Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-186 (Bahagian 2)

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-186 (Bahagian 2)

1032
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-186
فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي

maka hendaklah mereka cuba untuk menyahut-Ku;

Hendaklah mereka cuba menyahut seruan iman daripada Allah ‎ﷻ. Ikutlah apa sahaja yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Taatlah kepada Allah ‎ﷻ. Kalau kita mahu Allah ‎ﷻ menyahut doa kita, maka hendaklah kita menyahut seruan Allah ‎ﷻ, arahan Allah ‎ﷻ.

Lihatlah bagaimana ayat ini menggunakan pilihan perkataan. Apabila Allah ‎ﷻ menyebut Dia jawab, Dia gunakan perkataan أُجِيبُ, yang bermaksud Dia akan terus jawab. Tetapi apabila menyebut tentang kita, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan فَلْيَسْتَجِيبُوا, yang bermaksud dari segi nahwu, ‘cubalah’ untuk menyahut seruan-Nya. Allah ‎ﷻ suruh kita buat seboleh mungkin sahaja kerana Allah ‎ﷻ tahu betapa lemahnya kita.

وَلْيُؤْمِنُوا بِي

dan hendaklah beriman kepadaKu;

Ayat ini bermakna hendaklah kita yakin bahawa Allah ‎ﷻlah sahaja yang boleh memperkenankan doa kita. Ayat ini juga bermaksud, hendaklah mereka yakin bahawa Allah ‎ﷻ telah mendengar doa mereka.

Satu perkara penting berkenaan doa hendak disampaikan di sini. Berapa ramai yang kita dengar, apabila kita nasihatkan mereka untuk berdoa kepada Allah ‎ﷻ, mereka akan jawab: “Dah doa dah, tapi tak dapat lagi…”. Mereka sangka doa kepada Allah ‎ﷻ itu macam “order” pizza, agaknya. Bila “order”, tidak lama lagi sampai.

Tidak begitu dan jangan kita ada pemahaman begitu dan cakap begitu. Allah ‎ﷻ Maha Tahu apa yang kita perlukan. Allah ‎ﷻ akan memberi kepada kita mengikut keperluan kita. Bukan ikut apa yang kita hendak. Kita kena percaya kepada Allah ‎ﷻ yang Allah ‎ﷻ akan memberi yang terbaik untuk kita.

Itulah sebabnya dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh kita ‘beriman kepada-Nya’. Maksudnya adalah percaya bahawa Allah ‎ﷻ akan memberi kepada kita apa yang kita perlukan.

Oleh itu, jangan kita segan untuk doa dan jangan kita berputus asa untuk berdoa. Allah ‎ﷻ pasti mendengar doa kita, tetapi Allah ‎ﷻ membalas doa kita itu dengan tiga macam:

1. Allah ‎ﷻ akan beri apa yang kita hendak dan diberi semasa di dunia lagi. Contohnya, kita doa supaya diberikan pasangan hidup, maka Allah ‎ﷻ beri pasangan hidup untuk kita.

2. Allah ‎ﷻ beri lain dari apa yang kita hendak. Kita minta pasangan hidup, tetapi Allah ‎ﷻ tidak beri. Allah ‎ﷻ berikan benda lain, contohnya, Allah ‎ﷻ berikan keselamatan untuk kita kerana kita lebih memerlukan keselamatan itu iaitu Allah ‎ﷻ jauhkan keburukan dari kita. Kita pun tidak tahu apakah yang Allah ‎ﷻ telah selamatkan kita. Tentunya sudah banyak perkara yang Allah‎ ﷻ telah berikan kepada kita, tetapi kita tidak sedar pun.

3. Allah ‎ﷻ tidak beri di dunia, tetapi Allah ‎ﷻ akan balas di akhirat kelak. Akan diganti dalam bentuk pahala dan balasan yang lebih baik lagi. Allah ‎ﷻ simpan dan balas di akhirat. Tetapi balasan di akhirat itu nanti akan berlipat kali ganda dari apa yang kita minta dahulu.

Oleh itu, ada riwayat yang mengatakan bagaimana apabila ahli syurga melihat balasan yang Allah ‎ﷻ ganti dari doa mereka semasa di dunia dulu. Mereka suka sangat dengan balasan itu, sampaikan mereka berkata: “Alangkah baiknya kalau tidak ada satu pun doa kita semasa di dunia dulu dimakbulkan, supaya kita akan mendapat balasannya di akhirat ini”.

Itu adalah kerana apa yang mereka dapat di akhirat itu berlipat kali ganda daripada apa yang mereka dapat di dunia jikalau Allah ‎ﷻ tidak makbulkan semasa di dunia.

Oleh itu, jangan berputus asa dalam berdoa kepada Allah ‎ﷻ, tetapi hendaklah kita beriman kepada Allah ‎ﷻ dan percaya bahawa Allah‎ ﷻ akan memberi mengikut keperluan kita, bukan kehendak kita.

Tidak kira berapa banyak doa kita, Allah‎ﷻ boleh balas semuanya sekali. Ingatlah yang kita WAJIB berdoa kepada Allah ‎ﷻ; tetapi Allah ‎ﷻ HARUS sahaja untuk beri apa yang kita minta.

لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.

Apakah beza ‘hidayah’ dan رشد? Kedua-duanya ada elemen ‘petunjuk’ di dalamnya. Ulama’ mengatakan رشد bermaksud ‘mengamalkan’ hidayah yang telah diterima itu. Amal dan terus mengamalkannya.

Kadang-kadang kita telah tahu apa yang hendak dibuat, tetapi kita tidak amalkan. Atau pun kita buat sedikit sahaja, sekejap sahaja. Itu bukanlah ‘rusyd’. Jadi, kita boleh tahu bahawa رشد adalah istiqamah dalam beramal kebaikan. Ini adalah satu dugaan yang perlu dilakukan.

Oleh itu, berdasarkan ayat ini, kalau kita beriman dan taat kepada Allah ‎ﷻ, itu adalah jalan untuk mendapat petunjuk – رشد.

Orang yang mendapat رشد akan menjalani kehidupan ini dengan baik, dengan sempurna. Selalu dalam kehidupan ini, banyak dugaan yang kita akan hadapi. Kita kena berperang dengan syaitan dan juga nafsu kita sendiri. Untuk menghadapinya, hendaklah kita berharap dan memohon pertolongan kepada Allah ‎ﷻ.

Maka, kenalah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk mendapatkan perkara ini kerana perkara ini disebut dalam ayat tentang doa. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh memimpin kita. Kita minta kepada Allah ‎ﷻ untuk pimpin kita dalam segenap perjalanan hidup kita kerana kadang-kadang kita tidak tahu apakah perkara yang terbaik yang patut kita lakukan dalam satu-satu pekerjaan kita. Maka, dalam hal itu, kita mintalah petunjuk kepada Allah ‎ﷻ.

Ayat ini dalam bahagian Puasa. Maka, kita kena ambil peluang berdoa dalam bulan Puasa ini. Doa itu termakbul selepas kita melakukan ibadah. Maka, selepas sepanjang hari kita berpuasa, maka ambillah peluang untuk berdoa. Semasa kita tunggu untuk berbuka, ambillah masa untuk berdoa. Jangan sibuk dengan hendak sediakan makanan, sibuk hendak makan sahaja. Kalau kita kisah makan sahaja, maka kita akan terlepas peluang keemasan itu.

Cara berdoa:

1. Mengucap dua kalimat Syahadah; sebab takut kita ada buat kufur sebelum ini. Maka, kita perbaharui iman dan Islam kita.

2. Istighfar; bacalah banyak-banyak sehingga kita jemu. Sebab kita banyak buat dosa. Selalunya kita hanya minta macam-macam kepada Allah ‎ﷻ, tetapi kita lupa dosa kita amat banyak dengan Allah ‎ﷻ.

Bayangkan, kalau anak yang banyak buat salah minta wang kepada ayahnya, tentu ayahnya berat hati hendak bagi. Tetapi, kalau anak itu datang kepada ayahnya mengaku kesalahan yang dia telah buat, dan dia kata dia tidak akan buat lagi kesalahan itu, tentu ayah itu akan lembut hati dan baru lega hati hendak beri wang kepada anak itu.

3. Taubat; rukun taubat salah satunya adalah berazam untuk tidak buat dosa yang telah kita buat. Minta ampun atas dosa yang telah kita lakukan dan azam untuk tidak buat lagi. Mintalah ampun atas dosa kita, dosa dua ibu bapa kita dan dosa seluruh umat Islam.

4. Tasbih kepada Allah ‎ﷻ berulang-ulang. Bertasbihlah sampai kita jemu.

5. Salat sunat dua rakaat; sebagai tanda hendak minta doa kepada Allah‎ ﷻ. Salat adalah ibadat yang paling besar sekali. Tetapi ini bukan Salat Hajat. Bukan juga Salat Taubat. Sebenarnya tidak ada salat Hajat dan Salat Taubat dalam Islam. Itu hanyalah rekaan sahaja. Ia hanya salat sunat mutlak. Bacalah surah apa-apa sahaja. Tidak ada ketetapan apa-apa dalam salat ini.

6. Selawat kepada Nabi ﷺ. Bukan kerana Nabi ﷺakan menyampaikan doa itu tetapi kerana Nabi ﷺlah yang telah menyampaikan ajaran agama kepada kita supaya kita selamat. Maka, kita hargai usaha Nabi ﷺ itu dengan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya memberi kebaikan kepada Nabi ﷺ.

7. Mulakan doa dengan mengaku bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan kita; Ini amat jarang sekali orang buat. Katakanlah bahawa Allah ‎ﷻ yang menjadikan alam ini dan kita semua sekali. Kena bodek Allah ‎ﷻ dengan mengaku yang hanya Dia sahaja yang boleh tolong dan boleh selesaikan masalah kita.

Sebutkan Sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang disebut dalam Al-Qur’an. Atau ikut cara Nabi ﷺ ajar bagaimana hendak bodek Allah ‎ﷻ. Sebutkan kalimah-kalimah yang Nabi ﷺ telah ajar kita. Cara yang Nabi ﷺ ajar adalah yang terbaik sekali. Kalau kita tahu cara yang Nabi ﷺ ajar, baik kita ikuti. Tetapi kalau kita tidak tahu atau belum berjumpa lagi, bolehlah kita gunakan sahaja bahasa yang datang dari kita sendiri.

8. Mintalah apa sahaja yang kita hendak minta. Katakan juga: Kalau Allah ‎ﷻ kabulkan doa ini, Allah ‎ﷻlah Tuhan. Kalau Allah ‎ﷻ tidak makbulkan, Allah ‎ﷻ jua Tuhan kita. Tetapi kalau bukan kepada Allah ‎ﷻ kita meminta, kepada siapa lagi yang kita boleh minta tolong?

9. Selepas berdoa, hendaklah kita pohon supaya Allah ‎ﷻ perkenankan doa kita.

10. Jangan kita putus asa dengan Allah ‎ﷻ. Kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ akan terima doa kita. Terus berdoa lagi dan lagi.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan