Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 75: Apa Yang Datang Berkenaan Selipar Rasuli Llah (Tali Qibal)

Hadis 75: Apa Yang Datang Berkenaan Selipar Rasuli Llah (Tali Qibal)

346
0
Iklan

Syarah Hadis Asy-Syama’il Al-Muhammadiyyah – Hadis 75
Mohd ‘Adlan Bin Mohd Shariffuddin

December 17, 2018

بَابُ مَا جَاءَ فِي نَعْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Bab 11: Apa Yang Datang Berkenaan Selipar Rasuli Llah

75 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ الطَّيَالِسِيُّ، قَالَ: حَدَّثَنَا هَمَّامٌ، عَنْ قَتَادَةَ، قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: كَيْفَ كَانَ نَعْلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: لَهُمَا قِبَالَانِ.

75- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Abu Dawud At-Tayalisiy, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Hammam, daripada Qatadah, dia berkata: Saya berkata kepada Anas bin Malik: Bagaimanakah selipar Nabi? Dia berkata: Kedua-duanya mempunyaï dua tali qibal.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini menceritakan tentang pertanyaa Qatadah kepada Anas bin Malik tentang selipar Rasuli Llah. Di dalam hadis kedua puluh tujuh yang lalu, Qatadah juga telah bertanya kepada Anas bin Malik tentang rambut Rasuli Llah. Di dalam hadis ketiga puluh tujuh, Qatadah bertanya kepada Anas bin Malik tentang adakah Nabi telah mewarnakan rambutnya. Seterusnya di dalam hadis keenam puluh dua, Qatadah meriwayatkan daripada Anas bin Malik tentang pakaian Nabi.

Sangat menarik jika kita melihat hal ini secara kolektif dan keseluruhan, kerana Qatadah sentiasa bertanya kepada Anas bin Malik tentang Nabi. Justeru, apakah yang menyebabkan hal ini?

Qatadah ialah seorang tabi`iy yang lahir pada tahun 60 Hijrah dalam keadaan buta. Namanya ialah Qatadah bin Di`amah As-Sadusiy. Menurut Syu`bah, Qatadah meriwayatkan tujuh puluh hadis daripada Anas bin Malik. Beliau meninggal dunia pada tahun 118 Hijrah. Imam Ahmad menyebut:

كَانَ قَتَادَةُ أَحْفَظَ أَهْلِ الْبَصْرَةِ لَا يَسْمَعُ شَيْئًا إِلَّا حَفِظَهُ، قُرِئَ عَلَيْهِ صَحِيفَةُ جَابِرٍ مَرَّةً وَاحِدَةً فَحَفِظَهَا

Qatadah ialah penduduk Basrah yang paling mengingat. Dia tidak mendengar sesuatu melainkan dia menghafaznya. Telah dibacakan kepadanya Sahifah Jabir sekali, dan dia mengingatinya.

Dapat diketahuï daripada latar belakang Qatadah ini bahawa Qatadah dilahirkan dalam keadaan buta, iaitu dia tidak dapat melihat. Justeru, dia mempelajari ilmu dengan mendengar dan menghafaz apa yang dia dengar. Allah telah memberikannya anugerah ingatan yang kuat, sehingga dia boleh menghafaz sesuatu dengan hanya sekali dengar sahaja. Justeru, pertanyaan Qatadah tentang selipar Nabi ini adalah disebabkan Anas bin Malik menyimpan selipar Nabi, dan Qatadah tidak boleh melihat selipar itu dengan matanya.

Mendengar pertanyaan Qatadah yang buta, Anas bin Malik menjelaskan bahawa selipar Nabi mempunyaï dua tali qibal. Tali qibal ialah tali selipar yang berada di antara jari tengah dan jari di sebelahnya. Dan Anas menjelaskan bahawa tali qibal itu ada dua.

Untuk memahami hadis ini, kita perlu melihat kepada alas kaki yang biasa kita pakai hari ini, sama ada selipar, sandal atau capal. Ketiga-tiga alas kaki ini tidak mempunyaï tali qibal, justeru, selipar Nabi bukanlah seperti ketiga-tiga alas kaki ini.

Jika dikaji, selipar dan capal biasanya mempunyaï satu tali yang naik dari tapaknya ke atas. Apabila kita memakai selipar dan capal, tali ini biasanya berada di antara ibu jari kaki dan jari telunjuk kaki. Sering kali, apabila selipar itu sudah lama, tali ini akan tercabut dan kita perlu memasukkan semula tali ini ke bahagian bawah selipar sebelum dapat memakai semula selipar itu.

Berbeza dengan selipar dan capal kita, selipar Nabi mempunyaï dua tali yang naik dari tapaknya ke atas. Apabila dipakai, satu tali itu akan berada di antara ibu jari kaki dan jari telunjuk kaki, manakala tali yang satu lagi akan berada di antara jari hantu kaki dan jari manis kaki. Dua tali yang naik dari tapak ini dipanggil tali qibal.

Apabila Anas bin Malik menyebut bahawa selipar Nabi mempunyaï dua tali qibal, ia bermaksud bahawa tali yang naik itu ialah dua utas atau dua urat tali. Ini berbeza dengan selipar Jepun, kerana selipar Jepun hanya menggunakan satu urat tali yang naik dari tapak. Capal pula biasanya mempunyaï dua urat tali.

Membaca hadis ini membuatkan kita sedar satu perkara, iaitu budaya yang berbeza antara selipar kita sekarang dengan selipar Nabi. Perbezaan budaya ini sangat penting untuk kita sedari kerana perbezaan negara dan zaman menyebabkan budaya menjadi berbeza. Justeru, disebabkan perbezaan itu, apabila kita membaca hadis Nabi, kita sedar bahawa kita berhadapan dengan sesuatu yang tidak ada di mata dan di dalam ilmu kita.

Walaupun hadis ini menyebut tentang sesuatu yang sangat remeh, iaitu selipar, tetapi, sekarang kita tahu bahawa perbezaan budaya dan zaman menyebabkan rupa selipar kita berbeza dengan rupa selipar Nabi. Justeru, kita perlu sedar bahawa ada banyak lagi perbezaan yang harus kita akuï antara budaya kita dan Nabi.

Kesedaran ini penting, agar kita tidak berfikir tentang Nabi sebagaimana kita berfikir tentang diri kita. Kesedaran ini perlu agar kita tidak menggambarkan Nabi sebagaimana kita menggambarkan seorang lelaki Melayu sejati. Ini kerana Nabi ialah orang `Arab, maka cara berfikir, sudut pandangannya, perilakunya, aktiviti sehariannya, bahasanya, pakaiannya, makanannya, malah seluruh kehidupannya adalah diacu oleh budaya `Arab.

Dan kerana hadis ini bercakap tentang perkara yang sangat remeh iaitu selipar, kita harus merenung kembali kepada diri kita, adakah kita tahu tentang selipar yang kita pakai? Kita berkata bahawa selipar itu remeh, lantas kita tidak mengambil berat dan tidak mengkajinya. Ini berbeza dengan Islam, perkara seremeh selipar juga menjadi ilmu, ditanya dan diriwayatkan, serta diambil berat dan ditumpukan perhatian.

Ini bermakna, seseorang yang tidak cakna tidak akan dapat menjadi seorang muslim yang baik. Ini bermaksud, seseorang yang tidak peka tidak akan mampu menjadi seorang muslim yang sempurna. Menjadi seorang muslim bermakna kita lebih cakna dan peka dengan apa yang ada di sekeliling kita, sehingga kepada perkara yang paling kecil. Jangan kerana perkara itu kecil dan remeh, kita sampai mengabaikannya. Mulalah baiki diri kita dengan memberi perhatian kepada perkara yang kecil, agar kita tidak terlepas apa-apa yang boleh memberi kebaikan kepada diri kita.

Komen dan Soalan