah menjawab, ‘Apabila kamu telah suci, maka cucilah yang terkena haidhmu, kemudian salatlah kamu dengannya.’
Dia bertanya, ‘Ya Rasulullah, (bagaimana) kalau bekasnya tidak boleh hilang?’
Rasulullah menjawab, ‘Cukuplah air bagimu (dengan mencucinya) dan bekasnya tidak membahayakan (salat)mu.’”
(Sahih, riwayat Abu Dawud dalam Sahih-nya (no. 351) dan ‘Aunul Ma’bud (II/26 no. 361), al-Baihaqi (II/408))

Peringatan dari saya, tinggalkan ajaran sekolah yang ghuluw kerana mengajar benda yang tidak patut hingga menyusahkan. Perlu tinggalkan apa yang dipelajari itu, kemaskan balik pembelajaran dan ada pemurnian. Hilang bau hilang kesan sudah boleh diterima.

📍Adakah bersih mengelap kotoran menggunakan tisu basah (wet tissue)? Ramai kaum ibu yang guna sewaktu tukar pampers bayi,terutama sewaktu musafir.

🔵Ya tahu. Bersih dan suci.

📍Apakah hingus yang jernih mengalir itu najis sebab semasa sedang solat dia mengalir, susah hendak kawal?
Adakah batal solat jika selepas solat baru perasan, semasa lap hingus, terkeluar sedikit tahi hidung?

🔵Hingus bukan najis.Benda kotor tidak semestinya najis.
Tahi hidung, tahi telinga, tahi gigi bukanlah najis walaupun nama ‘tahi’. Ia benda kotor dan jijik. Benda kotor tidak semestinya najis.

🔴Apakah maksud najis?

Benda yang kotor iaitu tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian dan tempat ia mengerjakan solat.

📍Bagaimana hendak tentukan sesuatu itu kotor sahaja atau najis?

🔵Kita sedang senaraikan. Nanti kita akan tahu, selain daripada itu bukanlah najis. Kita sebutkan perkara yang selalu dianggap najis tetapi tidak najis.

🔴Semasa di kampung ada air perigi yang biasanya jernih menjadi keruh serta berbau. Kami akan bagi tawas untuk menjernihkan air tetapi masih begitu. Bolehkah air tersebut digunakan untuk berwudhu’, mandi wajib dan bersuci sebab air paip pada ketika itu tidak keluar?

🔵Boleh.Ini dikira sebagai air ajin.

📍Adakah air loji kumbahan itu boleh dikatakan bersih setelah melalui proses dan digunakan untuk kegunaan harian seperti masak,minum dan mandi.

🔵Nampak bersih, maka bersihlah. Tidak ada apa hendak difikirkan lagi. Jangan fikir benda yang tidak perlu fikir.

Allahu a’lam.

Makan Dubuk

0

Jam’u dan tarjih ta’arudh lafaz umum dan khusus:

Hadith 1:

“Daripada Abu Tsa’labah al-Khusyani bahawa Rasulullah ﷺ melarang memakan setiap yang bertaring daripada binatang buas”
[ Al-Bukhari ]

Hadith 2:

“Daripada Abdul Rahman bin Abi ‘Ammar bahawa beliau bertanya kepada Jabir bin Abdullah tentang dubuk: dubuk boleh dimakan? Jawab: Ya, apakah boleh diburu? Ya, apakah engkau mendengarinya daripada Rasulullah ﷺ? Ya”
[ Ibnu Majah, Sunan At-Tirmidzi, Musnad Ahmad ]

Jadi, kedua hadith berlaku ta’arudh zahiri dan ia berlaku antara umum dan khusus. Hadith 1 umum kepada setiap binatang buas yang bertaring dan hadith 2 khusus kepada dubuk.

Yang mengatakan haram ini kerana mereka mentarjih lafaz umum dan yang mengatakan halal pula kerana mereka jam’u dengan cara meletak umum di bawah khusus.

Syafi’iyyah:
Dubuk halal, yang haram cuma binatang buas yang boleh menyerang manusia.

Contoh:
Singa, harimau dan serigala.

Cara mereka jam’u:
“Setiap yang bertaring itu haram kecuali dubuk”

Bahkan Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله‎ berkata:
“Daging dubuk bahkan dimakan dan dijual di antara Safa dan Marwa”
[ al-Muhazzab ]

Ibnu Al-Qayyim رحمه الله‎ berhujjah:
“yang haram jika ada 2 unsur: bertaring dan buas, dan dubuk cuma satu unsur iaitu bertaring, haiwan buas bertaring yang lain tidak seperti dubuk”
[ I’lam ]

Pendapat Ibnu Qudamah رحمه الله‎ pula:
“halal dan haram tentang daging haiwan ini mengikut apa yang dimakan Arab maka halal, dan apa yang tidak dimakan mereka maka ia haram, dan kayu ukur Arab adalah penduduk Hijaz, kerana ia negeri tadahan wahyu, dan Arab itu Quraisy”
[ al-Mughni ]

Dan pendapat Imam Abu Hanifah رحمه الله‎ dan Ahnaf:
mereka mentarjih, setiap yang memakan daging itu buas.

Jadi, ada dua cara mereka gunakan:

1. Hadith mengharamkan tarjih ke atas menghalalkan, haram mengalahkan halal lebih selamat.

2. Hadith yang mengharamkan masyhur (di mulut) dan masyhur tarjih ke atas khabar ‘Ahad (Badaie’).

Ulasan:
Pelajari cara ulama’ memakai dan membuang nas, kerana bukan semua yang asalkan daripada Nabi ﷺ boleh dibuat hujjah.

@ustazdaud
#berinteraksidenganhadith

Thaharah: Bab Air dan Najis

0

Bahagian : Air dan pembahagiannya
Topik : Air yang suci lagi menyucikan

🔘Bab Pertama: Air dan Najis

Kita hendak tahu jenis-jenis air dan apakah yang dikira sebagai najis. Ramai yang tidak dapat bezakan.

Kita akan mulakan dengan belajar apakah jenis air yang ‘suci lagi menyucikan’.

🔺Thaharah/Air dan Najis/Jenis Air/Air yang suci lagi menyucikan.

Air yang suci lagi menyucikan bermaksud bukan sahaja ia suci, ia boleh pula menyucikan. Selalu kita panggil ‘air mutlak’. Ia boleh ‘mengangkat’ hadas. Maksudnya ‘menghilangkan‘ hadas.

Maksudnya, menyucikan kita dan membolehkan kita melakukan ibadat yang memerlukan kita suci semasa melakukannya: contohnya Solat dan Tawaf.

Ini berbeza dengan air kopi kerana air kopi itu memang suci (kalau tidak suci, maka tidak boleh minum), tetapi ia ‘tidak menyucikan’. Oleh itu, jangan pula berwudhu’ pakai air kopi.

📌Senarai jenis-jenis air:

a. Air hujan

Bolehlah, jika duduk dalam hutan, tadah air hujan dan gunakan untuk ambil wudhu’.

b. Benda yang asal dari air

Contoh seperti salji dan embun. Boleh cairkan salji sampai jadi air; boleh kutip air embun pada daun-daun di pagi hari dan jadikan sebagai air wudhu’.

c. Air dari mata air atau air telaga

d. Air laut

Kalau duduk di tengah laut atau atas kapal, jangan takut sebab banyak air di sekeliling.

e. Air zam-zam

Pernah Nabi berwudhu’ menggunakan air zam-zam.

f. Air ajin

Ini adalah jenis air yang bercampur dengan benda lain, tetapi tidak mengubah sifatnya sebagai air mutlak kerana sikit sahaja bercampur dengan benda tersebut dan benda tersebut pula suci.

Sebagai contoh, air yang dimasuki oleh daun, sabun, tepung. Masuk itu hanya sedikit, sampai tidaklah menjadikan air itu sebagai ‘air sabun’, ‘air tepung’.

Ia tetap air mutlak lagi (suci lagi menyucikan). Dalilnya Nabi SAW suruh pakai air campuran perahan daun bidara untuk mandikan mayat.

Termasuk jenis air ini adalah yang tersimpan dalam bekas dan air itu ada bau bekas itu. Macam kalau kita letak air dalam baldi, ada bau plastik pada air itu. Tiada masalah untuk memakainya.

g. Air yang bercampur dengan benda najis, tetapi tidak mengubah rasa, warna dan bau.

Ini mungkin orang kita ada masalah sikit. Terutama kepada mereka yang ada penyakit was-was. Mereka takut sangat kalau-kalau ada najis termasuk dalam air tadahan.

🔺Oleh itu, kita kena tanya tiga perkara:
– berubahkah rasa dia?
– berubahkan warna dia?
– berubahkah bau dia?

Kalau salah satu ini ada, maka air itu tidak boleh digunakan untuk mengangkat wudhu’. Kalau tiga-tiga tidak ada, maka air tersebut bolehlah digunakan.

Ini berdasarkan hadith:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّهُ قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَتَوَضَّأُ مِنْ بِئْرِ بُضَاعَةَ وَهِيَ بِئْرٌ يُطْرَحُ فِيهَا الْحِيَضُ وَلَحْمُ الْكِلَابِ وَالنَّتْنُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَاءُ طَهُورٌ لَا يُنَجِّسُهُ شَيْءٌ

Dari Abu Said Al Khudri r.a , bahawa Rasulullah pernah ditanyakan, “Apakah kita akan berwudhu’ dengan memakai air sumur Budho’ah? Sedangkan sumur tersebut biasa diairi air hujan, yang membawa kain bekas darah haid, daging-daging anjing, dan kotoran manusia? “Maka Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya air itu suci dan mensucikan, tidak dinajiskan oleh sesuatu apapun.” [ Shahih,
Riwayat Abu Dawud ]

Sebahagian ulama seperti Abu Hanifah, Asy Syafi’i, Ahmad dan pengikut mereka memegang pendapat bahawa jika air kurang dari dua qullah (orang kita sebut kolah) dan kemasukan najis sedikit ataupun banyak, baik airnya berubah atau tidak, maka air tersebut menjadi najis.

Misalnya air 5 liter, kemasukan satu titik kencing walaupun tidak merubah bau, rasa dan warnanya, maka air tersebut tetap najis kerana air 5 liter masih kurang dari dua qullah. Mari kita bincangkan.

✒️Nota:
Berapa banyak air dua qullah itu? Ringkasnya ukuran air dua qullah adalah ukuran sekitar 200 liter.

Ada pun hadith mengenai air dua qullah adalah sebagai berikut:

‎إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

“Jika air telah mencapai dua qullah, maka tidak mungkin dipengaruhi kotoran (najis).”
[ HR. Ad Daruquthni ].

Dalam riwayat lain disebutkan,

‎إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يُنَجِّسْهُ شَىْءٌ

“Jika air telah mencapai dua qullah, maka tidak ada sesuatupun yang menajiskannya. ”
[ HR. Ibnu Majah dan Ad Darimi ].

Walaupun hadith-hadith ini ada juga yang mengkritiknya tetapi dihasankan oleh Syaikh Albani dan Ibnu Taimiyyah. Jadi, dari dua hadith ini, ulama’ berhujah jika sedikit najis masuk ke dalam air yang kurang dua qullah maka, air itu tidak suci lagi.

Namun, bagaimana jika air itu lebih dari dua qullah tetapi bila dimasuki najis telah berubah bau, warna atau rasa? Sepakat ulama’ mengatakan tidak suci.

Jadi, perbincangan sekarang adalah bagaimana kalau air kurang dari dua qullah tetapi kemasukan najis tidak mengubah warna, bau atau rasa?

Kita telah sebutkan pendapat pertama yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di negara kita. Namun, ulama lainnya seperti Imam Malik, ulama’ Zhohiriyah, Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, Ibnul Qayyim, menyatakan bahawa air tidaklah menjadi najis dengan hanya sekadar kemasukan najis.

Air tersebut boleh menjadi najis apabila berubah salah satu dari tiga sifat iaitu rasa, warna atau baunya. Alasan pendapat pertama tadi kurang tepat kerana ada sebuah hadith yang menyebutkan,

‎إِنَّ الْمَاءَ طَهُورٌ لاَ يُنَجِّسُهُ شَىْءٌ

Sesungguhnya air itu suci, tidak ada yang dapat menajiskannya.”
HR. Tirmidzi, Abu Daud, An Nasa’i, Ahmad. Hadith ini dikatakan sahih oleh Syaikh Al-Albani dalam Misykatul Mashobih no. 478

Hadith ini menjelaskan, air asalnya adalah suci hingga berubah rasa, bau atau warnanya.

Kalau begitu, bagaimana dengan hadith tentang dua qullah di atas? Nabi hendak memberitahu kebiasaan air jika melebihi hingga dua qullah, maka tidaklah ia senang menjadi najis. Tetapi tidaklah hadith itu meletakkan minima air kena ada dua qullah baru tidak terkesan dengan najis.

🔺Maka yang penting adalah: adakah terdapat pertukaran bau, rasa atau warna?

h. Air musta’mal (air yang telah digunakan)

Mus’tamal ertinya sesuatu yang dipakai. Air mus’tamal adalah air yang telah digunakan untuk bersuci.

Sayyid Sabiq dalam Fiqhus Sunnah mengatakan:

‎وهو المنفصل من أعضاء المتوضئ والمغتسل

Air musta’mal adalah air yang jatuh dari anggota badan orang yang berwudhu,’ atau mandi” (Fiqhus Sunnah, 1/18).

Air musta’mal adalah suci dan boleh digunakan untuk wudhu’, mandi junub. Antara dalil yang membenarkan adalah hadis:

Hadits dari Al Miswar radhiallahu’anhu:

‎وإِذا توضَّأ النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ –، كادوا يقتتلون على وَضوئه

“Jika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam berwudhu’, mereka (para sahabat) hampir-hampir saling membunuh (kerana merebutkan) bekas wudhu’ baginda”
[ HR. Al Bukhari 189 ].

Melalui hadith ini, kita boleh perhatikan yang para sahabat bertabarruk dengan air bekas wudhu’ Nabi SAW. Jika air musta’mal itu najis, maka tentu tidak akan diperebutkan oleh para sahabat dan akan dilarang oleh Nabi SAW.

Juga hadith:

‎عن ابن عباس –رضي الله عنهما– قال: اغتسل بعض أزواج النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – في جفنة ,فجاء النّبيّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – ليتوضَّأ منها –أو يغتسل– فقالت له: يا رسول الله! إِنِّي كنتُ جُنُباً. فقال رسول الله – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: إِنَّ الماء لا يُجْنِب

Dari Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma, ia berkata: sebahagian isteri Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam mandi dalam sebuah bak. Lalu Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam datang untuk berwudhu’ atau mandi dari air bak tersebut. Maka di antara isteri Nabi ada yang berkata: “Wahai Rasulullah, saya tadi mandi junub di situ”. Maka Rasulullah Shallallahu’alaihi Wasallam bersabda: “sesungguhnya air itu tidak membuat junub”
[ HR. Tirmidzi no. 65, ia berkata: “Hasan Sahih” ].

Hadith di atas ini adalah dalil tegas bahawa air musta’mal boleh digunakan untuk bersuci. Dan banyak lagi sebenarnya dalil-dalil yang diutarakan oleh ulama’ berkenaan perkara ini.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan:
“Semua yang disebut dengan sebutan ‘air’ maka ia suci dan mensucikan. Baik ia musta’mal (telah digunakan) untuk bersuci yang wajib atau bersuci yang sunnah, atau bersuci yang tidak sunnah (mubah)”
[ Majmu’ Al Fatawa 19/236, dinukil dari Fatawa As Sual wal Jawab no. 224255 ].

Jadi, kalau lebih basuhan pada tubuh kita dari wuduk atau dari mandi junub terkena kepada baldi berisi air, maka tidaklah menjadikan air itu sudah tidak boleh digunakan.

Ada kalangan orang kita sampai tidak boleh menitik langsung. Ada juga yang tidak berani hendak cedok dalam bekas tadahan kerana takut air dalam tadahan itu jadi air musta’mal.

🔺Dari dalil-dalil yang diberikan, maka dapatlah kita tahu bahawa air musta’mal boleh digunakan dalam wuduk dan dalam mandi hadas. Jadi sudah tidak perlu risau.

i. Air yang telah dihangatkan atau dipanaskan

Ada satu fahaman dalam masyarakat kita yang air musyammas (air yang terdedah kepada matahari) tidak boleh digunakan untuk berwudhu’.

Ini tidak benar kerana hadith: “Janganlah kalian mandi dengan air yang dipanasi oleh cahaya kerana itu dapat menyebabkan penyakit kusta”, [ Tidak Sahih ].

Allahu a’lam.

🍀SESI SOAL JAWAB ☘️
==========================

📍Bagaimana dengan air yang disimpan di dalam tempayan tetapi bila masa hendak digunakan berubah warna sedikit seperti kekerohan dan kita yakin tiada najis yang masuk ke dalam. Bolehkah dikira suci?

🔵 Ini air ajin. Boleh pakai tanpa was-was.

📍Bagaimana pula dengan air paip yang sudah di masak dan air paip yang di tapis? Adakah ini air mutlak?

🔵 Ya.

📍Jika air dalam lopak air atau di lubang-lubang jalan adakah boleh dikira air mutlak?

🔵 Ini air kotor. Adakah hendak pakai untuk ambil wudhu’? Ia mungkin tidak najis tetapi kalau kotor, carilah air yang lain.

📍Apakah jenis air untuk kapur barus kerana campuran air tersebut di gunakan semasa mandi jenazah pada kebiasaan orang melayu?

🔵 Termasuk dalam jenis air ajin.

📍 Jadi, perubahan 3 sifat air itu hanya untuk yang kemasukan najis dan bukan benda yang bukan najiskan?

🔵 Kalau dimasukkan kopi banyak sangat yang walaupun ia bukan najis, hingga jadi air kopi, tidak boleh juga untuk buat air wudhu’.

📍Bagaimana kalau air yang termasuk tahi cicak?

🔵 Tahi cicak dikira termasuk dalam umum balwa. Satu konsep dalam fiqh: banyak sangat hingga susah hendak jaga. Maka dimaafkan kecualilah ada dua ribu tahi cicak tentu tidak sanggup hendak gunakan.

📍Jika air itu termasuk air najis tetapi tiada rasa dan bau malah kita tidak tahu, bolehkah digunakan untuk berwudhu’?

🔵 Bila tidak tahu itu yang maksudnya tidak berubah bau rasa dan warna. Mulanya kita tengok air tu ada berubah warna lain tidak? Nampak seperti ok tetapi bila angkat hendak letak ke muka sudah tahu, apa lagi hendak berkumur. Maka, Islam telah ajar tiga cara hendak uji air.

📍Adakah air kapur barus itu sah digunakan untuk berwudhu’ kerana baunya yang kuat?

🔵 Sah. Kalau tidak sah, tidak bolehlah guna basuh jenazah. Cuma dalam keadaan biasa, tidaklah guna kapur masuk air bukan?

📍Apakah kategori air hujan yang mengalir dari atap rumah kita sebab kita tidak tahu apa yang ada atas atap?

🔵 Air ajin. Gunakan tiga cara untuk pastikan (check) warna, bau dan rasa.

📍 Bagaimana pula dengan air banjir yang banyak dan pekat?

🔵 Kalau keruh sangat, ia sudah jadi air lain: air becak, air banjir, air hampas.Tidak termasuk air mutlak lagi. Kalau masih nampak ok, ia cuma air ajin. Tiga cara tentukan warna,bau dan rasa.

📍Ini berkenaaan kisah kanak-kanak apabila mandi dalam satu bekas dan terkencing di dalam bekas tersebut, apakah kategori air itu? Bolehkah orang lain gunakan air itu?

🔵Pertama, jangan kencing bersepah dan ini semua tahu.
Kedua, kalau sudah tahu, basuhlah dulu sebab berlaku depan mata, tentu tidak mahu guna.
Ketiga, kalau tidak nampak, kita tidak perlu periksa (check). Kita kena kira sebagai najis kalau kita nampak, atau berubah warna, bau dan rasa.

Daripada segi hukumnya jikalau tidak berubah bau warna dan rasa maka air itu masih dikira air suci. Kita masih lagi boleh guna air itu untuk mengangkat hadas. Tetapi kita kena tahu yang jikalau kita kata air itu masih boleh digunakan tidak lah kita ‘suruh’ guna. Kalau kita sudah tahu ada orang kencing maka, janganlah kita guna kerana kita boleh cari air lain.

📍Bagaimana jika memang tiada air lain? Walaupun ada bau tetapi bau tanah sahaja dan kalau tayyamum juga tidak boleh sebab semuanya di penuhi lumpur.

🔵 Air suci lagi. Kencing tu sikit sangat sedangkan air kolah banyak kerana yang banyak akan melarutkan yang sikit. Gunakan kaedah warna, bau, rasa untuk pastikan.

📍Apakah maksud sabda Rasulullah SAW “sesungguhnya air itu tidak membuat junub”

🔵 Air itu tidak ikut jadi junub sekali. Tetap suci.

📍Bolehkah kalau ambil wuduk dalam baldi?

🔵 Boleh. Nabi dan sahabat biasa buat. Basuhan tangan pertama sahaja dekat luar. Lepas itu boleh cedok guna tangan.
Maksud basuhan pertama ialah jangan terus cedok sebab tangan itu mungkin kotor.

📍Jika orang yang pegang pendapat air musta’mal itu tidak boleh digunakan bersuci, kita perlu hormat, adakah kedua-dua pendapat ini sama kuat?

🔵 Ya, kita hormati kalau dia guna juga pendapat itu. Namun, yang kuatnya air musta’mal suci tetapi kalau ada hendak guna juga, terpulanglah kepadanya.

📍Maksudnya boleh guna juga pendapat yang kurang kuat?

🔵 Boleh,kerana ia juga pendapat ulama yang Mujtahid. Mungkin juga pendapat ini yang benar. Nabi sudah tiada untuk dipastikan. Maka, kita hormati pendapatnya. Justeru, kita boleh usaha sahaja hendak nilai berdasarkan hujah dan dalil yang ada. Jadi, setakat ini kita pegang air musta’mal suci. Dia juga kenalah hormati pegangan kita.

📍Adakah najis burung dikira najis dan najisnya sama kedudukannya dengan tahi cicak?

🔵 Ini dikira sebagai umum balwa juga. Susah hendak jaga. Oleh kerana burung boleh dimakan, maka tahi dia tidak najis. Ya, sama kedudukan dengan najis cicak.

📍Ada sebuah masjid di pulau menggunakan air hujan dan air pam dari lubang yang dibuat. Bila air hujan sudah habis dari tangki simpanan, mereka gunakan pula air pam dari perigi tersebut. Adakala satu masa air terasa masin sewaktu berwudhu’. Apa status air tersebut dan apa yang harus dibuat ketika berada pada situasi tersebut?

🔵Ini ialah air ajin. Sikit sahaja rasa masin itu.

📍Bagaimana pula air hujan yang ditadah dalam bekas besar tetapi di dalamnya terdapat lumut (tumbuhan hijau/hitam). Adakah masih guna kaedah 3 cara (rasa/warna/bau)?

🔵Termasuk dalam kategori air ajin. Bau tanah sahaja, bukan bau najis. Tanah itu suci (suci dalam debu).

📍Ada sesetengah tempat seperti bendang atau paya sebegini. Bagaimana dengan status airnya? Adakala airnya bersih dan juga keruh. Zaman dahuli ada orang mandi bersama haiwan di tempat ini.

🔵Air ajin dan ini suci dalam debu juga.

📍Bagaimana dengan air dalam tali air dekat sawah padi yang biasanya pada musim panas airnya bertukar warna, ada bau dan itik berenang di situ.

🔵Air ajin. Tanah dan itik suci.

📍Ini boleh bermaksud tidak mengubah warna air?

🔵Air itu mungkin berubah warna kerana bercampur tanah tetapi kerana ia suci, tidak mengapa kalau berubah warna. Mungkin juga berlumut, tetapi lumut itu tidak najis maka tidak mengapa.

📍Apakah air sumur budho’ah? Kalau di tempat saya sumur itu bermaksud perigi.

🔵Nama sumur itu macam Telaga Hang Tuah,Telaga Mahsuri dan di Arab juga ada nama telaga.

📍Air musta’mal adalah suci dan boleh digunakan untuk wudhu’, mandi junub.
Jadi, selama ini anak saya dan saya salah dalam menilai air musta’mal. Kalau belajar di sekolah dalam buku agama , air musta’mal suci tetapi tidak boleh buat bersuci.

🔵 Buku sekolah pakai mazhab Syafi’iy. Memang lah tidak boleh guna untuk bersuci tetapi kita sudah jelaskan bahawa pendapat lebih kuat, air musta’mal suci dan menyucikan.

📍Jika kebiasaan apabila mandi tadah air dalam tong, air percikan yang kita mandi masuk dalam tong. Jadi, air itu juga diguna untuk mandi jubub masih suci bolehkan, sebab ia jadi air ajin, selagi tidak merubah rasa, bau dan warna.Benarkah pemahaman saya ini?

🔵 Bukan air ajin tetapi air musta’mal. Kita sudah jelaskan bahawa ia suci dan menyucikan.

📍Bagaimana pula pemanas air (water heater), apakah hukumnya jika musim hujan digunakan untuk mandi wajib dan wudhu’ adakalanya gunakan water heater?

🔵 Air jenis itu boleh digunakan. Ada sahabat biasa sahaja guna air yang dipanaskan. Negara mereka ada musim sejuk yang kalau pakai air untuk mandi boleh jadi sakit sebab sejuk sangat.

📍Adakah terdapat larangan mandi junub tidak dibenarkan menggunakan air berlebihan, contoh mandi junub guna shower/air pancuran?

🔵 Nabi pernah tegur sahabat yang guna air yang banyak untuk ambil wudhu’. Cuma, mungkin orang mandi junub sekali dengan mandi biasa. Maka dibolehkan.

📍Kaedah warna, bau dan rasa, maksudnya jika warna gunakan penglihatan dan bau kita gunakan hidung. Bagaimana pula dengan rasa? Rasa ini dalam deria sentuhan, lidah atau kedua-dunya?

🔵 Kalau ambil wudhu’ bukankah kita berkumur? Itulah rasa yang dimaksudkan.

📍Apabila kita sertu atau samak hendaklah menggunakan air yang ‘dicampur’ dengan tanah dan tidak boleh menggunakan air yang telah ‘bercampur’ dengan tanah (air lumpur). Benarkah begini?

🔵 Kalau air lumpur itu sudah boleh digunakan (ready-made) untuk sertu.

📍Sebelum ini ada melakukan begitu, adakah sah solat atau perlu qadha?

🔵Perkara sudah lepas tidak perlu qadha sebab berapa banyak yang hendak diqadha? Banyak kesalahan yang dilakukan oleh sahabat, Nabi ada tegur tetapi baginda tidak suruh qadha.

📍Bukankah air itu telah menjadi air musta’mal, maka bolehlah berwudhu’ dan sah solat?

🔵Ini bab kebersihan. Tangan itu entah apa yang dilakukan sebelum itu, pegang apa-apa, maka jangan basuh dalam cebok/bejana/baldi.

📍Ustaz, air musta’mal tu sehingga berapa kali ia bersifat menyucikan? Contoh macam bekas lebihan isteri diguna untuk suami lepas itu diguna oleh yang lain sehingga seterusnya, sampai bila ustaz, tambahan pula kalau keadaan air sangat sikit ketika itu.

🔵Air musta’mal ini apabila bercampur air yang telah diangkat hadas, menitik kembali atau celup tangan dalamnya. Tetapi tidaklah para sahabat guna air berkali-kali. Tidaklah ditadah air itu dan kemudian guna balik. Bukan tadah kemudian guna balik tetapi kalau air dalam baldi dicelup untuk wudhu’ kemudian orang lain guna dan seterusnya, masih lagi boleh diguna cuma tidaklah tadah dekat bawah.

📍Adakah air ajin mempunyai peringkat? Jika air paya (tali air) yang tidak mengalir dan airnya coklat pekat dan nampak berminyak adakah masih boleh digunakan?

🔵 Boleh agak sendiri sama ada ia bersih atau tidak. Kita di Malaysia ini banyak air. Selalu tidak ada masalah sebegini.

📍 Air tadahan baldi lebihan wudhu’ (yang diambil dari paip) kategori apa?

🔵Air musta’mal.

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan