Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-197 hingga Ke-200

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-197 hingga Ke-200

246
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat ke-197

مَتَٰعٌ قَلِيلٌ ثُمَّ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit, (akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

مَتَٰعٌ قَلِيلٌ

(Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit,

Jangan kita terpedaya dengan kesenangan yang mereka ada kerana kesenangan yang mereka ada itu hanya sementara sahaja. Sudahlah sementara, ianya sikit sahaja. Allah ﷻ beritahu kita yang apa sahaja kesenangan yang mereka ada itu sikit sahaja kerana Allah ﷻ yang beritahu kita.

Mungkin kita nampak mereka senang kerana tidak infaq, tetapi kesenangan yang mereka rasa itu hanya sementara dan sedikit sahaja. Maka jangan terpesona dan terikut-ikut dengan cara mereka. Ramai yang tergoda dengan kesenangan dunia dan rasa mereka kena ikut cara hidup golongan kafir itu untuk dapat kenikmatan dunia. Inilah fahaman yang bahaya.

ثُمَّ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمِهَادُ

kemudian tempat kembali mereka neraka Jahannam: dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

Akhirnya, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka juga akhirnya. Lafaz الْمِهَادُ asalnya bermaksud pelukan ibu. Sepatutnya pelukan ibu adalah tempat yang amat menyenangkan bagi seorang bayi, dia akan rasa tenang dan dapat tidur dengan nyenyak dalam pelukan ibunya.

Namun,  Allah ﷻ gunakan perkataan itu dalam nada mengejek dalam ayat ini. Kerana sebenarnya, mereka tidak akan tenang langsung di neraka nanti. Apa guna kesenangan yang sementara di dunia kalau akhirnya akan kekal di neraka selama-lamanya?

Tafsir Ayat Ke-198

لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ جَنَّتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَا نُزُلًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ وَمَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ لِّلْأَبْرَارِ

Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) daripada Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak berbuat kebajikan).

لَٰكِنِ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ

Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka,

Tetapi sebaliknya, orang yang bertaqwa tidak seperti yang disebut dalam ayat sebelum ini. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang jaga hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Dalam segenap hal kehidupan mereka, mereka akan memikirkan apakah hukuman dan syariat Allah ﷻ dalam hal itu? Mereka taat kepada hukum Allah ﷻ kerana mereka takut kepada Allah ﷻ.

لَهُمْ جَنَّتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَٰرُ

mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

Balasan kepada mereka yang bertaqwa adalah mereka akan diberikan dengan syurga. Dan Allah ﷻ sebut tentang sungai-sungai yang mengalir dalam syurga itu sebagai penaik semangat untuk manusia memasukinya.

خَٰلِدِينَ فِيهَا

mereka kekal di dalamnya,

Kalau duduk sekejap sahaja di tempat yang baik macam mana pun, itu bukan nikmat sebenar. Sebab kita tahu yang kita tidak akan kekal di dalamnya. Tetapi, Allah ﷻ memberitahu kita yang penghuni syurga akan kekal di dalamnya. Jadi, penghuni syurga akan rasa tenang menikmati segala nikmat di dalam syurga itu, tanpa perlu risau yang mereka akan dikeluarkan dari tempat itu.

نُزُلًا مِّنْ عِندِ اللَّهِ

sebagai sambutan tetamu daripada Allah.

Kalimah نُزُلًا bermaksud ‘hadiah tetamu’. Macam kita kalau layan tetamu tentu akan lebih sikit dari hari-hari biasa. Ini memberi isyarat yang Allah ﷻ akan layan kita macam layan tetamu istimewa. Kalau kita pergi rumah orang-orang besar sebagai tetamu, tentulah layanan mereka akan hebat, bukan? Sekarang Allah ﷻ kata, Dia yang akan menjadi tuan rumah. Kalau Dia yang jadi tuan rumah, tentulah layanan kepada tetamu-Nya itu amat hebat sekali, tidak dapat dibayangkan.

Dan نُزُلًا bermaksud appetizers sahaja. Macam ada tetamu datang rumah kita dan kita sudah sediakan makanan yang istimewa untuk mereka. Tetapi sebelum mereka dihidangkan dengan hidangan yang utama, kita berikan makanan ringan dulu kepada mereka, bukan?

Begitulah juga dalam ayat ini. Apa-apa sahaja yang Allah ﷻ sebutkan tentang nikmat dalam syurga, itu adalah makanan ringan sahaja dulu sebelum diberikan dengan hidangan utama. Kerana hidangan utama itu tidak boleh hendak dijelaskan dalam kata-kata. Kena pergi ke sana baru boleh tahu. Ia tentu lebih hebat lagi.

وَمَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ لِّلْأَبْرَارِ

Dan apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih bagi orang-orang yang berbakti

Apa yang Allah ﷻ ada di sisi-Nya tentulah amat hebat sekali. Dan Allah ﷻ telah berjanji untuk memberikan kepada mereka yang memiliki hati yang baik, yang berbakti selama mereka hidup di dunia.

Tafsir Ayat Ke-199

Ini adalah ayat tabshir lagi.

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ لَمَن يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِمْ خَٰشِعِينَ لِلَّهِ لَا يَشْتَرُونَ بِـَٔايَٰتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَٰئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu (Al-Qur’an) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ ٱلْكِتَٰبِ لَمَن يُؤْمِنُ بِاللَّهِ

Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah

Ada antara golongan Ahli Kitab itu yang beriman. Allah ﷻ ingatkan tentang adanya ahli kitab yang baik supaya kita tidak lupa. Bukanlah semua mereka orang yang jahat. Jangan kita pukul mereka semua sama rata dengan kata mereka semuanya jahat.

Memang telah banyak disebut bagaimana ramai dalam kalangan mereka yang cuba hendak menjatuhkan Islam. Tetapi secara umum, mereka bukanlah musuh. Pintu untuk mereka masuk Islam masih terbuka lagi. Asalkan mereka mahu beriman. Bukanlah asal nama sahaja Ahli Kitab, terus mereka semua dimurkai.

وَمَا أُنزِلَ إِلَيْكُمْ

dan (kepada) apa yang diturunkan kepada kamu

Walaupun mereka Ahli Kitab, tetapi ada daripada kalangan mereka yang beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad – iaitu Al-Qur’an. Dari zaman Nabi, sampailah kepada zaman sekarang, ada sahaja mereka daripada golongan Ahli Kitab yang beriman dengan Al-Qur’an.

Selalunya mereka itu mengkaji agama kerana mereka tercari-cari agama apakah yang sebenar. Akhirnya, kerana mereka memang mahukan kebenaran, maka Allah ﷻ telah temukan mereka dengan Al-Qur’an. Dan setelah mereka mengkaji Al-Qur’an, barulah mereka tahu bahawa ianya bukanlah kitab biasa, tetapi ia mempunyai banyak pengajaran-pengajaran penting dan tidak mungkin ia daripada manusia.

Maka, mereka akhirnya mencapai keputusan bahawa itu adalah kata-kata daripada Allah ﷻ, Tuhan sekalian alam. Dan mereka boleh jadi lebih baik daripada kita kerana mereka itu memang orang yang bijak pandai.

وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِمْ

dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada mereka,

Sebelum itu mereka telah beriman dengan Kitab-kitab suci yang diturunkan untuk mereka iaitu mereka telah membaca kitab suci mereka dan mereka telah beriman dengan perkara-perkara akidah yang disampaikan di dalamnya.

Inilah kelebihan Ahli Kitab. Mereka beriman dengan dua Kitab dan kerana itu mereka jikalau mereka masuk Islam, mereka akan mendapat pahala dua kali ganda. Kelebihan ini tidak ada pada kita, kerana kita hanya beriman dengan satu kitab sahaja. Oleh kerana itu, mereka tidak akan rugi kalau mereka memeluk agama Islam. Malah mereka akan dapat lebih lagi dari orang-orang lain.

خَٰشِعِينَ لِلَّهِ

mereka khusyuk kepada Allah

Mereka merendahkan diri tunduk kepada Allah ﷻ. Maknanya, mereka tidak sombong untuk beriman dengan Allah. Mereka jenis yang taat kepada Allah ﷻ kerana takut kepada Allah ﷻ.

لَا يَشْتَرُونَ بِـَٔايَٰتِ اللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia yang sedikit.

Mereka tidak seperti Ahli Kitab yang lain yang jual ayat-ayat Allah ﷻ. Kita telah belajar bagaimana ada para pendeta yang menjual ayat-ayat dari Kalam Allah yang suci untuk mendapatkan habuan dunia. Mereka beri fatwa yang dikehendaki oleh pengikut mereka, walaupun ianya berlawanan dengan apa yang ada dalam Kitab.

Mereka yang akhirnya beriman dan masuk Islam, tidak melakukan perkara itu. Mereka jujur dengan apa yang tertulis dalam kitab suci mereka. Merekalah juga yang telah membongkarkan kesalahan-kesalahan dan penipuan yang dilakukan oleh ahli agama mereka.

أُولَٰئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ

Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka.

Dari amal kebaikan yang mereka lakukan, Allah ﷻ akan beri balasan kepada mereka. Allah ﷻ tidak kira sama ada mereka itu berasal dari Ahli Kitab atau tidak. Asalkan kalau beriman dan berbuat kebaikan, Allah ﷻ akan beri balasan yang baik.

إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya.

Allah ﷻ buat kiraan amal manusia dengan cepat. Masa menunggu di Mahsyar memang lama tetapi apabila Allah ﷻ sudah mula buat pengiraan audit segala amalan manusia, jadi ia akan berlaku dalam masa yang sekejap sahaja. Dalam riwayat hadith ada disebut bagaimana penghakiman akan dijalankan selama setengah hari sahaja.

Tafsir Ayat Ke-200

Ini adalah ringkasan kepada keseluruhan pengajaran yang ada dalam Surah Ali Imran ini.

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

يَٰأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا اصْبِرُوا

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu

Sabar dalam taat kepada perintah yang Allah ﷻ berikan iaitu segala perintah yang diberikan oleh Allah ﷻ dan disampaikan oleh Nabi-Nya. Hendak taat kepada arahan Allah ﷻ pun memerlukan kesabaran juga. Ia tidak mudah, terutama sekali kepada orang yang berasal daripada Ahli Kitab.

وَصَابِرُوا

dan kuatkanlah kesabaran kamu

Sekali lagi disebut arahan untuk sabar. Ini adalah suruhan untuk lawan dengan sabar puak kuffar. Hendaklah tambah lebih sabar daripada orang kafir dalam kesabaran. Orang kafir pun sabar juga, dan kita hendaklah lebih sabar daripada mereka.

Mereka yang kafir dan berusaha untuk jatuhkan Islam, mereka pun sabar juga. Tetapi kita kena lebih lagi sabar daripada mereka. Kita kena bertahan lebih lama daripada mereka. Usaha kita kena lebih. Jangan kita kalah dengan mereka.

وَرَابِطُوا

dan bersedialah

Lafaz رَابِطُوا dari katadar ر ب ط yang bermaksud ‘ikat’. Kalau zaman dahulu, perkataan ini digunakan kepada kuda yang diikat, yang sudah sedia untuk berperang.

Ayat ini memberi isyarat bahawa kita kena sentiasa bersedia untuk berperang dengan musuh kita. Hendaklah sentiasa berada di perbatasan untuk meneruskan perjuangan. Jangan kita duduk rehat-rehat sahaja kerana pada bila-bila masa sahaja kita bolehdipanggil untuk menegakkan jihad.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

serta bertaqwalah kamu kepada Allah

Taqwa banyak disebut sebab ia adalah perkara penting. Yang bertaqwa sahaja yang boleh buat segala yang disuruh. Telah banyak arahan-arahan dan saranan yang kita telah belajar dalam surah ini. Mereka yang bertaqwa sahaja yang mampu menjalankannya.

لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

mudah-mudahan kamu berjaya

Mudah-mudahan kita berjaya di akhirat kelak. Perkataan إفلح bermaksud ‘kejayaan’ tetapi ia merujuk kepada kejayaan yang khusus di akhirat. Kerana ada kejayaan di dunia dan ada kejayaan di akhirat. Yang kita paling kehendaki adalah kejayaan di akhirat kelak.

Habislah sudah tafsir Surah Ali Imran dan sebelum ini Surah Baqarah. Kedua-duanya adalah surah yang panjang. Kedua-duanya penting sebagai asas kepada pembinaan masyarakat Islam.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan