Utama Bilik Motivasi Presuposisi 3: The Response You Get is the Meaning of Your Communication....

Presuposisi 3: The Response You Get is the Meaning of Your Communication. Effective Communication Lies In Its Response.

187
0
Iklan

Siri Pengenalan NLP oleh Azlizan Nueq.

Presuposisi Yang Ketiga:

3. The response you get is the meaning of your communication. Effective communication lies in its response.

Respon yang anda dapat adalah maksud kepada komunikasi anda. Komunikasi yang efektif adalah melalui maklumbalas daripada orang yang kita bercakap.”

Bila kita bercakap dengan seseorang, kita tidak tahu sama ada dia dengar ataupun tidak, dia faham ataupun tidak, dia bersetuju ataupun tidak dengan apa yang kita sampaikan, bukan? Ini kerana kita tidak boleh membaca isi hati manusia. Tetapi kita cuma boleh mendengar apakah maklumbalas daripada dia sahaja. Kita boleh lihat reaksi orang itu terhadap apa yang kita sudah sampaikan.

Jadi, komunikasi yang baik bukannya satu hala sahaja. Bukannya kita hanya bercakap sahaja kepada pendengar, tetapi kita juga kenalah mendengar dan melihat maklumbalas daripada pendengar. Kita gunakan semua deria kita untuk menerima maklumbalas daripada pendengar itu.

Tentu kita pernah cakapkan sesuatu kepada seseorang. Kemudian kita dengar dia sampaikan kepada orang lain pula, tetapi lain daripada apa yang kita beritahu. Perkara ini biasa terjadi, bukan?

Jadi, ini mengajar kita yang kita bertanggungjawab untuk memastikan orang yang kita cakap itu faham apa yang kita hendak sampaikan. Ini kerana kita takut kalau dia salah faham, maka ada banyak kesan yang boleh terjadi dan berkemungkinan besar kesan itu adalah buruk.

Tetapi bagaimana untuk tahu yang orang itu faham apa yang kita sampaikan? Di sinilah yang kita kena lihat maklumbalas daripadanya. Kita boleh tahu melalui kata-kata balasan daripadanya, daripada memek mukanya, serta dari “body languange” (bahasa tubuh) dia.

Kerana itulah di dalam kelas saya, saya akan lihat apakah reaksi wajah para pelajar. Kalau memek muka mereka nampak “blur” atau pelik, saya akan ulang semula menggunakan kata-kata yang lain, contoh yang lain atau ulang dengan perlahan-lahan.

Oleh sebab itulah kita harus belajar cara efektif untuk berkomunikasi. Kita haruslah melihat orang itu menggunakan bahasa apa, tahap intelektualitinya, latarbelakangnya dan sebagainya. Ini kerana kalau tahap pendidikannya adalah rendah, dia mungkin tidak akan faham jika kita menggunakan bahasa yang tinggi, bukan?

Jadi, ‘cara’ kita bercakap juga penting selain daripada ‘apa’ yang kita cakap. Kalau nampak dia seperti tidak faham apa yang kita sampaikan, maka kita kena ubah cara kita bercakap.

Mungkin kita beranggapan kalau kita sudah beritahu dan sampaikan, maka tanggungjawab kita sudah selesai. Ini adalah fahaman orang biasa sahaja. Tetapi dalam ilmu NLP ini, kita yang berkomunikasi diajar yang kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan orang itu faham.

Ini kerana kefahaman orang lawan bercakap itu penting juga kepada kita. Bayangkan kalau kita seorang jurujual. Kalau “potential customer” (bakal pelanggan) kita tidak faham apa yang kita sampaikan, tentu kita juga yang rugi, bukan?

Kalau kita beritahu sesuatu arahan kepada anak kita dan dia tidak faham dan tidak jalankan apa yang kita suruh, tentu ada kesan kepada kita juga, bukan?

Begitu juga kalau kita memberikan arahan kepada pekerja bawahan, atau kepada rakan sekerja yang sama-sama bekerja di dalam satu projek. Kalau arahan yang kita berikan tidak difahami, tentu yang menjadi mangsa adalah projek itu juga. Siapa yang rugi? Bukan dia sahaja yang rugi tetapi kita juga.

Kadangkala kita merasakan kalau kita sudah menggunakan kata-kata dan bahasa yang senang difahami, sepatutnya orang lain boleh menerimanya. Tetapi tahukah anda yang “verbal communication” (komunikasi secara lisan) hanya 7% sahaja daripada komunikasi? 93% lagi dipanggil sebagai “non-verbal communication” (komunikasi bukan lisan). Iaitu daripada intonasi suara kita, gerak badan kita, dan memek muka kita.

Non-verbal communication lagi banyak dirasai oleh orang lain. Dia boleh melihat bagaimana gerak badan, memek muka kita semasa bercakap. Sebagai contoh, katakan anda beritahu kepada seseorang: “Apa yang aku boleh tolong?” Kemudian orang itu berkata: “Tidak mengapa, saya tidak memerlukan pertolongan anda.” Kenapa agaknya?

Berkemungkinan besar dia telah dapat mengesan yang ‘bahasa badan’ anda bukannya ikhlas hendak menolong. Mulut anda sahaja yang kata hendak menolong tetapi daripada gerak badan dan memek muka anda, dia boleh mengesan yang anda bukannya ikhlas pun. Seperti kata pepatah: “Ajak-ajak ayam sahaja”.

Jadi anak yang tidak mengikuti arahan ibubapanya mungkin bukan sengaja mereka tidak taat. Tetapi kerana arahan yang diberikan tidak jelas dan tidak sampai kepada mereka.

Begitu juga dengan pekerja yang tidak mematuhi arahan orang atasan. Juga kerana cara komunikasi yang tidak berkesan. Mereka mungkin tidak faham dengan arahan dan mereka bekerja mengikut cara mereka sahaja.

Guru yang mengajar pun begitu juga. Bukan anak murid yang tidak pandai, tetapi guru itu yang tidak pandai mengajar. Pengajarannya mungkin satu hala sahaja. Dia hanya bercakap sahaja tanpa memeriksa sama ada anak muridnya faham ataupun tidak. Pelajar itu mungkin seorang yang “visual” (belajar melalui gambar) tetapi pengajaran guru itu hanya bercakap sahaja dari mula sehingga habis. Ini kita akan belajar tekniknya nanti.

Cara bercakap ini memang disentuh di dalam Qur’an kerana komunikasi merupakan perkara yang penting. Iblis dan syaitan akan sentiasa mencari peluang untuk membakar bibit-bibit permusuhan di kalangan manusia. Kerana itulah kalau silap cara berkomunikasi, boleh tercetusnya permusuhan. Syaitan akan membisikkan perkara yang boleh membuahkan kebencian. Contoh bisikan syaitan: “Takkan kau nak biarkan dia cakap macam tu kat kau?”

Kerana itulah juga Allah ‎ﷻ menasihati kita dalam Qur’an untuk berhati-hati dalam percakapan. Sebagai contoh, dalam Nisa’: 5

وَقولوا لَهُم قَولًا مَّعروفًا

dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.

Kalimah قَولًا bermaksud ‘kata-kata’ yang boleh juga bermaksud ‘komunikasi’. Saya senaraikan beberapa nasihat Allah ﷻ tentang perkara ini.

Qawlan Ma’roofan: seperti yang disebut dalam Nisa’: 5 di atas. Ia bermaksud apabila bercakap, gunakan kata-kata yang senang difahami. Jangan cakap berbelit-belit sampai orang pun tidak faham.

Ayat ini tentang harta anak yatim. Walaupun harta mereka tidak diberikan lagi kepada mereka, tetapi bila bercakap dengan mereka, beritahu dengan kata-kata yang baik. Biar mereka faham yang mereka tidak layak lagi untuk memegang harta mereka itu kerana mereka belum mengetahui cara untuk menjaganya lagi.

Ada lagi ayat-ayat Qur’an tentang komunikasi ini. Antaranya:

Qawlan Sadeedan: seperti yang disebut dalam Nisa’: 9 bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Percakapan yang jelas, jangan samar-samar. Ucapkanlah dengan jelas dan tepat dan jangan sorok perkara yang kita tahu.

Qawlan Baleeghan: seperti yang disebut dalam Nisa’: 63. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia sehingga nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas kepada jiwa.

Qawlan Kareeman: seperti yang disebut dalam Isra’: 23. Menegur dengan menggunakan kalimah yang sesuai. Isra’:23 adalah tentang berkomunikasi dengan ibubapa.

Kalau mereka salah, memang boleh ditegur tetapi kenalah menggunakan kalimah yang sesuai. Terutama apabila hendak menegur orang tua hendaklah bersesuaian dengan caranya. Bercakaplah dengan mereka dan dengan orang lain dengan adab.

Qawlan Maisooran: seperti yang disebut dalam Isra’: 28. Menggunakan ucapan yang lembut. Ayat ini memberi contoh apabila tidak dapat memberi infak kepada orang yang meminta. Kita mahu membantu tetapi tidak mampu untuk membantu pada waktu itu.

Maka kita jelaskan kepada mereka kenapa kita tidak dapat membantu. Gunakan penjelasan yang mudah difahami dan tidak berbelit-belit. Waktu itu yang meminta itu memang sedang mengharap dan kalau kita berbelit kata, mereka akan makin terseksa.

Qawlan Layyinan: seperti yang disebutkan di dalam Taha: 44. Maksudnya bercakap dengan lemah lembut. Memang ini bukan mudah untuk dilakukan terutamanya kepada mereka yang telah melakukan kesalahan.

Akan tetapi kita kenalah cuba kerana ayat Taha: 44 ini adalah arahan dari Allah ‎ﷻ kepada Nabi Musa عليه السلام untuk bercakap dengan lembut kepada Firaun dalam berdakwah. Kalau dengan Firaun pun kena bercakap lembut, apatah lagi dengan orang lain.

Yang penting, kena ada rasa tanggungjawab dalam berkomunikasi. Kena ada keinginan untuk menyampaikan maklumat yang senang difahami oleh pendengar.

🔖📌

SOALJAWAB

Apakah contoh nilai-nilai murni daripada para Anbiya‘ untuk menegur anak yang membuat perkara salah? Atau cara agar anak membuat amal soleh.

Sebab ada sesetengah para asatizah serta pakar motivasi berkata, ibubapa wajib memastikan anak-anak membuat amal soleh seperti salat. Jika susah untuk bangun Subuh, maka anggap seperti kita hendak menyelamatkan mereka daripada rumah yang sedang terbakar. Jirus air atau tarik hingga anak-anak segera bangun.

Bukankah ini saranan yang pelik?

Bermacam-macam cara digunakan oleh golongan salaf. Yang penting supaya sampai kepada yang hendak disampaikan itu. Itulah Qawlan Baleeghan.

Tiada satu cara untuk semua, kerana lain orang lain cara penerimaannya. Itu disebut “response” (tindakbalas) daripada komunikasi yang kita kena lihat. Jika dia masih tidak terima, kita boleh lihat daripada response dia dan kita gunakan cara yang lain.

Cara itu banyak sangat. Sebagai contoh, Nabi ﷺ pernah ditanya oleh sahabat yang masih hendak berzina. Nabi ﷺ bertanya: Engkau ada adik, ada emak, ada anak, ada isteri? Sahabat itu jawab, ya. Nabi ﷺ tanya balik: Kau sanggup kalau mereka itu berzina?

Barulah sahabat itu dapat “relate” (kaitkan). Kalau dia berzina dengan sesiapa pun, wanita itu adalah emak seseorang, anak seseorang, adik seseorang yang tentu mereka pun tidak sanggup kalau emak, adik atau anak mereka berzina.

Jadi pembacaan kenalah banyak supaya kita ada banyak pilihan bagaimana hendak sampaikan maklumat dan nasihat kepada anak mungkin ada anak yang kena cara keras, mungkin ada yang kena cara lembut.

Tetapi kena ada “contact” (hubungan). Iaitu sambil nasihat sentuh sedikit badannya, sama ada tangannya atau bahunya untuk menunjukkan kita sayang padanya.

Mungkin jika ada teknik-teknik lain, akan disampaikan.

Untuk bab salat telah ada caranya:

Umur 7 tahun bagi nasihat. Kita mengajak mereka salat dan kita salat dengan mereka, ini peringkat hendak membiasakan mereka. Mungkin dia masih liat lagi, dan ada lari-lari dari salat . “Understandable” (boleh difahami) kerana ini peringkat latihan.

Bila sudah 10 tahun, gunakan cara keras, boleh rotan jika tidak salat kerana sepatutnya dari sekarang mereka sudah biasa selama tiga tahun dididik salat. Maka patutlah kalau dirotan. Tetapi salah jika umur 10 tahun terus rotan tanpa ada didikan dari umur 7 tahun itu.

 

Di dalam Al-Qur’an ada terdapat kisah Nabi Ibrahim عليه السلام tabligh kepada bapanya. Nampak seperti bercakap sahaja.

Dalam Al-Qur’an ada Nabi Nuh عليه السلام yang anaknya kufur. Bagaimana baginda tabligh anaknya ketika masih di dalam jagaannya? Begitu juga Nabi Lut عليه السلام yang isterinya kufur juga.

Apa yang ingin saya kaitkan, sampai tahap manakah kita sebagai orang yang dipertanggungjawabkan ini harus menyampaikan tabligh?

Dalam Al-Qur’an ada disebut Nabi Ibrahim عليه السلام bercakap-cakap sahaja. Tetapi tentunya baginda menjaga akhlak yang baik dengan ayahnya.

Tidak disebut bagaimana Nabi Nuh عليه السلام mengajar anaknya dan bagaimana baginda mengajar isterinya.

Tabligh itu wajib dalam usaha kita setakat yang kita mampu. Kita dipertanggungjawabkan atas kemampuan kita. Anak-anak kita tentulah kita boleh tabligh sebab mereka adalah anak kita. Begitu juga dengan keluarga kita. Tetapi tidaklah kita dipertanggungjawabkan tabligh kepada Sultan kerana di luar kemampuan kita. Tetapi ada orang yang ada kemampuan tabligh kepada Sultan, maka jatuh wajib ke atas mereka.

Kita dipertanggungjawabkan ke atas “Circle of Influence” (Bulatan Pengaruh) kita. Ikut kemampuan kita.

Apakah perlu dilakukan jika kita menghalang anak-anak berkawan dengan anak jiran yang agak meragukan tingkah lakunya, perlukah berprasangka sedemikian?
Anak-anak jiran nampak baik, rajin tolong jiran lain tetapi oleh sebab bapanya menjual air ketum maka anak-anak dilarang bergaul.

Jawapan dari Ustaz Azlizan Nueq:

Kanak-kanak memang suka berkawan. Maka boleh benarkan berkawan dengan jiran.

Jika kanak-kanak itu membawa sikap buruk, maka boleh jauhkan daripada anak-anak kita.

Baik atau tidak, itu kenalah dinilaikan sendiri. Sebab ia adalah subjektif.

Jawapan dari Dr Tengku Asmadi

Anak-anak jiran nampak baik, rajin menolong jiran lain cuma disebabkan bapanya menjual air ketum maka anak-anak dilarang bergaul.

Jika bapa menjual air ketum, bukan bermakna anak-anaknya mabuk ketum. Jika anak-anaknya baik, tidak menjadi kesalahan untuk berkawan.


Saya hanya biasa dengan istilah “Social Engineering” sahaja. Namun adakah ia sebahagian daripada NLP juga? Dan adakah urusan perniagaaan boleh menggunakan kaedah NLP juga?

NLP untuk semua urusan sebenarnya


Bagaimanakah caranya untuk mengubah sikap malas dan suka bertangguh?

Bukan sikap malas sebenarnya. Kemalasan wujud kerana tiada matlamat yang membakar jiwa umpama gelap yang hadir disebabkan tiada cahaya.

Dalam NLP, gunakan Kuasa VAK untuk tingkatkan kemahuan mencapai matlamat. Senaraikan “BIG WHY” kita.


Apakah maksud Kuasa VAK?

V untuk Visual (gambar, video)
A untuk Auditori (bunyi, suara)
K untuk Kinestatik (sentuhan, rasa)


Adakah maksudnya dengan menggunakan semua pancaindera?

Betul. Pancaindera luaran dan dalaman. “Mental Representation” (Perwakilan Mental)

Jawapan dari Ustaz Azlizan Nueq.

Apakah maksud “BIG WHY” itu?

Kita ada sebab untuk melakukan sesuatu: hendak seribu daya dan tidak hendak seribu dalih.

Contoh, kalau ada yang hendak sangat pergi Umrah kerana dia inginkan pahala banyak (inilah WHY tu), dia akan mencari duit dan jalan untuk pergi umrah.

Jadi dalam NLP dan banyak motivasi lain, kita cari ‘sebab’ dia, jika sebab itu besar, cara dan semangat untuk mendapatkannya akan datang.

Contoh, dengan anak. Kita hendak menyuruhnya belajar. Tanya dia: “Kenapa Husna nak belajar?”

“Sebab nak lulus exam”.

“Kenapa nak lulus exam?”

“Sebab nak dapat keputusan SPM cemerlang”.

“Kenapa nak SPM cemerlang?”

“Nak jadi doktor”.

“Kenapa nak jadi doktor?”

“Sebab kalau mak sakit, Husna boleh ubat mak”.

Jadi, WHY di sini adalah kerana ingin menjadi doktor dan kerana dia sayangkan emaknya dan dia ingin mengubati emaknya sendiri.


Adakah hendak pergi umrah tetapi masih lagi tidak menyimpan duit, jadi tidak boleh dijadikan sebagai WHY? Seolah-olah tidak nampak berusaha ke arah itu?

Bila tiada usaha maksudnya WHY itu tidak cukup besar.

Sebenarnya, kita bukan boleh motivasi orang pun, sebab manusia sudah tersedia bermotivasi.

Cuma motivasi mereka mungkin di tempat lain.

Mat rempit sangat bermotivasi untuk merempit, sampai sanggup menyabung nyawa.
Penagih dadah juga sangat bermotivasi untuk menagih sampai sentiasa sahaja mencari peluang untuk mendapatkan dadah sehinggakan sanggup untuk mencuri, memukul opah sendiri dan lain-lain.

Maka, yang kita lakukan adalah memperbetulkan balik kepala dia supaya mengubah motivasi daripada perkara yang buruk kepada perkara yang baik.

Maka, di dalam sesi, kita akan tanya dia: kenapa, kenapa, kenapa buat begitu?
Begitu juga dengan kita, kita tanya balik kenapakah aku buat begini? Kenapa aku pilih begini?

Akhirnya akan sampai kepada satu keputusan apakah yang penting dalam hidup kita.

Bila sudah dapat, maka kita boleh salurkan usaha kita ke arah perkara yang lebih penting itu.

Komen dan Soalan