Utama Blog Halaman 57

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-189

0

Tafsir Ayat Ke-189

Ayat ke-189 hingga ke-207 membincangkan tentang Jihad, Infaq dan Haji. Ayat ke-189 ini ada sangkut paut dengan puasa juga kerana melibatkan anak bulan.

۞ يَسأَلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِيَ مَواقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ ۗ وَلَيسَ البِرُّ بِأَن تَأتُوا البُيوتَ مِن ظُهورِها وَلٰكِنَّ البِرَّ مَنِ اتَّقىٰ ۗ وَأتُوا البُيوتَ مِن أَبوابِها ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَهِلَّةِ

Mereka bertanya kamu tentang anak bulan;

Ahillah bermaksud 12 anak bulan dan kalau Hilal hanya satu bulan saja. Apabila Anak Bulan sudah kelihatan, itu menandakan sudah masuk bulan yang baru. Apabila ayat tentang bulan Ramadhan dikeluarkan sebelum ini, soalan yang ditanya oleh para sahabat رضي الله عنهم adalah tentang anak bulan.

Kerana puasa Ramadhan itu dijalankan selama sebulan dan telah disebutkan dalam ayat yang lalu bahawa apabila nampak anak bulan, maka mulakan puasa. Maka mereka bertanyalah tentang anak bulan itu.

Satu lagi tafsir tentang potongan ayat ini: Orang Arab Mekah bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ kenapa bulan tidak sembah matahari kerana bulan kecil dan matahari itu besar? Bulan itu sudahlah kecil apabila ia keluar di langit, kemudian lama-lama semakin mengecil lagi. Mereka sengaja bertanya. Benda yang tidak perlu diketahui pun tetapi mereka bertanya juga.

Soalan mereka itu tidak dijawab dengan tepat oleh Allah ‎ﷻ dalam potongan ayat seterusnya kerana itu bukanlah soalan yang cerdik. Allah ‎ﷻ hanya jawab apa yang penting sahaja. Ini juga mengajar kepada kita bahawa jika ada soalan yang tidak patut maka hendaklah kita jawab dengan kebijaksanaan kerana adalah menjadi perkara biasa, kadang-kadang yang bertanya itu jahil dan tidak tahu cara bertanya atau tanya benda yang tidak perlu.

Kita hendaklah memberi jawapan yang menguntungkan kepada orang jahil yang bertanya itu. Sebab itu kalau di negara yang maju syariat, kalau bertanya kepada mufti, kena ajukan soalan dalam tulisan supaya jelas apakah yang hendak ditanya. Dan jawapan akan diberikan oleh lebih daripada seorang mufti dan dalam bentuk tulisan juga supaya jelas apakah jawapannya.

قُلْ هِيَ مَوَاقِيتُ لِلنَّاسِ وَالْحَجِّ

Katakanlah: anak bulan itu untuk penentuan masa kepada manusia dan mencari bulan haji;

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Anak Bulan ini memberi faedah kepada manusia untuk menentukan waktu yang boleh mereka gunakan dalam kehidupan mereka seharian. Macam kita sekarang ada kalender. Dengan Anak Bulan, maka senanglah untuk mereka membuat perkiraan ataupun membuat perjanjian untuk berjumpa dan sebagainya.

Contohnya mereka kata mereka akan datang hari ketiga selepas Anak Bulan Muharram keluar. Ini adalah kegunaan dalam kehidupan mereka yang tidak melibatkan ibadat. Macam kita gantung kalendar di dinding, Allah ‎ﷻ gantung bulan di langit untuk manusia menentukan masa. Boleh digunakan untuk menentukan masa untuk berniaga, bermusafir dan sebagainya.

Selain daripada kegunaan harian, Anak Bulan ini juga terlibat dengan perkara ibadat di mana ia digunakan untuk menentukan bilakah musim Haji. Begitu juga ketetapan bulan Ramadhan dikira dengan datangnya anak bulan. Dalam banyak-banyak masa untuk kita jaga, Allah ‎ﷻ menyebut satu yang penting – bulan Haji. Kita mungkin sangka Allah ‎ﷻ hendak sebut tentang bulan puasa, sebab baru habis tentang bulan puasa sebelum ini, tetapi Allah ‎ﷻ sebut tentang Ibadah Haji pula.

Allah ‎ﷻ sebut Haji kerana ada sebab. Waktu itu Islam masih awal lagi di Madinah. Mekah masih di tangan Musyrikin Mekah. Sahabat tertanya-tanya bagaimana mereka hendak pergi mengerjakan Haji kerana Musyrikin Mekah tidak akan membenarkan mereka. Tambahan pula Kaabah waktu itu dipenuhi dengan berhala lagi, maka takkan hendak tawaf keliling Kaabah yang penuh dengan berhala pula.

Sebenarnya Allah‎ ﷻ sedang memberi isyarat bahawa mereka perlu memfokuskan usaha mereka untuk buat Haji. Untuk melakukan ibadah Haji, mereka perlu membersihkan Kaabah daripada berhala. Untuk membersihkan Kaabah itu, bermaksud mereka perlu mengambil alih Mekah. Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengisyaratkan kepada para sahabat رضي الله عنهم untuk bersedia untuk berperang dengan Musyrikin Mekah.

Itulah misi yang telah diletakkan oleh Allah ‎ﷻ. Setiap kali mereka melihat kepada bulan, mereka akan teringat tugas mereka untuk membersihkan Kaabah kerana bulan mengingatkan kepada Haji seperti yang disebut dalam ayat ini, dan Haji mengingatkan tugas mereka untuk mengambil alih Mekah dan Kaabah.

وَلَيْسَ الْبِرُّ بِأَنْ تَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ ظُهُورِهَا

dan bukanlah kebaikan itu dengan cara kamu masuk rumah-rumah kamu mengikut pintu belakang;

Ini adalah adat Arab Jahiliyyah dahulu, iaitu apabila mereka selesai menunaikan Haji, mereka akan masuk ke dalam rumah mereka melalui pintu belakang. Itu adalah rekaan amalan mereka sahaja. Ini kerana bila jahil ilmu wahyu, memang akan direka amalan yang pelik-pelik.

Orang kita pula, bila hendak pergi Haji, kena laungkan azan masa orang yang hendak pergi Haji itu turun tangga. Itu adalah rekaan syariat kerana tidak ada sunnah dari Nabi ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم. Sama sahaja orang kita macam Musyrikin Mekah yang sama-sama jahil wahyu. Mereka reka syariat, kita pun hendak reka syariat juga, tidak mahu kalah.

Oleh itu, dalam ayat ini terdapat teguran kepada orang Arab Mekah yang reka amalan sendiri. Apabila mereka keluar mengerjakan Haji, mereka akan keluar dari pintu depan rumah. Tetapi apabila mereka pulang dari mengerjakan Haji, mereka akan buat pintu baru dari belakang kerana mereka kata semasa mereka keluar untuk mengerjakan Haji, mereka waktu itu masih berdosa dan pintu itu adalah ‘pintu dosa’.

Apabila sudah selesai Haji, mereka tidak boleh masuk ikut pintu itu lagi kerana mereka sudah suci daripada dosa. Maka kena masuk pintu lain dari belakang. Bukan mereka masuk dari pintu dapur pun, tetapi mereka akan tebuk pintu baru. Sudah jadi satu kerja pula hendak tebuk pintu rumah yang baru.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu dalam ayat ini bahawa itu bukanlah syariat agama malahan ia adalah sesuatu yang menyusahkan diri sendiri sahaja. Ini juga sepatutnya sudah mengajar kita bahawa bid’ah dalam ibadat tidak dibenarkan. Bukan boleh dapat pahala pun kalau melakukan bid’ah, malahan akan mendapat dosa dan kemurkaan daripada Allah ‎ﷻ.

Tadi tentang orang Arab Mekah, dan orang Madinah sebelum mereka masuk Islam, mereka pun ada mengamalkan perkara khurafat juga. Mereka pun menganggap Kaabah adalah sesuatu yang mulia kerana orang Arab memang pergi mengerjakan haji ke Kaabah kerana ada saki baki ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام.

Kita tahu orang Madinah pernah pergi mengerjakan Haji kerana di situlah mereka telah berjumpa Nabi Muhammad ﷺ buat pertama kali. Tetapi sudah ada adat-adat tambahan dalam agama mereka. Contohnya, apabila mereka telah memulakan perjalanan mengerjakan Haji ke Mekah, mereka tidak boleh pulang ke rumah langsung sehinggalah mereka habis mengerjakan ibadat itu.

Tetapi katakanlah mereka terpaksa juga patah balik kerana mereka tertinggal sesuatu yang penting, maka mereka akan masuk ke rumah ikut pintu belakang atau ikut tingkap. Sebab mereka kata ia adalah petanda buruk kalau masuk rumah ikut pintu hadapan. Ini ambil dari mana, mereka tidak dapat kenalpasti kerana agama telah bercampur baur dengan fahaman yang lain. Mereka sudah tidak pasti ia datang dari mana.

Tetapi mereka ikut juga sebab sudah lama amalkan. Macam orang kita jugalah, tidak tahu sesuatu amalan tambahan itu datang dari mana, tetapi mereka amalkan juga sebab sudah diamalkan dari datuk nenek dahulu. Mereka tidak bertanya pun sama ada ia betul atau tidak. Mereka sudah tidak fikir pun sama ada ia adalah kepercayaan karut atau tidak.

Allah ‎ﷻ hendak beritahu dalam ayat ini, bahawa perbuatan mereka itu bukanlah kebaikan. Kebaikan telah disenaraikan dalam ayat ke-177 sebelum ini dalam Ayatul Birr.

Ini terjadi kerana agama telah bercampur baur dengan amalan rekaan. Adat-adat lama telah bercampur dengan agama. Kita boleh tengok dalam amalan masyarakat kita juga. Kalau kenduri kahwin, kita sudah tidak tahu itu adalah majlis orang Islam, atau Hindu atau Kristian kerana sudah bercampur semua sekali. Kalau kubur pun kita tengok sudah jadi kubur Hindu pula sekarang.

Rekaan lain, kalau pergi Umrah atau Haji, buat Salat Hajat berjama’ah dan Majlis Doa Selamat di rumah supaya perjalanan selamat pergi dan selamat kembali. Itu semua adalah perbuatan mencipta syariat sendiri. Tidak pernah disuruh dan diamalkan oleh ulama’ salafussoleh.

وَلَٰكِنَّ الْبِرَّ مَنِ اتَّقَىٰ

Akan tetapi kebajikan itu adalah bagi sesiapa yang bertaqwa;

Iaitu yang mahu mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi-Nya. Iaitu mengikut betul-betul. Maka, hendaklah belajar supaya kita tahu manakah yang betul.

وَأْتُوا الْبُيُوتَ مِنْ أَبْوَابِهَا

Dan masuklah dari pintu-pintu masuk biasa;

Ini adalah kata-kata pepatah Arab yang bermaksud buat perkara dengan cara yang betul. Apabila dikatakan masuk ikut pintu biasa, maknanya kena buat dengan cara yang betul. Maksudnya selepas ini, kena buat amalan ibadah sebagaimana yang diajar oleh Nabi. Ikutlah cara yang betul.

Lihatlah apa yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Jangan memandai hendak buat benda baru. Kalau ada amalan yang kita sudah biasa buat, kenalah periksa balik sama ada ia ada dalam Islam atau tidak. Antaranya, kita sudah selalu sangat buat Majlis Tahlil untuk menyedekahkan pahala kepada orang yang sudah mati. Soalan yang kita kena tanya, adakah itu ada dalam Islam atau tidak? Jawapannya, tidak ada.

وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah, mudah-mudahan kamu mendapat kejayaan.

Masih lagi disebut tentang taqwa. Banyak ayat-ayat dari Surah Baqarah ini yang menyebut tentang taqwa. Jadi harap kita sudah semakin faham tentang apakah maksud taqwa itu.

Orang yang bertaqwalah yang sebenar-benar mendapat kejayaan.

Allahu a’lam.

Talbis Iblis: Bab Falsafah (Bahagian 3/Akhir)

0

Sambungan Bab Falsafah (Bahagian Akhir)

Maka amat malang sekali kalau ada orang yang membawa Al-Qur’an dan hadith kerana hendak mencari-cari kesalahan di dalamnya. Lebih malang lagi kalau mereka itu sudah nampak kebenaran dalam wahyu, tetapi terpaksa menolak kerana keadaan semasa. Mungkin kerana dipaksa, mungkin kerana tekanan masyarakat.

Sebagai contoh, ada yang dipaksa mencari dalil oleh orang atasan untuk membenarkan amalan-amalan tertentu. Jadi orang alim itu tahu yang perbuatan itu salah dan berdosa, tetapi oleh kerana orang atasan yang suruh, terpaksalah dia cari. Maka dikorek segala kitab untuk mencari alasan untuk membenarkan.

Ini adalah kes di mana orang alim tetapi dipermainkan oleh orang jahil. Ini adalah satu penyakit yang kita boleh namakan: ABS (Asal boss senang). Dibuat apa sahaja asalkan orang atasannya suka dan terus beri kedudukan atau terus beri gaji.

Janganlah begitu. Kita kena jujur dengan diri sendiri. Kena ada sifat inaabah dalam diri (hendak kepada kebenaran). Kena simpan niat ini. Maka kena terima apa sahaja yang diajar oleh Al-Qur’an walaupun tidak kena dengan orang atau dengan diri sendiri.

Mungkin kita sudah biasa dengan sesuatu amalan yang sudah lama dalam masyarakat. Atau fahaman yang kita telah pegang sekian lama. Tiba-tiba bila kita belajar tafsir Al-Qur’an, maka barulah kita tahu bahawa amalan atau fahaman kita yang kita pegang selama ini (bukan kita sahaja, tetapi dengan masyarakat sekali) adalah salah, maka kita kena terimalah. Kenalah buang fahaman salah itu.

Jangan pula buang Al-Qur’an. Kita kena ikut Al-Qur’an, bukannya Al-Qur’an ikut kita.

Maka begitulah yang sering terjadi kalau belajar tafsir Al-Qur’an. Banyak kesalahan amalan dan fahaman yang dibongkar oleh pembelajaran tafsir Al-Qur’an. Maka bila mula belajar agama, kena bersedia untuk tolak dan buang fahaman lama. Jangan lagi hendak guna akal untuk membenarkan amalan salah.

Kena pegang ajaran wahyu dengan kemas. Pakai yang diajar sahaja, dan jangan tokok tambah. Jangan buat bid’ah dalam fahaman. Jangan reka fahaman baru pula. Kerana itulah kena belajar apakah fahaman salafussoleh (orang-orang alim zaman dahulu). Pegang apakah ajaran mereka dan jangan reka fahaman baru kerana fahaman baru ditakuti tidak benar.

🔏 Sekian bab kesesatan fahaman falsafah.

Asma’ul Husna: Bab 2 Keutamaan Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat-Nya (Bahagian 3)

0

Bab 2: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat-Nya (Sambungan)

Sesungguhnya mengenal Allah ‎ﷻ, mengenal nama-nama-Nya yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia merupakan cita-cita tertinggi manusia. Ia merupakan ilmu yang paling mulia dan paling tinggi serta merupakan puncak ilmu yang manusia selalu berlumba-lumba meraihnya dan hati yang baik selalu rindu kepadanya. Dengannya, manusia boleh menggapai kehidupan yang tenteram, kerana kehidupan manusia ini tergantung kepada kehidupan hati dan ruhnya.

[Oleh kerana Allah ‎ﷻ itu paling utama, maka ilmu mengenai-Nya naik menjadi ilmu yang paling utama. Maka ia sepatutnya menaikkan semangat kita untuk belajar Asma’ul Husna ini kerana kita akan kenal Allah ‎ﷻ dengan lebih baik lagi. Maka kenalah ada cita-cita untuk belajar tentang Asma’ul Husna ini. Kecintaan kita kepada Allah ‎ﷻ pun akan bertambah kerana ‘kalau tak kenal, maka tak cinta’. Bila sudah kenal, tentulah semakin cinta.]

Tidak ada kebaikan pada kehidupan hati, melainkan dengan mengenali penciptanya, mencintai dan beribadah kepada-Nya sahaja, bertaubat, berzikir dan selalu mendekatkan diri kepada-Nya. Barangsiapa yang kehilangan kehidupan seperti ini, maka dia telah kehilangan semua kebaikan.

Seandainya hal itu diganti dengan semua kenikmatan dunia tidak akan mungkin boleh terganti. Bahkan dunia dan seisinya tidak boleh dibandingkan dengan kehidupan tersebut. Segala sesuatu yang terlewatkan masih ada penggantinya, tetapi jika dia kehilangan Allah ‎ﷻ, tidak ada sesuatu pun yang boleh menggantikannya.

[Maknanya, kalau tidak kenal Allah ‎ﷻ (melalui mempelajar Asma’ul Husna ini), seolah-olah sia-sialah hidup.]

Gejala yang aneh dari kebanyakan manusia, “Bagaimana waktu terus berlalu, usia terus berjalan, sedangkan hati tertutup (dari mengenali Allah ‎ﷻ), tidak mencium sedikit pun baunya, dan dia keluar dari dunia sebagaimana dia masuk ke dalamnya, tidak merasakan kehidupan yang sejahtera. Bahkan hidupnya di dunia seperti kehidupan binatang ternak, kemudian dia berpindah ke alam kerugian. Hidupnya di dunia merana, kematiannya terseksa, dan hari akhiratnya sengsara.

[Penulis membandingkan manusia yang tidak kenal Allah ‎ﷻ seperti binatang kerana tidak mempelajari perkara yang perlu dipelajari. Maka bila tidak kenal Allah ‎ﷻ, maka seperti binatang yang tidak ada tanggungjawab mengenal Allah‎ ﷻ dan mempelajari tentang Allah‎ ﷻ.]

Dia keluar dari dunia ini dalam keadaan tidak merasakan kebahagiaan sedikit pun, dan dia meninggalkan dunia ini dalam keadaan terhalang daripada kenikmatannya, kerana kenikmatan dan kelazatan serta kebahagiaan yang sempurna hanya ada pada ma’rifatullah (mengenal Allah ‎ﷻ), bertauhid, dekat dan rindu kepada perjumpamaan dengan Rabbnya.

Sedangkan hidup yang paling sengsara adalah kehidupan hati yang tercerai berai, jiwa yang terobek-robek, yang tidak memiliki tujuan yang benar serta jalan yang jelas hingga dia boleh menuju kepadanya.

[Ini adalah orang yang amat malang sekali kerana tidak kenal Allah ‎ﷻ. Dia tidak berusaha untuk belajar Asma’ul Husna. Maka dia tidak merasa kemanisan beragama kerana tidak kenal Allah ‎ﷻ sama sekali. Dia kenal begitu-begitu sahaja tanpa mendalam. ]

Jalannya bercabang, banyak bengkoknya, di setiap jalan terdapat onak dan duri, dia pun kebingungan di atas muka bumi, tidak mengetahui ke mana dia harus melangkah.

Seandainya berpindah, dia tidak akan mampu, dan hatinya tidak akan mendapatkan ketenangan, ketenteraman, tidak ada yang dapat menyejukkan pandangan matanya hingga dia menuju kepada sesembahan, Rabb dan penciptanya yang tidak ada sekutu bagi-Nya.

[Hati orang yang tidak kenal Allah ‎ﷻ dengan sebenar-benarnya akan keluh kesah kerana dia tidak meletakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ. Mana mungkin dia boleh letakkan pengharapan kepada Allah ‎ﷻ kalau dia tidak kenal Allah ‎ﷻ?

Sebagai contoh, dia kehilangan kerja. Adakah dia yakin dengan sebenar-benarnya yakin yang Allah ‎ﷻlah yang memberikan rezeki kepada makhluk?

Kalau dia ada masalah pula, adakah dia boleh bertawakal kepada Allah ‎ﷻ yang boleh menyelesaikan segala masalahnya?]

Dia pun selalu memerlukan pertolongan-Nya setiap saat. Sebagaimana yang dikatakan oleh seorang penyair:

Palingkan hati ke mana engkau suka dari cinta

➿ Tidaklah cinta itu akan berpaling melainkan pada cinta pertama

➿ Berapa banyak rumah di atas bumi ini yang ditempati oleh seorang anak manusia

➿ Akan tetapi, kerinduannya selama-lamanya pada rumahnya pertama

[Adakah hatinya sentiasa mendambakan Allah ‎ﷻ? Adakah dia meletakkan hatinya sentiasa kepada Allah ‎ﷻ? Adakah dia dapat sedar yang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan segala apa yang dia lakukan?

Ini dapat diperolehi apabila sudah belajar sifat-sifat Allah ‎ﷻ dan menyakininya.]

Barangsiapa yang bersemangat untuk menjadikan tujuan utamanya hanya satu saja, iaitu Allah ‎ﷻ dan langkah satu-satunya adalah keredhaan-Nya, maka dia akan meraih puncak harapannya dan menggapai semua bentuk kebahagiaan.

Akan tetapi, kebanyakan manusia hidupnya jauh dari harapan ini, sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian salaf, “Sungguh merugi, orang yang hidup di dunia kemudian keluar darinya, tetapi tidak merasakan kelazatan di dalamnya.”

Kemudian dia ditanya, “Apa kelazatan di dalamnya?’ Dia berkata, “Mengenal Allah, mencintai, selalu dekat dan rindu kepada-Nya.”

[Keindahan dan kelazatan dunia dapat dicapai dengan mengenal Allah ‎ﷻ. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah رحمه الله pernah berkata lebih kurang begini maksudnya: tidak akan masuk ke syurga orang yang tidak merasa syurga dunia.

Salah satu syurga dunia adalah mengenal Allah ‎ﷻ]

Mengenal Allah‎ ﷻ, mencintai dan selalu rindu kepada-Nya merupakan jalan keselamatan dan keberuntungan bagi para pejalan serta pencarinya.

“Berjalan menuju kepada Allah ‎ﷻ melalui jalan nama dan sifat-Nya adalah perkara yang luar biasa. Orang yang melakukannya telah mendapatkan kebahagiaan, meski dia hanya berbaring di atas pembaringan tanpa lelah dan letih.”

Dia senantiasa naik ke darjat yang lebih tinggi dan terus berjalan di jalan ini hingga tingkat yang paling tinggi.

[Perjalanan mengenal Allah ‎ﷻ adalah perjalanan yang indah. Ia tidak melelahkan malah memberi kekuatan kepada insan.

Maka jalannya adalah dengan belajar Asma’ul Husna]

BAB 13: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Menyapu Muka Selepas Salat

0

Telah menjadi amalan lumrah yang diamalkan oleh orang Islam nusantara ialah mereka akan mengusap wajah mereka dan membaca zikir yang tertentu seusai mengucap salam (salat). Adakah dalil yang menyokong amalan ini dan bagaimana status dalil yang disandarkan kepada amalan ini? Maka, pada kali ini kita akan menelusuri dalil-dalil yang menjadi sandaran mereka.

Hadith pertama:

كان إذا صلى مسح بيده اليمنى على رأسه و يقول: بسم الله الذي لا إله غيره الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عني الهم و الحزن ( – ” كان إذا صلى مسح بيده اليمنى على رأسه و يقول : بسم الله الذي لا إله غيره الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الهم و الحزن ” .

قال الألباني في ” السلسلة الضعيفة و الموضوعة ” ( 2 / 114 ) :

ضعيف جدا .

رواه الطبراني في ” الأوسط ” ( ص 451 – زوائده نسخة الحرم المكي) و الخطيب ( 12 / 480 ) عن كثير بن سليم أبي سلمة سمعت أنسا به . قلت : وهذا سند ضعيف جدا من أجل كثير هذا ، قال البخاري و أبو حاتم : ” منكر الحديث “و قال النسائي و الأزدي : ” متروك ” . و ضعفه غيرهم . و الحديث أورده السيوطي في ” الجامع ” عن الخطيب و لم يتعقبه الشارح بشيء . و قد وجدت له طريقا آخر ،رواه ابن السني ( رقم 110 ) و أبو نعيم في ” الحلية ” ( 2 / 301 ) عن سلامة عنزيد العمي عن معاوية بن قرة عن أنس . و هذا موضوع ، سلامة هو الطويل كذاب .

سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة وأثرها السيء في الأمة… للألباني/المجلد الثاني:حديث رقم(660).)

Terjemahan:

“Adalah Rasulullah ﷺ apabila selesai salatnya, baginda ﷺ menyapu dahinya dengan telapak tangan kanannya kemudian baginda berkata: “Dengan nama Allah ﷻ yang tiadalah Tuhan melainkan Allah ﷻ Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Ya Allah, hindarkan daripadaku kedukaan dan kesedihan.“

Berkata Syeikh al-Albani رحمه الله di dalam Silsilah al-Dha’ifah (114/2): Terlalu Lemah (Dha’if Jiddan).

HR al-Imam at-Thobrani رحمه الله di dalam “al-Awsot“ (mukasurat 451 ~ Edisi Makkah al-Mukarramah ) dan juga oleh al-Imam al-Khotib (12/480) daripada Katsir Bin Salim Abi Salamah. Katsir inilah yang menjadi penyebab hadith ini berstatus terlalu lemah.

Al-Imam al-Bukhari رحمه الله dan al-Imam Abu Hatim رحمه الله menuduh Katsir ini sebagai seorang perawi yang mungkar hadith. Al-Imam an-Nasaie رحمه الله dan al-Imam al-Uzdi رحمه الله menuduh Katsir ini sebagai seorang yang matruk. Katsir ini turut sama dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menyebabkan kita tidak dapat mempercayai kata-katanya. Hadith seperti ini turut sama diriwayatkan oleh al-Imam as-Suyuthi رحمه الله di dalam “al-Jaami“ daripada al-Imam al-Khatib رحمه الله. Diriwayatkan juga oleh al-Imam Ibnu Sunni رحمه الله (No. 110) dan juga al-Imam Abu Nu’aim رحمه الله di dalam “Hulliyah al-Awliya“ ( 2 / 301 ) yang bersumberkan daripada Salamah daripada Zaid al-‘Ammi daripada Mu’awiyah Bin Qarah daripada Anas. Salamah ini pula dituduh sebagai seorang yang sentiasa berdusta.

Lihat: Silsilah al-Ahadith adh-Dha’ifah Wal Maudhu’ah oleh al-‘Allamah Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani رحمه الله (Hadith no.660)

Hadith Kedua:

1059 – ” كان إذا قضى صلاته مسح جبهته بكفه اليمنى ثم أمرها على وجهه حتى يأتي بها على لحيته و يقول : بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب و الشهادة الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الغم و الحزن و الهم ، اللهم بحمدك انصرفت ، و بذنبي اعترفت ، أعوذ لك من شر ما اقترفت ، و أعوذ بك من جهد بلاء الدنيا ، و من عذاب الآخرة ” .

قال الألباني في ” السلسلة الضعيفة و الموضوعة ” ( 3/172 ) : موضوع

Terjemahan:

“Adalah Rasulullah ﷺ apabila selesai salatnya, baginda menyapu dahinya dengan telapak tangan kanannya, kemudian melalukannya ke atas mukanya sampai ke janggutnya, kemudian berdoa: “Dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Allah melainkan Dia yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan nyata, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah, hindarkan daripadaku kegusaran, kedukaan dan kesedihan. Ya Allah Ya Tuhanku, dengan memuji-Mu aku beredar, dengan dosaku aku mengakui. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah aku lakukan. Dan aku juga berlindung dengan-Mu daripada beban bala dunia dan azab akhirat.“ (HR Imam Abu Nu’aim رحمه الله) 

Komentar daripada Syeikh al-Albani di dalam Silsilah al-Dha’ifah hadith no.1059:

Status hadith ini ialah palsu (Maudhu’).

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Abu Nu’aim رحمه الله  di dalam “Akhbar al-Asbahan“ (2/104) daripada Daud bin al-Muhabbir, pengarang kitab “al-‘Aql “ dan beliaulah yang dituduh sebagai “seorang perawi yang suka berdusta“. Tuduhan ini telah dinyatakan oleh al-Imam adz-Dzahabi رحمه الله, al-Imam Ibnu Hibban رحمه الله, al-Imam as-Suyuthi رحمه الله, al-Imam al-Munawi رحمه الله dan juga asy-Syeikh al-Albani رحمه الله.

Mengapa majoriti umat Islam nusantara beramal dengan amalan menyapu muka selepas salat?

Jawapannya adalah kerana ia berada di dalam kitab kuning dan kitab-kitab mazhab.

Berikut adalah petikan daripada beberapa kitab berkenaan isu ini:

1- Kitab Munyatul Musholli karya Syaikh Daud Fathoni

“…adapun sunat yang dikerjakan selepas daripada salat, maka adalah Nabi ﷺ apabila selesai daripada salat menyapu dengan tangannya di atas kepalanya dan dibacanya: “Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kebingungan (stress) dan kedukaan

( بسم الله الذي لا إله إلا هو الرحمن الرحيم. اللهم اذهب عني الهم و الحزن ).”

(Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni yang menyebut dalam kitabnya “Munyatul Musholli” halaman 18)

2- Berkata Imam Nawawi رحمه الله di dalam Kitab al-Azkar:

    وروينا في كتاب ابن السني ، عن أنس رضي الله عنه ، قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا قضى صلاته مسح جبهته بيده اليمنى ، ثم قال : أشهد أن لا إله إلا الله الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الهم والحزن

“Dan aku meriwayatkan di dalam kitab Ibn al-Sunni daripada Anas رضي الله عنه berkata: Adanya Rasulullah ﷺ ketika selesai salatnya, baginda mengusap dahinya dengan tangannya yang kanan lalu berdoa: “Aku bersaksi bahawasanya tidak ada tuhan kecuali Dia Zat Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Ya Allah hilangkanlah daripadaku kesusahan dan kesedihan” (al-Azkar, 69).

3- Di dalam “Bughyatul Mustarsyidin“, kitab masyhur himpunan Sayyid ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi, Mufti Hadhramaut, pada halaman 49 dinyatakan:

“Ibnu Manshur telah meriwayatkan bahawasanya adalah junjungan Nabi ﷺ apabila selesai salatnya, baginda menyapu dahinya dengan tapak tangan kanannya, kemudian melalukannya ke wajah baginda sehingga sampai ke janggut baginda yang mulia, sambil membaca:”

بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب و الشهادة الرحمن الرحيم اللهم أذهب عني الهم و الحزن و الغم اللهم بحمدك انصرفت و بذنبي اعترفت

أعوذ بك من شر ما اقترفت و أعوذ بك من جهد بلاء الدنيا و عذاب الآخرة

Umat Islam di nusantara berhujah dengan kalam-kalam Imam Nawawi, Ibn Sunni, al-Baihaqi yang memuatkan hadith-hadith ini di dalam kitab-kitab sunan mereka. Kita bersangka baik dengan ulama’ ini semua kerana mereka juga adalah ulama’ hadith yang handal, kemungkinan hadith-hadith tersebut sahih di sisi mereka. Kemungkinan juga mereka beranggapan hadith dhaif boleh diamalkan atas dasar fadhail amal (galakan beramal). Namun, muktamad di sisi majoriti ahli hadith seperti Imam Bukhari dan Muslim, Syaikh al-Albani, Syaikh Syuaib al-Arnaout dan ramai lagi berpendapat kesemua hadith tersebut adalah amat dhaif dan tidak mungkin dapat dinaik taraf menjadi sahih atau hasan.

Menurut Ustaz Dr. Zaharudin Abdul Rahman di dalam kitab beliau iaitu “Formula Solat Sempurna” muka surat 104:

Imam al-Bukhari meletakkan tajuk yang memuatkan sebuah hadith berkaitan menyapu dahi dan hidung dalam ‘Bab sesiapa tidak menyapu dahinya dan hidungnya sehingga tamat sembahyang.’

Hadithnya iaitu daripada Abu Said al-Khudri berkata: “Aku melihat Rasulullah ﷺ sujud di atas air dan tanah sehingga dapat dilihat debu dan kesan tanah di dahinya.” 

Riwayat al-Bukhari (dengan Syarah Fath al-Bari) no.836.

Beberapa kefahaman yang dapat diambil daripada hadith tersebut ialah:

1- Nabi Muhammad ﷺ  tidak menyapu dahi ketika salat walaupun dahi baginda terdapat kesan tanah dan air. 

2- Nabi Muhammad ﷺ  juga tidak menyapu dahi baginda selepas salat dan kalaulah ada ihtimal selepas salat, maka ia kerana membuang kesan tanah dan air dan seumpamanya yang ada di dahi.

Oleh itu secara kesimpulannya, keperluan menyapu dahi juga bukan daripada perbuatan salat yang mesti dibuat, malah yang sahihnya adalah Nabi ﷺ tidak melakukannya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani رحمه الله pula mengatakan, jika Nabi ﷺ melakukannya pun, maka ia bertujuan menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi baginda yang termasuk dalam bab Jibiliyyah (perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukan amalan untuk merapatkan diri kepada Allah ﷻ. (Fath al-Bari)

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-188

0

Tafsir Ayat Ke-188

Ayat ini dipanggil jenis ayat Umur Munazimah – berkenaan hubungan manusia sesama manusia. Ayat sebelum ini, iaitu tentang Puasa adalah jenis ayat Umur Muslihah iaitu tentang hubungan manusia dengan Tuhan.

Ayat ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga. Yang pertama adalah Qisas dan yang kedua adalah tentang wasiat. Hal tentang wasiat diajar supaya pemilikan harta itu adalah halal. Sudahlah harta itu kita dapat bukan dari usaha sendiri, maka janganlah cara untuk mendapatkannya adalah dengan cara yang salah. Ini semua adalah supaya umat Islam tidak berpecah belah disebabkan oleh harta.

Kalau kita sendiri berpecah belah lalu bagaimana kita hendak menjadi contoh teladan kepada orang bukan Islam? Jadi pembahagian harta melalui faraid ataupun wasiat adalah jenis pemilikan harta secara percuma. Pemberian wasiat itu hanya dilakukan apabila pemberi itu telah mati.

Ayat ke-188 ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga, di mana usaha mencari harta itu adalah daripada kita sendiri. Ia juga ada peraturan yang Allah ‎ﷻ telah ajar kepada kita dan kita kena ikuti.

Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini diletakkan selepas ayat-ayat tentang Puasa. Sekali baca macam tidak nampak apa kaitan ayat ini dengan puasa namun ia memang ada kaitan. Puasa adalah latihan untuk kita bertaqwa. Selepas kita telah dilatih dengan taqwa, di manakah kita perlu mengamalkannya?

Kita kena amalkan taqwa dalam kehidupan seharian kita. Antaranya dalam pekerjaan kita dan dalam usaha kita mencari pendapatan dan rezeki. Kita kena ada taqwa dalam urusan mencari rezeki. Ini adalah ujian kepada manusia kerana senang untuk jaga taqwa semasa beribadat di masjid atau semasa berada dalam iktikaf. Tetapi apabila berada di dunia luar, apabila ada dugaan, ada peluang untuk buat duit, susah untuk kita terus mengamalkan taqwa.

Kalau kita tidak menjadikan bulan Ramadhan itu sebagai satu latihan untuk kita bertaqwa, maka kita hanya menjadikannya sebagai satu ‘adat’ sahaja, tidak lebih daripada itu. Masuk bulan Syawal sahaja, kita sudah macam orang tidak bertaqwa.

Kita tidak dibenarkan ‘makan’ semasa bulan Ramadhan. Memakan makanan tidaklah salah kalau bukan sedang puasa. Ia hanya tidak dibenarkan semasa puasa sahaja. Sekarang kita akan belajar tentang ‘makan’ juga, tetapi makan yang lain, iaitu memakan harta orang lain.

Memakan harta orang lain dengan cara yang batil adalah tidak dibenarkan ‘sepanjang masa’, bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Sama ada berpuasa atau tidak, urusan mencari harta kena halal. Sama ada dalam bulan Ramadhan atau tidak, kita kena jaga perkara itu. Dalam semua keadaan dan dalam semua bentuk usaha mencari pendapatan.

Ada orang yang dalam hal ibadat, mereka boleh jaga, seperti salat dan puasa. Tetapi dalam kehidupan mereka, susah mereka hendak jaga daripada melakukan kesalahan termasuk dalam usaha mencari harta. Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada manusia, bukan ‘ibadat’ sahaja kena buat, tetapi ‘adat’, iaitu hubungan sesama manusia juga kena jaga juga.

وَلا تَأكُلوا أَموالَكُم بَينَكُم بِٱلبَـٰطِلِ وَتُدلوا بِها إِلَى الحُكّامِ لِتَأكُلوا فَريقًا مِّن أَموالِ النّاسِ بِالإِثمِ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِٱلبَـٰطِلِ

Dan jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu dengan cara batil;

Iaitu dengan cara tipu, curi dan sebagainya. Jangan curi wang atau harta di pejabat. Jangan masuk lambat ke pejabat sebab pengurus kita tidak ada di pejabat. Jangan buat benda lain semasa di pejabat termasuk melihat video agama. Itu semua memakan harta dengan cara yang batil.

Kita dilarang untuk memakan harta dengan cara yang tidak mengikut syari’at. Semua cara yang tidak mengikut syari’at dipanggil cara yang batil. Kita sepatutnya kena tahu bagaimana cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang sah. Janganlah kita buat satu sistem ekonomi kemudian baru kita tanya kepada ulama’ sama ada itu adalah cara yang benar atau tidak.

Sebagai contoh, banyak sistem MLM sekarang ini. Selalunya mereka akan buat sistem itu dahulu, kemudian baru hendak periksa sama ada ia adalah sah mengikut syari’at Islam atau tidak. Padahal, sistem itu memang boleh buat duit. Kalau sudah boleh buat duit, tetapi ulama’ kata ia tidak sah, bagaimana? Adakah mereka hendak ikut dan tinggalkan sistem itu atau mereka akan terus melakukannya?

Apabila kita makan daripada sumber pendapatan yang haram maka kita telah memakan perkara yang haram. Apabila ini berlaku maka tidak ada keberkatan kepada diri kita dan akan sentiasa ada masalah dengan diri kita.

Sebagai contoh, mungkin berlaku banyak perbalahan dalam keluarga kita dan sebagainya. Walaupun banyak duit, tetapi hidup tidak tenang dalam keluarga. Mungkin tidak ada lagi rasa hormat sesama ahli keluarga, tidak ada rasa keinginan untuk menderma walaupun duit banyak, mungkin kita senang kena sihir dan sebagainya.

Mungkin juga akan timbul perpecahan di dalam masyarakat kita. Semua itu mungkin akan terjadi kepada kita di atas balasan Allah ‎ﷻ kepada kita kerana mengamalkan cara mendapat harta yang salah. Lihatlah, walaupun hanya ada satu ayat sahaja tetapi ia adalah perbincangan yang luas tentang bagaimana kita hendak mencari sumber pendapatan.

Batil adalah setiap perkara yang tidak diberi keizinan oleh syari’at. Jadi kena pastikan sesuatu sistem itu Islamik. Kena periksa dengan hukum fiqah. Sebab itu ulama’ meletakkan syarat, kalau hendak berniaga, maka kena tahu hukum fiqah dalam perniagaan dahulu. Jangan buat dahulu baru hendak belajar. Kena belajar siap-siap.

Batil adalah sesuatu yang salah, dengan cara menipu dan sebagainya. Yang tidak diperolehi dengan cara yang halal. Oleh itu, jangan dapatkan wang rezeki dengan cara yang salah dan haram. Antaranya dengan mencuri, dengan cara riba, loteri, jual barang haram, makan harta anak yatim, dengan jalan zina, rasuah dan sebagainya. Ada banyak lagi jalan-jalan salah dan haram.

Apabila kita mengambil harta dengan cara salah, bermakna kita mengambil harta orang lain. Kalau kita dalam kedudukan mereka, kita pun tidak mahu orang lain ambil harta kita dengan cara salah. Maka, kita kena letakkan diri kita dalam keadaan orang itu. Kalau kita sayangkan harta kita, orang lain pun sayang harta mereka juga.

Selalunya kita tidak kisah dengan harta orang sebab bukan harta kita. Ini kalau kita tidak meletakkan diri kita dalam keadaan mereka. Sebab itu Allah ‎ﷻ gunakan perkataan أَمْوَالَكُمْ, yang bermaksud ‘harta kamu’ – kerana Allah ‎ﷻ hendak kita melihat harta orang lain macam kita hendak harta kita dijaga juga. Hormati harta orang lain macam kita hormati harta kita juga.

Termasuk dalam perkara ini adalah kalau kita meletakkan harga yang melampau dalam kerja-kerja kita. Contohnya, kerja kita sebagai mekanik. Katakanlah kita sahaja yang tahu pasal enjin, oleh itu kita ambil peluang itu untuk meletakkan harga yang melampau. Tuanpunya kereta tidak boleh buat apa kerana mereka bergantung kepada kita. Ini juga adalah salah satu contoh yang batil.

Termasuk juga dalam hal ini adalah meletakkan klausa yang tidak patut dalam perjanjian kita dengan pekerja kita atau dengan orang lain. Itu pun termasuk juga dalam perkara batil.

Orang yang banyak buat kesalahan ini adalah mereka yang ada pengetahuan tertentu dalam kerja mereka, yang mana orang lain terpaksa akur kepada mereka iaitu golongan-golongan profesional dalam kerja mereka. Maka kita kena berhati-hati.

وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ

dan kamu bawa harta-harta itu kepada hakim;

Kedua, ada orang yang mengambil harta orang lain dengan cara beri rasuah kepada hakim supaya hakim meluluskan dalam mahkamah yang harta itu milik dia. Mungkin dia telah ambil geran tanah orang lain dan ubah nama. Untuk merampas dengan cara kasar sudah tidak boleh kerana negara ini ada undang-undang. Jadi dia bayar semua yang terlibat – hakim, saksi, pekerja di pejabat tanah dan sebagainya.

Mereka boleh buat sampai mangsa tidak boleh buat apa. Walau pun dalam mahkamah, mereka dikira sebagai pemilik tanah yang sah, tetapi masih haram harta itu. Kalau keputusan mahkamah dilakukan berdasarkan kepada saksi palsu, tidaklah menjadikan harta itu halal.

Atau, mereka akan menipu hakim. Hakim itu mungkin tidak tahu kedudukan perkara yang sebenar maka dia hanya boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah yang ada di hadapannya. Kalau dia tidak tahu, dia tidak berdosa kalau memberikan keputusan yang salah. Mereka hanya buat keputusan berdasarkan maklumat yang di hadapan mereka sahaja.

Telah disebutkan di dalam kitab Sahihain, daripada Ummu Salamah, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“أَلَا إِنَّمَا أَنَا بَشَر، وَإِنَّمَا يَأْتِينِي الْخِصْمُ فَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي لَهُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ، فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنْ نَارٍ، فَلْيَحْملْهَا، أَوْ ليذَرْها”

Ingatlah, sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia, dan sesungguhnya sering datang kepadaku orang-orang yang mengadukan perkaranya. Barangkali sebahagian daripada kalian lebih pandai dalam mengemukakan alasannya daripada lawannya, kerana itu aku memutuskan perkara untuknya. Barang siapa yang telah kuputuskan buatnya menyangkut masalah hak seorang muslim, pada hakikatnya hal itu hanyalah merupakan sepotong api neraka; kerana itu, hendaklah seseorang menyanggahnya atau meninggalkannya.

Oleh itu, walaupun hakim telah memberikan keputusan yang salah, memberikan kemenangan kepada pihak yang menipu, tidaklah menjadikan harta itu halal. Ia tetap haram dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Ia juga bermaksud kita menggunakan wang untuk rapat dengan pemerintah atau orang yang berkuasa supaya mereka rapat dengan kita dan kita boleh gunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan yang bathil.

Perkataan دلو itu bermaksud ‘timba’. Dalam pepatah Arab, ia meletakkan makanan dalam timba, kemudian tunggu binatang datang untuk makan makanan itu. Kemudian ditarik timba itu supaya dekat dan dekat lagi, sehingga boleh tangkap binatang itu.

Maksud pepatah itu adalah menggunakan wang untuk menarik pemerintah kepada kita. Dalam dunia perniagaan sekarang, ada businessman yang memberikan wang kepada pihak yang berkuasa supaya mereka memberikan projek kerajaan kepada mereka. Ini termasuk dalam larangan pada ayat ini.

Satu lagi contoh, ada orang yang meminjam daripada orang lain, tetapi tidak ada bukti. Bila diminta balik, dia tidak mengaku. Oleh itu bila dibawa ke mahkamah dia akan menang kerana tidak ada bukti yang dia ada pinjam duit itu.

لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ

untuk dapat makan sebahagian harta manusia dengan cara dosa;

Iaitu mendapat harta itu dengan cara tipu. Sebagai contoh, menggunakan wang untuk diberikan kepada orang yang berkuasa supaya mereka dapat projek. Apabila projek itu diberikan kepada mereka kerana mereka sogokkan wang itu, maka orang yang sepatutnya layak dapat telah kehilangan rezeki mereka. Itu bermakna, mereka telah makan harta orang lain dengan batil juga.

Perkataan الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa yang sengaja’.

Apabila kita makan dari harta yang haram, maka kita akan buat benda haram dan bila buat benda yang haram, kita akan masuk neraka. Maka harta haram akan menolak kita masuk neraka. Maka hal makanan kenalah dijaga betul.

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu;

Tentulah orang yang menipu itu tahu yang dia sedang menipu. Yang tidak tahunya adalah hakim yang membuat keputusan itu. Bukan sahaja orang yang menipu, tetapi termasuk juga saksi-saksi palsu yang mungkin digunakan untuk mendapatkan harta itu dengan cara yang salah – mereka yang menjadi saksi itu pun tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Sama ada mereka tahu ia salah dalam hukum agama atau dari segi moral.

Tetapi mereka tidak akan mengaku yang mereka itu telah menipu. Mereka akan kata mereka tidak tahu tentang apa yang terjadi dalam syarikat mereka. Mereka hanya lakukan apa yang mereka disuruh sahaja atau mereka memberikan alasan-alasan lain. Allah ‎ﷻ cakap dalam ayat ini bahawa mereka sebenarnya tahu.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-187 (Bahagian 2)

0

Tafsir Ayat Ke-187 (sambungan)
فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ

Maka sekarang ini, campurilah mereka;

Maka, bermula dari hari itu, bolehlah bersetubuh pada malam hari. Jangan risau untuk bersama dengan isteri, memang tidak salah pun.

Perkataan بَاشِرُوهُنَّ itu dari kata dasar yang ب ش ر bermaksud ‘manusia’, berita gembira, kulit manusia. Kulit manusia berbeza dengan kulit binatang lain. Jadi, perkataan بَاشِرُ bermaksud kulit yang bersentuhan, yang membawa maksud bersetubuh antara lelaki dan perempuan. Ini juga adalah bahasa kiasan yang Allah ‎ﷻ gunakan kerana beradab.

وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

dan carilah apa yang Allah telah kurniakan untuk kamu;

Carilah kurnia Allah ‎ﷻ dalam bentuk pahala yang banyak pada malam puasa. Perbuatan hubungan suami isteri adalah satu ibadah kerana Allah ‎ﷻ telah membenarkan kita melakukannya.

Apabila ini diberitahu kepada para sahabat, mereka kehairanan: Bagaimana memuaskan nafsu boleh mendapat pahala pula?

Maka, Nabi ﷺ kata, kalau seseorang itu memuaskan nafsunya dengan jalan yang salah, bukankah dia akan mendapat dosa? Lalu, bagaimana kalau dia melakukannya dengan cara yang halal? Tentulah dapat pahala pula.

Jadi, perbuatan biasa kita seharian juga boleh mendatangkan pahala apabila kita melakukannya dengan cara yang halal. Iaitu dengan cara yang Allah ‎ﷻ telah benarkan.

Kadang-kadang dalam perkahwinan, ada suami atau isteri yang tidak ada semangat untuk ‘bersama’. Kadang-kadang tengah penat atau tidak berapa sihat. Ayat ini mengajar kita bahawa walaupun mereka tidak suka, tetapi mereka kena tahu bahawa perbuatan itu adalah halal dan boleh mendatangkan pahala kepada mereka.

Mereka kena tahu bahawa ia adalah satu ibadah juga. Perhubungan kelamin antara suami isteri adalah satu perbuatan yang amat indah. Ia dapat mengeratkan hubungan suami isteri. Kalau sudah lama tidak ‘bersama’, akan ada masalah antara suami isteri itu.

‘Cari kurnia Allah’ di sini adalah juga bermaksud cari untuk mendapatkan anak. Ini bermaksud tujuan berhubungan kelamin itu adalah untuk mendapatkan anak selain daripada mendapatkan kepuasan nafsu. Kita kena tahu bahawa keinginan untuk mendapatkan anak telah ditanam dalam diri setiap manusia.

Sekarang banyak manusia yang kata mereka tidak mahu anak. Itu bermaksud mereka telah menentang keinginan naluri semulajadi yang telah diletakkan dalam diri mereka. Maka, kita jangan jadi begitu, kita kena niat dan berkeinginan untuk mendapatkan anak.

Jangan kita berkahwin semata-mata untuk melampiaskan nafsu sahaja kerana ada yang kahwin, tetapi mereka membuat keputusan bersama untuk tidak mendapatkan anak. Ini adalah salah.

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Dan makanlah dan minumlah;

Iaitu boleh makan dan minum pada waktu malam kerana sebelum tu, buka puasa dan sahur sekali sahaja pada waktu yang pendek sahaja. Sekarang sepanjang malam sudah boleh makan.

Allah ‎ﷻ kena cakap kepada para sahabat kerana mereka ada yang tidak makan langsung, hendak buat ibadat sahaja. Pada mereka, kerana itu bulan yang mulia, mereka kena tumpukan pada amal ibadat sahaja. Mereka hendak beribadat berlebihan. Allah ‎ﷻ kena suruh mereka makan dan minum. Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk seimbangkan antara akhirat dan dunia.

حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

sehingga jelas nyata bagi kamu ‘benang putih’ dari ‘benang hitam’ daripada waktu fajar;

Kita boleh makan dan minum sehingga dapat bezakan antara malam dan siang iaitu apabila subuh sudah masuk. Dinamakan ‘benang’ kerana bentuknya panjang sepanjang ufuk. Dapat dibezakan dengan senang kerana boleh nampak dengan mata.

Cuma sekarang kita telah bergantung sangat kepada jam, sampaikan kita tidak tengok alam seperti yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Maka, seeloknya kita sekali-sekala tengok alam.

Ada sahabat yang tidak faham tentang perkara ini. Sampaikan ada yang meletakkan benang hitam dan benang putih bawah bantal. Dia tengok sampai nampak jelas perbezaan antara keduanya. Itu adalah kerana mereka tidak faham.

Nabi ﷺ kemudian telah menjelaskan apakah maksudnya iaitu ia bermaksud fajar. Ini adalah contoh bagaimana ayat Al-Qur’an menjelaskan ayat Al-Qur’an yang lain. Dalam contoh ayat ini, penjelasan itu diberikan dalam ayat itu sendiri. Kadang-kadang, penjelasan tentang sesuatu makna ayat Al-Qur’an dijelaskan dengan ayat Al-Qur’an yang lain di dalam surah yang lain. Untuk tahu, kenalah belajar tafsir di mana ia akan dijelaskan.

Ini seperti yang disebutkan di dalam hadith riwayat Imam Abu Abdullah Al-Bukhari رحمه الله:

حَدَّثَنَا ابن أبي مَرْيَمَ، حَدَّثَنَا أَبُو غَسَّان مُحَمَّدُ بْنُ مُطَرِّف، حَدَّثَنِي أَبُو حَازِمٍ، عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ، قَالَ: أُنْزِلَتْ: {وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ} وَلَمْ يُنزلْ {مِنَ الْفَجْرِ} وَكَانَ رِجَالٌ إِذَا أَرَادُوا الصَّوْمَ، رَبَطَ أحدُهم فِي رِجْلَيْهِ الْخَيْطَ الْأَبْيَضَ وَالْخَيْطَ الْأَسْوَدَ، فَلَا يَزَالُ يَأْكُلُ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُ رُؤْيَتَهُمَا، فَأَنْزَلَ اللَّهُ بَعْدُ: {مِنَ الْفَجْرِ} فَعَلِمُوا أَنَّمَا يَعْنِي: اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Telah menceritakan kepadaku Ibnu Abu Maryam, telah menceritakan kepada kami Abu Gassan (yakni Muhammad ibnu Mutarrif), telah menceritakan kepada kami Abu Hazim, dari Sahl ibnu Sa’d yang mengatakan bahawa ketika ayat berikut ini diturunkan: Dan makan minumlah hingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam. [ Al-Baqarah: 187 ] Sedangkan kelanjutannya masih belum diturunkan, iaitu firman-Nya: iaitu fajar. [ Al-Baqarah: 187 ] Maka orang-orang apabila hendak berpuasa, seseorang daripada mereka mengikatkan benang putih dan benang hitam pada kakinya; dia masih tetap makan dan minum hingga tampak jelas baginya kedua benang itu. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Iaitu fajar. [Al-Baqarah: 187] Maka mengertilah mereka bahawa yang dimaksudkan dengan istilah benang putih dan benang hitam ialah malam dan siang hari. (HR al-Bukhari (Sahih no.1917 dan 4511))

Ini juga menunjukkan bahawa sahabat juga memerlukan penjelasan daripada Nabi ﷺ untuk memahami Al-Qur’an. Kalau Nabi ﷺ tidak jelaskan, maka sahabat yang mahir bahasa Arab pun tidak tahu. Satu lagi hadith tentang perkara ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيم، أَخْبَرَنَا حُصَين، عَنِ الشَّعْبِيِّ، أَخْبَرَنِي عَديّ بْنُ حَاتِمٍ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ} عَمَدت إِلَى عِقَالَيْنِ، أحدُهما أَسْوَدُ وَالْآخَرُ أَبْيَضُ، قَالَ: فَجَعَلْتُهُمَا تَحْتَ وِسَادَتِي، قَالَ: فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِمَا فَلَا تَبَيَّن لِي الْأَسْوَدُ مِنَ الْأَبْيَضِ، وَلَا الْأَبْيَضُ مِنَ الْأَسْوَدِ، فَلَمَّا أَصْبَحْتُ غَدَوْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرْتُهُ بِالَّذِي صَنَعْتُ. فَقَالَ: “إِنَّ وِسَادَكَ إِذًا لَعَرِيضٌ، إِنَّمَا ذَلِكَ بَيَاضُ النَّهَارِ وَسَوَادُ اللَّيْلِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hisyam, telah menceritakan kepada kami Husain, daripada Asy-Sya’bi, telah menceritakan kepadaku Addi ibnu Hatim yang mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yakni firman-Nya: dan makan minumlah hingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. (Al-Baqarah: 187) (Addi ibnu Hatim berkata), “Maka aku sengaja mencari dua buah tali, yang satu berwarna hitam, sedangkan yang lain berwarna putih; lalu aku letakkan di bawah bantalku, dan aku tinggal melihat keduanya. Dan ketika tampak jelas di mataku perbezaan antara benang putih dan benang hitam, maka aku mulai imsak (menahan diri). Pada keesokan harinya aku datang menghadap Rasulullah ﷺ, lalu aku ceritakan kepadanya apa yang telah kulakukan itu, maka baginda bersabda: ‘Sesungguhnya bantalmu kalau demikian benar-benar lebar. Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan demikian itu hanyalah terangnya siang hari dan gelapnya malam hari’.” (HR al-Bukhari (Sahih no.1916); Muslim (Sahih no.1090); Abu Daud (Sunan no.2349); at-Tirmizi (Jami’ no.2971) dengan sedikit perbezaan; an-Nasai (Sunan no.2169) secara ringkas dan Ahmad (Musnad no.19730) dengan lafaz ini).

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa kita boleh makan sahur sampailah masuk waktu subuh. Tetapi di negara ini dan negara-negara lain juga, ada yang mengajar umat Islam tentang ‘Waktu Imsak’. Mereka kata kena berhenti makan dalam sepuluh minit sebelum waktu subuh.

Itu tidak berdasarkan mana-mana dalil yang sahih. Mereka telah mencipta satu hukum baru yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Mereka juga telah melanggar hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ yang disampaikan dalam Al-Qur’an sendiri. Maka, janganlah kita pegang pendapat yang mengatakan ada ‘waktu Imsak’ itu.

Ayat ini juga menunjukkan kepentingan sahur. Ramai dalam kalangan kita yang malas hendak bersahur kerana malas hendak bangun pagi. Tetapi ada keberkatan dalam sahur yang rugi kalau ditinggalkan. Seperti sabda Nabi ﷺ:

Di dalam kitab Sahihain, daripada Anas رضي الله عنه disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحور بَرَكَةٌ”

Bersahurlah kalian, kerana sesungguhnya di dalam sahur terkandung barakah. (HR al-Bukhari (Sahih no.1923); Muslim (Sahih no.1095) dan Ibnu Hibban (Sahih no.3466))

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan daripada Amr ibnul As رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إن فَصْل مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَر”

Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur. (HR Muslim (Sahih no.1096); Abu Daud (Sunan no.2343); dan al-Tabarani (al-Mu’jam al-Ausat 3/305))

Semoga kita mendapat semangat untuk bangun sahur selepas ini.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ عِيسَى هُوَ ابْنُ الطَّبَّاعِ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “السَّحور أكْلُهُ بَرَكَةٌ؛ فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ يَجْرَع جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Isa (yaitu Ibnut Tabba’), telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Zaid, daripada ayahnya, daripada Ata ibnu Yasar, daripada Abu Sa’id yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Sahur adalah makanan yang mengandung berkah, maka janganlah kalian meninggalkannya, sekalipun seseorang di antara kalian hanya meminum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah ‎ﷻ dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang-orang yang makan sahur. (HR Ahmad (Musnad no.11086, 11101 dan 11396) dengan lafaz ini; Ibnu Abu Syaibah (Musannaf no.9013); dan al-Tabarani (al-Mu’jam al-Ausat no.8064) secara ringkas. Sahih menurut Ahmad Syakir, al-Arnaut, al-Dimyati dan as-Suyuti)

Hendaklah diingat yang sahur itu kena dilakukan waktu sahur, iaitu dalam sepertiga akhir malam. Ramai yang ‘sahur’ malam hari dan terus tidur sampai subuh. Itu bukan ‘sahur’, tetapi itu adalah ‘supper’.

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Kemudian kamu sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam;

Tahanlah diri daripada makan dan minum sehingga masuk waktu maghrib. Jangan jadi macam Syiah yang ikut Yahudi – sudah keluar bintang baru mereka boleh buka puasa. Itu adalah fahaman yang sesat.

Allah ‎ﷻ suruh kita ‘sempurnakan’ dengan melakukan perkara-perkara yang disuruh dan dibenarkan. Jadi kena tahu apakah yang dibenarkan dan disuruh dalam hal puasa.

وَلَا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَـٰكِفُونَ فِي ٱلمَسَـٰجِدِ‌ۗ

Dan janganlah kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu ketika kamu beriktikaf dalam masjid;

‘Iktikaf’ bermaksud berada dalam keadaan keseorangan dan sedang melakukan sesuatu tanpa gangguan. Kita tinggal di satu tempat dan tidak meninggalkannya walaupun seminit. Atau kita buat sesuatu dan tidak berhenti walaupun seminit.

Inilah yang dilakukan oleh orang Islam dengan berada di dalam masjid dengan tujuan beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Dilakukan dalam 10 hari (siang malam) terakhir bulan Ramadhan.

Tujuan iktikaf adalah untuk beribadat. Ini bermakna iktikaf tidak boleh dilakukan di rumah. Hanya dilakukan di masjid kerana waktu itu kita hanya beribadat sahaja – antaranya salat dan salat kena buat secara berjama’ah. Itu kena dilakukan di masjid.

Ibadat semasa berada dalam iktikaf itu boleh jadi macam-macam – zikir, salat, baca Al-Qur’an dan sebagainya. Kalau penat, boleh tidur.

Waktu itu tidak boleh ada hubungan kelamin dengan isteri-isteri. Kalau kita sedang iktikaf, tidak boleh balik rumah sekejap untuk bersama dengan isteri.

Daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa iktikaf itu dilakukan di masjid, bukan di rumah. Kita memang tahu ada pendapat daripada Imam Abu Hanifah رحمه الله yang mengatakan perempuan boleh iktikaf di ruang rumah mereka, tetapi daripada ayat ini, dengan jelas mengatakan yang iktikaf itu di masjid. Maka pada lelaki, hendaklah iktikaf di masjid.

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ

Itulah dia batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah;

Allah ‎ﷻ yang telah tetapkan, bukan orang lain. Maka kenalah ikut. Begitulah dengan hukum dalam agama, kena dapatkan nas daripada Allah ‎ﷻ yang disampaikan melalui Rasul-Nya.

Hudud ada dua jenis: satu, yang menyekat yang luar daripada masuk. Ini adalah larangan-larangan yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan – yang haram. Kita tidak dibenarkan langsung melakukannya.

Yang kedua adalah menyekat yang dalam daripada keluar. Itu adalah arahan-arahan Allah ‎ﷻ. Ini kena buat.

فَلَا تَقْرَبُوهَا

jangan kamu hampirinya;

Jangan fikir pun hendak buat. Jangan fikir pun langsung untuk buat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah ‎ﷻ.

كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ

Demikianlah Allah telah menjelaskan tanda-tanda-Nya kepada manusia;

Allah ‎ﷻ kata ‘kepada manusia’, bukan kepada orang Islam sahaja. Hendak diberitahu kepada semua manusia bahawa beginilah cara untuk berpuasa. Termasuk kepada Ahli Kitab. Hendak diberitahu kepada mereka bahawa inilah cara berpuasa yang sepatutnya. Bukan macam yang mereka lakukan sekarang.

لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

mudah-mudahan mereka bertaqwa.

Seperti telah disebutkan di awal suruhan berpuasa, tujuannya adalah supaya kita boleh mendapat taqwa. Sekarang, di hujung ayat tentang puasa, diingatkan kembali tentang taqwa.

Sebelum ini telah disebut bahawa ayat ini untuk semua manusia. Semoga yang bukan Islam pun masuk Islam juga akhirnya.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-187 (Bahagian 1)

0

Tafsir Ayat Ke-187

Pada zaman Nabi ﷺ, Yahudi berpuasa bermula dari malam hari. Tidak boleh makan, sampailah esoknya. Maknanya, mereka berpuasa hampir 24 jam. Sekali sahaja makan dalam sehari semasa berpuasa.

Mereka juga tidak boleh berjimak dengan isteri mereka semasa mereka berpuasa. Tidak diketahui sama ada itu adalah syari’at mereka, atau hukum yang mereka telah ubah daripada asalnya.

Maka, sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu kepada umat Islam bahawa ada perubahan daripada apa yang mereka amalkan dengan apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Sebelum ini banyak yang Allah ‎ﷻ telah bezakan amalan kita dengan Ahli Kitab. Kali ini tentang ibadat puasa pula.

أُحِلَّ لَكُم لَيلَةَ الصِّيامِ الرَّفَثُ إِلىٰ نِسائِكُم ۚ هُنَّ لِباسٌ لَّكُم وَأَنتُم لِباسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم كُنتُم تَختانونَ أَنفُسَكُم فَتابَ عَلَيكُم وَعَفا عَنكُم ۖ فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَابتَغوا ما كَتَبَ اللَّهُ لَكُم ۚ وَكُلوا وَاشرَبوا حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيطُ الأَبيَضُ مِنَ الخَيطِ الأَسوَدِ مِنَ الفَجرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيامَ إِلَى اللَّيلِ ۚ وَلا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُم عَـٰكِفُونَ فِى ٱلمَسَـٰجِدِ‌ ۗ تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَقرَبوها ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ

Dihalalkan kepada kamu pada malam puasa itu;

Perkataan ‘halal’ daripada segi bahasa bermaksud merungkaikan sesuatu yang terikat sebelum itu. Apabila digunakan lafaz أُحِلَّ, ini menunjukkan bahawa sebelum ini ia adalah terlarang. Ini bermakna larangan sebelum itu telah dilepaskan. Sekarang sudah boleh buat.

Malam yang dimaksudkan adalah pada malam hari berpuasa iaitu sebelum esok siangnya berpuasa.

الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ

untuk kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu;

Ada sahabat Nabi ﷺ yang meminta supaya boleh bersetubuh dengan isteri pada malam bulan Ramadhan.

Perkataan الرَّفَثُ berasal daripada perkataan bermaksud ‘tidak berbaju’. Perkataan ini membawa maksud hubungan seksual antara suami isteri. Apa yang boleh dilakukan di antara suami dan isteri di dalam bilik tidur mereka. Sesuatu yang tidak dilakukan di khalayak ramai.

Ia adalah bahasa kiasan. Allah ‎ﷻ tidak sebut setubuh atau ‘seks’ di dalam Al-Qur’an kerana ini adalah adab dan kerana itu Al-Qur’an ini boleh dibaca di mana-mana sahaja kerana ia tidak memalukan. Malah kalau kanak-kanak baca pun boleh.

Hukum ini berlainan dengan semasa melakukan kerja-kerja Haji. Selama melakukan kerja Haji, tidak boleh melakukan hubungan seksual walaupun pada malam hari.

Hukum berpuasa sebelum turunnya ayat ini adalah berlainan. Ada perubahan hukum selepas masa berlalu. Hukum dahulu: selepas salat Isyak, tidak boleh makan dan minum dan tidak boleh melakukan hubungan seksual suami isteri. Mereka kena tahan sampailah ke waktu Maghrib esoknya.

Ini tentunya sesuatu yang susah. Itulah sebabnya sebelum itu, diberikan pilihan kepada mereka yang mampu, untuk tidak berpuasa – mereka boleh terus bayar fidyah kerana puasa waktu itu adalah sesuatu yang amat sukar kalau dibandingkan dengan sekarang.

Sekarang baru kita faham kenapa pilihan itu diberikan kepada umat waktu itu. Apabila puasa dimudahkan, pilihan fidyah itu tidak diberikan lagi.

Ada satu kisah dalam hadith bagaimana seorang sahabat yang bekerja sebagai petani. Apabila dia pulang untuk berbuka, makanan waktu itu tiada. Isterinya kena cari dahulu. Oleh kerana penat menunggu isterinya pulang, sahabat itu telah tertidur.

Sampailah malam hari dan waktu itu tidak boleh makan dan minum lagi (hukum pada waktu itu). Waktu itu juga tidak ada sahur. Maka, keesokannya, dia telah pengsan kerana kelaparan sangat. Perkara itu telah disampaikan kepada Nabi ﷺ.

Ada satu lagi kisah Saidina Umar رضي الله عنه. Beliau memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa beliau pulang ke rumah untuk menyetubuhi isterinya tetapi isterinya telah tidur dan itu menyusahkan beliau. Maka, ada lagi sahabat-sahabat lain yang menyuarakan perkara yang sama. Maka, hukum yang baru ini telah diturunkan.

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ

Isteri-isteri kamu itu pakaian bagi kamu

Lelaki dibenarkan untuk bersetubuh dengan isterinya. Apakah dimaksudkan yang isteri-isteri itu sebagai pakaian untuk suami mereka?

وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

dan kamu adalah juga pakaian bagi isteri kamu;

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pakaian’? Apa yang menjadikan kita cantik dan sampai membolehkan keluar rumah adalah pakaian kita.

Ia adalah juga satu kegunaan untuk memberikan kita keselesaan. Kalau sejuk, tentunya kita memerlukan pakaian.

Pakaian juga menutup aurat kita.

Pakaian juga rapat sangat dengan kita. Begitu juga dengan pasangan kita. Pasangan kita melengkapkan kita. Amat rapat dengan kita. Mereka menjadi sebahagian daripada kita. Oleh itu, pasangan kita sepatutnya mencantikkan akhlak kita dan memelihara kita daripada perkara yang buruk.

Kita boleh rasa ketenangan itu apabila kita sudah berkahwin. Kita sudah tidak nakal lagi. Kita akan rasa lebih tenang. Kalau kita nampak orang lain yang merangsang nafsu kita, kita boleh menyelesaikan keinginan itu dengan suami isteri kita. Banyak nikmat apabila kita sudah kahwin, bukan ini sahaja. Sebab itulah Nabi ﷺ menyuruh umatnya berkahwin segera.

Pakaian juga menutup kekurangan dan keburukan tubuh badan kita. Begitu juga suami isteri kena menjaga nama baik pasangan masing-masing. Janganlah jadi seperti orang perempuan yang apabila mereka bersama-sama dengan kawan-kawan mereka berborak, mereka menceritakan tentang keburukan suami mereka bersama rakan-rakan mereka. Ini adalah amat salah sekali.

Sepatutnya mereka menutup keburukan itu daripada dinampakkan kepada khalayak ramai, tetapi mereka pula yang menceritakan kepada orang lain. Itu sudah terbalik. Itu sudah memalukan suami mereka.

Sama juga dengan suami, tidak boleh buat begitu berkenaan isteri-isteri mereka. Bayangkan kalau ada orang yang mengata baju yang kita pakai itu buruk, tentunya kita marah dan akan terasa. Kita pun tidak suka. Sebab itulah kita keluar dengan memastikan pakaian kita kemas, kita seterika pakaian kita kerana pakaian itu adalah imej kita. Begitulah juga dengan pasangan kita, mereka membayangkan imej kita sebenarnya.

Sama juga, jangan cakap buruk tentang suami isteri kita depan anak-anak kita. Kalau kita buat begitu, maka anak-anak itu akan membesar dengan tidak suka kepada ayah atau ibu mereka. Itu sudah memburukkan keadaan keluarga mereka sendiri.

Ada ramai yang berfikiran salah begitu. Inilah keindahan Islam kerana Islam meletakkan perkahwinan sebagai satu keperluan dalam agama. Tidak seperti agama lain seperti Kristian dan Hindu yang menyuruh ahli-ahli agama mereka untuk tidak berkahwin.

Seperti juga kita menjaga pakaian kita, kita kena pandai menjaga pasangan kita. Supaya pakaian itu tahan lama, kita kena tahu cara hendak jaga pakaian itu. Sama juga dengan pasangan kita. Untuk kekal lama berpasangan, kita kena jaga perhubungan itu. Seperti juga kita kena pandai memilih pakaian kita sebelum kita pakai, kita juga kena pandai memilih pasangan yang sesuai untuk kita sebelum kita kahwini mereka.

Lihatlah bagaimana ayat ini pendek sahaja, namun banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Itulah pentingnya belajar tafsir supaya kita mendapat pengajaran-pengajaran seperti ini.

Oleh itu, suami dan isteri itu amat rapat antara satu sama lain. Mereka tinggal bersama dan makan bersama dan macam-macam lagi. Oleh itu, amat susah kalau sepanjang bulan puasa itu mereka tidak boleh mengadakan hubungan seksual. Kalau sentiasa bersama, tiba-tiba tersentuh, susah pula nanti.

عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ

Allah Maha Mengetahui bahawasanya kamu telah mengkhianati diri-diri kamu;

Perkataan تَخْتَانُونَ diambil daripada kata dasar خ و ن yang bermaksud ‘khianat’, menipu. Apabila ada huruf ت yang berada di tengah perkataan تَخْتَانُونَ itu, ianya membawa maksud ‘sangat-sangat khianat’. Iaitu apabila seseorang telah memberikan amanah kepada kita, tetapi kita tidak menjaganya dengan baik iaitu apabila kita menipu dalam menjaga amanah itu.

Merujuk kepada tidak melakukan tugas yang telah diamanahkan. Sebagai contoh, seorang guru suruh kita membaca buku tujuh kali tetapi kita tidak melakukannya.

Ada sahabat yang tidak dapat menahan nafsu, mereka berpuasa pada siang hari, tetapi pada waktu malam puasa pun mereka telah melakukan hubungan kelamin dengan isteri mereka. Mereka dahulu mengamalkan puasa macam Yahudi juga – tidak boleh mencampuri isteri di malam hari. Tetapi oleh kerana tidak dapat tahan, maka mereka buat juga. Maknanya, mereka melanggar hukum (khianat).

Selalunya orang yang melakukan khianat itu akan kata perkara yang mereka lakukan itu tidak salah. Mereka memperkecilkan kesalahan yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ kata Allah ‎ﷻ tahu apa yang manusia buat walaupun mereka buat dalam senyap atau di malam hari. Apa sahaja yang kita lakukan pasti diketahui oleh Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ kata mereka mengkhianati ‘diri’ mereka sendiri. Mereka sangka mereka mengkhianati Allah ‎ﷻ, tetapi sebenarnya mereka mengkhianati diri mereka sendiri. Mereka menipu orang lain dengan menunjukkan diri mereka baik. Depan orang lain, mereka berlakon baik tetapi sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri kerana mereka tidak perasan bahawa mereka yang akan menerima akibatnya, bukan orang lain.

فَتَابَ عَلَيْكُمْ

maka Allah terima taubat kamu

Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka dan kemudian Allah ‎ﷻ membenarkan mereka mencampuri isteri-isteri mereka pada malam hari. Allah ‎ﷻ telah menukar hukum yang sebelum itu dengan memberi hukum yang baru.

وَعَفَا عَنْكُمْ

dan memaafkan kamu;

Allah ‎ﷻ memaafkan kesalahan mereka dahulu. Maka dengan kerana perbuatan sahabat itu, sampai sekarang kita dibenarkan untuk menggauli isteri kita pada malam hari puasa itu. Namun kita kena sedar, jangan kata teruk sangat sahabat itu kerana bukan semua sahabat buat begitu. Hanya beberapa orang sahaja.

Kita juga kena ingat bahawa apa yang mereka lalui itu adalah perkara yang susah, kalau kita pun lagi tidak tahan. Jangan kita sangka para sahabat itu adalah orang yang teruk. Jangan begitu. Kita kena sedar bahawa mereka itu adalah insan terpilih yang Allah ‎ﷻ telah pilih untuk menjadi sahabat Nabi ﷺ. Apa yang mereka lakukan menjadi contoh bagi kita. Kalau mereka tidak buat salah langsung, bagaimana kita akan tahu apakah kesalahan-kesalahan dalam Islam?

Allah ‎ﷻ telah memaafkan mereka. Ada pendapat yang mengatakan tidak ada kesalahan pun kalau bersama dengan isteri di malam hari. Ia hanya direka oleh orang Yahudi. Jadi kalau begitu, kenapa Allah ‎ﷻ memaafkan mereka yang mencampuri isteri mereka di malam hari padahal bukan buat salah pun?

Yang tidak membenarkan mencampuri isteri di malam hari adalah Yahudi dan bukan benar pun apa hukum yang mereka tetapkan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ kata Dia telah memaafkan kerana pada mereka, mereka telah buat salah. Jadi mereka rasa bersalah. Pada diri mereka, mereka telah menipu. Perasaan mereka walaupun salah, Allah ‎ﷻ sudah maafkan.

Sudahlah Allah ‎ﷻ ampunkan, tetapi Allah ‎ﷻ maafkan lagi. عَفَا bermaksud memaafkan dalam sifat kasih sayang.

Bersambung..

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-186 (Bahagian 2)

0

Tafsir Ayat Ke-186
فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي

maka hendaklah mereka cuba untuk menyahut-Ku;

Hendaklah mereka cuba menyahut seruan iman daripada Allah ‎ﷻ. Ikutlah apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Taatlah kepada Allah ‎ﷻ. Kalau kita mahu Allah ‎ﷻ menyahut doa kita, maka hendaklah kita menyahut seruan Allah ‎ﷻ, arahan Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana ayat ini menggunakan pilihan perkataan. Apabila Allah ‎ﷻ menyebut Dia jawab, Dia gunakan perkataan أُجِيبُ, yang bermaksud Dia akan terus jawab. Tetapi apabila menyebut tentang kita, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan فَلْيَسْتَجِيبُوا, yang bermaksud dari segi nahwu, ‘cubalah’ untuk menyahut seruan-Nya. Allah ‎ﷻ suruh kita buat seboleh mungkin sahaja kerana Allah ‎ﷻ tahu betapa lemahnya kita.

وَلْيُؤْمِنُوا بِي

dan hendaklah beriman kepadaKu;

Ayat ini bermakna hendaklah kita yakin bahawa Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Ayat ini juga bermaksud, hendaklah mereka yakin bahawa Allah ‎ﷻ telah mendengar doa mereka.

Satu perkara penting berkenaan doa hendak disampaikan di sini. Berapa ramai yang kita dengar, apabila kita nasihatkan mereka untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ, mereka akan jawab: “Dah doa dah, tapi tak dapat lagi…”. Mereka sangka doa kepada Allah ‎ﷻ itu macam “order” pizza, agaknya. Bila “order”, tidak lama lagi sampai.

Tidak begitu dan jangan kita ada pemahaman begitu dan cakap begitu. Allah ‎ﷻ Maha Tahu apa yang kita perlukan. Allah ‎ﷻ akan memberi kepada kita mengikut keperluan kita. Bukan ikut apa yang kita hendak. Kita kena percaya kepada Allah ‎ﷻ yang Allah ‎ﷻ akan memberi yang terbaik untuk kita.

Itulah sebabnya dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita ‘beriman kepada-Nya’. Maksudnya adalah percaya bahawa Allah ‎ﷻ akan memberi kepada kita apa yang kita perlukan.

Oleh itu, jangan kita segan untuk doa dan jangan kita berputus asa untuk berdoa. Allah ‎ﷻ pasti mendengar doa kita, tetapi Allah ‎ﷻ membalas doa kita itu dengan tiga macam:

1. Allah ‎ﷻ akan beri apa yang kita hendak dan diberi semasa di dunia lagi. Contohnya, kita doa supaya diberikan pasangan hidup, maka Allah ‎ﷻ beri pasangan hidup untuk kita.

2. Allah ‎ﷻ beri lain dari apa yang kita hendak. Kita minta pasangan hidup, tetapi Allah ‎ﷻ tidak beri. Allah ‎ﷻ berikan benda lain, contohnya, Allah ‎ﷻ berikan keselamatan untuk kita kerana kita lebih memerlukan keselamatan itu iaitu Allah ‎ﷻ jauhkan keburukan dari kita. Kita pun tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ telah selamatkan kita. Tentunya sudah banyak perkara yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada kita, tetapi kita tidak sedar pun.

3. Allah ‎ﷻ tidak beri di dunia, tetapi Allah ‎ﷻ akan balas di akhirat kelak. Akan diganti dalam bentuk pahala dan balasan yang lebih baik lagi. Allah ‎ﷻ simpan dan balas di akhirat. Tetapi balasan di akhirat itu nanti akan berlipat kali ganda dari apa yang kita minta dahulu.

Oleh itu, ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila ahli syurga melihat balasan yang Allah ‎ﷻ ganti dari doa mereka semasa di dunia dulu. Mereka suka sangat dengan balasan itu, sampaikan mereka berkata: “Alangkah baiknya kalau tidak ada satu pun doa kita semasa di dunia dulu dimakbulkan, supaya kita akan mendapat balasannya di akhirat ini”.

Itu adalah kerana apa yang mereka dapat di akhirat itu berlipat kali ganda daripada apa yang mereka dapat di dunia jikalau Allah ‎ﷻ tidak makbulkan semasa di dunia.

Oleh itu, jangan berputus asa dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi hendaklah kita beriman kepada Allah ‎ﷻ dan percaya bahawa Allah‎ ﷻ akan memberi mengikut keperluan kita, bukan kehendak kita.

Tidak kira berapa banyak doa kita, Allah‎ﷻ boleh balas semuanya sekali. Ingatlah yang kita WAJIB berdoa kepada Allah ‎ﷻ; tetapi Allah ‎ﷻ HARUS sahaja untuk beri apa yang kita minta.

لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.

Apakah beza ‘hidayah’ dan رشد? Kedua-duanya ada elemen ‘petunjuk’ di dalamnya. Ulama’ mengatakan رشد bermaksud ‘mengamalkan’ hidayah yang telah diterima itu. Amal dan terus mengamalkannya.

Kadang-kadang kita telah tahu apa yang hendak dibuat, tetapi kita tidak amalkan. Atau pun kita buat sedikit sahaja, sekejap sahaja. Itu bukanlah ‘rusyd’. Jadi, kita boleh tahu bahawa رشد adalah istiqamah dalam beramal kebaikan. Ini adalah satu dugaan yang perlu dilakukan.

Oleh itu, berdasarkan ayat ini, kalau kita beriman dan taat kepada Allah ‎ﷻ, itu adalah jalan untuk mendapat petunjuk – رشد.

Orang yang mendapat رشد akan menjalani kehidupan ini dengan baik, dengan sempurna. Selalu dalam kehidupan ini, banyak dugaan yang kita akan hadapi. Kita kena berperang dengan syaitan dan juga nafsu kita sendiri. Untuk menghadapinya, hendaklah kita berharap dan memohon pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Maka, kenalah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan perkara ini kerana perkara ini disebut dalam ayat tentang doa. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memimpin kita. Kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk pimpin kita dalam segenap perjalanan hidup kita kerana kadang-kadang kita tidak tahu apakah perkara yang terbaik yang patut kita lakukan dalam satu-satu pekerjaan kita. Maka, dalam hal itu, kita mintalah petunjuk kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini dalam bahagian Puasa. Maka, kita kena ambil peluang berdoa dalam bulan Puasa ini. Doa itu termakbul selepas kita melakukan ibadah. Maka, selepas sepanjang hari kita berpuasa, maka ambillah peluang untuk berdoa. Semasa kita tunggu untuk berbuka, ambillah masa untuk berdoa. Jangan sibuk dengan hendak sediakan makanan, sibuk hendak makan sahaja. Kalau kita kisah makan sahaja, maka kita akan terlepas peluang keemasan itu.

Cara berdoa:

1. Mengucap dua kalimat Syahadah; sebab takut kita ada buat kufur sebelum ini. Maka, kita perbaharui iman dan Islam kita.

2. Istighfar; bacalah banyak-banyak sehingga kita jemu. Sebab kita banyak buat dosa. Selalunya kita hanya minta macam-macam kepada Allah ‎ﷻ, tetapi kita lupa dosa kita amat banyak dengan Allah ‎ﷻ.

Bayangkan, kalau anak yang banyak buat salah minta wang kepada ayahnya, tentu ayahnya berat hati hendak bagi. Tetapi, kalau anak itu datang kepada ayahnya mengaku kesalahan yang dia telah buat, dan dia kata dia tidak akan buat lagi kesalahan itu, tentu ayah itu akan lembut hati dan baru lega hati hendak beri wang kepada anak itu.

3. Taubat; rukun taubat salah satunya adalah berazam untuk tidak buat dosa yang telah kita buat. Minta ampun atas dosa yang telah kita lakukan dan azam untuk tidak buat lagi. Mintalah ampun atas dosa kita, dosa dua ibu bapa kita dan dosa seluruh umat Islam.

4. Tasbih kepada Allah ‎ﷻ berulang-ulang. Bertasbihlah sampai kita jemu.

5. Salat sunat dua rakaat; sebagai tanda hendak minta doa kepada Allah‎ ﷻ. Salat adalah ibadat yang paling besar sekali. Tetapi ini bukan Salat Hajat. Bukan juga Salat Taubat. Sebenarnya tidak ada salat Hajat dan Salat Taubat dalam Islam. Itu hanyalah rekaan sahaja. Ia hanya salat sunat mutlak. Bacalah surah apa-apa sahaja. Tidak ada ketetapan apa-apa dalam salat ini.

6. Selawat kepada Nabi ﷺ. Bukan kerana Nabi ﷺakan menyampaikan doa itu tetapi kerana Nabi ﷺlah yang telah menyampaikan ajaran agama kepada kita supaya kita selamat. Maka, kita hargai usaha Nabi ﷺ itu dengan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya memberi kebaikan kepada Nabi ﷺ.

7. Mulakan doa dengan mengaku bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan kita; Ini amat jarang sekali orang buat. Katakanlah bahawa Allah ‎ﷻ yang menjadikan alam ini dan kita semua sekali. Kena bodek Allah ‎ﷻ dengan mengaku yang hanya Dia sahaja yang boleh tolong dan boleh selesaikan masalah kita.

Sebutkan Sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang disebut dalam Al-Qur’an. Atau ikut cara Nabi ﷺ ajar bagaimana hendak bodek Allah ‎ﷻ. Sebutkan kalimah-kalimah yang Nabi ﷺ telah ajar kita. Cara yang Nabi ﷺ ajar adalah yang terbaik sekali. Kalau kita tahu cara yang Nabi ﷺ ajar, baik kita ikuti. Tetapi kalau kita tidak tahu atau belum berjumpa lagi, bolehlah kita gunakan sahaja bahasa yang datang dari kita sendiri.

8. Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Katakan juga: Kalau Allah ‎ﷻ kabulkan doa ini, Allah ‎ﷻlah Tuhan. Kalau Allah ‎ﷻ tidak makbulkan, Allah ‎ﷻ jua Tuhan kita. Tetapi kalau bukan kepada Allah ‎ﷻ kita meminta, kepada siapa lagi yang kita boleh minta tolong?

9. Selepas berdoa, hendaklah kita pohon supaya Allah ‎ﷻ perkenankan doa kita.

10. Jangan kita putus asa dengan Allah ‎ﷻ. Kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ akan terima doa kita. Terus berdoa lagi dan lagi.

Allahu a’lam.

Asma’ul Husna: Bab 2 Keutamaan Tentang Asma’ Allah dan Sifat-Nya (Bahagian 2)

0

Bab 2: Keutamaan Ilmu Tentang Asma’ Allah ‎ﷻ dan Sifat-Nya (Sambungan)


Apabila seorang hamba mengenal Rabbnya, cinta dan selalu beribadah kepada-Nya, menjalankan perintah dan menjauhi-larangan-Nya, maka akan terealisasi pada dirinya dengan mengenal (ilmu ini) dan peribadahannya, yang keduanya merupakan tujuan penciptaan dan perkaranya, maka akan teraih kesempurnaan seorang manusia dan ketinggian darjatnya.

[Jadi ada dua tujuan utama belajar tentang Asma’ul Husna ini:
1. Kenal Allah ‎ﷻ
2. Selepas kenal, maka ada kesan dalam kehidupan

Maknanya, setiap nama-nama itu bukan untuk diketahui sahaja, tetapi ada kesannya. Contohnya, apabila kita kenal Allah‎ ﷻ itu Yang Maha Mendengar, maka tentulah kita takut untuk cakap merapu dalam kehidupan kita.

Contoh lagi: Apabila kita sudah tahu Allah‎ ﷻ itu Maha Pemurah, maka ia akan menggerakkan kita untuk lebih banyak berharap dan berdoa kepada-Nya]

Bahkan, “Tidak ada keperluan roh manusia yang melebihi daripada keperluannya kepada pengenalan terhadap Rabbnya dan penciptanya, cinta, menyebut, bergantung dan mendekatkan diri kepada-Nya. Tidak ada jalan menuju kepada hal ini, melainkan dengan mengenal sifat dan nama-Nya.

[Diri kita memang sudah kenal Allah ‎ﷻ dari alam roh lagi. Tetapi kita sudah lupa. Maka kita kena belajar balik. Keinginan kita untuk kenal Allah ‎ﷻ memang sentiasa sahaja ada. Ia sudah ada dalam fitrah kita, “sub conscious mind” kita. Kita sudah terima dalam diri kita, adanya Tuhan yang menjadikan kita, yang lebih besar daripada kita, yang mengurus kehidupan kita. Sekarang kita hendak tahu dengan lebih lagi tentang apakah sifat Tuhan yang Satu itu. Maka inilah kita belajar tentang Allah ‎ﷻ dengan Asma’ul Husna.]

Barangsiapa yang lebih mengetahui ilmu ini, maka dia lebih mengenal Allah‎ ﷻ, lebih mengharap, dan dekat kepada-Nya. Barangsiapa yang lebih banyak tidak mengetahui tentang ilmu ini, maka dia adalah seorang yang paling jahil tentang Allah ‎ﷻ, benci dan jauh dari-Nya.

[Beza kita dalam ilmu Asma’ul Husna ini adalah daripada segi pemahaman. Lagi banyak faham, lagi banyak kita kenal Allah ‎ﷻ. Namun harus diingatkan yang pemahaman itu Allah‎ ﷻ yang beri, maka usaha kita belajar sahaja.

Tetapi kalau kita dapat tahu sedikit sebanyak pun, lebih baik daripada tidak tahu langsung. Kita akan diberi pemahaman setakat kemampuan kita sahaja.]


Al-Hafiz Ibnu Kathir رحمه الله berkata dalam tafsirnya tentang firman Allah ‎ﷻ:

إِنَّما يَخشَى اللهَ مِن عِبادِهِ العُلَماءُ

“Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’.” [QS. Fathir: 28]

Kata Ibnu Kathir رحمه الله: ”Sesungguhnya yang paling takut dengan sebenarnya kepada Allah ‎ﷻ adalah para ulama’ yang mengenal diri-Nya kerana jika dia mengenal Allah ‎ﷻ Yang Maha Agung lagi Maha Mengetahui, yang tersifati dengan sifat-sifat sempurna dan yang dinamai dengan nama-nama yang mulia, maka jika pengenalan terhadap diri-Nya lebih sempurna dan ilmu tentang-Nya lebih banyak, maka rasa takut kepada-Nya lebih besar dan lebih banyak.”

[Ulama’ itu bermaksud orang yang ada ilmu. Bukanlah pangkat ulama’, kerana kalau begitu, seolah-olah kita yang bukan ulama’ ini tidak perlu takut kepada Allah ‎ﷻ pula. Kita pun boleh jadi orang alim juga, bukan? Kalau kita ada ilmu agama, maka kita jadi orang alim lah juga.

Tidak kenal maka tidak cinta. Begitu juga dengan Allah ‎ﷻ, tidak kenal, maka kita tidak takut kerana kita tidak sedar tentang kehebatan Allah ‎ﷻ, maka kita anggap biasa sahaja. Seolah-olah Allah‎ ﷻ tidak ada kuasa hendak menghukum kita, memasukkan kita ke dalam neraka dan sebagainya.

Analoginya seperti kita duduk sebelah ketua gangster. Kalau kita tidak kenal dia ketua gangster, tentu kita tidak takut. Kita mungkin anggap dia pakcik biasa sahaja, boleh bergelak ketawa makan kuaci dengan dia. Tetapi katakanlah tiba-tiba kita tahu dia ketua gangster, perasaan kita pun sudah lain. Hendak cakap sepatah perkataan pun tidak berani agaknya.]

Mengenal Allah ‎ﷻ dapat memperkuatkan rasa takut, merasa diawasi, harapan kepada-Nya, menambah iman hamba, membuahkan berbagai-bagai macam ibadah. Selain itu, dengannya, hati akan lebih cepat berjalan menuju kepada Rabbnya dan langkahnya lebih cepat dalam meraih redha-Nya melebihi kecepatan angin yang berhembus, dia tidak akan menoleh ke kanan maupun ke kiri. Hidayah hanya di tangan Allah ‎ﷻ, tidak ada daya dan kekuatan, kecuali dengan pertolongan dari-Nya.

[Inilah harapan kita dengan belajar fiqh Asma’ul Husna ini. Supaya kita rasa lain macam dengan Allah ‎ﷻ. Yang Allah ‎ﷻ itu bukan ‘biasyer-biasyer’ sahaja. Dengan belajar, ia memberi kesan kepada jiwa kita.

Pertamanya, kita takut kerana Allah ‎ﷻ berkuasa hendak berbuat apa-apa sahaja kepada kita dan kita tidak dapat menghalang-Nya.

Takut ini dipupuk dengan kesedaran yang Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Kita sudah tahu dari segi ilmu, tetapi dari segi amali, adakah kita sedar? Kalau sedar, tentu kita tidak berani hendak membuat dosa, bukan?

Apabila kita kenal Allah ‎ﷻ, maka iman kita kepada-Nya akan bertambah kerana kita yakin dengan sebenar-benar yakin, yang memang Allah ‎ﷻlah layak diimani dan tempat kita menyerahkan ketaatan dan harapan.

Kita akan semakin berharap kepada-Nya kerana kita tahu Dia dengar permintaan kita, Dia Pemurah dan sanggup layan kehendak kita, Dia mempunyai segala perbendaharaan langit dan bumi maka Dia boleh beri apa sahaja yang kita minta. Ini antara perasaan yang timbul daripada pengenalan kita kepada Asma’ul Husna ini.

Tentunya hanya Allah‎ ﷻ sahaja yang boleh beri pemahaman tentang Diri-Nya kepada kita. Kita hanya boleh berusaha belajar sahaja. Semoga Allah‎ ﷻ beri pemahaman kepada kita.]

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-186 (Bahagian 1)

0

Tafsir Ayat Ke-186

Ini adalah ‘bonus’ yang diberikan Allah ‎ﷻ dalam bulan Ramadhan. Ini adalah tentang ‘doa’.

Banyak manusia yang salah faham tentang perkara ‘doa’ ini maka kita kena betulkan pemahaman mereka.

Ayat ini hendak mengingatkan kita supaya jangan lepaskan peluang untuk berdoa apabila kita berpuasa.

Ayat ini ada hubungan kita dengan puasa tetapi di dalamnya tidak disebutkan tentang puasa.

وَإِذا سَأَلَكَ عِبادي عَنّي فَإِنّي قَريبٌ ۖ أُجيبُ دَعوَةَ الدّاعِ إِذا دَعانِ ۖ فَليَستَجيبوا لي وَليُؤمِنوا بي لَعَلَّهُم يَرشُدونَ

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي
Dan apabila ditanya kepada kamu oleh hamba-hamba-Ku tentang diri-Ku;

Allah ‎ﷻ menggunakan إِذَا perkataan yang bermakna ‘apabila’. Allah ‎ﷻ tidak menggunakan perkataan ‘jika’. Ini bermakna, Allah ‎ﷻ sudah berharap yang hamba-Nya akan bertanya tentang Diri-Nya.

Allah ‎ﷻ mengatakan kita ini adalah عِبَادِي (hamba-Ku) yang bermaksud kita ini semua hamba-Nya. Semua makhluk adalah hamba-Nya sama ada mereka mengaku atau tidak.

Namun ayat ini memberi penghormatan kepada mereka yang mengaku sebagai hamba-Nya. Allah ‎ﷻ menggelar mereka: ‘hamba-Ku’ iaitu mereka yang beriman dengan-Nya. Ini adalah kedudukan yang terpuji.

Apakah yang dimaksudkan ‘bertanyamu tentang Aku’? Ada ulama’ yang mengatakan pertanyaan ini adalah: Di manakah Allah ‎ﷻ?

Ada juga yang kata ia adalah: tentang Allah ‎ﷻ. “Adakah Allah ‎ﷻ dekat dengan kita atau jauh? Adakah Allah ‎ﷻ dekat, jadi kita hanya berbisik sahaja?

Atau adakah Allah ‎ﷻ jauh sampai bila kita hendak bercakap dengan-Nya kita kena bercakap dengan kuat?”

Ada yang kata, ini adalah soalan daripada seorang Badwi kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang perkara itu.

Jawapan yang diberikan adalah dalam bahagian selepas ini, iaitu Allah ‎ﷻ jawab yang Dia adalah dekat.

فَإِنِّي قَرِيبٌ
Sesungguhnya Aku dekat;

Tidak perlu bimbang tentang adakah Allah ‎ﷻ terima atau tidak doa kita itu. Kita hanya perlu doa sahaja. Allah ‎ﷻ itu lebih dekat daripada manusia yang kita sangka boleh tolong kita. Janji kita minta sahaja kepada Allah ‎ﷻ dan Allah ‎ﷻ akan sahut.

Allah ‎ﷻ jawab sendiri pertanyaan itu. Allah ‎ﷻ tidak tambah perkataan قُلْ (katakanlah) di awal jawapan-Nya itu. Kalau ada perkataan قُلْ, bermakna Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ yang jawab. Memang ada ketikanya, Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ yang jawab.

Tetapi apabila Allah ‎ﷻ sendiri yang jawab, bermakna ia adalah lebih istimewa kerana Allah ‎ﷻ sendiri hendak jawab kepada kita. Ini juga adalah isyarat tiada tawassul dalam doa kepada Allah ‎ﷻ kerana Allah ‎ﷻ jawab sendiri, Allah ‎ﷻ tidak suruh Nabi Muhammad ﷺ yang jawabkan. Maknanya, ada talian terus dengan Allah ‎ﷻ dalam doa.

Allah ‎ﷻ memberitahu kepada kita dalam ayat ini bahawa Dia sangat hampir dengan kita. Maksud ‘dekat’ itu adalah dari segi ‘pengetahuan’ dan ‘pendengaran’-Nya. Bukanlah bermaksud Allah ‎ﷻ dekat dari segi fizikal dengan kita.

Oleh itu, tidak perlu bercakap kuat dengan Allah ‎ﷻ. Tidak perlu doa dengan suara yang kuat, pakai speaker dan sebagainya. Tidak perlu hendak menjerit-jerit dalam doa dan zikir.

Kalau sesiapa yang berjinak dengan tarekat, guru tarekat akan beritahu yang kita kena zikir kuat kerana kita jauh daripada Allah ‎ﷻ. Itu sudah berlawanan dengan ayat Allah ‎ﷻ ini.

Ada satu hadith dalam Sahih Bukhari tentang perkara ini:
5930 – حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُقَاتِلٍ أَبُو الْحَسَنِ أَخْبَرَنَا عَبْدُ اللَّهِ أَخْبَرَنَا سُلَيْمَانُ التَّيْمِيُّ عَنْ أَبِي عُثْمَانَ عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ
أَخَذَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي عَقَبَةٍ أَوْ قَالَ فِي ثَنِيَّةٍ قَالَ فَلَمَّا عَلَا عَلَيْهَا رَجُلٌ نَادَى فَرَفَعَ صَوْتَهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ قَالَ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى بَغْلَتِهِ قَالَ فَإِنَّكُمْ لَا تَدْعُونَ أَصَمَّ وَلَا غَائِبًا ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا مُوسَى أَوْ يَا عَبْدَ اللَّهِ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى كَلِمَةٍ مِنْ كَنْزِ الْجَنَّةِ قُلْتُ بَلَى قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

5930. Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Muqatil Abu Al Hasan telah mengabarkan kepada kami Abdullah telah mengabarkan kepada kami Sulaiman At Taimi daripada Abu Utsman daripada Abu Musa Al Asy’ari beliau berkata; “Nabi ﷺ pernah lalu di suatu bukit atau berkata; di suatu lembah, tatkala (keadaan jalan) agak naik, salah seorang berseru sambil mengangkat suaranya; “Laa illaha illallah Allahu Akbar (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, Allah Maha Besar).” Abu Musa melanjutkan; ‘Ketika itu Rasulullah ﷺ tengah berada di atas haiwan tunggangannya, lalu baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Dzat yang tuli dan jauh.’ Kemudian baginda bersabda: ‘Wahai Abu Musa, -atau- wahai Abdullah, mahukah aku tunjukkan kepadamu suatu kalimat yang termasuk dari perbendaharaan syurga? ‘Aku menjawab; ‘Tentu.’ Baginda bersabda: ‘Laa haula wa laa quwwata ilIa billaah’ Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan AlIah.’

Ini juga memberitahu kita bahawa kita boleh berdoa terus dengan Allah ‎ﷻ. Tidak memerlukan perantaraan atau yang dinamakan ‘tawassul’.

Ini adalah salah satu salah faham manusia. Mereka sangka Allah ‎ﷻ jauh, jadi kena pakai wasilah dalam berdoa.

Allah ‎ﷻ tahu segala-galanya tentang kita. Apa yang kita cakap, dalam sebutan atau dalam hati kita pun. Kalau kita tidak sebut pun Allah ‎ﷻ tahu apa yang kita kehendaki tetapi Allah ‎ﷻ suka kalau kita cakap sendiri.

Allah ‎ﷻ memasukkan pemberitahuan ini dalam ayat berkenaan Ramadhan. Ini menunjukkan kita paling hampir dengan Allah ‎ﷻ dalam bulan Ramadhan.

Jadi ayat ini tentang doa kepada Allah ‎ﷻ dan jikalau seseorang itu dekat, senang untuk kita bercakap dengannya. Oleh itu, hendaklah kita memperbanyakkan doa kepada-Nya dalam bulan Ramadhan.

Kalau kita lihat bahagian pertama, Allah ‎ﷻ dekat apabila kita ‘bertanyakan’ tentang Diri’Nya.

Bermakna, apabila kita hendak ambil tahu tentang Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan mendekatkan Diri-Nya dengan kita. Maka ini memberitahu kepada kita yang kita kena belajar untuk mengenal Allah ‎ﷻ.

Untuk mengenal Allah ‎ﷻ, kenalah dengan belajar Sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang disebutnya dalam Al-Qur’an, bukannya dengan belajar Sifat 20 (yang memeningkan).

Maka ayat ini bukan hanya tentang doa sahaja. Tetapi ia juga adalah penerangan tentang Allah ‎ﷻ. Dalam soalan ini, soalan itu bukan ‘di mana Allah ‎ﷻ?’, tetapi tentang Allah ‎ﷻ. Jadi, jawapan yang Allah ‎ﷻ berikan adalah Dia dekat.

Ini penting untuk mendapatkan taqwa. Sebab kita masih dalam isu taqwa lagi. Surah Baqarah banyak menyebut tentang taqwa. Kalau kita tahu Allah ‎ﷻ dekat, kita takut atau malu untuk berbuat salah.

Jadi kita sentiasa ingat bahawa Allah ‎ﷻ sentiasa dekat. Apabila dekat, maknanya tentulah Allah ‎ﷻ sentiasa melihat apa sahaja yang kita lakukan, bukan?

Ada satu penjelasan yang perlu diulang di sini. Apabila dikatakan Allah ‎ﷻ itu ‘dekat’, bukanlah Allah ‎ﷻ itu dekat daripada segi fizikal, tetapi dari segi Ilmu Allah ‎ﷻ – Allah ‎ﷻ mendengar dan melihat apa yang kita lakukan.

Ini hendak menolak pemahaman puak yang sesat yang mengatakan Allah ‎ﷻ ada di mana-mana. Ini adalah fahaman yang tersasar jauh dari pemahaman salafussoleh.

أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ
Aku menyahut doa orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku;

Allah ‎ﷻlah sahaja yang layak dan mampu untuk terima doa makhluk-Nya. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menyempurnakan doa. Tidak ada entiti lain lagi selain daripada-Nya.

Perkataan أُجِيبُ (Aku menjawab) yang digunakan dalam ayat ini bermaksud Allah ‎ﷻ menyahut dengan segera, terus menyahut doa kita.

Awal-awal lagi Allah ‎ﷻ sudah sebut yang Dia akan jawab dengan segera. Allah ‎ﷻ tidak kata yang Dia ‘akan’ jawab – kerana itu menunjukkan mungkin lama lagi Allah ‎ﷻ akan jawab. Tidak begitu.

Allah ‎ﷻ kata Dia akan jawab terus. Apabila kita berdoa, kita berharap semoga Allah ‎ﷻ dengar doa kita. Nah, sekarang Allah ‎ﷻ sudah beritahu bahawa Dia memang dengar dan akan terus menerus menjawab doa kita itu.

Oleh itu, yakinlah yang Allah ‎ﷻ mendengar segala doa kita. Kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ mendengar doa kita, kalau kita tidak ada keyakinan itu, doa itu tidak akan makbul.

Apabila Allah ‎ﷻ tambah إِذَا دَعَانِ (apabila dia berdoa), itu bermaksud tiada had masa. Bila-bila sahaja Allah ‎ﷻ akan jawab. ‘Apabila’ kita berdoa sahaja, Allah‎ ﷻ akan menyahut.

Tidak perlu melalui proses-proses tertentu, upacara tertentu macam kena buat Majlis Doa Selamat, Salat Hajat dan sebagainya.

Itu semua adalah bid’ah sahaja. Itu adalah rekaan puak-puak yang hendak minta upah daripada orang yang hendak buat majlis itu. Itu semua buang duit sahaja.

Kalau kita ada hajat, maka teruslah berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Tidak perlu tunggu apa-apa lagi.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan الدَّاعِ yang mengandungi huruf alif lam. Apabila ada alif lam, ini menunjukkan sesuatu perkataan itu adalah khas. Ini menunjukkan orang yang berdoa itu adalah orang yang dianggap istimewa oleh Allah. الدَّاعِ adalah sesiapa sahaja yang berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Ramai orang yang tidak berdoa dengan Allah ‎ﷻ, tetapi mereka yang berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ adalah istimewa sekali.

Hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh terima doa, tidak ada entiti lain yang boleh sebegitu. Oleh itu tidak boleh berdoa melalui perantaraan seperti Salat Hajat berjama’ah yang selalu dibuat masyarakat kita itu.

Sikit-sikit Salat Hajat. Itu semua adalah perbuatan kufur kepada Allah ‎ﷻ – kerana mereka rasa Allah ‎ﷻ tidak menerima doa mereka kalau tidak buat salat Hajat. Padahal dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata Dia dekat dengan kita.

Tidak ada amalan Salat Hajat berjama’ah dalam Islam. Kalau hendak berdoa, lepas salat yang biasa kita buat, sama ada salat fardhu atau salat sunat, boleh terus berdoa kepada Allah ‎ﷻ.

Tidak perlu diberi nama Salat Hajat pun boleh berdoa juga kerana apabila diberikan nama kepada salat itu, manusia akan mereka-reka apakah amalan yang termasuk dalam salat itu iaitu mulalah mereka akan tanya apakah surah untuk dibaca dalam raka’at pertama, raka’at kedua dan apakah doa yang hendak dibaca dan sebagainya. Itu semua adalah rekaan sahaja kerana Nabi ﷺ tidak mengajar Salat Hajat kepada umatnya.

Dalil-dalil yang diberi untuk menghalalkan salat Hajat itu adalah amat lemah sekali. Tidak boleh dipakai. Yang ada hanya salat sunat biasa sahaja.

Kita kenalah berdoa terus kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kenapa hendak berdoa melalui perantaraan lain lagi, sedangkan Allah ‎ﷻ sendiri sebut dalam ayat ini bahawa Dia adalah dekat dan Dia akan jawab sendiri doa-doa kita? Tidak ada Nabi, tidak ada wali dan tidak ada Malaikat yang boleh sahut doa.

Tetapi ada ajaran sesat yang mengajar macam-macam ajaran salah, sampai ada sekolah tahfiz mengajar anak muridnya untuk beri salam kepada Tok Kenali supaya dengan berkat Tok Kenali, mudah hafal Al-Qur’an. Itu adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ; dan ada yang jual air yang telah didoakan supaya apabila pelajar minum, boleh jadi cerdik.

Itu semua daripada ajaran sesat. Pelajar bukan Islam tidak minum pun air penerang hati tok guru dan mereka lebih pandai pula daripada orang kita. Tidak pelikkah begitu?

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ kata kalau berdoa kepada-Nya, Allah ‎ﷻ akan jawab setiap kali manusia meminta. Tidak kira siang atau malam. Bukan macam manusia – kadang kalau kita telefon orang, belum tentu mereka akan jawab panggilan kita.

Ini menunjukkan Allah ‎ﷻ meluangkan masa untuk kita. Alangkah hebatnya dan alangkah sayangnya Allah ‎ﷻ kepada kita.

Bandingkan kalau di dunia ini: Katakanlah kita ada ketua syarikat. Semakin tinggi kedudukan bos itu dan semakin rendah kedudukan kita, semakin kurang peluang untuk dapat bercakap-cakap dengan bos besar kita itu.

Namun tidak dengan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh menyahut panggilan kita pada bila-bila masa sahaja.

Dengan Allah ‎ﷻ, iaitu Dzat yang paling tinggi boleh berkomunikasi dengan yang paling rendah iaitu Allah ‎ﷻ yang paling tinggi dan kita yang berpangkat hamba sahaja.

Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Jangan malu hendak minta kepada Allah ‎ﷻ. Ada orang yang malu hendak minta syurga kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka rasa mereka banyak dosa dan mereka rasa mereka tidak layak masuk syurga.

Jangan begitu, kenalah kita minta masuk syurga dan kena minta masuk syurga yang paling tinggi sekali – Syurga Firdaus.

Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan دَعْوَةَ yang dari segi nahu bermaksud ‘satu doa’ sahaja. Tidak perlu banyak kali doa, sekali doa sahaja Allah ‎ﷻ sudah boleh jawab. Tambahan pula kalau banyak kali.

Ini juga bermaksud, tidak ada syarat untuk Allah ‎ﷻ membalas doa kita. Katakanlah kita ini orang yang banyak dosa, pun Allah ‎ﷻ tidak tolak doa kita itu. Allah ‎ﷻ masih lagi akan jawab doa kita.

Tidak perlu kita menggunakan perantaraan dalam doa kita kerana kita takut Allah ‎ﷻ tidak dengar doa kita. Ketahuilah, Allah ‎ﷻ dengar doa kita. Dia hendak sangat kita doa kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ tambah lagi dengan perkataan الدَّاعِ, yang bermaksud ‘pendoa’. Bermaksud sesiapa sahaja yang berdoa. Tidak semestinya orang yang berdoa itu orang alim, orang yang kuat ibadat, orang yang selalu salat, orang yang selalu ke masjid, tidak.

Sebab salah faham beginilah yang menyebabkan orang kita apabila hendak doa, mereka akan minta orang lain doakan.

Mereka akan minta ‘orang surau’ datang berdoa. Maka, mereka buat majlis ‘Doa Selamat’ di rumah mereka dan panggil orang surau datang untuk mendoakan untuk mereka. Itu semua adalah salah faham dengan konsep doa.

Jangan kita sangka doa kita tidak didengari oleh Allah ‎ﷻ kalau kita doa sendiri. Jangan begitu, jangan kita buruk sangka dengan Allah ‎ﷻ.

Itu adalah buruk sangka kerana Allah ‎ﷻ tidak pernah kata Dia akan tolak doa kita kalau kita banyak dosa. Itu adalah salah sangka kita sahaja kepada Allah ‎ﷻ dan kerana telah diajar oleh guru-guru yang sesat. Merekalah yang memandai kata Allah ‎ﷻ tidak dengar doa orang yang berdosa.

Mereka ajar begitu supaya kita minta mereka doakan untuk kita dan mereka akan minta upah untuk doakan bagi pihak kita. Mereka hendakkan habuan sebenarnya. Semua berkenaan duit juga, akhirnya. Mereka sendiri agaknya tidak kenal Allah ‎ﷻ, sampaikan mereka boleh ajar benda-benda begitu.

Ayat ini dengan jelas menceritakan tentang doa dan bagaimana Allah ‎ﷻ akan menjawab doa itu. Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi berdasarkan ayat ini untuk Allah ‎ﷻ mendengar dan menjawab doa kita.

1. Doa itu perlu ikhlas. Hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja.

2. Doa dilakukan dengan sedar. Faham apa yang kita doa.

3. Doa dengan merendahkan diri. Mengharap sangat dengan Allah ‎ﷻ. Kita kena kecilkan diri kita.

4. Berdoa dalam keadaan takut dengan Allah ‎ﷻ dan juga dalam keadaan hormat kepada Allah ‎ﷻ. Kadang-kadang kita minta dengan orang, kita tidak hormat kepada mereka.

Jangan kita buat begitu dengan Allah ‎ﷻ. Jangan kata: “Ya Allah, kami sudah banyak salat, berilah apa yang kami minta ini.”

5. Doa yang sesuai. Janganlah seorang perempuan berdoa minta hendak jadi Perdana Menteri pula. Itu tidak sesuai. Doa itu juga bukanlah perkara untuk berbuat dosa.

Bersambung..

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan