Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-185 (Bahagian 2)

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-185 (Bahagian 2)

259
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-185

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا

Dan sesiapa antara kamu yang sakit;

Diulang kembali rukhsah yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Kalau sakit, tidak perlu puasa.

أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

atau dalam musafir,

Diulang kembali rukhsah yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Kalau dalam perjalanan, tidak perlu puasa.

Allah ‎ﷻ tidak sebut pun yang mereka tidak berpuasa kerana mereka sakit atau dalam musafir. Teapi kita faham kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah ‘iijaaz’ – Allah ‎ﷻ sebut pendek sahaja maka kita boleh faham. Ini adalah salah satu daripada keindahan Al-Qur’an.

فَعدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

maka gantilah puasa itu pada hari lain;

Maknanya, orang sakit dan orang musafir boleh meninggalkan puasa tetapi kena ganti pada hari yang lain. Kena فَعِدَّةٌ (yang bermaksud ‘kira’) berapa hari yang tinggal dan kena ganti berapa hari yang tinggal. Allah ‎ﷻ tidak sebut dengan penuh pun kerana kalau dilihat secara literal, terjemahan ayat ini adalah: “maka bilangan dari hari yang lain”. Namun kita faham kerana Al-Qur’an menggunakan kaedah ‘iijaaz’ lagi dalam ayat ini.

Sebelum ini diberikan pilihan kepada umat Islam untuk membayar fidyah kalau mereka tidak berpuasa. Tetapi dalam ayat ini, mereka disuruh untuk menggantikan puasa kalau mereka tidak berpuasa kerana sakit atau dalam perjalanan. Hukum sudah bertukar. Sudah tidak ada pilihan untuk bayar fidyah kalau tidak mahu puasa.

Nampak macam lagi susah daripada hukum yang lama kerana sudah tidak ada pilihan untuk tidak berpuasa. Tetapi tidak sebenarnya.

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ

Allah ingin memberikan kemudahan kepada kamu

Bagaimana pula Allah ‎ﷻ kata bahawa Dia hendak memudahkan kita? Padahal, kalau kita lihat, puasa dahulu hanya tiga hari sahaja, sekarang sudah jadi sebulan penuh. Kalau dahulu, ada pilihan untuk bayar fidyah kalau tidak mahu berpuasa, sekarang tidak ada pilihan itu, kena ganti puasa kalau tidak dapat berpuasa.

Begitu juga, kalau kita fikirkan ibadat puasa ini, ia adalah sesuatu yang payah untuk dilakukan. Jadi kenapa Allah ‎ﷻ kata Dia hendak memudahkan kita?

Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menjadikan kita orang yang bertaqwa. Dengan berpuasa, akan meningkatkan taqwa kita. Dengan taqwa, senang mendapat hidayah. Allah ‎ﷻ mahu supaya kita ‘senang’ mendapat hidayah. Siang berpuasa dan malam membaca Al-Qur’an.

Sesiapa yang mendapat hidayah, akan mudah di dunia dan di akhirat. Itulah yang dimaksudkan Allah ‎ﷻ hendak memberi ‘kemudahan’ kepada kita.

Allah ‎ﷻ beri amalan puasa kerana hendak memudahkan untuk kita ikut syariat seterusnya. Dengan berkat mengamalkan puasa ini akan memudahkan kita mengamalkan hukum-hukum dan ibadat yang lain. Memang bukan Allah‎ ﷻ hendak susahkan kita. Lihatlah bagaimana kalau kita dalam keadaan susah, sama ada sakit atau dalam musafir, kita boleh buka puasa.

Kemudahan itu juga bermaksud kemudahan di akhirat kelak. Itulah kemudahan yang lebih penting. Kalau kita susah di dunia ini, tetapi kita senang di akhirat kelak, itu sudah satu nikmat yang amat besar. Apabila kita di akhirat kelak, kita tidak ingat lagi tentang dunia. Kalau kita masuk syurga, kita tidak ingat kesusahan yang kita alami semasa di dunia dulu.

Allah ‎ﷻ juga telah mudahkan kita berpuasa dengan Allah ‎ﷻ mengikat syaitan-syaitan daripada mengganggu kita. Supaya iman kita boleh menang dalam bulan Ramadhan ini. Kalau syaitan ada dalam bulan Ramadhan juga, entah berapa hari sahaja kita dapat puasa agaknya. Itu adalah satu makna ‘mudah’ juga.

وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

dan Dia tidak mahu menimpakan kesusahan ke atas kamu;

Memang pada mulanya agak susah sedikit untuk berpuasa kerana pada zaman Nabi ﷺ dahulu, kalau tertinggal waktu buka puasa tetapi tidak berbuka, mereka tidak boleh makan sampailah ke waktu sahur pula. Bermakna, mereka kena berbuka waktu maghrib itu juga.

Sampaikan ada sahabat yang lemah, sampai dia pengsan di siang harinya, kerana dia terpaksa meneruskan puasa untuk jangkamasa yang lama. Kemudian telah turun ayat tentang boleh makan dan minum hingga masuk waktu subuh.

Sebelum potongan ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menyebut yang Dia hendak memberi kemudahan kepada kita. Dalam ayat ini, disebut pula Allah ‎ﷻ tidak mahu menyusahkan kita. Kenapa ada pengulangan? Kalau kita kata sesuatu benda itu hitam, bermakna ia tidak putih dengan secara automatik. Tidak perlu kita hendak kata: “Kasut ini warnanya hitam, tidak putih”.

Allah ‎ﷻ tambah dengan menyebut Dia tidak mahu menyusahkan kita kerana hendak memberi penekanan. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tidak percaya. Tambahan pula, ada yang susah untuk terima bahawa ibadat puasa itu lebih menyenangkan.

Bayangkan, kalau dahulu ada pilihan untuk tidak puasa, boleh bayar fidyah, sekarang tidak lagi. Kalau dahulu, puasa tidak lebih daripada sepuluh hari, tetapi sekarang dah jadi 29 atau 30 hari sebulan penuh. Mana yang senangnya?

Senangnya nanti adalah di akhirat kelak iaitu apabila kita terselamat daripada kesusahan yang amat besar, iaitu selamat daripada memasuki neraka. Kalau kita selamat daripada memasuki neraka, maka kita sudah selamat dari kesusahan yang besar.

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ

dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa;

Perkataan وَلِتُكْمِلُوا dari kata dasar ك م ل yang bermaksud sempurna. Allah ‎ﷻ hendak kita menyempurnakan ibadat puasa itu selama sebulan. Sempurna bermaksud bukan hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi daripada perkara-perkara dosa dan perkara-perkara lagha yang lain – perkara yang sia-sia. Jauhkan diri daripada perbuatan dosa-dosa lain. Jauhkan diri daripada membuat perkara-perkara tidak berfaedah.

Kita kena penuhkan sebulan puasa dalam bulan Ramadhan itu dengan kebaikan. Kita kena penuhkan ‘latihan’ kita ini. Tidak boleh buat sedikit-sedikit. Kalau kita baru masuk kerja pun, kita kena menjalani latihan juga. Jadi, puasa adalah latihan untuk kita.

Walaupun Allah ‎ﷻ hendak memudahkan kita, tetapi kita mesti memenuhkan puasa dalam sebulan. Allah ‎ﷻ tahu apakah yang kita mampu lakukan. Allah ‎ﷻ tidak menyusahkan makhluk-Nya dengan memerintahkan kita buat perkara yang kita tidak mampu.

Penuhkan Ramadhan dengan berbuat amal ibadat. Jangan jadikan Ramadhan ini sebagai ‘bulan pesta makan’. Amat menyedihkan apabila umat Islam hanya mementingkan makan sahaja. Mereka menahan makan sepanjang siang, tetapi pada waktu malam mereka habiskan dengan makan sahaja. Mereka akan beli bermacam-macam juadah yang dijual di Pasar Ramadhan (PaRam) dan mereka selalunya akan membazir kerana mereka sedang membeli dalam keadaan lapar.

Apabila berbuka pula, mereka akan makan dengan banyak kerana kononnya hendak menggantikan makanan yang tidak dimakan siang hari tadi. Kalau mengikut statistik, import makanan bulan Ramadhan lagi banyak daripada bulan-bulan lain. Padahal, sepatutnya bulan ini adalah bulan dikurangkan makanan, namun yang sebaliknya pula yang terjadi.

Ingatlah, suri rumahtangga jangan habiskan masa dengan memasak sahaja. Yang selalu terjadi, mereka akan mula masak dari awal petang lagi. Bukannya hendak meluangkan masa dengan beribadah, tetapi mereka akan sibuk dengan hal masak memasak. Masak pula banyak sampai membazir sebab bukannya larat hendak makan semua pun.

Sepatutnya kita jadikan Ramadhan ini sebagai bulan ibadah. Perbanyakkan ibadah dalam bulan ini. Ia adalah sebagai latihan kepada kita untuk melakukan ibadah. Amat senang untuk melakukan ibadah dalam Ramadhan kalau dibandingkan dengan bulan-bulan yang lain kerana tidak ada syaitan yang mengganggu. Selepas habis Ramadhan, kita hendaklah meneruskan amalan ibadah itu. Bukan setakat Ramadhan sahaja.

Jadikan bulan ini sebagai bulan Al-Qur’an. Hafal ayat Al-Qur’an sebanyak mungkin. Jadikan satu projek untuk hafal satu-satu surah supaya kita dapat manfaat daripada bulan Ramadhan ini. Jangan pula ambil peluang tiada kerja bulan Ramadhan ini kita habiskan masa dengan menonton wayang, habiskan siri drama Korea yang tidak sempat habis dalam bulan lain. Itu adalah perkara yang lagha sahaja.

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ

dan supaya kamu mengagungkan Allah

Apabila kita telah selesai menjalani ‘latihan’ dalam bulan Ramadhan, maka kita akan raikan kejayaan kita itu dengan berhari raya. Bukankah semasa hari raya itu, kita meraikannya dengan bertakbir?

Bertakbir di Hari Raya adalah membesarkan Allah ‎ﷻ dengan percakapan mulut kita. Kita juga kena membesarkan Allah ‎ﷻ dengan amal kita dan bukanlah setakat ucapan mulut sahaja. Apabila kita membesarkan Allah ‎ﷻ, bermakna kita mengecilkan diri kita.

Kita kena rasa diri kita amat kerdil kalau dibandingkan dengan Allah ‎ﷻ. Apabila kita rasa kerdil, baru senang kita hendak mengikut perintah Allah ‎ﷻ. Apa sahaja suruhan Allah ‎ﷻ kita akan ikut. Orang yang rasa besar diri yang susah hendak mengikut suruhan Allah ‎ﷻ.

Selalunya, kalau kita telah melakukan kebaikan, kita akan puji diri kita. Kita kata kita sudah habis baca Al-Qur’an 30 juzuk sepanjang bulan Ramadhan, kita tidak tinggalkan puasa, tidak tinggal salat terawih tiap-tiap malam. Adakah itu yang Allah ‎ﷻ suruh? Tidak.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh membesarkan Allah ‎ﷻ, bukannya membesarkan diri kita! Kerana Dia lah yang memberikan peluang kepada kita. Dia juga yang memberikan kita kekuatan dan taufiq untuk menjalankan semua ibadat itu. Kalau bukan kerana Allah ‎ﷻ, tentulah kita pun tidak mampu hendak melakukannya.

Maka kita hendaklah membesarkan Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ telah beri taufiq kepada kita untuk menunaikan hukum puasa.

عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُم

atas apa yang Allah telah beri hidayah kepada kamu;

Hidayah yang paling besar adalah Dia telah memasukkan kita ke dalam Islam. Jadi puasa adalah kerana hendak balas nikmat Allah ‎ﷻ yang telah masukkan kita ke dalam Islam.

Hidayah yang besar yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita adalah pemberian Al-Qur’an itu yang diberikan di bulan Ramadhan. Sebab itulah kita puasa dalam bulan Ramadhan – kerana bulan inilah diturunkan Al-Qur’an. Sebagai meraikan penurunan Al-Qur’an itu yang diturunkan dalam bulan Ramadhan, maka Alla h‎ﷻ pilih Ramadhan sebagai bulan yang disuruh kita puasa di dalamnya.

Potongan ayat ini juga mengingatkan kita supaya mengikut apa yang Allah ‎ﷻ telah suruh kita buat. Bukannya memandai-mandai reka perkara baru dalam agama. Oleh itu, jangan kita buat amalan yang bid’ah. Hendaklah kita memastikan amalan yang kita buat itu datangnya dari nas yang sah. Kalau tidak pasti, tinggalkan terlebih dahulu.

Sebagai contoh, dalam Ramadhan, masyarakat kita akan semangat untuk buat salat Terawih. Itu adalah amalan yang baik. Namun kenapa antara dua raka’at dalam salat itu, ada laungan selawat kepada Nabi ﷺ? Siapa yang ajar? Adakah ia baik? Kalau ia baik, tentulah para sahabat sudah buat semenjak dahulu lagi.

Tetapi mereka tidak buat perkara ini. Ia datang kemudian daripada mereka. Tidak diketahui dari mana dan siapa yang memulakannya. Yang pasti, tidak ada dalil sah mengenainya. Maka, kalau ada dalam salat Terawih yang sebegitu, jangan anda termasuk orang yang melaungkan selawat itu juga.

Senyap sahaja. Biarlah mereka yang semangat itu laungkan. Biarkan mereka menjawab di hadapan Allah ‎ﷻ nanti kenapa mereka lakukan perkara itu.

وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

dan supaya kamu bersyukur;

Maknanya, kita berpuasa itu adalah sebagai tanda syukur kita kepada Allah ‎ﷻ di atas nikmat yang telah diberi-Nya kepada kita. Semoga kita bersyukur atas hidayah yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita. Haji pun macam itu juga di mana kita mengerjakan Haji kerana Allah ‎ﷻ telah memberi hidayah Islam dan Iman kepada kita.

Kita disuruh syukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah diberikan kita satu ibadah yang besar, satu bulan penuh dalam Ramadhan. Kita juga bersyukur kepada Allah ‎ﷻ kerana telah memberikan kita kekuatan dan taufiq untuk menjalankan ibadat itu. Juga supaya kita bersyukur atas nikmat Al-Qur’an yang diberikan kepada kita.

Ada mufassir berkata, dengan berpuasa, kita akan lebih menghargai nikmat makan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Apabila kita tidak dapat makan untuk beberapa lama, maka kita akan terkenangkan betapa ramai orang tidak dapat makan kerana miskin dan sebagainya. Selalunya kita akan dapat merasakan kenikmatan sesuatu perkara itu selepas kita kehilangannya.

Kalau kita sentiasa sahaja dapat makan, kita tidak terasa nikmat makan itu. Jadi, dengan berpuasa, kita akan rasa bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan makanan kepada kita selama ini kerana kita sudah mula dapat menghargai nikmat makanan.

Sama juga kalau kita sihat. Kalau kita sihat sentiasa, kita tidak mensyukuri nikmat sihat itu. Sekali-sekala Allah ‎ﷻ beri kita sakit supaya kita bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah ‎ﷻ berikan. Jadi Allah ‎ﷻ tarik sekejap nikmat makan supaya kita bersyukur apabila kita dapat makan.

Namun ada pula mufassir yang mengatakan bahawa yang perlu kita syukuri dalam bulan Ramadhan adalah nikmat kita telah mendapat Al-Qur’an kerana seperti telah disebut sebelum ini, Ramadhan adalah bulan Al-Qur’an. Dengan Al-Qur’an, kita mendapat hidayah.

Bersyukurlah kepada Allah ‎ﷻ yang telah menyelamatkan kita dengan memberikan Al-Qur’an ini kepada kita.

Bersyukur kerana Allah ‎ﷻ telah merantai syaitan pada bulan Ramadhan, kerana merekalah antara yang menghalang kita mendapat hidayah. Itu pun kita kena syukur juga.

Kita juga bersyukur kerana kita mendapat kelebihan puasa di bulan Ramadhan ini. Bayangkan, tidak semua umat Islam yang dapat berpuasa dalam bulan Ramadhan. Orang-orang yang Islam di awal Islam, dan mati sebelum ayat ini diturunkan, tidak sempat mendapat arahan berpuasa dalam bulan Ramadhan ini kerana ia belum difardhukan lagi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan