Utama Blog Halaman 84

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-68 hingga Ke-70

0

Tafsir Ayat Ke-68

Allah SWT menceritakan keadaan di akhirat kelak dengan diberikan juga Takhwif Ukhrawi.

وَنُفِخَ فِي الصّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الأَرضِ إِلّا مَن شاءَ اللَهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فيهِ أُخرىٰ فَإِذا هُم قِيامٌ يَنظُرونَ

Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ

Dan apabila ditiup pada sangkakala

Ini adalah tiupan Sangkakala yang pertama. Israfil akan tiup sangkakala apabila diarahkan oleh Allah SWT apabila sampai masanya. Kenapa Allah SWT gunakan tiupan sangkakala dan bagaimanakah keadannya? Kita tidak tahu dengan tepat kerana ini adalah termasuk perkara ghaib.

Tetapi kalau kita cuba apa yang kita boleh bayangkan, tiupan sangkakala itu adalah satu tiupan yang kuat, yang akan menyebabkan kita terpinga-pinga dan tertanya-tanya apakah ia. Begitu juga sekarang ini pun, kalau ada bunyi hon yang kuat, kita akan terperanjat dan tertanya-tanya apakah sebabnya bunyi itu. Begitulah nanti Allah SWT akan memberikan satu bunyi yang kuat yang akan menyebabkan kita terkejut.

فَصَعِقَ مَن فِي السَّمٰوٰتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ

apa sahaja makhluk yang berada di bumi dan langit akan mati semuanya,

Tiupan Sangkakala yang pertama itu akan mematikan seluruh makhluk di alam ini. Tidak kira sama ada mereka berada di langit atau di bumi. Namun, Allah sebut ‘langit’ dahulu kerana permulaan kiamat itu dari langit. Langit yang akan dapat kesannya dahulu.

Kalimah صَعِقَ bermaksud jatuh pengsan dulu dan kemudian mati dan waktu itu tentulah sudah ramai yang mati. Maka mereka yang sudah mati, roh mereka pun akan pengsan dan mati juga.

Pada hari kiamat itu berlaku, manusia yang hidup waktu itu semuanya kafir belaka. Maka tidak ada orang mukmin yang akan merasai kesusahan pada Hari Kiamat itu kerana ia amat teruk sekali.

إِلَّا مَن شَاءَ اللهُ

melainkan sesesiapa yang dikehendaki Allah.

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa ada juga makhluk yang tidak dimatikan dengan tiupan sangkakala. Siapakah mereka itu ada diceritakan dalam hadith.

Mereka terdiri daripada lapan malaikat yang menongkat Arash, dan empat malaikat besar: Jibrail, Mikail, Malaikat Maut dan Israfil. Jadi, ada 12 malaikat yang tidak mati dengan tiupan sangkala. Mereka akan dimatikan satu-satu dengan perintah Allah. Allahu a’lam.

Maksudnya, tiupan Sangkakala itu tidak mematikan mereka, tidaklah bermaksud mereka tidak mati langsung. Mereka akan tetap mati juga akhirnya, tetapi dengan cara yang lain, bukan dengan tiupan Sangkakala itu. Semua makhluk akan mati, kerana hanya Allah SWT sahaja yang akan terus hidup.

نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ

Kemudian ditiupkan sangkala kedua,

Tiupan sangkakala kedua ini adalah untuk menghidupkan semua makhluk. Selepas ditiupkan pada Sangkala pertama dan kemudian setelah dimatikan semua makhluk yang tidak mati semasa tiupan Sangkakala pertama itu, hanya Allah SWT sahaja yang tinggal. Dalam riwayat, ada disebut tinggal Israfil dan Allah SWT sahaja maka Allah SWT mematikan Israfil dengan perintah-Nya.

Kemudian Allah SWT mula-mula menghidupkan Israfil dan beliau diarahkan untuk meniupkan tiupan kedua untuk menghidupkan kembali semua makhluk.

فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ

maka mereka semua tiba-tiba bangkit berdiri dari kubur, hadir menunggu.

Kita semua akan bangkit dalam keadaan gelap gelita. Dibangkitkan untuk dibicarakan. Dan waktu dihidupkan itu tidaklah macam kita lahir ke dunia dulu kerana dulu kita lahir daripada perut emak kita dan kita waktu itu bayi dan lama kelamaan membesar jadi dewasa.

Di akhirat nanti, apabila dibangkitkan, terus dalam keadaan dewasa. Cuma ahli syurga akan dibangkitkan sebagai ahli syurga dan ahli neraka akan dibangkitkan sebagai ahli neraka mengikut amal masing-masing.

Waktu itu, kita semua tidak tahu hendak pergi mana. Kemudian kita semua akan dihalau untuk pergi ke Mahsyar. Tidak dapat dibayangkan keadaan pada hari itu kerana semua sekali akan dihidupkan dari mula kehidupan sehingga Hari Kiamat. Semuanya nanti akan dihidupkan semula serentak. Semua dapat melihat makhluk yang lain. Tidak dapat dibayangkan berapa ramai makhluk akan ada pada hari itu.

Tafsir Ayat Ke-69

Satu lagi ayat mutashabihah.

وَأَشرَقَتِ الأَرضُ بِنورِ رَبِّها وَوُضِعَ الكِتٰبُ وَجِيءَ بِالنَّبِيّينَ وَالشُّهَداءِ وَقُضِيَ بَينَهُم بِالحَقِّ وَهُم لا يُظلَمونَ

Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi (hari akhirat) dengan cahaya Tuhannya; dan akan diberikan Kitab suratan amal (untuk dibicarakan); dan akan dibawa Nabi-nabi serta saksi-saksi; dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

وَأَشْرَقَتِ الْأَرْضُ بِنُورِ رَبِّهَا

Maka akan terang benderang bumi Mahsyar dengan cahaya Tuhannya.

Cerah macam mana? Kita tidak tahu keadaannya macam mana. Tidak boleh digambarkan. Tidak perlu untuk kita fikirkan dan bayangkan.

Tidak perlu kita hendak takwil. Tidak pernah diberitahu oleh Nabi, jadi tidak perlu kita susah payah mahu cari maksudnya. Dari lafaz ayat ini, memberi isyarat bahawa Allah SWT menampakkan Diri-Nya. Namun, tidaklah dalam bentuk-Nya yang sebenar.

وَوُضِعَ الْكِتٰبُ

dan akan dibawakan kitab suratan amal.

Setiap kita akan diberikan dengan kitab amalan kita sendiri. Amalan kita sehari akan diletakkan dalam satu scroll. Apabila dibentangkan, ia adalah sejauh mata memandang. Kita sendiri akan baca amalan harian satu persatu. Yang jadi saksi adalah Malaikat Raqid Atid kerana merekalah yang menulis amalan kita.

Ada kisah bagaimana Allah SWT akan arahkan malaikat untuk campakkan amalan mereka. Maka, malaikat pencatit akan kata bahawa mereka menyaksikan bahawa manusia itu ada buat amalan itu. Tetapi Allah SWT akan tanya balik sama ada malaikat tahu apakah yang ada dalam hati manusia itu?

Ini bermakna, malaikat tidak tahu isi hati kita. Kalau malaikat pun tidak tahu, bagaimana ada yang kata manusia boleh tahu pula? Ada kalangan orang kita yang takut bila hendak bertemu dengan guru mereka kerana mereka sangka guru mereka tahu apakah dalam hati mereka.

Ini adalah satu kepercayaan yang karut sama sekali. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu isi hati kita. Janganlah kita percaya kepada perkara-perkara seperti itu. Teruk sangat kepercayaan masyarakat kita kerana telah dimomok-momokkan oleh guru-guru yang mengajar ajaran sesat.

Ada yang dapat kitab amal dari tangan kanan. Mereka yang banyak amal akan rasa bangga semasa membaca amalan mereka dan mereka yang jahat akan rasa malu sangat-sangat malu sambil membaca kitab amalan mereka.

Tafsiran kedua potongan ayat ini: dibawakan Kitab Wahyu umat masing-masing sebagai bukti sama ada mereka ikut atau tidak kitab wahyu mereka.

وَجِيءَ بِالنَّبِيِّينَ وَالشُّهَدَاءِ

Dan dibawa datang semua Nabi-Nabi dan segala saksi-saksi.

Apabila mahkamah Allah dimulakan, para Nabi akan menjadi saksi ke atas umat-umat mereka. Termasuklah Nabi Muhammad SAW akan menjadi saksi ke atas kita, umatnya. Ini telah disebut dalam [ an-Nisa: 41 ].

Dalam ayat-ayat lain ada disebut bagaimana para Nabi akan ditanya tentang penerimaan umat mereka terhadap dakwah mereka. Maka berlakulah perbicaraan antara umat dan Nabi mereka. Ini kita akan belajar dalam surah-surah yang lain.

Siapakah pula saksi-saksi itu? Mereka yang melakukan tabligh (dakwah) untuk sebar agama. Yang menyebarkan ajaran tauhid. Yang pertama sekali adalah tentunya para Nabi kerana mereka yang mula menyampaikan dakwah kepada umat mereka. Kemudian pengikut para Nabi seperti yang disebut dalam [ alHajj: 78 ].

Kemudian akan diteruskan oleh pendakwah yang meneruskan tugas para Nabi dan Rasul itu. Mereka akan beritahu siapakah orang-orang yang mereka telah dakwahkan tetapi tidak mahu terima. Mereka akan beritahu siapakah yang telah menghalang mereka dari mengajar dalam masjid, dalam surau dan sebagainya. Mereka akan bentangkan siapakah guru-guru, ustaz-ustaz yang cuba menyekat guru-guru ajaran sunnah dari dapat mengajar kepada masyarakat.

Mereka yang mengamalkan bid’ah dan syirik akan cuba untuk halang kerana kalau dibenarkan guru ajaran tauhid dan sunnah mengajar, maka akan pecahlah tembelang mereka yang tidak tahu tentang agama. Mereka itu tidak tahu tentang agama kerana mereka tidak pernah lagi belajar tafsir al-Qur’an dan Hadith Nabi.

Tetapi masalahnya merekalah yang dipandang tinggi oleh masyarakat sekarang. Sampai mereka boleh masuk suratkhabar, tv, radio dan sebagainya. Merekalah yang buat duit dengan mengambil upah daripada masyarakat yang jahil untuk jadi pembaca talqin, imam solat Hajat dan sebagainya.

Para malaikat juga akan menjadi saksi seperti yang disebut dalam [ Qaf: 21]. Selain dari itu, tubuh badan kita juga akan menjadi saksi seperti yang disebut dalam [ Yaasin: 65 ]

وَقُضِيَ بَيْنَهُم بِالْحَقِّ

dan akan dihakimi di antara mereka dengan adil,

Akan dijalankan pengadilan. Allah telah tahu apakah yang makhluk telah buat. Namun, Allah jadikan majlis perbicaraan untuk menunjukkan keadilan-Nya. Semua makhluk akan mengadap Allah SWT dalam duduk berlutut dalam keadaan telanjang. Semuanya akan mengadap Allah ada yang semasa berkumpulan dan ada yang semasa berseorangan, tidak ada yang bersama kita.

Waktu itu, kita tidak mampu hendak menolak atau memberi alasan lagi diatas perbuatan kita. Kita terpaksa mengaku semuanya sekali.

وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

dan mereka tidak dizalimi sedikit pun.

Satu dosa akan dibalas satu atau boleh jadi, lagi kurang dari itu dan dimaafkan langsung. Satu pahala pula dibalas sekurang-kurangnya sepuluh atau lebih lagi berganda-ganda. Bermakna, tidak akan ada sesiapa pun yang akan dizalimi oleh Allah SWT.

Mana boleh kita hendak kata Allah SWT berlaku zalim, sedangkan Allah SWT hanya membalas kejahatan dengan keburukan atau dimaafkan, tetapi yang melakukan kebaikan, Allah SWT akan balas lebih lagi dari apa yang mereka buat.

Tafsir Ayat Ke-70:

وَوُفِّيَت كُلُّ نَفسٍ مّا عَمِلَت وَهُوَ أَعلَمُ بِما يَفعَلونَ

Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap seorang – balasan apa yang telah dikerjakannya, dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka telah lakukan.

وَوُفِّيَتْ كُلُّ نَفْسٍ

Dan akan diberikan balasan setiap jiwa

Allah SWT dengan segala keadilan-Nya akan beri balasan yang setimpal. Dengan cukup. Tidak akan ada makhluk yang akan mempersoalkan keadilan Allah SWT pada waktu itu.

مَّا عَمِلَتْ

daripada apa yang telah mereka lakukan

Amalan baik akan dibalas baik. Amalan jahat dan zalim akan dibalas dengan keburukan. Tidaklah mereka akan dihukum atas perbuatan yang mereka tidak lakukan; kalau di dunia, ada kemungkinan manusia dihukum atas kesalahan yang mereka tidak lakukan; dan tidak ada amalan kebaikan yang tidak dibalas dengan kebaikan kerana Allah tahu belaka apa yang kita telah lakukan. Tidak akan tertinggal satu pun kebaikan pun melainkan akan dibalas.

Allah Maha Adil dan tidak pernah dan tidak akan zalim. Bukanlah Allah hendak menyeksa hamba-Nya, tetapi segala azab yang akan dikenakan kepada mereka itu adalah kerana kesalahan manusia sendiri.

وَهُوَ أَعْلَمُ بِمَا يَفْعَلُونَ

tetapi Allah sudah sedia tahu apa yang mereka amalkan.

Allah SWT lebih tahu apa yang telah mereka lakukan dulu semasa di dunia. Bukanlah dibentangkan amalan itu sebab Allah SWT tidak tahu. Allah SWT memang telah tahu. Namun Allah SWT hendak menunjukkan keadilan-Nya. Allah SWT tahu segala-galanya. Kadang-kadang kita sendiri sudah lupa apa yang kita lakukan, tetapi Allah SWT tahu.

Allahu a’lam.

SnJ Fiqh Asasi Sunnah: Hal Salat & Tayammum

0

1. Bagaimanakah cara mereka yang OKU (tiada tangan) untuk bertayammum?

🔵 OKU boleh meminta bantuan untuk bertayammum.

2. Bagaimanakah jika OKU tersebut bersendirian?

🔵 Jika tiada kemampuan untuk melakukannya. Boleh terus solat tanpa tayammum.

3. Seseorang menjama’kan salat Maghrib dan Isya’. Kemudian, selepas menunaikan salat Maghrib, wudhu’nya batal sebelum sempat melakukan salat Isya’. Adakah perlu mengulangi kedua-dua salat Maghrib dan Isya’ dengan wudhu’ yang baru?

🔵 Tidak perlu. Salat Maghribnya sah dan hanya perlu solat Isya’ sahaja dengan wudhu’ yang baru.

4. Adakah wanita yang mengalami istihadah ketika ketiadaan air perlu bertayammum setiap kali menunaikan salat?

🔵 Jika diqiyaskan dengan dalil bahawa wanita yang istihadah perlu memperbaharui wudhu’ setiap kali salat maka begitu jualah keadaannya dengan tayammum.

5. Adakah bertayammum membolehkan seseorang melakukan ibadah seperti salat, membaca Al-Qur’an, bertawaf dan sebagainya?

🔵 Ya, tetapi bukan semua perkara perlu ada tayammum baru boleh beribadah. Membaca zikir dan Al-Qur’an boleh dilakukan tanpa mengangkat hadas.

6. Adakah boleh menyentuh mushaf Al-Qur’an tanpa bersuci?

🔵 Ya. Boleh menyentuh mushaf Al-Qur’an atau terjemahan Al-Qur’an tanpa bersuci. Jika mengikut mazhab Asy-Syafi’iy tidak boleh menyentuh mushaf tanpa berlapik.

7. Di dalam situasi di bawah, adakah boleh menjama’kan salat?

Waktu itu Ibnu Umar رضي الله عنهما dalam sekitar satu batu dari Madinah.

Beliau merasakan yang beliau tidak sempat untuk sampai ke Madinah kerana mempunyai urusan di tempat lain. Maka beliau telah salat dengan bertayammum.

Tetapi apabila beliau tiba di Madinah, masih ada lagi waktu itu. Beliau tetap tidak mengulangi salatnya kerana salatnya di tempat sebelum itu sah.

🔵 Tidak kerana Ibnu Umar رضي الله عنهما tidak menjama’kan salatnya, bahkan beliau terus sahaja salat tanpa dengan bertayammum.

8. Di dalam menilai situasi seseorang itu mampu atau tidak apakah kayu ukur yang boleh kita gunakan supaya tidak terlalu memandang remeh hal-hal agama?

Contohnya, seseorang beranggapan bahawa boleh salat dengan membaca apa sahaja ayat Al-Qur’an yang dia mampu. Dia tidak membaca Al-Fatihah dalam solatnya. Hanya baca alif lam mim sahaja.

Atau dia tidak mampu memahami bahasa Arab dalam salatnya. Maka dia hanya membaca bacaan dalam salat dengan bahasa Melayu yang diketahuinya sahaja.

🔵 Kayu ukur di dalam perkara ini adalah subjektif dan relatif kepada individu tersebut.

Kita dipertanggungjawabkan atas kemampuan kita. Sebagai analogi, ada orang boleh berlari 5 KM, ada yang boleh berlari 7 KM. Tetapi jika orang yang mampu berlari 7 KM, hanya lari 5 KM sahaja kerana dia malas, maka dia telah menipu dirinya sendiri.

Yang mengetahui kemampuan kita adalah Allah ﷻ dan kita sendiri. Orang lain belum tentu lagi mengenali dengan pasti batas kemampuan kita.

Di hadapan Allah ﷻ nanti bagaimanakah kita ingin menjawab sesuatu yang kita sengaja ringankan walhal kita mampu melakukan yang lebih baik.

Allahu a’lam.

Thaharah: Bab Tayammum – Beberapa permasalahan mengenai Tayammum (Bhg II)

0

✍🏻Satu lagi dalil mengenai tayammum

331 – حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَوْفٌ قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو رَجَاءٍ عَنْ عِمْرَانَ قَالَ كُنَّا فِي سَفَرٍ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنَّا أَسْرَيْنَا حَتَّى كُنَّا فِي آخِرِ اللَّيْلِ وَقَعْنَا وَقْعَةً وَلَا وَقْعَةَ أَحْلَى عِنْدَ الْمُسَافِرِ مِنْهَا فَمَا أَيْقَظَنَا إِلَّا حَرُّ الشَّمْسِ وَكَانَ أَوَّلَ مَنْ اسْتَيْقَظَ فُلَانٌ ثُمَّ فُلَانٌ ثُمَّ فُلَانٌ يُسَمِّيهِمْ أَبُو رَجَاءٍ فَنَسِيَ عَوْفٌ ثُمَّ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ الرَّابِعُ وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا نَامَ لَمْ يُوقَظْ حَتَّى يَكُونَ هُوَ يَسْتَيْقِظُ لِأَنَّا لَا نَدْرِي مَا يَحْدُثُ لَهُ فِي نَوْمِهِ فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ عُمَرُ وَرَأَى مَا أَصَابَ النَّاسَ وَكَانَ رَجُلًا جَلِيدًا فَكَبَّرَ وَرَفَعَ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ فَمَا زَالَ يُكَبِّرُ وَيَرْفَعُ صَوْتَهُ بِالتَّكْبِيرِ حَتَّى اسْتَيْقَظَ بِصَوْتِهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ شَكَوْا إِلَيْهِ الَّذِي أَصَابَهُمْ قَالَ لَا ضَيْرَ أَوْ لَا يَضِيرُ ارْتَحِلُوا فَارْتَحَلَ فَسَارَ غَيْرَ بَعِيدٍ ثُمَّ نَزَلَ فَدَعَا بِالْوَضُوءِ فَتَوَضَّأَ وَنُودِيَ بِالصَّلَاةِ فَصَلَّى بِالنَّاس فَلَمَّا انْفَتَلَ مِنْ صَلَاتِهِ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ مُعْتَزِلٍ لَمْ يُصَلِّ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ مَا مَنَعَكَ يَا فُلَانُ أَنْ تُصَلِّيَ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ أَصَابَتْنِي جَنَابَةٌ وَلَا مَاءَ قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّعِيدِ فَإِنَّهُ يَكْفِيكَ ثُمَّ سَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاشْتَكَى إِلَيْهِ النَّاسُ مِنْ الْعَطَشِ فَنَزَلَ فَدَعَا فُلَانًا كَانَ يُسَمِّيهِ أَبُو رَجَاءٍ نَسِيَهُ عَوْفٌ وَدَعَا عَلِيًّا فَقَالَ اذْهَبَا فَابْتَغِيَا الْمَاءَ فَانْطَلَقَا فَتَلَقَّيَا امْرَأَةً بَيْنَ مَزَادَتَيْنِ أَوْ سَطِيحَتَيْنِ مِنْ مَاءٍ عَلَى بَعِيرٍ لَهَا فَقَالَا لَهَا أَيْنَ الْمَاءُ قَالَتْ عَهْدِي بِالْمَاءِ أَمْسِ هَذِهِ السَّاعَةَ وَنَفَرُنَا خُلُوفًا قَالَا لَهَا انْطَلِقِي إِذًا قَالَتْ إِلَى أَيْنَ قَالَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ الَّذِي يُقَالُ لَهُ الصَّابِئُ قَالَا هُوَ الَّذِي تَعْنِينَ فَانْطَلِقِي فَجَاءَا بِهَا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَدَّثَاهُ الْحَدِيثَ قَالَ فَاسْتَنْزَلُوهَا عَنْ بَعِيرِهَا وَدَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِإِنَاءٍ فَفَرَّغَ فِيهِ مِنْ أَفْوَاهِ الْمَزَادَتَيْنِ أَوْ سَطِيحَتَيْنِ وَأَوْكَأَ أَفْوَاهَهُمَا وَأَطْلَقَ الْعَزَالِيَ وَنُودِيَ فِي النَّاسِ اسْقُوا وَاسْتَقُوا فَسَقَى مَنْ شَاءَ وَاسْتَقَى مَنْ شَاءَ وَكَانَ آخِرُ ذَاكَ أَنْ أَعْطَى الَّذِي أَصَابَتْهُ الْجَنَابَةُ إِنَاءً مِنْ مَاءٍ قَالَ اذْهَبْ فَأَفْرِغْهُ عَلَيْكَ وَهِيَ قَائِمَةٌ تَنْظُرُ إِلَى مَا يُفْعَلُ بِمَائِهَا وَايْمُ اللَّهِ لَقَدْ أُقْلِعَ عَنْهَا وَإِنَّهُ لَيُخَيَّلُ إِلَيْنَا أَنَّهَا أَشَدُّ مِلْأَةً مِنْهَا حِينَ ابْتَدَأَ فِيهَا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اجْمَعُوا لَهَا فَجَمَعُوا لَهَا مِنْ بَيْنِ عَجْوَةٍ وَدَقِيقَةٍ وَسَوِيقَةٍ حَتَّى جَمَعُوا لَهَا طَعَامًا فَجَعَلُوهَا فِي ثَوْبٍ وَحَمَلُوهَا عَلَى بَعِيرِهَا وَوَضَعُوا الثَّوْبَ بَيْنَ يَدَيْهَا قَالَ لَهَا تَعْلَمِينَ مَا رَزِئْنَا مِنْ مَائِكِ شَيْئًا وَلَكِنَّ اللَّهَ هُوَ الَّذِي أَسْقَانَا فَأَتَتْ أَهْلَهَا وَقَدْ احْتَبَسَتْ عَنْهُمْ قَالُوا مَا حَبَسَكِ يَا فُلَانَةُ قَالَتْ الْعَجَبُ لَقِيَنِي رَجُلَانِ فَذَهَبَا بِي إِلَى هَذَا الَّذِي يُقَالُ لَهُ الصَّابِئُ فَفَعَلَ كَذَا وَكَذَا فَوَاللَّهِ إِنَّهُ لَأَسْحَرُ النَّاسِ مِنْ بَيْنِ هَذِهِ وَهَذِهِ وَقَالَتْ بِإِصْبَعَيْهَا الْوُسْطَى وَالسَّبَّابَةِ فَرَفَعَتْهُمَا إِلَى السَّمَاءِ تَعْنِي السَّمَاءَ وَالْأَرْضَ أَوْ إِنَّهُ لَرَسُولُ اللَّهِ حَقًّا فَكَانَ الْمُسْلِمُونَ بَعْدَ ذَلِكَ يُغِيرُونَ عَلَى مَنْ حَوْلَهَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ وَلَا يُصِيبُونَ الصِّرْمَ الَّذِي هِيَ مِنْهُ فَقَالَتْ يَوْمًا لِقَوْمِهَا مَا أُرَى أَنَّ هَؤُلَاءِ الْقَوْمَ يَدْعُونَكُمْ عَمْدًا فَهَلْ لَكُمْ فِي الْإِسْلَامِ فَأَطَاعُوهَا فَدَخَلُوا فِي الْإِسْلَامِ
قَالَ أَبُو عَبْد اللَّهِ صَبَأَ خَرَجَ مِنْ دِينٍ إِلَى غَيْرِهِ وَقَالَ أَبُو الْعَالِيَةِ { الصَّابِئِينَ } فِرْقَةٌ مِنْ أَهْلِ الكِتَابِ يَقْرَءُونَ الزَّبُورَ

331. Telah menceritakan kepada kami Musaddad berkata, telah menceritakan kepadaku Yahya bin Sa’id berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Auf berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Raja’ daripada ‘Imran berkata, “Kami pernah dalam suatu perjalanan bersama Nabi ﷺ, kami berjalan di waktu malam hingga ketika sampai di akhir malam kami tidur, dan bagi orang yang bermusafir, tidak ada tidur yang paling enak (nyenyak) bagi musafir melebihi yang kami alami. Hingga tidak ada yang membangunkan kami kecuali panas sinar matahari. Dan orang yang pertama kali bangun adalah si fulan, lalu si fulan, Abu Raja’ memberitahu nama mereka tetapi Abu ‘Auf lupa. Dan ‘Umar bin Al Khaththab رضي الله عنه adalah orang keempat bangun, sedangkan apabila Nabi ﷺ bila tidur tidak ada yang membangunkannya hingga baginda bangun sendiri, kerana kami tidak tahu apa yang terjadi pada baginda dalam tidurnya. Ketika ‘Umar رضي الله عنه bangun dan melihat apa yang terjadi kepada orang ramai -dan ‘Umar رضي الله عنه adalah seorang yang berani -, maka dia bertakbir dengan mengeraskan suaranya dan terus saja bertakbir dengan keras hingga Nabi ﷺ terbangun akibat kerasnya suara takbir ‘Umar رضي الله عنه. Tatkala baginda bangun, orang-orang mengadukan peristiwa yang mereka alami. Maka baginda bersabda: “Tidak mengapa, atau tidak ada apa-apa dan lanjutkanlah perjalanan.” Maka baginda meneruskan perjalanan dan setelah beberapa jarak yang tidak jauh baginda berhenti lalu meminta air untuk wudhu’, baginda lalu berwudhu’ kemudian menyeru untuk salat. Maka baginda salat mengimami orang banyak. Setelah baginda selesai melaksanakan salatnya, didapatinya ada seorang yang memisahkan diri tidak ikut salat bersama orang banyak. Maka Nabi ﷺ bertanya: “Wahai Fulan, apa yang menghalangimu untuk salat bersama orang banyak?” Orang itu menjawab, “Aku mengalami junub, sementara air tidak ada.” Baginda lantas menjelaskan: “Gunakanlah muka bumi (untuk bertayamum) kerana ia sudah memadai.” Kemudian Nabi ﷺ melanjutkan perjalanan hingga akhirnya orang-orang mengadu kepada baginda bahawa mereka kehausan. Maka Nabi ﷺ berhenti lalu meminta seseorang yang Abu Raja’ sebut namanya -namun ‘Auf lupa – dan ‘Ali seraya memerintahkan keduanya: “Pergilah kalian berdua mencari air.” Maka keduanya berangkat hingga berjumpa dengan seorang wanita yang berada di antara dua gereba besar berisi air di atas untanya. Maka keduanya bertanya kepadanya, “Di mana ada air?” Wanita itu menjawab, “Pada waktu inilah saya tinggalkan tempat air kelmarin. Dan sekarang kalangan kaum lelaki kami tiada di rumah.” Lalu keduanya berkata, “Kalau begitu marilah berangkat bersama kami”. Wanita itu bertanya, “Mahu ke mana?” Keduanya menjawab, “Kepada Rasulullah ﷺ.” Wanita itu bertanya, “Oh, kepada orang yang dipanggil (Shabi’i) itukah?” Keduanya menjawab, “Dialah yang kamu maksudkan itu. Berangkatlah.” Kemudian kedua sahabat Nabi ﷺ itu pergi bersama wanita tersebut menemui Nabi ﷺ. Keduanya kemudian menceritakan peristiwa itu kepada baginda. Kata perawi: lalu mereka meminta perempuan itu turun dari untanya. Kemudian Nabi ﷺ meminta satu bekas air, lalu menuangkan sedikit air dari bahagian atas mulut kantung-kantung air (milik wanita itu) ke dalam bekas itu, lepas mengikat kantung-kantung air tersebut sebelah atas, baginda membuka pula bahagian yang sebelah bawah seraya berseru kepada orang banyak: “minumlah kalian dan beri minumlah!” Maka orang-orang memberi minum sesiapa sahaja yang mereka mahu dan orang-orang meminum sesuka mereka. Dan akhirnya, baginda memberi sebekas air kepada orang yang tadi dalam janabah. Baginda lalu berkata kepadanya: “Pergi dan mandilah.” Dan wanita tersebut berdiri memerhatikan apa yang diperbuat terhadap airnya. Demi Allah ‎ﷻ, setelah semua orang selesai minum dan mengambil air daripada gereba, kami tetap merasakan ia lebih penuh dari sebelumnya.

Nabi ﷺ lalu bersabda: “Kumpulkanlah (makanan) untuknya.” Maka orang-orang pun mengumpulkan untuk perempuan itu tamar Ajwah, tepung gandum, sawiq sehingga terkumpul sebanyak makanan dalam selembar kain, mereka lalu menaikkan wanita tersebut di atas unta dan meletakkan bungkusan makanan tersebut di depannya. Kemudian Nabi ﷺ berkata kepada wanita tersebut: “Kamu mengetahui bahawa kami tidak mengurangi sedikit pun air milikmu, tetapi Allah ‎ﷻ jua yang telah memberi minum kepada kami.” Wanita tersebut terlambat sedikit sampai ke rumahnya, mereka lalu bertanya, “Wahai fulanah, apa yang membuat kamu terlambat?” Wanita tersebut menjawab, “Ada perkara ajaib telah berlaku! Aku bertemu dengan dua orang laki-laki yang kemudian mereka membawaku bertemu dengan seorang yang disebut Shabi’i itu, lalu laki-laki itu berbuat begini, begini. Demi Allah ‎ﷻ, sesungguhnya dia adalah tukang sihir yang paling pandai di antara ini dan ini.” Wanita tersebut berkata sambil memberi isyarat dengan mengangkat jari tengah dan telunjuknya ke arah langit, apa yang dimaksudkannya adalah antara langit dan bumi. Atau sememangnya dia adalah Utusan Allah ‎ﷻ. Selepas peristiwa tersebut, kaum Muslimin menyerang kawasan orang-orang musyrikin di sekitar kelompok perempuan tadi tetapi musyrikin dari kelompok wanita itu tidak diganggu. Pada suatu hari wanita itu berkata kepada kaumnya, “Aku fikir orang-orang Islam ini memang sengaja membiarkan kalian. Oleh itu mahukah kalian masuk Islam?” Maka kaumnya mendengar cakapnya dan mereka masuk ke dalam Islam.” Abu ‘Abdullah berkata, “Yang dimaksudkan dengan Shabi’i adalah keluar dari suatu agama kepada agama lain.” Sedangkan Abu’ ‘Aliyah berkata, “Ash-Shabi’un adalah kelompok daripada Ahlul Kitab yang membaca Kitab Zabur.” Perkataan asbuq dalam Surah Yusuf itu bererti: aku akan cenderung.
(Sahih Bukhari no. 331)

Syarah:
Hadis ini panjang, tetapi sila lihat kepada lelaki yang junub tidak salat asalnya bersama para sahabat pada waktu itu. Nabi suruh beliau tayammum sahaja dan salat. Kemudian, bila air sudah ada dan baginda suruh beliau mandi, tidaklah baginda suruh sahabat itu ulang kembali salatnya.

13. Membeli air untuk wudhu’ dan tidak tayammum

Kalau berkemampuan untuk membeli air, maka bolehlah membeli air untuk mengangkat wudhu’. Walaupun air itu menjadi agak mahal dari kebiasaan. Asalkan tidak memudaratkan (air berharga terlalu mahal atau kehabisan duit semata-mata hanya untuk membeli air sahaja).

✍🏻Syaikh Albani رحم الله mengatakan: “Termasuk kebiasaan manusia mengeluarkan wang untuk kepentingan duniawi. Maka mengeluarkan harta untuk masalah ini lebih utama lagi”.

14. Adakah batasan jarak tertentu untuk mencari air sebelum tayammum?

Kita telah belajar bahawa perlu dicari dulu air sebelum menggunakan tayammum tetapi berapa jauhkah yang perlu dicari? Tidak ada penetapan dalam hal ini. Walaupun memang banyak pendapat tentang perkara ini.

Syaikh Albani رحم الله berpendapat, ia bergantung kepada masa. Kalau hendak dicari air itu lama sangat sehingga terluput waktu salat, maka tidak perlu dicari jauh-jauh.

15. Jika air hanya cukup untuk bersuci

Bagaimana kalau terdapat air, tetapi hanya cukup untuk mencuci najis sahaja?

Maka, kita gunakan air itu secukupnya untuk mencuci najis dan selebihnya kita tayammum sahaja. Kita hanya disuruh melakukan kewajipan berdasarkan kemampuan kita sahaja.

✍🏻Ini berdasarkan ayat umum tentang perkara ini dalam [ Taghabun: 16 ]

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا استَطَعتُم
Maka bertaqwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu

✍🏻Dan juga hadith Nabi ﷺ:

فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَىْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Jika aku memerintahkan sesuatu, maka kerjakanlah semampu kamu.
[ Sahih Muslim ]

16. Salat tanpa wudhu’ mahupun tayammum

Ini adalah satu situasi yang saya harap kita tidak perlu hadapi iaitu tidak ada langsung air dan juga tidak ada tanah atau mukabumi. Keadaan ini boleh terjadi kalau kita dipenjarakan dan mungkin diikat tidak boleh untuk ke mana-mana.

Lalu bagaimana dengan salat kita? Adakah ini lesen untuk kita tidak salat? Tentu tidak. Pergantungan dan talian hayat kita adalah dengan Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaan. Tambahan pula kalau kita dalam keadaan tersepit, lagilah kita harus bermunajat kepada Allah ‎ﷻ dan cara terbaik adalah dengan salat.

Maka jangan jadikan tidak ada bahan pengangkat hadas sebagai alasan tidak salat. Dalam keadaan begini tetap juga kita salat, walaupun tidak dapat wudhu’ atau tayammum sekali pun.

✍🏻Dalil bagi pendapat ini:

324 – حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ بْنُ يَحْيَى قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نُمَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلَادَةً فَهَلَكَتْ فَبَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا فَوَجَدَهَا فَأَدْرَكَتْهُمْ الصَّلَاةُ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَصَلَّوْا فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ فَقَالَ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ لِعَائِشَةَ جَزَاكِ اللَّهُ خَيْرًا فَوَاللَّهِ مَا نَزَلَ بِكِ أَمْرٌ تَكْرَهِينَهُ إِلَّا جَعَلَ اللَّهُ ذَلِكِ لَكِ وَلِلْمُسْلِمِينَ فِيهِ خَيْرًا

324. Telah menceritakan kepada kami Zakaria bin Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Numair berkata, telah menceritakan kepada kami Hisyam bin ‘Urwah daripada bapanya daripada ‘Aisyah رضي الله عنها bahawa dia meminjam kalung kepada Asma’ lalu hilang. Maka Rasulullah ﷺ mengutus seseorang untuk mencarinya hingga kalung itu pun ditemukan. Lalu datanglah waktu salat sementara mereka tidak memiliki air, namun mereka tetap bersembahyang. Setelah itu mereka mengadukan peristiwa itu kepada Rasulullah ﷺ, hingga turunlah ayat tayamum. Usaid bin Al Hudlair lalu berkata kepada ‘Aisyah رضي الله عنها, “Semoga Allah ‎ﷻ membalasmu dengan segala kebaikan. Sungguh demi Allah ‎ﷻ, tidaklah terjadi suatu peristiwa menimpa anda yang anda tidak sukai kecuali Allah ‎ﷻ menjadikannya untuk anda dan Kaum Muslimin sebagai kebaikan.”
[ Sahih Bukhari no. 324 ]

Syarah:
Waktu itu tidak jelas lagi tentang cara menggunakan tayammum. Maka Nabi ﷺ dan para sahabat tetap juga salat walaupun tidak ada air.

17. Bolehkah seseorang bertayammum jika dia mampu menggunakan air tetapi khuatir akan keluar waktu apabila menggunakannya?

Kalau seseorang itu ada kemampuan untuk mendapatkan air, tetapi kalau ia khuatir tidak sempat untuk mencari air kerana risaukan habis waktu, maka dia boleh salat dalam waktu menggunakan tayammum.

✍🏻Imam Bukhari رضي الله عنه membawakan hujah dalam kitab Sahih Bukhari perbuatan Ibn Umar.

وَأَقْبَلَ ابْنُ عُمَرَ مِنْ أَرْضِهِ بِالْجُرُفِ فَحَضَرَتْ الْعَصْرُ بِمَرْبَدِ النَّعَمِ فَصَلَّى ثُمَّ دَخَلَ الْمَدِينَةَ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ فَلَمْ يُعِدْ

Ibn Umar رضي الله عنه datang daripada tanahnya di Juruf, waktu Asar masuk ketika beliau berada di Marbadil Naam dan beliau terus salat (yakni dengan bertayammum) kemudian baru memasuki Madinah. Matahari masa itu masih lagi tinggi. (yakni waktu Asar masih lagi luas) tetapi beliau tidak mengulangi salatnya.

Syarah:
Waktu itu Ibn Umar رضي الله عنه dalam sekitar satu batu dari Madinah tetapi beliau merasakan yang beliau tidak sempat untuk sampai ke Madinah. Ini kerana beliau mempunyai urusan di tempat lain. Maka beliau telah salat dengan tayammum.

Namun, apabila beliau tiba di Madinah, masih ada lagi waktu itu. Beliau tetap tidak mengulangi salatnya kerana salatnya di tempat sebelum itu sah.

18. Makruhkah orang yang tidak mendapatkan air menyetubuhi isterinya?

Mungkin timbul satu isu. Bagaimana kalau keadaan tidak ada air sedangkan kita dengan isteri kita?

Adakah salah kalau kita berjimak dengan isteri kita sedangkan kita tahu air tidak ada untuk mandi junub nanti?

Tidak salah untuk melakukan perkara ini. Perkara yang halal tidak menjadi makruh hanya kerana tidak ada air.

✍🏻Dalilnya:

فَقَالَ أَبُو ذَرٍّ فَكُنْتُ أَعْزُبُ عَنِ الْمَاءِ وَمَعِي أَهْلِي فَتُصِيبُنِي الْجَنَابَةُ فَأُصَلِّي بِغَيْرِ طُهُورٍ فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِنِصْفِ النَّهَارِ وَهُوَ فِي رَهْطٍ مِنْ أَصْحَابِهِ وَهُوَ فِي ظِلِّ الْمَسْجِدِ فَقَالَ ‏”‏ أَبُو ذَرٍّ ‏”‏ ‏.‏ فَقُلْتُ نَعَمْ هَلَكْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ وَمَا أَهْلَكَكَ ‏”‏ ‏.‏ قُلْتُ إِنِّي كُنْتُ أَعْزُبُ عَنِ الْمَاءِ وَمَعِي أَهْلِي فَتُصِيبُنِي الْجَنَابَةُ فَأُصَلِّي بِغَيْرِ طُهُورٍ فَأَمَرَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بِمَاءٍ فَجَاءَتْ بِهِ جَارِيَةٌ سَوْدَاءُ بِعُسٍّ يَتَخَضْخَضُ مَا هُوَ بِمَلآنَ فَتَسَتَّرْتُ إِلَى بَعِيرِي فَاغْتَسَلْتُ ثُمَّ جِئْتُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏”‏ يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّ الصَّعِيدَ الطَّيِّبَ طَهُورٌ وَإِنْ لَمْ تَجِدِ الْمَاءَ إِلَى عَشْرِ سِنِينَ فَإِذَا وَجَدْتَ الْمَاءَ فَأَمِسَّهُ جِلْدَكَ ‏”‏

Abu Dzarr berkata: “Satu ketika, aku jauh dari air, sementara isteriku ikut bersamaku. Lalu aku terkena junub dan kemudian mengerjakan salat tanpa bersuci. Setelah itu aku mendatangi Rasulullah ﷺ pada tengah hari. Baginda sedang bersama beberapa orang sahabat di bawah atap masjid. Rasulullah ﷺ bertanya: “Wahai Abu Dzarr”. Aku menjawab: “Ya. Sesungguhnya aku telah binasa wahai Rasulullah ﷺ!” Baginda bertanya: “Apakah yang membuatmu binasa?” Aku menjawab: “Aku tadi berada jauh dari air, sementara isteriku ikut bersamaku. Lalu aku terkena junub, dan kemudian aku mengerjakan salat tanpa bersuci.” Maka Rasulullah ﷺ memerintahkan seseorang agar mengambilkan air untukku, kemudian seorang budak wanita hitam datang dengan membawa seember air yang besar. Dia membawanya dalam keadaan bergoyang kerana penuhnya air dalam ember tersebut. Lalu, aku bersembunyi di balik untaku dan mandi. Setelah itu, aku datang kembali dan Rasulullah ﷺ bersabda: “Hai Abu Dzarr, sesungguhnya tanah yang baik adalah alat bersuci walaupun kamu tidak mendapatkan air selama sepuluh tahun. Jika kamu mendapatkan air, maka basuhlah kulitmu dengannya.”
[ Sunan Abu Dawud no. 333 disahihkan oleh Albani ]

Syarah:
Dalam kisah ini, Rasulullah ﷺ tidak memarahi Abu Dzarr menjimak isterinya walaupun tiada air. Ini adalah kerana perkara yang halal tidak boleh dilarang kecuali terdapat dalil larangan yang khusus.

Allahu a’lam.

Presuposisi 3: The Response You Get is the Meaning of Your Communication. Effective Communication Lies In Its Response.

0

Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq.

Presuposisi Yang Ketiga:

3. The response you get is the meaning of your communication. Effective communication lies in its response.

Respon yang anda dapat adalah maksud kepada komunikasi anda. Komunikasi yang efektif adalah melalui maklumbalas daripada orang yang kita bercakap.”

Bila kita bercakap dengan seseorang, kita tidak tahu sama ada dia dengar ataupun tidak, dia faham ataupun tidak, dia bersetuju ataupun tidak dengan apa yang kita sampaikan, bukan? Ini kerana kita tidak boleh membaca isi hati manusia. Tetapi kita cuma boleh mendengar apakah maklumbalas daripada dia sahaja. Kita boleh lihat reaksi orang itu terhadap apa yang kita sudah sampaikan.

Jadi, komunikasi yang baik bukannya satu hala sahaja. Bukannya kita hanya bercakap sahaja kepada pendengar, tetapi kita juga kenalah mendengar dan melihat maklumbalas daripada pendengar. Kita gunakan semua deria kita untuk menerima maklumbalas daripada pendengar itu.

Tentu kita pernah cakapkan sesuatu kepada seseorang. Kemudian kita dengar dia sampaikan kepada orang lain pula, tetapi lain daripada apa yang kita beritahu. Perkara ini biasa terjadi, bukan?

Jadi, ini mengajar kita yang kita bertanggungjawab untuk memastikan orang yang kita cakap itu faham apa yang kita hendak sampaikan. Ini kerana kita takut kalau dia salah faham, maka ada banyak kesan yang boleh terjadi dan berkemungkinan besar kesan itu adalah buruk.

Tetapi bagaimana untuk tahu yang orang itu faham apa yang kita sampaikan? Di sinilah yang kita kena lihat maklumbalas daripadanya. Kita boleh tahu melalui kata-kata balasan daripadanya, daripada memek mukanya, serta dari “body languange” (bahasa tubuh) dia.

Kerana itulah di dalam kelas saya, saya akan lihat apakah reaksi wajah para pelajar. Kalau memek muka mereka nampak “blur” atau pelik, saya akan ulang semula menggunakan kata-kata yang lain, contoh yang lain atau ulang dengan perlahan-lahan.

Oleh sebab itulah kita harus belajar cara efektif untuk berkomunikasi. Kita haruslah melihat orang itu menggunakan bahasa apa, tahap intelektualitinya, latarbelakangnya dan sebagainya. Ini kerana kalau tahap pendidikannya adalah rendah, dia mungkin tidak akan faham jika kita menggunakan bahasa yang tinggi, bukan?

Jadi, ‘cara’ kita bercakap juga penting selain daripada ‘apa’ yang kita cakap. Kalau nampak dia seperti tidak faham apa yang kita sampaikan, maka kita kena ubah cara kita bercakap.

Mungkin kita beranggapan kalau kita sudah beritahu dan sampaikan, maka tanggungjawab kita sudah selesai. Ini adalah fahaman orang biasa sahaja. Tetapi dalam ilmu NLP ini, kita yang berkomunikasi diajar yang kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan orang itu faham.

Ini kerana kefahaman orang lawan bercakap itu penting juga kepada kita. Bayangkan kalau kita seorang jurujual. Kalau “potential customer” (bakal pelanggan) kita tidak faham apa yang kita sampaikan, tentu kita juga yang rugi, bukan?

Kalau kita beritahu sesuatu arahan kepada anak kita dan dia tidak faham dan tidak jalankan apa yang kita suruh, tentu ada kesan kepada kita juga, bukan?

Begitu juga kalau kita memberikan arahan kepada pekerja bawahan, atau kepada rakan sekerja yang sama-sama bekerja di dalam satu projek. Kalau arahan yang kita berikan tidak difahami, tentu yang menjadi mangsa adalah projek itu juga. Siapa yang rugi? Bukan dia sahaja yang rugi tetapi kita juga.

Kadangkala kita merasakan kalau kita sudah menggunakan kata-kata dan bahasa yang senang difahami, sepatutnya orang lain boleh menerimanya. Tetapi tahukah anda yang “verbal communication” (komunikasi secara lisan) hanya 7% sahaja daripada komunikasi? 93% lagi dipanggil sebagai “non-verbal communication” (komunikasi bukan lisan). Iaitu daripada intonasi suara kita, gerak badan kita, dan memek muka kita.

Non-verbal communication lagi banyak dirasai oleh orang lain. Dia boleh melihat bagaimana gerak badan, memek muka kita semasa bercakap. Sebagai contoh, katakan anda beritahu kepada seseorang: “Apa yang aku boleh tolong?” Kemudian orang itu berkata: “Tidak mengapa, saya tidak memerlukan pertolongan anda.” Kenapa agaknya?

Berkemungkinan besar dia telah dapat mengesan yang ‘bahasa badan’ anda bukannya ikhlas hendak menolong. Mulut anda sahaja yang kata hendak menolong tetapi daripada gerak badan dan memek muka anda, dia boleh mengesan yang anda bukannya ikhlas pun. Seperti kata pepatah: “Ajak-ajak ayam sahaja”.

Jadi anak yang tidak mengikuti arahan ibubapanya mungkin bukan sengaja mereka tidak taat. Tetapi kerana arahan yang diberikan tidak jelas dan tidak sampai kepada mereka.

Begitu juga dengan pekerja yang tidak mematuhi arahan orang atasan. Juga kerana cara komunikasi yang tidak berkesan. Mereka mungkin tidak faham dengan arahan dan mereka bekerja mengikut cara mereka sahaja.

Guru yang mengajar pun begitu juga. Bukan anak murid yang tidak pandai, tetapi guru itu yang tidak pandai mengajar. Pengajarannya mungkin satu hala sahaja. Dia hanya bercakap sahaja tanpa memeriksa sama ada anak muridnya faham ataupun tidak. Pelajar itu mungkin seorang yang “visual” (belajar melalui gambar) tetapi pengajaran guru itu hanya bercakap sahaja dari mula sehingga habis. Ini kita akan belajar tekniknya nanti.

Cara bercakap ini memang disentuh di dalam Qur’an kerana komunikasi merupakan perkara yang penting. Iblis dan syaitan akan sentiasa mencari peluang untuk membakar bibit-bibit permusuhan di kalangan manusia. Kerana itulah kalau silap cara berkomunikasi, boleh tercetusnya permusuhan. Syaitan akan membisikkan perkara yang boleh membuahkan kebencian. Contoh bisikan syaitan: “Takkan kau nak biarkan dia cakap macam tu kat kau?”

Kerana itulah juga Allah ‎ﷻ menasihati kita dalam Qur’an untuk berhati-hati dalam percakapan. Sebagai contoh, dalam Nisa’: 5

وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا

dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Kalimah قَولًا bermaksud ‘kata-kata’ yang boleh juga bermaksud ‘komunikasi’. Saya senaraikan beberapa nasihat Allah ﷻ tentang perkara ini.

Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa’: 5 di atas. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

Ayat ini tentang harta anak yatim. Walaupun harta mereka tidak diberikan lagi kepada mereka, tetapi bila bercakap dengan mereka, beritahu dengan kata-kata yang baik. Biar mereka faham yang mereka tidak layak lagi untuk memegang harta mereka itu kerana mereka belum mengetahui cara untuk menjaganya lagi.

Ada lagi ayat-ayat Qur’an tentang komunikasi ini. Antaranya:

Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam Nisa’: 9 bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Ucapkanlah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam Nisa’: 63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia sehingga nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas kepada jiwa.

Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’: 23. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’:23 adalah tentang berkomunikasi dengan ibubapa.

Kalau mereka salah, memang boleh ditegur tetapi kenalah menggunakan kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua hendaklah bersesuaian dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain dengan adab.

Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’: 28. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tetapi tidak mampu untuk membantu pada waktu itu.

Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan tidak berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan makin terseksa.

Qawlan Layyinan: seperti yang disebutkan di dalam Taha: 44. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutamanya kepada mereka yang telah melakukan kesalahan.

Akan tetapi kita kenalah cuba kerana ayat Taha: 44 ini adalah arahan dari Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عليه السلام untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.

Yang penting, kena ada rasa tanggungjawab dalam berkomunikasi. Kena ada keinginan untuk menyampaikan maklumat yang senang difahami oleh pendengar.

🔖📌

SOALJAWAB

Apakah contoh nilai-nilai murni daripada para Anbiya‘ untuk menegur anak yang membuat perkara salah? Atau cara agar anak membuat amal soleh.

Sebab ada sesetengah para asatizah serta pakar motivasi berkata, ibubapa wajib memastikan anak-anak membuat amal soleh seperti salat. Jika susah untuk bangun Subuh, maka anggap seperti kita hendak menyelamatkan mereka daripada rumah yang sedang terbakar. Jirus air atau tarik hingga anak-anak segera bangun.

Bukankah ini saranan yang pelik?

Bermacam-macam cara digunakan oleh golongan salaf. Yang penting supaya sampai kepada yang hendak disampaikan itu. Itulah Qawlan Baleeghan.

Tiada satu cara untuk semua, kerana lain orang lain cara penerimaannya. Itu disebut “response” (tindakbalas) daripada komunikasi yang kita kena lihat. Jika dia masih tidak terima, kita boleh lihat daripada response dia dan kita gunakan cara yang lain.

Cara itu banyak sangat. Sebagai contoh, Nabi ﷺ pernah ditanya oleh sahabat yang masih hendak berzina. Nabi ﷺ bertanya: Engkau ada adik, ada emak, ada anak, ada isteri? Sahabat itu jawab, ya. Nabi ﷺ tanya balik: Kau sanggup kalau mereka itu berzina?

Barulah sahabat itu dapat “relate” (kaitkan). Kalau dia berzina dengan sesiapa pun, wanita itu adalah emak seseorang, anak seseorang, adik seseorang yang tentu mereka pun tidak sanggup kalau emak, adik atau anak mereka berzina.

Jadi pembacaan kenalah banyak supaya kita ada banyak pilihan bagaimana hendak sampaikan maklumat dan nasihat kepada anak mungkin ada anak yang kena cara keras, mungkin ada yang kena cara lembut.

Tetapi kena ada “contact” (hubungan). Iaitu sambil nasihat sentuh sedikit badannya, sama ada tangannya atau bahunya untuk menunjukkan kita sayang padanya.

Mungkin jika ada teknik-teknik lain, akan disampaikan.

Untuk bab salat telah ada caranya:

Umur 7 tahun bagi nasihat. Kita mengajak mereka salat dan kita salat dengan mereka, ini peringkat hendak membiasakan mereka. Mungkin dia masih liat lagi, dan ada lari-lari dari salat . “Understandable” (boleh difahami) kerana ini peringkat latihan.

Bila sudah 10 tahun, gunakan cara keras, boleh rotan jika tidak salat kerana sepatutnya dari sekarang mereka sudah biasa selama tiga tahun dididik salat. Maka patutlah kalau dirotan. Tetapi salah jika umur 10 tahun terus rotan tanpa ada didikan dari umur 7 tahun itu.

 

Di dalam Al-Qur’an ada terdapat kisah Nabi Ibrahim عليه السلام tabligh kepada bapanya. Nampak seperti bercakap sahaja.

Dalam Al-Qur’an ada Nabi Nuh عليه السلام yang anaknya kufur. Bagaimana baginda tabligh anaknya ketika masih di dalam jagaannya? Begitu juga Nabi Lut عليه السلام yang isterinya kufur juga.

Apa yang ingin saya kaitkan, sampai tahap manakah kita sebagai orang yang dipertanggungjawabkan ini harus menyampaikan tabligh?

Dalam Al-Qur’an ada disebut Nabi Ibrahim عليه السلام bercakap-cakap sahaja. Tetapi tentunya baginda menjaga akhlak yang baik dengan ayahnya.

Tidak disebut bagaimana Nabi Nuh عليه السلام mengajar anaknya dan bagaimana baginda mengajar isterinya.

Tabligh itu wajib dalam usaha kita setakat yang kita mampu. Kita dipertanggungjawabkan atas kemampuan kita. Anak-anak kita tentulah kita boleh tabligh sebab mereka adalah anak kita. Begitu juga dengan keluarga kita. Tetapi tidaklah kita dipertanggungjawabkan tabligh kepada Sultan kerana di luar kemampuan kita. Tetapi ada orang yang ada kemampuan tabligh kepada Sultan, maka jatuh wajib ke atas mereka.

Kita dipertanggungjawabkan ke atas “Circle of Influence” (Bulatan Pengaruh) kita. Ikut kemampuan kita.

Apakah perlu dilakukan jika kita menghalang anak-anak berkawan dengan anak jiran yang agak meragukan tingkah lakunya, perlukah berprasangka sedemikian?
Anak-anak jiran nampak baik, rajin tolong jiran lain tetapi oleh sebab bapanya menjual air ketum maka anak-anak dilarang bergaul.

Jawapan dari Ustaz Azlizan Nueq:

Kanak-kanak memang suka berkawan. Maka boleh benarkan berkawan dengan jiran.

Jika kanak-kanak itu membawa sikap buruk, maka boleh jauhkan daripada anak-anak kita.

Baik atau tidak, itu kenalah dinilaikan sendiri. Sebab ia adalah subjektif.

Jawapan dari Dr Tengku Asmadi

Anak-anak jiran nampak baik, rajin menolong jiran lain cuma disebabkan bapanya menjual air ketum maka anak-anak dilarang bergaul.

Jika bapa menjual air ketum, bukan bermakna anak-anaknya mabuk ketum. Jika anak-anaknya baik, tidak menjadi kesalahan untuk berkawan.


Saya hanya biasa dengan istilah “Social Engineering” sahaja. Namun adakah ia sebahagian daripada NLP juga? Dan adakah urusan perniagaaan boleh menggunakan kaedah NLP juga?

NLP untuk semua urusan sebenarnya


Bagaimanakah caranya untuk mengubah sikap malas dan suka bertangguh?

Bukan sikap malas sebenarnya. Kemalasan wujud kerana tiada matlamat yang membakar jiwa umpama gelap yang hadir disebabkan tiada cahaya.

Dalam NLP, gunakan Kuasa VAK untuk tingkatkan kemahuan mencapai matlamat. Senaraikan “BIG WHY” kita.


Apakah maksud Kuasa VAK?

V untuk Visual (gambar, video)
A untuk Auditori (bunyi, suara)
K untuk Kinestatik (sentuhan, rasa)


Adakah maksudnya dengan menggunakan semua pancaindera?

Betul. Pancaindera luaran dan dalaman. “Mental Representation” (Perwakilan Mental)

Jawapan dari Ustaz Azlizan Nueq.

Apakah maksud “BIG WHY” itu?

Kita ada sebab untuk melakukan sesuatu: hendak seribu daya dan tidak hendak seribu dalih.

Contoh, kalau ada yang hendak sangat pergi Umrah kerana dia inginkan pahala banyak (inilah WHY tu), dia akan mencari duit dan jalan untuk pergi umrah.

Jadi dalam NLP dan banyak motivasi lain, kita cari ‘sebab’ dia, jika sebab itu besar, cara dan semangat untuk mendapatkannya akan datang.

Contoh, dengan anak. Kita hendak menyuruhnya belajar. Tanya dia: “Kenapa Husna nak belajar?”

“Sebab nak lulus exam”.

“Kenapa nak lulus exam?”

“Sebab nak dapat keputusan SPM cemerlang”.

“Kenapa nak SPM cemerlang?”

“Nak jadi doktor”.

“Kenapa nak jadi doktor?”

“Sebab kalau mak sakit, Husna boleh ubat mak”.

Jadi, WHY di sini adalah kerana ingin menjadi doktor dan kerana dia sayangkan emaknya dan dia ingin mengubati emaknya sendiri.


Adakah hendak pergi umrah tetapi masih lagi tidak menyimpan duit, jadi tidak boleh dijadikan sebagai WHY? Seolah-olah tidak nampak berusaha ke arah itu?

Bila tiada usaha maksudnya WHY itu tidak cukup besar.

Sebenarnya, kita bukan boleh motivasi orang pun, sebab manusia sudah tersedia bermotivasi.

Cuma motivasi mereka mungkin di tempat lain.

Mat rempit sangat bermotivasi untuk merempit, sampai sanggup menyabung nyawa.
Penagih dadah juga sangat bermotivasi untuk menagih sampai sentiasa sahaja mencari peluang untuk mendapatkan dadah sehinggakan sanggup untuk mencuri, memukul opah sendiri dan lain-lain.

Maka, yang kita lakukan adalah memperbetulkan balik kepala dia supaya mengubah motivasi daripada perkara yang buruk kepada perkara yang baik.

Maka, di dalam sesi, kita akan tanya dia: kenapa, kenapa, kenapa buat begitu?
Begitu juga dengan kita, kita tanya balik kenapakah aku buat begini? Kenapa aku pilih begini?

Akhirnya akan sampai kepada satu keputusan apakah yang penting dalam hidup kita.

Bila sudah dapat, maka kita boleh salurkan usaha kita ke arah perkara yang lebih penting itu.

SnJ Fiqh Sunnah: Anggota Sujud

0

🔴 Apakah dalil Mazhab Maliki bahawa anggota sujud yang wajib hanya dahi?


Dalam “Syarh Sunan Ibnu Majah” dinyatakan:

وَجَوَاز السُّجُود بالجبهة وَحدهَا مِمَّا اتّفق عَلَيْهِ الْجُمْهُور الا عِنْد مَالك وَالْأَوْزَاعِيّ وَالثَّوْري وَأما وضع الْيَدَيْنِ والركبتين فَهُوَ سنة عِنْد الْحَنَفِيَّة وَالشَّافِعِيّ لتحَقّق السُّجُود بِدُونِهِ وَمَا جَاءَ فِي بعض الرِّوَايَة بِلَفْظ أمرت ان اسجد الخ فَالْمُرَاد بِالْأَمر الْمَعْنى الشَّامِل للْوُجُوب وَالنَّدْب وَهُوَ طلب الْفِعْل

“Bolehnya sujud dengan dahi sahaja, daripada pendapat yang telah disepakati oleh jumhur (majoriti ulama’), kecuali di sisi Imam Malik, Al-Auza’i, dan Ats-Tsauri. Adapun meletakkan dua tangan dan dua lutut, maka hukumnya sunnah menurut para ulama’ Hanafiyyah dan Imam Asy-Syafi’i kerana telah teralisasinya sujud tanpanya. Adapun apa yang yang datang daripada sebahagian riwayat dengan kalimat “Aku diperintah untuk sujud di atas tujuh anggota…-sampai akhir-…”yang dimaksud perintah di sini adalah makna yang meliputi perintah yang bersifat wajib dan anjuran, dan ia adalah tuntutan untuk melakukan suatu perbuatan.”
[Syarh Sunan Ibnu Majah: 63 ]

Al-Imam Ash-Shan’ani رحمه الله‎ berkata:

ذهب أبو حنيفة و أحد قولي الشافعي و أكثر الفقهاء إلى أن الواجب الجبهة فقط

“Al-Imam Abu Hanifah, dan salah satu pendapat Asy-Syafi’iy dan majoriti ahli fiqh berpendapat, sesungguhnya yang wajib (dalam sujud) hanyalah dahi dan kening sahaja.”
[Subulus Salam: 1/254]

◾️ Dalil umum:

( أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ عَلَى الْجَبْهَةِ وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ ) رواه البخاري(812) ومسلم(490)

“Aku diperintahkan untuk bersujud pada tujuh tulang: dahi, lalu beliau menunjuk dengan tangannya pada hidungnya, kedua tangan, kedua lutut dan jari-jemari kedua kaki”
[Bukhari no. 812 dan Muslim no. 490]

Jumhur yang wajib cuma dahi, kecuali mazhab Hambali.

Kesimpulan:

1. Sujud dengan tujuh anggota, iaitu dahi (termasuk di dalamnya hidung), dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung telapak kaki, adalah merupakan kaifiyat (cara) sujud yang paling sempurna.

2. Sujud dengan dahi dan kening hukumnya wajib. Adapun selainnya, maka hukumnya mustahab (anjuran). Oleh kerana itu, contoh:
Jika seorang sedang sujud kakinya terangkat, maka salatnya sah, kerana dia hanya meninggalkan perkara yang hukumnya mustahab.

@bicarathtl
#SnJfiqhassunnah

SnJ: Mandi & Tayammum

0

1. Bolehkah jika mandi junub tidak mengikut tertib dan teratur?

🔵 Kalau hendak mendapat pahala sunnah, kena teraturlah.

2. Adakah perlu menghadap ke kiblat ketika mandi junub?

🔵 Tidak.

3. Adakah boleh seorang perempuan dalam keadaan haidh pergi menziarahi kuburan?

🔵 Boleh.

4. Bolehkah bertayamum menggunakan debu yang di jual di kedai walaupun kita tidak tahu debu itu diperbuat daripada bahan apa?

🔵 Boleh.

5. Manakah yang patut digunakan ketika bertayamum? Adakah menggunakan debu-debu di dinding atau debu tanah?

🔵 Debu tanah. Boleh diletak di dalam bekas.

6. Adakah hadith yang ada seorang ahli tentera bermimpi basah ketika beliau luka parah itu adalah hadith asalusul tayammun?

🔵 Bukan. Hadith itu tidak sebut tayammum pun.

7. Bolehkah menggunakan kaedah bertayammum sekiranya air sedang dicatu? Adakah terdapat syarat-syarat baru boleh menggunakan kaedah bertayammum?

🔵 Syarat hendak bertayammum kerana tidak ada air. Maka kena mencari air dahulu. Sama ada kena berjalan mencari sumber air ataupun membeli di kedai.

Keadaan di Malaysia ini, susah hendak dikatakan tidak ada air. Masih boleh dicari di kawasan sebelah.

8. Bolehkah bertayammum jika menghidapi penyakit kulit yang kronik seperti eczema?

🔵 Kalau memang tidak boleh terkena air maka boleh bertayammum.

9. Apakah hukum bertayammum menggunakan debu bedak?

🔵 Bedak bukannya tanah. Nanti kita akan belajar, kena memakai tanah juga.

10. Adakah perlu menepuk tanah kembali untuk menyapu debu pada tangan setelah menyapu debu pada muka, sebagaimana yang diajarkan di sekolah?

🔵 Tidak perlu, memang perkara tersebut diajarkan di sekolah tetapi yang sebenarnya adalah menepuk tanah sekali sahaja dan digunakan untuk muka serta tangan sekali.

Pendapat perlunya tepuk sekali lagi untuk menyapu tangan itu tidak tepat. Juga pendapat tanah menjadi musta’mal kerana ditepuk sekali lagi juga tiada di dalam syarak.

11. Bagaimanakah caranya jika mempunyai janggut?

🔵 Debu tanah tidaklah sama seperti air.

Bagi yang berjanggut tidaklah diwajibkan menyampaikan debu ke kulit (di bawah janggut) kerana ia sukar dilakukan, maka memadai dengan menyapukan debu ke bahagian atas janggut sahaja.
[al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/254]

12. Adakah hadas kerana di dalam haidh boleh diangkat dengan tayammum?

🔵 Ya, sama untuk semua keadaan hadas kecil dan besar.

13. Adakah perlu menyapu tangan dahulu, kemudian muka atau sebaliknya?

🔵 Yang lebih tepat adalah menyapu muka dahulu, kemudian tangan.

14. Adakah boleh menyapu sebanyak tiga kali sebagaimana berwudhu?

🔵 Tiada bilangan tertentu tetapi cukup dengan hanya sekali sapuan sahaja. Bukan sunat untuk melakukan lebih.

15. Jika setelah mengambil tayammum kemudian hujan turun, adakah tayammumnya batal?

🔵 Ya.

16. Jika ada air tetapi hanya cukup untuk minum, adakah boleh bertayammum?

🔵 Dianggap sebagai tiada air. Maka boleh tayammum.

17. Bagaimanakah untuk bersuci jika terperangkap di dalam bangunan, tiada air dan tanah untuk bersuci? Adakah boleh menggunakan debu pada lantai dan dinding?

🔵 Bukanlah ‘debu’ yang diperlukan tetapi jika debu itu sesuatu yang berasal daripada muka bumi, maka boleh.

Oleh yang demikian, boleh tekap pada dinding dan lantai juga kerana keduanya berasal dari muka bumi.

Meskipun begitu, kita masih boleh menunaikan solat tanpa bersuci jika benar-benar darurat seperti terperangkap dalam penjara besi.

18. Adakah perlu menggantikan solat jika bersolat di dalam keadaan hadas tetapi tiada satu pun air atau tanah untuk bersuci?

🔵 Tidak perlu menggantikan solat. Tiada solat untuk menghormati waktu.

Malah ada Imam mazhab berpendapat tidak perlu solat pun, dan tidak perlu ganti.

19. Jika terperangkap di dalam keadaan trafik teruk, masa solat sudah hendak habis, adakah boleh bertayammum dengan menepuk kusyen kenderaan?

🔵 Kusyen bukan diperbuat daripada unsur bumi. Maka tidak boleh.

Di dalam situasi ini, boleh menjama’kan solat tersebut tanpa perlu menggantikannya.

20. Apakah maksud “Pokok yang belum terputus dari bumi.”?

🔵 Frasa tersebut bermaksud “tumbuhan yang masih hidup” seperti pokok dan rumput. Perabot kayu atau rumah kayu tidak boleh digunakan bertayammum.

21. Bagaimanakah cara bersuci untuk beribadah jika kita dikelilingi banjir lumpur? Tiada air dan tanah kecuali yang telah bercampur menjadi lumpur.

🔵 Lumpur bukan najis. maka boleh solat dengan lumpur. Untuk bersuci boleh menggunakan sebarang pohon atau batu.

Oleh yang demikian, kita berpendapatan tidak menghadkan tayammum hanya menggunakan tanah.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-65 hingga Ke-67

0

Tafsir Ayat Ke-65

Dalil Wahyi. Allah SWT hendak beritahu, kalau amalkan syirik, gugur segala amalan kebaikan, tidak kira siapa, termasuklah kalau Nabi Muhammad SAW sendiri pun.

وَلَقَد أوحِيَ إِلَيكَ وَإِلَى الَّذينَ مِن قَبلِكَ لَئِن أَشرَكتَ لَيَحبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكونَنَّ مِنَ الخٰسِرينَ

Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi daripada orang-orang yang rugi.

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ

Sesungguhnya kami telah mewahyukan kepada kamu (Muhammad)

Allah SWT ingatkan kepada Nabi Muhammad, juga kepada kita, umat baginda. Allah SWT beri amaran kepada semua.

وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ

dan kepada Nabi-Nabi sebelum kamu

Maknanya, sama sahaja apa yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad dan Nabi-nabi sebelumnya. Bukan Nabi Muhammad dan kita sahaja yang kena berpegang dengan tauhid ini tetapi umat-umat terdahulu pun.

Oleh kerana kita yang belajar wahyu ini, maka ayat ini pun tertuju kepada kita. Kita pun kena ambil perhatian dengan ayat ini.

لَئِنْ أَشْرَكْتَ

sekiranya kamu melakukan syirik,

Ini amarannya: kalau Nabi Muhammad SAW melakukan syirik (takkan Nabi Muhammad melakukannya); amaran ini termasuk juga kepada guru-guru, ustaz-ustaz dan kita sendiri.

Maka, kalau kita melakukan syirik, kita pun termasuk juga dalam amaran yang Allah berikan ini.

لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ

nescaya gugur semua amal ibadat-ibadat kamu

Segala solat kita, puasa, haji, sedekah dan segala amal-amal baik kita akan batal. Pahala yang kita sudah kumpul itu akan jadi kosong. Tidak kira berapa tahun kita telah beramal, sekali kita buat syirik, semuanya sekali akan dihapuskan.

Bayangkan seperti kita meniup belon yang semakin membesar dan membesar – tetapi apabila ada satu jarum sahaja dicucuk kepada belon itu, belon itu akan pecah.

Angin yang ada dalam belon itu adalah ibarat pahala-pahala daripada amalan kita dan satu jarum itu adalah satu amalan syirik yang kita buat. Dengan satu syirik sahaja akan menghilangkan segala pahala amalan kita yang telah lama kita kumpulkan.

Agaknya dah berapa banyak kesyirikan yang kita sudah buat tanpa kita ketahui? Sama ada kita tahu atau tidak, ia tetap satu perbuatan syirik dan tidak akan dimaafkan.

Jadi, amat rugi sekali segala amalan kita. Apa yang kita perlu lakukan adalah kita kena belajar apakah maksud tauhid dan apakah maksud syirik. Belajar dan terus belajar supaya kita dapat bezakan manakah amalan yang soleh dan manakah amalan yang syirik.

Segala pahala kita akan hilang dan kena kumpul balik dari mula. Tidakkah itu rugi?

وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخٰسِرِينَ

dan kamu pasti kamu akan menjadi orang yang rugi.

Rugi yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah, semua yang buat syirik akan dimasukkan dalam neraka tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Padahal, segala amal telah banyak dilakukan, tetapi semuanya tidak dikira.

Amat rugi juga kerana kita telah laburkan entah berapa banyak masa dan tenaga untuk buat amal-amal itu, tetapi kerana kita ada buat syirik, ia hilang begitu sahaja. Macam kita dapat untung perniagaan yang kita telah kumpul sekian banyak, tetapi hilang begitu sahaja. Apa perasaan kita waktu itu?

Kalau Nabi-Nabi pun Allah SWT akan masukkan ke dalam neraka kalau buat syirik, apatah lagi kita?

Oleh itu, jangan bertolak ansur dengan amalan syirik. Jangan kita terima amalan syirik yang diamalkan oleh masyarakat. Jangan ikut amalan masyarakat yang syirik.

Tafsir Ayat Ke-66

Sebaliknya apa yang kita kena amalkan?

بَلِ اللَهَ فَاعبُد وَكُن مِّنَ الشّٰكِرينَ

“(Janganlah menyembah yang lain dari Allah) bahkan (apabila beribadat) maka hendaklah engkau menyembah Allah semata-mata, dan hendaklah engkau menjadi dari orang-orang yang bersyukur”.

بَلِ اللَهَ فَاعْبُدْ

Bahkan! Allah jualah hendaknya yang kamu sembah;

Jangan sembah dan seru kepada yang selain daripada Allah. Namun, berapa banyak kesalahan yang masyarakat kita telah buat?

Jangan kita jadi seperti orang Kristian: mereka terima Nabi Isa, Injil sebagai kitab dari Tuhan, tetapi mereka puja Nabi Isa melebihi dari yang sepatutnya. Jangan kita terima Islam sebagai agama kita, Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul kita dan al-Qur’an sebagai kalam Allah, tetapi kita puja Nabi Muhammad SAW.

Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang puja Nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat. Itu semua adalah kerana mereka salah faham tentang apakah maksud sembah dan puja. Mereka ingat dengan perbuatan mereka itu mereka tidak sembah dan puja Nabi, wali dan malaikat itu tetapi sebenarnya, mereka menyembah entiti-entiti itu.

Bila kita kata kenapa kamu pergi ke kuburan itu dan cium nesan-nesan itu? Mereka kata: kami tidak sembah, sebab kami tidak sujud pun. Jawapan mereka itu adalah pemahaman sempit mereka tentang maksud ‘sembah’ dan ‘puja’.

Kalau sudah cium batu nesan, pasang lampu di kuburan yang dikatakan orang alim, letak gambar, buat amal ibadah di kawasan kuburan itu, itulah amalan pemujaan dan penyembahan.

وَكُنْ مِّنَ الشّٰكِرِينَ

dan hendaklah kamu menjadi orang yang bersyukur.

Bagaimana cara untuk bersyukur? Dengan taat kepada Allah SWT. Lafaz yang kita selalu sebut adalah: ‘Alhamdulillah’. Tetapi sebelum itu, kenalah taat kepada-Nya. Maknanya, bukan setakat kita menyebutkan zikir Alhamdulillah, Alhamdulillah sahaja berulang-ulang tetapi kita tidak taat kepada suruhan-Nya.

Kenalah perbuatan kita juga menunjukkan kita taat kepadanya. Jadi, perbuatan kita menjaga solat, menjaga puasa, berzikir, baca al-Qur’an dan sebagainya adalah dikira sebagai tanda kesyukuran juga. Walaupun waktu itu kita tidak kata ‘syukur’ kepada Allah SWTpun.

Oleh itu, bersyukurlah kepada Allah SWT dengan menyembah dan memuja-Nya sahaja kerana Dialah yang telah menjadikan kita dan selayaknya Dia sahaja yang disembah dan diseru. Kita dapat segala nikmat dari Allah SWT, bukan?

Tafsir Ayat Ke-67

Ini adalah Zajrun – ayat teguran daripada Allah.

وَما قَدَرُوا اللَهَ حَقَّ قَدرِهِ وَالأَرضُ جَميعًا قَبضَتُهُ يَومَ القِيٰمَةِ وَالسَّمٰوٰتُ مَطوِيّاتٌ بِيَمينِهِ ۚ سُبحٰنَهُ وَتَعالىٰ عَمّا يُشرِكونَ

Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman-Nya, dan langit tergulung dengan tangan kanan-Nya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan.

وَمَا قَدَرُوا اللَهَ حَقَّ قَدْرِهِ

Dan tidaklah mereka menghargai kedudukan Allah sebagaimana yang sepatutnya mereka hargai Allah.

Allah SWT menegur perbuatan golongan musyrik yang tidak menghargai Allah SWT seperti yang sepatutnya. Mereka sepatutnya menghargai Allah SWT dengan mengagungkan-agungkan-Nya.

Namun, sebaliknya mereka agungkan tok wali, guru mereka, Nabi-nabi, malaikat-malaikat dan sebagainya. Macam Kristian, mereka mengagungkan Nabi Isa, sahabat Nabi Isa a.s., malaikat dan sebagainya.

Masyarakat kita pun macam itu juga, cuma tidak buat berhala untuk selain daripada Allah SWT. Belum sampai kepada tahap itu lagi. Tetapi sebenarnya sudah pun sembah dan puja.

Sebagai contoh, ada doa orang bersilat yang kata: Jibrail di depan, Mikail di kanan… dan sebagainya. Itu adalah doa syirik. Mereka puja Allah SWT, tetapi mereka puja juga sembahan lain.

Kita sepatutnya membesarkan Allah SWT dan mengecilkan yang selain daripada-Nya. Tetapi yang sebaliknya dilakukan. Dengan Allah SWT mereka buat tidak endah, tetapi mereka sibuk dengan pemujaan kepada selain daripada Allah SWT.

Musyrikin Mekah dan mereka yang ada sifat syirik dalam diri mereka juga tidak menghargai Allah SWT dengan sepatutnya apabila mereka mengatakan yang Allah SWT memerlukan tawassul (perantara) dalam ibadah dan juga dalam doa.

Dalam masyarakat kita pun ramai yang berbuat begini. Itu semua adalah diajar oleh guru-guru yang tidak belajar isi kandung al-Qur’an. Mereka sebenarnya hendak mengambil wang daripada anak murid mereka.

Sebab mereka akan ambil upah untuk baca doa, untuk mengajar ilmu salah, untuk jadi tekong Majlis Tahlil, baca talqin, imam solat Hajat dan sebagainya. Mereka bukan orang jahat, tetapi mereka tipu juga kepada anak murid mereka.

Ingatlah bahawa tidak boleh minta upah dalam hal ibadat termasuk mengajar agama. Tanyalah kepada ustaz-ustaz yang terkenal sekarang. Tanyalah berapa banyak kadar bayaran mereka yang kena dibayar untuk mereka datang mengajar di sesuatu tempat.

Mereka itu seperti pendita Yahudi juga. Ini kita tahu melalui pembelajaran kita dari surah al-Baqarah kerana banyak diberikan persamaan antara guru agama kita sekarang dan pendita Yahudi.

وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ

dan bumi semua sekali di dalam genggaman-Nya pada hari kiamat.

Allah SWT beri dalil kenapa kita kena sembah dan puja Allah SWT sahaja kerana seluruh bumi ini dalam genggaman-Nya pada Hari Kiamat.

Ini adalah salah satu dari ayat-ayat yang dipanggil sebagai ayat ‘mutashabihah’. Iaitu ayat-ayat yang mempunyai maksud-maksud yang tersirat yang kita tidak tahu dengan tepat. Kita tidak tahu bagaimana cara Allah SWT genggam bumi ini.

Puak Jahmiah kata ayat ini dan juga ayat-ayat seperti ini, macam ayat yang mengatakan Allah SWT ‘bersemayam’ atas Arash, dan mereka kata syirik sesiapa yang kata Allah SWT ada tangan dan bersemayam di Arash.

Oleh kerana mereka tidak mahu terima teks asal al-Qur’an, maka mereka menakwil ayat-ayat mustashabihah ini. Mereka memberi makna lain kepada ayat-ayat Allah SWT. Mereka kata bukan ‘genggaman’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini, tetapi ‘kekuasaan’ dan sebagainya.

Mereka cakap macam ini kerana mereka kata tidaklah Allah SWT ada tangan. Sebab Allah SWT tidak sama dengan manusia. Jadi sebab manusia ada tangan, tidaklah Allah pun ada tangan. Itulah pendapat mereka.

Bagaimana mahu jawap?

Ayat-ayat seperti ini pada zahirnya kita faham, tetapi maksudnya tidak jelas. Ketahuilah bahawa Tuhan tidak menyerupai makhluk. Seperti mana kita berjalan, ayam lembu juga berjalan, ikan berenang, burung terbang, ular merayap. Itu pun dikira ‘berjalan’ juga. Walaupun tidak menggunakan kaki.

Berjalan binatang-binatang itu tidak sama dengan cara berjalan manusia. Ular, contohnya, berjalan dengan perut. Maka, kerana Allah SWT mengatakan tangan-Nya, maka kita terima bahawa Allah SWT ada tangan. Namun mestilah kita yakin bahawa tangan Allah SWT tidaklah seperti tangan kita.

Contoh lain: Kita juga menggunakan kiasan dalam perkataan seperti ‘rumah’ untuk menerangkan sesuatu. Contohnya ‘muka rumah’. Muka rumah macam mana? Tidak sama ‘muka rumah’ itu dengan muka kita.

Ia adalah satu perkataan yang kita faham tetapi tidak boleh cerita balik. Muka ‘muka sungai’, adalah satu lagi contoh. Mana muka dia? Tidak boleh cerita. Allah SWT tidak serupa makhluk. Ramai yang tafsir ayat diatas bermaksud dalam ‘kuasa’ Allah SWT.

Tetapi tidak begitu tepat sebenarnya. Bahasa Arab kekal mengatakan ia adalah ‘tangan’, maka kita tidak boleh suka-suka tukar kepada maksud yang lain. Tetapi bukanlah genggaman Allah SWT seperti genggaman manusia.

Maka, janganlah kita cuba takwil ayat-ayat sebegini. Tuhan sahaja yang tahu makna sebenarnya. Allah SWR sahaja yang boleh tafsir. Seperti yang telah difirmankan Allah SWT di dalam surah [ Ali Imran: 7] Dalam ayat itu, Allah SWT memberitahu bahawa orang yang condong kepada kesesatan akan ambil ayat mutashabihat ini sebagai fitnah.

[ Ali-Imran: 7 ]

هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ
Dialah Dzat yang menurunkan kepada kamu (Muhammad) satu kitab

مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ
dalamnya ada ayat-ayat yang jelas maknanya

هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ
Itulah sebenarnya induk isi kandung ummul kitab

وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ
Dan yang selainnya adalah ayat yang samar maknanya.

Ayatnya kita faham, tetapi maksudnya tidak jelas. Selain dari ayat sebegini, ada ayat yang kita langsung tidak faham. Contohnya kita tidak tahu langsung apa sebenarnya makna perkataan ‘alif lam mim‘.

Kita ambil contoh ayat ‘Allah bersemayam di atas Arash’. Kita tidak tahu Allah SWT duduk macam mana. Tetapi dalam ayat ini Allah SWT kata Dia ‘duduk’. ‘Duduk’ dengan cara Dia. Tidak sama dengan cara duduk manusia.

فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ
Adapun orang-orang yang hati mereka condong kepada sesat

فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ
Mereka mengikuti/mengutamakan apa yang samar-samar pada ayat itu.

Mereka yang ekstrem kata siapa yang kata Tuhan duduk atas Arash itu adalah kafir. Alasan mereka adalah: kita menyamakan Tuhan dengan makhluk. Padahal, kita tidak pernah kata macam itu pun.

Ketahuilah bahawa Arash itu melitupi semua sekali langit ke-7. Jadi Dia duduk macam mana, kita tidak tahu. Bukannya duduk macam kita. Allah SWT tidak menyerupai makhluk. Itu sahaja penjelasan yang diberikan oleh Allah.

ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ
Untuk mencari fitnah.

Mereka mencari-cari makna yang tersembunyi itu sebab mahu menuduh orang lain kafir.

وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ
Dan mencari maksud-maksud yang salah dari apa yang dia tafsir.

Mereka akan cuba tafsir, tapi apa yang mereka tafsirkan adalah salah. Kerana mereka akan tafsir dan takwil guna akal sendiri, dan akal manusia tidak akan sampai ke tahap untuk faham apakah maksudnya yang sebenarnya.

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا الله
Dan tidak mengetahui maksud takwil ayat itu melainkan Allah sahaja.

Allah sahaja yang tahu, kita tidak akan tahu.

وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ
Dan mereka-mereka yang mendalam ilmu ugamanya

يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ
mereka berkata: kami beriman kepada ayat itu.

Mereka terima bulat-bulat seperti apa yang telah disebut itu. Tidak takwil-takwil lagi.

كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا
Semua sekali dari sisi Tuhan kami.

وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Dan tidak mengikuti nasihat ini, melainkan orang-orang yang mempunyai otak cerdik sahaja.

Maknanya orang yang cuba hendak takwil ayat-ayat mustashabih itu adalah orang yang otak senget. Mencari perkara yang tidak payah dicari. Mereka tidak belajar pun tafsir al-Qur’an dan hadith Nabi.

Mereka yang seperti ini dipanggil golongan Jahmiah, tidak dikira sebagai ahli sunnah wal jamiah. Semua imam hadis mengatakan Tuhan duduk di atas Arash. Mereka tidak takwil-takwil lagi.

Begitu pun, kita tidaklah mengatakan mereka yang takwil ayat-ayat mutashabihat itu sebagai sesat pula, kafir dan sebagainya.

Mereka masih lagi dalam kelompok ahli sunnah wal jamaah. Cuma pada kita, mereka tidak tepat dengan menakwil ayat-ayat itu. Kita lebih selesa untuk terima sahaja apa yang Allah telah sebut tanpa takwil.

وَالسَّمٰوٰتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ

dan tujuh langit itu akan digulung dengan tangan kananNya.

Lagi satu ayat mutashabihah. Kita tidak tahu bagaimana keadaan ‘tangan’ Allah SWT. Dia cuma kata dalam ayat ini bahawa Dia akan menggulung langit dengan tangan kanan-Nya. Itu sahaja yang kita tahu. Jadi, sekarang kita tahu Allah SWT ada tangan kanan. Adakah Allah SWT ada tangan kiri pula kalau Dia ada tangan kanan?

Kita tidak perlu jawap. Tidak perlu kita hendak membayangkan bagaimana rupanya. Kita tidak disuruh memikirkan tentang Dzat Allah SWT tetapi kita disuruh memikirkan tentang sifat-sifat Allah SWT. Kita tidak akan dapat memahami tentang Dzat Allah SWT, jadi jangan buang masa. Banyak lagi perkara lain yang kita kena fikirkan dan luangkan masa.

Yang penting, kita kena ingat yang Allah SWT tidak menyerupai makhluk. Dan para sahabat pun faham bahasa kiasan begini dan kerana itu tidak ada soalan dari mereka tentang perkara ini.

Cuma tiga kurun selepas Nabi barulah dibahaskan perkara ini sedangkan orang sebelum itu tidak bahas pun kerana mereka faham Allah SWT tidak serupa makhluk. Maka bahayalah apabila bahaskan perkara yang tidak perlu dibahaskan.

سُبْحٰنَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Maha suci Allah. Maha tinggi Dia, daripada apa yang mereka sekutukan-Nya.

Maha suci Allah SWT dari apa-apa yang mereka katakan. Mereka kata Allah SWT begini, begitu, tanpa bawa dalil dari al-Qur’an dan Hadith, maka mereka sebenarnya menipu. Allah SWT suci dari sifat-sifat Allah yang mereka katakan.

Allah SWT lebih tinggi dari apa yang mereka katakan. Maka, janganlah kita memperkatakan tentang Allah SWT dari sumber yang entah dari mana.

Maka janganlah kita mengamalkan syirik dan ada fahaman syirik sama sekali.

Allahu a’lam.

Thaharah: Tayammum – Permasalahan melibatkan Tayammum

0

Kitab : Thaharah
Bab: Tayamum
Bahagian: Beberapa Permasalahan Melibatkan Tayammum

Tajuk:
🔗 Bolehkah Tayammum bagi orang yang khuatir tertinggal rombongan?
🔗 Tayammum untuk balas salam ketika bermukim atau pun safar, walaupun pada ketika itu ada air.
🔗 Tayammum bagi orang sakit.
🔗 Tayamumum orang yang musafir
🔗 Tayammum orang yang dalam junub.
🔗 Apakah benar tayammum sampai ke lengan atau sampai ke ketiak?

E. Beberapa permasalahan yang melibatkan Tayammum

Seperti biasa, ada sahaja perbincangan yang timbul dalam bab Tayammum ini. Ulama’ telah membincangkan banyak perkara dan sekarang kita bincangkan beberapa permasalahan yang selalu ditimbulkan. Semoga dengan meneliti permasalahan-permasalahan ini, kita semakin faham tentang Tayammum dan dapat mengamalkannya.

1. Bolehkah Tayammum bagi orang yang khuatir tertinggal rombongan?

Ini satu masalah yang mungkin sering terjadi. Biasalah Rombongan Kak Limah tiap-tiap cuti sekolah akan ada melawat ke sana sini naik bas. Bolehkah hendak pakai tayammum dalam keadaan begitu? Ini disebabkan kalau pergi ke tandas takut kena tinggal pula?

Begitu jugalah dalam keadaan menaiki bas express. Bolehkah tayammum sahaja? Syaikh Albani menjawab pertanyaan ini dengan mengatakan ini adalah isu relatif. Tertinggal rombongan itu bergantung kepada keadaan.

Ada yang kalau tertinggal itu boleh menyebabkan nyawa melayang kerana kena tinggal di kawasan musuh. Selain itu ada yang cuma tertinggal rombongan sahaja dan nanti rombongan akan patah balik.

Maka, ini kena nilai keadaan sendiri: adakah ia membahayakan atau tidak? Ia bergantung kepada keadaan anda. Anda sendiri yang akan menjawab di hadapan Allah ﷻ.

2. Tayammum untuk balas salam ketika bermukim atau pun safar, walaupun pada ketika itu ada air

✍🏻Isu ini adalah berdasarkan hadis ini:

325 – حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ قَالَ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ جَعْفَرِ بْنِ رَبِيعَةَ عَنْ الْأَعْرَجِ قَالَ سَمِعْتُ عُمَيْرًا مَوْلَى ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ أَقْبَلْتُ أَنَا وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَسَارٍ مَوْلَى مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى دَخَلْنَا عَلَى أَبِي جُهَيْمِ بْنِ الْحَارِثِ بْنِ الصِّمَّةِ الْأَنْصَارِيِّ فَقَالَ أَبُو الْجُهَيْمِ الْأَنْصَارِيُّ أَقْبَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَحْوِ بِئْرِ جَمَلٍ فَلَقِيَهُ رَجُلٌ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى أَقْبَلَ عَلَى الْجِدَارِ فَمَسَحَ بِوَجْهِهِ وَيَدَيْهِ ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ

325. Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair berkata, telah menceritakan kepada kami Al Laits daripada Ja’far bin Rabi’ah daripada Al A’raj ia berkata, “Aku mendengar Umair mantan budak Ibnu Abbas, dia berkata, “Aku dan Abdullah bin Yasar, mantan budak Maimunah, isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengunjungi Abu Juhaim Ibnul Harits bin Ash Shimmah Al Anshari, dia berkata, “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam kembali dari Bi`ar Jamal (nama tempat), lalu ada seorang laki-laki menemui baginda seraya memberi salam, namun baginda tidak membalasnya. Baginda kemudian pergi ke dinding dan menepuk tangan ke dinding, lalu mengusap muka dan kedua belah tangannya. Baru kemudian membalas salam kepada orang itu.”
[ Sahih Bukhari no. 325 ]

Syarah:
Waktu itu Nabi Muhammad ﷺ berada di Madinah, maka baginda sedang bermukim dan baginda dalam hadas pada waktu itu. Apabila baginda mendengar salam, baginda tidak mahu menjawab salam itu dalam hadas, maka baginda terus sahaja tayammum.

Mungkin air ada waktu itu, tetapi baginda ﷺ hendak cepat kerana takut orang yang beri salam itu akan pergi. Ini hanya sunat sahaja. Tidaklah kita perlu ada wudhu’ baru boleh jawab salam.

3. Tayammum bagi orang sakit

Walaupun ada air, tetapi orang sakit boleh menggunakan Tayammum.

✍🏻Dalilnya ayat [ Maidah: 6 ]

وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا

dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah.

Namun, persoalannya, sakit yang macam mana? Maka ini pun perlu dijawab sendiri oleh pesakit. Sama ada sakitnya itu boleh pakai air atau tidak.

Ini kerana ada sakit yang biasa sahaja, demam sikit sahaja. Bolehlah pakai air untuk wudhu’ kalau begitu, janganlah mengada-ngada tetapi ada jenis sakit yang memang bahaya pakai air. Mungkin luka tidak dapat sembuh atau air sangat sejuk sampai boleh menyebabkan dia jadi demam lagi teruk.

Selain itu mungkin, dia sakit dan air ada, tetapi tidak boleh hendak ke bilik air untuk ambil air. Maka ini pun boleh tayammum juga. Ringkasnya, kita kena nilai sendiri keadaan kita. Letaklah diri di pertengahan: jangan bermudah sangat dan jangan menyusahkan diri sangat sampai membahayakan.

4. Tayamumum orang yang musafir

Selalunya Tayammum ini diamalkan oleh orang yang dalam musafir.

✍🏻Dalil bagi orang yang musafir boleh tayammum (kalau tidak jumpa air) adalah ayat [ Nisa’: 43 ]

وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا

Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau datang dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu

Mungkin dalam perjalanan itu ada air, tetapi air itu sedikit sahaja dan diperlukan untuk minuman, maka dalam keadaan ini boleh tayammum menggantikan air untuk mengangkat hadas.

5. Tayammum orang yang dalam junub

Orang yang bertayammum juga boleh menggunakan Tayammum untuk mengangkat hadas besarnya itu.

✍🏻Dalilnya adalah ayat [ Maidah: 6 ] itu juga

وَإِن كُنتُم مَرضىٰ أَو عَلىٰ سَفَرٍ أَو جاءَ أَحَدٌ مِنكُم مِنَ الغائِطِ أَو لامَستُمُ النِّساءَ فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا

dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah

Dalam ayat ini, kalimah ‘menyentuh wanita’ itu bukan sahaja bermaksud ‘sentuh’ biasa tetapi bersentuh-sentuhan. Keadaan yang dimaksudkan adalah jimak. Maka kalau dalam junub dan tiada air, maka boleh menggunakan tayammum. Ini disokong oleh sunnah juga.

✍🏻Lihat hadith ini:

326 – حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبْ الْمَاءَ فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الْأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

326. Telah menceritakan kepada kami Adam ia berkata; telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al Hakam daripada Dzar daripada Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza daripada Bapaknya berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Umar Ibnul Khaththab dan berkata, “bagaimana kalau aku mengalami junub tapi tidak mendapatkan air?” Maka berkatalah ‘Ammar bin Yasir kepada ‘Umar bin Al Khaththab, “Masih ingatkah engkau ketika kita dalam suatu perjalanan? Ketika itu aku dan engkau sedang berjunub. Adapun engkau tidak bersolat. Sedangkan aku bergulingan di atas tanah lalu solat? Kemudian hal itu aku sampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebenarnya cukup kamu melakukan begini.” Baginda lalu menepuk telapak tangannya ke tanah dan meniupnya, lalu mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangannya di bahagian belakangnya hingga ke pergelangan.”
[ Sahih Bukhari no. 326 ]

Syarah:
Hadith ini menjadi dalil bahawa junub juga boleh diangkat dengan Tayammum. Sama sahaja caranya untuk mengangkat hadas kecil, tidak ada bezanya. Bagaimana kalau dalam haidh? Sama juga, boleh tayammum.

6. Apakah benar tayammum sampai ke lengan atau sampai ke ketiak itu sahih?

Ada juga pendapat yang mengatakan sapu tangan dalam Tayammum itu seperti juga dalam wudhu’ sampai ke siku. Ini adalah pendapat mazhab Syafie dan inilah yang diajar di sekolah-sekolah kita kerana rata-ratanya masyarakat kita berpegang dengan mazhab Syafie.

Ada juga yang berpendapat, tangan itu disapu sampai ke ketiak kerana tangan itu seluruh tangan kata mereka, iaitu sampai ke ketiak.

📍Lalu apakah pendapat yang rajih?

Dalam Kitab Sahih Bukhari, beliau bawa satu tajuk dalam Kitab Tayammum: Tayammum Untuk Muka Dan Kedua (Belakang) Tapak Tangan (Sahaja) . Tajuk ini dalam nada jazam (tegas) kerana Imam Bukhari hendak kritik pendapat yang mengatakan kena sapu sampai lengan dan ada yang kata sampai ketiak. Yang mengatakan demikian, mereka menggunakan konsep qiyas.

✍🏻Hadis yang dibawa oleh Imam Bukhari adalah hadith riwayat Ammar:

327 – حَدَّثَنَا حَجَّاجٌ قَالَ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ أَخْبَرَنِي الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ عَمَّارٌ بِهَذَا وَضَرَبَ شُعْبَةُ بِيَدَيْهِ الْأَرْضَ ثُمَّ أَدْنَاهُمَا مِنْ فِيهِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ
وَقَالَ النَّضْرُ أَخْبَرَنَا شُعْبَةُ عَنْ الْحَكَمِ قَالَ سَمِعْتُ ذَرًّا يَقُولُ عَنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى قَالَ الْحَكَمُ وَقَدْ سَمِعْتُهُ مِنْ ابْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ عَمَّارٌ

327. Telah menceritakan kepada kami Hajjaj dia berkata; telah mengkhabarkan kepada kami Syu’bah telah mengkhabarkan kepada kami Al Hakam daripada Dzarri daripada Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza dari bapanya, telah berkata ‘Ammar: buat begini. Sambil Syu’bah menepuk kedua telapak tangannya ke tanah lalu mendekatkannya kepada mulutnya (lalu meniupnya) kemudian mengusapkannya ke mukanya dan bahagian belakang kedua tangannya. Dan telah berkata An Nadlar telah mengabarkan kepada kami Syu’bah daripada Al Hakam dia berkata; saya mendengar Dzarr berkata; daripada Ibnu Abdurrahman bin Abzaa, berkata Al Hakam; dan aku telah mendengarnya daripada Ibnu Abdurrahman daripada ayahnya berkata; Ammar berkata: muka bumi yang suci adalah air sembahyang (bahan penyuci) orang Islam. Ia memadai untuknya sebagai pengganti air.
[ Sahih Bukhari no. 327 ]

Ayat al-Qur’an berkenaan dengan tayammum menggunakan kalimah ‘tangan’ tetapi tidak disebutkan had untuk menyapu dalam tayammum. Maka ada yang memegang perlu disapu sampai lengan mengikut perbuatan dalam wudhu’ dan ada juga yang pegang bahawa perlu disapu keseluruhan tangan sampai ketiak.

Tidak pula mereka kata sapu sampai bahu kalaulah betul hendak pakai makna keseluruhan tangan. Sebenarnya kita kena pakai yang selalu dipegang sebagai ‘tangan’ dalam penggunaan syarak iaitu sampai pergelangan tangan sahaja.

Contohnya, dalam mengamalkan hudud, apabila pencuri ditangkap, mereka yang dipotong tangan juga hanya sampai pergelangan juga walaupun tidak disebut had tangan untuk dipotong di dalam al-Qur’an. Ini kerana pengamalannya dilihat dan diambil dari perbuatan Rasulullah.

Kesimpulan:
Untuk tayammum, maka hanya sapu pada muka dan tangan sampai ke pergelangan tangan sahaja. Malah lebih tepat lagi, belakang tapak tangan sahaja kerana tapak tangan sendiri sudah kena muka bumi maka tidaklah perlu untuk disapu lagi.

Malah, kalau kita lihat cara ini amatlah mudah bagi para wanita. Mereka tidak perlu hendak sinsing lengan pun.

7. Adakah tayammum sekali tepuk atau dua kali tepuk pada tanah?

Adakah tepukan sekali atau dua kali? Dua kali itu maksudnya: sekali untuk muka dan sekali lagi untuk tangan. Malah ada yang berkata sehingga tiga kali.

Tepukan pada muka bumi itu sekali sahaja. Inilah pendapat Imam Bukhari رضي الله عنه sampaikan beliau memasukkan satu tajuk di dalam Kitab Tayammum di dalam Sahih Bukhari: بَاب التَّيَمُّمُ ضَرْبَةٌ (Bab Bertayammum Hanya Dengan Satu Tepukan)

✍🏻Beliau membawakan hadis ini sebagai hujah:

334 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ سَلَامٍ قَالَ أَخْبَرَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ شَقِيقٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا مَعَ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ فَقَالَ لَهُ أَبُو مُوسَى لَوْ أَنَّ رَجُلًا أَجْنَبَ فَلَمْ يَجِدْ الْمَاءَ شَهْرًا أَمَا كَانَ يَتَيَمَّمُ وَيُصَلِّي فَكَيْفَ تَصْنَعُونَ بِهَذِهِ الْآيَةِ فِي سُورَةِ الْمَائِدَةِ { فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا }
فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ لَوْ رُخِّصَ لَهُمْ فِي هَذَا لَأَوْشَكُوا إِذَا بَرَدَ عَلَيْهِمْ الْمَاءُ أَنْ يَتَيَمَّمُوا الصَّعِيدَ قُلْتُ وَإِنَّمَا كَرِهْتُمْ هَذَا لِذَا قَالَ نَعَمْ فَقَالَ أَبُو مُوسَى أَلَمْ تَسْمَعْ قَوْلَ عَمَّارٍ لِعُمَرَ بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَاجَةٍ فَأَجْنَبْتُ فَلَمْ أَجِد الْمَاءَ فَتَمَرَّغْتُ فِي الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الْأَرْضِ ثُمَّ نَفَضَهَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِe أَفَلَمْ تَرَ عُمَرَ لَمْ يَقْنَعْ بِقَوْلِ عَمَّارٍ
وَزَادَ يَعْلَى عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ شَقِيقٍ كُنْتُ مَعَ عَبْدِ اللَّهِ وَأَبِي مُوسَى فَقَالَ أَبُو مُوسَى أَلَمْ تَسْمَعْ قَوْلَ عَمَّارٍ لِعُمَرَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعَثَنِي أَنَا وَأَنْتَ فَأَجْنَبْتُ فَتَمَعَّكْتُ بِالصَّعِيدِ فَأَتَيْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَالَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا وَمَسَحَ وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ وَاحِدَةً

334. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Salam berkata; telah mengabarkan kepada kami Abu Mu’awiyah daripada Al A’masy daripada Syaqiq dia berkata; Aku pernah duduk bersama ‘Abdullah bin Mas’ud dan Abu Musa Al Asy’ari. Lalu Abu Musa berkata kepadanya, “Seandainya ada seseorang mengalami junub dan tidak mendapatkan air selama satu bulan, adakah dia tidak boleh bertayamum dan salat? Abdullah menjawab: Dia tidak boleh bertayammum walaupun tidak mendapat air selama sebulan. Abu Musa bertanya: Dan bagaimana dengan ayat di dalam Surah [ Al Maidah: 6 ] ‘(Lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih) ‘? ‘Abdullah berkata, “Kalau dipermudahkan kepada mereka dalam masalah ini, nanti bila dirasakan sejuk, mereka akan terus bertayamum menggunakan tanah.” Al A’masy bertanya, “Apakah kamu (Syaqiq) tidak suka orang bertayammum kerana ini?” Syaqiq menjawab, “Ya.” Kemudian Abu Musa berkata, “Tidakkah kamu pernah mendengar ucapan ‘Ammar kepada Umar, ‘Rasulullah ﷺ mengutuskanku di dalam suatu urusan, aku lalu junub dan tidak mendapatkan air. Maka aku pun berguling-guling di atas tanah seperti haiwan. Kemudian aku ceritakan hal tersebut kepada Nabi ﷺ, lalu baginda bersabda: “Sebenarnya cukup buatmu melakukan begini.” Nabi ﷺ kemudian menepuk telapak tangannya sekali ke permukaan tanah dan mengibaskannya, lalu mengusap belakang tangan kanannya dengan telapak tangan kirinya, dan belakang telapak kirinya dengan telapak tangan kanannya, kemudian baginda mengusap wajahnya dengan kedua-kedua belah tangannya.” Abdullah berkata, “Tidakkah engkau melihat ‘Umar tidak berpuas hati dengan kata-kata ‘Ammar itu?” Ya’la menambahkan dari Al A’masy dari Syaqiq, “Aku pernah bersama ‘Abdullah dan Abu Musa. Abu Musa lalu berkata, “Tidakkah kamu mendengar perkataan ‘Ammar kepada ‘Umar ‘Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah mengutus aku dan kamu, lalu aku mengalami junub dan kerananya aku bergulingan di atas tanah. Kemudian kita temui Rasulullah ﷺ menceritakan hal itu kepada baginda. Baginda lalu bersabda: “Sebenarnya buat begini sahaja sudah memadai untukmu.” Baginda lalu menyapu muka dan kedua tangannya satu kali sahaja.
[ Sahih Bukhari No. 334 ]

Syarah:
Dalam hadith ini disebut Rasulullah ﷺ menepuk tangan baginda sekali sahaja ke tanah. Tidak dua atau tiga kali. Ini kita ketahui dari kalimah ضَرْبَةً yang bermaksud ‘sekali pukul’. Kalau dua kali tepuk, tentulah kalimah yang digunakan adalah ضربتين.

8. Adakah tayammum dapat menggantikan kedudukan air?

Perkara ini menjadi khilaf di kalangan ulama’. Adakah tayammum itu benar-benar mengangkat hadas, atau ia hanya sebagai rukhsah semasa darurat sahaja?

Kalau ia rukhsah semasa darurat sahaja, maka tidaklah hadas terangkat dengan tayammum. Hadas masih tetap ada, cuma boleh untuk salat sahaja. Ini adalah pendapat Mazhab Syafie.

Bagi yang mengatakan tayammum tidak mengangkat hadas, maka mereka berpendapat setiap kali hendak salat, kena tayammum dan tayammum hanya boleh dilakukan apabila waktu salat sudah masuk. Kalau waktu belum masuk, tayammum tidak akan dikira.

Pendapat yang rajih adalah memang tayammum itu telah mengangkat hadas. Ini adalah kerana tayammum itu adalah ‘pengganti’ kepada air, dan sebagaimana air mengangkat hadas, maka tayammum itu juga mengangkat hadas. Maknanya orang yang telah melakukan tayammum adalah suci.

✍🏻Dalilnya:

Rasulullah ﷺ bersabda, “Tanah adalah wudhu’ seorang muslim jika tidak mendapatkan air walaupun selama sepuluh tahun.”
[ HR An-Nasai dan Ibnu Hibban ]

Maknanya, tanah itu sebagai alat untuk menyucikan seseorang yang dalam hadas.

Ramai ulama’ yang berpendapat begini, antaranya Imam Bukhari, Ibnu Taimiyyah, Hasan al Basri رضي الله عنهم dan lain-lain lagi. Jadi tidak perlu untuk melakukan tayammum setiap kali hendak salat. Dalam hadith, Nabi ﷺ ada menyebut, wanita yang istihadhah perlu mengambil wudhu’ setiap kali waktu salat. Namun, Nabi ﷺ tidak pernah menyebut orang yang bertayammum dikehendaki melakukan tayammum setiap kali hendak salat.

Ini bersesuaian dengan kemudahan tayammum yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Kalau setiap kali hendak salat dikehendaki melakukan tayammum, itu tidaklah dikira sebagai memudahkan. Sudah menjadi satu kesusahan pula untuk mencari tanah untuk tayammum.

Maknanya, sekali Tayammum dapat digunakan untuk beberapa salat, asalkan tidak batal tayammum itu. Pembatalan tayammum adalah sebagaimana pembatalan wudhu’ juga (seperti kentut dan buang air).

9. Syarat sucinya tanah yang digunakan untuk tayammum.

Syarat menggunakan tanah atau mukabumi sebagai alat tayammum adalah ia mesti suci bersih. Kalau tidak bersih, maka tidak boleh digunakan. Ini kita pastikan dengan melihatnya sahaja. Kalau kita lihat mukabumi itu bersih tanpa najis, maka boleh digunakan tanpa was-was.

✍🏻Dalilnya Allah ‎ﷻ berfirman dalam [ Nisa’: 43 ]

فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا

maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci);

10. Boleh tayammum secara jamaah dari satu tempat.

Tidak ada masalah untuk menggunakan tanah yang sama oleh ramai orang. Tanah itu tidak jadi mustaqmal. Sebagaimana air wudhu’ boleh diambil dari bekas yang sama oleh ramai orang, maka begitu juga dengan tanah.

11. Sah salat orang yang wudhu’ mengikuti imam yang tayammum

Perkara ini khilaf di kalangan ulama’. Ada ulama’ yang berpendapat makruh bagi mereka yang menggunakan tayammum mengimami makmum yang bersuci dengan air.

Ibn Abbas رضي الله عنه pernah menjadi imam menggunakan tayammum dan waktu itu beliau mengimami makmum yang berwudhu’. Kalau beliau tidak layak menjadi imam kerana bertayammum, tentu beliau sudah menyuruh orang lain untuk menjadi imam.

Akan tetapi sebenarnya tidak ada masalah kerana jelas di dalam hadith bagaimana telah dibawa oleh Imam Bukhari رضي الله عنه secara muallaq (tanpa sanad) dalam Sahih Bukhari:

✍🏻Hadis

وَقَالَ الْحَسَنُ يُجْزِئُهُ التَّيَمُّمُ مَا لَمْ يُحْدِثْ وَأَمَّ ابْنُ عَبَّاسٍ وَهُوَ مُتَيَمِّمٌ وَقَالَ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ لَا بَأْسَ بِالصَّلَاةِ عَلَى السَّبَخَةِ وَالتَّيَمُّمِ بِهَا

Al-Hasan berpendapat tayammum memadai untuknya selagi dia tidak berhadas. Dan Ibn Abbas رضي الله عنه menjadi imam dengan bertayamum. Yahya bin Said berpendapat tidak salah salat di atas tanah yang tandus yang masin dan bertayamum dengannya.

✍🏻Dan dalam hadith yang lain, Imam Bukhari رضي الله عنه juga membawa hadith secara muallaq ketika Amar al As yang menjadi panglima perang dan beliau junub dan hanya bertayammum sahaja sedangkan ada sahabat lain yang berwudhu’ menjadi makmumnya.

✍🏻Hadis:

وَيُذْكَرُ أَنَّ عَمْرَو بْنَ الْعَاصِ أَجْنَبَ فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فَتَيَمَّمَ وَتَلَا { وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا } فَذَكَرَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُعَنِّفْ

Dan ada disebutkan bahawa Amar bin al-As telah berjunub pada suatu malam yang sejuk. Dia telah bertayammum dan membaca firman Allah ‎ﷻ: “Jangan kamu membunuh dirimu sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada dirimu“. Perkara itu telah diceritakan kepada Nabi ﷺ namun baginda tidak menegur Amar.

12. Orang yang salat dengan tayammum tidak perlu mengulangi salat walaupun air ada sebelum habis waktu salat.

Kalau seseorang salat dengan menggunakan tayammum, dia tidak perlu lagi salat walaupun selepas itu dia menjumpai air. Katakanlah pada awal waktu Zuhur dia telah salat dengan yayammum. Kemudian dia meneruskan perjalanan dan sebelum waktu Zuhur habis, dia telah menjumpai air. Maka, dia tetap tidak perlu menggantikan salatnya yang di awal waktu tadi. Ini adalah kerana salatnya telah sah dan tidak perlu diganti.

✍🏻Dalilnya:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ الْمُسَيَّبِيُّ، أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ نَافِعٍ، عَنِ اللَّيْثِ بْنِ سَعْدٍ، عَنْ بَكْرِ بْنِ سَوَادَةَ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ، قَالَ خَرَجَ رَجُلاَنِ فِي سَفَرٍ فَحَضَرَتِ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمَا مَاءٌ فَتَيَمَّمَا صَعِيدًا طَيِّبًا فَصَلَّيَا ثُمَّ وَجَدَا الْمَاءَ فِي الْوَقْتِ فَأَعَادَ أَحَدُهُمَا الصَّلاَةَ وَالْوُضُوءَ وَلَمْ يُعِدِ الآخَرُ ثُمَّ أَتَيَا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَا ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ لِلَّذِي لَمْ يُعِدْ ‏”‏ أَصَبْتَ السُّنَّةَ وَأَجْزَأَتْكَ صَلاَتُكَ ‏”‏ ‏.‏ وَقَالَ لِلَّذِي تَوَضَّأَ وَأَعَادَ ‏”‏ لَكَ الأَجْرُ مَرَّتَيْنِ ‏”‏ ‏.‏

Daripada Abu Sa’id al Khudri, dia berkata: “Dua orang lelaki keluar dalam satu safar. Kemudian tiba waktu salat, keduanya tidak memiliki air. Keduanya bertayammum dengan tanah yang suci lalu mengerjakan salat. Setelah itu, mereka mendapati air tatkala masih dalam waktu salat. Salah seorang dari keduanya wudhu’ dan salat semula dan yang seorang lagi tidak mengulanginya. Setelah itu keduanya mendatangi Rasulullah ﷺ dan menceritakan kejadian tersebut kepada baginda. Baginda bersabda kepada seorang yang tidak mengulangi: “Kamu telah menepati sunnah dan salat yang kamu kerjakan telah cukup bagimu”. Dan baginda bersabda kepada yang berwudhu’ dan mengulangi salatnya: “Bagimu pahala dua kali”.
[ Sunan Abi Dawud No. 338. Sahih ]

Syarah:
Hadith ini menjadi dalil bahawa tidak perlu mengulangi salat walaupun boleh menggunakan air semasa waktu salat masih ada. Sahabat yang seorang lagi tidak menepati sunnah tetapi beliau mendapat dua kali pahala kerana menggunakan ijtihadnya. Oleh kerana Nabi ﷺ telah memberi hukum tidak perlu mengulangi, maka perbuatan sahabat itu mengulangnya salatnya tidaklah perlu diikuti.

Sahabat itu sahaja yang mendapat dua kali pahala. Kalau kita pun ingin mengulangi salat, maka kita telah melanggar hadith yang lain:

✍🏻Hadis:

لا تصلوا صلاة في يوم مرتين

Janganlah kamu mengerjakan salat dua kali dalam sehari.
[ Riwayat Ahmad. Sanadnya hasan mengikut Albani ]

Allahu a’lam.

Thaharah: Tayammum – Pengertian, Syariat dan Kaifiat

0

Thaharah: Tayammum

A. Pengertian Tayamum

Dari segi bahasa, Tayammum bermaksud ‘keinginan’ seperti disebut dalam [ al-Baqarah: 267 ]

وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Dan janganlah kamu menginginkan yang buruk daripadanya

Dari segi syarak, menggunakan debu tanah untuk mengusap muka dan tangan kerana ingin mengangkat hadas dengan tujuan melakukan ibadat dan selainnya.

B. Syariat Tayammum

1. Dalil dari al-Qur’an, sunnah dan Ijmak

Ayat pertama

✍🏻Dalil al-Qur’an tentang Tayammum adalah [ an-Nisa’: 43 ]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا غَفُورًا

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

Ayat kedua

وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ

Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau berhubungan badan dengan perempuan, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan permukaan bumi yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu”.
[ al-Maidah: 6 ]

✍🏻Adapun dalil dari As Sunnah adalah sabda Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ daripada sahabat Hudzaifah Ibnul Yaman rodhiyallahu ‘anhu,

« وَجُعِلَتْ تُرْبَتُهَا لَنَا طَهُورًا إِذَا لَمْ نَجِدِ الْمَاءَ »

“Dijadikan bagi kami (ummat Nabi Muhammad shollallahu ‘alaihi was sallam ) permukaan bumi sebagai thohur (sesuatu yang digunakan untuk bersuci (tayammum)) jika kami tidak menjumpai air”.
[ Riwayat Muslim no 522 ]

2. Kelebihan kepada umat Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ

Kelebihan boleh menggunakan Tayammum ini tidak diberikan kepada umat lain selain umat Nabi Muhammad صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ . Maknanya umat terdahulu kena cari air juga untuk mengangkat hadas mereka.

✍🏻Adapun keistimewaan- keistimewaan tersebut dijelaskan dalam hadith Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلٰى آلِهِ وَسَلَّمَ.

Daripada Jabir bin Abdillah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda : “Aku diberi lima perkara yang tidak diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku, iaitu aku ditolong dengan ketakutan (yang menimpa musuh) yang berlangsung selama satu bulan, semua belahan bumi telah dijadikan untukku masjid dan suci, sehingga siapa saja dari umatku yang datang kepadanya waktu salat, maka dapat langsung menunaikannya, dihalalkan kepada bagiku sejumlah binatang ternak yang tidak dihalalkan kepada seorang nabi sebelumku, aku dianugerahi syafaat, dan seorang nabi di masa lalu diutus kepada suatu kaum tertentu, sementara aku diutus kepada seluruh umat manusia.”
[ HR. Muttafaq ‘alaih ]

3. Sebab pensyariatan Tayammum

✍🏻Bilakah Tayammum mula disyariatkan?

322 – حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ قَالَ أَخْبَرَنَا مَالِكٌ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ الْقَاسِمِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ حَتَّى إِذَا كُنَّا بِالْبَيْدَاءِ أَوْ بِذَاتِ الْجَيْشِ انْقَطَعَ عِقْدٌ لِي فَأَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْتِمَاسِهِ وَأَقَامَ النَّاسُ مَعَهُ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ فَأَتَى النَّاسُ إِلَى أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ فَقَالُوا أَلَا تَرَى مَا صَنَعَتْ عَائِشَةُ أَقَامَتْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسِ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَجَاءَ أَبُو بَكْرٍ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاضِعٌ رَأْسَهُ عَلَى فَخِذِي قَدْ نَامَ فَقَالَ حَبَسْتِ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالنَّاسَ وَلَيْسُوا عَلَى مَاءٍ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ فَقَالَتْ عَائِشَةُ فَعَاتَبَنِي أَبُو بَكْرٍ وَقَالَ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَقُولَ وَجَعَلَ يَطْعُنُنِي بِيَدِهِ فِي خَاصِرَتِي فَلَا يَمْنَعُنِي مِنْ التَّحَرُّكِ إِلَّا مَكَانُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى فَخِذِي فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَصْبَحَ عَلَى غَيْرِ مَاءٍ فَأَنْزَلَ اللَّهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ فَتَيَمَّمُوا فَقَالَ أُسَيْدُ بْنُ الْحُضَيْرِ مَا هِيَ بِأَوَّلِ بَرَكَتِكُمْ يَا آلَ أَبِي بَكْرٍ قَالَتْ فَبَعَثْنَا الْبَعِيرَ الَّذِي كُنْتُ عَلَيْهِ فَأَصَبْنَا الْعِقْدَ تَحْتَهُ

322. Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yusuf berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Malik daripada ‘Abdurrahman bin Al Qasim daripada bapaknya dari ‘Aisyah isteri Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, ia berkata, “Kami keluar bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam salah satu perjalanan yang dilakukannya. Hingga ketika kami sampai di Baida’, atau tempat peristirahatan pasukan, aku kehilangan kalungku. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berhenti untuk mencarinya. Orang-orang lain juga berhenti untuk mencarinya. Mereka berhenti di tempat yang tiada air. Sahabat-sahabat lalu bertemu dengan Abu Bakar Ash Shidiq seraya berkata, ‘Nah lihat apa yang telah diperbuat oleh ‘Aisyah? Dia telah membuatkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan orang-orang berhenti di tempat yang tiada air dan mereka juga tidak memiliki bekalan air! ‘ Lalu Abu Bakar datang kepadaku sedangkan saat itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang tidur dengan meletakkan kepalanya di pahaku. Kata Abu Bakar: “Engkau telah membuatkan Rasulullah tertahan di sini dengan orang-orang lain. Mereka berhenti di tempat yang tiada air. Mereka juga tidak mempunyai air. Kata Aisyah: Abu Bakar mengataiku macam-macam sungutan terhadapku. Dia juga telah menusuk pinggangku dengan tangannya, dan tidak ada yang menghalangiku untuk bergerak (karena rasa sakit) kecuali kerana keberadaan kepala Rasulullah yang di pahaku.” Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bangun di waktu subuh dalam keadaan tidak ada air. Allah Ta’ala menurunkan ayat tayammum, maka orang-orang pun bertayammum.” Usaid bin Al Hudlair lalu berkata, “Ini bukan keberkatanmu yang pertama wahai keluarga Abu Bakar!” ‘Aisyah berkata, “Kemudian unta yang aku tunggangi berdiri yang ternyata kami temukan kalungku berada dibawahnya.”__

C. Kaifiat Tayammum

Tatacara Tayammum

a. Niat

Seperti perbincangan dalam wudhu’ dan mandi junub.

b. Baca Basmalah

Seperti perbincangan dalam wudhu’ dan mandi junub. Boleh rujuk nota-nota lepas kerana perbahasan yang sama sahaja.

D. Bilakah Seseorang Dibolehkan Bertayammum

1. Jika tidak jumpa air
2. Jika khuatir mudharat kalau pakai air

Mungkin di kalangan orang kita tidak biasa kerana sentiasa ada air. Selalunya kalau sakit, orang kita pilih untuk qadha sahaja. Padahal itu adalah salah.

Ramai yang bila masuk wad sahaja, seolah-olah dapat ‘lesen’ tidak solat. Tidak tahu siapa yang beri. Allah SWT dan Nabi SAW tidak pernah beri. Mereka kata: “nantilah aku dah sihat nanti aku gantilah… “ tetapi ada yang tidak sempat sihat sudah meninggal. Hendak ganti bagaimana?

Ini adalah kerana kejahilan solat dalam keadaan sakit dan cara untuk mengangkat hadas selain dari menggunakan air. Maka diharap pelajaran kita ini dapat dipanjangkan kepada orang ramai kerana ramai yang tidak tahu perkara ini.

c. Pukul tapak tangan pada tanah yang suci kemudian tiup pada tangan itu.

Selepas niat dan baca basmalah, maka cari tanah yang bersih (pada pandangan mata kita) dan pukul/tekap pada tanah itu. Kemudian tiup debu/tanah yang melekat pada tangan itu atau tepuk-tepuk tangan itu kerana kita bukan perlukan debu tanah itu sebenarnya. Kemudian usap tapak tangan itu pada wajah dan kedua-dua tangan.

✍🏻Dalil:

326 – حَدَّثَنَا آدَمُ قَالَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ حَدَّثَنَا الْحَكَمُ عَنْ ذَرٍّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبْزَى عَنْ أَبِيهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فَقَالَ إِنِّي أَجْنَبْتُ فَلَمْ أُصِبْ الْمَاءَ فَقَالَ عَمَّارُ بْنُ يَاسِرٍ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ أَمَا تَذْكُرُ أَنَّا كُنَّا فِي سَفَرٍ أَنَا وَأَنْتَ فَأَمَّا أَنْتَ فَلَمْ تُصَلِّ وَأَمَّا أَنَا فَتَمَعَّكْتُ فَصَلَّيْتُ فَذَكَرْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ هَكَذَا فَضَرَبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَفَّيْهِ الْأَرْضَ وَنَفَخَ فِيهِمَا ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ وَكَفَّيْهِ

326. Telah menceritakan kepada kami Adam ia berkata; telah menceritakan kepada kami Syu’bah berkata, telah menceritakan kepada kami Al Hakam daripada Dzar daripada Sa’id bin ‘Abdurrahman bin Abza daripada Bapaknya berkata, “Seorang laki-laki datang kepada Umar Ibnul Khaththab dan berkata, “bagaimana kalau aku mengalami junub tapi tidak mendapatkan air?” Maka berkatalah ‘Ammar bin Yasir kepada ‘Umar bin Al Khaththab, “Masih ingatkah engkau ketika kita dalam suatu perjalanan? Ketika itu aku dan engkau sedang berjunub. Adapun engkau tidak bersolat. Sedangkan aku bergulingan di atas tanah lalu solat? Kemudian hal itu aku sampaikan kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sebenarnya cukup kamu melakukan begini.” Baginda lalu menepuk telapak tangannya ke tanah dan meniupnya, lalu mengusapkannya ke muka dan kedua telapak tangannya di bahagian belakangnya hingga ke pergelangan.”
[ Sahih Bukhari hadis 326 ]

Syarah:

Kaifiat tayammum disebut dalam hadith ini. Kalau kita ringkaskan:

1. Tepuk tanah sekali sahaja.
2. Tiup tapak tangan atau ketuk-ketuk tangan itu supaya jatuh debu tanah
3. Sapu muka
4. Tanpa ambil tanah baru, sapu tangan pula
5. Sapu tangan setakat pergelangan tangan sahaja. Tidak perlu sampai ke siku.

d. Cukup dengan sekali pukul sahaja

Kadangkala ada yang mengajar Tayammum dengan mengatakan: sekali tepuk untuk muka dan sekali lagi untuk wajah.Namun, ini tidak ada dalam dalil yang sahih. Malah, yang disebut adalah sekali tepuk sahaja.

✍🏻Dalilnya:

عَنْ عَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ رضي الله عنهما قَالَ : بَعَثَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَاجَةٍ ، فَأَجْنَبْتُ فَلَمْ أَجِد الْمَاءَ ، فَتَمَرَّغْتُ فِي الصَّعِيدِ كَمَا تَمَرَّغُ الدَّابَّةُ ، فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : ” إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيكَ أَنْ تَصْنَعَ هَكَذَا ، فَضَرَبَ بِكَفِّهِ ضَرْبَةً عَلَى الْأَرْضِ ، ثُمَّ نَفَضَهَا ، ثُمَّ مَسَحَ بِها ظَهْرَ كَفِّهِ بِشِمَالِهِ أَوْ ظَهْرَ شِمَالِهِ بِكَفِّهِ ، ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Daripada ‘Ammar bin Yasir radiallahu’anhu bahawa dia berkata; Rasulullah sallallahu ‘alaihi sassalam mengutusku untuk sesuatu urusan lalu aku mengalami junub dan ketika itu aku tidak menemui air. Oleh kerana itu aku pun berguling-guling di tanah (untuk bersuci) sebagaimana haiwan berguling-guling. Aku menceritakan kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Hal tersebut Nabi bersabda” Sebenarnya sudah cukup bagimu bersuci dengan cara seperti ini. Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam memukulkan kedua tapak tangannya di atas tanah dengan sekali pukulan. Kemudian baginda meniupnya, kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyapu belakang tapak tangan kanan dengan tapak tangan kirinya, dan menyapu belakang tapak tangan kiri dengan tapak tangan kanannya, kemudian baginda sallallahu ‘alaihi wasallam menyapu wajahnya’
[Sahih al-Bukhari, Kitab at-Tayammum, hadith no: 337]

Selesai cara untuk tayammum. Kalau dilihat, cara ini senang sahaja dan tidak susah dan kerana itu jangan kita susahkan.

2. Hal-hal yang membatalkan tayammum.

Sebagaimana wudhu’ boleh batal, maka tayammum pun boleh batal juga. Mari kita lihat apakah yang membatalkan tayammum. Ada dua perkara yang perlu dilihat.

a. Setiap yang membatalkan wudhu’ juga membatalkan tayammum

Oleh kerana tayammum adalah pengganti kepada wudhu’, maka apa sahaja yang membatalkan wudhu’ akan membatalkan tayammum juga seperti kentut, buang air dan sebagainya. Ulama’ bersepakat tentang hal ini.

b. Bila ada air

Tayammum tidak dibolehkan lagi apa bila telah ditemukan air bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air. Ini kerana bila sudah ada air, maka tayammum tidak dibenarkan lagi. Bila ada air sahaja, maka tayammum yang telah diambil automatik batal.

Kepada mereka yang tayammum kerana tidak boleh guna air kerana sakit contohnya, maka apabila telah adanya kemampuan menggunakan air atau tidak sakit lagi, maka tayammum itu batal. Hanya yang menjadi khilaf adalah bagaimana kalau sedang solat, diketahui air telah ada.

Kalau kita ringkaskan pembatal tayammum:

1- Sepakat ulama’ – semua pembatal wudhu’ akan membatalkan tayammum [Sahih Fiqh as-Sunnah]

2- Sepakat ulama jika menemui air sebelum menunaikan solat, batal tayammum. [Sahih Fiqh as-Sunnah]

3- Jika air ada ketika solat sedang didirikan, ulama’ berbeza pendapat:

✍🏻Berhenti solat, mengambil wudhu’ dan mengulangi solat: Ini mazhab Abu Hanifah, Ahmad

✍🏻Teruskan solat: Imam Malik, al-Syafie, satu riwayat Ahmad, Abu Tsaur, Daud dan Ibn al-Munzir [Sahih Fiqh as-Sunnah]

Ini pembatal yang kedua.

3. Benda-benda yang biasa digunakan sebagai alat tayammum dan tidak disyaratkan mesti dengan tanah

Adakah kita boleh guna tanah sahaja sebagai bahan tayammum? Sebenarnya, bahan yang boleh digunakan untuk Tayammum juga khilaf yang besar di kalangan ulama’.

Kalau kita ringkas khilaf pendapat itu, ia terbahagi kepada dua bahagian utama:

1️⃣ Pertama: Permukaan bumi secara mutlak, tidak kira pasir, gunung, batu, ataupun tanah. Ini pendapat Abu Hanifah, Abu Yusuf, Malik dan Ibn Taimiyyah.

2️⃣ Kedua: Tanah sahaja. Ini pendapat mazhab Syafie, Hanbali, Abu Tsaur dan Ibn al-Munzir. [Sahih Fiqh as-Sunnah]

Hanya yang menjadi khilaf di kalangan ulama adalah kalimat فَتَيَمَّموا صَعيدًا طَيِّبًا di dalam ayat [ al-Maidah:6 ] dan an-Nisa’:43 ]. Maka apakah tafsiran bagi صَعيدًا طَيِّبًا (tanah yang baik) itu? Ada yang kata mesti tanah yang berdebu dan ada yang kata yang kata tanah yang boleh menumbuhkan tanaman.

Maka, kerana itu pada pendapat mereka hanya ‘tanah’ sahaja yang boleh digunakan. Kalau pasir di padang pasir sahaja sudah tidak boleh kerana pasir tidak boleh tumbuh tanaman.

Pendapat itu ditolak oleh ramai ulama’ termasuklah Imam Bukhari. Pada mereka, صَعيدًا itu bermaksud ‘muka bumi’ dan طَيِّبًا itu bermaksud ‘suci’ iaitu bersih dari kotoran. Jadi boleh digunakan permukaan muka bumi dan boleh jadi apa-apa sahaja.

Jadi, jikalau ia boleh jadi apa sahaja, asalkan muka bumi maka, di sini kita boleh kata salji pun boleh juga. Atau jikalau ia adalah batu licin, langsung tiada tanah di atas batu itu. Ini kerana batu itu pun boleh juga dikatakan sebagai ‘muka bumi’ juga.

Itu termasuklah juga pokok dan rumput tetapi kenalah pokok yang belum terputus dari bumi. Apabila kita dapat faham yang Allah SWT bukan hendak menyusahkan kita dalam beramal ibadat, maka senanglah kita hendak faham dan terima perkara ini.

Kena faham perkara ini kerana ayat al-Qur’an di mana Allah SWT bercakap tentang tayammum juga Allah sudah berfirman yang Dia bukan hendak menyusahkan kita.

✍🏻Ini disebut dalam ayat yang menyebut Tayammum juga iaitu [ al-Maidah: 6 ]

ما يُريدُ اللَّهُ لِيَجعَلَ عَلَيكُم مِن حَرَجٍ

Allah tidak hendak menyulitkan kamu

Maka, kalau kena cari tanah yang sesuai dengan syarat ia mesti ada debu, mesti boleh menumbuhkan tanaman, maka tidakkah itu menyusahkan?

Dan daripada perbuatan Nabi dan para sahabat , mereka tidak menetapkan perkara ini. Mereka selalu bermusafir di padang pasir dan tentu tanah padang pasir itu tidak boleh menumbuhkan tanaman. Maka tidaklah ada disebut para sahabat bawa bekal tanah pula untuk bertayammum. Mereka gunakan sahaja pasir yang mereka jumpa di perjalanan.

D. Bilakah seseorang boleh tayammum?

Tayammum boleh digunakan oleh mereka yang berhadas kecil atau besar. Juga sama ada mereka itu dalam musafir atau bermukim. Asalkan ada salah satu dari dua syarat ini:

1. Jika tidak jumpa air

✍🏻Ini seperti yang disebut dalam [ an-Nisa’: 43 ]

فَلَم تَجِدوا ماءً فَتَيَمَّموا

kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayammumlah kamu

✍🏻Ada juga telah disebut dalam hadith yang banyak. Antaranya:

فَلَمَّا انْفَتَلَ مِنْ صَلَاتِهِ إِذَا هُوَ بِرَجُلٍ مُعْتَزِلٍ لَمْ يُصَلِّ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ مَا مَنَعَكَ يَا فُلَانُ أَنْ تُصَلِّيَ مَعَ الْقَوْمِ قَالَ أَصَابَتْنِي جَنَابَةٌ وَلَا مَاءَ قَالَ عَلَيْكَ بِالصَّعِيدِ فَإِنَّهُ يَكْفِيكَ

Setelah baginda selesai melaksanakan solatnya, didapatinya ada seorang yang memisahkan diri tidak ikut solat bersama orang banyak. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Fulan, apa yang menghalangimu untuk solat bersama orang banyak?” Orang itu menjawab, “Aku mengalami junub, sementara air tidak ada.” Baginda lantas menjelaskan: “Gunakanlah muka bumi (untuk bertayamum) kerana ia sudah memadai.”
[ Sahih Bukhari no. 331 ]

Juga ada hadith lain:

✍🏻Rasulullah SAW bersabda, “Tanah adalah wudhu’ seorang muslim jika tidak mendapatkan air walaupun selama sepuluh tahun.”
[ HR An-Nasai dan Ibnu Hibban ]

Termasuk tidak ada air itu adalah jikalau air untuk didapati jauh sangat atau ada air dalam telaga, tetapi dalam sangat dan timba tidak ada. Atau air ada, tetapi ada harimau di kawasan itu. Atau kawasan air itu dijaga oleh musuh.

Atau bagi wanita tidak boleh keluar kerana ada jantan-jantan yang tidak dipercayai ada di luar. Atau air ada tetapi ia amat sedikit. Air yang sikit itulah untuk minum dan untuk masak. Atau air di bilik air itu ada, tetapi orang yang sakit tidak larat hendak ke bilik air dan tidak ada orang yang boleh bawakan air untuk dia.

2. Jika khuatir mudharat kalau pakai air

Ini adalah kalau seseorang itu sakit atau luka; atau keadaan sejuk sangat yang dia rasa kalau dia wudhu’ dan mandi pakai air juga, akan memudharatkan dia.

✍🏻Dalilnya adalah [ an-Nisa’:29 ]

وَلا تَقتُلوا أَنفُسَكُم
Dan janganlah kamu membunuh dirimu

✍🏻Ayat ini pernah digunakan sebagai hujah oleh seorang sahabat:

عَنْ عَمْرٍو بْنِ الْعَاصِ قَالَ احْتَلَمْتُ فِيْ لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ فِيْ غَزْوَةِ ذَاتِ السَّلاَسِلِ فَأَشْفَقْتُ إِنِ اغْتَسَلْتُ أَنْ أَهْلِكَ فَتَيَمَّمْتُ ثُمَّ صَلَّيْتُ بِأَصْحَابِيْ الصُّبْحَ فَذَكَرُوْا ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ فَقَالَ يَا عَمْرُو صَلَّيْتَ بِأَصْحَابِكَ وَأَنْتَ جُنُبٌ فَأَخْبَرْتُهُ بِالَّذِيْ مَنَعَنِيْ مِنَ الْاِغْتِسَالِ وَقُلْتُ إِنِّي سَمِعْتُ اللهَ يَقُوْلُ وَلاَ تَقْتُلُوْا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيْمًا فَضَحِكَ رَسُوْلُ اللهِ وَلَمْ يَقُلْ شَيْئًا

Daripada ‘Amr bin ‘Ash berkata “Aku pernah mimpi basah pada suatu malam yang sangat dingin sekali dalam perang Dzat Salasil, saya khawatir bila saya mandi, saya akan mati karenanya. Maka saya tayammum dan salat Subuh bersama para sahabat, tatkala kami datang kepada Rasulullah, para sahabat menceritakan kejadianku. Nabi bersabda: Wahai ‘Amr, benarkah engkau salat bersama para sahabatmu padahal engkau junub? Maka saya khabarkan kepada beliau suatu yang menghalangiku untuk mandi. Dan saya berkata: Aku mendengar firman Allah: “Janganlah engkau membunuh diri kalian, sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kalian” Sebab itulah saya tayammum kemudian salat. Rasulullah tertawa dan tidak mengatakan sedikitpun”.
(HR. Abu Daud (334) Ahmad (4/203) Daruqutni dalam Sunan-nya (1/178) Ibnu Hibban (202) Al-Hakim dalam Al-Mustadrok (647) Bukhori dalam Sahihnya secara mu’allaq dan dikuatkan Al-Hafidz dalam Fathul Bari 1/603 dan Al-Albani dalam Irwaul Gholil no.154)

✍🏻Ada lagi hadith yang menjelaskan bagaimana bahaya kalau gunakan air juga kalau dalam keadaan luka:

عَنْ جَابِرٍ قَالَ خَرَجْنَا فِى سَفَرٍ فَأَصَابَ رَجُلاً مِنَّا حَجَرٌ فَشَجَّهُ فِى رَأْسِهِ ثُمَّ احْتَلَمَ فَسَأَلَ أَصْحَابَهُ فَقَالَ هَلْ تَجِدُونَ لِى رُخْصَةً فِى التَّيَمُّمِ فَقَالُوا مَا نَجِدُ لَكَ رُخْصَةً وَأَنْتَ تَقْدِرُ عَلَى الْمَاءِ فَاغْتَسَلَ فَمَاتَ فَلَمَّا قَدِمْنَا عَلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- أُخْبِرَ بِذَلِكَ فَقَالَ « قَتَلُوهُ قَتَلَهُمُ اللَّهُ أَلاَّ سَأَلُوا إِذْ لَمْ يَعْلَمُوا فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِىِّ السُّؤَالُ إِنَّمَا كَانَ يَكْفِيهِ أَنْ يَتَيَمَّمَ وَيَعْصِرَ »

Daripada Jabir, ia berkata, “Kami pernah keluar pada saat safar, lalu seseorang di antara kami ada yang terkena batu dan kepalanya terluka. Kemudian ia mimpi basah dan bertanya pada temannya, “Apakah aku mendapati keringanan untuk bertayammum?” Mereka menjawab, “Kami tidak mendapati padamu adanya keringanan, padahal engkau mampu menggunakan air.” Orang tersebut kemudian mandi (junub), lalu meninggal dunia. Ketika tiba dan menghadap ﷺ, kami menceritakan kejadian orang yang mati tadi. Beliau ﷺ lantas bersabda:
“Mereka telah membunuhnya. Semoga Allah membinasakan mereka. Hendaklah mereka bertanya jika tidak punya ilmu, karena ubat dari kebodohan adalah bertanya. Cukup baginya bertayammum dan mengusap lukanya.”
[HR. Abu Daud no. 336, Ibnu Majah no. 572 dan Ahmad 1: 330. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadis ini Hasan selain perkataan ‘cukup baginya bertayamum’]

Allahu a’lam.

Tafsir surah Az-Zumar: Tafsir Ayat Ke-62 hingga Ke-64

0

Tafsir Surah Az-Zumar

Tafsir Ayat Ke-62

Dalil Aqli. Ayat ini adalah dalil kenapa kita perlu bertaqwa kepada Allah SWT dan beribadat kepada Dia sahaja.

Apabila Allah SWT beritahu berkenaan azab yang akan dikenakan kepada mereka yang engkar, Dia akan bawa dalil. Selalunya dalil yang diberikan oleh Allah SWT adalah dalil dalam penciptaan.

اللَهُ خٰلِقُ كُلِّ شَيءٍ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ وَكيلٌ

Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Mentadbirkan serta menguasai segala-galanya.

اللَهُ خٰلِقُ كُلِّ شَيْءٍ ۖ

Allahlah yang menciptakan segala sesuatu.

Alam ini dan segala apa yang ada di dalamnya adalah ciptaan Allah SWT. Allah SWT sahaja yang jadikan semua makhluk. Apabila Allah SWT yang menciptakan segala sesuatu, maka kepada-Nya sahajalah kita sembah dan puja.

Kenapa hendak sembah dan puja ilah yang lain pula? Sedangkan mereka semua itu tidak dapat mencipta satu apa pun.

Termasuklah juga jangan puja Nabi Muhammad ﷺ. Jangan kita anggap Nabi Muhammad ﷺ itu lebih dari seorang Nabi dan Rasul. Dia adalah manusia biasa, cuma dia ada kelebihan diberikan dengan wahyu.

وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ وَكِيلٌ

dan Dialah yang atas segala sesuatu itu Maha Menjaga.

Selepas Allah SWT mencipta dan menjadikan alam ini semua sekali, Allah SWT jugalah yang menjaga perjalanan seluruh alam ini. Maknanya, Allah SWT adalah pentadbir alam ini. Tidaklah Allah mewakilkan kepada sesiapa pun untuk menjaganya.

Janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran karut yang ada dalam masyarakat kita yang mengatakan ada wali-wali yang jaga alam ini. Mereka kata ada 313 wali yang memerintah malaikat untuk menjaga alam.

Mereka berikan pangkat kepada wali-wali itu. Sebagai contoh di Kelantan, ada yang kata Tok Kenali sekarang berada di salah satu bucu Kaabah. Inilah ajaran karut. Apa dia buat di situ pun kita tidak tahu.

Ada madrasah hafal al-Qur’an di Kelantan yang mengajar anak muridnya untuk solat hajat dan minta kepada Tok Kenali supaya beri berkat supaya mereka mudah hafal al-Qur’an. Sampai begitu sekali ajaran sesat yang diamalkan oleh umat Islam.

Itu orang yang hafal al-Qur’an, apatah lagi kalau mereka yang jauh dari al-Qur’an? Bukanlah kalau seseorang itu hafal al-Qur’an, bermakna dia telah terselamat kerana ada yang al-hafal al-Qur’an, tetapi mereka tidak faham pun apa yang mereka hafalkan itu.

Mereka tidak tahu pun ajaran yang ada dalam al-Qur’an itu. Mereka belajar hafal al-Qur’an itu supaya mereka boleh ambil upah jadi imam solat Hajat, imam solat Terawih, meratib dan baca al-Qur’an di kubur.

Maknanya, tujuan mereka adalah untuk mendapatkan duit dengan menggunakan agama. Mereka sendiri tidak sedar mereka menjual agama untuk mendapatkan neraka.

Kita perlu jaga ibadat kita dan kena tahu sama ada ibadat kita itu adalah ibadat yang kufur atau soleh. Sesiapa yang buat ibadat ikut cara Nabi ajar, ibadat itu dipanggil ‘amal soleh’. Orang yang buat ibadat sebegitu, dipanggil ‘orang soleh’.

Bukanlah orang yang soleh itu orang yang bawa tasbih dan berzikir sentiasa.

Kita kalau pandang sahaja orang bawa tasbih, kita dah kata dia orang soleh tetapi itu tidak semestinya. Kalau dia bawa tasbih, belum tentu dia seorang yang soleh.

Bukan itu kayu ukurannya. Orang soleh ini adalah sesiapa yang mengamalkan amal yang soleh.

Tafsir Ayat Ke-63

Ini adalah Dalil Aqli lagi kenapa kita kena sembah Allah sahaja.

لَّهُ مَقاليدُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۗ وَالَّذينَ كَفَروا بِئآيٰتِ اللهِ أُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Dia sahajalah yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; (orang-orang yang percayakan yang demikian beruntunglah) dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah yang jelas nyata itu, mereka itulah orang-orang yang paling rugi.

لَّهُ مَقَالِيدُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ ۗ

Milik Dialah kunci segala khazanah-khazanah langit dan bumi.

Khazanah itu adalah gudang harta langit dan bumi ada dengan Allah SWT. Ia termasuk perkara dunia dan perkara akhirat sekali.

Sesiapa yang hendakkan harta langit dan bumi itu, maka kena minta dengan Allah SWT sahaja, jangan minta kepada selain Dia. Bukan harta sahaja, apa-apa sahaja kita kena minta dengan Allah SWT kerana Allah SWTlah yang mempunyai segala-galanya.

Kalau mahu hal dunia, minta kepada Allah SWT; dan kalau hendak kebaikan di akhirat, minta kepada Allah SWTlah juga. Kenapa hendak minta kepada para Nabi, para wali dan selain daripada Allah SWT?

Yang meminta-minta kepada selain daripada Allah SWT itu adalah perbuatan yang kufur dan syirik. Ada yang minta kepada cincin. Mereka beli cincin hikmat, keris hikmat yang dibalut kain kuning dan macam-macam lain – mereka iktikad bahawa dengan cincin keramat dan keris keramat itu, rezeki mereka akan bertambah.

Macam orang Cina pula, mereka amalkan Feng Shui dan mereka kata kalau letak pada kedudukan tertentu, benda itu di tempat ini dan itu, rezeki akan semakin banyak. Itu juga adalah syirik kepada Allah SWT.

Ini penting untuk ketahui kerana ada juga masyarakat Islam yang percaya juga dengan benda-benda karut yang sebegitu. Amat malang sekali jika begitu.

Perkataan lain bagi kunci adalah مفته miftah. Tetapi perkataan مَقَالِيدُ digunakan dalam ayat ini kerana ia bukan kunci yang biasa. Ia bermaksud kunci kepada khazanah-khazanah, harta yang banyak.

Ada juga yang kata مَقَالِيدُ itu bermaksud khazanah itu sendiri, bukan kunci. Allahu a’lam.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بِئآيٰتِ اللهِ

Dan orang-orang yang kufur dengan ayat-ayat Allah,

Iaitu mereka yang menutup kebenaran dengan ingkar kepada ajaran daripada Allah yang telah ada dalam al-Qur’an. Tidak pakai nasihat daripada Allah SWT. Bila diberi dalil dan hujah dari wahyu, dia tidak mahu dengar sebab hati dia engkar.

Dia engkar untuk terima tauhid. Dia sendiri sudah tahu bahawa ia adalah kebenaran tetapi tidak mahu ikut.

Dia tahu al-Qur’an itu betul, tetapi tidak mahu juga belajar tafsir supaya dia benar-benar faham. Dengan itu, mereka telah menolak ayat-ayat Allah SWT. Sama ada tolak semua ataupun tolak satu sahaja ayat sudah dikira engkar dah. Oleh itu, mereka sudah dikira kufur.

Oleh kerana mereka kufur dengan ayat al-Qur’an, mereka telah melakukan perkara yang syirik dan kufur. Antaranya, dalam hal berdoa, mereka akan minta tok imam atau ustaz, syeikh untuk doakan untuk mereka. Itu sama sahaja macam agama lain yang meminta paderi dan sami mereka untuk mendoakan mereka.

أُولَٰئِكَ هُمُ الْخٰسِرُونَ

merekalah orang yang rugi yang sebenar-benar rugi.

Mereka betul-betul rugi. Mereka akan kekal dalam neraka kerana telah buat syirik kepada Allah. Adakah lagi kerugian yang lebih dari itu?

Tafsir Ayat Ke-64

Ini adalah i’adah (ulangan) dakwa surah Zumar ini: iaitu untuk menyembah Allah SWT sahaja. Diulangi sebagai maksud zajrun (teguran) jikalau ada hamba yang masih menolak juga untuk mengamalkan tauhid, kerana degil.

Salah satu jalan yang diambil oleh hamba adalah jalan tolak ansur. Ada kalangan Arab Mekah yang minta Nabi bertolak ansur – ada masa ikut Nabi Muhammad SAW dan ada masa ikut amalan syirik mereka. Mereka hendak tauhid dan syirik duduk sekali, barulah aman, kata mereka.

Namun Allah SWT hendak ajar kita supaya jangan mengalah. Kalau kita tahu wahyu, jangan mengalah dengan mereka. Malangnya ada kalangan orang Islam yang bertolak ansur. Yang sudah ada ilmu, masih tetap mengalah dan tidak tegas dalam hal tauhid.

Maka ramailah yang mengamalkan syirik kerana mereka tidak ditegur. Sedangkan hal akidah ini bukannya susah sangat untuk difahami.

Maka dalam ayat ini, Allah SWT mengajar Nabi Muhammad dan kita.

قُل أَفَغَيرَ اللهِ تَأمُرونّي أَعبُدُ أَيُّهَا الجٰهِلونَ

Katakanlah (wahai Muhammad, kepada orang-orang musyrik itu: “Sesudah jelas dalil-dalil keesaan Allah yang demikian), patutkah kamu menyuruhku menyembah atau memuja yang lain dari Allah, hai orang-orang yang jahil?”

قُلْ أَفَغَيْرَ اللهِ تَأْمُرُونِّي أَعْبُدُ

Katakanlah: apakah selain daripada Allah, kamu suruh aku puja,

Ada kalangan guru-guru agama, ustaz-ustaz dan orang lain yang kononnya ada pengetahuan agama, mengajar dan mengajak manusia untuk memuja dan menyembah kepada selain Allah SWT. Mereka ajar manusia untuk melakukan tawassul dalam amal ibadat mereka.

Ini amat banyak sekali terjadi dalam masyarakat Melayu kita. Kalau ajaran dalam Tarekat itu, boleh dikatakan semuanya ada mengajar tawassul dalam amalan mereka.

Dan bukan hanya dalam tarekat, dalam amalan masyarakat biasa yang tidak belajar tarekat pun perkara itu telah banyak berlaku. Kerana ia adalah amalan yang amat mudah untuk diamalkan, ramai yang amalkan dan ramai yang mengajar.

Hinggakan ia menjadi perkara yang biasa sahaja, sedangkan ia adalah perkara yang syirik. Ia terlalu biasa dilakukan, sampaikan kita yang menegur ini pula yang dikatakan sesat dan jumud dalam agama. Padahal banyak ayat-ayat al-Qur’an yang melarang manusia dari melakukan tawassul.

أَيُّهَا الْجٰهِلُونَ

wahai si Jahil?

Selalu akan ada yang ajak kita buat tawassul, panggil tok guru, seru Nabi-Nabi, seru malaikat-malaikat, dan macam-macam lagi. Antara yang banyak melakukannya adalah mereka yang belajar silat.

Dalam ilmu persilatan ini terlalu banyak amalan-amalan syirik yang dilakukan untuk memperolehi keramat. Antaranya ialah amalan untuk jadi kebal. Walhal Nabi SAW pun sewaktu berperang menegakkan syiar Islam dulu pakai 2 lapis baju besi. Nabi SAW yang berjihad fi sabilillah pun tercedera.

Kenapa Nabi SAW tidak kebal? Kenapa sahabat-sahabat yang bersama baginda tidak kebal? Padahal mereka menegakkan agama Islam? Kalau patut kebal, mereka dulu lagi sudah Allah berikan ilmu kebal kepada mereka.

Sebenarnya ilmu kebal yang diamalkan oleh tok nenek kita dahulu dan diamalkan oleh orang-orang zaman sekarang adalah sihir dan sihir itu adalah syirik kepada Allah SWT.

Kebiasaannya amalan mereka akan dimulai dengan tawassul kepada makhluk-makhluk tertentu – Panglima Hitam dan sebagainya.

Lagi satu adalah amalan yang selalu diamalkan adalah sebelum keluar rumah. Tujuannya untuk bagi orang gerun atau sayang dengan kita, supaya tiada siapa mampu binasakan kita, tiada siapa mampu bantah cakap kita.

Yang menjadi masalah apabila bacaan-bacaan ini turut mempunyai ayat-ayat al-Qur’an, dan yang wajib ada mesti diakhiri “Laa ilahaillallah”.

Ayat-ayat al-Qur’an ini pula ditambah bersama mentera-mentera kononnya untuk mengislamkan petua-petua orang dulu-dulu. Setiap kali masuk gelanggang ada bacaan tertentu. Kononnya untuk menghormati sesama makhluk, supaya tanah dan rumput / daun-daun yang mereka pijak sewaktu bersilat di dalam gelanggang akan turut mendoakan kesejahteraan kita walhal tanah / rumput / daun-daun hanya berzikir kepada Allah SWT. Allah SWT panggil mereka yang mengajak melakukan tawassul-tawassul ini sebagai orang-orang yang jahil.

Banyak lagi amalan-amalan lain yang masyarakat Islam kita buat tetapi ia bukanlah dari Islam. Antaranya yang selalu dibuat adalah amalan tawassul yang merebak ke merata tempat dalam masyarakat kita.

Itulah amalan yang kita selalu dengar: kita akan dengar mereka kata begini: ila hadratin nabiyy…. Berapa ramai ustaz-ustaz di Malaysia ini yang kata boleh buat tawassul? Berapa banyak buku dalam pasaran yang menganjurkan buat tawassul?

Padahal tawassul itu adalah perbuatan kufur. Mereka bertawassul kepada Syeikh Abdul Qadir Jailani, kepada para malaikat, kepada wali-wali lain dan macam-macam lagi.

Ingatlah bahawa kita hanya boleh puji dan puja kepada Allah SWT sahaja. Berhentilah dari memuji-muji Nabi Muhammad berlebih-lebihan sampaikan sama macam kita puja Allah SWT. Termasuk dalam hal ini adalah amalan-amalan maulid Nabi yang dilakukan oleh puak-puak Habib sekarang ini.

Malangnya masyarakat kita memang suka sangat apabila diajak buat benda yang memuja-muja Nabi ini. Padahal, Nabi sendiri dah beri amaran supaya jangan berlebihan berkenaan baginda, kerana ditakuti akan terjadi seperti apa yang terjadi kepada kaum-kaum dahulu.

Mereka sangka apa yang mereka lakukan itu adalah perkara baik dalam agama, tetapi mereka tidak sedar bahawa ia adalah perkara yang amat buruk sekali. Mereka dimurkai oleh Allah SWT kerana memandai-mandai reka amalan dalam agama.

Mereka sangka mereka akan dapat pahala, tetapi sebenarnya mereka akan dapat dosa. Mereka buat begitu adalah kerana mereka jahil. Apabila diajak belajar, mereka tidak mahu, akhirnya jadi jahil dalam agama.

Allah SWT tegur mereka kerana mereka jahil. Dan jahil ini bahaya kerana dalam al-Qur’an disebut yang orang jahil itu adalah ahli neraka kerana mereka tidak ada kelebihan untuk menapis bisikan syaitan.

Maka kita usahalah supaya jangan jadi jahil. Kalau jahil tentang hal dunia, tidak mengapa lagi; tetapi kalau jahil bab agama, terutama tauhid, amat bahaya. Kerana kalau buat syirik, gugur lenyap segala amalan mereka. Jadi kena tahu hendak bezakan mana tauhid dan mana syirik.

Para ulama menyebutkan asbabun nuzul ayat ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan lain-lainnya dari Ibnu Abbas, bahawa orang-orang musyrik yang kerana kebodohannya menyeru Rasulullah SAW untuk menyembah tuhan-tuhan mereka dan mereka baru mahu menyembah Tuhannya bila beliau mau menyembah tuhan mereka. Jadi Allah SWT suruh Nabi jawap dengan jawapan dalam ayat ini.

Popular

Iklan

Iklan