Utama Blog Halaman 58

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-185 (Bahagian 2)

0

Tafsir Ayat Ke-185

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا

Dan sesiapa antara kamu yang sakit;

Diulang kembali rukhsah yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Kalau sakit, tidak perlu puasa.

أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

atau dalam musafir,

Diulang kembali rukhsah yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Kalau dalam perjalanan, tidak perlu puasa.

Allah ‎ﷻ tidak sebut pun yang mereka tidak berpuasa kerana mereka sakit atau dalam musafir. Teapi kita faham kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah ‘iijaaz’ – Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja maka kita boleh faham. Ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an.

فَعدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

maka gantilah puasa itu pada hari lain;

Maknanya, orang sakit dan orang musafir boleh meninggalkan puasa tetapi kena ganti pada hari yang lain. Kena فَعِدَّةٌ (yang bermaksud ‘kira’) berapa hari yang tinggal dan kena ganti berapa hari yang tinggal. Allah ‎ﷻ tidak sebut dengan penuh pun kerana kalau dilihat secara literal, terjemahan ayat ini adalah: “maka bilangan dari hari yang lain”. Namun kita faham kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah ‘iijaaz’ lagi dalam ayat ini.

Sebelum ini diberikan pilihan kepada umat Islam untuk membayar fidyah kalau mereka tidak berpuasa. Tetapi dalam ayat ini, mereka disuruh untuk menggantikan puasa kalau mereka tidak berpuasa kerana sakit atau dalam perjalanan. Hukum sudah bertukar. Sudah tidak ada pilihan untuk bayar fidyah kalau tidak mahu puasa.

Nampak macam lagi susah daripada hukum yang lama kerana sudah tidak ada pilihan untuk tidak berpuasa. Tetapi tidak sebenarnya.

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ

Allah ingin memberikan kemudahan kepada kamu

Bagaimana pula Allah ‎ﷻ kata bahawa Dia hendak memudahkan kita? Padahal, kalau kita lihat, puasa dahulu hanya tiga hari sahaja, sekarang sudah jadi sebulan penuh. Kalau dahulu, ada pilihan untuk bayar fidyah kalau tidak mahu berpuasa, sekarang tidak ada pilihan itu, kena ganti puasa kalau tidak dapat berpuasa.

Begitu juga, kalau kita fikirkan ibadat puasa ini, ia adalah sesuatu yang payah untuk dilakukan. Jadi kenapa Allah ‎ﷻ kata Dia hendak memudahkan kita?

Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menjadikan kita orang yang bertaqwa. Dengan berpuasa, akan meningkatkan taqwa kita. Dengan taqwa, senang mendapat hidayah. Allah ‎ﷻ mahu supaya kita ‘senang’ mendapat hidayah. Siang berpuasa dan malam membaca Al-Qur’an.

Sesiapa yang mendapat hidayah, akan mudah di dunia dan di akhirat. Itulah yang dimaksudkan Allah ‎ﷻ hendak memberi ‘kemudahan’ kepada kita.

Allah ‎ﷻ beri amalan puasa kerana hendak memudahkan untuk kita ikut syariat seterusnya. Dengan berkat mengamalkan puasa ini akan memudahkan kita mengamalkan hukum-hukum dan ibadat yang lain. Memang bukan Allah‎ ﷻ hendak susahkan kita. Lihatlah bagaimana kalau kita dalam keadaan susah, sama ada sakit atau dalam musafir, kita boleh buka puasa.

Kemudahan itu juga bermaksud kemudahan di akhirat kelak. Itulah kemudahan yang lebih penting. Kalau kita susah di dunia ini, tetapi kita senang di akhirat kelak, itu sudah satu nikmat yang amat besar. Apabila kita di akhirat kelak, kita tidak ingat lagi tentang dunia. Kalau kita masuk syurga, kita tidak ingat kesusahan yang kita alami semasa di dunia dulu.

Allah ‎ﷻ juga telah mudahkan kita berpuasa dengan Allah ‎ﷻ mengikat syaitan-syaitan daripada mengganggu kita. Supaya iman kita boleh menang dalam bulan Ramadhan ini. Kalau syaitan ada dalam bulan Ramadhan juga, entah berapa hari sahaja kita dapat puasa agaknya. Itu adalah satu makna ‘mudah’ juga.

وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

dan Dia tidak mahu menimpakan kesusahan ke atas kamu;

Memang pada mulanya agak susah sedikit untuk berpuasa kerana pada zaman Nabi ﷺ dahulu, kalau tertinggal waktu buka puasa tetapi tidak berbuka, mereka tidak boleh makan sampailah ke waktu sahur pula. Bermakna, mereka kena berbuka waktu maghrib itu juga.

Sampaikan ada sahabat yang lemah, sampai dia pengsan di siang harinya, kerana dia terpaksa meneruskan puasa untuk jangkamasa yang lama. Kemudian telah turun ayat tentang boleh makan dan minum hingga masuk waktu subuh.

Sebelum potongan ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menyebut yang Dia hendak memberi kemudahan kepada kita. Dalam ayat ini, disebut pula Allah ‎ﷻ tidak mahu menyusahkan kita. Kenapa ada pengulangan? Kalau kita kata sesuatu benda itu hitam, bermakna ia tidak putih dengan secara automatik. Tidak perlu kita hendak kata: “Kasut ini warnanya hitam, tidak putih”.

Allah ‎ﷻ tambah dengan menyebut Dia tidak mahu menyusahkan kita kerana hendak memberi penekanan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak percaya. Tambahan pula, ada yang susah untuk terima bahawa ibadat puasa itu lebih menyenangkan.

Bayangkan, kalau dahulu ada pilihan untuk tidak puasa, boleh bayar fidyah, sekarang tidak lagi. Kalau dahulu, puasa tidak lebih daripada sepuluh hari, tetapi sekarang dah jadi 29 atau 30 hari sebulan penuh. Mana yang senangnya?

Senangnya nanti adalah di akhirat kelak iaitu apabila kita terselamat daripada kesusahan yang amat besar, iaitu selamat daripada memasuki neraka. Kalau kita selamat daripada memasuki neraka, maka kita sudah selamat dari kesusahan yang besar.

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ

dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa;

Perkataan وَلِتُكْمِلُوا dari kata dasar ك م ل yang bermaksud sempurna. Allah ‎ﷻ hendak kita menyempurnakan ibadat puasa itu selama sebulan. Sempurna bermaksud bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi daripada perkara-perkara dosa dan perkara-perkara lagha yang lain – perkara yang sia-sia. Jauhkan diri daripada perbuatan dosa-dosa lain. Jauhkan diri daripada membuat perkara-perkara tidak berfaedah.

Kita kena penuhkan sebulan puasa dalam bulan Ramadhan itu dengan kebaikan. Kita kena penuhkan ‘latihan’ kita ini. Tidak boleh buat sedikit-sedikit. Kalau kita baru masuk kerja pun, kita kena menjalani latihan juga. Jadi, puasa adalah latihan untuk kita.

Walaupun Allah ‎ﷻ hendak memudahkan kita, tetapi kita mesti memenuhkan puasa dalam sebulan. Allah ‎ﷻ tahu apakah yang kita mampu lakukan. Allah ‎ﷻ tidak menyusahkan makhluk-Nya dengan memerintahkan kita buat perkara yang kita tidak mampu.

Penuhkan Ramadhan dengan berbuat amal ibadat. Jangan jadikan Ramadhan ini sebagai ‘bulan pesta makan’. Amat menyedihkan apabila umat Islam hanya mementingkan makan sahaja. Mereka menahan makan sepanjang siang, tetapi pada waktu malam mereka habiskan dengan makan sahaja. Mereka akan beli bermacam-macam juadah yang dijual di Pasar Ramadhan (PaRam) dan mereka selalunya akan membazir kerana mereka sedang membeli dalam keadaan lapar.

Apabila berbuka pula, mereka akan makan dengan banyak kerana kononnya hendak menggantikan makanan yang tidak dimakan siang hari tadi. Kalau mengikut statistik, import makanan bulan Ramadhan lagi banyak daripada bulan-bulan lain. Padahal, sepatutnya bulan ini adalah bulan dikurangkan makanan, namun yang sebaliknya pula yang terjadi.

Ingatlah, suri rumahtangga jangan habiskan masa dengan memasak sahaja. Yang selalu terjadi, mereka akan mula masak dari awal petang lagi. Bukannya hendak meluangkan masa dengan beribadah, tetapi mereka akan sibuk dengan hal masak memasak. Masak pula banyak sampai membazir sebab bukannya larat hendak makan semua pun.

Sepatutnya kita jadikan Ramadhan ini sebagai bulan ibadah. Perbanyakkan ibadah dalam bulan ini. Ia adalah sebagai latihan kepada kita untuk melakukan ibadah. Amat senang untuk melakukan ibadah dalam Ramadhan kalau dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana tidak ada syaitan yang mengganggu. Selepas habis Ramadhan, kita hendaklah meneruskan amalan ibadah itu. Bukan setakat Ramadhan sahaja.

Jadikan bulan ini sebagai bulan Al-Qur’an. Hafal ayat Al-Qur’an sebanyak mungkin. Jadikan satu projek untuk hafal satu-satu surah supaya kita dapat manfaat daripada bulan Ramadhan ini. Jangan pula ambil peluang tiada kerja bulan Ramadhan ini kita habiskan masa dengan menonton wayang, habiskan siri drama Korea yang tidak sempat habis dalam bulan lain. Itu adalah perkara yang lagha sahaja.

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ

dan supaya kamu mengagungkan Allah

Apabila kita telah selesai menjalani ‘latihan’ dalam bulan Ramadhan, maka kita akan raikan kejayaan kita itu dengan berhari raya. Bukankah semasa hari raya itu, kita meraikannya dengan bertakbir?

Bertakbir di Hari Raya adalah membesarkan Allah ‎ﷻ dengan percakapan mulut kita. Kita juga kena membesarkan Allah ‎ﷻ dengan amal kita dan bukanlah setakat ucapan mulut sahaja. Apabila kita membesarkan Allah ‎ﷻ, bermakna kita mengecilkan diri kita.

Kita kena rasa diri kita amat kerdil kalau dibandingkan dengan Allah ‎ﷻ. Apabila kita rasa kerdil, baru senang kita hendak mengikut perintah Allah ‎ﷻ. Apa sahaja suruhan Allah ‎ﷻ kita akan ikut. Orang yang rasa besar diri yang susah hendak mengikut suruhan Allah ‎ﷻ.

Selalunya, kalau kita telah melakukan kebaikan, kita akan puji diri kita. Kita kata kita sudah habis baca Al-Qur’an 30 juzuk sepanjang bulan Ramadhan, kita tidak tinggalkan puasa, tidak tinggal salat terawih tiap-tiap malam. Adakah itu yang Allah ‎ﷻ suruh? Tidak.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh membesarkan Allah ‎ﷻ, bukannya membesarkan diri kita! Kerana Dia lah yang memberikan peluang kepada kita. Dia juga yang memberikan kita kekuatan dan taufiq untuk menjalankan semua ibadat itu. Kalau bukan kerana Allah ‎ﷻ, tentulah kita pun tidak mampu hendak melakukannya.

Maka kita hendaklah membesarkan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ telah beri taufiq kepada kita untuk menunaikan hukum puasa.

عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُم

atas apa yang Allah telah beri hidayah kepada kamu;

Hidayah yang paling besar adalah Dia telah memasukkan kita ke dalam Islam. Jadi puasa adalah kerana hendak balas nikmat Allah ‎ﷻ yang telah masukkan kita ke dalam Islam.

Hidayah yang besar yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita adalah pemberian Al-Qur’an itu yang diberikan di bulan Ramadhan. Sebab itulah kita puasa dalam bulan Ramadhan – kerana bulan inilah diturunkan Al-Qur’an. Sebagai meraikan penurunan Al-Qur’an itu yang diturunkan dalam bulan Ramadhan, maka Alla h‎ﷻ pilih Ramadhan sebagai bulan yang disuruh kita puasa di dalamnya.

Potongan ayat ini juga mengingatkan kita supaya mengikut apa yang Allah ‎ﷻ telah suruh kita buat. Bukannya memandai-mandai reka perkara baru dalam agama. Oleh itu, jangan kita buat amalan yang bid’ah. Hendaklah kita memastikan amalan yang kita buat itu datangnya dari nas yang sah. Kalau tidak pasti, tinggalkan terlebih dahulu.

Sebagai contoh, dalam Ramadhan, masyarakat kita akan semangat untuk buat salat Terawih. Itu adalah amalan yang baik. Namun kenapa antara dua raka’at dalam salat itu, ada laungan selawat kepada Nabi ﷺ? Siapa yang ajar? Adakah ia baik? Kalau ia baik, tentulah para sahabat sudah buat semenjak dahulu lagi.

Tetapi mereka tidak buat perkara ini. Ia datang kemudian daripada mereka. Tidak diketahui dari mana dan siapa yang memulakannya. Yang pasti, tidak ada dalil sah mengenainya. Maka, kalau ada dalam salat Terawih yang sebegitu, jangan anda termasuk orang yang melaungkan selawat itu juga.

Senyap sahaja. Biarlah mereka yang semangat itu laungkan. Biarkan mereka menjawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti kenapa mereka lakukan perkara itu.

وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

dan supaya kamu bersyukur;

Maknanya, kita berpuasa itu adalah sebagai tanda syukur kita kepada Allah ‎ﷻ di atas nikmat yang telah diberi-Nya kepada kita. Semoga kita bersyukur atas hidayah yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Haji pun macam itu juga di mana kita mengerjakan Haji kerana Allah ‎ﷻ telah memberi hidayah Islam dan Iman kepada kita.

Kita disuruh syukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah diberikan kita satu ibadah yang besar, satu bulan penuh dalam Ramadhan. Kita juga bersyukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah memberikan kita kekuatan dan taufiq untuk menjalankan ibadat itu. Juga supaya kita bersyukur atas nikmat Al-Qur’an yang diberikan kepada kita.

Ada mufassir berkata, dengan berpuasa, kita akan lebih menghargai nikmat makan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Apabila kita tidak dapat makan untuk beberapa lama, maka kita akan terkenangkan betapa ramai orang tidak dapat makan kerana miskin dan sebagainya. Selalunya kita akan dapat merasakan kenikmatan sesuatu perkara itu selepas kita kehilangannya.

Kalau kita sentiasa sahaja dapat makan, kita tidak terasa nikmat makan itu. Jadi, dengan berpuasa, kita akan rasa bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan makanan kepada kita selama ini kerana kita sudah mula dapat menghargai nikmat makanan.

Sama juga kalau kita sihat. Kalau kita sihat sentiasa, kita tidak mensyukuri nikmat sihat itu. Sekali-sekala Allah ‎ﷻ beri kita sakit supaya kita bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah ‎ﷻ berikan. Jadi Allah ‎ﷻ tarik sekejap nikmat makan supaya kita bersyukur apabila kita dapat makan.

Namun ada pula mufassir yang mengatakan bahawa yang perlu kita syukuri dalam bulan Ramadhan adalah nikmat kita telah mendapat Al-Qur’an kerana seperti telah disebut sebelum ini, Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an, kita mendapat hidayah.

Bersyukurlah kepada Allah ‎ﷻ yang telah menyelamatkan kita dengan memberikan Al-Qur’an ini kepada kita.

Bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah merantai syaitan pada bulan Ramadhan, kerana merekalah antara yang menghalang kita mendapat hidayah. Itu pun kita kena syukur juga.

Kita juga bersyukur kerana kita mendapat kelebihan puasa di bulan Ramadhan ini. Bayangkan, tidak semua umat Islam yang dapat berpuasa dalam bulan Ramadhan. Orang-orang yang Islam di awal Islam, dan mati sebelum ayat ini diturunkan, tidak sempat mendapat arahan berpuasa dalam bulan Ramadhan ini kerana ia belum difardhukan lagi.

Allahu a’lam.

Asmau’l Husna: Bab 2 Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat-Nya (Bahagian 1)

0

Bab 2: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ﷻ dan Sifat-Nya.

Tidak diragukan lagi bahawa ilmu tentang nama Allah ﷻ dan sifat-sifat-Nya merupakan semulia-mulianya ilmu syar’i dan semurni-murninya tujuan yang agung kerana berkaitan dengan semulia-mulianya Dzat iaitu Allah ﷻ.

Mengenal Allah ﷻ, nama-nama dan sifat-sifat serta perbuatan-perbuatan-Nya merupakan semulia~mulianya ilmu agama. Mengharapkan wajah Allah ﷻ merupakan semulia-mulianya tujuan. Beribadah kepada-Nya merupakan sebaik-baiknya amal perbuatan dan memuji Allah ﷻ melalui nama dan sifat-Nya merupakan semulia-mulianya ucapan.

Itulah landasan agama yang lurus iaitu agama Nabi Ibrahim عليه السلام, yang telah disepakati oleh semua nabi. Dakwah serta ajaran mereka bersatu di atasnya dan nasihat serta penjelasan mereka terfokus padanya. Bahkan hal tersebut merupakan salah satu bahagian yang agung daripada fokus dakwah mereka dari yang pertama sampai yang terakhir iaitu Muhammad ﷺ.

Mereka diutus untuk berdakwah kepada Tauhidulllah (mengesakan Allah ﷻ), menjelaskan jalan yang menyampaikan kepada-Nya dan balasan bagi orang yang mengikutinya. Inilah tiga landasan utama bagi setiap ajaran para nabi.

Dari sinilah Imam Ibnu Al-Qayyim رحمه الله berkata, “Sesungguhnya dakwah para rasul berkisar pada tiga hal, iaitu memperkenalkan Allah ﷻ kepada manusia melalui nama dan sifat serta perbuatan-Nya. Kedua: menjelaskan jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya. Ketiga: menerangkan balasan bagi mereka di syurga dan kenikmatan di dalamnya dan yang paling mulia dan utama adalah redha-Nya serta melihat kepada Wajah-Nya yang Maha Mulia serta ucapan salam serta berdialog dengan-Nya.

[Maka ilmu Asma’ul Husna ini adalah untuk kenal Allah ﷻ. Inilah yang pertama sekali kita kena tahu. Bagaimana kita hendak beribadat kepada-Nya dan menyayangi-Nya kalau kita tidak kenal Allah ﷻ?

Allah ‎ﷻ memperkenalkan Diri-Nya kepada kita dengan memberitahu nama-nama-Nya kepada kita di dalam Al-Qur’an. Kemudian Nabi ﷺ memperjelaskan lagi dalam penerangan hadith-hadith daripada baginda. Maka itulah tujuan para Nabi ﷺ dan begitulah juga kerja para guru dan pendakwah.]

Beliau juga (Ibn Qayyim) juga berkata tentang dakwah Rasul ﷺ terakhir yang berkaitan hal ini: “Baginda memperkenalkan kepada manusia Rabb mereka dan sembahan mereka sesuai kadar kemampuan mereka dalam memahami penjelasan. Kadangkala baginda menjelaskan, mengulangi, meringkas, dan terkadang memperluas penjelasan tentang nama, sifat dan perbuatan-Nya, hingga jelas pengenalan terhadap-Nya dalam hati para hamba-Nya yang beriman dan tersingkaplah keraguan dari pengenalan terhadap-Nya sebagaimana jelasnya rembulan di kala purnama.

Baginda tidak meninggalkan bagi umatnya sedikit pun penjelasan tentang hal ini untuk orang sebelum dan sesudah baginda, bahkan baginda telah mencukupi mereka,

أَوَلَم يَكفِهِم أَنّا أَنزَلنا عَلَيكَ الكِتٰبَ يُتلىٰ عَلَيهِم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَرَحمَةً وَذِكرىٰ لِقَومٍ يُؤمِنونَ

Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahawasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Qur’an) sedang dia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam (Al Qur’an) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.

[Rasulullah telah mengambil masa selama 23 tahun mengajar agama kepada manusia. Maka kita yang prihatin terhadap diri sendiri dan ke mana dia akan pergi (ke syurga atau neraka) akan mendalami ilmu yang baginda sampaikan. Maka pemebelajaran perlu dijalankan.

Antara perkara penting yang kita kena belajar adalah tentang nama-nama Allah ‎ﷻ yang memberi penerangan yang lebih tentang Allah ‎ﷻ kerana kita tidak akan kenal Allah ‎ﷻdengan diri sendiri. Fikir banyak kali pun, takut sesat pula.]

Bagaimana tidak, sedangkan baginda telah bersabda:

قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا لَا يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلَّا هَالِكٌ

“Sungguh aku telah meninggalkan kalian di atas (Islam) yang putih bersih, siang dan malamnya sama terangnya. Siapa saja yang menyimpang darinya (dari jalan putih bersih yang para sahabat berada di atasnya), pasti (dia) binasa. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

[Agama Islam ini telah jelas. Iaitu agama yang mengikut dalil daripada wahyu. Maka kerana itu kita kena periksa pemahaman kita dengan wahyu yang Allah ‎ﷻ telah berikan.]

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda,

إنه لم يكن نبي قبلي إلا كان حقا عليه أن يدل أمته على خير ما يعلمه لهم، وينذرهم شر ما يعلمه لهم

“Sesungguhnya tidak ada seorang Nabi pun sebelumku, melainkan wajib baginya untuk menunjukkan kepada umatnya kebaikan yang ia ketahui untuk mereka, serta memperingatkan mereka dari keburukan yang diketahui bagi mereka.” (HR. Muslim 1844)

[Maka Nabi Muhamamad telah lengkap sampaikan agama ini kepada kita, tinggal kita untuk belajar sahaja. Maka jangan kita hendak reka ajaran agama yang baru. Kena belajar apa yang baginda telah ajarkan.]

Lihat hadith ini:

عَنْ أَبِى ذَرٍّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: تَرَكَنَا رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَا طَائِرٌ يُقَلِّبُ جَنَاحَيْهِ فِي الْهَوَاءِ إِلاَّ وَهُوَ يَذْكُرُنَا مِنْهُ عِلْمًا. قَالَ: فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَا بَقِيَ شَيْءٌ يُقَرِّبُ مِنَ الْجَنَّةِ وَيُبَاعِدُ مِنَ النَّارِ إِلاَّ وَ قَدْ بُيِّنَ لَكُمْ.

Dari Sahabat Abu Dzarr رضي الله عنه, beliau berkata, “Rasulullah ﷺ telah pergi meninggalkan kami (wafat), dan tidaklah seekor burung yang terbang membalik-balikkan kedua sayapnya di udara melainkan baginda ﷺ telah menerangkan ilmunya kepada kami.” Berkata Abu Dzarr رضي الله عنه, “Rasulullah ﷺ telah bersabda, ‘Tidaklah tertinggal sesuatu pun yang mendekatkan ke Syurga dan menjauhkan dari Neraka melainkan telah dijelaskan semuanya kepada kalian.’”

(HR. At-Thabrani dalam Mu’jamul Kabir (II/155-156 no. 1647) dan Ibnu Hibban (no. 65) dengan ringkas dari Sahabat Abu Dzarr رضي الله عنه. Lihat Silsilah al-Ahaadits ash-Shahihah no.1803).

[Maknanya Nabi Muhammad ﷺ telah menjalankan tugas baginda untuk menyampaikan ajaran agama. Semua yang perlu sudah diajar. Jadi apabila ada golongan seperti golongan tarekat yang reka fahaman dan amalan baru, itu sudah tidak adil kepada baginda. Seolah-olah baginda ada tertinggal ajaran kepada kita pula. Mereka juga seolah-olah hendak mengatakan mereka lebih pandai daripada Nabi ﷺ pula. Ini tentulah tidak patut, bukan?

Maka kita kena belajar dengan tekun apakah yang Nabi Muhammad ﷺ telah ajar kepada kita. Ambil dengan kemas dan jangan tinggalkan. Kalau ada yang ajar perkara baru, jangan terima. Kena tanya dari manakah amalan agama itu diambil. Yang mengajar kena berikan dalil dari Al-Qur’an atau dari Sunnah Nabi Muhammad ﷺ.]

Selain itu, mustahil bagi Nabi ﷺ yang telah mengajarkan kepada umatnya tatacara buang hajat, makan dan minum, masuk dan keluar (rumah) dengan terperinci lalu meninggalkan mereka tanpa mengajarkan apa yang harus mereka katakan dengan lisan mereka dan apa yang mereka yakini dengan hati mereka tentang Rabb dan sesembahan mereka.

[Lihatlah, kencing berak pun Nabi Muhammad ﷺ sudah ajar kepada umatnya. Takkan benda-benda penting dalam agama tidak diajar? Sebagai contoh, zaman baginda juga telah ramai orang yang mati. Adakah mereka buat Kenduri Arwah? Majlis Tahlilan? Tentu tidak ada kerana tidak sampai kepada kita. Kita ikut siapakah sebenarnya?]

Pengetahuan tentang-Nya merupakan semulia-mulianya ilmu dan perjalanan kepada-Nya merupakan semulia-mulianya tujuan serta seutama-utamanya pemberian. Bagaimana mungkin baginda tidak menjelaskannya, padahal keperluan manusia kepadanya lebih mendesak daripada semua keperluan kerana tidak ada kebahagiaan, kejayaan, kebaikan, kenikmatan, dan ketenteraman bagi manusia, kecuali dengan mengenal Rabb dan sesembahan mereka serta beribadah kepada-Nya. Sehingga Dia-lah satu-satunya yang diharapkan dan tempat mereka bergantung. Mengingat dan mendekatkan diri kepada-Nya merupakan penyejuk mata dan penghidup bagi hati.

Apabila mereka kehilangan semua itu, maka keadaannya jauh lebih buruk daripada binatang ternak, sebagaimana Allah ﷻ berfirman,

إِن هُم إِلّا كَالأَنعٰمِ ۖ بَل هُم أَضَلُّ سَبيلًا

“Mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya dari binatang ternak itu.” (QS. Al-Furqan: 44)

[Ilmu yang terpenting adalah mengenal Allah ﷻ. Inilah yang dinamakan ‘makrifat’ (kenal). Iaitu kenal Allah ﷻ. Inilah ilmu yang amat penting sekali. Kalau kita tidak kenal siapa Allah ﷻ, kepada siapa sebenarnya kita sembah dan menghambakan diri?

Kalau kita tidak kenal Allah ﷻ, maka amatlah malangnya hidup ini. Sia-sia kita dilahirkan ke dunia kerana tidak kenal Allah ﷻ. Ia lebih teruk lagi daripada tidak kenal siapa ibu bapa kita sendiri, bukan?

Untuk kenal Allah ‎ﷻ hendaklah diambil ilmunya daripada Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ sudah ajar dan tidak perlu kita hendak reka fahaman baru. Tidak perlu kita hendak fikir-fikir guna akal kita dan cuba agak-agak Allah ‎ﷻ itu bagaimana kehendak-Nya.]

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-185 (Bahagian 1)

0

Tafsir Ayat Ke-185

Ayat berkenaan Puasa dalam bulan Ramadhan. Kita sudah masuk ke dalam bahagian hukum-hakam yang ada dalam Surah Baqarah.

شَهرُ رَمَضانَ الَّذي أُنزِلَ فيهِ ٱلقُرءَانُ هُدًى لِّلنّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الهُدىٰ وَالفُرقانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهرَ فَليَصُمهُ ۖ وَمَن كانَ مَريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۗ يُريدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسرَ وَلا يُريدُ بِكُمُ العُسرَ وَلِتُكمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلىٰ ما هَدَٮٰكُم وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, Kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
شَهْرُ رَمَضَانَ
Bulan Ramadhan itu

Ini adalah penjelasan tentang lafaz أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ (beberapa hari yang ditentukan) dalam ayat sebelum ini. Jadi, hari-hari yang dimaksudkan adalah sebulan Ramadhan.

Bulan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bulan Qamariah – yang orang kita selalu sebut ‘bulan Islam’.

Dari perkataan syahru itu datangnya perkataan isytihar, iaitu isytihar masuk bulan yang baru. Masuk bulan yang baru akan dapat diketahui dengan melihat kepada ‘anak bulan’ – dinamakan Hilal.

Itulah sebabnya setiap kali hendak memulakan bulan puasa dan hari raya, akan ada petugas yang akan meneropong melihat anak bulan dan di negara ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan/isytihar bilakah masuk Ramadhan dan bilakah Hari Raya.

Ramadhan adalah bulan kesembilan dalam kalendar Qamariah. Ia adalah satu-satunya nama bulan yang disebut dalam Al-Qur’an. Bulan-bulan lain tidak disebut. Itulah satu keistimewaan bulan Ramadhan ini.

Daripada segi makna, Ramadhan bermaksud ‘cuaca yang panas’, ‘panggang’, ‘tanah yang panas’. Semasa bangsa Arab memberi nama kepada nama-nama bulan, waktu nama bulan Ramadhan diberi, waktu itu adalah waktu yang amat panas.

Daripada segi hikmahnya, dikatakan apabila bulan Ramadhan, dosa orang yang berpuasa ‘dipanggang’ – atau dibakar hingga tiada lagi dosanya.

الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ ٱلقُرءَانُ
adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Qur’an;

Iaitu dikatakan pada 17 Ramadhan. Namun ini pun tidaklah ulama’ sepakat tentang tarikhnya.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang Al-Qur’an dalam Ramadhan. Kita kena ingat bahawa Ramadhan adalah ‘bulan Al-Qur’an’. Sebab itu Allah ‎ﷻ banyak menceritakan tentang Al-Qur’an dalam ayat-ayat tentang Ramadhan ini.

Al-Qur’an diturunkan dalam bulan Ramadhan. Oleh sebab itulah kita berpuasa dalam bulan Ramadhan untuk meraikannya. Ini menunjukkan kepentingan Al-Qur’an itu.

Apakah yang dimaksudkan ‘diturunkan Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan’? Satu pendapat mengatakan, ia adalah hari diturunkan Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah.

Pendapat kedua mengatakan, bulan Ramadhan itu adalah permulaan proses diturunkan Al-Qur’an yang berperingkat-peringkat itu.

Proses penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa hampir 23 tahun. Bermula pada hari Nabi ﷺ berada di Gua Hira’ dan waktu itu adalah bulan Ramadhan.

Waktu itu tidak ada syariat berpuasa dalam bulan Ramadhan lagi. Oleh kerana ia bermula dari bulan Ramadhan, maka sebab itulah kita berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Oleh kerana itu, bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita melipatgandakan usaha untuk membaca dan mempelajari Al-Qur’an. Hendaklah kita banyak baca Al-Qur’an dan belajar tafsir. Hendaklah kita mentadabbur ayat-ayat Al-Qur’an.

Kalau luar Ramadhan pun memang sudah kena belajar, malah dalam bulan Ramadhan kena banyak lagi membaca dan mentadabbur Al-Qur’an.

Sebab itu kita boleh lihat banyak umat Islam akan baca Al-Qur’an bulan Ramadhan ini. Memang lagi senang hendak baca Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan kerana syaitan pun tidak ada. Rasa macam senang sahaja hendak baca Al-Qur’an dalam bulan puasa, bukan?

Selalunya, masyarakat Islam akan mengambil peluang bulan Ramadhan ini untuk khatam satu Al-Qur’an. Mereka akan baca satu juz Al-Qur’an sehari.

Namun kita hendak sampaikan di sini, bukan hanya baca sahaja Al-Qur’an, tetapi hendaklah kita memahami apa yang hendak disampaikan Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an itu. Maka, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an juga. Jangan kita baca-baca kosong sahaja.

هُدًى لِّلنَّاسِ
Ia adalah petunjuk bagi semua manusia;

Al-Qur’an itu adalah petunjuk kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang kafir atau orang Islam. Namun orang Islam sahaja yang hendak mengambil pengajaran.

Ini adalah satu tempelak lagi kepada bangsa Yahudi. Pada mereka, kalam Allah ‎ﷻ (Taurat) hanya untuk mereka tetapi kita lihat dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberikan Al-Qur’an kepada seluruh manusia.

Apabila dikatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah untuk ‘semua manusia’, maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan Al-Qur’an kepada mereka. Hendaklah kita berdakwah kepada orang bukan Islam juga. Hendaklah kita menyampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini kepada mereka.

Inilah wadah dakwah yang patut digunakan. Namun, malangnya kita tidak melakukan begitu. Macam-macam dakwah kita lakukan, tetapi bukan dengan menggunakan Al-Qur’an. Macam kita malu pula hendak sampaikan Al-Qur’an kepada orang bukan Islam.

Al-Qur’an itu bermanfaat kepada orang kafir sekalipun. Contohnya, ada yang belajar Al-Qur’an walaupun mereka orang kafir. Contohnya pelajar universiti yang belajar Pengajian Islam tetapi mereka tidak mendapat manfaat keseluruhannya. Mereka belajar hanya untuk mendapatkan sijil sahaja.

Ada juga manusia yang sudah mendapat هُدًى – petunjuk, tetapi mereka tidak mendapat ‘taufiq’. Taufiq ialah kekuatan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ untuk menjalankan atau mengamalkan hidayah yang mereka telah terima. Berapa ramai yang telah mendapat hidayah, tetapi mereka tidak beramal dengannya?

Sebab itulah kita selalu mendengar orang yang berdoa: ‘semoga kita mendapat taufiq dan hidayah’. Ini kerana tidak cukup sebenarnya dengan mendapat hidayah sahaja. Kita kena juga mendapat dan mengharap taufiq daripada Allah ‎ﷻ juga.

وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ

dan berbagai-bagai contoh petunjuk di dalamnya yang jelas;

Al-Qur’an ini adalah kitab yang ada hidayah bagi sesiapa yang mengamalkannya.

Perkataan بَيِّنَاتٍ juga bermaksud ‘bukti’. Banyak pengajaran dan ilmu yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Itu semua adalah hidayah daripada Allah ‎ﷻ. Selain daripada itu, Al-Qur’an juga memberikan bukti-bukti kebenaran.

Seperti juga kalau kita menyampaikan sesuatu, orang akan minta bukti kepada kita. Maka, begitu juga Al-Qur’an. Tidak hanya Al-Qur’an menyampaikan ilmu, tetapi diberikan juga bukti di dalamnya. Untuk menjelaskan lagi kebenaran itu.
وَالْفُرْقَانِ
dan pembeza;

Al-Qur’an membezakan yang haq dan batil. Kalau ustaz yang mengajar tidak tahu membezakan yang haq dan batil, maka itu adalah satu kerugian dalam agama.

Seorang yang mengajar agama itu sepatutnya kena tahu apa yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat. Dia kena beritahu yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat kepada masyarakat dan anak muridnya.

Namun malangnya, banyak guru agama hanya ceritakan tentang apa yang elok dibuat sahaja. Apabila cerita tentang syirik, mereka beri contoh sembah berhala sahaja.

Kalau macam itu, ramai dalam kalangan umat Islam tidak terasa pun kena batang hidung mereka sendiri. Mereka akan rasa bahawa mereka terselamat daripada mengamalkan syirik.

Namun pada hakikatnya, banyak orang kita yang mengamalkan syirik tanpa disedari. Itu adalah kerana mereka tidak diberitahu bahawa perbuatan yang mereka buat itu ada yang syirik. Mereka tidak tahu kerana tidak disampaikan oleh guru agama mereka.

Apabila kita tidak memberitahu kepada anak murid tentang apakah yang salah, ia tidak cukup. Ia seperti mengajar seseorang bagaimana memandu kereta tetapi tidak mengajar apa perkara yang tidak boleh dibuat.

Tidak diajar kepada mereka tentang jalan sehala, “no entry”, lampu kuning, lampu merah dan sebagainya. Oleh sebab itu, mereka tahu bawa kereta tetapi mereka akan kemalangan sebab tidak diajar lengkap kepada mereka.

Tetapi, ustaz-ustaz, pendakwah-pendakwah, ulama’-ulama’ takut hendak beritahu kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Sebab mereka takut anak murid dan pendengar ceramah mereka marah dengan mereka.

Apabila mereka marah, mereka sudah tidak datang kuliah mereka. Mereka sudah tidak mempunyai ramai pengikut. Bila sudah tidak ramai pengikut, mereka tidak dapat habuan sumbangan anak-anak murid itu.

Itu sebenarnya yang mereka takut. Maka, berterusanlah anak-anak murid dan masyarakat dalam membuat kesalahan-kesalahan setiap hari.

Dalam negara ini, senang sangat ajaran sesat hendak masuk. Sebab ajaran sesat tidak halang, tidak tegur perbuatan salah masyarakat. Mereka cuma ‘tambah’ sahaja amalan yang baru.

Namun, apabila puak sunnah tegur kesalahan yang dilakukan masyarakat, maka melentinglah mereka. Sebab pada mereka, cakaplah apa sahaja, tetapi jangan tegur kesalahan mereka.

Maka, kalau cakap Majlis Tahlil itu salah, talqin itu tidak ada dalam Islam, Salat Hajat berjama’ah itu pun tidak ada, dan macam-macam lagi, maka akan marahlah masyarakat.

Perkataan الْفُرْقَانِ itu bermaksud membezakan yang hak dan yang batil. Yang benar dan yang salah. Apabila belajar tafsir Al-Qur’an dan faham Al-Qur’an, seseorang itu sudah dapat membezakan mana yang salah dan mana yang benar.

Lihatlah bagaimana perkataan الْفُرْقَانِ ini disebut selepas disebut ‘hidayah’. Oleh itu, kita dapat tahu, untuk mendapat الْفُرْقَانِ , kita kena mendapat hidayah terlebih dahulu.

Tidak perlu Al-Qur’an beritahu semua sekali kerana tidak cukup satu naskah Al-Qur’an kalau hendak cerita semua kesalahan yang manusia lakukan.

Maka, Al-Qur’an memberikan ‘formula’ mana yang salah dan mana yang benar. Supaya mereka yang faham, dapat menggunakan formula itu untuk menilai sama ada amalan atau sesuatu fahaman itu betul atau salah.

Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an, disuruh kita berbuat baik kepada ibu bapa dan tidak berkata buruk kepada mereka, walau dengan kata: “uff”. Namun tidak disebut jangan pukul mereka, jangan tengking mereka.

Itu semua walaupun tidak disebut, tetapi daripada apa yang sedikit yang telah diberitahu dalam Al-Qur’an, kita sudah dapat membezakan mana yang elok dibuat dan mana yang elok ditinggalkan. Semua ini akan dapat diketahui kalau belajar tafsir Al-Qur’an dan belajar Sunnah dengan cara yang betul.

Sebagai contoh lagi, kalau sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an, seseorang itu sudah dapat menilai apakah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang mengajar sekarang. Mereka sudah mula dapat rasa ada yang tidak kena dengan apa yang disampaikan itu.

Tetapi oleh kerana baru belajar, mungkin mereka tidak pasti manakah yang salah. Namun mereka sudah dapat rasa ada yang tidak kena. Maka, mereka akan senang untuk mencari jawapan kepada apa yang dimusykilkan itu.

Mendekatkan diri dengan Al-Qur’an:

Ayat tentang Al-Qur’an ini disampaikan kepada umat Islam. Tentulah mereka sudah tahu bahawa Al-Qur’an itu:

– penyampai hidayah
– bukti yang nyata
– pembeza antara hak dan batil.

Tetapi Allah ‎ﷻ sebut juga dalam Al-Qur’an ini sebagai peringatan kepada umat Islam kerana Allah ‎ﷻ hendak kita melihat Al-Qur’an itu sebagai satu yang baru. Setiap tahun, apabila datang bulan Ramadhan, kita memperbaharui pemahaman kita tentang Al-Qur’an. Kita lihat Al-Qur’an dengan kaca mata yang lain. Yang lebih lagi daripada tahun-tahun yang lepas. In Sha Allah.

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ

Maka sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan

Sebelum ini hanya diwajibkan tiga hari sahaja berpuasa dalam sebulan. Kali ini, bilangan hari yang diwajibkan adalah sebulan. Bulan Ramadhan itu dimulakan dengan melihat anak bulan. Apabila nampak anak bulan itu, maka itu adalah tanda bahawa bulan Ramadhan sudah bermula.

Nampak anak bulan itu pun kepada sesiapa yang berada di mukimnya. Kita tidak boleh ikut negara lain yang jauh daripada kita kerana seperti juga waktu salat tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain, begitu juga dengan permulaan bulan Ramadhan.

Sebagai contoh, kalau di negara Jepun sudah nampak anak bulan, belum tentu satu dunia sudah boleh mula puasa. Kena lihat sama ada anak bulan nampak di kawasannya juga. Kerana perbezaan inilah yang menyebabkan kadangkala kita puasa tidak sama dengan Arab Saudi, contohnya.
فَلْيَصُمْهُ

maka hendaklah dia berpuasa (pada bulan itu);

Nampak anak bulan adalah tanda untuk memulakan puasa pada bulan Ramadhan. Ada satu hadith di mana sahabat-sahabat tidak nampak anak bulan. Kemudian datang seorang lelaki yang kata dia nampak anak bulan. Nabi ﷺ tidak mengenal lelaki itu tetapi Nabi ﷺ tanya sama ada dia Muslim atau tidak. Apabila lelaki itu telah bersyahadah sebagai tanda dia seorang Muslim, maka Nabi ﷺ menyuruh semua sahabat berpuasa.

Tetapi kita sekarang, tidak dapat mencapai kata sepakat untuk berpuasa pada hari yang sama. Satu negara dengan negara lain yang berdekatan pun kadang-kadang memulakan puasa pada hari yang berlainan. Ini terjadi kerana kekufuran yang menyeluruh sampaikan Allah ‎ﷻ tidak menjalinkan hati-hati kita semua.

Kalau negara lain berdekatan sudah nampak, kadang-kadang kita masih tidak berpuasa juga. Padahal anak bulan itu adalah anak bulan yang sama juga. Maknanya, tiada ukhuwah antara negara-negara kita.

Ini bergantung kepada ilmu falak dan memerlukan keputusan dari kerajaan.

(Bersambung)

Allahu a’lam.

Asma’ul Husna: Kedudukan Ilmu Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat-Nya (Sambungan)

0

Adapun apa yang disebutkan oleh Allah ﷻ tentang nama dan sifat-Nya dalam Al-Qur’an, maka sangat banyak dan tidak boleh dibandingkan dengan yang lainnya, kerana nama dan sifat Allah ﷻ merupakan seagung-agungnya dan semulia-mulianya serta seutama utamanya hal yang disebut dalam Al-Qur’an.

[Oleh kerana itu, kita kenalah memandang tinggi ilmu fiqih Asma’ul Husna ini dan meluangkan masa untuk memahaminya].

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله berkata, “Di dalam Al-Qur’an, penyebutan tentang nama, sifat, dan perbuatan Allah ﷻ lebih banyak daripada penyebutan tentang makanan, minuman, serta pernikahan di syurga. Ayat-ayat yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ﷻ lebih mulia daripada ayat yang berkaitan dengan hari Kiamat.

Semulia-mulia ayat di dalam Al-Qur’an adalah ayat Kursi yang berkaitan dengan nama dan sifat Allah ‎ﷻ.

Ini sebagaimana yang disebut dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Muslim dari Nabi ﷺ. Sebagaimana yang ada pada pertanyaan yang diajukan oleh Rasulullah ﷺ kepada Ubay bin Ka’ab, “Ayat mana yang paling agung dalam kitabullah?” Ubay menjawab, “Ayat kursi.” Maka baginda ﷺ menepuk dada Ubay kemudian berkata, “Wahai Abu Mundzir, semoga engkau berbahagia dengan ilmu yang engkau miliki.” (HR. Muslim).

[Kalau kita baca ayat Kursi itu, ia memang banyak mengandungi nama-nama Allah ‎ﷻ dan sifat-sifat-Nya].

Semulia-mulianya surat dalam Al-Qur’an adalah Ummul Qur’an (yakni Surah Fatihah) sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadihth

Diriwayatkan daripada Ubai bin Ka’ab رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah tidak pernah menurunkan dalam taurat ataupun injil ataupun surah, sepertimana Ummul Qur’an, ia adalah sab’ul matsani…” (Hadith riwayat Nasa-i)

Di dalamnya terdapat penyebutan nama Allah ‎ﷻ dan sifat-Nya yang lebih banyak berbanding hari Kiamat.

Ini semuanya membuktikan akan ketinggian ilmu yang mulia ini dan keagungannya serta banyaknya pelajaran yang boleh dipetik dan bahwasanya ia adalah salah satu dasar keimanan serta salah satu rukun agama yang di atasnya dibangun kedudukan agama yang tinggi.

Bagaimana mungkin perkara syariat akan lurus dan keadaan manusia akan baik tanpa mereka mengenal Sang Pencipta dan Pemberi Rezeki mereka dan tanpa mengenal nama-nama Allah ‎ﷻ yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia lagi sempurna yang menunjukkan akan kesempurnaan dan kemuliaan serta keagungan-Nya, dan bahawasanya Dia adalah sesembahan yang haq dan tidak ada sesembahan yang haq selain-Nya.

[Amatlah penting ilmu ini tetapi malangnya kebanyakan daripada kita tidak mempelajarinya. Kalau baca Al-Qur’an dan terjumpa tentang Nama-nama Allah ‎ﷻ, kita baca sahaja tanpa mengerti apakah maksudnya. Lebih malang lagi, kita sangka beramal dengan Asma’ Allah ‎ﷻ ini adalah dengan menyanyikan nasyid Asma’ul Husna di sekolah-sekolah dan kelas-kelas pengajian sahaja.

Lebih teruk lagi, ada yang menggunakan Asma’ul Husna sebagai zikir untuk mendapatkan sesuatu. Ini kita akan terangkan nanti di bahagian penyalahgunaan Asma’ul Husna. Namun sebelum itu kita terangkan kepentingan mempelajari Asma’ul Husna terlebih dahulu.]

Akan tetapi, kebanyakan manusia terlalaikan dengan dunia daripada menyembah-Nya, padahal Allah ‎ﷻ telah memperingatkan mereka dengan firman-Nya,

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تُلهِكُم أَموٰلُكُم وَلا أَولٰدُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخٰسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

[Kita terlalai dengan keindahan dunia sampaikan kita lupa tentang Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana kita sendiri tidak kenal Allah ‎ﷻ sebagaimana yang sepatutnya. Allah ‎ﷻ kenalkan Diri-Nya dengan memperkenalkan Asm’aul Husna kepada kita supaya kita kaji, tetapi kebanyakan daripada kita tidak tahu. Semoga dengan pengajian ini akan memberi pengenalan yang lebih baik tentang Allah ‎ﷻ kepada kita.]

TBK 10.2.13 Turunnya Nabi Isa عليه السلام

0

TBK 10.2 Turunnya Nabi Isa عليه السلام
(نزول عيسى بن مريم عليه السلام)

10.2.13. Ciri-ciri fizik Nabi Isa عليه السلام
(Bahagian 1)
(الصفات الخلقية لعيسى عليه السلام)

Hadith Abu Hurayrah رضي الله عنه:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:<<ليلة أسري بي لقيت موسى عليه السلام …ولقيت عيسى ,فنعته النبي صلى الله عليه وسلم فقال: ربعة أحمر ,كأنما خرج من ديماس- يعبي :الحمام

Nabi ﷺ bersabda, “Pada malam aku diisra’kan aku bertemu Musa عليه السلام dan ‘Isa عليه السلام.” Lalu baginda mensifati ‘Isa عليه السلام bahawa baginda adalah lelaki yang kulitnya kemerahan seakan baru keluar dari kamar mandi. (Muttafaq Alaih).

عن ابن عباس رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال:<<رأيت عيسى وموسى وإبراهيم عليهم السلام ,فأما عيسى: فأحمر جعد ,عريض الصدر..

Hadith Ibn Abbas رضي الله عنه:
“Pada malam isra’, aku melihat Isa, Musa dan Ibrahim عليهم السلام. Adapun Isa عليه السلام berkulit kemerahan dan dadanya lebar. (HR Bukhari 3438).

Syarah: Isa عليه السلام kulitnya putih kemerahan menunjukkan baginda berketurunan yahudi Mediterranean, atau orang-orang yang mendiami kawasan Palestine, Syria dan Lebanon sekarang.


(Bahagian 2)
(الصفات الخلقية لعيسى عليه السلام)

Hadith Abu Hurayrah رضي الله عنه:

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم :<< لقد رأيتني في الحجر(*),وقرشي تسألني عن مسراي؟ فسألتني عن أشياء من بيت المقدس لم أثبتها, فكبرت كربة ما كرب مثلها قط,قال: فرفعه الله لي ,أنظر إليه ,ما يسألوني عن شيء إلا أنبأتهم به. ولقد رأيتني في جماعة من الأنبياء فإذا موسى قائم يصلي, فإذا رجل ضرب جعد كأنه من رحال شنوءة (**). وإذا عيسى بن مريم قائم يصلي ,أقرب الناس به شبها العروة بن مسعود الثقفي . وإذا إبراهيم عليه السلام قائم يصلي أشبه الناس به :صاحبكم -يعني نفسه صلى الله عليه وسلم – فحانت الصلاة فأممتهم

Bahawa RasuluLlah ﷺ bersabda, “Apakah kamu melihat keadaanku di Hajar (*ul aswad) atau di Kaabah ketika puak Quraish bertanya tentang perjalanan Isra’ku? Mereka bertanya sesuatu tentang Baitul Maqdis yang mana aku tidak mengetahuinya. Kemudian aku dilanda kesedihan yang amat kerana tidak dapat menjawab pertanyaan mereka. Kemudian Allah memperlihatkan kepadaku apa yang mereka tanyakan dengan jelas sehingga aku boleh menjawab apa yang mereka tanyakan itu. Antara yang aku lihat ialah sekumpulan para nabi, antaranya Musa عليه السلام yang sedang salat, rambutnya kerinting seperti orang dari Bani Syanu’ah (**kabilah Azad bin Ghauts); juga aku lihat Isa bin Maryam عليه السلام juga sedang salat, wajahnya mirip al Urwah bin Mas’ud al Tsaqafi (berasal dari Taif, wakil delegasi Quraish ketika perjanjian hudaibiah); juga ada Nabi Ibrahim عليه السلام yang juga sedang salat, wajahnya serupa diriku ini. Bila tiba waktu salat, aku mengimami mereka semua.” (HR Muslim 172)


(Bahagian 3)
(الصفات الخلقية لعيسى عليه السلام)

Hadith Ibn Umar رضي الله عنه:

وأَرَانِي اللَّيْلَةَ عِنْدَ الكَعْبَةِ في المَنَامِ، فَإِذَا رَجُلٌ آدَمُ، كَأَحْسَنِ ما يُرَى مِن أُدْمِ الرِّجَالِ تَضْرِبُ لِمَّتُهُ بيْنَ مَنْكِبَيْهِ، رَجِلُ الشَّعَرِ، يَقْطُرُ رَأْسُهُ مَاءً، واضِعًا يَدَيْهِ علَى مَنْكِبَيْ رَجُلَيْنِ وهو يَطُوفُ بالبَيْتِ، فَقُلتُ: مَن هذا؟ فَقالوا: هذا المَسِيحُ ابنُ مَرْيَمَ، ثُمَّ رَأَيْتُ رَجُلًا ورَاءَهُ جَعْدًا قَطِطًا أعْوَرَ العَيْنِ اليُمْنَى، كَأَشْبَهِ مَن رَأَيْتُ بابْنِ قَطَنٍ، واضِعًا يَدَيْهِ علَى مَنْكِبَيْ رَجُلٍ يَطُوفُ بالبَيْتِ، فَقُلتُ: مَن هذا؟ قالوا: المَسِيحُ الدَّجَّالُ.
الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري

الصفحة أو الرقم: 3439

Malam tadi aku bermimpi (mimpi Nabi ﷺ adalah wahyu), aku berada di Kaabah. Seorang lelaki berkulit sawo matang yang terbaik warna kulitnya, berambut panjang mengurai sampai ke bahu, minyak rambut menitis daripada rambutnya, beliau meletakkan kedua tangannya pada sisi pahanya dan melakukan tawaf. Lantas aku bertanya, siapakah ini? Mereka menjawab, “Dia adalah al Masih bin Maryam عليه السلام. Kemudian aku melihat seorang lelaki di belakangnya, rambut kerinting, buta mata kanannya, dia mirip Ibn Quthn (Abdul Uzza bin Qutn dari Bani Khuza’ah), dia juga melakukan tawaf. Aku bertanya, siapakah dia? Mereka menjawab: Inilah al Masih al Dajjal.

إشكال
قد يستشكل البعض كيف يجتمع عيسى بن مريم عليه السلام مع الدجال , والدجال إذا رأى عيسى يذوب كما يذوب الرصاص؟
بل كيف يكون الدجال عند الكعبة وهو محرم عليه دخول مكة؟

الجواب
أن هذه رؤيا منام ,رآها النبي صلى الله عليه وسلم وليست أمرا يحدث في الواقع

Terjadi musykil, bagaimana mungkin Isa عليه السلام boleh bersama dengan Dajjal sedangkan Dajjal bisa cair seperti timah, dan bagaimana Dajjal boleh berada di kaabah sedangkan dia tidak mungkin dapat masuk ke sana?

Jawapan:
Ini hanya preview ketika tidur, dalam mimpi sahaja dan bukan berlaku di alam nyata.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-184

0

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-184

أَيّامًا مَّعدوداتٍ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذينَ يُطيقونَهُ فِديَةٌ طَعامُ مِسكينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيرًا فَهُوَ خَيرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصوموا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

أَيَّامًا مَّعْدُودَات

Iaitu beberapa hari yang telah ditentukan;

Iaitu puasa itu perlu dilakukan selama sebulan Ramadhan.

Ada yang kata, ini merujuk kepada hukum awal berpuasa, iaitu beberapa hari sahaja dalam sebulan. Ada yang kata tiga hari dalam sebulan. Ini adalah kerana perkataan مَعْدُودَاتٍ bermakna beberapa hari yang kurang daripada sepuluh hari.

Itu kita boleh faham dari nahwu bahasa Arab yang digunakan – ia adalah jamak, tetapi bilangan tidak melebihi daripada sepuluh. Allahu a’lam.

Ada juga yang mengatakan ia adalah sembilan hari atau sepuluh hari kerana mengikut bilangan hari yang Bani Israil diwajibkan berpuasa. Ini kerana apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi, umat Islam masih lagi mengikut amalan Bani Israil yang mengikut undang-undang dari Taurat. Ketika itu, undang-undang Islam untuk umat Nabi Muhammad ﷺ belum ada lagi.

Sememangnya Bani Israil dahulunya merupakan orang Islam pada waktu itu sebelum mereka dialih daripada tampuk keislaman. Maka, tidaklah salah kalau umat Nabi Muhammad ﷺ awalnya mengikut mereka. Contohnya, di awal Islam, salat masih lagi mengadap kiblat Bani Israil iaitu Baitul Maqdis.

Undang-undang syariat dalam Islam memang berubah sedikit demi sedikit. Tidaklah apabila Nabi Muhammad ﷺ naik menjadi Nabi, terus lengkap syariat Islam diberi. Allah ‎ﷻ menurunkan ayat Al-Qur’an dan undang-undang syariat yang baru sedikit demi sedikit.

Kenapa Allah ‎ﷻ kata ‘hari-hari yang tertentu’? Untuk memberi kelegaan kepada kita. Supaya kita tahu bahawa puasa yang diwajibkan itu adalah terhad. Tidaklah sepanjang tahun. Hanya beberapa hari sahaja. Kalau zaman dahulu, mungkin sepuluh hari tetapi dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, hanya sebulan sahaja.

Maka, tidaklah kita lemas dalam kerisauan yang puasa kita lama. Macam kalau makan ubat, kita akan tanya doktor, berapa lama perlu dimakan ubat ini? Doktor akan kata, kena makan ubat itu untuk seminggu, dua minggu atau sebagainya. Tidaklah kena makan ubat sepanjang hidup.

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيضًا

Maka barangsiapa yang ada di antara kamu sakit

Iaitu, sakit yang menyebabkan dia tidak boleh puasa. Atau kalau dia puasa juga, akan lebih memudaratkan dirinya. Ingatlah yang Islam itu tidak menyusahkan penganutnya. Ada banyak kemudahan yang diberikan kepada umat Islam.
أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

atau dalam musafir

Perkataan سَفَر asalnya bermakna ‘mendedahkan sesuatu’. Apakah yang didedahkan dan apakah kaitannya dengan musafir?

Seperti yang kita tahu, musafir adalah perjalanan yang jauh. Apabila seseorang bersama dalam satu perjalanan yang jauh, perangai sebenar seseorang individu itu akan terserlah, terdedah. Perkara yang diselindungnya selama hari ini akan terserlah dan terbongkar.

Itulah yang dimaksudkan ‘mendedahkan’ itu. Diri sebenar seseorang akan terdedah. Kita akan tahu dia itu seorang penyabar atau tidak, kedekut atau tidak, seorang yang beriman atau tidak.

فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

maka hendaklah dia ganti puasa itu pada hari yang lain;

Bagi mereka yang sakit dan dalam musafir, mereka boleh berbuka kerana waktu sakit itu badan lemah dan memerlukan makanan untuk sihat. Juga dalam permusafiran juga memenatkan dan memerlukan tenaga.

Maka boleh berbuka. Kena kira berapa hari yang dia tinggal, dan kena ganti ikut bilangan itu. Tidak semestinya kena ganti berterusan. Boleh diganti apabila dia ada kelapangan.

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ

Dan ke atas orang yang mampu, maka ke atasnya fidyah;

Kalau memang tidak mampu hendak puasa langsung, kena bayar fidyah. Sama ada dia seorang yang tua atau pun muda. Tidak semestinya orang tua sahaja yang tidak boleh berpuasa. Ada juga orang muda yang memang tidak boleh puasa.

Contohnya, memang dia ada penyakit gastrik yang kalau puasa juga, akan memudaratkan dirinya. Tetapi sesiapa yang boleh gagahkan untuk berpuasa juga, itu lebih baik.

Hukum asal puasa, boleh kalau seseorang itu tidak berpuasa tetapi dia terus bayar fidyah. Namun selepas itu tidak boleh lagi buat begini. Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ayat ini diturunkan di awal Islam. Maka, syariat belum ditetapkan lagi seperti sekarang. Terdapat perubahan dari segi syarak dari masa ke semasa.

Maka, waktu itu, umat Islam masih lagi boleh memilih sama ada hendak berpuasa, atau membayar fidyah. Kalau orang yang kaya dan mampu, mereka boleh sahaja membayar fidyah. Ini adalah pendapat yang kukuh kerana disokong oleh hadith dari riwayat para sahabat yang mengatakan sedemikian. Namun, itu adalah syariat dahulu, bukannya sekarang.

Oleh itu, ulama’ mengatakan ini adalah salah satu ayat yang telah dimansukhkan. Hukum boleh mengganti puasa dengan bayar fidyah ini sudah tiada. Ini termasuk dalam perkara nasikh mansukh, iaitu ada ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang telah dimansukhkan – hukumnya tidak terpakai lagi.

Ini adalah satu perkara yang banyak dibincangkan oleh mufassir dan ahli agama. Ada yang terima banyak ayat-ayat Al-Qur’an telah dimansukhkan. Ada yang terima ada ayat Al-Qur’an memang ada dimansukhkan tetapi mereka berbeza pendapat tentang bilangan ayat yang dimansukhkan. Dalam masa yang sama, ada juga yang berpendapat tidak ada ayat-ayat yang dimansukhkan. Jikalau ada pertukaran syariat pun, ayat itu masih lagi boleh dipakai.

Antaranya termasuklah ayat ini. Seperti kita telah sebut sebelum ini, hukum ayat ini adalah di awal Islam, iaitu boleh untuk seorang Islam untuk memilih sama ada hendak puasa atau membayar fidyah sahaja. Tetapi ada yang berpendapat bahawa hukum ayat ini masih lagi boleh dipakai dalam keadaan-keadaan tertentu.

Mereka mengatakan, maksud يُطِيقُونَهُ diambil dari kata dasar tawwaqa yang bermaksud meletakkan kolar besi di tengkuk. Apabila ada kolar itu, maka akan menyusahkan orang yang kena itu untuk bergerak. Maka, yang diambil dari sini adalah, يُطِيقُونَهُ adalah mereka yang berat untuk berpuasa.

Mungkin kerana kerja, kerana tua, kerana penyakit yang mereka rasa tidak akan sembuh, atau mereka yang menyusukan anak, atau mungkin boleh digunakan dalam keadaan-keadaan lain yang tidak terhad kepada perkara yang tersebut ini.

Tambahan pula, ada atsar yang menguatkan pendapat ini:

Kata Ibn Abbas: “Jika wanita hamil bimbang (kesihatan dirinya), ataupun ibu yang menyusu bimbangkan anaknya – pada bulan Ramadhan – maka mereka boleh berbuka dan (menggantikannya) dengan memberi makan setiap hari seorang miskin (iaitu membayar fidyah) dan mereka tidak perlu mengganti puasa (tidak wajib qada puasa) – Riwayat al-Tabari sanadnya memenuhi syarat sahih Imam Muslim.

طَعَامُ مِسْكِينٍ

dengan beri makan kepada orang miskin;

Iaitu memberi makan satu cupak makanan untuk ganti satu hari tidak berpuasa. Yang ada hanyalah fidyah puasa, fidyah sembahyang tidak ada. Namun di Kelantan, ada yang bayar RM3,000 sebulan untuk fidyah sebulan salat untuk mak dan ayah mereka.

Itu adalah satu bid’ah dalam Islam. Solat yang tertinggal, tidak perlu diganti, hanya perlu minta ampun. Maka bertaubatlah dengan Allah atas segala solat yang kita pernah tinggalkan dulu.

Bukan untuk solat yang kita tinggalkan itu sahaja yang kita minta ampun, tetapi kenalah minta ampun atas segala dosa-dosa kita termasuk perbuatan syirik yang kita buat dulu kerana kalau kita buat syirik, ibadat kita tidak diterima atau terbatal terus.

Kalau ada yang sakit, sampai mati dan ada puasa yang tertinggal, yang terbaiknya adalah anak beranak dia ganti puasa untuk mak atau ayah dia. Kemudian, kena minta ampun kepada mak dan ayah dia.

usyz azlizan, [16.12.19 21:26]
Perkataan ‘fidyah’ itu adalah memberi makan kepada fakir miskin. Fidyah itu bermaksud: makanan yang lengkap. Kita sepatutnya kena beri makanan yang lengkap kepada orang miskin. Iaitu, kalau kita beri makanan, kena beri dengan minuman sekali.

Kita boleh beri makan sama ada makan pagi, tengahari atau malam. Boleh pilih. Inilah yang terbaik. Akan tetapi dalam fiqh, juga membenarkan bagi beras sahaja atau boleh juga beri wang.

Siapakah orang miskin itu? Mereka adalah orang yang tidak cukup keperluan mereka. Sebagai contoh, katakanlah keperluan hidup di Kuala Lumpur ini memerlukan RM100 sehari untuk hidup. Tetapi orang miskin itu tidak cukup, mereka hanya ada RM70 sahaja.

Orang fakir pula? Mereka lagi teruk. Mereka hanya ada sebanyak RM50 sahaja atau kurang. Maka, hendaklah kita cari mereka ini untuk diberikan makanan. Seeloknya kita cari sendiri kerana kalau kita beri kepada BaitulMal atau Pusat Pungutan Zakat, belum tentu lagi mereka akan beri kepada fakir miskin itu.

Minta maaf kita cakap begini, tetapi begitulah realitinya. Sepatutnya BaitulMal atau Pusat Pungutan Zakat kena salurkan kepada orang-orang miskin dan fakir. Tetapi apa yang kita lihat, tidaklah begini. Amatlah susah kalau hendak dapatkan bantuan daripada pusat-pusat itu. Kena merayu, isi borang, kena temuduga lagi dan sebagainya.

Padahal, sepatutnya, pusat-pusat itu yang cari mereka, bukan mereka yang kena pergi ke pusat-pusat itu. Dan sepatutnya tidaklah disusahkan untuk menerima wang itu. Zaman Nabi, apabila ada yang minta sahaja, Nabi akan beri. Tidaklah Nabi temuduga mereka untuk memastikan mereka benar-benar miskin.

Cara terbaik yang kita nampak, boleh belanja makan kepada rumah-rumah anak yatim. Atau di madrasah-madrasah pengajian agama yang tidak mengenakan bayaran kepada pelajar mereka.

فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا

Maka sesiapa yang boleh melebihkan dari kebaikan itu;

Sebagai contohnya, mereka hendak beri lebih fidyah itu, hendak beri lebih dari secupak. Yang wajibnya beri sekali makan, tetapi dia hendak beri lebih dari sekali makan.

Yang wajibnya beri makan seorang sahaja untuk sehari tidak puasa, tetapi dia hendak beri lebih ramai lagi makan – itu semua dianjurkan. Islam menganjurkan untuk berbuat lebih dalam perkara yang baik.
فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ

maka itu lebih baik baginya.

Kalau kita beribadah dalam keadaan yang susah sedikit, pahala yang kita dapat akan lebih lagi. Kalau kita beri lebih, Allah SWT akan balas dengan beri lebih lagi pahala kepada kita.
وَأَنْ تَصُومُوا

Dan sesiapa yang boleh gagahkan juga puasa,

Walaupun dia sakit, tetapi dia hendak juga puasa, dia kuatkan dirinya untuk puasa juga. Selagi tidak memudharatkan dirinya. Kalau dengan puasa itu lebih mendatang keburukan, tidak boleh untuk puasa. Kita kena pandai nilai. Kita sendiri yang tahu keadaan dan kemampuan diri kita.

Ataupun dia dalam perjalanan, tetapi dia nak puasa juga – itu pun boleh. Sebab kalau perjalanan itu pendek, dekat sahaja, naik kereta atau kapal terbang, elok untuk dia puasa tetapi yang tidak memudharatkan. Kalau dengan dia puasa dan kena bawa kereta, dan dia jadi penat dan mengantuk kerana lapar, maka tidak sesuai kalau dia berpuasa.
خَيْرٌ لَّكُمْ

itu adalah lebih baik bagi kamu semua;

Ianya lebih afdhal berpuasa dari bayar fidyah. Kalau kita beribadah dalam keadaan yang susah sedikit, pahala yang kita dapat akan lebih lagi. Tetapi ingat, jangan sampai memudharatkan diri.

إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sekiranya kamu mengetahui;

Sekiranya kita mengetahui nilai puasa pahala puasa dalam bulan Ramadhan itu amatlah tinggi sekali. Melebihi lagi dari amalan ibadat yang lain. Nabi telah bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang artinya), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (HR. Bukhari no. 1904, 5927 dan Muslim no. 1151)

Tetapi kita sebagai manusia biasa, tidak dapat tahu dengan sepenuhnya apakah kelebihan puasa itu. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Allahu a’lam.

Talbis Iblis: Bab Falsafah (Bahagian 2)

0

Ilmu Falsafah itu berasal dari Yunani Kuno. Sekarang ini Negara Greek. Maka kena berhati-hati dengan Ilmu Falsalah ini kerana ia berasal dari kaum yang sembah dewa seperti Dewa Zeus, Poseidon dan lain-lain.

Apakah maksud ‘atheist’? Dari segi bahasa:

Theos: tuhan
Logy: ilmu

Maka, istilah Theology: ilmu ketuhanan

Apabila ditambah dengan ‘a’ di awalnya, ia menjagi berlawanan, jadi…

Atheist: Fahaman tidak percaya ada Tuhan

Pada mereka yang berfahaman begini, semua perkara dalam dunia ini adalah relatif (bergantung). Tiada kebenaran yang mutlak. Sebagai contoh, pada mereka tiada makanan yang lazat tidak ada sebab ia relatif dengan orang. Ada orang yang rasa ia sedap dan ada orang yang rasa ia tidak sedap.

Maka bila ia relatif, semua boleh jadi pada mereka. Hukum boleh berubah-ubahlah kalau begitu. Sebagai contoh: pengharaman makan babi haram itu hanya pada zaman dahulu sahaja kerana yang tidak baik bagi zaman dahulu tidak semestinya tidak baik bagi zaman sekarang.

Atau, mereka boleh kata ajaran dari Al-Qur’an itu hanya sesuai bagi zaman Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Zaman sekarang suasana sudah lain, teknologi sudah maju, manusia pun sudah berfikiran lain dan macam-macam lagi hujah boleh diketengahkan oleh golongan yang berfahaman sebegini.

Maka golongan Muslim yang terkesan dengan Ilmu Falsafah ini tidak terima secara mutlak semua yang dari Al-Qur’an. Mereka hendak mengkaji lagi kesesuaian sesuatu hukum itu. Tidak semestinya terus boleh terima. Mereka akan bandingkan dengan penerimaan akal mereka terlebih dahulu.

Sebagai contoh, lihat hukum Pembahagian Faraid. Mereka kata tidak boleh lagi ikut pembahagian seperti yang disenaraikan dalam Al-Qur’an. Ini kerana pada zaman itu, hanya lelaki sahaja yang sara keluarga. Namun sekarang suasana dunia tidak begini lagi. Wanita pun bekerja, kadangkala wanita yang tanggung lelaki pun ada.

Maka kerana idea-idea yang sebegini, maka ada daripada golongan Muslim pun yang mengatakan Pembahagian Faraid di dalam Al-Qur’an itu tidak adil dan tidak boleh dipakai lagi. Kalau dilihat dengan akal fikiran kita (yang cetek sebenarnya) nampak macam logik pula hujah ini, bukan?

Inilah bahayanya. Hujah mereka itu memang logik dan senang sahaja diterima oleh mereka yang jahil agama dan berfikiran cetek. Mereka tidak fikirkan panjang lagi dan lebih-lebih lagi mereka tidak belajar apakah hikmah di sebalik hukum-hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan.

Memang nampak pembahagian sama rata dalam Faraid nampak adil, namun sebenarnya tidak. Mereka kata wanita pun sepatutnya dapat sama banyak, padahal nanti kalau lelaki mengahwini wanita, lelaki juga yang kena bayar Mahr. Bila sudah kena bayar Mahr, maka tentulah lelaki akan berkurangan hartanya.

Wanita yang dikahwini akan mendapat Mahr. Sudah bertambah pula harta mereka. Lelaki tadi kena keluarkan Mahr, perempuan dapat Mahr pula. Kenapa tidak wanita pula yang bagi Mahr dan lelaki bergaji rendah pula menerima Mahr? Sudah pelik, bukan? Kelam kabutlah agama kalau begitu.

Memang lelaki patut dapat bahagian Faraid yang lebih besar kerana memang banyak perkara yang mereka kena tanggung. Memang Allah ﷻ sudah bagi bahagian yang lebih kepada lelaki kerana mereka ada tanggungjawab yang lebih lagi daripada wanita.

Fahaman Atheis ini dan seumpama dengannya, amat mudah untuk tersebar dan diterima oleh masyarakat. Ia senang diterima oleh mereka kurang iman tetapi cerdas otaknya. Mereka yang kurang ilmu agama dan banyak menggunakan akal untuk buat memkeputusan akan cenderung kepada fahaman Atheis. Mereka mungkin tidaklah sebut mereka Atheis, tetapi fahaman mereka sudah begitu.

Ini adalah mereka yang tidak rasa cukup dengan nas dan dalil agama. Mereka hendak dalil agama itu difahami oleh akal mereka juga. Kalau mereka tidak faham, amat susah mereka hendak terima. Padahal akal kita ini bukannya boleh faham segala-galanya. Kalau tidak faham kenapa Allah ‎ﷻ suruh buat begitu dan begini, ia hanya kerana akal kita yang tidak mampu menggarap hakikatnya.

Maka kerana tidak puas hati dengan penerangan dan ketetapan dari nas, maka mereka yang ada fahaman ini akan campur keputusan agama bercampur aduk dengan falsafah Yunani. Atau kalau bukan dengan falsafah Yunani pun, mereka akan ambil fahaman-fahaman golongan kontempori yang kononnya beri pemahaman yang sesuai dengan zaman sekarang.

Mereka ini golongan yang faham agama mengikut kehendak sendiri. Mereka sebenarnya ikut nafsu mereka. Mereka hendak buat apa yang nafsu mereka kehendaki. Mereka tidak redha dengan agama.

Mereka juga sanggup buat begini kerana pada mereka, agama pun relatif (bergantung kepada keadaan, boleh tukar-tukar). Pada mereka, fikiran mereka terlalu terbuka, sampaikan mereka rasa, apa yang nas beritahu itu benar, tetapi pendapat mereka pun boleh jadi benar juga. Iaitu sama-sama benar pula walaupun lain pandangan.

Maka fahaman ini bahaya. Kalau golongan agama pun ada rasa tidak rasa puas dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan dalam nas, maka bagaimana pula dengan orang-orang awam? Ada antara golongan intelek yang masih lagi mempelajari ilmu dari Yunani. Maka kerana itu mereka cipta bid’ah dalam masalah usul dan furu’.

Kalau kita sudah terbelit, maka bagaimana hendak membebaskan diri daripada pemikiran yang telah diwarisi itu? Hingga sekarang sampai sudah susah hendak membezakan mana fahaman yang diambil daripada nas dan mana yang diambil daripada pemikiran manusia sahaja. Sebagai contoh ilmu kalam yang berbelit-belit itu.

Apabila hendak menjelaskan Allah ‎ﷻ menggunakan akal seperti Akidah Tauhid Sifat 20, maka ia akan mengelirukan kerana memang akal kita akan berbelit-belit. Bagaimana mungkin kita hendak menjelaskan Allah‎ ﷻ yang tidak tercapai oleh akal kita?

Ada juga manusia yang hendak pakai fahaman dia sahaja. Kalau ayat Al-Qur’an dan hadith itu lain daripada fahaman dia, maka dia tolak. Atau dia takwil supaya selari dengan kehendaknya juga. Ini kerana dia hendak mengikut nafsunya sahaja. Dia tidak dapat lari daripada menolak kehendak nafsunya.

Maka jangan kita faham Al-Qur’an ikut kehendak dan fahaman kita yang sebelum ini. Apabila kita baca Al-Qur’an kita kena kosongkan fikiran. Jangan ada fahaman yang kita telah ada sebelum itu. Ini namanya prejudis. Ada orang yang sudah ada fahaman, dan bila dia baca Al-Qur’an, dia pusing ayat-ayat Al-Qur’an kepada fahaman asal dia.

Ini bahaya kerana kalau kita, kita baca Al-Qur’an bukan kerana hendak mencari ‘kebenaran’ tetapi hendak cari ‘pembenaran’ sahaja. Iaitu kita hendak berkata: “Ha tengok, ini ayat Qur’an menguatkan hujah aku, memang ada dalam Qur’an”. Padahal, maksud ayat Al-Qur’an bukan begitu, kalau dia belajar tafsir dengan benar.

Allah ‎ﷻ beri contoh orang sebegini dalam ayat Muddaththir 11 – 26 tentang Walid al-Mughirah. Dia adalah seorang cendekiawan Quraish yang hebat. Dia memang sudah dengar Al-Qur’an dibacakan oleh Rasulullah ﷺ dan dia sudah terima wahyu itu.

Namun kemudian dia telah disuruh buat kajian tentang Al-Qur’an oleh Abu Jahal. Ini adalah kerana dia pandai sastera. Dikatakan sastera jin pun dia sudah belajar. Abu Jahal sudah memberikan tekanan kepada Walid untuk mencari perkara yang tidak elok tentang Al-Qur’an dan dia akhirnya telah terkesan.

Pada mulanya dia yakin yang Al-Qur’an itu memang datang dari Allah ‎ﷻ. Tetapi Abu Jahal marah bila dia kata begitu. Abu Jahal kata, kalau Al-Walid kata begitu, habis mereka nanti dengan kedudukan mereka sekali. Maka Walid telah disuruh kaji lagi Al-Qur’an itu.

Maka dia terpaksa bagi jawapan sesuai dengan kehendak Abu Jahal. Akhirnya dia telah berikan tuduhan yang buruk terhadap Al-Qur’an kerana tekanan itu. Maka itulah bahaya bila baca Al-Qur’an tetapi mencari pembenaran. Iaitu hendak membenarkan prejudis kita.


✍ Begini kisah tersebut:

Diriwayatkan bahawa Al-Walid datang kepada Rasulullah ﷺ yang sedang membacakan Al-Qur’an, seakan-akan dia simpati terhadap baginda. Lantas berita tersebut sampai kepada Abu Jahal, lalu dia mendatanginya seraya berkata, “Wahai pamanku, sesungguhnya kaummu akan mengumpulkan harta agar diberikan kepadamu.”

Al-Walid merasa hairan dan berkata, “Untuk apa wahai anak saudaraku?!”

Abu Jahal berkata, “Untuk memberimu, kerana engkau mendatangi Muhammad untuk memaparkan apa yang diperolehnya!”

Al-Walid berkata dengan kesal lagi menyombongkan diri, “Demi Allah, kaum Quraisy mengetahui bahawa akulah orang yang paling kaya di antara mereka.”

Di sini Abu Jahal berkata, “Wahai paman, katakanlah mengenai Al-Qur’an kepada kaummu bahawa ia mungkar dan engkau membencinya.”

Al-Walid berkata, “Apa yang akan kukatakan?! Demi Allah, tidak ada di antara kalian lelaki yang lebih mengetahui dan lebih luas wawasannya tentang syair daripadaku, dan demi Allah dia tidak mirip dengan syair sama sekali.”

Demi Allah, perkataan yang diucapkannya adalah sesuatu yang manis, dia memiliki keindahan, dan ada buah di atasnya, sementara di bawahnya lebat. Sungguh, ia amat tinggi dan tiada tara, dia pun akan menghancurkan apa yang di bawahnya.

Maka Abu Jahal berkata-kata lagi untuk membangkitkan dasar-dasar kekufuran di hati Al-Walid yang paling dalam, “Demi Allah, kaummu tidak rela terhadapmu sehingga engkau mengatakan buruk tentangnya.”

Al-Walid berkata, “Biarkan aku berfikir.” Sesudah berfikir keras, berperang melawan jiwa, berfikir dengan bantuan gerombolan syaitan dalam dirinya, dia berkata, “Ini adalah sihir yang membekas.”

Talbis Iblis: Bab Falsafah (Bahagian 1)

0

Golongan Falsafah menafikan ada kebenaran yang mutlak. Ini adalah fahaman yang bertentangan dengan wahyu Allah ﷻ. Ini adalah kerana mereka mendewakan akal dan rasional. Kebenaran yang ada dalam wahyu masih lagi boleh ditimbal dan dikaji dan kadangkala ditolak.

Ini adalah amat bahaya. Mereka boleh pula ikut fahaman masing-masing. Mereka reka fahaman baru dan mereka berhujah begitu dan begini. Wahyu ditafsirkan mengikut fahaman mereka pula. Ini kita boleh lihat banyak dilakukan oleh golongan yang kononnya bijak pandai. Mereka mungkin berkelulusan tinggi dan kerana itu mereka bijak berkata-kata dan mengeluarkan pendapat yang senang diterima oleh golongan yang jahil.

Sehinggalah sekarang sampai sudah tidak boleh salahkan fahaman yang salah pula. Kalau kita tegur mana-mana fahaman yang lari daripada fahaman salaf, kita pula yang kena kutuk kerana kononnya hendak menghormati perbezaan pendapat.

Perbezaan pendapat memang boleh, tetapi kenalah dalam lingkungan kefahaman wahyu. Jangan pakai akal semata-mata. Syaitan memang suka kerana apabila akal sudah dipandu wahyu, maka susah untuk mereka sesatkan.

Apakah sifat Ilmu Falsafah ini? Ia mengajar ilmu dengan cara berbelit-belit. Kebenaran boleh dipusingkan sampai jadi lain; yang haram boleh jadi halal dan yang halal boleh jadi haram. Akhirnya semua sekali boleh dilakukan kerana ada ‘ruang’ untuk melakukannya.

Bukanlah akal tidak boleh dipakai tetapi hendaklah dipandu dengan wahyu. Dalam sejarah Islam, Kaum Muktazilah sehaluan dengan mereka. Ini adalah kerana Muktazilah akan melebihkan akal daripada nas. Nas yang tidak kena dengan akal (akal tidak dapat faham) akan ditolak oleh mereka.

Dari segi bahasa, ‘falsafah’ ini berasal daripada kalimah:

Filo: cinta
Sufia: wisdom (kebijaksaan)

Maka, ‘falsafah’ ini bukanlah istilah daripada sejarah Islam. Ia sebenarnya asal daripada fahaman Yunani Kuno. Apabila falfasah Yunani (Greek) ini diterjemahkan oleh orang Islam dan dipelajari oleh orang Islam yang terpelajar, maka fahaman falsafah ini telah masuk ke dalam arus pemikiran Islam.

Asalnya mereka hendak mencari hakikat segala yang wujud. Kerana itulah kemuncak pemahaman pada mereka – mengetahui hakikat sesuatu. Maka mereka mengkaji dan mengkaji. Lama-kelamaan masuk ke dalam fikiran ilmu Islam. Ada pula cabang ilmu falsafah dalam arus perdana pengajian Islam yang asalnya tiada.

Maka fahaman Yunani Kuno itu telah meresap ke dalam pemikiran umat Islam. Sedangkan Yunan itu penyembah dewa, seperti Zeus, Poseidon dan lain-lain. Maka ini amat bahaya kerana iman boleh tergelincir. Boleh terkeluar daripada manhaj ilmu Islam.

Mereka yang terbelit dengan Falsafah ini mungkin ada selera tinggi dalam ibadah. Akan tetapi malangnya amalan dan fahaman mereka tidak dikawal dengan dasar wahyu dan syarak.

Mereka banyak mengikut hawa nafsu dan akal fikiran sendiri. Sebab itu Nabi ﷺ sudah berkata bahawa Khawarij itu kalau dibandingkan salat mereka dan puasa mereka dengan kamu (para sahabat) memang akan kalah.

Namun masalahnya, mereka berasa ilmu agama dan akidah itu samar (ghomidoh). Nas-nas wahyu pada mereka kabur iaitu susah dijelaskan menggunakan akal. Maka mereka cuba untuk menjelaskannya dengan akal. Pada mereka, kalau akal faham, barulah boleh diterima.

Padahal bukan semua ajaran agama boleh difahami oleh akal kerana Allah ﷻ dan Rasul ﷺ memperkatakan perkara ghaib yang tidak boleh dijelaskan semuanya dengan akal.

Kerana masalah ini, mereka susah hendak beriman terus kerana semua perkara mereka ingin jelaskan dengan akal.

Atau mereka tawaquf (berhenti) dahulu daripada melakukan sesuatu sampai akal mereka dapat faham. Maka mereka tidak beramal selagi tidak faham kenapa kena buat begini dan begitu. Sedangkan bukan semua ajaran Allah ﷻ akal mampu faham. Sebagai contoh, bagaimana hendak menjelaskan kenapa salat Subuh dua raka’at dan salat Maghrib tiga raka’at pula?

Bukanlah kita katakan ajaran agama semuanya tidak masuk akal. Ia memang boleh diterima oleh akal yang sihat, cuma akal tidak mampu hendak memahami atau menjelaskan hakikat semua perkara. Sebagai seorang mukmin, kalau ia sahih dari Allah ﷻ dan Rasul ﷺ, maka kita kena terima dan amalkan.

Maka golongan falsafah ini mereka telah menggunakan ilmu mantiq, iaitu menggunakan akal untuk memahami hal-hal agama. Jadi ini adalah seperti Golongan Muktazilah dan seperti yang sefahaman dengan mereka. Mereka inilah golongan yang menggunakan ilmu falsafah untuk memahami akidah.

Sebenarnya mereka tanpa sedar telah mendewakan akal. Sememangnya Allah ‎ﷻ suruh menggunakan akal namun mereka telah berlebihan sehingga mendewakan akal. Akal menjadi dewa dan rujukan pertama dan terakhir bagi mereka.

Sebagai contoh: mereka membahaskan tentang ‘keadilan Allah ‎ﷻ’. Mereka kata bukan syurga dan neraka sahaja yang ada kerana kalau hanya ada dua sahaja, itu bermakna Allah ‎ﷻ tidak adil (pada mereka). Maka mereka kata tempat lain yang mereka panggil: manzil baina manzilatain (satu tempat antara dua tempat).

Ini adalah fahaman dan perkara yang mereka reka sendiri. Mereka kata dalam dunia memang ada orang jahat dan orang yang baik. Kepada dua golongan ini, mereka memang patut kalau masuk neraka atau syurga. Akan tetapi, dalam dunia ini juga ada orang yang belum ada kebaikan dan kejahatan. Seperti siapa?

Seperti budak yang mati sebelum baligh, budak yang penyakit “down syndrome”, orang gila sejak lahir dan lain-lain lagi. Bagaimana dengan mereka yang seperti ini? Kalau mereka dimasukkan ke dalam syurga, tidak patut kerana mereka tidak ada pahala.

Kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka, mereka tidak ada buat salah, bukan? Nanti tentu mereka akan protes kalau mereka dimasukkan ke dalam neraka.

Maka Golongan Muktazilah berkata mereka yang sebegini tidak masuk syurga atau neraka. Barulah adil kalau begitu. Sebenarnya kalau ikut logik akal, memang logik. Tetapi ini tidak seperti yang difahami oleh ahli sunnah yang kata mereka masuk syurga. Ini berdasarkan fahaman yang benar. Maka begitulah kacau bilaunya pemikiran kita kalau pakai akal.

Golongan Muktazilah ini tidak berpuas hati kerana mereka hendakkan akal terima juga. Kalau akal susah hendak terima, tidak redha dengan pemahaman itu, maka mereka akan tolak.

Lalu bagaimana kita hendak jelaskan? Kita kena sedar yang semasa budak itu lahir, Allah ‎ﷻ telah tahu masa hadapan orang itu, bukan? Ini kerana ilmu Allah ‎ﷻ amat luas: apa yang terjadi dunia dan di akhirat, memang Allah ‎ﷻ telah tahu.

Sebenarnya Allah ‎ﷻ telah tahu orang yang baru lahir itu akan masuk syurga atau dia sebenarnya ahli neraka. Maka Allah‎ ﷻ telah tahu dari dahulu lagi.

Namun golongan Muktazilah masih tidak berpuas hati. Mereka kata, kalau orang kafir masuk neraka, tentu dia protes begini: “Kenapa masukkan aku ke dalam neraka? Engkau kan tahu yang kalau aku besar, aku akan jadi kafir? Jadi kenapa tidak matikan aku ketika aku kecil?”

Bukankah ada kisah dalam Surah Kahf yang kisah budak dimatikan awal, bukan? Ini tentang kisah Nabi Khidr عليه السلام yang membunuhnya. Maka golongan Muktazilah kata, orang yang dimasukkan ke neraka itu tentu akan berhujah: “Kenapa tak matikan awal macam dia?”

Kepada golongan yang berfahaman seperti Muktazilah, perkara sebegini membingungkan, kerana tidak logik pada mereka. Mereka kata, kasihan kepada orang yang dimasukkan ke dalam neraka itu. Sedangkan kita selalu kata Allah‎ ﷻ itu pengasih dan penyayang. Maka kalau pengasih dan penyayang, kenapa tidak matikan dia awal-awal lagi, supaya dia dapat masuk syurga?

Inilah kekeliruan mereka kerana mereka melihat hal agama dan qada’ qadar dengan akal mereka sahaja.

Jawapan bagi mereka: Kisah budak di dalam Surah Kahf itu dimatikan sebagai manfaat kepada ibubapa dia juga, bukan untuk budak itu sahaja. Ini adalah kerana ibubapa dia adalah mukmin. Dia dimatikan awal kerana kalau dia hidup sampai besar, dia akan menyebabkan tergugatnya agama ibubapanya.

Maka ini adalah salah satu Karamah yang diberikan kepada mereka. Allah ‎ﷻ selamatkan mereka dari perkara yang berlaku di masa hadapan yang akan susahkan mereka.

BAB 12: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Membaca Selawat Ketika Makan Ubat

0

Kita sering mendengar petua yang masyhur iaitu jika hendak memakan ubat, maka kita diajar atau digalakkan untuk membaca selawat dahulu. Ini jugalah amalan dukun-dukun dan para pengamal perubatan alternatif membaca selawat terlebih dahulu sebelum berubat kepada pesakit mereka.

Amalan ini tidak sahih dan tidak pernah dianjurkan kerana bertentangan dengan apa yang telah diajarkan oleh Nabi ﷺ iaitu membaca basmallah.

ذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فَإِنْ نَسِىَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِى أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

“Apabila salah seorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia menyebut nama Allah ﷻ. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah ﷻ di awal, hendaklah dia mengucapkan: “Bismillaahi awwalahu wa aakhirohu (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” (HR. Abu Daud no. 3767 dan at-Tirmidzi no. 1858. At-Tirmidzi mengatakan hadith tersebut hasan sahih. Syaikh al-Albani mengatakan bahawa hadith tersebut sahih)

كُلُّ أَمْرٍ ذِيْ بَالٍ لاَ يُبْدَأُ فِيْهِ بِـ : بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ فَهُوَ أَبْتَرُ

“Setiap perkara penting yang tidak dimulai dengan ‘bismillahirrahmanir rahiim’, amalan tersebut terputus berkatnya.” (HR. Al-Khatib dalam Al-Jami’, daripada jalur ar-Rahawai dalam al-Arba’in, as-Subki dalam Tabaqathnya)

Kenapa mereka menyarankan membaca selawat sebelum makan ubat?

Amalan ini dipercayai ada kaitan dengan amalan tawassul dengan Nabi ﷺ yang berkeyakinan bahawa Nabi ﷺ adalah juga syifa’ atau penyembuh kepada penyakit. Maka ini adalah salah satu jarum halus daripada talbis iblis untuk mensyirikkan manusia dengan Allah ﷻ.

Sebenarnya ada 13 tempat atau keadaan sahaja yang disarankan untuk berselawat:

  1. Ketika tasyahhud 
  2. Ketika menjawab azan dan selepas azan
  3. Hari Juma’at
  4. Setiap pagi dan petang
  5. Ketika dalam majlis
  6. Ketika menyebut nama Baginda ﷺ
  7. Ketika berdoa
  8. Ketika masuk dan keluar masjid
  9. Ketika salat jenazah
  10. Ketika berada di pusara Baginda ﷺ
  11. Ketika selesai membaca qunut witir
  12. Ketika salat hari raya
  13. Ketika meninggalkan majlis

Maka secara kesimpulannya, tidak ada dalil yang menjadi sandaran untuk berselawat ketika hendak memakan ubat dan ketika hendak berdukun atau berubat pesakit. 

Allahu a’lam.

Talbis Iblis: Akidah Sesat Golongan Sufi Tarekat

0

Akidah sesat Golongan Sufi Tarekat

Masalah terbesar golongan Sufi Tarekat ini adalah kerana asalnya ia mengambil daripada ajaran dan fahaman agama selain Islam. Ini adalah kerana ada ajaran sufi itu yang tidak ada dalam Islam dan bila diperiksa, ia dicedok daripada fahaman agama lain.

Sebagai contoh, ada fahaman Ittihad. Iaitu fahaman yang manusia dapat bersatu dengan Allah ‎ﷻ. Mereka mengatakan yang dengan amalan tertentu dan berterusan, tingkatan (maqam) akan naik ke kedudukan tertentu dan akhirnya dapat bersatu dengan Tuhan.

Ini dicedok daripada fahaman Hindu. Yang mula mengutarakan fahaman ini adalah Abu Yazid Bustami.

Satu lagi akidah sesat yang dicedok daripada agama lain adalah Hulul. Ini dibawa oleh Hallaj. Fahaman ini mengatakan Allah ‎ﷻ mengambil tempat dalam jiwa hamba yang suci.

Lebih kurang sama juga adalah fahaman Wahdatul Wujud. Ini dibawa oleh Ibnu Arabi (ramai juga sokong Ibnu Arabi ini di negara kita). Fahaman ini telah diikuti oleh Hamzah Fansuri dan Syeikh Siti Jenar (salah seorang Wali Songo).

Maka, ajaran daripada Sufi Tarekat itu perlu diperhalusi. Bukan amalan sahaja banyak yang bid’ah, akidah mereka pun ada masalah. Maka kerana itu sebaiknya jangan diikuti ajaran Sufi Tarekat ini kerana mungkin kita tidak dapat membezakan mana yang benar dan mana yang tidak.

Yang menyertai Sufi Tarekat ini selalunya adalah orang yang jahil agama. Pendidikan asas Al-Qur’an dan Sunnah tidak ada, tetapi mereka tertarik dengan perwatakan golongan Sufi Tarekat itu. Oleh kerana jahil, maka mereka senang terpedaya dengan hujah-hujah golongan Sufi itu kerana memang menarik dan masuk di akal (kadangkala).

Amalan Mencari Pembenaran

Golongan Sufi Tarekat terbelit dengan sikap mereka terhadap dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan hadith.

Mereka menegakkan amalan-amalan sesat mereka dengan mencari ‘pembenaran’ dari nas. Mereka sebenarnya tidak ada dalil, tetapi kerana hendak menegakkan benang yang basah, mereka korek juga daripada dalil-dalil Al-Qur’an dan hadith.

Namun mereka kena “reverse engineer” dalil-dalil itu ikut kehendak mereka.

Mereka bukanlah mencari ‘kebenaran‘ tetapi mencari ‘pembenaran‘. Iaitu apakah dalil-dalil yang agak-agak ‘kena’ untuk dijadikan sokongan bagi amalan mereka itu. Sedangkan memang amalan mereka itu tidak ada dalam syarak.

Sebagai contoh, ada dalam kalangan mereka yang berzikir dalam keadaan menari-nari. Ada yang sampai tidak sedar pun, sampai terkinja-kinja.

Apabila ditegur, maka mereka terpaksa mencari dalil untuk membenarkan juga amalan mereka.

Maka mereka petik ayat Al-Qur’an [Ali Imran:191] sebagai dalil ‘pembenaran’ mereka.


الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Mereka berkata diri dan duduk itu termasuklah menari. Maka apa salahnya?

Inilah contoh dalil ‘pembenaran’ dan banyak lagi penyalahgunaan dalil yang mereka lakukan. Semuanya kerana terdesak.

Mereka “reverse engineering” dalil. Maknanya mereka buat dahulu amalan salah, kemudian petik ayat Al-Qur’an yang agak-agak kena.

Sedangkan orang waras yang baca ayat tersebut, tidak pun terasa hendak zikir menari, bukan?

Ayat Al-Qur’an ini bukanlah baru keluar kilang zaman ini. Namun sudah lama Allah ‎ﷻ sampaikan kepada Nabi ﷺ. Tidak pernah berlaku semenjak zaman dahulu ada ulama’ yang ajar zikir secara menari.

Maka kita pun jangan terbelit dengan amalan mencari ‘pembenaran’ ini. Jangan salahgunakan dalil untuk membenarkan amalan-amalan yang salah.

Ini termasuklah kepada tok guru, ahli politik dan sesiapa sahaja. Jangan salahgunakan ayat-ayat Al-Qu’ran dan hadith nabi yang mulia untuk membenarkan juga fahaman salah.

🔏 Sekian bab sufi.

Popular

Iklan

Iklan