Utama Bilik (28) Bidaah Nusantara BAB 13: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Menyapu Muka Selepas Salat

BAB 13: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Menyapu Muka Selepas Salat

379
0
Iklan

Telah menjadi amalan lumrah yang diamalkan oleh orang Islam nusantara ialah mereka akan mengusap wajah mereka dan membaca zikir yang tertentu seusai mengucap salam (salat). Adakah dalil yang menyokong amalan ini dan bagaimana status dalil yang disandarkan kepada amalan ini? Maka, pada kali ini kita akan menelusuri dalil-dalil yang menjadi sandaran mereka.

Hadith pertama:

كان إذا صلى مسح بيده اليمنى على رأسه و يقول: بسم الله الذي لا إله غيره الرحمن الرحيم، اللهم أذهب عني الهم و الحزن ( – ” كان إذا صلى مسح بيده اليمنى على رأسه و يقول : بسم الله الذي لا إله غيره الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الهم و الحزن ” .

قال الألباني في ” السلسلة الضعيفة و الموضوعة ” ( 2 / 114 ) :

ضعيف جدا .

رواه الطبراني في ” الأوسط ” ( ص 451 – زوائده نسخة الحرم المكي) و الخطيب ( 12 / 480 ) عن كثير بن سليم أبي سلمة سمعت أنسا به . قلت : وهذا سند ضعيف جدا من أجل كثير هذا ، قال البخاري و أبو حاتم : ” منكر الحديث “و قال النسائي و الأزدي : ” متروك ” . و ضعفه غيرهم . و الحديث أورده السيوطي في ” الجامع ” عن الخطيب و لم يتعقبه الشارح بشيء . و قد وجدت له طريقا آخر ،رواه ابن السني ( رقم 110 ) و أبو نعيم في ” الحلية ” ( 2 / 301 ) عن سلامة عنزيد العمي عن معاوية بن قرة عن أنس . و هذا موضوع ، سلامة هو الطويل كذاب .

سلسلة الأحاديث الضعيفة والموضوعة وأثرها السيء في الأمة… للألباني/المجلد الثاني:حديث رقم(660).)

Terjemahan:

“Adalah Rasulullah ﷺ apabila selesai salatnya, baginda ﷺ menyapu dahinya dengan telapak tangan kanannya kemudian baginda berkata: “Dengan nama Allah ﷻ yang tiadalah Tuhan melainkan Allah ﷻ Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Ya Allah, hindarkan daripadaku kedukaan dan kesedihan.“

Berkata Syeikh al-Albani رحمه الله di dalam Silsilah al-Dha’ifah (114/2): Terlalu Lemah (Dha’if Jiddan).

HR al-Imam at-Thobrani رحمه الله di dalam “al-Awsot“ (mukasurat 451 ~ Edisi Makkah al-Mukarramah ) dan juga oleh al-Imam al-Khotib (12/480) daripada Katsir Bin Salim Abi Salamah. Katsir inilah yang menjadi penyebab hadith ini berstatus terlalu lemah.

Al-Imam al-Bukhari رحمه الله dan al-Imam Abu Hatim رحمه الله menuduh Katsir ini sebagai seorang perawi yang mungkar hadith. Al-Imam an-Nasaie رحمه الله dan al-Imam al-Uzdi رحمه الله menuduh Katsir ini sebagai seorang yang matruk. Katsir ini turut sama dituduh dengan pelbagai tuduhan yang menyebabkan kita tidak dapat mempercayai kata-katanya. Hadith seperti ini turut sama diriwayatkan oleh al-Imam as-Suyuthi رحمه الله di dalam “al-Jaami“ daripada al-Imam al-Khatib رحمه الله. Diriwayatkan juga oleh al-Imam Ibnu Sunni رحمه الله (No. 110) dan juga al-Imam Abu Nu’aim رحمه الله di dalam “Hulliyah al-Awliya“ ( 2 / 301 ) yang bersumberkan daripada Salamah daripada Zaid al-‘Ammi daripada Mu’awiyah Bin Qarah daripada Anas. Salamah ini pula dituduh sebagai seorang yang sentiasa berdusta.

Lihat: Silsilah al-Ahadith adh-Dha’ifah Wal Maudhu’ah oleh al-‘Allamah Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani رحمه الله (Hadith no.660)

Hadith Kedua:

1059 – ” كان إذا قضى صلاته مسح جبهته بكفه اليمنى ثم أمرها على وجهه حتى يأتي بها على لحيته و يقول : بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب و الشهادة الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الغم و الحزن و الهم ، اللهم بحمدك انصرفت ، و بذنبي اعترفت ، أعوذ لك من شر ما اقترفت ، و أعوذ بك من جهد بلاء الدنيا ، و من عذاب الآخرة ” .

قال الألباني في ” السلسلة الضعيفة و الموضوعة ” ( 3/172 ) : موضوع

Terjemahan:

“Adalah Rasulullah ﷺ apabila selesai salatnya, baginda menyapu dahinya dengan telapak tangan kanannya, kemudian melalukannya ke atas mukanya sampai ke janggutnya, kemudian berdoa: “Dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Allah melainkan Dia yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan nyata, yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ya Allah, hindarkan daripadaku kegusaran, kedukaan dan kesedihan. Ya Allah Ya Tuhanku, dengan memuji-Mu aku beredar, dengan dosaku aku mengakui. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang telah aku lakukan. Dan aku juga berlindung dengan-Mu daripada beban bala dunia dan azab akhirat.“ (HR Imam Abu Nu’aim رحمه الله) 

Komentar daripada Syeikh al-Albani di dalam Silsilah al-Dha’ifah hadith no.1059:

Status hadith ini ialah palsu (Maudhu’).

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Abu Nu’aim رحمه الله  di dalam “Akhbar al-Asbahan“ (2/104) daripada Daud bin al-Muhabbir, pengarang kitab “al-‘Aql “ dan beliaulah yang dituduh sebagai “seorang perawi yang suka berdusta“. Tuduhan ini telah dinyatakan oleh al-Imam adz-Dzahabi رحمه الله, al-Imam Ibnu Hibban رحمه الله, al-Imam as-Suyuthi رحمه الله, al-Imam al-Munawi رحمه الله dan juga asy-Syeikh al-Albani رحمه الله.

Mengapa majoriti umat Islam nusantara beramal dengan amalan menyapu muka selepas salat?

Jawapannya adalah kerana ia berada di dalam kitab kuning dan kitab-kitab mazhab.

Berikut adalah petikan daripada beberapa kitab berkenaan isu ini:

1- Kitab Munyatul Musholli karya Syaikh Daud Fathoni

“…adapun sunat yang dikerjakan selepas daripada salat, maka adalah Nabi ﷺ apabila selesai daripada salat menyapu dengan tangannya di atas kepalanya dan dibacanya: “Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain Dia yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala kebingungan (stress) dan kedukaan

( بسم الله الذي لا إله إلا هو الرحمن الرحيم. اللهم اذهب عني الهم و الحزن ).”

(Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathoni yang menyebut dalam kitabnya “Munyatul Musholli” halaman 18)

2- Berkata Imam Nawawi رحمه الله di dalam Kitab al-Azkar:

    وروينا في كتاب ابن السني ، عن أنس رضي الله عنه ، قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا قضى صلاته مسح جبهته بيده اليمنى ، ثم قال : أشهد أن لا إله إلا الله الرحمن الرحيم ، اللهم أذهب عني الهم والحزن

“Dan aku meriwayatkan di dalam kitab Ibn al-Sunni daripada Anas رضي الله عنه berkata: Adanya Rasulullah ﷺ ketika selesai salatnya, baginda mengusap dahinya dengan tangannya yang kanan lalu berdoa: “Aku bersaksi bahawasanya tidak ada tuhan kecuali Dia Zat Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, Ya Allah hilangkanlah daripadaku kesusahan dan kesedihan” (al-Azkar, 69).

3- Di dalam “Bughyatul Mustarsyidin“, kitab masyhur himpunan Sayyid ‘Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi, Mufti Hadhramaut, pada halaman 49 dinyatakan:

“Ibnu Manshur telah meriwayatkan bahawasanya adalah junjungan Nabi ﷺ apabila selesai salatnya, baginda menyapu dahinya dengan tapak tangan kanannya, kemudian melalukannya ke wajah baginda sehingga sampai ke janggut baginda yang mulia, sambil membaca:”

بسم الله الذي لا إله إلا هو عالم الغيب و الشهادة الرحمن الرحيم اللهم أذهب عني الهم و الحزن و الغم اللهم بحمدك انصرفت و بذنبي اعترفت

أعوذ بك من شر ما اقترفت و أعوذ بك من جهد بلاء الدنيا و عذاب الآخرة

Umat Islam di nusantara berhujah dengan kalam-kalam Imam Nawawi, Ibn Sunni, al-Baihaqi yang memuatkan hadith-hadith ini di dalam kitab-kitab sunan mereka. Kita bersangka baik dengan ulama’ ini semua kerana mereka juga adalah ulama’ hadith yang handal, kemungkinan hadith-hadith tersebut sahih di sisi mereka. Kemungkinan juga mereka beranggapan hadith dhaif boleh diamalkan atas dasar fadhail amal (galakan beramal). Namun, muktamad di sisi majoriti ahli hadith seperti Imam Bukhari dan Muslim, Syaikh al-Albani, Syaikh Syuaib al-Arnaout dan ramai lagi berpendapat kesemua hadith tersebut adalah amat dhaif dan tidak mungkin dapat dinaik taraf menjadi sahih atau hasan.

Menurut Ustaz Dr. Zaharudin Abdul Rahman di dalam kitab beliau iaitu “Formula Solat Sempurna” muka surat 104:

Imam al-Bukhari meletakkan tajuk yang memuatkan sebuah hadith berkaitan menyapu dahi dan hidung dalam ‘Bab sesiapa tidak menyapu dahinya dan hidungnya sehingga tamat sembahyang.’

Hadithnya iaitu daripada Abu Said al-Khudri berkata: “Aku melihat Rasulullah ﷺ sujud di atas air dan tanah sehingga dapat dilihat debu dan kesan tanah di dahinya.” 

Riwayat al-Bukhari (dengan Syarah Fath al-Bari) no.836.

Beberapa kefahaman yang dapat diambil daripada hadith tersebut ialah:

1- Nabi Muhammad ﷺ  tidak menyapu dahi ketika salat walaupun dahi baginda terdapat kesan tanah dan air. 

2- Nabi Muhammad ﷺ  juga tidak menyapu dahi baginda selepas salat dan kalaulah ada ihtimal selepas salat, maka ia kerana membuang kesan tanah dan air dan seumpamanya yang ada di dahi.

Oleh itu secara kesimpulannya, keperluan menyapu dahi juga bukan daripada perbuatan salat yang mesti dibuat, malah yang sahihnya adalah Nabi ﷺ tidak melakukannya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani رحمه الله pula mengatakan, jika Nabi ﷺ melakukannya pun, maka ia bertujuan menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi baginda yang termasuk dalam bab Jibiliyyah (perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukan amalan untuk merapatkan diri kepada Allah ﷻ. (Fath al-Bari)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan