Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-3

Tafsir Surah Al-Maidah: Tafsir Ayat Ke-3

240
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Mai’dah
Tafsir Ayat Ke-3:

Kita lihat lagi ayat-ayat hukum dalam Surah Maidah ini.

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلٰمِ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

Diharamkan bagimu (memakan) bangkai,

Dalam ayat sebelum ini, telah disebut tentang makanan yang halal yang tidak boleh diharamkan. Dalam ayat ini pula adalah perkara-perkara haram yang tidak boleh dihalalkan. Kalau buat juga, itu juga termasuk dalam perkara syirik amali. Sekarang kita belajar makanan-makanan yang haram dimakan.

Yang pertama disebut adalah bangkai iaitu binatang yang mati sendiri tanpa melalui proses penyembelihan atau proses pemburuan (kerana kalau diburu, ada kemungkinan kita tidak sempat sembelih dan binatang itu sudah mati apabila kita sampai kepadanya, atau dibawa kepada kita oleh binatang buruan kita).

Semua bangkai binatang adalah haram dimakan kecuali dua sahaja: iaitu bangkai belalang dan ikan. Ini kerana ada hadith yang menyentuh berkenaan perkara ini:

Daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ الْحُوتُ وَالْجَرَادُ

Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai: ikan dan belalang.

(Sunan Ibn Majah (3218)

Dari segi saintifik, binatang yang mati dengan sendiri (bangkai) tidak elok dimakan kerana ia tidak disembelih dan kerana itu darahnya masih mendap dalam tubuhnya. Oleh kerana itu kekotoran dan bahan yang tidak elok di dalam darah itu akan masuk ke dalam badan kita kalau memakannya.

وَا لدَّمُ

dan darah

Darah juga haram dimakan. Dalam ayat yang lain, disebut sebagai tambahan maklumat, darah yang haram itu adalah ‘darah yang mengalir’ (Rujuk An’am:145). Jadi, hati dan limpa walaupun berdarah, boleh dimakan.

Dan kalau ada sedikit darah yang melekat pada daging, itu tidak mengapa. Tidaklah perlu dibasuh daging itu sampai langsung tidak ada darah. Boleh rujuk pada ayat Baqarah:173

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Kasir ibnu Syihab Al-Mizhaji, telah menceritakan kepada kami Mu­hammad ibnu Sa’id ibnu Sabiq, telah menceritakan kepada kami Amr (yakni Ibnu Qais), daripada Sammak, daripada Ikrimah, daripada Ibnu Abbas, baha­wa dia pernah ditanya mengenai limpa. Maka dia menjawab, “Makanlah limpa itu oleh kalian.” Mereka berkata, ‘Tetapi limpa itu adalah da­rah?” Maka Ibnu Abbas رضي الله عنهما menjawab, “Sesungguhnya yang diharamkan atas kalian itu hanyalah darah yang mengalir.”

Di dalam riwayat yang lain:

قَالَ أَبُو عَبْدِ اللَّهِ مُحَمَّدُ بْنُ إِدْرِيسَ الشَّافِعِيُّ: حَدَّثَنَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ، عَنْ أَبِيهِ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “أحِلَّ لَنَا مَيْتَتَانِ ودمان، فأما الميتتان فالحوت والجراد، وأما الدمان فَالْكَبِدُ وَالطُّحَالُ”.

Abu Abdullah Muhammad ibnu Idris Asy-Syafii mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam, daripada ayahnya, daripada Ibnu Umar secara marfu’ bahawa Ra­sulullah ﷺ telah bersabda: Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Adapun dua jenis bangkai iaitu ikan dan belalang, dan dua jenis darah iaitu hati dan limpa.

وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

dan daging babi

Daging babi seperti yang kita sedia maklum adalah haram, dan ini termasuk bulu, kulit dan tulangnya. Disebut daging sahaja dalam ayat ini kerana daging yang paling banyak daripada bahagian tubuh babi itu tetapi ia mewakili semua anggota tubuh babi itu. Jadi tidak bolehlah kalau hendak dimakan sup tulang babi pula.

وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللهِ بِهِ

dan yang disembelih atas nama selain Allah,

Iaitu binatang yang disembelih bukan kerana Allah ‎ﷻ. Kalau pada zaman Jahiliah, ada binatang yang asalnya halal dimakan tetapi disembelih atas nama berhala dan selain Allah ‎ﷻ.

Amat meyedihkan sekali, pada zaman sekarang pun ada juga perkara ini berlaku dalam kalangan orang Islam kita. Ini kerana ada yang jahil agama yang sembelih binatang mereka dengan tujuan untuk menjamu jin dan hantu. Ini juga adalah haram dimakan kerana tujuan mereka sembelih binatang itu adalah untuk membesarkan selain Allah ‎ﷻ. Daging sembelihan itu haram dimakan walaupun baca Basmalah semasa disembelih dan sembelih dengan cara Islam.

وَالْمُنْخَنِقَةُ

dan yang tercekik

Binatang yang mati tercekik juga haram dimakan. Sama ada dicekik secara sengaja atau tidak sengaja. Katakanlah kita tambat lembu kita dan mungkin ia hendak melarikan diri kerana ketakutan dan oleh kerana lehernya terikat, maka, lembu itu mati terjerut.

وَالْمَوْقُوذَةُ

dan yang terpukul

Iaitu binatang yang dipukul sampai mati, iaitu dipukul dengan benda berat tetapi tidak tajam. Orang Arab Jahiliah biasa memukul sahaja binatang ternakan mereka sampai mati untuk dimakan.

وَالْمُتَرَدِّيَةُ

dan yang jatuh,

Ada binatang yang naik tempat yang tinggi dan kemudian terjatuh dari tempat tinggi itu dan mati. Ini pun haram dimakan kerana ia adalah bangkai.

وَالنَّطِيحَةُ

dan yang ditanduk,

Ada binatang yang berkelahi sesama sendiri dan binatang yang lain menanduknya sampai mati. Atau yang dilanggar dengan kenderaan yang laju.

وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ

dan yang diterkam binatang buas,

Ada binatang yang dibaham binatang buas lain. Bintang buas seperti harimau dan anjing liar telah tangkap dan makan sedikit. Ini juga haram dimakan walaupun binatang buas itu menerkam bahagian sembelihan (tengkuk) binatang ternak itu.

إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

kecuali yang sempat kamu menyembelihnya,

Kecuali kalau kita sempat sembelih sebelum binatang itu mati. Sama ada binatang itu telah tercekik, dipukul, ditanduk atau diterkam oleh binatang buas, tetapi sebelum sempat ia mati, kita sempat sembelih dan binatang itu mati dengan sembelihan kita. Jadi tentulah tidak termasuk 4 jenis yang disebut di awal ayat ini.

Mungkin kita nampak ada binatang yang hampir mati, tetapi sebelum mati kita terus menyembelihnya. Atau ada binatang buas yang sudah jatuhkan binatang yang boleh dimakan, dan mereka sedang memamah binatang itu, dan kita halau dan sembelih dengan segera semasa binatang itu hidup lagi.

Waktu itu haiwan yang dimaksudkan itu masih menggerak-gerakkan telinganya, atau menendang-nendang dengan kakinya atau matanya masih terkedip-kedip lagi, menandakan ia masih hidup. Maka cepat-cepatlah kita sembelih dan sembelihan itu boleh dimakan.

وَمَا ذُبِحَ عَلَى النُّصُبِ

dan yang disembelih untuk berhala.

Ada binatang yang disembelih di patung berhala. Ini pun tidak boleh dimakan. Ataupun disembelih dekat dengan berhala, pun haram juga untuk dimakan walaupun semasa menyembelihnya disebut nama Allah ‎ﷻ. Kita kena ingat bahawa masyarakat Arab kenal Allah ‎ﷻ dan anggap Allah ‎ﷻ itu Tuhan juga.

وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلٰمِ

Dan mengundi nasib dengan anak panah,

Kita juga diharamkan daripada mencari untung nasib dengan benda. Dahulu di masa Jahiliah orang-orang Arab sering melakukannya. Azlam merupakan tiga buah anak panah, pada salah satunya bertuliskan kata ‘lakukanlah’, pada yang kedua bertuliskan ‘jangan kamu lakukan’, sedangkan pada yang ketiganya tidak terdapat tulisan apa pun.

Menurut sebahagian orang, pada yang pertama bertuliskan ‘Tuhanku memerintahkan kepadaku’, pada yang kedua ber­tuliskan ‘Tuhanku melarangku’, dan pada yang ketiganya kosong, ti­dak ada tulisan. Kemudian mereka akan kocok anak-anak panah itu.

Jika telah dikocok, lalu keluarlah panah yang bertuliskan kata perintah, maka orang yang bersangkutan mengerjakannya; atau jika yang keluar kata larangan, maka dia meninggalkannya. Jika yang ke­luar adalah anak panah yang kosong, maka dia mengulanginya lagi.

Zaman sekarang, mungkin tidak menggunakan anak panah, tetapi ada juga yang membuat keputusan dengan menggunakan duit syiling atau dadu. Itu pun boleh termasuk dalam pengharaman ini juga.

وَرَوَى ابْنُ مَرْدُويه مِنْ طَرِيقِ إِبْرَاهِيمَ بْنِ يَزِيدَ، عَنْ رَقَبةَ، عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ عُمَيْر، عَنْ رَجاء بْنِ حَيْوَة، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَنْ يَلِج الدَّرَجَاتِ مَنْ تَكَهَّن أَوِ اسْتَقْسَمَ أَوْ رَجَعَ مِنْ سَفَرٍ طَائِرًا”.

Ibnu Murdawaih meriwayatkan melalui jalur Ibrahim ibnu Yazid, daripada Ruqabah, daripada Abdul Malik ibnu Umair, daripada Raja ibnu Haiwah, daripada Abu Darda yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ telah ber­sabda: Tidak akan masuk syurga orang yang melakukan tenung atau mengundi nasib atau kembali daripada berpergian kerana tatayyur.

Allah ‎ﷻ melarang melakukan perkara itu kerana melakukan perbuatan tersebut akan mengakibatkan kefasikan, kesesatan, kebodohan, dan kemusyrikan. Allah ‎ﷻ telah memerin­tahkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, apabila mereka me­rasa ragu dalam urusan mereka, hendaknya mereka melakukan isti­kharah kepada-Nya, iaitu dengan menyembah-Nya, kemudian memo­hon petunjuk daripada-Nya tentang perkara yang hendak mereka lakukan.

Kenapa hal ini disebut tentang makanan sembelihan pula? Ini kerana pada zaman jahiliyah, mereka menggunakan hal ini untuk membahagikan binatang sembelihan di berhala. Asalnya mereka berkongsi binatang tetapi kemudian apbila sudah disembelih, mereka menggunakan anak panah pula untuk menentukan daging itu milik siapa. Jadi ada yang kehilangan bahagiannya terus.

ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ

itu adalah kefasikan

Yang telah disebut adalah jenis fasik sehingga mengakibatkan mereka boleh keluar agama, maknanya sampai menjadi kufur. Ini kerana ia termasuk dalam Syirik Amali. Malangnya ramai membuatnya kerana jahil agama.

Inilah bahayanya jahil kerana boleh masuk neraka sebab mereka hanya mengikut sahaja amalan yang salah. Syaitan akan membisikkan amalan-amalan yang salah kepada mereka dan mereka tidak menolaknya kerana mereka kosong tiada ilmu. Terutama sekali jika mereka jauh daripada ilmu Al-Qur’an dan hadith. Maka mereka terima semua yang diberitahu kepada mereka tanpa usul periksa.

الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن دِينِكُمْ

Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu,

Apabila turun surah-surah akhir ini termasuk Surah Mai’dah, maka orang-orang kafir telah berputus asa untuk menyesatkan umat Islam kerana kalau kita berpegang dengan Al-Qur’an, mereka tidak akan boleh mengalahkan kita. Ayat ini diturunkan di hari Arafah pada tahun Nabi Muhammad ‎ﷺ mengerjakan Haji. Ini bermakna, tanah Arab telah jatuh ke tangan Muslim.

Mereka tidak akan dapat memusnahkan Islam dan mereka tidak dapat mengembalikan agama mereka lagi atau mengembalikan orang Islam kepada agama lama mereka. Kerana itulah mereka akan menghalang orang Islam daripada memahami Al-Qur’an. Mereka melakukannya dengan cara melekakan umat Islam daripada mempelajari agama sehinggakan umat Islam sendiri hanya muslim dari segi nama sahaja, namun jauh daripada ilmu agama.

فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ

sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku.

Maka, tidak perlu bimbanglah dengan orang kafir itu dan apa yang mereka rancang untuk lakukan. Kita tidak perlu takut kerana kita yakin yang Allah ‎ﷻ akan menolong kita atas mereka. Yang perlu kita lakukan adalah takut kepada Allah ‎ﷻ dan dengan takut itu, kita menjaga hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Jika dahulu umat Islam takut-takut kalau diserang pihak kufar, namun sekarang mereka boleh menumpukan perhatian kepada ibadah dan mengembangkan agama Islam.

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ

Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu,

Ini ayat yang amat penting untuk kita faham. Allah ‎ﷻ telah sempurnakan agama itu maksudnya agama telah sempurna dari segi hukum. Segala hukum yang sepatutnya turun, telah diturunkan.

Bukanlah bermakna segala ayat Al-Qur’an telah turun kerana ayat akhir turun adalah dalam Surah Baqarah. Namun segala ayat hukum untuk kita amalkan telah diturunkan dengan turunnya ayat ini dan selepas ini tidak ada lagi ayat hukum yang akan diturunkan. Hanya ada ayat-ayat yang tidak berkenaan hukum sahaja diturunkan. Dan 80 hari selepas ayat ini diturunkan, Nabi Muhammad ﷺ pun wafat.

Ayat ini sebagai dalil yang kukuh kepada puak Sunnah sebagai hujah untuk mengatakan yang agama ini telah lengkap dan tidak perlu ditambah dengan amalan-amalan yang bid’ah. Malangnya, ramai yang tidak faham ayat ini. Ramai yang menokok tambah hal dalam agama, seolah-olah agama belum lengkap lagi.

Sebagai contoh, kalau ada yang mati, akan dibuat Majlis Tahlil. Ini tidak dibuat pada zaman Nabi ﷺ (zaman agama telah lengkap). Apakah tidak ada orang mati pada zaman itu? Tentu ada, tetapi tidaklah dilakukan amalan-amalan bid’ah seperti Majlis Tahlil itu.

وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي

dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku,

Maksudnya, kita tidak perlu nikmat daripada sesiapa lagi sebab Allah ‎ﷻ sudah berikan Al-Qur’an kepada kita.

Itmam – selesai sesuatu dan tidak perlu bantuan dari luar lagi. Contohnya kita telah siapkan rumah.

Ikmal – selesai projek ataupun apa yang kita hendak lakukan dan usaha kita itu telah keluarkan hasil. Islam sudah nampak berjaya.

Maka nikmat yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah kejayaan umat Islam dan kejatuhan musuh mereka yang syirik. Umat Islam sudah tidak perlu takut lagi dan boleh meneruskan usaha untuk mendakwah agama Islam ke seluruh dunia.

رَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلٰمَ دِينًا

dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.

Hanya Islam sahaja agama yang diiktiraf untuk kita amalkan. Tidak ada deen lain lagi. Deen – cara berurusan dengan apa sahaja. Semua perkara tentang agama telah Allah ‎ﷻ ajar dan telah disampaikan oleh Nabi ﷺ. Terdapat hadith yang menarik tentang ayat ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا جَعْفَرُ بْنُ عَوْن، حَدَّثَنَا أَبُو العُمَيْس، عَنْ قَيْسِ بْنِ مُسْلِمٍ، عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ مِنَ الْيَهُودِ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ] فَقَالَ: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ آيَةً فِي كِتَابِكُمْ، لَوْ عَلَيْنَا مَعْشَرَ الْيَهُودِ نَزَلَتْ لَاتَّخَذْنَا ذَلِكَ الْيَوْمَ عِيدًا. قَالَ: وَأَيُّ آيَةٍ؟ قَالَ قَوْلُهُ: {الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي} فَقَالَ عُمَرُ: وَاللَّهِ إني لَأَعْلَمُ الْيَوْمَ الَّذِي نَزَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَالسَّاعَةَ الَّتِي نَزَلَتْ فِيهَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، نَزَلَتْ عَشية عَرَفَة فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ja’far ib­nu Aun, telah menceritakan kepada kami Abul Umais, daripada Qais ibnu Muslim, daripada Tariq ibnu Syihab yang menceritakan bahawa ada se­orang lelaki Yahudi datang kepada Khalifah Umar ibnul Khattab, lalu berkata, “Hai Amirul Mu’minin, sesungguhnya kamu biasa membaca suatu ayat dalam Kitab kamu, seandainya hal itu diturunkan kepada kami golongan orang-orang Yahudi, nescaya kami akan menjadikan hari itu sebagai hari raya.” Khalifah Umar رضي الله عنه bertanya, “Ayat apakah itu?” Orang Yahudi tersebut membacakan firman-Nya: Pada hari ini telah Kusempurnakan bagi kalian agama kalian, dan telah Kucukupkan kepada kalian nikmat-Ku. (Al-Maidah: 3) Maka Khalifah Umar رضي الله عنه berkata, “Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar mengetahui hari ayat ini diturunkan kepada Rasulullah ﷺ dan saat penurunannya kepada Rasulullah ﷺ iaitu pada petang hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat.”
Imam Bukhari meriwayatkannya daripada Al-Hasan ibnus Sabbali, daripada Ja’far ibnu Aun dengan lafaz yang sama. Imam Muslim, Imam Tirmizi, dan Imam Nasai meriwayatkannya melalui pelbagai jalur daripada Qais ibnu Muslim dengan lafaz yang sama.

Dan sememangnya semasa penurunan itu adalah dua hari raya: Hari Jumaat sebagai hari raya mingguan dan juga Hari Raya Aidil Adha. Ini juga mengajar kita satu konsep perayaan dalam agama Islam. Kita tidak raikan kerana kejadian yang besar-besar seperti kelahiran atau kematian sesiapa, penaklukan negara atau kemerdekaan dan sebagainya.

Perayaan di dalam agama adalah kerana ibadah sahaja dan telah ditentukan oleh Islam semenjak dari zaman Rasulullah ﷺ lagi. Maka perayaan yang direka-reka oleh umat Islam tidak patut dilakukan seperti meraikan kelahiran Nabi Muhammad ﷺ, kematian ulama’ atau wali, kematian Sayyidina Hussein dan sebagainya. Perayaan kita tidaklah seperti Yahudi dan Nasrani yang mengingati hari-hari tertentu yang mereka rasa hari besar mereka.

فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لِّإِثْمٍ

Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa,

Allah ‎ﷻ mengajar dan suruh kita makan makanan yang halal kerana mengandungi kesan baik apabila kita makan makanan halal. Dan terdapat kesan buruk kalau kita makan makanan yang haram. Bukannya Allah ‎ﷻ hendak menyusahkan kita dengan mengurangkan jenis makanan untuk kita.

Walaupun Allah ‎ﷻ telah melarang, tetapi Islam adalah agama yang praktikal. Jika dalam keadaan terdesak, lain pula hukum yang digunakan. Dalam keadaan darurat, makanan tidak ada, dan dalam keadaan lapar, maka makanan yang asalnya haram dimakan, dibenarkan kita makan. Namun hendaklah lapar itu bukan lapar biasa sahaja, tetapi kena jenis lapar yang amat yang kalau tidak makan, boleh mati. Dan waktu itu tidak ada sumber makanan yang lain.

Mestilah juga dalam kita tidak ada condong hendak memakan benda haram. Bukannya kita sengaja cari peluang hendak merasa makan khinzir, tetapi kita terpaksa makan sebab lapar sangat dan takut mati kalau tidak makan.

فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Dalam keadaan seperti di atas, maka tidaklah berdosa kalau kita makan. Malah kita kena makan kerana kita wajib menjaga nyawa kita. Allah ‎ﷻ mengampunkan dosa kita yang terpaksa makan itu kerana Allah ‎ﷻ Maha Pengampun dan Allah ‎ﷻ sayangkan kita dan Allah ‎ﷻ mahu kita meneruskan hidup kita, walaupun terpaksa makan makanan yang haram.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan