Utama Blog Halaman 61

Soal Jawab: Zakat Harta Dan Zakat Fitrah

5

🔴 Adakah zakat wajib dibayar di negeri kita bekerja atau boleh memilih PPZ (Pusat Pungutan Zakat) tempat lahir/ kampung dan sebagainya?

🔷 Pada asalnya, pihak yang menguruskan zakat adalah pihak local (pihak berkuasa tempatan). Dalilnya: Perintah Nabi ﷺ ketika melantik Muaz bin Jabal ke Yaman.

..فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ (رواه البخاري (1395)، ومسلم (19))

Maka beritahukanlah kepada mereka, bahawa Allah ﷻ mewajibkan kepada mereka zakat yang diambil dari orang-orang kaya mereka dan diberikan kepada para faqir miskin mereka. ” (Bukhari: 1395. Muslim: 19)

Tiga mazhab iaitu Asy-Syafi’iy, Hanafi dan Hanabilah, zakat dikeluarkan di tempat bermastautin manakala Maliki pula membolehkan zakat dipindahkan ke kawasan lain jika ada maslahat berbuat demikian.

Setakat ini di Malaysia, ia urusan yang didiamkan. Maksudnya pengeluar zakat harta bebas menyalurkan zakat ke negeri-negeri yang dipilihnya. Selagi pihak penguasa tidak mengeluarkan peraturan khas menghalang pergerakan zakat maka rakyat bebas berbuat demikian berdasarkan ijtihadnya.


🔴 Bagaimanakah cara hendak berzakat di dalam bisnes/ perniagaan yang dikongsikan bersama rakan? Adakah dibahagikan mengikut jumlah harta/ modal masing-masing kemudian berzakat sendiri jika mencukupi jumlah harta yang wajib dikenakan zakat? Berapakah jumlah harta yang wajib untuk dikeluarkan zakat?

🔷 Revenue (pulangan) tolak expenses (perbelanjaan). Jika total net profit (jumlah keuntungan bersih) melebihi harga semasa 85 gm emas maka wajib zakat 2.5%. Katakan net profit RM 100,000 maka zakat 2.5%. Ini untuk accounting year (akaun tahunan) semasa prepare income statements (menyediakan penyata pendapatan).


🔴 Jikalau seseorang itu melabur di dalam ASB (Amanah Saham Bumiputera), AHB (Amanah Hartanah Bumiputera) atau apa-apa sahaja jenis pelaburan adakah dividen yang diterima dan dibelanjakan wajib dikenakan zakat?

🔷 Kena zakat. Sila browse (layari) PPZ (Pusat Pungutan Zakat) seperti PPZ Selangor kerana ada calculator (cara kiraan) nya.


🔴 Adakah zakat fitrah afdal dibayar di tempat kita mencari rezeki/ bekerja?

🔷 Tempat di mana kita menyambut 1 Syawal.


🔴 Bolehkah orang yang tidak ada hubungan kekeluargaan seperti kawan membayarkan zakat fitrah kita?

🔷 Tujuan zakat fitrah adalah untuk membersihkan diri. Ruling (peraturan):
Jika anak dara yang belum bekerja yang mengeluar/ bayarkan zakat adalah walinya. Jika isteri pula suami yang keluar/ bayarkan. Jika bujang tetapi telah bekerja dia perlu keluar/ bayar sendiri. Kawan pun boleh bayarkan tetapi menjadi sedekah sahaja.
Dalil:

والعبد ممن تمونون (روى الدارقطني عن ابن عمر قال: أمر رسول الله – صلى الله عليه وسلم – بصدقة الفطر عن الصغير والكبير والحر والعبد ممن تمونون؛ (حديث حسن) (إرواء الغليل للألباني جـ8 حديث 835).

Dan atas siapa saja yang kamu tanggung keperluan asas hidupnya.
(Daruqutni, dinilai hasan oleh al albani, al Irwa’: 835)


🔴 Jika suami tidak bekerja tetapi isteri bekerja dan mempunyai seorang anak yang masih bersekolah bolehkah isteri yang membayar zakat fitrah untuk dirinya dan anaknya yang masih bersekolah itu?

🔷 Boleh sahaja. Dalil hadithnya:

لَهُمَا أَجْرَانِ أَجْرُ الْقَرَابَةِ وَأَجْرُ الصَّدَقَةِ

Kedua wanita itu mendapatkan dua pahala iaitu pahala membantu kerabat dan pahala sedekah.” (HR. Bukhari no. 1466 dan Muslim no. 1000)

🔴 Bagi lelaki atau perempuan bujang yang belum bekerja walinya yang bayarkan dan yang sudah bekerja perlu bayar sendiri atau anak dara yang sudah bekerja pun walinya yang bayarkan zakat fitrah?

🔷 1. Status tanggungan untuk anak bujang atau anak dara yang masih di kolej dibayar oleh walinya.

2. Jika anak bujang atau anak dara sudah keluar IPT (Institusi Pengajian Tinggi) dan bekerja maka dia bayar sendiri kerana sudah ada pendapatan sendiri. Ada pendapatan sendiri itulah petanda kena bayar zakat fitrah. Untuk anak dara jika malu hendak bayar sendiri, boleh berikan duit kepada ayah sebagai wakil.

3. Zakat fitrah boleh diagihkan sendiri kepada fakir miskin atau orang yang susah. Nilai minima cuma RM7.00 sahaja. Maka apabila cari/ jumpa orang miskin maka berilah RM10.00. (jumlah ini sebagai cadangan sahaja)


🔴 Siapakah yang wajib membayar zakat fitrah bagi wanita yang telah berkahwin dan tidak bekerja dan juga untuk wanita bujang?

🔷 1. Wanita status berkahwin atau surirumah yang tidak bekerja dibayar oleh suami.

2. Wanita bujang yang tidak bekerja dibayar oleh walinya.


🔴 Seseorang yang baru mengalami accident (kemalangan) kemudian mengadu yang dia tidak boleh bekerja untuk menyara anak dan isteri kerana tulangnya patah. Adakah orang ini kita boleh beri zakat fitrah?

🔷 Ini panduannya.
Fakir = tidak ada income (pendapatan) langsung
Miskin = ada income (pendapatan) tetapi 50% sahaja mencukupi untuk menyara hidup

Maka orang itu termasuk dalam golongan fakir.


🔴 Jika income (pendapatan) cukup untuk sara hidup sahaja tetapi mempunyai hutang dengan orang lain termasuk dalam golongan mana? Miskin atau fakir?

🔷 Hutang ada banyak jenis. Hutang dengan along, hutang dengan bank, loan (pinjaman) rumah atau kereta, hutang dengan sahabat handai/ kawan atau hutang dengan family (keluarga). Hutang yang mana satu?


🔴 Jika hutang dengan sahabat?

🔷 Kena faham konsep dahulu. Jika tidak, soalan akan muncul tanpa henti. Perlu faham bahawa fakir tafsirannya adalah tiada income (pendapatan) langsung manakala miskin pula mempunyai income (pendapatan) tetapi tidak dapat menampung kos hidup sepenuhnya. Hanya mampu menampung perbelanjaan 50% sahaja.


🔴 Contoh hanya mampu menampung perbelanjaan 50% itu bagaimana?

🔷 Contoh:
Kos untuk menampung sara hidup sebulan adalah RM2,000.
Pendapatan pula hanya RM1,000.

Terlebih dahulu senaraikan kos perbelanjaan seperti sewa rumah, pinjaman motosikal, bil eletrik, yuran pengajian/ tuisyen anak, kos petrol, bil astro, bil telefon dan sebagainya.

Oleh itu pendapatan dia cuma dapat menampung 50% sahaja kos perbelanjaan. Jalan penyelesaiannya adalah perlu membuat lebih daripada satu pekerjaan atau isterinya perlu bekerja.


🔴 Adakah zakat dikenakan bagi duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang dikeluarkan?

🔷 KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) telah ada dua skim iaitu skim caruman patuh syariah dan skim caruman konvensional. Orang Islam perlu mengambil opsyen (pilihan) syariah. Jika wang masih di dalam akaun/ caruman konvensional, maka ketika pengeluaran pada usia 55 tahun hendaklah dikenakan zakat sebanyak 2.5% ke atas jumlah yang sempurna milik.


🔴 Pengeluaran dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada umur 50 tahun dan 55 tahun. Pengeluaran semasa umur 50 tahun itu dikenakan zakat juga atau pengeluaran semasa umur 55 tahun sahaja?

🔷 Perlu dikeluar/ bayarkan zakat juga kerana sudah sempurna milik. Sebelum ini milik tidak sempurna kerana di bawah kawalan pihak KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

🔴 Bolehkah duit zakat diberikan kepada anak kecil yang miskin berumur 10 tahun?

🔷 Golongan yang layak menerima zakat.
Asnaf 1: Golongan fakir
Asnaf 2: Golongan miskin
– Jika anak kecil dan keluarganya termasuk di dalam golongan kedua-dua asnaf ini maka memang boleh diberikan zakat.
Asnaf 3: Amil Zakat
Asnaf 4: Muallaf (orang-orang yang dilunakkan hatinya)
Asnaf 5: Untuk memerdekakan budak
Asnaf 6: Orang Yang Berhutang
Asnaf 7: Ibnus Sabil (musafir yang berada di suatu negeri dan tidak memiliki sesuatu apa pun yang boleh membantunya dalam perjalanan)
Asnaf 8: Fi sabilillah (orang yang berjuang pada jalan Allah ﷻ) termasuk rumah anak yatim


🔴 Perlukah disebut/ beritahu kepada penerima zakat tentang zakat yang kita bayar?

🔷 Hendak beritahu atau hendak rahsiakan pun boleh.


🔴 Adakah kita boleh menerima duit daripada seorang asnaf atas alasan as a token of appreciation (sebagai tanda penghargaan) kerana menolong merujukkan kes dia ke PPZ (Pusat Pungutan Zakat)? Saya berasa pelik untuk menerimanya kerana sumbernya daripada duit zakat.

🔷 Jika anda di dalam kalangan orang yang berada, maka kena tolak. Jika dia hendak beri juga, maklumkan kepada dia yang anda akan masukkan ke dalam tabung masjid.

🔴 Bolehkah zakat diberikan kepada non (bukan) muslim?

🔷 Menurut mazhab Asy-Syafi’iy tidak boleh. Mazhab yang membenarkan adalah sebahagian daripada Hanabilah dan Hanafi. Fuqaha’ kontemporari (semasa) yang mengatakan boleh ialah Dr Al Qaradhawi (fiqh zakat), Dr Abdul Kareem Zaydan (Al Mufassal) dan Dr Umar Sulaiman Al Asyqar Jordania.
Nasnya: At-Tawbah ayat 60 (… non (bukan) muslim yang akan dijinakkan hatinya..), Al-Mumtahanah ayat 8-9 dan ijtihad Khalifah Umar Al Khattab ra:

Sesungguhnya sedekah (zakat) itu untuk golongan fakir… ”, beliau berkata: “ Di zamanku ini mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian) ” (atsar Riwayat Ibn Abi Syaibah)

إِنَّمَا الصَّدَقاتُ لِلفُقَراءِ وَالمَساكينِ وَالعامِلينَ عَلَيها وَالمُؤَلَّفَةِ قُلوبُهُم وَفِي الرِّقابِ وَالغارِمينَ وَفي سَبيلِ اللَّهِ وَابنِ السَّبيلِ ۖ فَريضَةً مِنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ حَكيمٌ

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) hamba, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. ” [At-Tawbah: 60]

لّا يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ لَم يُقٰتِلوكُم فِي الدّينِ وَلَم يُخرِجوكُم مِّن دِيٰرِكُم أَن تَبَرّوهُم وَتُقسِطوا إِلَيهِم ۚ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ المُقسِطينَ

Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. ” [Al-Mumtahanah: 8]

إِنَّما يَنهٰكُمُ اللهُ عَنِ الَّذينَ قٰتَلوكُم فِي الدّينِ وَأَخرَجوكُم مِّن دِيارِكُم وَظٰهَروا عَلىٰ إِخراجِكُم أَن تَوَلَّوهُم ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم فَأُولٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمونَ

Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan barangsiapa menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. ” [Al-Mumtahanah: 9]


🔴 Apakah dalil mazhab Asy-Syafi’iy untuk tidak membolehkan memberi zakat kepada non (bukan) muslim?

🔷 Mereka menurut fatwa imam Asy-Syafi’iy di dalam Al-Umm. (kitab)

Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang telah masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sedekah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain Nabi ﷺ telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian daripada harta fai (harta rampasan) atau dari harta Nabi ﷺ sendiri. Bukan dari harta zakat . ” (Al-Umm, 2/338. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi)

 

Jawapan daripada:
Syeikh Tuan Hassan Tuan Lah (THTL)
@FiqhWanitaUito

TBK 10.2.8 Turunnya Nabi Isa عليه السلام

0

TBK 10.2 Turunnya Nabi Isa
(نزول عيسى بن مريم عليه السلام)

10.2.8 Membahaskan dalil sekitar turunnya Nabi Isa al-Masih عليه السلام.
(الأدلة على نزول عيسى عليه السلام)


تقدم أن عيسى عليه السلام رفعه الله عز وجل إليه لما جاءه اليهو ليقتلوه ودلت الأدلة الشرعية أنه سوف ينزل في آخر الزمان ونزوله من علامات الساعة.والأدلة على نزوله في آخر الزمان كثيرة منها

Sebelumnya sudah dikemukakan perihal diangkatnya Nabi Isa عليه السلام ke langit lantaran angkara Yahudi yang ingin membunuhnya, kemudian Nabi Isa عليه السلام akan turun semula di akhir zaman sebagai tanda-tanda besar kiamat.
Berikut akan dibahaskan pula dalil-dalil sekitar penurunan baginda dari dalil Al-Qur’an dan as-Sunnah.

Dalil Al-Qur’an 1:

وَإِنَّهُ لَعِلْمٌ لِلسَّاعَةِ فَلَا تَمْتَرُنَّ بِهَا وَاتَّبِعُونِ هَذَا صِرَاطٌ مُسْتَقِيمٌ (٦١)

“Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang (hari kiamat) itu, dan turutlah (petunjukKu); inilah jalan yang lurus.”
[Az-Zukhruf: 61]


قال ابن عباس رضي الله عنه :[ وإنه لعلم للساعة أي خروج عيسى علسه السلام قبل يوم القيامة] ( رواة أحمد في مسنده وصححه أحمد شاكر)

وقال الطبري:[ معناه أن عيسى ظهوره علم يعلمون به مجيء الساعة لأن طهوره من أشراطها ونزولةه إلى الأرض دليل على فناء الدنيا وإقبال الآخرت](تفسير الطبري(21/631))

Berkata Ibnu ‘Abbas رضي الله عنه:
Ayat ini bermaksud keluarnya Nabi Isa عليه السلام sebelum hari kiamat [Riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, disahihkan oleh Syaikh Ahmad Syakir, seorang muhaqqiq]

Berkata Imam at-Tabari رحمه الله‎:
Ayat ini bermaksud bahawa kemunculan semula Nabi Isa عليه السلام adalah merupakan tanda untuk mengetahui datangnya hari kiamat. Ini kerana turunnya Nabi Isa عليه السلام merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat, petunjuk kepada akan hancurnya dunia dan bermulalah akhirat.


Dalil Al-Qur’an 2:

قول الله عز وجل:{وَقَوْلِهِمْ إِنَّا قَتَلْنَا الْمَسِيحَ عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ رَسُولَ اللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَكِنْ شُبِّهَ لَهُمْ وَإِنَّ الَّذِينَ اخْتَلَفُوا فِيهِ لَفِي شَكٍّ مِنْهُ مَا لَهُمْ بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِلَّا اتِّبَاعَ الظَّنِّ وَمَا قَتَلُوهُ يَقِينًا (١٥٧) بَلْ رَفَعَهُ اللَّهُ إِلَيْهِ وَكَانَ اللَّهُ عَزِيزًا حَكِيمًا (١٥٨) وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا (١٥٩)}

“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: “Sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang – salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin (157).
Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana (158).
Dan tidak ada seorang pun daripada kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka (159).”
[An-Nisa’: 157–159]

وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلَّا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا (١٥٩)

Ayat ini adalah indikasi turunnya Nabi Isa عليه السلام menjelang kiamat (dan tidak ada seorang pun daripada kalangan ahli kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa عليه السلام sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa عليه السلام akan menjadi saksi terhadap mereka).

Tafsir at-Tabari رحمه الله‎:

قوله عز وجل :{وإن من أهل الكتاب إلا ليؤمنن به قبل موته} قال :[ ذلك عند نزول عيسى ابن مريم عليه السلام لا يبقى أحد من أهل الكتاب إلا ليؤمنن به}

Maksud dari firman Allah ﷻ (dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa عليه السلام sebelum matinya) adalah ia terjadi ketika diturunkan Nabi Isa bin Maryam عليه السلام, maka tidak tersisa seorang pun orang Kristian melainkan beriman kepadanya.”
[Tafsir at-Tabari 9:380]

Menurut Imam Ibnu Katsir رحمه الله‎:

فأخبرت هذه الآية الكريمة انه يؤمن به جميع أهل الكتاب حينئذ ولا يتخلف عن التصديق به واحد منهم

Ayat ini mengkhabarkan ketika turunnya Nabi Isa عليه السلام (selepas membunuh dajjal), maka berimanlah seluruh umat Kristian dan tidak seorang pun yang menyanggahnya.”
[Tafsir Ibnu Katsir, 2:454]

  • Rumusan:
    Ini seumpama suatu keajaiban, di mana 2.8 bilion orang Kristian akan beriman dengan Islam melalui kedatangan semula Nabi Isa al Masih dan tidak seorang pun umat Kristian yang menentangnya baik Katholik, Anglican, Orthodoks, dan Protestant.

Dalil hadith 1:

عن حذيفة بن أسيد رضي الله عنه قال :اطلع النبي صلى الله عليه وسلم علينا ونحن نتذاكر الساعة ,فقال :<<ما تذكرون؟>>قلنا: نذكر الساعة.قال:<<انها لن تقوم حتى ترو قبلها عشر آيات: الدخان,والدابة . وطلوع الشمس من مغربها, ونزول عيسى ابن مريم, ويأجوج ومأجوج, وثلاثة خسوف: خسف بالمشرق ,و خسف بالمغرب, وخسف بجزيرة العرب, وآخر ذلك نار تخرج من قبل عدن -في اليمن – تطرد الناس إلى محشرهم>

Daripada Huzaifah Bin Asid al-Ghifari رضي الله عنه berkata: “Telah muncul Rasulullah ﷺ di samping kami apabila kami sedang berbincang. Maka baginda bertanya: Apa yang kamu bincangkan? Mereka menjawab: Kami sedang membicarakan perihal al-Sa’ah (hari kiamat). Lalu Rasulullah bersabda ﷺ:

إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ – فَذَكَرَ – الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ

“Sesungguhnya ia (hari kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya 10 tanda”. “Baginda ﷺ menyebut (tanda-tanda tersebut):
1. Asap,
2. Dajjal,
3. al-Dabbah,
4. Terbitnya matahari dari barat,
5. Turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam,
6. Ya’juj dan Ma’juj dan
7-9. Tiga mendapan iaitu satu di Timur, satu di Barat dan satu lagi di rantau atau jazirah Arab.
10. Adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar.”
[Muslim no. 2901]

Fiqh hadith:
Ini yang sedang dibincangkan sekarang bermula dengan Dajjal dan siri kedua sekarang: Nabi Isa al-Masih عليه السلام.
Cuma ia dipaparkan sekali lagi untuk menyatakan inilah hadith yang menyatakan kesahihan turunnya Nabi Isa al-Masih عليه السلام dari dalil hadith, ia termasuk 10 tanda kiamat Kubra.


Dalil hadith 2:

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه,

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:<<والذي نفسي بيده ليوشكن أن ينزل فيكم ابن مريم حكما عادلا , فيكسر الصليب , ويقتل الخنزير, ويضع الجزية ,لا يقبل من كافر ,ويفيض المال حتى لا يقبله أحد, حتى تكون السجدة الواحدة خير من الدنيا وما فيها > متفق عليه

“Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya. Tidak lama lagi Isa bin Maryam akan turun di tengah-tengah kalian sebagai hakim yang adil. Baginda akan menghancurkan salib, membunuh babi, menghapus jizyah, tidak diterima (jizyah) dari orang kafir, harta semakin banyak dan semakin berkat sampai seseorang tidak ada yang menerima harta itu lagi (sebagai sadaqah, penterjemah), dan sujud seseorang lebih disukai daripada dunia dan seisinya.”
[Bukhari no. 3448 dan Muslim no. 155]


Syarah dalil hadith.

◾️ Syarah pertama:

Menghancurkan salib (فَيَكْسِرُ الصَّلِيبَ)

Ia bermaksud:
Nabi Isa عليه السلام benar-benar akan mematahkan salib, dan menghapuskan amalan Kristian yang memuliakan salib.
Baginda عليه السلام akan membatalkan agama Kristian.
[Syarah Sahih Muslim 2/190, Fathul Bari 6/491]

‘Salib’ atau ‘cross’ adalah aqidah agama Kristian, di mana Jesus telah menebus dosa manusia di tiang salib.
Manakala puak Yahudi meyakini bahawa mereka telah benar-benar membunuh Nabi Isa عليه السلام di tiang salib.

◾️ Syarah kedua:

Membunuh babi (وَيَقْتُلُ الْخِنْزِيرَ)

Menurut Ibnu Hajar رحمه الله‎:

Ia bermaksud:
Memerintahkan dilenyapkan babi-babi, untuk menyerlahkan lagi bahawa ia haram dimakan. Ia juga membawa erti celaan kepada Kristian yang mendakwa pengikut Nabi Isa عليه السلام, kemudian mereka menghalalkan memakan babi dan menyukainya.
[Fathul Bari 4/414]

◾️ Syarah ketiga:

Menghapuskan jizyah (وَيَضَعُ الْجِزْيَةَ)

Antara tafsiran terbaik maksud jizyah (cukai kepala):

1. Kerajaan dan umat Islam ketika itu tidak memerlukan lagi jizyah, kerana kekayaan melimpah ruah.

2. Tiada lagi pilihan bagi orang kafir untuk membayar jizyah. Sama ada mereka memeluk Islam ataupun mereka akan diperangi. Inilah yang dipilih oleh Imam an-Nawawi رحمه الله‎.
[Syarah Sahih Muslim 2/190]


◾️ Syarah keempat:
ويفيض المال حتى لا يقبله أحد

Ia bermaksud:
Melimpahkan harta hingga tidak ada orang yang menerima sadaqah.

Nabi Isa عليه السلام akan melakukan reformasi ekonomi dan mengurus kekayaan dunia sehingga jurang antara kaya dan miskin dapat dirapatkan dan tidak ada orang yang akan menerima sadaqah lagi.

◾️ Syarah kelima:

<تكون السجدة الواحدة خير من الدنيا وما فيها >>:أي :أن الناس تعظم رغبتهم في الصلاة وسائر الطاعات لقصر آمالهم وزهدهم في الدنيا ويقينهم بقرب القيامة,ولأنه سيكون هناك رزق وفير فلا ينشغل المسلم عن عباداته بطلب المعاش

Salat lebih baik daripada kesibukan dunia.

Ia bermaksud:
“Satu sujud lebih baik daripada dunia dan isinya” ialah semangat manusia beribadah di zaman Nabi Isa عليه السلام nanti lebih bersemangat tinggi kerana kurangnya angan-angan, mereka lebih zuhud dan keyakinan mereka kepada akhirat sampai ke kemuncaknya kerana melihat sendiri Nabi Isa عليه السلام.
Juga mereka tidak perlu sibuk seperti sebelumnya kerana berlaku limpahan kemakmuran ekonomi untuk semua orang. Manusia tidak lagi terkejar-kejar dan disibukkan dengan kegiatan ekonomi.


Dalil hadith 3:

Dari Abu Hurairah رضي الله عنه:

155 عن أبي هريرة أنه قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم والله لينزلن ابن مريم حكما عادلا فليكسرن الصليب وليقتلن الخنزير وليضعن الجزية ولتتركن القلاص فلا يسعى عليها ولتذهبن الشحناء والتباغض والتحاسد وليدعون إلى المال فلا يقبله أحد

“Demi Allah, sesungguhnya Ibni Maryam akan turun menjadi seorang hakim yang adil, menghancurkan salib, membunuh babi, menghapus cukai, pada masa itu engkau akan meninggalkan al-Qalash, tidak ada yang ingin memilikinya lagi, tiada dalam masyarakat rasa dendam, permusuhan dan dengki. Seruan kepada pelaburan kekayaan tidak ada lagi sambutan.”
[Muslim no. 155]

Syarah hadith:

1. Nabi Isa al masih عليه السلام akan menjadi hakim yang adil, menghukum manusia dengan syariat Nabi Muhammad ﷺ itulah sebaik-baik hukum.

2. Menghapus semua cukai yang membebankan manusia, seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax) atau Cukai Pendapatan (Income Tax). Ini kerana kecekapan sistem dan pegawai, maka cukai tidak diperlukan kerana tiada pembaziran dan tiada rasuah.

3. Manusia akan meninggalkan al-Qalash.

القلاص هي الإبل الفتيه الشابة وهذه مرغوبة جدا وهي أنفس أموال العرب فبتركها الناس ويهملونها ولا يسعون في تربيتها ولا إطعامها والتجارة بها

Menurut Dr al-Arifi, al-Qalash adalah unta muda, harta yang menjadi rebutan orang Arab di zaman salaf. Contoh harta yang menjadi rebutan zaman kita semisal unta ialah kereta, dan lain-lain lagi. Maka ketika Nabi Isa عليه السلام memerintah, manusia tidak lagi berminat dengan kemewahan harta dunia.

4. Masyarakat kembali aman, seperti yang dirasai oleh zaman keemasan Islam iaitu zaman khulafa’ ar-Rashidin. Tiada lagi permusuhan, dendam kesumat, dengki-mendengki, dan akan diseliputi rasa aman, rasa ukhuwah, kasih sayang sesama sendiri.

@tanda2kiamat

Tafsir Surah Al- Baqarah – Tafsir Ayat Ke-174 dan Ke-175

0

Tafsir Surah Al- Baqarah

Tafsir Ayat Ke-174

Ini adalah satu lagi ayat amaran daripada Allah ‎ﷻ iaitu kepada orang yang menyembunyikan ilmu daripada manusia. Mereka yang berilmu kena sampaikan hukum halal haram kepada manusia hingga mereka faham.

Jangan sembunyikan ilmu daripada manusia. Kena sampaikan dan sama ada mereka hendak terima atau tidak, jangan hirau, janji kita sudah sampaikan.

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ وَيَشتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنًا قَلِيلاً‌ۙ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا يَأكُلُونَ فِى بُطُونِهِم إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُڪَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَومَ ٱلقِيَـٰمَةِ وَلَا يُزَڪِّيهِم وَلَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ ٱلڪِتَـٰبِ

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang Allah telah turunkan dari Kitab;

Ayat ini merujuk kepada ‘orang agama’ yang menyembunyikan ilmu agama kepada pengikut mereka. Mereka tidak menceritakan kebenaran kepada masyarakat bahawa ada perbuatan masyarakat itu yang salah di sisi agama. Mereka tidak memberitahu, kerana mereka takut hendak beritahu.

Mereka takut hendak beritahu kerana takut masyarakat tidak dapat terima. Masyarakat pula memang senang terkejut kalau diberitahu benda-benda baru yang mereka tidak pernah dengar (kerana tidak pernah belajar wahyu). Apabila masyarakat tidak dapat terima, guru-guru agama itu takut masyarakat sudah tidak panggil mereka datang mengajar.

Apabila mereka tidak dipanggil mengajar, mereka takut mereka tidak dapat upah mengajar lagi. Atau kedudukan mereka dalam masyarakat akan jatuh. Maknanya mereka takut punca pendapatan mereka akan hilang. Maka mereka buat keputusan untuk membisukan sahaja tentang kesalah fahaman dan amalan dalam masyarakat. Agaknya mereka harap orang lainlah yang beritahu.

Antaranya yang mereka tidak beritahu adalah tentang apakah makanan yang tidak boleh dimakan, juga tentang kesalahan pengharaman makan dalam amalan pantang. Sebab apa mereka takut hendak beritahu?

وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلً

dan menjualnya untuk mendapat upah yang sedikit;

Mereka tidak memberitahu kerana mereka takut anak murid akan lari. Nanti takut tidak dapat duit lagi daripada anak murid-anak murid mereka yang selalu beri imbuhan kepada mereka selepas mereka mengajar. Sekarang agama sudah menjadi satu cara untuk mencari wang. Memang untung kalau jual agama.

Banyak ustaz-ustaz yang mengambil upah mengajar di masjid-masjid sampai mereka boleh pakai kereta besar-besar. Mereka ramai yang hidup dengan mewah. Itu belum lagi dikira mereka mengambil upah menjadi kepala tekong majlis tahlil atau Salat Hajat.

Kalau mereka tidak mengharap upah dalam bentuk kewangan, ada juga mereka yang mengharap kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Ini kerana ramai dalam kalangan orang agamawan yang menjadi tempat rujukan mereka dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Mereka telah mendapat kedudukan yang selesa dalam masyarakat.

Kita takut nanti terjadi seperti yang terjadi kepada Bani Israil. Pendeta-pendeta mereka menjadi rujukan orang bawahan mereka. Orang bawahan akan datang kepada mereka untuk mendapatkan fatwa tentang sesuatu perkara. Kadang-kadang fatwa yang diberikan tidak seperti yang mereka ingini.

Jadi, mereka akan pergi kepada pendeta yang lain pula sampai mereka dapat fatwa yang sesuai dengan kehendak mereka. Jadi, pendeta yang boleh beri fatwa yang mereka kehendaki itulah yang akan mendapat upah.

Begitulah yang terjadi dengan agama Islam sekarang. Masyarakat mahukan pendapat agama yang kena dengan selera mereka yang telah biasa mereka lakukan. Jadi ada guru-guru agama yang tidak berani memberitahu kebenaran, takut anak-anak murid mereka akan lari kepada guru yang membenarkan apa yang mereka buat.

Sebagai contoh, kalau kita beritahu Majlis Tahlil tidak boleh diadakan, mereka akan mencari guru agama yang kata boleh buat. Banyak jenis guru agama sekarang, ada yang sampai sanggup mengatakan tidak salah malahan baik untuk mengadakan majlis Tahlil dan Salat Hajat. Asalkan mereka mendapat ramai pengikut. Mereka dapat banyak pengikut dengan kata perkara yang sesuai dengan selera masyarakat.

Apabila banyak pengikut, bermakna mereka akan dapat lagi banyak duit upah. Itu juga dikira sebagai menjual agama untuk mendapat upah yang sedikit. Kenapa dikata upah yang mereka dapat itu sedikit? Kerana banyak mana pun upah yang mereka dapat itu tidak dapat hendak dibandingkan dengan hukuman yang mereka akan terima.

Selalu hujah yang mereka gunakan adalah: “Ini adalah perkara khilafiah. Ada pendapat yang mengatakan boleh.” Mereka kata itu adalah perbezaan pendapat antara ulama’. Ada kata boleh, dan ada yang kata tidak boleh. Ingatlah bahawa akan ada sahaja orang yang mengaku ahli agama yang akan mengatakan boleh melakukan sesuatu itu.

Kalau kita hendak mencari ustaz yang mengatakan boleh buat apa-apa, kita akan berjumpa dengan ustaz yang kata boleh. Namun adakah benar hujah mereka itu? Kita kenalah jujur dengan agama. Janganlah hanya mengikut pendapat ustaz sahaja. Kena dapatkan apakah dalil mereka. Kalau pendapat yang diberikan tidak ada dalil, tidak boleh dipakai. Memanglah khilafiah, tetapi antara yang ‘ada dalil’ dan ‘tidak ada dalil’. Maka kita tidak boleh pakai pendapat kosong sahaja.

Kalau dalil yang diberikan bukan daripada Al-Qur’an dan Sunnah, maka tolaklah hujah mereka itu. Ada kemungkinan mereka pun tidak tahu apa yang mereka cakapkan. Janganlah kita bodoh sangat sampai kita sangka kalau seseorang itu dipanggil ‘ustaz’, dia sudah tahu semua tentang agama. Ramai yang ikut sahaja kata masyarakat awam kerana takut hendak tegur.

أُولَٰئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ

Tidaklah mereka makan dalam perut-perut mereka melainkan api neraka

Apabila ustaz-ustaz, guru-guru agama menggunakan kedudukan mereka dalam masyarakat untuk memberikan pandangan agama hanya untuk memuaskan hati pengikut-pengikut mereka, dan dapat rezeki dengan cara itu, Allah ‎ﷻ kata Dia akan memasukkan api neraka ke dalam perut mereka.

Maknanya, rezeki yang mereka makan hasil daripada apa yang mereka ajar kepada masyarakat itu adalah api neraka sebenarnya. Mereka sangkakan yang itu adalah rezeki, tetapi rupanya ia adalah api neraka.

وَلَا يُكَلِّمُهُمُ اللَّهُ يَوْمَ ٱلقِيَـٰمَةِ

Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari Kiamat;

Ini adalah satu penghinaan apabila Allah ‎ﷻ tidak berkata-kata dengan mereka. Allah ‎ﷻ tidak akan berkata dengan mereka kecuali dengan kata-kata yang tidak baik – dalam keadaan marah. Tidak ada kata-kata yang baik dan mesra untuk mereka jenis ini kerana amat berat kesalahan yang mereka lakukan.

Mereka sepatutnya orang yang banyak belajar agama, sepatutnya tahu mana yang haram dan mana yang halal. Merekalah yang sepatutnya menyelamatkan masyarakat dari neraka, tetapi mereka tidak beritahu kepada masyarakat.

Allah ‎ﷻ tidak akan berkata-kata dengan mereka dengan lembut. Tidak seperti Allah ‎ﷻ berkata dengan hamba-Nya yang mukmin. Allah ‎ﷻ menzahirkan keredhaan Allah ‎ﷻ kepada mereka yang mukmin dengan pemberian yang lebih lagi daripada syurga.

Namun kepada mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar, Allah ‎ﷻ amat murka dengan mereka. Allah ‎ﷻ cakap kasar dan kesat dengan mereka. Macam manusia halau dan hambat anjing.

وَلَا يُزَكِّيهِمْ

dan tidaklah Tuhan akan menyucikan mereka;

Bermakna Allah ‎ﷻ tidak akan mengampunkan dosa-dosa mereka. Kita sebagai manusia tentu banyak dosa yang kita lakukan. Kita mengharapkan semoga Allah ‎ﷻ akan mengampunkan segala dosa-dosa kita itu. Namun kalau Allah ‎ﷻ kata Dia tidak akan menyucikan dosa kita, maka amat malanglah nasib kita nanti.

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan bagi mereka azab yang pedih;

Inilah yang diberikan kepada mereka yang tidak mahu menceritakan halal haram yang telah Allah ‎ﷻ beritahu dalam Al-Qur’an. Azab yang pedih bermakna azab yang tidak akan berkurangan langsung dari mula-mula masuk neraka sampai bila-bila.

Tafsir Ayat Ke-175

أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ ٱشتَرَوُاْ ٱلضَّلَـٰلَةَ بِٱلهُدَىٰ وَٱلعَذَابَ بِٱلمَغفِرَةِ‌ۚ فَمَآ أَصبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ

Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.

أُولَٰئِكَ

Mereka yang bersifat seperti ini,

Iaitu mereka yang menyembunyikan ilmu yang benar kerana mereka mahukan kedudukan dan imbuhan daripada masyarakat.

الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلَالَةَ بِٱلهُدَىٰ

adalah orang-orang yang membeli kesesatan dengan menjual petunjuk

Allah‎ ﷻ kata mereka jual hidayah dengan beli neraka. Mereka sudah dapat hidayah, tetapi mereka tukar dengan kesesatan.

وَالْعَذَابَ بِالْمَغْفِرَةِ

dan membeli azab dengan menjual keampunan

Mereka ambil azab dengan jual keampunan. Ini adalah sesuatu yang amat bodoh sekali. Ini adalah perniagaan yang amat merugikan sekali. Dapat kebaikan di dunia, tetapi menerima nasib yang teruk di akhirat kelak.

فَمَا أَصْبَرَهُمْ عَلَى النَّارِ

Maka alangkah sabarnya mereka menanggung azab neraka

Ini adalah kata-kata ejekan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ hendak kata lihatlah betapa tololnya mereka. Mereka boleh sabar dalam neraka? Mereka hendak bersabar dalam neraka? Mereka rasa mereka boleh bersabar duduk dalam neraka?

Walaupun mereka sabar dalam neraka, mereka akan duduk dalam neraka juga. Tidak tahu entah berapa lama (terpulang kepada Allah ‎ﷻ). Orang yang duduk dalam penjara dalam dunia ini, kalau mereka sabar, akhirnya mereka akan keluar juga. Ataupun mereka akan mati juga akhirnya. Namun kalau duduk di neraka, mungkin tidak akan keluar-keluar dan tidak akan mati-mati. Berapa lama duduk dalam neraka pun tidak akan tahan. Duduk sesaat pun sudah azab yang amat.

Selalunya kalau kita sabar, kita akan dibalas dengan sebab kesabaran kita itu tetapi tidak dalam kes ini. Tidak ada apa-apa kebaikan yang mereka akan dapat kalau mereka bersabar selama mana pun dalam neraka kerana neraka bukan tempat untuk sabar. Tempat sabar adalah di dunia.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-171 hingga Ke-173

0

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-171

Sekarang Allah ‎ﷻ memberi perumpamaan mereka itu seperti binatang. Kalau kita cakap dengan mereka, mereka tidak faham. Begitulah orang yang tidak faham agama. Mereka boleh dengar suara sahaja tetapi mereka tidak faham apakah yang dikatakan.

وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِى يَنعِقُ بِمَا لَا يَسمَعُ إِلَّا دُعَآءً وَنِدَآءً صُمُّ بُكمٌ عُمىٌ فَهُم لَا يَعقِلُونَ


Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

وَمَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا

Perumpamaan orang yang kafir ingkar itu,

Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah mereka yang hanya mahu mengikut apa-apa amalan yang telah diamalkan oleh tok nenek mereka sahaja iaitu kafir degil. Sudah diberikan dengan dalil yang sahih, mereka masih menolak juga. Masih tetap hendak menegakkan amalan bid’ah mereka itu  memberikan dalil-dalil yang tidak kena, dan dengan hujah-hujah bathil.

كَمَثَلِ الَّذِي يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ


seperti orang yang melaung kepada binatang yang tidak mendengar;

Macam kucing, kalau kita panggil mereka, adakah mereka dengar? Mereka memang dengar, tetapi kucing itu tidak faham apa yang kita katakan.

Bayangkan Allah ‎ﷻ menyamakan mereka dengan binatang. Ini adalah satu perumpamaan yang berat. Bukan kita yang berikan perumpaan ini tetapi Allah ‎ﷻ sendiri. Jadi jangan marahlah kalau kita kata begitu juga kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang berkata begitu.


إِلَّا دُعَاءً وَنِدَاءً

melainkan panggilan itu sebagai laungan;

Mereka hanya dengar bunyi yang mengejutkan seperti contoh kalau kita dengar kereta berlanggar. Mereka akan perasan bunyi itu dan mereka akan menoleh untuk melihat.

Bayangkan juga pengembala lembu memanggil-manggil lembu mereka. Lembu itu tidak faham apakah yang dikatakan oleh pengembala itu. Namun bezanya, sekurang-kurangnya lembu itu, walaupun tidak faham pengembala, lembu akhirnya akan mengikut juga pengembala itu, akhirnya ikut juga pengembala lembu untuk balik ke kandang mereka.


Malangnya manusia lagi teruk, sebab mereka tidak ikut langsung. Mereka lagi teruk daripada lembu itu. Dilawannya pula kita dengan kata-kata kasar dan kesat.

Kalimah دُعَاءً bermaksud panggilan dalam suara yang perlahan sedikit

Kalimah نِدَاءً pula bermaksud laungan yang kuat.


صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ

Mereka jenis pekak, jenis bisu, jenis buta

Apabila ketiga-tiga pancaindera ini telah tiada, bermakna mereka tidak ada cara untuk mendapatkan ilmu lagi. Mereka tidak akan mendapat hidayah lagi. Bayangkan seseorang sedang berjalan. Dia sudah buta, oleh itu dia tidak nampak jalan. Bagaimana lagi kita hendak memberikan panduan kepadanya?


Kalau kita jeritkan bahawa di hadapannya ada gaung, dia pun tidak dengar sebab dia sudah pekak. Dia sendiri pun tidak boleh meminta pertolongan lagi kerana dia sudah bisu.

Maka, ini adalah jenis orang yang tidak dapat ditolong lagi kerana mereka sudah tidak mampu untuk faham. Oleh itu jika kita berikan ayat-ayat Al-Qur’an dan juga hujah-hujah lain, mereka tidak akan dapat terima. Kita lihat mereka pun seperti orang yang bengong, dengan Al-Qur’an dan hadis pun mereka tidak mahu dengar dan ambil sebagai pegangan.


فَهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

mereka itu tidak faham apa yang diberitahu;

Mereka macam binatang yang dengar laungan, tetapi mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan kepada mereka.

Sudahlah mereka pekak dan buta daripada mendapat hidayah dalam bentuk kalam Allah ‎ﷻ, mereka tidak menggunakan akal pula. Ini kerana hidayah Allah ‎ﷻ hanya hadir sama ada dalam bentuk Kalam-Nya (ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith) atau daripada alam ini (rujuk kembali ayat [ Baqarah: 164 ].


Untuk mendapat hidayah dari alam ini, mereka perlu menggunakan akal. Namun dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata mereka tidak menggunakan akal mereka untuk memahami hidayah.


Tafsir Ayat Ke-172

Pengulangan tentang pemakanan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ڪُلُواْ مِن طَيِّبَـٰتِ مَا رَزَقنَـٰكُم وَٱشكُرُواْ لِلَّهِ إِن ڪُنتُم إِيَّاهُ تَعبُدُونَ


Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.


يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ
Wahai orang-orang yang beriman;

Dalam ayat berkenaan pemakanan sebelum ini, ia ditujukan kepada semua manusia. Kali ini ditujukan khas kepada orang-orang beriman sahaja.


كُلُوا مِنْ طَيِّبَـٰتِ
Makanlah dari apa yang baik-baik itu;

Allah ‎ﷻ suruh kita makan rezeki yang Dia telah berikan, iaitu yang baik-baik sahaja (yang halal). Oleh itu, jangan makan makanan yang tidak halal.

Satu lagi, jangan mengharamkan apa-apa makanan tanpa sebab. Kalau ia halal, jangan halang manusia makan. Makan berpantang tanpa sebab yang munasabah.


مَا رَزَقنَـٰكُم
yang Kami beri rezeki kepada kamu;

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan bahawa Dia yang memberi rezeki itu kepada kita. Jangan lupa Siapa yang beri rezeki kepada kita. Maka kenalah kita bersyukur kepada-Nya.

Dan Allah ﷻ ingatkan, kalau Dia sudah beri maka kenalah kita terima. Jangan pula kita hendak halang-halang dari dimakan atau digunakan oleh manusia.


وَاشْكُرُوا لِلَّهِ
Dan bersyukurlah kalian kepada Allah


Bersyukurlah dengan rezeki halal yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Jangan kita makan rezeki daripada Allah ﷻ tetapi kita tidak berterima kasih.

Kalau kita bersyukur dan rasa cukup dengan segala barang yang kita dapat dari hasil dan perkara yang halal, kita tidak akan mencari yang haram. Yang mencari yang haram itu adalah kerana mereka tidak bersyukur dengan apa yang ada, tidak rasa cukup dengan barang halal yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Mereka masih lagi hendak mencari benda yang lain.


Lagi satu, syarat kita dikira bersyukur adalah: kita ucapkan syukur kepada Allah ‎ﷻ dan kedua, kita kena gunakan segala perkara halal yang Allah ‎ﷻ berikan itu dengan cara yang Allah ‎ﷻ ajar kita. Jangan disalahgunakan.

Dan yang ketiga, kita kena taat kepada Allah ﷻ dalam segala suruhan dan larangan-Nya.


إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
sekiranya kamu kepada-Nya sahaja kamu menghambakan diri.

Kalau kita rasa yang kita ini hamba kepada Allah ﷻ, maka kenalah kita taat kepada-Nya, bersyukur di atas segala rezeki daripada-Nya.

Mencari rezeki yang halal adalah satu ibadah juga. Ini adalah kerana kita lakukannya dalam rangka taat kepada Allah ‎ﷻ kerana kita ikut arahan Allah ﷻ untuk mencari rezeki dan memakan harta yang halal.

Apabila kita ikut arahan Allah ﷻ, maka itu tanda kita menghambakan diri kepada-Nya dan ia juga termasuk dalam perkara ibadah (ibadah umum).


Banyak manusia yang buat ibadah yang khusus seperti salat, puasa dan sebagainya, tetapi mereka tidak menjaga halal haram dalam urusan mencari rezeki kerana mereka tidak faham bahawa memakan perkara yang halal juga adalah ibadah.

Daripada ayat ini juga, kita dapat tahu bahawa kita hanya boleh taat untuk makan yang halal hanya jikalau kita hanya menghambakan diri kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kita ada masalah untuk melihat diri kita sebagai hamba yang taat, maka kita akan ada masalah untuk memakan yang halal-halal sahaja.


Tafsir Ayat Ke-173

Ayat tentang perkara halal dan haram. Ayat ini bukan hendak kata ini sahaja yang diharamkan. Ada yang keliru dengan ayat ini. Mereka kata: “ayat Al-Qur’an kata ini sahaja yang haram”.


Oleh itu, kita kena faham yang ayat ini cuma hendak mengatakan tentang barang yang Musyrikin Mekah kata halal (maka Allah ﷻ tolak salah faham mereka itu dalam ayat ini). Allah ‎ﷻ hendak beritahu kesilapan mereka dan menidakkan perkara-perkara yang mereka kata halal (tetapi sebenarnya haram). Kena faham konteks ayat ini baru tidak salah faham.


إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيڪُمُ ٱلمَيتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحمَ ٱلخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِ لِغَيرِ ٱللَّهِ‌ۖ فَمَنِ ٱضطُرَّ غَيرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ۬ فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah; maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ

Sesungguhnya apa yang diharamkan kepada kamu

Ada makna pada perkataan إِنَّمَا itu. Perkataan itu bermaksud Allah ‎ﷻ *hanya* mengharamkan perkara-perkara ini sahaja.

Tidak banyak yang Allah ‎ﷻ haramkan. Sedikit sangat kalau dibandingkan dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah halalkan.

Tetapi sebelum kita pergi jauh, kita kena faham konteks ayat ini – Allah ‎ﷻ sebenarnya hendak membetulkan salahfaham Musyrikin Mekah yang mengatakan benda-benda yang disebut dalam ayat ini adalah halal. Jadi, Allah ‎ﷻ hendak betulkan fahaman mereka.


Mereka ada berkata yang ada makanan lain yang haram, jadi Allah ‎ﷻ hendak beritahu, yang haramnya adalah perkara-perkara yang disebut ini. Yang mereka haramkan itu tidak haram sebenarnya. Jadi, bukanlah senarai ini sahaja makanan yang haram. Kena rujuk ilmu feqah untuk mengetahui makanan-makanan lain lagi yang haram. Ia diperincikan lagi dalam ilmu feqah.


الْمَيْتَةَ

(adalah dari jenis) bangkai,

Bangkai adalah binatang yang mati bukan dengan cara sembelihan. Mungkin ada yang mati sendiri sebab sakit dan sebagainya, atau dibunuh dengan cara yang selain daripada sembelihan cara Islam. Atau, mungkin dilanggar, ditanduk, terjatuh dari bukit dan sebagainya lagi.


Pada Musyrikin Mekah, bangkai binatang boleh dimakan dan ia adalah salah satu daripada sumber makanan mereka. Sedangkan dalam Islam, hanya boleh dimakan binatang yang disembelih cara Islam sahaja. Maknanya, kena ada ikhtiar manusia dalam kematian binatang itu.

Puak Musyrikin kata ini adalah satu pendapat yang pelik kalau hanya boleh makan makanan yang dimatikan oleh manusia, sedangkan yang Allah ‎ﷻ ‘matikan’ (dengan banyak cara lain), tidak boleh dimakan pula. Namun beginilah cara yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Kena melalui proses yang betul sebelum boleh dimakan binatang itu.


وَالدَّمَ

dan darah,

Dalam ayat lain, ada disebut bahawa darah yang tidak dibolehkan makan adalah ‘darah yang mengalir’. Bukannya darah yang melekat pada daging dan tulang pada binatang. Oleh itu, tidak perlu dibasuh bersih sangat daging ayam atau daging binatang yang kita makan.

Ada yang salah faham, sampai basuh berkali-kali daging ayam kerana hendak menghilangkan darah pada daging itu. Sampaikan putih langsung daging itu dan tidak ada rasa manis pada daging itu lagi.


Jadi, darah yang dilarang adalah darah yang banyak. Darah yang mengalir adalah sumber makanan kepada Musyrikin Mekah. Mereka akan cucuk binatang ternak mereka sampai mengeluarkan darah dan mereka akan kumpulkan darah itu dan simpan sampai darah itu sampai pejal dan mereka akan makan. Darah yang disimpan untuk sekian waktu akan menjadi pejal.

Sampai sekarang pun ada lagi manusia barat yang makan darah sebegini. Musyrikin Jahiliah juga akan menggunakan darah itu sebagai sejenis kuah, di mana mereka akan menggunakan darah itu untuk dimasak sekali dengan makanan mereka.


Menggunakan darah sebagai sumber makanan adalah satu cara yang ‘ekonomi’ kepada mereka kerana kalau mereka ambil darah itu sedikit-sedikit daripada binatang ternak mereka, tidaklah binatang itu mati dan mereka boleh ambil banyak kali. Maka, marahlah mereka apabila dikatakan tidak boleh makan darah.

Sampai sekarang, ada orang yang makan darah lagi sebagai makanan. Macam orang Barat, mereka akan tadah darah dan mereka jadikan macam puding. Ini adalah salah dan kita tidak boleh makan sebegini.


وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ

dan daging babi;

Yang haram kita lakukan dengan babi itu adalah memakan dagingnya. Ayat ini menyebut ‘daging’ babi tetapi ia meliputi semua bahagian badan – kulit, tulang dan sebagainya. Maka jangan buat sup tulang babi dan kata: “Allah haramkan dagingnya sahaja!”

Babi juga adalah sumber makanan Musyrikin Mekah dan mereka tidak dapat terima larangan memakan babi ini kerana pada mereka, ia adalah makanan yang sedap. Takkan benda sedap pun tidak boleh dimakan? Begitulah kata mereka. Ini adalah kerana mereka pakai akal.


Ada khilafiah tentang hukum memegang babi. Ramai yang kata kalau terpegang babi, kulit babi, tulang babi dan sebagainya, kena sertu. Sedangkan tidak ada hadith yang mengatakan kalau pegang babi kena sertu. Yang ada itu adalah hanya qiyas dengan pegang anjing. Iaitu memang ada hadith yang mengatakan kena sertu guna tanah kalau kena air liur anjing pada bekas makanan kita.


Namun tidak ada hadith yang mengatakan tentang samak kalau pegang babi. Sedangkan zaman Nabi ﷺ sudah ada babi dan memang bangsa Quraish tidak memakan babi. Sampaikan ada pendapat yang kata boleh pakai dompet, kasut dan barangan dari kulit babi yang lain. Cuma, lebih selesa di hati kita sepatutnya kalau kita tinggalkan terus segala perkara yang berkenaan babi ini.


وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ

dan apa sahaja yang disembelih untuk selain Allah;

Ini adalah larangan seterusnya. Musyrikin Mekah ada yang sembelih binatang ternak atas nama berhala. Iaitu semasa menyembelih binatang itu, mereka menyebut nama selain Allah ‎ﷻ, seperti Nabi atau wali pujaan mereka. Mereka sembelih binatang itu untuk didedikasikan kepada selain daripada Allah ‎ﷻ.


Dalam ayat ini, diletakkan perkataan بِهِ dekat dengan kalimah أُهِلَّ. Ini bermaksud, menyebut nama sembahan lain selain Allah ‎ﷻ semasa menyembelih binatang itu. Terdapat juga ayat-ayat lain yang lebih kurang sama seperti dalam [ Maidah: 3 ], [ An’am: 145 ] dan [ Nahl: 115 ] di mana perkataan بِهِ jauh daripada perkataan أُهِلَّ.

Dalam ayat-ayat itu, ia adalah apabila nama Allah ‎ﷻ disebut semasa menyembelih binatang sembelihan, tetapi sebenarnya bukan kerana Allah ‎ﷻ. Maknanya, tidak sebut untuk siapa, tetapi bukan kerana Allah ﷻ. Ini pun tidak boleh.


Sebagai contoh kalau sembelih kerana wali. Ini adalah dosa besar atau rosak akidah. Ada kalangan masyarakat kita yang sembelih binatang, tetapi bukan kerana Allah ‎ﷻ. Contohnya, sembelih kambing sebab hendak menghalau hantu. Ramai yang kita dengar bomoh-bomoh yang apabila berubat, mereka akan kata kalau hendak sembuh, kena sembelih ayamlah, kambinglah dan sebagainya. Memang masa pesakit sembelih binatang itu, mereka baca bismillah tetapi sembelihan itu tidak sah dan haram memakan daging sebegitu.


Kalau hendak sembelih kerana Nabi Muhammad ﷺ pun tidak boleh. Atau kerana kedatangan orang besar. Haram jadinya daging itu. Sama macam agama lain sembelih binatang untuk tuhan-tuhan mereka. Kalau datang seseorang itu, dan kita hendak meraikan dengan sembelih lembu, tidak mengapa. Cuma jangan khaskan lembu untuk seseorang.


Semua pengharaman ini nampak senang sahaja kepada kita kerana kita tidak makan bangkai, darah dan kita ada banyak daging lagi boleh dimakan selain daripada daging babi. Namun bayangkan apabila ayat ini diturunkan kepada para sahabat. Mereka bukan ada supermarket zaman itu. Bukan senang untuk mendapat daging apa-apa pun.


Mereka kena ternak atau berburu untuk mendapatkan daging. Jadi, apabila ayat ini diturunkan, ia telah mengurangkan pilihan makanan kepada mereka. Kita juga kena ingat bahawa mereka kadang-kadang tinggal bersama dengan ahli keluarga mereka yang bukan beragama Islam. Dulu senang sahaja mereka makan dengan keluarga mereka yang makan semua itu.


Namun selepas ayat ini, ada bahan makanan yang sebelum itu mereka boleh kongsi makan dengan ahli keluarga mereka yang bukan Islam, tetapi tidak boleh dimakan lagi. Contohnya, jikalau binatang itu disembelih atas nama Latta atau Uzza, mereka sudah tidak boleh makan lagi.


Atau mungkin ada binatang yang mati disebabkan panas terik dan tidak sempat disembelih – dahulu mereka boleh sahaja makan tetapi sekarang sudah tidak boleh. Atau mereka dahulu makan darah yang dibekukan dan darah itu ada yang dijadikan sebagai kuah. Sekarang mereka tidak boleh makan. Tentu keadaan susah untuk mereka. Namun bagi yang beriman kuat, mereka sanggup ikut.


فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ

Sesiapa yang terpaksa, tanpa sengaja;

Iaitu, dia terpaksa makan sebab tidak ada makanan lain. Contohnya seseorang itu dalam musafir dan sesat dalam hutan dan tidak ada makanan. Yang ada hanyalah makanan yang haram dimakan. Kalau dia tidak makan, dia akan mati.

Kalau dalam keadaan macam itu, dia dibenarkan makan apa yang diharamkan dalam ayat ini. Boleh makan, termasuk makan daging mayat manusia pun dibenarkan.


Perkataan بَاغٍ bermaksud memberontak.

Kadang-kadang kita tidak benarkan seseorang buat sesuatu, tetapi mereka melawan, maka mereka buat juga. Maksud ayat ini, orang itu terpaksa makan, bukan sengaja hendak makan, bukan teringin hendak rasa macam mana rasa daging babi.


وَلَا عَادٍ

dan tidak melampaui batas;

Walaupun sudah dibolehkan makan, tetapi tidaklah boleh makan sampai kenyang. Setakat untuk hidup untuk hari itu sahaja. Tetapi boleh simpan sedikit sebagai bekal untuk esok kalau-kalau tidak ada makanan lain.


فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

tidak ada dosa ke atasnya;

Sebagai contoh, seseorang terpaksa makan daging babi. Ataupun dia tidak tahu bahawa dia sebenarnya makan daging babi semasa dia makan itu, tidaklah ada dosa baginya. Ini adalah rukhsah daripada  Allah ﷻ untuk keadaan yang terdesak. Ini kerana agama Islam ini adalah agama yang praktikal.


إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun

Allah ‎ﷻ akan beri pengampunan bagi orang yang terpaksa makan tanpa sengaja dan tidak makan berlebihan.

Allah ‎ﷻ amat pengampun. Perkataan غَفُورٌ itu dalam bentuk isim mubalaghah – ekstrim/bersangatan. Maknanya, Allah ‎ﷻ amat pengampun. Allah ﷻ boleh ampunkan dosa besar mana pun dan berapa banyak pun kalau Dia mahu.


Namun Allah ﷻ tidak sentiasa mengampun. Ada beza antara dua makna itu kerana kalau kita tahu Allah ‎ﷻ sentiasa mengampuni, kita akan ambil peluang dan buat kesalahan yang banyak. Maknanya, ada masanya Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita dan ada yang tidak Dia ampunkan. Semuanya terpulang kepada kehendak Allah ﷻ.


Jangan kita ada fahaman orang Kristian. Kepada mereka, semua dosa mereka telah diampunkan selepas mereka mengaku yang Nabi Isa عليه السلام adalah tuhan. Maka pada mereka dosa itu tidak ada masalah sangat. Maka apabila mereka rasa mereka sudah selamat daripada dosa, maka mereka telah mendapat tiket untuk melakukan apa sahaja dosa yang mereka mahu. Maka senanglah mereka hendak berbuat dosa.

رَحِيمٌ

dan Maha Pengasih.

Sentiasa mengasihani hamba-Nya. Kerana itu Allah ﷻ sanggup untuk mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya.

Kalau kita sayang kepada seseorang, bukankah senang kita hendak memaafkan kesalahan dia?

Allahu a’lam

Soal Jawab Bersama Doktor: ‘Stretch Mark’ (Tanda Regangan Kulit)

0

Soalan:
Apa itu ‘Stretch Mark’?
Jawapan:
Stretch mark bermula dengan warna merah atau ungu berjalur-jalur pada kulit. Ia akan merebak seterusnya ke kawasan sekitar kulit. Lama-kelamaan, tanda itu akan mula merekah dan berwarna terang dan terserap ke dalam kulit. Bentuknya pula muncul seperti berjalur-jalur dan bergerigi. Stretch mark selalunya muncul pada paha, perut, dada dan bawah lengan.

Soalan:
Apa penyebab utama ‘stretch mark’?
Jawapan:
‘Stretch mark’ sering muncul pada saat masa kehamilan. Namun, stretch mark juga boleh muncul pada bahagian badan seperti paha yang membesar dengan cepat disebabkan perubahan distribusi lemak atau berlaku perubahan berat badan yang mendadak pada seseorang.

Soalan:
Bolehkah masalah ‘Stretch Mark’ dirawat?
Jawapan:
‘Stretch Mark’ boleh diatasi dengan cara berikut:
1)Penggunaan Cocoa butter
Digunakan untuk mencegah terbentuknya stretch marks selama bertahun-tahun. Tetapi, ia tidak menunjukkan hasil yang lebih baik dalam mencegah stretch marks.

2)Retin-A
Pada mulanya dihasilkan untuk memerangi jerawat. Tahun demi tahun, penggunaannya mulai berkembang. Ini termasuklah untuk mengatasi keriput dan memperbaiki ‘stretch marks’. Akan tetapi ia boleh menimbulkan iritasi bagi wanita mengandung kerana krim tersebut berpotensi meracun janin.

3)Prosedur laser
Menghilangkan stretch marks tanpa rasa sakit namun ia melibatkan kos yang tinggi pula.

4)Pemakanan
Cuba elak pengambilan kafein dan beralkohol yang berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kulit menjadi kering. Sebaliknya, banyakkan meminum air mineral bagi membantu menghidrat kulit secukupnya. Selain itu amalkan pengambilan buah-buahan, minuman yogurt dan susu segar.

5)Hindarkan diri daripada menggaru jika anda terasa gatal-gatal pada perut sewaktu hamil kerana ia hanya akan membuat kesan regangan bertambah teruk.

Hampir kesemua nasihat mengenai rawatan dan proses menghilangkan tanda regangan menekankan tentang manfaat pencegahan di peringkat awal. Namun jika anda salah seorang daripada ramai wanita yang telah melakukan segala yang termampu semasa kehamilan tetapi masih mendapat tanda regangan, jangan putus asa. Tanda regangan adalah sesuatu yang biasa dialami semasa kehamilan sehingga ia dianggap normal dan kesan yang hampir tidak dapat dielakkan.

Walaupun tanda regangan kelihatan tidak menarik, namun secara jujur, itulah sahaja keburukannya. Ia tidak mengakibatkan sebarang masalah terhadap kesihatan dan kesejahteraan secara umum.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-168 hingga Ke-170

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat ke-168 hingga ke-176 memberitahu kita yang hukum halal dan haram itu adalah hak Allah ‎ﷻ dan bukan hak makhluk. Prinsip yang dipegang ialah hukum itu apa yang diturunkan Allah ‎ﷻ. Bukan berdasarkan tradisi atau mengikut nilai masyarakat.

Kita juga diajar yang tidak boleh sembunyikan hukum Allah ‎ﷻ. Kelak nanti diancam dengan azab neraka.

Ayat ini adalah berkenaan hukum halal dan haram. Termasuk bab berpantang dalam bersalin dan sebagainya. Ia membantah amalan memberi pantang kepada benda yang halal. Atau pun menghalalkan benda yang haram. Itu semua adalah perbuatan yang kufur kerana ia melibatkan perkara akidah.

Sebagai contoh, kalau ada yang kata tidak boleh minum susu atas sebab-sebab tertentu, contohnya pantang bersalin, pantang kerana mengamalkan ilmu wirid khas dan sebagainya. Kalau ada sebab yang boleh diterima akal, seperti sebab-sebab kesihatan, tidak mengapa.

يا أَيُّهَا النّاسُ كُلوا مِمّا فِي الأَرضِ حَلالًا طَيِّبًا وَلا تَتَّبِعوا خُطُواتِ الشَّيطانِ ۚ إِنَّهُ لَكُم عَدُوٌّ مُبينٌ

Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

يَا أَيُّهَا النَّاسُ

Wahai manusia semua sekali;

Ayat ini ditujukan kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang kafir atau Islam. Ini adalah satu dalil yang mengatakan bahawa Al-Qur’an ini bukan untuk orang Islam sahaja. Ia adalah mesej sejagat kerana kadang-kadang Allah ‎ﷻ bercakap terus kepada manusia keseluruhannya. Kadang-kadang Allah ‎ﷻ bercakap kepada orang beriman, kadang-kadang kepada Bani Israil dan sebagainya.

Mesej ini juga diberikan kepada mereka yang masih tidak mahu lagi masuk Islam walaupun mereka tahu Islam itu adalah agama yang benar. Mereka takut masuk Islam sebab takut apa yang akan dikatakan oleh keluarga mereka, masyarakat mereka dan mereka tidak mahu meninggalkan kebiasaan yang mereka telah lakukan.

كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ

Makanlah daripada apa yang ada di bumi

Ayat ini dikeluarkan selepas ayat tentang ikut mengikut orang lain sebelum ini. Ini kerana kalau kita mengikuti orang lain tanpa usul periksa, lama-kelamaan kita akan buat sesuatu yang tidak halal. Mereka sudah tidak hiraukan sempadan yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ.

Yang mereka kisah adalah apa yang dikatakan oleh kumpulan-kumpulan mereka. Mereka hendak menjadi seperti ketua-ketua atau model-model ikutan mereka. Kita boleh mengikuti orang lain, tetapi jangan melepasi halangan yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan.

Antara masalah besar yang dibuat oleh orang Islam sekarang adalah majlis perkahwinan. Sudah macam majlis perkahwinan agama lain. Kita pun sudah tidak tahu sama ada orang yang berada dalam majlis itu adalah orang Islam atau tidak kerana ada perkara-perkara yang haram di dalamnya.

Percampuran lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menutup aurat, muzik yang tidak baik. Itu belum lagi dikira dengan amalan-amalan syirik dalam majlis persandingan. Mereka tidak sedar bahawa apabila mereka bersanding, mereka mengikut apa yang diamalkan oleh agama Hindu. Persandingan itu adalah mengenang perkahwinan Dewa Sri Rama dan Sita Devi.

Orang Hindu mengabadikan peristiwa itu dalam bentuk patung yang sama macam persandingan. Orang mengamalkan bersanding sebagai mengikut perkahwinan dewa mereka itu. Kalau mereka amalkan itu adalah syirik, tidakkah kalau kita pun ikut sama, kita tidak syirik? Adakah Allah ‎ﷻ berat sebelah? – Mereka mengamalkan syirik, tetapi kalau kita amalkan tidak menjadi syirik pula?

Ayat sebelum ini tentang kejadian apa yang akan terjadi kepada mereka yang tidak mengikut ajaran Islam semasa di dunia. Maka, sekarang Allah ‎ﷻ memberikan kita nasihat tentang apakah yang perlu kita lakukan di dunia kalau tidak mahu mendapat nasib yang buruk di akhirat nanti. Allah ‎ﷻ selalu bertukar daripada menceritakan tentang akhirat dan dunia. Kejap Allah ‎ﷻ akan bercerita tentang akhirat, sekejap Allah ‎ﷻ tukar kepada dunia pula.

Lafaz كُلُوا dalam ayat ini bukanlah arahan untuk kita ‘kena’ makan. Allah ‎ﷻ tidak paksa kita makan. Cuma kita kena ada iktikad yang benda-benda itu boleh dimakan. Mungkin kita tidak suka makan, tidak mengapa kalau kita tidak makan pun. Cuma ulama’ kata kalau pernah kita pantangkan kepada diri kita sebelum ini, maka kena makan sekali untuk membatalkan pantang yang diamalkan sebelum ini.

حَلَالًا طَيِّبًا

yang halal lagi baik;

Apakah yang dimaksudkan dengan halal lagi baik? Sebagai contoh, kita ambil binatang sembelihan. Lembu itu memang kita tahu halal untuk dimakan. Maksud ‘baik’ itu pula, bermaksud bukan lembu curi. Pemilikan makanan itu pun kena halal juga. Kalau halal, tetapi barang yang telah dicuri, tidak baik – ia haram juga kerana ia adalah hasil daripada curian.

Kadang-kadang kita lupa untuk menimbang sama ada rezeki yang kita dapati itu adalah daripada sumber yang halal atau tidak. Walaupun kita makan makanan yang pada dasarnya halal, tetapi kalau cara kita mendapatkannya adalah dengan cara yang haram, maka ia adalah haram untuk kita makan. Contohnya, kita dapat rezeki itu dengan cara menipu hak orang lain. Kalau kita dapat cara menipu, maka ia adalah rezeki yang haram.

Kalau binatang ternak, cara memakan binatang ternak itu pun kenalah betul – kena sembelih dengan cara yang betul. Kalau kita pakai contoh lembu tadi, memanglah halal, tetapi kalau dimatikan dengan cara diketuk sampai mati, tidak boleh makan juga.

Negara Islam sepatutnya adalah negara yang memudahkan mencari benda yang halal daripada yang haram. Sepatutnya di negara yang Islam, susah untuk dicari benda yang haram.

Namun malangnya, walaupun Malaysia ini dikatakan sebagai negara Islam dan penduduknya ramai yang Islam, tetapi benda masih lagi senang didapati. Kita bukan cakap tentang makanan sahaja, tetapi benda-benda lain juga. Banyak hiburan-hiburan yang haram bersepah di negara ini.

Islam mengajak kepada perkara yang halal kerana ia adalah baik untuk semua orang. Bukan untuk orang Islam sahaja. Sebab itu ayat ini dimulakan dengan seruan kepada seluruh manusia.

Contohnya berkenaan riba. Islam mengharamkan riba kerana ia adalah satu cara perniagaan yang tidak adil. Menyusahkan semua orang, bukan orang Islam sahaja. Kalau pakar ekonomi mengkaji dengan jujur, mereka akan nampak bahawa ia adalah buruk untuk ekonomi dunia.

Ada pakar ekonomi sudah mengkaji dan ada yang masuk Islam kerana mereka nampak kebaikan yang dibawa oleh Islam dengan pengharaman riba ini. Pada zaman sekarang, sudah ada institusi kewangan dan bank yang mengamalkan konsep bank tanpa riba walaupun mereka bukan muslim.

وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ

dan janganlah sekali-kali kamu ikuti jejak langkah syaitan;

Kita diingatkan supaya jangan mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan campur tangan dalam hal halal haram. Mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Oleh itu jangan kita ikut bisikan daripada mereka. Merekalah yang mengajar sesetengah puak yang mereka tidak boleh makan sesetengah makanan kerrana ia tidak akan terjadi sendiri tetapi kerana Syaitan yang membisikkan idea itu kepada mereka.

Kerana syaitanlah yang membisikkan supaya menghalalkan yang haram, dan mengharamkan yang halal. Sebagai contoh, apabila orang Melayu bersalin, mereka diberitahu oleh bidan-bidan bahawa mereka tidak boleh makan ayam. Namun kepada orang Cina, disuruh makan ayam pula supaya badan menjadi kuat semula. Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang bersalin, tetapi kita orang melayu, tidak boleh makan benda-benda yang berzat pula. Itu mereka namakan sebagai ‘pantang’.

Berpantang itu adalah perkara yang syirik kerana ikut cakap tok bidan yang mengharamkan benda-benda makanan. Kita tidak tahu pun kenapa kita tidak boleh makan makanan yang dipantangkan itu. Kita ikut sahaja kata orang-orang tua tanpa usul periksa. Sepatutnya, yang boleh mengharamkan apakah yang tidak boleh dimakan adalah hanya Allah ‎ﷻ sahaja, tetapi kita terima pula larangan bidan itu, atau kata orang-orang lain.

Syaitan amat suka kalau kita mengharamkan yang halal kerana itu sudah perbuatan mengambil kerja Allah ‎ﷻ dan ia adalah syirik. Namun tentu kalau kita mengatakan salah kalau mengamalkan ‘pantang’, kita akan dimarahi dan dikata macam-macam tohmahan. Jadi, kita malu kalau tidak berpantang. Kita takut kepada orang yang jahil.

Contoh lain yang manusia haramkan sesetengah makanan kepada mereka adalah kerana keturunan. Kononnya keturunan mereka tidak boleh makan makanan ini dan itu. Sebagai contoh, ada golongan di Kelantan yang tidak boleh makan Ikan Kacang.

Contoh satu lagi adalah golongan-golongan yang mengamalkan wirid-wirid khas. Guru mereka akan ajar anak murid, kalau hendak mengamalkan wirid-wirid itu, tidak boleh makan makanan berdarah, atau adalah pantang-pantang mereka yang lain.

Mula-mula syaitan hanya boleh membisikkan kepada kita untuk melakukan kesalahan. Kalau kita sudah mula mengikut bisik-bisikan itu, syaitan sudah boleh mengarahkan kita buat sesuatu yang jelas salah.

Kita sudah tidak rasa kita buat perkara yang haram kerana kita dari dahulu lagi kita sudah mula membuat perkara-perkara yang salah sedikit demi sedikit. Perbuatan dosa itu sudah sebati dengan kita. Kita rasa macam tidak ada apa sahaja kalau buat benda yang salah.

إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Sesungguhnya syaitan itu bagi kamu adalah musuh yang jelas nyata;

Iblis telah berjanji di hadapan Allah ‎ﷻ untuk menyesatkan anak cucu Adam عليه السلام. Mereka tidak pernah berhenti berusaha untuk menyesatkan kita dari dahulu sampai sekarang. Sampai kiamat mereka tidak akan berhenti. Mereka pula banyak bilangannya daripada kita. Syaitan itu sembilan kali ganda bilangan mereka daripada bilangan kita.

Kalau kita boleh nampak mereka dengan nyata, kita pun tidak boleh hendak hidup kerana mereka ada di mana-mana. Mereka lambat mati kalau dibandingkan dengan kita. Kalau umur 300 tahun itu, masih dalam kategori budak lagi dalam alam jin dan syaitan. Jadi, banyak yang mereka boleh buat untuk menyesatkan kita kerana mereka banyak pengalaman.

Tafsir Ayat Ke-169

Apakah alamat yang syaitan itu adalah musuh yang jelas nyata?

إِنَّما يَأمُرُكُم بِالسّوءِ وَالفَحشاءِ وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ

Syaitan itu akan menyuruh kamu

Kalau kita mula mendengar was-was daripada syaitan, lama kelamaan dia akan lebih menguasai kita dan akan sampai pada satu tahap dia boleh ‘menyuruh’ kita. Perkataan أْمُرُ adalah bermula dengan tahap ‘mencadangkan’ sesuatu sampai kepada boleh ‘menyuruh’ seseorang melakukan sesuatu.

Jadi syaitan akan mula-mula hanya boleh mencadangkan kita melakukan sesuatu sahaja. Apabila kita sudah mula ikut, dia akan menjadi kuat dan boleh mengarahkan kita melakukan sesuatu.

بِالسُّوءِ

untuk membuat amalan buruk

Syaitan itu hanya suruh kita buat dosa sahaja, tidak ada perkara baik pun yang mereka akan suruh kita buat. Lafaz السُّوءِ bermaksud dosa daripada segi amalan atau perbuatan. Perbuatan yang jahat dan buruk. Ia perbuatan yang tidak ada yang baik. Tidak ada kebaikan hasil daripadanya. Namun manusia masih juga melakukannya hasil daripada ajakan dan bisikan syaitan.

وَالْفَحْشَاءِ

dan akhlak yang memalukan;

Lafaz الْفَحْشَاءِ pula adalah dosa daripada segi akhlak dan budi pekerti. Termasuk budaya, cara pakaian, cara berpakaian dan sebagainya.

Ia juga termasuk jenis perbuatan yang kita hendak ceritakan kepada orang lain dan kenalan kita sendiri pun malu. Itu yang dipanggil fahsya‘. Kita hendak cerita kepada orang pun segan. Kalau kita malu hendak cerita kepada orang lain, bermakna ia adalah perkara yang tidak baik.

وَأَنْ تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

dan supaya kamu mengatakan tentang Allah perkara yang kamu sendiri tidak tahu menahu;

Apa lebih teruk lagi, syaitan akan membisikkan supaya kita cakap tentang sesuatu atas nama Allah ‎ﷻ yang kita tidak ada dalil wahyu tentangnya. Kita berani kata yang sesuatu perkara itu adalah hal agama padahal ia tidak, kerana agama kenalah ada dasar atas nama Allah ‎ﷻ dan bukan boleh kita cakap kosong sahaja. Kena ada dalil wahyu baru boleh diterima pakai. Ini pula tentang akidah.

Jadi, ada tiga elemen syaitan akan sesatkan kita:

1. Dari segi amalan dan perbuatan
2. Dari segi akhlak
3. Dari segi akidah

Selepas kita hanya mengikut sahaja saranan syaitan itu, syaitan akan pergi lebih jauh lagi. Dia tidak akan berhenti. Dia akan menyuruh kita membenarkan perbuatan salah yang kita buat. Sampai mengatakan sesuatu yang kita sendiri tidak tahu benar atau salahnya.

Contohnya, seseorang akan kata bahawa perbuatan jahat yang dia buat itu tidak salah sebenarnya. Dia akan beri alasan atas perbuatan yang telah dilakukan. Mereka akan memusingkan hukum supaya nampak tidak salah perbuatan mereka itu. Mereka akan membuatkan justifikasi tentang perbuatan mereka.

Contohnya, apabila seorang lelaki dan perempuan duduk bersama, mereka akan kata bahawa yang Allah ‎ﷻ tidak benarkan adalah berzina, bukannya duduk bersama. Mereka bercakap perkara yang mereka sendiri tidak tahu. Mereka sebenarnya jahil, tetapi mereka cuba untuk menerangkan tentang agama kepada orang lain.

Atau kalau kita tegur mereka, mereka akan melenting sambil berkata: “mana dia larangan itu dalam Al-Qur’an, dalam hadith, mana?!” Mereka akan berkata dengan angkuh kerana mereka jahil, mereka tidak tahu bahawa memang ada larangan tersebut dalam nas-nas agama.

Atau dia akan tafsir agama dengan pemahaman dia sendiri. Dia akan kata yang Allah ‎ﷻ maksud begini, bukan begitu. Senang-senang sahaja mereka berkata tentang agama tanpa ilmu pengetahuan.

Tafsir Ayat Ke-170

Ini adalah ayat Zajrun.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُواْ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ بَل نَتَّبِعُ مَآ أَلفَينَا عَلَيهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ أَوَلَو كَانَ ءَابَآؤُهُم لَا يَعقِلُونَ شَيـًٔا وَلَا يَهتَدُونَ

Dan apabila dikatakan kepada mereka” Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah” mereka menjawab: “(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya”. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ

Dan apabila dikatakan kepada mereka

Mereka yang dimaksudkan adalah golongan manusia yang degil. Degil untuk menerima kebenaran walaupun sudah ada di depan mata mereka. Telah diberitahu berkali-kali tapi degil juga untuk menerima kebenaran. Segala hujah sudah diberi tapi mereka tetap menolaknya.

Apakah yang didakwahkan kepada mereka?

اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ

ikutilah sahaja wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada kamu;

Kita disuruh untuk ikut sahaja ajaran, jangan tambah-tambah dengan ajaran lain yang tidak tahu datang dari mana. Iaitu dalam perkara akidah dan amalan ibadat mesti ikut wahyu (Al-Qur’an dan juga hadis sahih).

Dan kena ikut cara hidup sepertimana yang diajar dalam Al-Qur’an dan Hadith Nabi ﷺ yang sahih. Itulah sahaja amalan yang sudah pasti dapat pahala. Sudah cukup amalan sunnah yang Allah ‎ﷻ dan Nabi ﷺ ajar, tidak akan habis kalau kita hendak amalkan. Tidak perlu ditambah amalan bid’ah yang lain. Malangnya ramai lagi hendak juga ambil ajaran yang entah dari mana.

قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ ءَابَآءَنَآ‌ۗ

Mereka berkata: “Kami hanya ikuti apa yang kami dapati dari tok nenek kami sahaja”;

Yang diajar oleh Al-Qur’an, mereka tidak mahu hendak ikut. Mereka hendak ikut apa yang ustaz atau guru mereka ajar sahaja dan amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Iaitu perbuatan turun-temurun yang telah dilakukan oleh mereka yang kononnya ahli agama. Atau, amalan yang telah lama ada dalam masyarakat. Keturunan mereka dahulu pun sudah lama mengamalkan perkara yang sama.

Contohnya, apabila dikatakan kepada mereka amalan Majlis Tahlil itu bid’ah, mereka akan kata bahawa amalan itu sudah lama dilakukan oleh orang-orang dahulu. Mereka berhujah: tidak mungkin amalan itu salah kerana sudah turun temurun ia diamalkan. Kalau ia salah, tentulah tidak diamalkan sejak sekian lama.

Mereka juga kata guru-guru agama dari dahulu sudah mengamalkannya, tidak mungkin mereka tidak tahu tentang agama pula. Ada juga berhujah: “perkara ini sudah lama dibahaskan, memang boleh buat….” Itu maknanya, mereka sayangkan guru lebih daripada sayangkan Allah ‎ﷻ. Mereka juga pakai amal sahaja amalan ibadah tanpa tengok dalil.

Perkataan أَلْفَيْ bermaksud ‘menjumpai sesuatu secara terserempak’ (bukan dicari-cari). Perkataan yang sama digunakan untuk menceritakan penemuan binatang seperti anjing contohnya, yang mencakar-cakar tanah dan menjumpai tulang. Ia satu penemuan yang tidak memerlukan intelek. Kalau sesuatu penemuan itu memerlukan intelek untuk mendapatinya, perkataan وجد (wajada) akan digunakan.

Oleh itu, mereka hanya mengambil sahaja tanpa mereka memikirkan sama ada ia adalah benar ataupun tidak. Mereka terus terima sahaja tanpa usul periksa. Mereka malas nak fikir, hendak kaji sama ada amalan itu ada dalil atau tidak. Pada mereka yang seperti ini: asalkan sudah diamalkan dahulu, boleh sahaja diamalkan.

Kita bersyukur yang tok nenek kita dahulu sudah membuat keputusan untuk masuk Islam. Sudah senang kerja kita kerana lahir-lahir sudah berada dalam keluarga Islam. Kalau mereka tidak masuk Islam dahulu, entah kita agama apa sekarang – mungkin agama Hindu. Kalaulah mereka tidak masuk Islam, mereka akan tanggung dosa mereka dan dosa anak-anak cucu mereka yang tidak masuk Islam.

Begitulah juga kita: kalau kita tidak mengajar amalan yang betul kepada anak cucu kita, kita pun akan tanggung dosa kesalahan yang kita lakukan, dan juga menanggung sama dosa kesalahan mereka yang dilakukan kerana kita tidak mengajar mereka tentang kebenaran. Sudahlah dosa sendiri kena tanggung, ditambah lagi dengan anak cucu yang entah berapa ramai.

Apakah mereka masih hendak mengikuti lagi ajaran tok-tok guru mereka lagi?

أَوَلَوْ كَانَءَابَآؤُهُمۡ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا

sedangkan tok nenek mereka dahulu tidak tahu apa-apa?

Allah tempelak mereka: Masih hendak ikut lagikah amalan tok nenek itu walaupun tok nenek itu dahulu tidak tahu langsung tentang akidah? Mereka ‘asal buat’ sahaja. Mereka tidak menggunakan akal untuk memikirkan apakah amal ibadat yang mereka lakukan itu dari agama atau tidak.

Bermakna, tok nenek mereka dahulu pun mengamalkan sesuatu amalan yang salah atau bid’ah itu tanpa menggunakan intelek mereka. Mereka itu jahil agama, tidaklah kita hendak ikut mereka juga jadi jahil? Masyarakat kita dulu jauh dari fahaman sunnah, keprihatinan kepada agama pun rendah. Mereka dahulu begitu, kita sekarang pun ramai yang buat begitu juga.

Menggunakan akal mestilah dengan akal yang suci bersih daripada emosi. Baru boleh mendapat ilmu yang bermanfaat. Kalau akal didorong oleh nafsu dan emosi, kita tidak akan mendapat kebenaran. Jangan kerana hendak hormat pendapat golongan sebelum kita, kita ikut sahaja amalan mereka.


وَلَا يَهْتَدُونَ

dan mereka sendiri tidak terpimpin?;

Maksudnya tok nenek mereka dahulu pun tidak mendapat hidayah daripada Allah ‎ﷻ. Mereka tidak bersungguh untuk mendapatkan hidayah daripada Allah ‎ﷻ.

Malangnya, ramai dalam kalangan ahli agama kita yang tidak terpimpin juga. Sepatutnya mereka kenalah tahu tentang agama, tetapi apabila kita tanya mereka sudah habis belajar tafsir Al-Qur’an atau hadith Nabi, mereka akan jawab yang mereka tidak belajar lagi pun. Cuma ambil sedikit-sedikit sahaja. Petik sini sedikit, sana sedikit.

Namun mereka berada di dalam kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Contohnya, merekalah yang berada dalam pejabat agama. Merekalah yang menjadi imam salat berjama’ah di masjid dan di surau-surau, merekalah yang mengajar di surah dan masjid-masjid.

Mereka menjadi rujukan masyarakat. Merekalah juga sekarang yang menjadi ‘ustaz selebriti’ dan ditonton di kaca TV. Alangkah malangnya masyarakat sekarang yang hanya memilih agama berdasarkan kepada populariti seseorang tokoh agama itu.

Allahu a’lam. 

Konvensyen UiTO Ke-5 2019: Prosiding Konvensyen 2019 – Loving & Firm Parenting

0

Mesejnya kasih…Rahsia Parenting Cemerlang
Pembentang: Ibu Rose

Dunia semakin maju dan bergerak dengan semakin pantas. Dalam mengejar kejayaan atau untuk menyara kehidupan di dunia ini, adakalanya manusia menjadi alpa dengan apakah sebenarnya tujuan mereka hidup di atas muka bumi ini.

Kehidupan mereka menjadi tidak seimbang dan menentu baik di tempat kerja mahupun di rumah.

Disebabkan kepentingan untuk memenuhi corak hidup, PARENTING terpaksa diletakkan di belakang. Walau pun amat disedarinya ianya sangat penting namun tidak diberi tumpuan yang sewajarnya. Natijahnya ramai anak-anak yang dilahirkan hebat perlahan-lahan menjadi anak yang bermasalah kepada masyarakat.

Nantikan pengisian menarik mengenai PARENTING yang akan dibentangkan secara langsung oleh Ibu Rose, seorang pakar Keluarga & Kasih Sayang dibawan khas di Konvensyen UiTO ke-5 2019.

Penyertaan ke Konvensyen UiTO ke-5 2019 masih lagi dibuka. Jom daftar beramai-ramai dan dapatkan info yang menarik dan berfaedah untuk anda dan keluarga anda.

Link untuk sertai grup Peserta Konvensyen UiTO Ke-5 2019
http://t.me/KonvensyenUiTO2019

Pendaftaran:
Norsiah – 0192831337
http://www.wasap.my/60192831337/KonvensyenUiTO

Soal Jawab Bersama Doktor: Kemurungan

0

Soalan:
Apa itu kemurungan?
Jawapan:
Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Soalan:
Apa punca kemurungan?
Jawapan:
Punca utama kemurungan adalah personaliti yang suka bersendirian dan jarang bergaul dengan orang lain, yang kedua sebab genetik, yang ketiga ‘substance abuse’. Ia juga berlaku kerana dicetuskan oleh peristiwa-peristiwa luarbiasa seperti kematian orang yang disayangi atau kehilangan sesuatu yang sangat disukai.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami kemurungan, antaranya adalah:

  • Genetik atau keturunan: Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan, mempunyai risiko yang lebih tinggi.
  • Personaliti diri: Individu dengan personaliti yang selalu gelisah, pendiam serta kurang ceria adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.
  • Trauma ketika kanak-kanak: Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanak seperti penderaan fizikal / mental atau kehilangan ibu bapa sewaktu kecil didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi.
  • Penggunaan dadah atau alkohol.
  • Tekanan hidup: Sejarah hidup yang negatif atau tekanan yang berterusan.
  • Ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) di dalam otak. Bahan kimia utama yang sering dikaitkan ialah serotonin. Selain daripada itu norepinephrine dan dopamine juga turut terlibat. Bahan-bahan ini diperlukan untuk otak kita berfungsi secara normal dalam mengawal perasaan kita.

Soalan:
Apakah tanda-tanda sesorang itu mengalami kemurungan?
Jawapan:
Berikut adalah tanda-tanda dan gejala kemurungan:

• Kesedihan atau “kekosongan” perasaan yang berpanjangan
• Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.
• Cepat rasa letih dan tidak bertenaga
• Perasaan pesimistik dan mudah putus asa
• Perasaan bersalah
• Rasa diri tidak berguna
• Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur
• Hilang selera makan dan penurunan berat badan
• Percubaan bunuh diri
• Rasa tidak tenteram dan mudah marah
• Kurang daya tumpuan dan ingatan
• Sukar membuat keputusan
• Simptom fisiologi seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman
• Kurang nafsu seksual
• Pergerakan menjadi terhad/ kaku atau menjadi resah gelisah
• Mudah cemas atau fobia

Soalan:
Apakah rawatan kepada penyakit kemurungan?
Jawapan:
Penyakit kemurungan boleh dirawat, pesakit dapat disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang teratur dan intensif. Antara rawatan yang digunakan:

• Penggunaan ubat ‘Anti-depressant’
• Terapi elektrokonvulsif (ECT)
• Psikoterapi
• Kaunseling

Selain daripada rawatan perubatan, pesakit juga digalakkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

• Amalkan perhubungan yang sihat. Luangkan masa dengan orang tercinta seperti isteri, anak-anak, rakan sekerja dan kawan-kawan rapat. Sentiasalah bercerita mengenai perkara yang positif bersama mereka.

• Bersenam. Melakukan senaman selama 30 minit setiap hari akan mempunyai impak yang sangat bagus buat fizikal dan mental anda. Dengan bersenam, anda akan terasa bermotivasi dan mempunyai lebih banyak tenaga untuk mengharungi hari-hari anda. Jangan lupa untuk merancang senaman dan tidak melakukannya secara membabi buta.

• Berfikir secara positif. Menjadi seorang berfikiran positif adalah salah satu cara yang sangat berkesan untuk mengatasi kemurungan. Buangkan rasa negatif, tiada harapan dan kebosanan dalam hidup anda. Cari sekurang-kurangnya 5 perkara yang membuatkan anda rasa gembira untuk hidup hari ini.

• Amalkan diet yang seimbang. Kalau terlebih makan atau terkurang makan, ia pasti memberikan impak yang negatif kepada badan dan cara pemikiran kita. Cuba cari makanan yang seimbang buat anda. Jangan terlalu gilakan badan yang kurus melengkung seperti model kerana ia akan membuatkan anda stress dan tidak bertenaga.

• Tingkatkan penampilan anda. Sekiranya anda mengambil berat mengenai cara pemakaian dan penampilan anda setiap hari, pasti anda akan merasa lebih gembira dengan diri sendiri. Sekali sekala apa salahnya berbelanja untuk kelihatan lebih tampan dan cantik. Ia pasti akan membuatkan anda lebih yakin untuk tampil di khalayak ramai.

Konvensyen UiTO Ke-5 2019: Prosiding Konvensyen – Post Partum Syndrome

0

APA ITU POST PARTUM SYNDROME?

Pembentang: Puan Sumayyah Mohd Marzuki

Post Partum Depression ialah kecelaruan perasaan yang teruk, selalunya berlaku selepas kelahiran anak. 

Ia bukan hanya dialami oleh ibu, adakalanya ia berlaku kepada bapa juga. 

Kebiasaannya berlaku kepada ibu-ibu yang baru melahirkan anak seawal seminggu sehingga 3 minggu.  Namun adakalanya simptom ini muncul selepas setahun bersalin. 

Penyebab berlakunya depresi ini tidak nyata, namun antara faktor yang mendorong kepada depresi ini adalah:

  • Fizikal
  • Emosi
  • Genetik

Dengarkan pengalaman sebenar yang dialami sendiri oleh Puan Sumayyah di dalam pembentangan kertas kerja beliau bertajuk “Post Partum Syndome” ini dan langkah-langkah untuk mengatasinya di Konvensyen UiTO Ke-5 2019 pada 30 November 2019 nanti. 

Jom daftar sebagai peserta Konvensyen UiTO ke-5 2019 dan Buku Prosiding Konvensyen serta cenderahati Edisi Khas dari UiTO jadi milik anda. 

Sila klik link untuk mendaftar:

https://t.me/KonvensyenUiTO2019

 

 

 

 

Konvensyen UiTO Ke-5: Prosiding Konvensyen – Acuan Negara Rahmah

0

Acuan Negara Rahmah

Pembentang: Tn Haji Ali bin Muda @Abu Mishkat

Pegawai Tugas-Tugas Khas (Agama) Menteri Di Jabatan Perdana Menteri

  • Rahmatan Lil ‘Alamin (RLA) adalah maqsid a’la/objektif tertinggi ajaran Islam
  • RLA adalah mesej global, tidak harus disempitkan dengan fahaman perkauman sempit
  • Malaysia Negara Rahmah adalah model Malaysia Baharu yang diharapkan menjadi contoh kepada negara-negara Islam dan bukan Islam

Nantikan kupasan lanjut oleh pembentang Abu Mishkat mengenai Acuan Negara Rahmah.
Jom daftar sebagai peserta Konvensyen UiTO ke-5 2019 dan Buku Prosiding Konvensyen serta cenderahati Edisi Khas dari UiTO jadi milik anda!

Sila klik link untuk mendaftar:
https://t.me/KonvensyenUiTO2019

Popular

Iklan

Iklan