Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Bab Air dan Najis – Bahagian Ke-2

Thaharah: Bab Air dan Najis – Bahagian Ke-2

1581
0
Iklan

Air yang suci tetapi tidak menyucikan

Air yang suci, tetapi tidak menyucikan. Sekarang kita masuk ke topik yang baharu:

🔺Thaharah/Air dan Najis/Jenis Air/Air yang suci tetapi tidak menyucikan.

Pada asalnya ia adalah air mutlak tetapi telah dicampuri benda suci seperti pewarna, cuka, kopi, teh dan lain-lain lagi. Percampuran itu banyak sehingga mengubah status air itu menjadi ‘air berwarna’, ‘air cuka’, ‘air kopi’, ‘air teh’ dan sebagainya.

Orang tidak panggil ‘air’ sahaja, tetapi sudah ditambah dengan nama lain. Air jenis ini tidak boleh dijadikan air wuduk dan mandi junub.

✍🏻Imam Bukhari telah menaqalkan:

وَكَرِهَهُ الْحَسَنُ وَأَبُو الْعَالِيَةِ وَقَالَ عَطَاءٌ التَّيَمُّمُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ الْوُضُوءِ بِالنَّبِيذِ وَاللَّبَنِ

Al Hasan dan Ata’ Abu Aaliyah tidak suka menggunakannya. Ata’ berkata: bertayamum lebih aku sukai dari berwudu’ menggunakan Nabiz dan susu.

Nabiz adalah air yang direndam kurma di dalamnya (sehari semalam) dan menyebabkan perubahan pada air itu. Ia boleh dikira sebagai air perasa kurma dan pada zaman sekarang, dipanggil air jus. Maka air jenis ini tidak boleh dijadikan sebagai air wudhu’.

Topik : Air Najis

Jenis yang ke 3: Air Najis

🔺Thaharah/Air dan Najis/Jenis Air/Air Najis

Ini adalah air mutlak tetapi telah bercampur dengan najis, sehingga telah mengubah warna, bau atau rasa air itu. Air jenis ini tidak boleh digunakan sebagai air wudhu’. Tidak kira sama ada air itu sedikit atau banyak.

Maksudnya, kalau sudah lebih dari dua qullah pun, tetapi kalau ada perubahan pada warna, bau dan rasa, ia tidak boleh digunakan.

Bahagian: Jenis-jenis Najis

Bahagian: Najis

Sebelum ini kita katakan, air kalau bercampur dengan najis, dan telah mengubah warna, bau atau rasanya, maka kita tidak boleh menggunakan air itu untuk bersuci. Maka kenalah kita tahu, apakah yang dikira sebagai najis.

1. Tahi dan air kencing

Dua perkara ini telah diketahui oleh semua orang kerana ia najis, tahi dan kencing tidak boleh dibawa ke dalam solat. Maka kerana itulah kena disucikan dahulu dengan air yang suci lagi menyucikan yang kita telah pelajari sebelum ini.

Cuma ada perincian tentang kencing anak lelaki yang berumur kurang dari dua tahun:

▪️Ia adalah najis ringan iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang belum sampai umurnya dua tahun dan belum makan makanan secara mengenyangkan melainkan susu ibunya sahaja.

▪️Mana-mana pakaian yang terkena najis mukhaffafah ini, memadai dengan merenjis air ke atas pakaian-pakaian yang terkena najis itu.

✍🏻Dalil Dari Ummu Qais binti Mihsan katanya:

Dia datang kepada Rasulullah s.a.w dengan anak lelakinya yang belum makan sesuatu selain dari susu ibunya; ketika anak itu dalam pangkuan Nabi s.a.w, dia terkencing. Berkata yang meriwayatkan hadith ini dari Ummu Qais, bahawa Rasulullah SAW tidak lebih dari memercikkan air ke tempat yang terkena kencing itu.
(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, syaratnya kena ada tiga:

i. Mesti anak lelaki (anak perempuan tidak termasuk)

ii. Umur anak itu kurang dari dua tahun.

iii. Hanya makan susu ibu sahaja. Kalau sudah makan makanan lain, maka tidak termasuk.

2. Darah Haidh

Darah haidh itu najis dan kenalah dihilangkan sebelum dibawa ke dalam solat.

✍🏻Ini berdasarkan riwayat berikut,

‎عن أبي هريره رضي الله عنه, أن خولة بنت يسار قالت, يا رسول الله ليس لي إلا ثوب واحـد وأنا أحيض فيه؟ قال فإذا طهرت فاغسلى موضع الـدم ثم صلي فيه, فقالت يا رسول الله إن لم يخرج أثر؟ قال, يكفـيــك الماء ولا يضرك أثره.

“Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa Khaulah binti Yasar berkata, ‘Ya Rasulullah, aku hanya mempunyai satu helai pakaian, dan (sekarang) saya haidh mengenakan pakaian tersebut.’
Maka Rasulullah menjawab, ‘Apabila kamu telah suci, maka cucilah yang terkena haidhmu, kemudian salatlah kamu dengannya.’
Dia bertanya, ‘Ya Rasulullah, (bagaimana) kalau bekasnya tidak boleh hilang?’
Rasulullah menjawab, ‘Cukuplah air bagimu (dengan mencucinya) dan bekasnya tidak membahayakan (salat)mu.’”
(Sahih, Riwayat Abu Dawud dalam Sahih-nya (no. 351) dan ‘Aunul Ma’bud (II/26 no. 361), al-Baihaqi (II/408))

📍Nota: kalau ia tidak najis, tentulah Nabi tidak menyuruh supaya dibersihkan dahulu. Kalau ada kesan sedikit-sedikit, itu dimaafkan. Zaman dahulu tidak ada clorox.

3. Wadi

Air wadi adalah cairan berlendir yang keluar dari zakar lelaki sesudah membuang air kecil. Keluarnya membatalkan wudhu’.

Warnanya putih dan cair. Ia sejenis cecair yang keluar dari kemaluan lelaki dan perempuan apabila seseorang itu kepenatan seperti berlari, ber”jogging” dan lain-lain daripada pekerjaan yang menggunakan tenaga.

Hukumnya tidak wajib mandi junub, hanya dikehendaki membasuh anggota yang terkena air wadi tersebut. Jika hendak solat, kena ambil wudhu’ balik.

📍Air wadi ini najis dan tidak sah dibawa solat.

4. Madzi

Madzi adalah air yang keluar dari kemaluan, air ini jernih dan melekit.

Keluarnya air ini disebabkan syahwat yang muncul ketika seseorang memikirkan atau membayangkan jima’ (hubungan seksual) atau ketika pasangan suami isteri bercumbu (foreplay).

Ia keluar dengan tidak memancar (air mani akan memancar). Keluarnya air ini tidak menyebabkan seseorang menjadi lemah (tidak seperti keluarnya air mani, yang pada umumnya menyebabkan tubuh menjadi lemah) dan terkadang air ini keluar tanpa disedari (tidak terasa).

Air madzi boleh terjadi pada laki-laki dan wanita, meskipun pada umumnya lebih banyak terjadi pada wanita. Sebagaimana air wadi, hukum air madzi adalah najis. Apabila air madzi terkena pada tubuh, maka wajib mencuci tubuh yang terkena air madzi tersebut.

Adapun apabila air ini, jika terkena pakaian, maka memadai dengan memercikkan air ke bahagian pakaian yang terkena air madzi tersebut, sebagaimana sabda Rasulullah SAW terhadap seseorang yang pakaiannya terkena madzi,

✍🏻“Cukuplah bagimu dengan mengambil segenggam air, kemudian engkau percikkan bahagian pakaian yang terkena air madzi tersebut.”
(HR. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah dengan sanad hasan).

📍Keluarnya air madzi membatalkan wudhu’. Apabila air madzi keluar dari kemaluan seseorang, maka dia wajib mencuci kemaluannya dan berwudhu’ apabila hendak solat.

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah, “Cucilah kemaluannya, kemudian berwudhu’lah.”
(HR. Bukhari Muslim)

Maknanya, tidak perlu mandi wajib.

🍀SESI SOAL JAWAB ☘️
=========================

📍Apakah maksudnya lebih suka dalam hadis di bawah? Adakah bermaksud boleh buat?
Kalau hal berkait bahasa hadith, adakah kita kena faham gaya bahasa dan budaya Arab masa itu?

Imam Bukhari telah menaqalkan:

وَكَرِهَهُ الْحَسَنُ وَأَبُو الْعَالِيَةِ وَقَالَ عَطَاءٌ التَّيَمُّمُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ الْوُضُوءِ بِالنَّبِيذِ وَاللَّبَنِ

Al Hasan dan Ata’ Abu Aaliyah tidak suka menggunakannya. Ata’ berkata: bertayamum lebih aku sukai dari berwudhu’ menggunakan Nabiz dan susu.

🔵Bahasa lenggok orang Arab. Maknanya dia tidak buat. Betul juga jika dibaca cara Melayu macam ada pilihan pula.
Ya,kena faham agar kita tidak salah faham maksud. Oleh sebab itu kena belajar kerana kalau baca sendiri ditakuti akan salah.

📍Benarkah jika air berwarna sama ada sedikit atau banyak jumlah air, ia tetap tidak menyuci kan seperti air sirap tawar?

🔵Ya, ‘air sirap’ itu sudah ditambah ‘sirap’ pada namanya. Maka tidak boleh.

📍Adakah sama kaedah merenjis air dan spray? Adakah kita perlu cuci dan gosok dengan air pada tempat yang terkena air kencing itu?

🔵Spray juga boleh tetapi nanti setiap kali terkena air kencing perlu spray. Jadi kaedah renjis lebih senang. Renjis sekali dua sahaja buat syarat.

📍Mengapakah kaedah merenjis hanya untuk anak lelaki sahaja? Bagaimana pula jika bayi itu ada dua jantina?

🔵Dalil dari Nabi SAW. Ulama kata hikmahnya kerana zarath/chemical tidak sama antara kencing budak lelaki dan perempuan. Semoga nanti ada kajian sains yang akan jelaskan.
Dua jantina ini adalah Khunsa. Maka kena basuh dan tidak boleh renjis sahaja.

📍Adakah merenjis ini boleh dilakukan sama ada air kencing itu banyak terkena pakaian atau sedikit walaupun 5 titis sahaja? Jika anak itu masih menyusu dan sudah mulai makan Nestum, kaedah merenjis pada air kencing sudah tidak boleh dilakukan?

🔵Ini dipanggil ta’abbud. Ikut seperti disuruh. Kalau hendak kira bersih, belum tentu tetapi sebab ini cara yang cukup dan terbaik (it’s good enough) kepada Nabi SAW, maka cukup bagi kita juga.
Untuk bayi sudah tidak boleh merenjis sebab sudah ada benda asing dimakan.

📍 Adakah air wadi sama dengan madzi?

🔵Tidak sama.

📍 Benarkah sama kaedah merenjis air pada kencing bayi untuk pakaian yang ada air madzi dan adakah ia termasuk dalam najis ringan?

🔵Ya. Sama sebab susah hendak dikesan maka syarak permudahkan.
Tidak termasuk, ia hanya dipermudahkan cucian kerana susah dikesan sahaja.

📍Jika darah haidh kita kena cuci dulu, adakah wajib cuci juga untuk darah kudis atau darah nyamuk yang terkena pakaian solat.

🔵Darah haidh sahaja yang kena cuci. Darah kudis bukan najis. Nanti kita masuk bab darah pula.

📍Adakah jika darah keluar sikit dalam setitik dua dalam 2 atau 3 hari itu dianggap darah haidh juga?

🔵Wanita kenal mana haidh dan tidak. Warna dan sifat tidak sama dengan darah biasa.

📍Apakah yang perlu dilakukan jika ada air kencing yang meleleh 1 atau 2 titik lalu terkena seluar dalam?

🔵Najis ini kalau nampak baru kita cuci. Kalau tidak nampak maka tidak perlu dicari.

Ini penting kerana ramai penyakit was-was di negara ini. Benda tidak ada tetapi dibasuh bagai hendak ‘rak’. Ini tidak disuruh dalam Islam. Jadi setitik dua begitu kalau nampak barulah dibasuh. Tidak perlu hendak belek. Konsep ‘kot-kot ada’ tidak dipakai dalam ilmu thaharah ini.
Kalau pasti ada baru dibasuh, selalunya tidak pasti. Agak-agak sahaja. Maka jadilah penyakit was-was. Orang melayu sahaja ada. Bangsa lain saya tidak tahu. Benda khayalan sahaja.

📍Kita perlu basuh jika terpijak tahi binatang atau ia terkena seluar, seperti tahi ayam dan kucing. Adakah nanti batal wudhu?

🔵Ya, kenalah basuh. Satu lagi konsep orang melayu kena faham (banyak sangat kekeliruan orang Melayu). Sentuh najis tidak batalkan wudhu’. Basuh sahaja seperti biasa.

📍Adakah benar pakaian solat setelah dicuci mesin atau tangan perlu bilas dengan air mengalir iaitu air paip?

🔵Cara itu tidak betul. Apabila sudah masuk mesin basuh, ia akan bersihkan pakaian itu. Nama pun ‘mesin basuh’ kan? Air dalam mesin basuh lebih banyak daripada najis (kalau ada). Maka air yang banyak akan membersihkan pakaian dan menghilangkan najis. Selalu tiada najis, ada peluh sahaja dan peluh bukan najis.

📍Semasa tinggal di asrama saya cuci kain, bilas dengan air paip sebab ada yang kata kena bilas air mengalir kalau hendak pakai untuk solat.

🔵Siapa yang ajar? Apa sebab dia ajar? Mana dia dapat? Inilah ajaran pak lebai di Malaysia yang menyusahkan rakyat jelata. Saya tahu ada yang diajar sebegitu tetapi ia menyusahkan dan tiada dalil. Kononnya air mengalir itu sahaja air mutlak tetapi sudah belajar apakah air mutlak.

Memang merata fahaman sebegini. Itulah sampai hendak buat kedai dobi khas untuk orang Islam sahaja. Karut sungguh! Sama sahaja pakaian untuk solat dengan pakaian untuk dipakai. Kita pergi kerja, kemudian sampai masa solat, pakai pakaian itulah juga. Cuba fikirkan,sahabat Nabi dulu ada satu pakaian dan mereka bukan ada almari pakaian hendak tukar-tukar.

📍Bagaimana jika baju atau telekung terkena darah, ustazah di sekolah ajar kena basuh bersih dan pastikan hilang kesan?

🔵Ini hadis ajaran Nabi SAW kata kalau ada sikit-sikit itu dimaafkan.

‎عن أبي هريره رضي الله عنه, أن خولة بنت يسار قالت, يا رسول الله ليس لي إلا ثوب واحـد وأنا أحيض فيه؟ قال فإذا طهرت فاغسلى موضع الـدم ثم صلي فيه, فقالت يا رسول الله إن لم يخرج أثر؟ قال, يكفـيــك الماء ولا يضرك أثره.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahwa Khaulah binti Yasar berkata, ‘Ya Rasulullah, aku hanya mempunyai satu helai pakaian, dan (sekarang) saya haidh mengenakan pakaian tersebut.’
Maka Rasulullah menjawab, ‘Apabila kamu telah suci, maka cucilah yang terkena haidhmu, kemudian salatlah kamu dengannya.’
Dia bertanya, ‘Ya Rasulullah, (bagaimana) kalau bekasnya tidak boleh hilang?’
Rasulullah menjawab, ‘Cukuplah air bagimu (dengan mencucinya) dan bekasnya tidak membahayakan (salat)mu.’”
(Sahih, riwayat Abu Dawud dalam Sahih-nya (no. 351) dan ‘Aunul Ma’bud (II/26 no. 361), al-Baihaqi (II/408))

Peringatan dari saya, tinggalkan ajaran sekolah yang ghuluw kerana mengajar benda yang tidak patut hingga menyusahkan. Perlu tinggalkan apa yang dipelajari itu, kemaskan balik pembelajaran dan ada pemurnian. Hilang bau hilang kesan sudah boleh diterima.

📍Adakah bersih mengelap kotoran menggunakan tisu basah (wet tissue)? Ramai kaum ibu yang guna sewaktu tukar pampers bayi,terutama sewaktu musafir.

🔵Ya tahu. Bersih dan suci.

📍Apakah hingus yang jernih mengalir itu najis sebab semasa sedang solat dia mengalir, susah hendak kawal?
Adakah batal solat jika selepas solat baru perasan, semasa lap hingus, terkeluar sedikit tahi hidung?

🔵Hingus bukan najis.Benda kotor tidak semestinya najis.
Tahi hidung, tahi telinga, tahi gigi bukanlah najis walaupun nama ‘tahi’. Ia benda kotor dan jijik. Benda kotor tidak semestinya najis.

🔴Apakah maksud najis?

Benda yang kotor iaitu tidak sah solat sekiranya hadir pada badan, pakaian dan tempat ia mengerjakan solat.

📍Bagaimana hendak tentukan sesuatu itu kotor sahaja atau najis?

🔵Kita sedang senaraikan. Nanti kita akan tahu, selain daripada itu bukanlah najis. Kita sebutkan perkara yang selalu dianggap najis tetapi tidak najis.

🔴Semasa di kampung ada air perigi yang biasanya jernih menjadi keruh serta berbau. Kami akan bagi tawas untuk menjernihkan air tetapi masih begitu. Bolehkah air tersebut digunakan untuk berwudhu’, mandi wajib dan bersuci sebab air paip pada ketika itu tidak keluar?

🔵Boleh.Ini dikira sebagai air ajin.

📍Adakah air loji kumbahan itu boleh dikatakan bersih setelah melalui proses dan digunakan untuk kegunaan harian seperti masak,minum dan mandi.

🔵Nampak bersih, maka bersihlah. Tidak ada apa hendak difikirkan lagi. Jangan fikir benda yang tidak perlu fikir.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan