Utama Bilik (001) Fiqh Asasi Pemula Thaharah: Bab Air dan Najis – Najis

Thaharah: Bab Air dan Najis – Najis

907
0
cof
Iklan

5. Bangkai

Bangkai dalam bahasa Arab disebut al Mayyitah (bunyi ala-ala mayat kan?). Pengertiannya adalah haiwan yang mati tanpa disembelih mengikut syarak. Mungkin ia mati dengan cara mati sendiri tanpa sebab atau dengan campur tangan manusia yang membunuhnya (dengan cara mencekik atau memukul dengan batu dan sebagainya). Bangkai binatang itu adalah najis.

✍🏻Dalil najisnya bangkai:

Dari Abdullah bin Abbas dia berkata,” Saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,” Apabila kulit telah disamak, maka sungguh ia telah suci.”
[ HR. Muslim ]

Penjelasan daripada Hadis: Apabila Nabi ﷺ berkata kulit yang sudah disamak menjadi suci, maka ini memberi isyarat bahawa kulit itu asalnya najis. Hanya setelah disamak baharulah ianya menjadi suci.

📌Nota tambahan:

Kita mahu membetulkan sedikit terma/istilah yang dipakai oleh orang kita. Ramai yang tidak tahu membezakan antara ‘samak’ dan ‘sertu’. Dengar dan fahami baik-baik.

🔺Sertu: membasuh bekas makanan yang dijilat dan terkena air liur anjing dengan 7 kali basuhan dan salah satunya dengan air yang bercampur tanah.

🔺Samak: proses membersihkan kulit binatang supaya kulit itu boleh digunakan. Kalau tidak dibersihkan, memang tidak boleh dipakai, sebab kulit tersebut akan berbau busuk. Tiada orang yang akan membeli beg Birkin atau beg Bijan jikalau tidak disamak terlebih dahulu.

Cara samak:

▪️Membersihkan dahulu segala sesuatu yang boleh menyebabkan kulit itu berbau busuk iaitu dengan membuang daging dan lemak yang melekat pada kulit itu. Setelah itu diberikan cairan mengkakis seperti cuka atau semisalnya.

▪️Kemudian direndam beberapa waktu (agak lama atau mungkin beberapa hari). Setelah semua tahap ini selesai baharulah kulit bangkai binatang tersebut menjadi suci dan boleh dimanfaatkan. Boleh dibuat beg, tali pinggang, dompet dan sebagainya. Baik, harap selepas ini kita semua tahulah hendak menggunakan istilah yang mana samak dan yang mana sertu.

✍🏻Para ulama berpendapat, anggota tubuh (daging) yang dipotong dari haiwan yang masih hidup, termasuk dalam kategori bangkai, dengan berdasarkan sabda Rasulullah ‎ﷺ:

‎مَا قُطِعَ مِنْ الْبَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَمَا قُطِعَ مِنْهَا فَهُوَ مَيْتَةٌ

Semua yang dipotong dari haiwan dalam keadaan masih hidup adalah bangkai”.
[ HR Abu Daud no. 2858 dan Ibnu Majah no. 3216 dan disahihkan Al Albani dalam Sunan Abu Daud ]

Dengan demikian hukumnya sama dengan hukum bangkai. Jadi, daripada ini kita tahu yang bangkai adalah najis. Dikecualikan dalam hal ini, iaitu:

[a] Bangkai ikan dan belalang,

✍🏻Berdasarkan kepada sabda Rasulullah ‎ﷺ

‎أُحِلَّتْ لَكُمْ مَيْتَتَانِ وَدَمَانِ فَأَمَّا الْمَيْتَتَانِ فَالْحُوتُ وَالْجَرَادُ وَأَمَّا الدَّمَانِ فَالْكَبِدُ وَالطِّحَالُ

Dihalalkan bagi kalian dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Adapun dua bangkai tersebut adalah ikan dan belalang. Sedangkan dua darah tersebut adalah hati (liver) dan limpa.
[HR Ibnu Majah no. 3314 dan dishohihkan Syeikh Al Albani dalam Silsilah Al Ahadits Al Shohihah no.1118]

[b] Bangkai haiwan yang tidak memiliki darah yang mengalir seperti lalat, lebah, semut dan sejenisnya.

✍🏻Berdasarkan kepada sabda Rasulullah ‎ﷺ .

‎إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالْأُخْرَى شِفَاءً

Apabila seekor lalat hinggap dalam minuman salah seorang kalian, maka hendaknya dia menenggelamkannya kemudian membuangnya, kerana pada salah satu dari kedua sayapnya terdapat penyakit dan pada (sayap) yang lainnya (terdapat) ubatnya (penawar)
[HR Al Bukhari no. 3320]

📍Nota: Maka kalau termakan semut itu, kira halal lah.

[c] Tulang, tanduk dan kuku bangkai

Ini semuanya suci sebagaimana dijelaskan Imam Al Bukhari daripada Al Zuhri tentang tulang bangkai, seperti gajah dan lainnya, dengan sanad mu’allaq dalam sahih Al Bukhari (1/342).

✍🏻Imam Al Zuhri menyatakan : “Aku telah menemui sejumlah orang daripada kalangan ulama salaf, menggunakannya sebagai sisir dan berminyak dengannya, Mereka memperbolehkannya”

[ Shohih fiqhus Sunnah 1/73 ]

6. Daging Babi

Daging babi jelas najis.

✍️Dalilnya dalam al-An’am:145

قُل لا أَجِدُ في ما أوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلىٰ طاعِمٍ يَطعَمُهُ إِلّا أَن يَكونَ مَيتَةً أَو دَمًا مَسفوحًا أَو لَحمَ خِنزيرٍ فَإِنَّهُ رِجسٌ أَو فِسقًا أُهِلَّ لِغَيرِ اللَّهِ بِهِ

Katakanlah: “Tiadalah aku perolehi dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi — kerana sesungguhnya semua itu kotor — atau binatang yang disembelih atas nama selain daripada Allah.

Bagaimana pula dengan kulit babi atau bulu babi? Ini tentu menjadi satu perkara yang menjadi persoalan yang bermain di fikiran.

Terutama kalau membeli kasut kulit tetapi rupa-rupanya kasut itu diperbuat dari kulit babi. Apabila memakai berus melukis, rupa-rupanya berus diperbuat dari bulu babi pula. Alamak!

Walaupun ada juga pendapat yang mengatakan kulit babi dan bulu babi tidak najis, tetapi pendapat yang rajih, mengatakan kulit babi dan bulu babi juga adalah najis. Kalau disamak pun ia tidak akan menjadi suci, kerana memang ia berasal dari benda yang tidak suci.

📍Ibnu Utsaimin menjelaskan, bahawa kulit binatang ada 3 :

1. Kulit binatang yang statusnya suci dan boleh dimanfaatkan, meski pun tidak disamak. Itu adalah kulit haiwan yang halal dimakan dan disembelih dengan cara yang benar. Contohnya, ada orang makan kulit lembu, kulit ayam dan sebagainya.

2. Kulit binatang yang tidak boleh disucikan, meskipun telah disamak. Statusnya tetap najis, apapun keadaannya. Itulah kulit semua binatang yang haram dimakan, seperti babi atau anjing.

3. Kulit binatang yang suci setelah disamak, dan najis jika tidak disamak. Itulah kulit bangkai binatang yang halal dimakan, seperti kulit bangkai lembu, dan sebagainya. (Liqa’at Bab Al-Maftuh, Volume 52, no. 8).

Lalu bolehkah kita memakai beg, kasut atau sebagainya yang diperbuat dari kulit babi?

✍️Terdapat suatu hadis dari Muawiyah radhiyallahu ‘anhu,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ لُبُوسِ جُلُودِ السِّبَاعِ، وَالرُّكُوبِ عَلَيْهَا

Bahawa Rasulullah ‎ﷺ melarang memakai kulit binatang buas dan menungganginya.
[ HR. An-Nasai 4255, Abu Daud 4131 dan dishahihkan Al-Albani ].

Oleh kerana Nabi melarang memakai kulit binatang buas kerana binatang buas tidak boleh dimakan, maka tentulah larangan tersebut terpakai untuk kulit babi juga kerana daging babi tidak boleh dimakan. Oleh itu kalau membeli beg atau kasut kenalah tengok ia diperbuat dari kulit apa.

📌Sekarang timbul persoalan lain pula: Bagaimana sekiranya terpakai, atau tersentuh kulit babi? Perlukah disertu tubuh badan atau pakaian kita?

Prinsip penting yang kita pegangi dalam hal ini adalah: tidak semua perkara yang berkaitan menyentuh benda najis, menyebabkan badan kita menjadi najis. Ini kerana, ada dua hal yang perlu dibezakan: Adakah benda itu najis, dan menyentuh benda najis.

Menyentuh benda najis boleh menyebabkan badan kita menjadi najis, jika ada bahagian benda najis itu yang melekat pada tubuh kita. Sebaliknya, jika tidak ada bahagian benda najis itu yang melekat, maka status badan kita tetap suci.

✍️Syaikh Dr. Sholeh Al-Fauzan menjelaskan,

وإذا لمس الإنسان نجاسة رطبة؛ فإنه يغسل ما لمسها به من جسمه؛ لانتقال النجاسة إليه، أما النجاسة اليابسة؛ فإنه لا يغسل ما لمسها به؛ لعدم انتقالها إليه

Jika ada orang menyentuh benda najis yang basah maka dia harus mencuci bagian tubuhnya yang terkena benda najis itu, kerana ada bahagian najisnya yang berpindah kepadanya. Namun jika menyentuh najis kering, maka tidak perlu mencuci badan yang menyentuhnya, kerana tidak ada bahagian najis yang menempel.
[ Al-Muntaqa min Fatawa Al-Fauzan ]

Oleh itu, cuma perlu membasuh tubuh kita sekiranya kulit babi itu basah atau tubuh kita basah. Ini kerana dalam keadaan basah sahaja baru ada perpindahan (transfer) najis. Jika kedua-duanya kering, maka tidak perlu dicuci.

📌Tetapi bagaimanakah cara membasuhnya? Guna air tanah juga kah (sertu)?

Tidak, basuh biasa sahaja. Cara mencucinya hanya dengan sekali basuhan air, sebagaimana najis pada umumnya. Sebahagian ulama’ ada yang menyamakan najisnya babi seperti najisnya air liur anjing. Namun analogi ini tidak benar dan tidak memiliki dasar yang kuat.

Di antara ulama’ yang membantah pendapat yang menyamakan status najisnya kulit babi dengan air liur anjing adalah Imam Ibnu Utsaimin.

✍🏻Beliau menjelaskan,

وهذا قياس ضعيف ؛ لأن الخنزير مذكور في القرآن ، وموجود في عهد النبي صلى الله عليه وسلم ، ولم يرد إلحاقه بالكلب ، فالصحيح أن نجاسته كنجاسة غيره ، لا يغسل سبع مرات إحداها بالتراب

Menyamakan kulit babi dengan anjing adalah analogi yang lemah kerana babi telah disebutkan dalam Al-Quran dan sudah wujud di zaman Nabi ﷺ. Sementara tidak ada riwayat yang menyamakan babi dengan anjing. Kerana itu yang benar, najisnya babi sama dengan najisnya benda najis lainnya. Tidak perlu dicuci tujuh kali dan salah satunya dengan tanah. (As-Syarhul Mumthi’, 1/356).

Semoga penjelasan ini jelas dan apabila berpegang dengan pendapat ini, maka tidaklah susah hidup kita. Islam bukanlah agama yang menyusahkan manusia.

Oleh kerana tidak tahu tentang perkara ini, maka ada orang yang sertu rumahnya, atau menukar karpet di masjid yang telah dimasuki babi dan sebagainya lagi. Itu adalah ghuluw (berlebihan dalam agama). Buang masa dan buang duit belaka.

🍀SESI SOAL JAWAB☘️
========================

📍Adakah samak ini hanya untuk orang Islam dan mesti berniat sebelum melakukannya?

🔵 Tidak. Samak ini proses pembersihan sahaja dan boleh dilakukan oleh sesiapa pun.

📍Adakah benar jika termakan semut nanti hati tidak terang bila belajar?

🔵Tidak betul. Ini fahaman khurafat. Tidak ada orang makan semut tetapi termakan adalah. Jadi tidak perlu hadith sudah faham.

📍Kakak saya telah menghadiahkan sebuah beg yang dibeli semasa berada di Australia. Saya berasa was-was hendak gunakan sebab ia diperbuat daripada kulit binatang dan bimbang jika ia kulit binatang yang haram disentuh. Boleh jelaskan binatang apa yang memang tidak boleh kulitnya disamak?
Bagaimana jika beg atau kasut itu daripada kulit ular atau buaya?

🔵Babi dan binatang buas. Jadi sebelum membeli kena tahulah dari bahan apa beg itu diperbuat.
Termasuk dalam binatang buas maka tidak boleh dipakai. Jika penjual tidak tahu, janganlah beli dan kita tidak rugi apa pun.

📍Sentuh babi tidak perlu sertu sebab apa yang dipelajari ia najis berat?
Adakah sama sertu dan samak?

🔵Tidak perlu sertu hanya basuh biasa sahaja.
Keduanya tidak sama. Harap selepas ini ramai yang faham dan sampaikan ilmu ini kepada orang lain.

📍Jika kita beli barangan terpakai yang kita tidak tahu sama ada pengguna itu Islam atau bukan Islam, perlukah sertu atau samak?

🔵Bila tidak nampak, maka tidak perlu sertu. Kita tidak dipertanggungjawabkan dengan perkara yang kita tidak nampak.

📍Adakah istilah dibenci maksudnya haram? Adakah pendapat lain selain dari ulama tersebut?
Kesimpulannya babi tidak perlu sertu, basuh sahaja dan anjing baru sertu.

🔵Tentu ada sahaja pendapat yang lain. Begitulah bab agama ni. Kita tidak memaksa untuk ikut. Kita bentangkan apa yang kita tahu. Mungkin ada yang boleh beri pendapat yang lain. Boleh kita berbincang.

Ya, sentuh babi atau daging babi tidak perlu sertu. Kalau air liur anjing kena bekas makanan dan hendak pakai bekas itu, barulah sertu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan