Utama Blog Halaman 59

BAB 12: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Membaca Selawat Ketika Makan Ubat

0

Kita sering mendengar petua yang masyhur iaitu jika hendak memakan ubat, maka kita diajar atau digalakkan untuk membaca selawat dahulu. Ini jugalah amalan dukun-dukun dan para pengamal perubatan alternatif membaca selawat terlebih dahulu sebelum berubat kepada pesakit mereka.

Amalan ini tidak sahih dan tidak pernah dianjurkan kerana bertentangan dengan apa yang telah diajarkan oleh Nabi ﷺ iaitu membaca basmallah.

ذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فَإِنْ نَسِىَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِى أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

“Apabila salah seorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia menyebut nama Allah ﷻ. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah ﷻ di awal, hendaklah dia mengucapkan: “Bismillaahi awwalahu wa aakhirohu (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” (HR. Abu Daud no. 3767 dan at-Tirmidzi no. 1858. At-Tirmidzi mengatakan hadith tersebut hasan sahih. Syaikh al-Albani mengatakan bahawa hadith tersebut sahih)

كُلُّ أَمْرٍ ذِيْ بَالٍ لاَ يُبْدَأُ فِيْهِ بِـ : بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ فَهُوَ أَبْتَرُ

“Setiap perkara penting yang tidak dimulai dengan ‘bismillahirrahmanir rahiim’, amalan tersebut terputus berkatnya.” (HR. Al-Khatib dalam Al-Jami’, daripada jalur ar-Rahawai dalam al-Arba’in, as-Subki dalam Tabaqathnya)

Kenapa mereka menyarankan membaca selawat sebelum makan ubat?

Amalan ini dipercayai ada kaitan dengan amalan tawassul dengan Nabi ﷺ yang berkeyakinan bahawa Nabi ﷺ adalah juga syifa’ atau penyembuh kepada penyakit. Maka ini adalah salah satu jarum halus daripada talbis iblis untuk mensyirikkan manusia dengan Allah ﷻ.

Sebenarnya ada 13 tempat atau keadaan sahaja yang disarankan untuk berselawat:

  1. Ketika tasyahhud 
  2. Ketika menjawab azan dan selepas azan
  3. Hari Juma’at
  4. Setiap pagi dan petang
  5. Ketika dalam majlis
  6. Ketika menyebut nama Baginda ﷺ
  7. Ketika berdoa
  8. Ketika masuk dan keluar masjid
  9. Ketika salat jenazah
  10. Ketika berada di pusara Baginda ﷺ
  11. Ketika selesai membaca qunut witir
  12. Ketika salat hari raya
  13. Ketika meninggalkan majlis

Maka secara kesimpulannya, tidak ada dalil yang menjadi sandaran untuk berselawat ketika hendak memakan ubat dan ketika hendak berdukun atau berubat pesakit. 

Allahu a’lam.

Talbis Iblis: Akidah Sesat Golongan Sufi Tarekat

0

Akidah sesat Golongan Sufi Tarekat

Masalah terbesar golongan Sufi Tarekat ini adalah kerana asalnya ia mengambil daripada ajaran dan fahaman agama selain Islam. Ini adalah kerana ada ajaran sufi itu yang tidak ada dalam Islam dan bila diperiksa, ia dicedok daripada fahaman agama lain.

Sebagai contoh, ada fahaman Ittihad. Iaitu fahaman yang manusia dapat bersatu dengan Allah ‎ﷻ. Mereka mengatakan yang dengan amalan tertentu dan berterusan, tingkatan (maqam) akan naik ke kedudukan tertentu dan akhirnya dapat bersatu dengan Tuhan.

Ini dicedok daripada fahaman Hindu. Yang mula mengutarakan fahaman ini adalah Abu Yazid Bustami.

Satu lagi akidah sesat yang dicedok daripada agama lain adalah Hulul. Ini dibawa oleh Hallaj. Fahaman ini mengatakan Allah ‎ﷻ mengambil tempat dalam jiwa hamba yang suci.

Lebih kurang sama juga adalah fahaman Wahdatul Wujud. Ini dibawa oleh Ibnu Arabi (ramai juga sokong Ibnu Arabi ini di negara kita). Fahaman ini telah diikuti oleh Hamzah Fansuri dan Syeikh Siti Jenar (salah seorang Wali Songo).

Maka, ajaran daripada Sufi Tarekat itu perlu diperhalusi. Bukan amalan sahaja banyak yang bid’ah, akidah mereka pun ada masalah. Maka kerana itu sebaiknya jangan diikuti ajaran Sufi Tarekat ini kerana mungkin kita tidak dapat membezakan mana yang benar dan mana yang tidak.

Yang menyertai Sufi Tarekat ini selalunya adalah orang yang jahil agama. Pendidikan asas Al-Qur’an dan Sunnah tidak ada, tetapi mereka tertarik dengan perwatakan golongan Sufi Tarekat itu. Oleh kerana jahil, maka mereka senang terpedaya dengan hujah-hujah golongan Sufi itu kerana memang menarik dan masuk di akal (kadangkala).

Amalan Mencari Pembenaran

Golongan Sufi Tarekat terbelit dengan sikap mereka terhadap dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan hadith.

Mereka menegakkan amalan-amalan sesat mereka dengan mencari ‘pembenaran’ dari nas. Mereka sebenarnya tidak ada dalil, tetapi kerana hendak menegakkan benang yang basah, mereka korek juga daripada dalil-dalil Al-Qur’an dan hadith.

Namun mereka kena “reverse engineer” dalil-dalil itu ikut kehendak mereka.

Mereka bukanlah mencari ‘kebenaran‘ tetapi mencari ‘pembenaran‘. Iaitu apakah dalil-dalil yang agak-agak ‘kena’ untuk dijadikan sokongan bagi amalan mereka itu. Sedangkan memang amalan mereka itu tidak ada dalam syarak.

Sebagai contoh, ada dalam kalangan mereka yang berzikir dalam keadaan menari-nari. Ada yang sampai tidak sedar pun, sampai terkinja-kinja.

Apabila ditegur, maka mereka terpaksa mencari dalil untuk membenarkan juga amalan mereka.

Maka mereka petik ayat Al-Qur’an [Ali Imran:191] sebagai dalil ‘pembenaran’ mereka.


الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Mereka berkata diri dan duduk itu termasuklah menari. Maka apa salahnya?

Inilah contoh dalil ‘pembenaran’ dan banyak lagi penyalahgunaan dalil yang mereka lakukan. Semuanya kerana terdesak.

Mereka “reverse engineering” dalil. Maknanya mereka buat dahulu amalan salah, kemudian petik ayat Al-Qur’an yang agak-agak kena.

Sedangkan orang waras yang baca ayat tersebut, tidak pun terasa hendak zikir menari, bukan?

Ayat Al-Qur’an ini bukanlah baru keluar kilang zaman ini. Namun sudah lama Allah ‎ﷻ sampaikan kepada Nabi ﷺ. Tidak pernah berlaku semenjak zaman dahulu ada ulama’ yang ajar zikir secara menari.

Maka kita pun jangan terbelit dengan amalan mencari ‘pembenaran’ ini. Jangan salahgunakan dalil untuk membenarkan amalan-amalan yang salah.

Ini termasuklah kepada tok guru, ahli politik dan sesiapa sahaja. Jangan salahgunakan ayat-ayat Al-Qu’ran dan hadith nabi yang mulia untuk membenarkan juga fahaman salah.

🔏 Sekian bab sufi.

Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan (Bahagian 5)

0

Sambungan Kembali kepada Allah ‎ﷻ: Adab Dalam Berdoa

Memang kita kena redha dengan kesusahan dan musibah yang kita hadapi tetapi tidaklah salah kalau kita meminta kebaikan kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena membiasakan diri untuk selalu berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Akan tetapi kena jaga adab dalam berdoa. Allah ‎ﷻ telah berfirman di dalam [Isra’:11]

وَيَدعُ الإِنسانُ بِالشَّرِّ دُعاءَهُ بِالخَيرِ ۖ وَكانَ الإِنسانُ عَجولًا

Dan manusia doa untuk kejahatan sebagaimana dia berdoa untuk kebaikan. Dan adalah manusia bersifat tergesa-gesa.

Tafsir: Memang kebanyakan manusia bersifat kelam kabut (tergopoh-gopoh). Begitulah, manusia tidak tahu apa yang mereka minta sebenarnya. Kadang-kadang kita minta kepada perkara yang tidak baik – sebagai contoh, kita minta supaya diberi sesuatu kerja tertentu, padahal kita tidak tahu bahawa kerja itu sebenarnya tidak elok bagi diri kita.

Oleh itu, kita sepatutnya meminta doa kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi kebaikan kepada kita tanpa kita menyebut secara spesifik apakah yang kita hendak. Tidak perlu hendak mengajar Allah ‎ﷻ untuk memberi kita sesuatu yang spesifik kerana kita tidak tahu sama ada ia membawa kebaikan atau tidak. (Atau, sekurangnya, kita tambah dalam doa kita begini – Ya Allah, kalau perkara ini memberi kebaikan untuk diriku, maka Kau kabulkan dan berikanlah).

Ingatlah yang kita tidak tahu apakah sebenarnya kebaikan untuk kita kerana kita tidak tahu perkara ghaib iaitu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Maka, kita sepatutnya serahkan sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Hanya memohon kebaikan sahaja.

Ada yang jahil sampai sanggup berdoa: “Ya Allah, kalau begini matikanlah sahaja aku…” Sepatutnya dia minta diselamatkan, tetapi dia minta mati pula. Inilah kebodohan yang amat.

Maka dalam berdoa, kita kena lapik doa kita. Sebaiknya kita tambah: …. kalau ia adalah baik bagiku, ya Allah.

Kita serahkan kepada Allah ‎ﷻ untuk menentukan apa yang terbaik bagi kita.

Soal Jawab Bersama Doktor: Influenza H1N1

0

Soalan:
Apakah itu penyakit Influenza H1N1?
Jawapan:
Penyakit H1N1 adalah sejenis penyakit yang berjangkit melalui saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A. Ia merupakan sebahagian daripada influenza bermusim (seasonal influenza).

Soalan:
Bilakah penyakit Influenza A H1N1 berlaku??
Jawapan:
Rantau beriklim sederhana seperti Amerika Syarikat, mempunyai variasi musim penularan influenza yang jelas, dengan kemuncak penularan yang selalunya berlaku pada musim sejuk. Ini berbeza dengan rantau tropika seperti di Malaysia, tiada musim penularan influenza yang jelas atau dengan kata lain, ia boleh berlaku sepanjang tahun.

Soalan:
Apakah gejala atau tanda-tanda dijangkiti virus H1N1?
Jawapan:
Gejala penyakit H1N1 hampir sama seperti selesema biasa. Antaranya seperti:
• Menggigil
• Demam tinggi
• Batuk, biasanya kering
• Sakit tekak
• Hidung berair
• Sakit badan
• Keletihan
• Cirit-birit
• Pening
• Muntah
• Sakit kepala
• Ruam
• Sesak nafas
• Keradangan paru-paru akibat jangkitan sekunder bakteria
• Kekejangan
Gejala-gejala ini berlangsung selama satu hingga dua minggu dan boleh berlarutan untuk jangka masa lebih lama jika individu mempunyai jangkitan yang teruk. Gejala boleh diuruskan dengan rawatan yang serupa dengan selesema biasa. Tetapi, doktor perlu menjalankan ujian khas untuk mengesahkan penyakit H1N1 dan menasihati cara melegakan simptom individu.

Soalan:
Bagaimana kita boleh dijangkiti penyakit tersebut?
Jawapan:
Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk Influenza A (H1N1) di dalam komuniti adalah melalui cecair (droplet) batuk atau bersin daripada pesakit yang dijangkiti Influenza A (H1N1).
Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan, melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

Soalan:
Adakah pesakit influenza A H1N1 perlu dikuarantin?
Jawapan:
Pesakit influenza A H1N1 tidak perlu dikuarantin. Namun begitu, sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala selesema, pesakit adalah dinasihatkan untuk melakukan perkara berikut:

• Berada di rumah dan mengelak untuk berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak;
• Berehat dan meminum banyak air;
• Tutup mulut dan hidung apabila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol;
• Jika tidak menggunakan tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda;
• Gunakan topeng muka bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling pesakit. Pastikan pesakit memakai topeng muka dengan cara yang betul; dan
• Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

TBK 10.2.11 TURUNNYA NABI ISA عليه السلام

0

TBK 10.2 Turunnya Nabi Isa عليه السلام
(نزول عيسى بن مريم عليه السلام)

10.2 11. Perihal (dunia Timur tengah) ketika turunnya Nabi Isa عليه السلام.
(الأحوال التي ينزل فيها عيسى عليه السلام)

سيكون المسلمين قد خرجوا لتوهم من معركة كبيرة مع النصارى…وفتحوا مدينة القسطنطينية واستعادوها من حكم النصارى … وقد تقدم بيان أن المسلمين يفتحونها بالتهليل والتكبير لا بالسلاح وينادي الشيطان أن قد خرج الدجال , فيرجع المسلمون من القسطنطينية إلى دمشق ,لأن قاعدة فسطاط المسلمين في دمشق ويخرج بعد ذلك ميسح الضلالة الدجال حقيقة ويطوف الأرض وتحدث فتنته الكبرى

Berkata Dr al Arifi:
“Orang Islam pada akhir zaman akan berperang melawan umat Kristian yang menguasai Istanbul (Turki).

Umat Islam akan menguasai Istanbul hanya dengan tahlil dan takbir sahaja (tanpa senjata). Kemudian syaitan menyeru Dajjal agar keluar. Setelah itu umat Islam akan berundur dari Istanbul dan bergerak menuju Damsyiq kerana di situlah kaum Muslimin berhimpun. Kemudian keluarlah Dajjal mengelilingi dunia dan selepas itu meletuslah fitnah yang besar (“armageddon”).

‼️Peringatan
Perbahasan penaklukan Istanbul sudah dibahaskan pada ‘tanda kiamat kecil’ (TKK). Manakala kemunculan Dajjal juga sudah dibahaskan pada tanda kiamat yang besar (TBK) Bab 10.1 (ini cuma ulangan).

@tanda2kiamat

TBK 10.2.12 TURUNNYA NABI ISA عليه السلام

0

TBK 10.2 Turunnya Nabi Isa عليه السلام
(نزول عيسى بن مريم عليه السلام)

10.2.12. Bagaimana dan di mana Nabi Isa عليه السلام turun?
(Bahagian 1)
(كيف ينزل عيسى عليه السلام وأين؟)

يكون نزوله عند المنارة البيضاء شرقي دمشق عليه مهرودتان- أي يلبس ثوبين مصبوغين بورس(1) ثم الزعفران واضعا كفيه على أجنحة ملكين

Nabi Isa عليه السلام nanti akan turun di Menara Putih di sebelah timur kota Damsyiq (Syria sekarang), baginda memakai pakaian yang diwarnakan dengan pewarna wars dan zafaran (maksudnya pakaian berwarna kekuningan), sambilnya memegang sayap dua malaikat.
[Syaikh al-Albani, Qisasul Masihul Dajjal Wa Nuzulu Isa, muka surat 142]

Ia bermaksud Nabi Isa عليه السلام akan turun dengan pakaian warna kekuningan (pakaian yang elegan seperti Raja-Raja Melayu) dan turun dihantar oleh dua malaikat.


(Bahagian 2)
(كيف ينزل عيسى عليه السلام وأين؟)

قال ابن كثير :[ الأشهر في موضع نزوله أنه على المنارة البيضاء الشرقية بدمشق ,ينزل وقد أقيمت الصلاة فيقول اه إمام المسلمين: يا روح الله ,تقدم, فيقول : تقدم أنت فإنها أقيمت لك]المنارة التي على مدخل السوق

وفي رواية:<< بعضكم على بعض أمراء , يكرم الله هذه الأمة>>

Berkata Ibnu Katsir رحمه الله‎ (wafat pada 774 Hijrah, di Damsyiq). Pendapat yang masyhur lokasi turunnya Nabi Isa عليه السلام dari langit ialah di Menara Putih, timur Damsyiq sekarang. Waktu turunnya ialah bertepatan dengan waktu salat (iqamah). Maka imam masjid berkata, “Majulah ke depan wahai roh Allah”. Nabi Isa عليه السلام menjawab, kamulah yang ke depan kerana ini adalah syariat kalian”.

Dalam riwayat lain, Nabi Isa عليه السلام berkata, “Sebahagian kamu adalah pemimpin ke atas yang lain, maka Allah ‎ﷻ telah memuliakan kamu semua.”
[Ibnu Katsir, Al Nihayah Fi Fitan Wa Malahim, 1:192]

🔏 Nota kaki:
Menara Putih itu adalah di pintu gerbang pasar Damsyiq timur sekarang.


(Bahagian 3)
(كيف ينزل عيسى عليه السلام وأين؟)

قال ابن كثير:[ وقد جدد بناء المنارة في زماننا في سنة 741هـ من حجارة بيض, وكان بناؤها من أموال النصارى الذين حرقوا المنارة التي كانت مكانها .ولعل هذا يكون من دلائل النبوة الظاهرة , المنارة البيضاء شرقي دمشق ( والتي يعتقد انها مكان نزول عيسى بن مريم عليه السلام)
حيث قيض الله بناء هذه المنارة البيضاء من أموال النصارى حتى ينزل عيسى ابن مريم عليها فيقتل الخنزير,ويكسر الصليب, وولا يقبل منهم جزية]

Imam Ibnu Katsir رحمه الله‎ berkata:
“Menara Putih Damsyiq telah dibaikpulih pada tahun 741 Hijrah dengan marmar putih dengan pembiayaan sepenuhnya dari dana komuniti Kristian kerana ia telah terbakar. Pembinaan dengan dana Kristian ini adalah petanda Kenabian yang Allah ‎ﷻ telah taqdirkan bahawa kota putih ini dibangunkan sendiri oleh umat Kristian untuk persediaan turunnya Nabi Isa عليه السلام, di mana tugasan mega baginda ialah membunuh babi, menghancurkan salib-salib dan Nabi Isa عليه السلام akan menghapuskan sistem percukaian.”
[Ibnu Katsir, al Nihayah, 1:192]


(Bahagian 4)

وقد زرت بنفسي في دمشق منارة بيضاء في شرقي دمشق (*) اشتهر عند الناس هناك أنها المنارة التي ينزل عليها عيسى عليه السلام ,فصورتها, وهي التي على مدخل سوق لا على مسجد!!والحي الدي هي فيه أكثر سكانه من نصارى ,وقد وضعت صورتها هنا ,فإن كانت هذه المنارة التي ينزل عليها عيسى ,أو هي منارة أخرى فالله أعلم بها.
وقد قيل أن نزول عيسى عليه السلام يكون على إحدى منارات الجامع الأموي في دمشق والله أعلى وأعلم.
وأنا هنا لا أجزم بشيء من ذلك.

Kata Dr Muhammad al Areefi, pengarang “Saya telah mengunjungi Menara putih tersebut di timur Damsyiq (* pada tahun 1992), penduduk timur Damsyiq memang telah mengetahui itulah tempat Isa عليه السلام akan turun dan telah memberinya tanda iaitu di pintu masuk pasar dan masyarakat sekelilingnya adalah majoriti penganut arab kristian.

Pendapat lain mengatakan bahawa Isa عليه السلام akan turun di salah satu menara Masjid Umawi di Damsyiq. Aku (Dr al Areefi) tidak mampu untuk memastikan pendapat mana yang lebih rajih”.


@tanda2kiamat

BAB 10 & 11: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Majlis Tahlil & Kenduri Arwah

0

Majlis Tahlil

Tahlil berasal daripada kalimah Arab هَلَّلَ يُهَلِّلُ تَهْلِيْلًا bermaksud mengucap kalimah لاإله إلا الله.

Menurut istilah seperti yang disebut di dalam kitab Tahlilan Dalam Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah oleh KH. Mahyudin Abdus-Shomad ialah bersama-sama mengucapkan kalimah toyyibah dan berdoa bagi orang yang sudah meninggal dunia.

Menurut pemahaman masyarakat Melayu kita pula ialah himpunan zikir yang terkandung di antaranya surah-surah pilihan, ayat-ayat pilihan, selawat ke atas Nabi ﷺ, bacaan tahlil ( لا إله إلا الله ) serta bacaan lain lagi dan diakhiri dengan doa selamat kepada si mati.

Dalam huraian di atas dapat kita fahami dan simpulkan bahawa tahlil bukan sahaja mengucap kalimah لا إله إلا الله, tetapi juga membaca surah-surah pilihan, ayat-ayat pilihan dan lain-lain lagi daripada kalimah toyyibah. Seterusnya didoakan kepada Allah untuk si mati agar dirahmati dan diberi segala kebaikan.

 

Kenduri Arwah

Menurut Kamus Dewan, kenduri arwah diertikan kenduri untuk memperingati (mendoakan) orang yang telah meninggal dunia. Majlis kenduri arwah dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dan mengadakan jamuan di rumah si mati.

Seperti yang kita sedia maklum, apabila berlaku kematian di dalam masyarakat Melayu kita, keluarga si mati akan mengadakan kenduri (kenduri arwah) yang mana sebelum jamuan dihidangkan, bacaan tahlil akan dibacakan oleh jemaah yang hadir secara beramai-ramai.

Kebiasaannya majlis ini diadakan sama ada pada hari kematian, di hari ke-2, ke-3, ke-7, ke-40 dan ke-100. Bagi mereka yang fanatik kepada kepercayaan ini atau terlalu mengagungkan si mati malah mengadakannya setahun sekali (Hauliah atau Hol), khususnya menjelang bulan Ramadhan atau hari perayaan tertentu.

 

Pendapat asal dalam Mazhab Syafi’iy

Antara petikan daripada kitab-kitab syafi’iyyah:

Di dalam kitab I’anat at-Talibin (juzuk 2, halaman 146) tercatit: 

Imam Syafi’iy رحمه الله berfatwa:

ويكره اتخاذ الطعام فى اليوم الأول والثالث وبعد الأسبوع ونقل الطعام الى القبر فى المواسم

“Dan dilarang menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnya selepas seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kubur”

Kitab I’anat at-Talibin adalah kitab karya Asy-Syeikh Al-Imam Abi Bakr Ibnu As-Sayyid Muhammad Syatha Ad-Dimyathiy Asy-Syafi’iy. Kitab ini adalah syarah kepada kitab yang besar juga iaitu Fathul Mu’in karya al-‘Allamah Zaynuddin al-Malibari. Kedua-dua kitab di atas adalah antara kitab utama yang menjadi rujukan pengajian di pondok dan pesantren di nusantara.

Di dalam kitab yang sama iaitu pada jilid 2 halaman 146 dan 147, Imam Syafi’iy رحمه الله juga berfatwa:

وقال ايضا : ويكره الضيافة من الطعام من أهل الميت لأنه شرع فىاسرور وهي بدعة

“Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli keluarga si mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.

Dan fatwanya lagi:

ومن البدع المنكرة المكرو فعلها ما يفعلها الناس من الوحشة والجمع والأربعين بل كل ذلك حرام

“Antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari ke empat puluh (empat puluh harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.

Persoalannya, bagaimana para ustaz dan penuntut ilmu di pondok-pondok di nusantara boleh menyembunyikan fakta ini sekian lama yang terdapat di dalam kitab rujukan utama mereka!

 

Asal usul Kenduri Arwah

Perkataan kenduri menurut Kamus Besar Indonesia bererti membuat jamuan makan untuk memperingati sesuatu peristiwa, meminta berkat dan sebagainya. Kenduri atau yang lebih dikenali dengan sebutan selamatan atau kenduren (sebutan kenduri bagi masyarakat Jawa) telah ada sejak dahulu sebelum masuknya agama Islam ke Nusantara.

Para sejarawan berkhilaf tentang sejarah amalan atau budaya kenduri dan ianya ada beberapa versi:

Versi 1: Kenduri berasal daripada selatan India, iaitu Kerala. 

Versi 2: Menurut orientalis Belanda, Snouck Hurgronje, budaya kenduri berasal daripada Syiah kerana mereka banyak mengadakan kenduri kepada Saidina Ali, Fatimah, Husin dan Imam 12 mereka.

Versi 3: Daripada budaya Islam Champa (Indochina) (Muhammad Sholikhin, Ritual dan Tradisi Islam Jawa)

Versi 4: Kenduri atau genduri adalah daripada tradisi agama Hindu menurut kajian “Nilai-nilai Hindu dalam budaya Jawa, serpihan yang tertinggal” karya Ida Bedande Adi Suripto

Versi 5: Kenduri khususnya selamatan arwah adalah ajaran agama Animisma iaitu agama asal di nusantara. Asasnya adalah daripada prinsip roh aktif iaitu kefahaman animisma yang mengajarkan bahawa roh-roh orang yang telah mati tetap hidup bahkan menjadi sakti seperti dewa (Abu Ahmadi, Perbandingan Agama, Jakarta: PT. Rineka Cipta, 1991, halaman 42-46)

قال الإمام أحمد رحمه الله في مسنده

حَدَّثَنَا نَصْرُ بْنُ بَابٍ، عَنْ إِسْمَاعِيلَ، عَنْ قَيْسٍ، عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ الْبَجَلِيِّ، قَالَ: ” كُنَّا نَعُدُّ الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنَ النِّيَاحَةِ “

قال المشرف العام على تحقيق المسند الشيخ شعيب الأرنؤوط :حديث صحيح 

Terjemahan:

Daripada Jarir bin Abdullah Al Bajaliy, beliau berkata: “Kami (yakni para sahabat semuanya) memandang atau menganggap (yakni menurut kami para sahabat) bahawa berkumpul-kumpul di tempat ahli mayat dan membuatkan makanan sesudah ditanamnya mayat termasuk sebahagian daripada meratap (niyaahah).” (HR Ibnu Majah no.1612 dan Ahmad dalam al-Musnad, disahihkan oleh Syeikh Syuaib al-Arnaout, Muhaqqiq al-Musnad).

Syarah:

Syeikh Ahmad Abdurrahman al-Banna, di dalam kitabnya Fathurrabbani iaitu tartib musnad Imam Ahmad bin Hambal (8/95-96) :

“Telah sepakat Imam yang empat (Abu Hanifah, Malik, Syafi’i dan Ahmad) atas tidak disukainya ahli mayat membuat makanan untuk orang ramai yang mana mereka berkumpul berdalilkan dengan hadith Jarir bin Abdullah. Dan zahirnya adalah haram kerana meratapi mayat hukumnya haram, sedangkan para sahabat telah memasukkannya (yakni berkumpul-kumpul di rumah ahli mayat) sebahagian daripada meratap dan itu (jelas) haram. 

Maka, apa yang biasa dilakukankan oleh kebanyakan orang sekarang ini iaitu berkumpul-kumpul (di tempat ahli mayat) dengan alasan takziah dan mengadakan penyembelihan, menyediakan makanan, memasang tenda dan permaidani dan lain-lain adalah termasuk dalam pembaziran harta yang banyak dalam seluruh urusan yang bid’ah ini. Mereka tidak maksudkan kecuali untuk bermegah-megah supaya orang-orang memujinya bahawa si fulan telah mengerjakan ini dan itu dan menginfakkan hartanya untuk tahlilan bapanya. Semuanya itu adalah HARAM menyalahi petunjuk Nabi ﷺ dan salafus salih daripada para sahabat dan tabi’in dan tidak pernah diucapkan oleh seorang pun juga daripada Imam-imam Agama (kita).”

Berkata Imam Syafi’iy رحمه الله : “Aku menyukai bagi para jiran tetangga mayat dan sanak saudaranya membuat makanan untuk ahli keluarga mayat pada hari kematiannya dan malam harinya yang sekiranya dapat mengenyangkan mereka, kerana sesungguhnya yang demikian itu adalah (mengikuti) sunnah (Nabi ﷺ)…. “ (Al-Um I/317).

Maka apa yang dilakukan oleh orang Melayu iaitu berkumpul di rumah kematian pada hari pertama hingga tujuh, kemudian setiap minggu hingga hari ke-40 dan menutup dengan hari ke-100 dengan mengadakan jamuan adalah sesuatu yang menyalahi ijmak sahabat, menyalahi ittifaq 4 mazhab utama ahli sunnah wal jamaah dan menyalahi mazhab Syafi’iy, yakni Imam Syafi’iy رحمه الله sendiri.

Seperti kata Imam Syafi’iy, amalan selamatan arwah atau kenduri arwah adalah bid’ah yang buruk yakni melakukan keterbalikan atau reverse engineering. Maksudnya, kaum salaf membantu ahli keluarga si mati, meringankan beban mereka, menghantar makanan kepada mereka, akan tetapi kaum akhir zaman menukarnya. Mereka yang dilanda kesedihan pula yang terpaksa menjamu masyarakat sekeliling. Maka ia adalah satu pembaziran kewangan, tenaga dan berakhir dengan kemegahan dan riak kerana telah berjaya menjamu orang ramai atas nama si mati.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-183

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Ayat Ayat Ke-183

Ini tentang hubungan dengan Allah ‎ﷻ pula. Ayat-ayat sebelum ini sentiasa menyentuh tentang taqwa. Sekarang Allah ‎ﷻ memberikan jalan-jalan bagaimana mencapai taqwa.

Ayat-ayat yang seterusnya ini adalah tentang puasa. Semua cerita tentang puasa dimasukkan di dalam kumpulan ayat yang berterusan ini. Kemudian tidak dimasukkan di mana-mana lagi. Ini adalah sesuatu yang aneh sebenarnya. Selalunya, hukum sesuatu perkara tidak dimasukkan oleh Allah ‎ﷻ sebegini.

Selalunya hukum sesuatu perkara itu ada dalam satu surah, kemudian dimasukkan dalam surah yang lain. Namun tidak dengan hukum puasa ini. Semuanya ada dalam lima ayat ini.

Amalan puasa ini adalah untuk memperbaiki hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ. Kalau hubungan hamba dan Allah ‎ﷻ baik, tentu hubungan hamba dan hamba yang lain akan jadi baik juga. Kalau hubungan dengan Allah ‎ﷻ tidak baik, nescaya tidak akan dijaga hubungan baik dengan makhluk yang lain.

Puasa adalah satu daripada arahan jenis Umur Muslihah. Apabila kita berpuasa, kita sanggup untuk tidak makan kerana ia adalah hukum daripada Allah ‎ﷻ. Kita sabar untuk tidak makan selama sebulan pada siang harinya, dari pagi hingga ke malam.

Maka hasilnya, Allah ‎ﷻ memberi kekuatan untuk orang yang berpuasa untuk menjaga diri mereka daripada memakan dari sumber yang haram. Inilah kebaikan puasa. Sebab itu ayat puasa ini diletakkan di celah-celah ayat-ayat tentang pengurusan harta. Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang wasiat. Pengurusan harta adalah amat penting kerana dengan sebab harta, manusia boleh masuk neraka.

Selepas ayat puasa ini, ada pula ayat tentang larangan memakan harta sesama kita dengan cara bathil. Ini memberi isyarat kepada kita, bahawa harta tidak dapat dijaga dengan baik kalau hubungan dengan Allah ‎ﷻ dari segi puasa ini tidak betul. Ini kerana puasa mengajar kita taqwa iaitu takut dengan hukum Allah ‎ﷻ.

Doa juga makbul semasa puasa. Termasuk semasa kita melakukan puasa sunat. Maka ambillah kesempatan untuk berdoa semasa puasa. Yakinlah yang doanya akan makbul. Oleh itu, dalam ayat-ayat puasa ini nanti, kita akan bertemu dengan ayat-ayat tentang doa.

Kita semua tentunya sudah faham dan mahir tentang puasa ini sebab dari kecil sudah mengamalkannya. Walau bagaimana pun, semua orang mempunyai tafsiran mereka sendiri tentang puasa. Kepada kanak-kanak, mereka faham puasa itu tidak boleh makan dan minum sahaja. Kepada orang dewasa, mungkin lain pula pemahaman mereka.

Tentulah tidak sama pemahaman seorang yang berilmu dan seorang yang jahil – ada yang puasa hanya kerana orang lain pun puasa juga. Maka, pemahaman tidak sama tentang apakah maksud ‘puasa’ itu. Maka, sekarang kita hendak melihat apakah maksud puasa yang dimaksudkan sendiri oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat Al-Qur’an. Tentunya kita hanya akan mendapat maklumat itu dengan membaca dan memahami ayat-ayat-Nya. Mari kita teruskan.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيامُ كَما كُتِبَ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِكُم لَعَلَّكُم تَتَّقونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ

Wahai orang-orang yang beriman

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang beriman. Maka, ia ditujukan kepada kita. Allah ‎ﷻ sedang bercakap terus dengan kita. Banyak ayat-ayat yang dimulai dengan kata-kata ini. Memang seeloknya, apabila kita membaca Al-Qur’an, kita qasadkan dalam hati kita yang Allah ‎ﷻ sedang bercakap-cakap dengan kita.

Allah ‎ﷻ sebut mereka yang beriman. Jadi, siapakah mereka yang beriman itu? Itulah mereka yang beriman dengan perkara-perkara yang patut diimani. Rukun iman adalah asas kepada perkara yang perlu diimani – beriman kepada Allah ‎ﷻ, kepada malaikat, kepada Kitab dan seterusnya. Namu ada banyak lagi perkara yang perlu diimani. Itu kena belajar baru dapat tahu.

كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ

difardhukan ke atas kamu puasa

Perkataan كُتِبَ asalnya diambil daripada kata ‘kitab’ yang bermaksud ‘buku’. Tetapi apabila diikuti dengan perkataan عَلَيْ, hingga menjadikan perkataan sebegini: كُتِبَ عَلَيْ, maka ia bermaksud ‘difardhukan’, atau ‘diwajibkan’. Kita boleh faham sebegini: apabila undang-undang itu telah dibukukan, bermakna ia wajib diikuti.

Kalimah الصِّيَامُ asalnya bermaksud ‘menahan diri sesuatu’ yang nafsu mahu. Seperti makan, minum, bercakap, hubungan suami isteri dan banyak lagi. Kalau perkara itu bukan nafsu yang mahu – contohnya menahan diri daripada terjun bangunan contohnya, itu tidak dikira الصِّيَامُ kerana ia bukanlah sesuatu yang diingini oleh nafsu.

Dari segi hukum syarak, yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: ‘menahan diri dari makan, minum dan hubungan seks untuk beberapa waktu yang tertentu’.

Dalam bulan puasa, iman dapat melawan nafsu. Nafsu hendak makan dan hendak minum tentunya, tetapi kerana iman kita, kita dapat tahan diri kita daripada makan dan minum.

Sebenarnya, keseluruhan hidup kita adalah menahan nafsu kerana kalau kita ikut sahaja kehendak nafsu, maka hidup kita akan musnah. Macam-macam nafsu kita hendak. Sentiasa sahaja kita hendak itu dan ini. Ada yang baik seperti makan dan minum, dan ada yang tidak baik seperti hendak menipu, hendak mencuri, hendak itu dan ini.

Namun kita kena tahan nafsu kita daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Bukanlah kena tahan semua nafsu itu, kerana mana-mana keinginan nafsu yang dibolehkan oleh syarak, ia dibenarkan. Sebagai contoh, melakukan persetubuhan adalah haram tetapi dibenarkan apabila sudah menikah dengan isteri kita.

Oleh itu, keseluruhan hidup kita sebenarnya adalah puasa sebenarnya. Memang jalan ke syurga itu susah. Kena berterusan istiqamah dalam peperangan dengan nafsu. Dalam bulan Ramadhan, kekuatan iman kita dilatih untuk menundukkan nafsu dengan bantuan daripada Allah ‎ﷻ. Apabila kita selalu berjaya menundukkan nafsu, maka iman kita semakin kuat dan nafsu kita akan berlatih menurut iman.

Dalam ayat ini, perkataan yang digunakan adalah ‘difardhukan ke atas kamu’. Tidak disebut siapakah yang memfardhukannya. Tentunya Allah ‎ﷻ yang memfardhukan puasa kepada kita. Namun tidak disebut dalam potongan ayat ini. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ hendak menekankan kepada kita, siapakah pembuat ibadah puasa itu. Itulah cara penggunaan bahasa dalam ayat ini.

Kelebihan berpuasa

Apabila Allah ‎ﷻ memfardhukan puasa kepada kita, bukanlah bermakna Allah ‎ﷻ perlukan kepada ibadat puasa kita itu. Tidak berubah sifat dan kedudukan Allah ‎ﷻ kalau kita berpuasa atau tidak. Namun, puasa itu adalah satu kelebihan untuk kita.

Terdapat banyak kelebihan dalam puasa itu. Dunia perubatan pun telah membuat kajian dan sepakat mengatakan bahawa terdapat kelebihan dalam bentuk kesihatan kepada mereka yang berpuasa. Kita menghabiskan kebanyakan daripada kehidupan kita dengan makan sepanjang hari.

Proses penghadaman dalam badan kita memerlukan rehat. Kita mendapat rehat itu dalam bulan puasa atau apabila kita puasa di bulan-bulan lain (puasa sunat).

Namun begitu, janganlah pula kita niat berpuasa itu untuk kesihatan kerana kita puasa kerana ia adalah arahan Allah ‎ﷻ. Kita lakukan ibadat ikhlas kerana Allah ‎ﷻ. Cuma kita tahu, di sebalik segala suruhan Allah ‎ﷻ itu, ada kebaikannya sebagai bonus untuk kita. Sama ada kita dapat tahu kelebihan itu atau tidak sahaja.

Kadang-kadang daripada kajian, kita dapat tahu. Tidak penting sama ada kita tahu atau tidak. Yang penting, kita kena lakukan sahaja arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Apabila kita tidak makan dan minum, fikiran dan badan kita boleh fokus kepada perkara selain daripada makan. Ini kerana apabila makan, tenaga yang diperlukan untuk menghadamkan makanan akan banyak disalurkan kepada proses menghadam makanan. Apabila sudah tidak makan, maka fikiran dan badan boleh fokus tenaga kepada ibadat, kepada memikirkan perkara-perkara yang baik.

Antaranya kita akan dapat salat dengan lebih khusyuk, membaca Al-Qur’an dengan lebih tenang, dan memikirkan makna yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Kemudian, amalan ini sepatutnya diteruskan lagi dalam bulan-bulan yang lain supaya kita tetap dapat manfaat ini.

Puasa ini adalah seperti sejenis ubat untuk kita. Kalau seorang pesakit datang kepada doktor, doktor akan beri ubat kepada pesakit itu. Doktor itu akan beri ubat yang sesuai untuk pesakit itu. Kalau sakit yang dihadapi oleh pesakit itu berat, maka ubat yang diberikan adalah jenis yang kuat.

Sebagai contoh, kalau sakit itu kanser, kadang-kadang doktor akan suruh pesakit kanser itu menjalani kemoterapi – satu jenis perubatan yang amat berat sampaikan mereka yang menjalaninya akan gugur habis segala rambutnya. Itu adalah kerana doktor hendak mematikan sel-sel kanser yang ada pada pesakit itu.

Pertamanya, kita kena terima bahawa kita memerlukan ubat. Iaitu ubat untuk iman dan roh kita. Kadang-kadang ubat yang kita kena makan adalah ubat yang kuat, ubat yang drastik. Memang, puasa adalah satu langkah yang drastik kalau kita fikirkan. Bayangkan kita kena tahan makan dan minum sepanjang hari selama sebulan.

Kalau orang kafir lihat kita, mereka memang geleng kepada dan mereka kata mereka tidak sanggup lakukan sebegini. Jadi, jangan kita sangka apa yang kita lakukan ini adalah perkara senang. Mungkin kita sudah biasa kerana kita sudah biasa puasa sejak kecil lagi.

Kita dikenakan dengan ubat yang drastik ini adalah kerana iman kita mengalami gangguan yang amat teruk sampaikan kita memerlukan langkah perubatan yang ketara. Sebagai contoh, kalau seseorang itu sakit jantung, sampai jantungnya berhenti, doktor akan memberikan kejutan elektrik untuk mengejutkan dia balik.

Kadang-kadang ubat yang diberikan juga tidak sedap – amat pahit tetapi ia adalah baik untuk kita. Namun kita menelannya juga, kerana kita hendak sihat.

Persediaan Perang

Terdapat isyarat berperang juga dalam ayat ini kerana perkataan الصِّيَامُ itu membawa satu makna ‘peperangan’ juga kepada orang Arab. Apabila mereka hendak berperang, ada yang menggunakan kuda. Namun kuda tidak tahan dahaga. Kuda tidak seperti unta yang boleh tahan tidak minum air untuk waktu yang panjang.

Namun begitu, mereka tidak boleh membawa unta untuk berperang kerana unta pergerakannya perlahan. Maka, untuk mereka menggunakan kuda juga untuk peperangan, mereka kena melatih kuda itu untuk tahan lapar dan dahaga. Oleh itu mereka akan menahan kuda daripada makan dan minum untuk beberapa lama sebagai persediaan perang. Aktiviti ini dinamakan الصِّيَامُ. Oleh itu, apabila disebut الصِّيَامُ, orang-orang Arab akan terus teringat kepada peperangan.

Kenapa pembaca Al-Qur’an diingatkan kepada peperangan? Ini kerana para sahabat akan disuruh berperang nanti untuk mendapatkan kembali Tanah Haram dan Kaabah daripada orang kafir musyrik.

كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ

sepertimana yang telah difardhukan kepada orang-orang sebelum kamu

Ini adalah hukum awal berpuasa. Kita diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas ahli Kitab sebelum itu. Ahli Kitab telah diwajibkan juga berpuasa ke atas mereka. Namun mereka telah menukar syariat yang telah diberikan kepada mereka.

Orang Yahudi contohnya, telah menukar sebulan puasa kepada beberapa hari sahaja. Orang Kristian pula telah menukar puasa mereka ke bulan yang lain daripada bulan Ramadhan dan kemudiannya mereka telah menambah bilangan hari berpuasa itu. Kemudiannya, mereka pun tidak melakukan puasa juga akhirnya.

‘Orang-orang sebelum kamu’ juga termasuklah umat-umat dahulu, seperti umat Nabi Nuh عليه السلام dan umat-umat lain. Mereka juga diwajibkan puasa. Kita tidak pasti bagaimanakah cara puasa mereka – berapa lama, berapa hari, apakah mereka tidak boleh makan sahaja, tidak boleh minum sahaja – kita tidak pasti.

Namun disebutkan puasa juga telah diwajibkan kepada mereka supaya kita tahu bahawa bukan umat Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang diwajibkan puasa tetapi umat-umat terdahulu. Supaya senang hati kita, barulah kita tahu bahawa walaupun arahan yang diberikan kepada kita ini berat, tetapi kita tenangkan diri kerana umat-umat Islam dahulu pun sudah kena arahan yang sama juga, bukan kita sahaja.

Kalau kita meneruskan analogi puasa itu sebagai ‘ubat’, kita juga dapat manfaat dengan mengetahui bahawa ia telah diberikan kepada orang-orang yang terdahulu. Bayangkan seorang doktor menyuruh kita makan sejenis ubat. Ubat itu pula adalah ubat yang kuat. Tentulah kita akan tanya kepada doktor itu sama ada ia pernah digunakan sebelum ini.

Adakah pernah diberi kepada orang lain? Adakah ia berkesan kepada orang itu? Maka, Allah ‎ﷻ telah beri kita ketenangan fikiran dengan menyatakan bahawa ibadah puasa ini juga pernah diberikan kepada orang-orang terdahulu dan mereka telah berjaya melakukannya. Mereka juga telah mendapat manfaat daripadanya iaitu sebelum mereka meninggalkan agama mereka dan tidak melakukan puasa lagi.

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

mudah-mudahan kamu mendapat taqwa

Oleh itu, kita dapat tahu daripada ayat ini bahawa tujuan puasa diwajibkan adalah untuk menjadikan kita orang yang bertaqwa.

Tetapi, lihatlah kepada perkataan لَعَلَّكُمْ (mudah-mudahan, kamu) yang digunakan dalam ayat ini. Maksud ayat ini adalah ‘mudah-mudahan’. ‘Mudah-mudahan’ bermaksud sesuatu yang tidak pasti. Ia adalah satu harapan – harap-harap dengan menjalankan ibadah puasa ini, kita boleh mendapat ketaqwaan. Belum tentu dapat taqwa lagi.

Maka ayat ini bukanlah satu janji yang kalau berpuasa, akan dapat mencapai taqwa, tetapi ia adalah sebagai satu pengharapan. Satu pemberitahuan bahawa, untuk mendapat taqwa, hendaklah berpuasa seperti yang disuruh oleh Allah ‎ﷻ. Ini memberi kita satu motivasi kepada kita untuk berpuasa.

Perkataan تَتَّقُونَ (kamu bertaqwa) juga memberi isyarat dari segi bahasa bahawa ia adalah satu kebarangkalian kerana ia dalam fiil mudhari’ (present tense). Apabila digunakan fiil mudhari’, ia menunjukkan satu isyarat kebarangkalian. Kalau Al-Qur’an hendak menyatakan kepastian, fiil mardhi (past tense) akan digunakan.

Kenapakah ia sebagai satu kebarangkalian sahaja? Ini kerana berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak menghayati kepentingan puasa itu. Berapa ramai yang puasa tetapi mereka hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja? Berapa ramai yang berpuasa daripada makan dan minum tetapi mereka masih lagi melakukan dosa-dosa yang ditegah?

Mereka masih lagi berbalah, berbuat dosa dan sebagainya. Malah, ada yang berpuasa, tetapi mereka tidak salat pun. Adakah mereka yang sebegitu boleh mendapat taqwa? Tentulah tidak.

Namun, untuk mencapai taqwa, hendaklah menjalankan ibadah puasa itu dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kita berusaha untuk menghayatinya. Kalau tidak berpuasa, sudah tentu tidak akan mendapat tingkatan taqwa yang kita harap-harapkan.

Kalau doktor suruh kita makan ubat, dan kita tidak makan ubat itu dengan betul, tentunya kita tidak mendapat manfaat. Katakanlah doktor suruh kita makan ubat selama dua minggu, tiap-tiap hari makan tiga kali. Tetapi kita tidak makan tiap-tiap hari, kita cuma makan ikut suka kita sahaja. Kemudian apabila kita datang jumpa doktor dan mengadu kata penyakit kita tidak sembuh, agak-agak apa doktor itu akan cakap?

Tentu dia marah kita kerana tidak makan ubat mengikut sukatan dan arahan yang diberikan, bukan? Begitulah juga dengan puasa. Kita kena mengamalkannya dengan baik, dengan cara yang telah Allah ‎ﷻ tetapkan kepada kita.

Ayat sebelum ini tentang harta dan selepas ayat-ayat puasa ini, akan bertemu lagi tentang sumber pendapatan. Maka, apabila disebut tentang taqwa, salah satu taqwa yang kita perlu ada adalah dalam pengurusan harta dan sumber pendapatan. Kalau kita melakukan puasa, kita akan bertaqwa, lebih-lebih lagi dalam hal pengurusan harta.

Maksud taqwa

Maksud taqwa itu adalah amat luas sekali. Ia boleh disimpulkan sebegini: kita menjaga diri kita daripada mengecewakan diri kita dan Allah ‎ﷻ. Kita menjaga hukum yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita sedar Allah ‎ﷻ sedang memandang kita dan menilai apakah yang kita lakukan.

Kita sentiasa memikirkan apakah yang Allah ‎ﷻ kehendaki dalam keadaan itu. Sebagai contoh, ada makanan yang diberikan kepada kita, maka kalau kita seorang yang bertaqwa, kita akan memikirkan apakah hukum memakan makanan itu. Tidaklah kita terus makan sahaja.

Apabila berpuasa, kita akan merasa lapar. Tentu ada peperangan yang berlaku antara nafsu dan fizikal apabila kita berpuasa. Selalunya, apabila ada pertentangan antara fizikal dan nafsu, nafsu akan menang, bukan? Namun apabila kita berpuasa, iman yang akan menang daripada nafsu itu. Walaupun kita nampak makanan yang sedap-sedap dan air yang menyegarkan, iman kita akan tahan fizikal kita dan nafsu kita daripada makan.

Iman yang menang kali ini. Setiap hari kita akan menang dalam bulan Ramadhan. Apa yang akan terjadi kalau iman selalu menang? Iman akan jadi semakin kuat. Seperti juga kalau kita selalu menang dalam pertandingan sukan contohnya – ia akan memberi kekuatan dan keteguhan kepada semangat kita. Begitu jugalah apabila kita berpuasa.

Puasa sebagai latihan

Maka, puasa itu adalah satu latihan kepada iman kita. Apabila kita berlatih, selalunya kita akan berlatih dalam suasana yang mudah. Sebagai contoh, kalau askar, mereka akan berlatih menembak di tempat menembak sahaja – tidaklah tempat tembak itu akan tembak balik.

Ini dilakukan supaya mereka akan mendapat keyakinan dalam menembak setelah berlatih sekian lama. Begitu jugalah kalau kita berlatih dalam bulan puasa – syaitan yang membisikkan perkara buruk kepada kita diikat dalam bulan puasa supaya iman kita dapat selalu menang. Itulah rahmat yang Allah ‎ﷻ berikan kepada diri kita. Bayangkan – Allah ‎ﷻ beri kita 30 hari dalam setahun untuk melatih iman kita. Itu adalah satu peluang dan satu hadiah kepada kita.

Bayangkan kalau syaitan masih berkeliaran dan tidak diikat di bulan Ramadhan. Agaknya, kita tidak tahan puasa tiga hari pun. Sebab itu, kalau kita perasan, amat susah kalau kita puasa di luar daripada bulan Ramadhan.

Peralihan dan Sambutan

Surah Al-Baqarah ini ada berkait dengan Bani Israil. Banyak yang diperkatakan tentang mereka dalam surah ini dan kita pun telah membacanya dan membincangkannya dengan panjang lebar dari ayat ke-40 sampailah ayat ke-123.

Kita disuruh untuk melihat kepada umat Islam yang terdahulu sebelum kita. Ini kerana pada zaman mereka, merekalah umat Islam waktu itu. Mereka adalah umat pilihan pada waktu itu. Namun lihatlah bagaimana mereka telah menyalahgunakan kedudukan mereka dan telah tersalah langkah dalam kehidupan mereka.

Apabila mereka telah tidak layak lagi menjadi umat pilihan, kelebihan itu telah diambil daripada mereka dan diberikan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Ia seperti ‘peralihan kuasa’. Namun kali ini, peralihan daripada satu umat kepada umat yang lain. Umat Nabi Muhammad ﷺlah sekarang yang memegang tampuk ‘Islam’, bukan lagi umat Bani Israil.

Apabila sesuatu kerajaan itu mengambil alih kuasa, maka mereka akan mengadakan sambutan dan mereka akan ada satu hari khas untuk mengingati peralihan kuasa itu. Seperti juga di Malaysia ini, kita menyambut ‘Hari Kemerdekaan’ kita. Lalu apakah sambutan kita apabila kita mengambil alih daripada Bani Israil?

Allah ‎ﷻ telah beri kita Ramadhan sebagai bulan sambutan untuk kita meraikan peralihan tampuk umat Islam daripada Bani Israil kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, kita boleh lihat di sini, Ramadhan itu adalah bulan sambutan sebenarnya. Kalau Hari Merdeka, sehari sahaja.

Namun Allah ‎ﷻ beri kita sebulan penuh untuk meraikan peralihan ini kerana peralihan ini adalah satu perkara yang amat besar sekali. Ia layak diraikan selama sebulan.

Allahu a’lam. 

Soal Jawab Bersama Doktor: Talasemia

0

Soalan:
Apakah penyakit Talasemia?

Jawapan:
Talasemia adalah penyakit genetik sel darah merah. Pesakit talasemia tidak dapat menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dalam kuantiti yang mencukupi. Ini adalah kerana gen yang mengawal penghasilan hemoglobin telah terjejas. Hemoglobin adalah satu protein di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke seluruh tisu-tisu di dalam badan kita.
Talasemia adalah penyakit genetik atau keturunan, di mana anak mendapat gen talasemia daripada ibubapa. Ia bukan penyakit berjangkit , iaitu tidak boleh tersebar melalui darah, udara dan air, atau melalui sentuhan fizikal dan seksual dengan pesakit talasemia. Lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk mendapat penyakit ini.

Soalan:
Bagaimana mengenal pasti penyakit Talasemia?

Jawapan:
Talasemia adalah penyakit yang menyebabkan penghasilan hemoglobin mempunyai masalah. Ia kerana berlakunya gangguan pada kadar penghasilan protein globin. Sepatutnya untuk membentuk satu unit hemoglobin ia memerlukan 2 subunit globin alpha(α) dan 2 subunit globin beta(β) pada nisbah 1:1, gangguan pada penghasilan salah satu subunit globin akan menyebabkan 1 lagi subunit globin terhasil secara berlebihan. Globin yang berlebihan itu akan berkumpul dan membentuk gumpalan yang akan menyebabkan struktur sel darah merah tidak stabil. Ini akan menyebabkan sel darah merah mudah pecah dan bilangan sel darah merah akan berkurangan.

Soalan:
Oleh kerana penyakit Talasemia adalah penyakit genetik, apakah risiko yang perlu dielakkan oleh pesakit tersebut?

Jawapan:
Penyakit Talasemia adalah sejenis penyakit genetik yang boleh diwarisi turun menurun. Bagi mereka yang menjadi pembawa penyakit ini mereka sebaik-baiknya mengelak untuk mengahwini pasangan yang turut sama mempunyai penyakit ini kerana risiko anak yang bakal dilahirkan kelak mempunyai penyakit sama agak tinggi.

Soalan:
Apakah jenis-jenis penyakit Talasemia?
Jawapan:
Talasemia terbahagi kepada 2 jenis iaitu:

  •  β-talasemia dan,
  • α-talasemia

Beta(β) talasemia terbahagi kepada 2 jenis pula iaitu:

1) Beta(β) talasemia minor. Ia melibatkan kerosakan pada satu gene yang menghasilkan globin beta. Di dalam kes ini, pesakit mungkin tidak mempunyai simptom. Tetapi hasil pemeriksaan darah boleh mengenalpasti perkara tersebut.
2) Beta(β) talasemia major. Ia melibatkan kerosakan pada kedua-dua gene yang berfungsi untuk penghasilan globin beta. Untuk masalah jenis ini, pesakit akan mengalami kekurangan sel darah merah yang ketara. Pesakit memerlukan tranfusi darah yang berkala untuk memastikan sel darah merah di dalam badannya tidak terlalu rendah.

Soalan:
Apakah simptom-simptom penyakit Talasemia?

Jawapan:
Simptom selalunya hanya berlaku pada pesakit yang mengalami β talasemia major dan Haemoglobin H Disease sahaja:

• Muka pucat
• Mata yang kekuningan
• Perut yang membesar disebabkan organ limpa dan hati yang membesar (Splenomegaly dan hepatomegaly)
• Perubahan pada tulang seperti dahi yang berbonggol (Frontal bossing) dan tulang gigi yang tidak tumbuh sekata. Ini disebabkan sumsum tulang dipaksa menghasilkan sel darah merah yang lebih menyebabkan struktur tulang menjadi tidak normal.
• Simptom yang melibatkan kandungan zat besi dalam badan yang berlebihan.

Soalan:
Apakah rawatan penyakit Talasemia?

Jawapan:
Transfusi darah yang berkala untuk mengekalkan bacaan Hb diparas normal berserta terapi pembuangan zat besi(Iron chelation therapy) merupakan rawatan utama bagi pesakit talasemia.

1) Transfusi Darah Berkala
Transfusi darah perlulah dilakukan bila bacaan Hb rendah iaitu kurang daripada 7g/dl. Jika bacaan Hb melebihi daripada 7g/dl tetapi mempunyai masalah seperti tulang dahi yang berbonggol, hati dan organ limpa yang besar, pesakit perlulah diberi transfuis darah juga. Selalunya pesakit perlu dimasukkan darah sebulan sekali kerana dalam seminggu bacaan Hb akan berkurang 1g/dl.

2) Terapi Pembuangan Zat besi (Iron Chelation Therapy)
Terapi ini dibuat untuk mengelakkan bacaan zat besi yang tinggi di dalam badan. Ini kerana ia boleh berkumpul di dalam sesetengah organ ketika bacaannya terlampau tinggi terutamanya pada kalenjar endokrin.
Contoh kalenjar endokrin adalah pada kalenjar pituitari yang menghasilkan hormon pembesaran, kalenjar tiroid yang menghasilkan hormon tiroid dan kalenjar pankreas yang menghasilkan hormon insulin. Ia boleh menyebabkan organ tersebut rosak apabila zat besi terkumpul.
Ubat ini berfungsi dengan melekat pada zat besi dan membuatkan ia boleh disingkirkan melalui air kencing.
Ubat yang selalu digunakan adalah Desferrioxamine atau Deferiprone.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-181 dan Ke-182

0

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-181

Kalau tidak dijaga isu-isu harta, boleh menyebabkan perpecahan antara keluarga. Sebab itu Allah ‎ﷻ beri penekanan dalam hal ini.

Wasiat tentunya cuma boleh jalan kalau ada orang dengar wasiat yang disampaikan oleh si mati itu. Selepas diberitahu tentang wasiat, perlaksanaan wasiat itu adalah atas budi bicara orang yang mendengarnya. Tetapi Allah ‎ﷻ sudah beritahu cara dan hukum kepada mereka yang mendengar wasiat itu. Allah ‎ﷻ memberitahu yang berdosa kalau ubahsuai wasiat itu dan dosanya ke atas orang yang ubahsuai.

فَمَنۢ بَدَّلَهُ ۥ بَعدَمَا سَمِعَهُ ۥ فَإِنَّمَآ إِثمُهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah dia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

فَمَنْ بَدَّلَهُ بَعْدَمَا سَمِعَهُ

Maka barangsiapa yang mengubah setelah dia mendengar wasiat itu;

Ayat ini tentang mereka yang mendengar wasiat itu, tetapi telah mengubah wasiat yang telah ditetapkan oleh yang memberi wasiat itu.

فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ

maka dosa itu adalah hanya kepada orang yang mengubah wasiat itu;

Hakim membuat keputusan berdasarkan apakah yang diberitahu oleh saksi. Kalau pendengar wasiat yang menipu, hakim tidak berdosa, yang berdosa adalah orang yang menipu itu.

Mereka yang mengubah wasiat itu akan dibalas kesalahan mereka itu di akhirat kelak.

إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar;

Allah ‎ﷻ mendengar segala perancangan jahat manusia. Jangan sangka Allah ‎ﷻ tidak tahu apa yang dilakukan oleh manusia.

عَلِيمٌ

dan Maha Mengetahui;

Allah ‎ﷻ mengetahui siapa yang menukar wasiat itu. Manusia dan hakim mungkin tidak tahu, tetapi Allah ‎ﷻ Maha Mengetahui.

Tafsir Ayat Ke-182

فَمَن خَافَ مِن مُّوصٍ جَنَفًا أَو إِثمًا فَأَصلَحَ بَينَہُم فَلَآ إِثمَ عَلَيهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu dia mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka tidaklah dia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

فَمَنْ خَافَ مِنْ مُّوصٍ

Barangsiapa yang takut terhadap orang yang hendak memberi wasiat itu;

Ini berkenaan orang yang memberi wasiat, iaitu orang yang sudah hampir mati itu.

جَنَفًا

tidak adil;

Mungkin orang yang memberi wasiat itu tidak adil, contohnya ada ayah yang tidak mengaku anak dia sampai dia wasiat supaya anak dia tidak dapat apa-apa daripada hartanya. Ini tidak boleh kerana anak kandung memang sudah layak menerima harta pusaka dan tidak boleh dihalang daripada menerimanya. Anak itu akan dapat juga bahagian faraid.

Atau mungkin pemberi wasiat itu hendak memberikan harta dengan secara tidak adil – dia hendak beri salah seorang lebih daripada orang lain contohnya.

أَوْ إِثْمًا

atau orang itu memang hendak buat dosa;

Mungkin ada yang hendak beri wasiat itu jahil. Jadi, dia buat wasiat dengan perkara yang salah. Contohnya, dia mewasiatkan sebahagian daripada hartanya untuk jalan keburukan – contohnya dia mewasiatkan belanja arak kepada orang lain apabila dia sudah mati nanti.

Atau, dia wasiatkan lebih dari 1/3 dari hartanya. Ini tidak boleh kerana telah melebihi had.

فَأَصْلَحَ بَيْنَهُمْ

maka dia yang memperbaiki kesilapan itu di antara mereka;

Jika ada yang tahu bahawa orang yang berwasiat itu tidak adil atau hendak berbuat dosa, maka orang itu kena cari penyelesaian demi kebaikan penerima pusaka yang sebenar.

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

maka tidak berdosalah ke atasnya;

Orang yang memperbaiki wasiat itu tidaklah bersalah. Memang itu yang dia patut lakukan.

إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih kepada makhluk.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ itu Maha Menerima Ampun dari hamba-Nya. Mereka yang telah diterima ampun mereka tidak akan diazab di akhirat kelak.

Allahu a’lam. 

Popular

Iklan

Iklan