Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-184

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-184

269
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-184

أَيّامًا مَّعدوداتٍ ۚ فَمَن كانَ مِنكُم مَّريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذينَ يُطيقونَهُ فِديَةٌ طَعامُ مِسكينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيرًا فَهُوَ خَيرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصوموا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.

أَيَّامًا مَّعْدُودَات

Iaitu beberapa hari yang telah ditentukan;

Iaitu puasa itu perlu dilakukan selama sebulan Ramadhan.

Ada yang kata, ini merujuk kepada hukum awal berpuasa, iaitu beberapa hari sahaja dalam sebulan. Ada yang kata tiga hari dalam sebulan. Ini adalah kerana perkataan مَعْدُودَاتٍ bermakna beberapa hari yang kurang daripada sepuluh hari.

Itu kita boleh faham dari nahwu bahasa Arab yang digunakan – ia adalah jamak, tetapi bilangan tidak melebihi daripada sepuluh. Allahu a’lam.

Ada juga yang mengatakan ia adalah sembilan hari atau sepuluh hari kerana mengikut bilangan hari yang Bani Israil diwajibkan berpuasa. Ini kerana apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Nabi, umat Islam masih lagi mengikut amalan Bani Israil yang mengikut undang-undang dari Taurat. Ketika itu, undang-undang Islam untuk umat Nabi Muhammad ﷺ belum ada lagi.

Sememangnya Bani Israil dahulunya merupakan orang Islam pada waktu itu sebelum mereka dialih daripada tampuk keislaman. Maka, tidaklah salah kalau umat Nabi Muhammad ﷺ awalnya mengikut mereka. Contohnya, di awal Islam, salat masih lagi mengadap kiblat Bani Israil iaitu Baitul Maqdis.

Undang-undang syariat dalam Islam memang berubah sedikit demi sedikit. Tidaklah apabila Nabi Muhammad ﷺ naik menjadi Nabi, terus lengkap syariat Islam diberi. Allah ‎ﷻ menurunkan ayat Al-Qur’an dan undang-undang syariat yang baru sedikit demi sedikit.

Kenapa Allah ‎ﷻ kata ‘hari-hari yang tertentu’? Untuk memberi kelegaan kepada kita. Supaya kita tahu bahawa puasa yang diwajibkan itu adalah terhad. Tidaklah sepanjang tahun. Hanya beberapa hari sahaja. Kalau zaman dahulu, mungkin sepuluh hari tetapi dalam syariat Nabi Muhammad ﷺ, hanya sebulan sahaja.

Maka, tidaklah kita lemas dalam kerisauan yang puasa kita lama. Macam kalau makan ubat, kita akan tanya doktor, berapa lama perlu dimakan ubat ini? Doktor akan kata, kena makan ubat itu untuk seminggu, dua minggu atau sebagainya. Tidaklah kena makan ubat sepanjang hidup.

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَّرِيضًا

Maka barangsiapa yang ada di antara kamu sakit

Iaitu, sakit yang menyebabkan dia tidak boleh puasa. Atau kalau dia puasa juga, akan lebih memudaratkan dirinya. Ingatlah yang Islam itu tidak menyusahkan penganutnya. Ada banyak kemudahan yang diberikan kepada umat Islam.
أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ

atau dalam musafir

Perkataan سَفَر asalnya bermakna ‘mendedahkan sesuatu’. Apakah yang didedahkan dan apakah kaitannya dengan musafir?

Seperti yang kita tahu, musafir adalah perjalanan yang jauh. Apabila seseorang bersama dalam satu perjalanan yang jauh, perangai sebenar seseorang individu itu akan terserlah, terdedah. Perkara yang diselindungnya selama hari ini akan terserlah dan terbongkar.

Itulah yang dimaksudkan ‘mendedahkan’ itu. Diri sebenar seseorang akan terdedah. Kita akan tahu dia itu seorang penyabar atau tidak, kedekut atau tidak, seorang yang beriman atau tidak.

فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

maka hendaklah dia ganti puasa itu pada hari yang lain;

Bagi mereka yang sakit dan dalam musafir, mereka boleh berbuka kerana waktu sakit itu badan lemah dan memerlukan makanan untuk sihat. Juga dalam permusafiran juga memenatkan dan memerlukan tenaga.

Maka boleh berbuka. Kena kira berapa hari yang dia tinggal, dan kena ganti ikut bilangan itu. Tidak semestinya kena ganti berterusan. Boleh diganti apabila dia ada kelapangan.

وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ

Dan ke atas orang yang mampu, maka ke atasnya fidyah;

Kalau memang tidak mampu hendak puasa langsung, kena bayar fidyah. Sama ada dia seorang yang tua atau pun muda. Tidak semestinya orang tua sahaja yang tidak boleh berpuasa. Ada juga orang muda yang memang tidak boleh puasa.

Contohnya, memang dia ada penyakit gastrik yang kalau puasa juga, akan memudaratkan dirinya. Tetapi sesiapa yang boleh gagahkan untuk berpuasa juga, itu lebih baik.

Hukum asal puasa, boleh kalau seseorang itu tidak berpuasa tetapi dia terus bayar fidyah. Namun selepas itu tidak boleh lagi buat begini. Seperti yang kita telah sebut sebelum ini, ayat ini diturunkan di awal Islam. Maka, syariat belum ditetapkan lagi seperti sekarang. Terdapat perubahan dari segi syarak dari masa ke semasa.

Maka, waktu itu, umat Islam masih lagi boleh memilih sama ada hendak berpuasa, atau membayar fidyah. Kalau orang yang kaya dan mampu, mereka boleh sahaja membayar fidyah. Ini adalah pendapat yang kukuh kerana disokong oleh hadith dari riwayat para sahabat yang mengatakan sedemikian. Namun, itu adalah syariat dahulu, bukannya sekarang.

Oleh itu, ulama’ mengatakan ini adalah salah satu ayat yang telah dimansukhkan. Hukum boleh mengganti puasa dengan bayar fidyah ini sudah tiada. Ini termasuk dalam perkara nasikh mansukh, iaitu ada ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang telah dimansukhkan – hukumnya tidak terpakai lagi.

Ini adalah satu perkara yang banyak dibincangkan oleh mufassir dan ahli agama. Ada yang terima banyak ayat-ayat Al-Qur’an telah dimansukhkan. Ada yang terima ada ayat Al-Qur’an memang ada dimansukhkan tetapi mereka berbeza pendapat tentang bilangan ayat yang dimansukhkan. Dalam masa yang sama, ada juga yang berpendapat tidak ada ayat-ayat yang dimansukhkan. Jikalau ada pertukaran syariat pun, ayat itu masih lagi boleh dipakai.

Antaranya termasuklah ayat ini. Seperti kita telah sebut sebelum ini, hukum ayat ini adalah di awal Islam, iaitu boleh untuk seorang Islam untuk memilih sama ada hendak puasa atau membayar fidyah sahaja. Tetapi ada yang berpendapat bahawa hukum ayat ini masih lagi boleh dipakai dalam keadaan-keadaan tertentu.

Mereka mengatakan, maksud يُطِيقُونَهُ diambil dari kata dasar tawwaqa yang bermaksud meletakkan kolar besi di tengkuk. Apabila ada kolar itu, maka akan menyusahkan orang yang kena itu untuk bergerak. Maka, yang diambil dari sini adalah, يُطِيقُونَهُ adalah mereka yang berat untuk berpuasa.

Mungkin kerana kerja, kerana tua, kerana penyakit yang mereka rasa tidak akan sembuh, atau mereka yang menyusukan anak, atau mungkin boleh digunakan dalam keadaan-keadaan lain yang tidak terhad kepada perkara yang tersebut ini.

Tambahan pula, ada atsar yang menguatkan pendapat ini:

Kata Ibn Abbas: “Jika wanita hamil bimbang (kesihatan dirinya), ataupun ibu yang menyusu bimbangkan anaknya – pada bulan Ramadhan – maka mereka boleh berbuka dan (menggantikannya) dengan memberi makan setiap hari seorang miskin (iaitu membayar fidyah) dan mereka tidak perlu mengganti puasa (tidak wajib qada puasa) – Riwayat al-Tabari sanadnya memenuhi syarat sahih Imam Muslim.

طَعَامُ مِسْكِينٍ

dengan beri makan kepada orang miskin;

Iaitu memberi makan satu cupak makanan untuk ganti satu hari tidak berpuasa. Yang ada hanyalah fidyah puasa, fidyah sembahyang tidak ada. Namun di Kelantan, ada yang bayar RM3,000 sebulan untuk fidyah sebulan salat untuk mak dan ayah mereka.

Itu adalah satu bid’ah dalam Islam. Solat yang tertinggal, tidak perlu diganti, hanya perlu minta ampun. Maka bertaubatlah dengan Allah atas segala solat yang kita pernah tinggalkan dulu.

Bukan untuk solat yang kita tinggalkan itu sahaja yang kita minta ampun, tetapi kenalah minta ampun atas segala dosa-dosa kita termasuk perbuatan syirik yang kita buat dulu kerana kalau kita buat syirik, ibadat kita tidak diterima atau terbatal terus.

Kalau ada yang sakit, sampai mati dan ada puasa yang tertinggal, yang terbaiknya adalah anak beranak dia ganti puasa untuk mak atau ayah dia. Kemudian, kena minta ampun kepada mak dan ayah dia.

usyz azlizan, [16.12.19 21:26]
Perkataan ‘fidyah’ itu adalah memberi makan kepada fakir miskin. Fidyah itu bermaksud: makanan yang lengkap. Kita sepatutnya kena beri makanan yang lengkap kepada orang miskin. Iaitu, kalau kita beri makanan, kena beri dengan minuman sekali.

Kita boleh beri makan sama ada makan pagi, tengahari atau malam. Boleh pilih. Inilah yang terbaik. Akan tetapi dalam fiqh, juga membenarkan bagi beras sahaja atau boleh juga beri wang.

Siapakah orang miskin itu? Mereka adalah orang yang tidak cukup keperluan mereka. Sebagai contoh, katakanlah keperluan hidup di Kuala Lumpur ini memerlukan RM100 sehari untuk hidup. Tetapi orang miskin itu tidak cukup, mereka hanya ada RM70 sahaja.

Orang fakir pula? Mereka lagi teruk. Mereka hanya ada sebanyak RM50 sahaja atau kurang. Maka, hendaklah kita cari mereka ini untuk diberikan makanan. Seeloknya kita cari sendiri kerana kalau kita beri kepada BaitulMal atau Pusat Pungutan Zakat, belum tentu lagi mereka akan beri kepada fakir miskin itu.

Minta maaf kita cakap begini, tetapi begitulah realitinya. Sepatutnya BaitulMal atau Pusat Pungutan Zakat kena salurkan kepada orang-orang miskin dan fakir. Tetapi apa yang kita lihat, tidaklah begini. Amatlah susah kalau hendak dapatkan bantuan daripada pusat-pusat itu. Kena merayu, isi borang, kena temuduga lagi dan sebagainya.

Padahal, sepatutnya, pusat-pusat itu yang cari mereka, bukan mereka yang kena pergi ke pusat-pusat itu. Dan sepatutnya tidaklah disusahkan untuk menerima wang itu. Zaman Nabi, apabila ada yang minta sahaja, Nabi akan beri. Tidaklah Nabi temuduga mereka untuk memastikan mereka benar-benar miskin.

Cara terbaik yang kita nampak, boleh belanja makan kepada rumah-rumah anak yatim. Atau di madrasah-madrasah pengajian agama yang tidak mengenakan bayaran kepada pelajar mereka.

فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا

Maka sesiapa yang boleh melebihkan dari kebaikan itu;

Sebagai contohnya, mereka hendak beri lebih fidyah itu, hendak beri lebih dari secupak. Yang wajibnya beri sekali makan, tetapi dia hendak beri lebih dari sekali makan.

Yang wajibnya beri makan seorang sahaja untuk sehari tidak puasa, tetapi dia hendak beri lebih ramai lagi makan – itu semua dianjurkan. Islam menganjurkan untuk berbuat lebih dalam perkara yang baik.
فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ

maka itu lebih baik baginya.

Kalau kita beribadah dalam keadaan yang susah sedikit, pahala yang kita dapat akan lebih lagi. Kalau kita beri lebih, Allah SWT akan balas dengan beri lebih lagi pahala kepada kita.
وَأَنْ تَصُومُوا

Dan sesiapa yang boleh gagahkan juga puasa,

Walaupun dia sakit, tetapi dia hendak juga puasa, dia kuatkan dirinya untuk puasa juga. Selagi tidak memudharatkan dirinya. Kalau dengan puasa itu lebih mendatang keburukan, tidak boleh untuk puasa. Kita kena pandai nilai. Kita sendiri yang tahu keadaan dan kemampuan diri kita.

Ataupun dia dalam perjalanan, tetapi dia nak puasa juga – itu pun boleh. Sebab kalau perjalanan itu pendek, dekat sahaja, naik kereta atau kapal terbang, elok untuk dia puasa tetapi yang tidak memudharatkan. Kalau dengan dia puasa dan kena bawa kereta, dan dia jadi penat dan mengantuk kerana lapar, maka tidak sesuai kalau dia berpuasa.
خَيْرٌ لَّكُمْ

itu adalah lebih baik bagi kamu semua;

Ianya lebih afdhal berpuasa dari bayar fidyah. Kalau kita beribadah dalam keadaan yang susah sedikit, pahala yang kita dapat akan lebih lagi. Tetapi ingat, jangan sampai memudharatkan diri.

إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sekiranya kamu mengetahui;

Sekiranya kita mengetahui nilai puasa pahala puasa dalam bulan Ramadhan itu amatlah tinggi sekali. Melebihi lagi dari amalan ibadat yang lain. Nabi telah bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِى لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ. وَلَخُلُوفُ فِيهِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman (yang artinya), “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” (HR. Bukhari no. 1904, 5927 dan Muslim no. 1151)

Tetapi kita sebagai manusia biasa, tidak dapat tahu dengan sepenuhnya apakah kelebihan puasa itu. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan