Utama Blog Halaman 29

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-138 hingga Ke-142

0

Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-138

هٰذا بَيانٌ لِّلنّاسِ وَهُدًى وَمَوعِظَةٌ لِّلمُتَّقينَ

(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

هٰذا بَيانٌ لِّلنّاسِ وَهُدًى

(Al-Qur’an) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk

Al-Qur’an yang berada di hadapan kita ini adalah penjelasan yang sudah cukup sempurna kepada semua manusia. Sudah cukup lengkap disampaikan sebagai panduan hidup bagi kita. Yang tidak tahu adalah mereka yang tidak belajar sahaja.

Malangnya ramai yang tidak teringin pun hendak belajar tafsir Al-Qur’an ini. Mereka belum lagi mendapat kemanisan membaca Al-Qur’an sambil memahami apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Begitu ramai dalam kalangan masyarakat kita yang suka membaca Al-Qur’an setiap hari, tetapi tidak teringin untuk mengetahui apa yang mereka baca itu.

Oleh kerana mereka tidak tahu, mereka tidak dapat mengambil hidayah daripada Al-Qur’an. Mereka mungkin ada ambil ilmu dari tempat lain. Antaranya dari kitab-kitab karangan manusia, dan mungkin daripada ustaz-ustaz yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an pun. Kalau tidak percaya, tanyalah ustaz-ustaz yang mengajar anda, sama ada mereka sudah belajar habis tafsir Al-Qur’an atau belum?

Kalau mereka sudah belajar, mereka belajar dengan siapa? Kalau mereka sudah belajar, kenapa mereka tidak ajar tafsir Al-Qur’an kepada anda, kerana ia adalah sumber utama agama. Tidak kira siapa anda, ustaz atau tidak, yang penting, kita kena pentingkan pembelajaran tafsir ini. Habiskan dahulu belajar tafsir Al-Qur’an 30 juzuk ini dan kemudian barulah ambil ilmu yang lain.

وَمَوعِظَةٌ لِّلمُتَّقينَ

serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

Al-Qur’an juga menjadi nasihat untuk diamalkan. مَوعِظَةٌ adalah jenis nasihat yang masuk ke dalam hati. Selalu kita dengar nasihat, bukan? Namun tidak semua nasihat dapat masuk ke dalam hati kita. Ada nasihat yang kita dengar tidak dengar sahaja. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Itu bukan dinamakan مَوعِظَةٌ.

Banyak sekali nasihat yang penuh hikmah ada dalam Al-Qur’an kerana nasihat ini datang sendiri daripada Allah ‎ﷻ, Tuhan yang mencipta kita. Oleh kerana Dia yang cipta kita, maka Dia tahu apa yang kita perlukan. Namun kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, bagaimana hendak mengambil nasihat yang ada dalam Al-Qur’an ini?

Tafssir Ayat Ke-139

Ini adalah adat dalam peperangan dan dalam kehidupan kita.

وَلا تَهِنوا وَلا تَحزَنوا وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

وَلا تَهِنوا

Dan janganlah kamu merasa lemah

Lafaz تَهِنوا daripada وهن yang bermaksud sesuatu yang sepatutnya kuat dan keras, tetapi jadi lemah. Sebagai contoh, tulang itu sepatutnya keras, tetapi kalau sudah tua, tulang menjadi reput, bukan? Allah ‎ﷻ memberi isyarat dalam ayat ini bahawa orang Islam kena kuat, bukan lemah. Ini bukan sifat seorang mukmin.

وَلا تَحزَنوا

dan janganlah kamu berdukacita

Dan jangan bersedih dengan apa yang terjadi. Ayat ini diturunkan selepas Perang Uhud. Ramai sahabat yang terbunuh dalam peperangan itu. Oleh kerana itu, ramai yang menangis kesedihan yang amat sangat. Nabi Muhammad ﷺ turut bersedih kerana bapa saudaranya Hamzah telah terbunuh.

وَأَنتُمُ الأَعلَونَ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

padahal kamulah orang-orang yang lebih tinggi jika kamu orang-orang yang beriman.

Umat Islam akan sentiasa dikira tinggi dibandingkan dengan orang lain kalau kita menjadi mukmin sebenar. Kita diingatkan dalam ayat ini yang iman yang lebih penting, bukan kalah atau menang dalam perang. Kalau kita mukmin, kita akan tetap berada di atas berbanding orang-orang kafir.

Walaupun kita mungkin lemah di dunia dengan keadaan umat Islam berpecah belah dan kita diperkotak katikkan oleh orang kafir, ayat ini memberi ketenangan kepada kita. Di akhirat, kita akan berada di atas, kalau kita benar-benar seorang mukmin. Bukankah yang lebih penting adalah nasib kita di akhirat, bukan di dunia ini?

Tafsir Ayat Ke-140

Allah ‎ﷻ timpakan kekalahan kepada orang Islam sebagai pengajaran. Allah ‎ﷻ menggunakan para sahabat sebagai contoh, apa yang akan terjadi kalau orang Islam sendiri melakukan kesilapan. Memang ada antara para sahabat yang telah melakukan kesilapan semasa Perang Uhud itu.

Namun kita kena ingat, Allah ‎ﷻ sudah memaafkan mereka. Namun kalau orang seterusnya juga buat perkara yang sama, akan tetap berdosa. Kita kena ambil pengajaran dari apa yang telah dilalui oleh para sahabat.

Begitulah istimewanya mereka, kerana Allah ‎ﷻ takdirkan mereka melakukan kesilapan, kemudian Allah ‎ﷻ maafkan mereka. Ini kerana kalau mereka tidak buat kesilapan, kita tidak tahu mana perbuatan yang salah supaya kita tidak buat.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِّثلُهُ ۚ وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

إِن يَمسَسكُم قَرحٌ

Jika kamu mendapat luka (tercedera),

Semua itu adalah salah satu perkara yang telah berlaku. Kalau berlaku kecederaan atau kekalahan dalam Uhud, ada hikmahnya yang tersirat, yang Allah ‎ﷻ gunakan para sahabat untuk ajar orang lain.

Memang para sahabat telah banyak mendapat kecederaan, malah ada 70 orang daripada mereka yang mati.

فَقَد مَسَّ القَومَ قَرحٌ مِّثلُهُ

sesungguhnya kaum (musyrik) itu telah mendapat luka yang sama

Allah ‎ﷻ mengingatkan para sahabat bahawa kekalahan seperti ini telah berlaku kepada orang Kafir Mekah pada tahun sebelumnya. Tahun ini orang Islam pula yang kena.

وَتِلكَ الأَيّامُ نُداوِلُها بَينَ النّاسِ

Dan demikian itulah keadaan hari-hari, Kami gilirkan antara sesama manusia

Hari-hari yang menang dan kalah itu Allah‎ ﷻ gilirkan antara manusia untuk menguji manusia. Tidaklah orang Islam sentiasa sahaja menang. Kadang-kadang orang Islam menang, kadang-kadang kalah. Ini perkara biasa. Seperti kata pepatah: hidup umpama roda, kadangkala duduk di atas, kadangkala duduk di bawah.

وَلِيَعلَمَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا

dan supaya nyata bagi Allah, siapa yang sebenarnya beriman

Tujuannya, untuk Allah ‎ﷻ bezakan siapa yang betul-betul beriman dan teguh menjaga hukum. Allah ‎ﷻ memang sudah tahu siapa beriman dan tidak, tetapi Allah ‎ﷻ hendak tunjukkan kepada manusia.

Jangan kita salah faham dengan ayat ini, dengan mengatakan Allah ‎ﷻ buat begitu untuk Allah ‎ﷻ tahu siapa yang beriman. Ini kerana Allah ‎ﷻ sudah tahu siapa yang beriman dan tidak. Cuma Allah ‎ﷻ hendak zahirkan kepada manusia yang lain. Allah ‎ﷻ hendak zahirkan kepada orang mukmin, siapakah di antara orang yang mengaku Muslim itu yang benar-benar mukmin atau munafik.

وَيَتَّخِذَ مِنكُم شُهَداءَ

dan juga supaya Allah mengambil sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid.

Dengan mati itulah baru Allah‎ ﷻ boleh jadikan ada Muslim yang mati syahid. Kalau tidak mati-mati, pergi perang asyik menang sahaja, nanti tidak ada yang mati syahid pula, bukan?

Mati syahid sepatutnya menjadi cita-cita setiap orang Islam kerana ia adalah pengakhiran kehidupan yang amat hebat. Orang yang mati syahid, boleh terus masuk ke syurga. Mereka tidak perlu tunggu di Mahsyar sebagaimana orang-orang yang biasa. Tunggu di Mahsyar itu pun sudah satu azab juga sebenarnya, kerana menunggu dalam keadaan yang tidak selesa dan entah berapa lama.

Sedangkan kalau mati syahid, terus masuk syurga dan menikmati nikmat dalam syurga itu. Orang lain sedang tunggu di Mahsyar, para syuhada’ sedang sedap-sedap di syurga. Apabila mahkamah pengadilan Allah ‎ﷻ ditegakkan setelah entah berapa puluh ribu tahu di Mahsyar, barulah dikeluarkan sekejap para syuhada’ itu untuk dibacakan amalan mereka. Kemudian akan dimasukkan semula ke dalam syurga. Bukankah ini yang sepatutnya kita inginkan?

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الظّٰلِمينَ

Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ tidak suka golongan zalim. Orang kafir adalah orang yang melakukan kezaliman yang paling tinggi, iaitu mereka syirik kepada Allah ‎ﷻ. Maksud ‘zalim’ adalah tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya. Mana lagi berat dari tidak meletakkan Allah ‎ﷻ di tempat yang tertinggi dalam kehidupan kita?

Allah ‎ﷻ memang tidak suka kepada orang yang zalim. Bukanlah Allah ‎ﷻ beri kemenangan kepada golongan kuffar itu kerana Allah ‎ﷻ suka kepada mereka, tidak langsung. Jadi Allah ‎ﷻ tidak mahu kita salah anggap. Allah ‎ﷻ tetap sayang dan kasih kepada orang mukmin dan orang Islam. Namun Allah ‎ﷻ jadikan Muslim kadangkala menang dan kadangkala kalah kerana sebab-sebab yang telah disebut di atas dan selepas ini.

Tafsir Ayat Ke-141

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا وَيَمحَقَ الكٰفِرينَ

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman dan membinasakan orang-orang yang kafir.

وَلِيُمَحِّصَ اللَّهُ الَّذينَ ءآمَنوا

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman

Tujuan kekalahan dalam peperangan juga adalah untuk Allah ‎ﷻ bersihkan orang Mukmin daripada orang munafik. Bila ada ujian berat seperti ini, barulah nampak siapa beriman dan siapa yang munafik. Orang munafik yang sebelum ini menyembunyikan kekafiran mereka, sampaikan sahabat tidak tahu siapakah yang munafik.

Oleh kerana tidak tahu, maka sahabat yang mukmin bercampur gaul dengan golongan munafik itu kerana sangka orang-orang munafik itu beriman juga. Maka Allah ‎ﷻ jadikan apa yang terjadi dalam peperangan Uhud itu supaya umat Islam yang mukmin nampak siapakah yang munafik.

Makna ayat ini akan lebih jelas dalam Surah Ar-Ra’d. Konsep ini dipanggil tamhis – untuk membersihkan orang beriman.

وَيَمحَقَ الكٰفِرينَ

dan membinasakan orang-orang yang kafir.

Allah ‎ﷻ jadikan ujian ini untuk menghancurkan orang kafir dengan cara melemahkan mereka. Walaupun mereka nampak menang dari segi fizikal, tetapi mereka sebenarnya menuju kehancuran. Mungkin mereka tidak terus hancur, tetapi lama kelamaan mereka akan dihancurkan oleh Allah ﷻ kerana mereka telah menentang umat Islam secara berdepan.

Tafsir Ayat Ke-142

Allah ﷻ ingatkan kita supaya jangan mudah mengalah dan berhenti daripada berjihad kalau sekali sekala kalah. Jihad ini adalah syari’at yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita.

Kita kena sedar pentingnya untuk jihad fisabillah dijalankan, untuk agama dikenali dan diikuti oleh manusia. Kalau tidak ada jihad, orang Islam tidak jadi kuat. Orang luar Islam juga mungkin tidak akan masuk agama Islam.

Jadi jihad adalah proses berterusan yang harus dijalankan. Kalau tidak dijalankan, orang Islam akan lemah dan orang kafir pula yang menjadi kuat. Jangan jadikan sebab kekalahan itu untuk berhenti berjihad. Oleh itu, Allah ‎ﷻ berikan teguran kepada mereka yang hendak berhenti berjihad.

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga

Adakah kamu sangka kamu boleh masuk syurga dengan mudah, tanpa jihad? Tanpa susah payah? Penghuni syurga sebenarnya adalah mereka yang bersusah payah dan berkorban dalam menegakkan dan mengamalkan agama. Syurga itu sebenarnya untuk pejuang. Kalau bukan pejuang, tidak akan masuk syurga kerana harga syurga itu mahal sebenarnya. Tidak ada yang masuk syurga dengan percuma. Ia dibayar dengan perjuangan yang bukan senang.

وَلَمّا يَعلَمِ اللَّهُ الَّذينَ جٰهَدوا مِنكُم

padahal belum lagi nyata kepada Allah orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu

Sedangkan belum nyata kepada Allah ‎ﷻ golongan pejuang dalam kalangan kamu. Allah ‎ﷻ hendak menyatakan siapakah golongan pejuang. Allah ‎ﷻ sudah tahu siapakah yang berjiwa pejuang. Jangan sangka Allah ‎ﷻ buat peperangan dan ujian sebab Allah ‎ﷻ hendak tahu, kerana Allah ‎ﷻ sudah sedia tahu tetapi Allah ‎ﷻ hendak berikan ujian kepada mereka.

وَيَعلَمَ الصّٰبِرينَ

dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar

Dan supaya Allah ‎ﷻ boleh nyatakan siapakah yang bersabar dalam berjihad sampai ke akhir hayat kerana dalam berjihad memerlukan kesabaran.

Cuma sekarang kita sedang belajar tentang jihad qital (jihad perang). Zaman sekarang sedang tidak ada jihad perang lagi, maka nanti ada ayat-ayat tentang jihad lisan (jihad dakwah menggunakan mulut). Maknanya, tetap juga ada jihad, cuma cara berbeza.

Allahu a’lam.

Tahqiq Kitab At-Tazkirah Qurthubi: Pandangan Mata Ketika Tercabut Roh, Arwah Saling Berziarah, Percepat Kebumi dan Mayat Berbicara

0

At-Tazkirah Qurthubi
Tahqiq Kitab at Tazkirah lil Qurthubi

Bab 24: Pandangan Mata (orang Nazak) Ketika Dicabutnya Roh

(باب ما جاء أن الروح إذا قبض تبعه البصر)

24-1 Hadith Ummu Salamah رضي الله عنها (sahih)

باب ما جاء أن الروح إذا قبض تبعه البصر

Bab apabila roh dicabut kemudian diikuti oleh pandangan mata.

ابن ماجه ، عن أم سلمة ، قالت : دخل رسول الله صلى الله عليه و سلم على أبي سلمة ، و قد شق بصره فأغمضه ، ثم قال : إن الروح إذ قبض تبعه البصر

Menurut riwayat Ibnu Majah daripada Ummu Salamah رضي الله عنها , dia berkata, “Rasulullah ﷺ datang menghadiri [kematian] Abu Salamah. Waktu itu mata Abu Salamah tampak terbuka, maka beliau memejamkannya, kemudian bersabda, “Sesungguhnya apabila roh dicabut, maka diikuti oleh pandangan mata.” ( HR Muslim [920])

24-2 Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (sahih)

خرجه مسلم أكمل من هذا و قد تقدم .
و روى مسلم عن أبي هريرة ، قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : ألم تروا الإنسان إذا مات شخص بصره ، قالوا : بلى ، قال : فذلك حين يتبع بصره نفسه

(Imam) Muslim meriwayatkan pula daripada Abu Hurairah رضي الله عنه . Dia berkata, “Sabda Rasulullah ﷺ , ‘Tidakkah kamu memperhatikan, apabila seseorang meninggal, maka matanya memandang? ‘Betul,’ jawab para sahabat. Maka beliau bersabda, ‘Itu ketika matanya mengikuti nyawanya.’” (Sahih Muslim No.921)

Fiqh Hadith pandangan mata mengikuti roh yang dicabut.

في قوله عليه السلام : إن الروح إذا قبض تبعه البصر . قوله : فذلك حين يتبع بصره نفسه ما يستغنى به عن قول كل قائل في الروح و النفس ، و إنهما اسمان لمسمى واحد ، و سيأتي لهذا مزيد بيان إن شاء الله تعالى

Kedua hadith di atas (Ummu Salamah رضي الله عنها dan Abu Hurairah رضي الله عنه ) tidak perlu komentar siapa pun yang suka bicara mengenai roh dan jiwa kerana keduanya adalah dua nama yang mempunyai satu makna, sebagaimana akan dibahas lebih lanjut, insyaa Allah.

Bab 25: Bab Arwah Saling Berziarah Dalam Kubur Dan Memperbagus Kain Kafan

(باب ما جاء في تزاور الأموات في قبورهم و استحسان الكفن لذلك )

25-1 Hadith Jabir رضي الله عنه

مسلم عن جابر بن عبد الله عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : إذا كفن أحدكم أخاه فليحسن كفنه إن استطاع

Dalam Sahih Muslim, diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah رضي الله عنه , daripada Rasulullah ﷺ bahawa beliau bersabda:
“Apabila seorang daripada kamu sekalian mengkafani saudaranya, maka perbaguskanlah kafannya.” (Sahih Muslim no 943).

Komen Al Albani:
Memperbagus, falyuhassin (فليحسن) kain kafan bermaksud kain putih bersih, cukup ketebalan, mencukupi untuk menutupi kepala dan kakinya bukan cotton/fabrik yang mahal dan indah (Ahkam Al Janaiz, 34).

25-2 Hadith Jabir رضي الله عنه (dhaif)

و خرج أبو نصر عبد الله بن سعيد بن حاتم الوائلي السجستاني الحافظ في كتاب الإنابة على مذهب السلف الصالح في القرآن و إزالة شبه الزائغين بواضح البرهان .
أخبرنا هبة الله بن إبراهيم بن عمر قال : حدثنا علي بن الحسن بن بندار قال : حدثنا أبو عروة . قال حدثنا محمد بن المصفى قال : حدثنا معاوية: قال حدثنا إبراهيم أن معاوية عن أبي الزبير عن جابر قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم أحسنوا أكفان موتاكم فإنهم يتباهون و يتزاورون في قبورهم .

Dalam Kitab Al-Inabah ‘ala Mazhab As Salaf As Soleh Fi Al-Qur’an Wa Izalati Syubah Az Zaaighin Bi Wadih Al Burhan, penulisnya, Al-Hafizh Abu Nashar Abdullah bin Sa’id bin Hatim Al-Wa’ili As-Sijistani (Ulama’ Sijistan, Uzbek, w. 444H) menceritakan sebuah hadith dengan isnadnya daripada Jabir رضي الله عنه dia berkata, Sabda Rasulullah ﷺ :

“Perbaikilah kain kafan mayit-mayit kamu sekalian. Sesungguhnya mereka saling membanggakan [kain kafan masing-masing] dan saling mengunjungi di dalam kubur mereka.”

Takhrij:
Dikeluarkan oleh Al Dailami,
musnad Al Firdaus, 317.

عن جابر)
أخرجه الديلمى (1/98 ، رقم317)

Tahqiq:
Dhaif kerana mursal, Syaikh Mu’alimi (w.1966, Makkah) Muhaqqiq Khalid Muhammad Uthman, dhaif kerana penambahan saling membanggakan dengan kain kafan.

Al Albani, dhaif, Ahkam Al Janaiz 312.

أحسِنوا كفَنَ موتاكم فإِنَّهم يتباهَوْنَ ويتزاورونَ بها في قبورِهم
الراوي : جابر بن عبدالله | المحدث : الألباني | المصدر : أحكام الجنائز.

الصفحة أو الرقم: 312 | خلاصة حكم المحدث : ضعيف
التخريج : أخرجه الديلمي في ((الفردوس)) (317).

25-3: Athar Ibn Mubarak (181H) Mauquf (dhaif)

و قال ابن المبارك : أحب إلي أن يكفن في ثيابه التي كان يصلي فيها

Ibn Mubarak berkata,” Aku lebih suka dikafani dalam pakaian yang biasa dipakai ketika salat (semasa dia hidup).

Takhrij:
Sahih, Mauquf kepada Ibn
Mubarak. Jami’ Termidzi, no 977

جامع الترمذي أبواب الجنائز باب ما يستحب من الأكفان حديث رقم 977

Fiqh Al Janaiz:

Kata Imam Nawawi رحمه الله : “Harus mengkafankan mayat dengan apa yang biasa dipakai semasa hidup , cuma lebih afdal dengan kain kafan.

(ويجوز تكفين كل إنسان فيما يجوز له لبسه في الحياة)

Bab 26: Bab Mempercepat Pengebumian dan Mayat Berbicara

(باب الإسراع بالجنازة و كلامها)

26-1 Hadith Abu Said Al Khudri رضي الله عنه (sahih)

البخاري عن أبي سعيد الخدري : كان النبي صلى الله عليه و سلم يقول : إذا وضعت الجنازة و احتملها الرجال على أعناقهم . فإن كان صالحة قالت : قدموني قدموني . و إن كانت غير صالحة قالت : يا ويلها أين تذهبون بها يسمع صوتها كل شيء إلا الإنسان و لو سمعه لصعق

Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه . Bahawa Nabi ﷺ bersabda:
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri رضي الله عنه berkata, telah bersabda Rasulullah ﷺ “Apabila jenazah diletakkan dan diusung oleh kaum lelaki di atas bahu-bahu mereka. Jika ia (yakni jenazah itu) orang soleh, maka ia berkata “Segerakan aku! Segerakan aku!”. Jika ia tidak soleh, maka ia berkata, “Duhai celakalah aku, ke manakah gerangan kamu semua hendak membawaku?” Segala sesuatu dapat mendengar perkataannya kecuali manusia, seandainya ia dapat mendengarnya nescaya ia akan pengsan.” (HR Bukhari: 1253) Cetakan bersama Fathul Bari.

Dorar, no 1380
الراوي : أبو سعيد الخدري | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري
الصفحة أو الرقم: 1380

Fiqh Hadith:
Menurut Imam Ibn Hajar Asqolani رحمه الله , pensyarah Sahih Bukhari, jika ia orang yang kita yakini soleh, akidah yang mantap, beramal dengan sunnah, maka kita kena segerakan pengkebumian dia untuk mendapat nikmat daripada Allah ‎ﷻ , jangan tangguhkan. Umpama orang yang berpuasa, jangan ditangguhkan daripada berbuka.

26-2 Hadith Abu Hurairah رضي الله عنه (Sahih)

البخاري عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : أسرعوا بالجنازة فإن تك صالحة فخير تقدمونها إليه . . و إن تك سوى ذلك فشر تضعونه عن رقابكم خرجه مسلم أيضاً

Al-Bukhari daripada perawi Abu Hurairah رضي الله عنه meriwayatkan pula daripada Nabi ﷺ. Beliau telah bersabda, “Percepatlah kamu sekalian [mengubur] jenazah. Kalau dia orang soleh maka suatu kebaikan telah kamu berikan kepadanya. Dan kalau dia bukan orang soleh, maka ( dengan mempercepat itu ) kamu telah membuang keburukan daripada bahu-bahu kalian.” (Sahih Bukhari [ no.1315] dan juga dalam sahih Muslim).

Fiqh hadith oleh Al Qurthubi:
الإسراع قيل معناه : الإسراع بحملها إلى قبرها في المشي و قيل : تجهيزها بعد موتها لئلا تتغير

“Percepat” maksudnya supaya mempercepat berjalan ketika membawanya ke kuburan. Dan ada pula yang berpendapat, mempercepat dalam mengusungnya setelah nyata mati, sehingga tidak berubah [membusuk].

26-3 Hadith An Nasa’iy, Sahih

رواه النسائي . قال : أخبرنا محمد بن عبد الأعلى قال : حدثنا خالد قال : حدثنا عيينة بن عبد الرحمن قال : حدثني أبي قال : شهدت جنازة عبد الرحمن بن سمرة و خرج زياد يمشي بين يدي السرير ، فجعل رجال من أهل عبد الرحمن و مواليهم يستقبلون السرير و يمشون على أعقابهم و يقولون : رويداً رويداً بارك الله فيكم . فكانوا يدبون حتى إذا كنا ببعض الطريق لحقنا أبو بكرة رضي الله عنه يمشي على بغلة . فلما رأى الذين يصنعون حمل عليهم ببغلته و أهوى عليهم بالسوط . فقال : خلوا فو الذي كرم وجه أبي القاسم لقد رأيتنا مع رسول الله صلى الله عليه و سلم و إنا لنكاد نرمل بها رملاً . فانبسط القوم ، صححه أبو محمد عبد الحق

( HR An-Nasa’iy ) daripada Muhammad bin Abdul A’la, daripada Khalid, daripada Uyainah bin Abdur Rahman, dia berkata, “Telah menceritakan kepadaku ayahku, dia berkata, “Aku telah menyaksikan jenazah Abdur Rahman bin Samurah. Waktu itu Ziyad tampil dengan keranda. Maka beberapa orang laki-laki daripada keluarga Abdur Rahman dan khadam-khadam mereka berada di belakang keranda dan berjalan mengikuti orang-orang seraya berkata, “Perlahan-perlahan, semoga Allah‎ ﷻ memberkahi kalian.”

Mereka mengusung seolah-olah merayap sehingga ketika kami tiba di suatu jalan, kami bertemu dengan Abu Bakrah رضي الله عنه (sahabat) mengendarai seekor baghal ( kacukan antara kuda dan keldai ). Ketika ia melihat orang-orang berjalan seperti itu, maka ia mengejar mereka dengan mencambuk baghalnya, seraya berkata, “Ketepi, demi Allah ‎ﷻ yang telah memuliakan Abu Al-Qasim, sungguh, aku telah melihat ( jenazah ) kami dulu bersama Rasulullah ﷺ , dan kami benar-benar hampir berlari membawanya.” Maka orang-orang pun memberinya jalan”. (Hadith ini dinyatakan sahih oleh Abu Muhammad Abdul Haq*)

Tahqiq:
1311 / عن أبي بكرة قال: لقد رأيتنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم وإنا لنكاد أن نرمل بالجنازة رملاً.
هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه [ وافقه الذهبي, ابن حبان 3043، 3044، أبو داود 3182، 3183، النسائي 1912، 1923، الجنائز 94، صحيح الترغيب 3510 ]

Al Hakim, Al Mustadrak, no 1311, sahih, dipersetujui oleh Az Zahabi, Ibn Hibban, sahihnya, 3043,3044, Abu Daud 3182, 3183; An Nasa’iy, 1912, 1923, dinilai sahih oleh Al Albani, Ahkam Al Janaiz ms 94 dan sahih At Targhib, 3510.

* Disahihkan oleh Abu Muhammad Abdul Hak Al Isybili, Andalusia, Sepanyol, wafat 581H, Ahkam Syariah Al Syughra, 2/334.

26-4 Hadith Ibn Mas’ud رضي الله عنه (dhaif)

و روى أبو داود من حديث أبي ماجدة عن ابن مسعود قال : سألنا نبيناً محمداً صلى الله عليه و سلم عن المشي في الجنازة . فقال : دون الخبب إن يكن خيراً تعجل إليه و إن يكن غير ذلك فبعداً لأهل النار

( HR Abu Daud ) daripada Hadith Abu Majidah , daripada Ibnu Mas’ud رضي الله عنه , dia berkata, “Kami pernah bertanya kepada Nabi kita Muhammad ﷺ tentang berjalan membawa jenazah, Beliau bersabda:

“Jangan sampai bergoncang. Jika dia orang baik, maka percepatlah kepada kebaikan [kubur]. Jika bukan orang baik, maka [percepatlah] kehinaan bagi ahli neraka.” (Dhaif: Sunan Abu Dawud [3184] dan dinyatakan dhaif oleh Al-Albani.)

Tahqiq:
Ia didhaifkan sendiri oleh Imam Abu Daud:

قال أبو داود وهو ضعيف هو يحيى بن عبد الله وهو يحيى الجابر قال أبو داود وهذا كوفي وأبو ماجدة بصري قال أبو داود أبو ماجدة هذا لا يعرف

Dhaif kerana dua perawi: Yahya Al Jabir, perawi Kufah, dhaif, Abu Majidah Basrah, majhul (tidak ada biodata).

26-5 Ulasan Ibn Abdil Bar mengenai kecepatan berjalan mengusung keranda

ذكره أبو عمر بن عبد البر .
و قال : و الذي عليه جماعة أهل العلم في ذلك الإسراع فوق السجية قليلاً ، و العجلة أحب إليهم من الإبطاء ، و يكره الإسراع الذي يشق على ضعفه من يتبعها . و قال إبراهيم النخعي : نصوا بها قليلاً و لا تدبوا دبيب اليهود و النصارى . السجية : العادة

Terjemahan:
Hadith ini disebutkan pula oleh Abu Umar bin Abdul Barr (koreksi: Ulasan daripada Abu Umar, Yusof bin Abdullah Al Namiri atau dikenali dengan Ibn Abdil Barr, w. 463H, Maliki, Andalusia (أبو عمر يوسف بن عبد الله النمري المعروف بابن عبد البر), dan beliau membuat ulasan, “Padalah yang dipegang oleh sejumlah ahli ilmu adalah, sedikit dipercepat daripada berjalan yang wajar (sajiah*). Dan tergesa-gesa lebih mereka sukai daripada berjalan lambat. Namun demikian, makruh hukumnya berjalan cepat yang sampai menyusahkan orang-orang lemah (orang tua, kanak-kanak, wanita) yang mengikutinya.”

Dan kata Ibrahim An-Nakha’i (Tabi’in Kufah, w.96H), “Percepatlah sedikit ketika membawa jenazah, jangan berjalan merayap seperti yang dilakukan kaum Yahudi dan Nasrani.”

———————
* Sajiyyah (سجية )
Yang dimaksud dengan berjalan wajar [Sajiyyah] ialah berjalan biasa.

Ulasan:
Di Arab Saudi, jenazah yang dibawa keluar dari Masjidil Haram dan An Nabawi (selepas disalatkan) akan diusung dengan laju sekali, sukar untuk mengejarnya.

Marhaban Ya Ramadhan Al-Mubarak 2021 (1442H)

0

MARHABAN YA RAMADAN AL-MUBARAK 2021 (1442 HIJRAH)

Selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua muslimin dan muslimat yang dikasihi Allah SWT.

Pesan Nabi SAW
‎إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ؛ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

“Apabila bulan Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.” [HR Muslim]

Maka, hari ini kita tiba di suatu tempoh istimewa. Tawaran ganjaran berlipat ganda. Banyakkan faktor pendorong melalui jalan kebaikan. Kurangkan punca perosak, penghalang pahala. Rebutlah peluang ini sebaiknya!

Moga Ramadhan 2021 meningkat iman dan amal.

Pengerusi
AJK
Admin
Panelis
Ahli
TimEditor
TimWebuito.org
TimPenerbitan
SkuadPrihatin
LiveStreamyard

#RamadanMubarak
#Selamatberpuasa
#dakwah
#infaqhartabenda
#infaqtenaga
#infaqmasa

Bab: Pengaruh Nama Allah ‎ﷻ dalam Penciptaan Alam Semesta

0

[Sekarang kita lihat antara contoh nama-nama Allah ‎ﷻ. Nanti kita akan belajar nama-nama ini satu persatu.]

Nama Allah Al-Hamid Al-Majid (Yang Maha Terpuji) mencegah dari ditinggalkan manusia dalam keadaan sia-sia, tidak diperintah dan tidak dilarang, tidak diberi pahala atau seksa.

[Allah ‎ﷻ amat terpuji dan Dia memuji kalau kita buat benda baik. Allah‎ ﷻ terpuji maknanya Dia tidak akan buat perkara yang tidak layak bagi-Nya. Semua benda Allah ‎ﷻ buat pasti kita sanjung sebab terlalu hebat. Ini termasuklah penciptaan kita, tidaklah lahir, hidup dan kemudian mati begitu sahaja.

Kalau manusia yang membuat sesuatu, kadangkala kita pun kehairanan (“Eh kenapalah dia buat macam ini?”) Namun Allah ‎ﷻ tidak akan berbuat begitu. Segala penciptaan-Nya dipuji dan kita tidak akan terfikir ia adalah sia-sia sahaja. Jika difikirakan kalau perkara itu adalah sia-sia maka itu salah satu sifat yang cela.]

Demikian pula nama Allah “Al-Hakim” (Yang Mahabijaksana) tidak sejalan dengan hal tersebut.

[Kalau Allah ‎ﷻ bijaksana, maka tentulah apa sahaja yang Allah‎ ﷻ buat adalah baik dan hebat. Cuma kita sahaja kadangkala tidak faham. Kerana itulah ada manusia yang mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ‎ telah takdirkan. Contoh seperti Presiden Trump dilantik menjadi Presiden Amerika, ada yang hairan dan persoalkan kenapalah dia boleh menjadi Presiden? Semuanya dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Kita sahaja yang tidak faham kenapa Allah‎ ﷻ takdirkan begitu. Tentu ada perkara yang Allah ‎ﷻ telah rancangkan.

Sebagaimana kita berdakwah kepada orang, tetapi dia tidak mahu terima. Mungkin kita hairan kenapa orang itu tidak terima. Namun bayangkan, manusia terbaik iaitu Nabi Muhammad ﷺ berdakwah pun ada yang tidak terima. Maka jangan salahkah cara, teknik atau apa-apa sifat daripada pendakwah kerana Allah ‎ﷻ yang belum memberikan hidayah kepadanya.]

Dan nama Allah “Al-Malik” (Yang Maharaja) dan “Al-Hayyu” (Yang Maha Hidup) mencegah dari ditiadakannya perbuatan dari Allah. Bahkan hakikah kehidupan itu sendiri adalah perbuatan, setiap yang hidup itu pasti berbuat. Keberadaan Allah Ta’ala sebagai Sang pencipta dan Yang Maha Berdiri Sendiri merupakan konsekuensi dari hidupnya.

[Sebagaimana seketul batu yang kita katakan tidak hidup sebab tidak berbuat apa-apa. Jadi kita kenalah terima apa-apa yang terjadi adalah kerana perbuatan daripada Allah ‎ﷻ. Cuma kita sahaja tidak faham kenapa Allah ‎ﷻ buat dan bagaimana Allah ‎ﷻ buat.]

Nama Allah “As-Samii” (Yang Maha Mendengar) dan “Al-Bashir” (Yang Maha Melihat) mengharuskan ada yang Dia dengar dan Dia lihat.

[Bila Allah ‎ﷻ mendengar dan melihat, tentulah ada benda yang Allah ‎ﷻ dengar dan lihat. Maka kita kena hati-hati dengan segala perbuatan dan percakapan kita]

Nama Allah “Al-Khaliq” (Yang Maha Mencipta) mengharuskan adanya makhluk ciptaan-Nya, “Ar-Razzaq” (Yang Maha Memberi Rezeki) dan “Al-Malik” (Yang Maha Merajai) mengharuskan adanya kerajaan, pengaturan, pemberian dan pencegahan, kebaikan, keadilan, pahala dan siksa.

[Bila Allah ‎ﷻ yang memberikan rezeki, maka Dia juga yang menyekat rezeki. Namun kadang-kadang kita berikan kuasa itu kepada manusia pula kerana ada yang kata menteri menyebabkan kami miskin dan sebagainya.

Bila Allah ‎ﷻ jadi Raja, tentulah ada perkara yang dirajai, diarah, dikawal]

Nama Allah “Al-Barru” (Yang Mahabaik), “Al-Muhsin” (Yang Mahabaik), “Al-Mu’thi” (Yang Maha Memberi) dan “Al-Mannan” (Yang Maha Memberi) dan selainnya mengharuskan adanya pengaruh dan dampaknya.

[Yang memberi nikmat kepada kita seperti matahari, udara dan sebagainya semua datang daripada Allah ‎ﷻ. Mudah sahaja kita mendapat semua perkara itu. Ini kerana sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang baik dan beri kebaikan kepada kita. Ada haiwan yang kita senang sahaja dapat kawal walaupun binatang-binatang itu lebih kuat dan besar daripada kita.

Allah ‎ﷻ yang memudahkan kehidupan ini bagi kita kerana kita bukanlah makhluk terkuat, terpantas dalam dunia ini. Namun begitu Allah ‎ﷻ menjadikan kita yang paling bijak. Supaya kita dapat hidup di dunia ini.]

Nama Allah “Al-Ghaffar” (Yang Maha Mengampuni), “At-Tawwab” (Yang Maha Menerima Taubat), “Al-‘Afwa” (Yang Maha Memaafkan) mengharuskan adanya perbuatan dosa manusia yang diampuni-Nya, adanya taubat yang diterima, dan kejahatan yang dimaafkan, demikianlah keadaan semua nama Allah yang baik.

[Apabila Allah ‎ﷻ sebut Dia Maha Pengampun, maka tentulah ada kebarangkalian makhluk-Nya ada yang berdosa. Kalau tidak, buat apa Allah ‎ﷻ menjadi Maha Pengampun dan Pemaaf? Sebagaimana riwayat hadith seperti di bawah menyatakan, kalaulah kita tidak berdosa dan tidak meminta ampun, maka Allah ‎ﷻmenghapuskan kita dan menjadikan makhluk lain yang akan berdosa dan akan meminta ampun. Ini kerana sifat Allah ‎ﷻ Maha Pengampun.

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, daripada Nabi ﷺ:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ لَمْ تُذْنِبُوا لَذَهَبَ اللَّهُ بِكُمْ، وَلَجَاءَ بِقَوْمٍ يُذْنِبُونَ ، فَيَسْتَغْفِرُونَ اللَّهَ فَيَغْفِرُ لَهُمْ

“Demi Dzat yang diriku berada ditanganNya, jika kalian tidak berbuat dosa Allah akan hilangkan kalian dan Allah akan datangkan kaum lain yang berdosa, lalu mereka pun minta ampun kepada Allah, Allah pun ampuni dosa mereka.” (HR. Imam Muslim 2.749)

Maknanya, kita semua akan pasti membuat dosa. Allah ‎ﷻ pun sudah ada makhluk yang tidak membuat dosa, iaitu para malaikat. Jadi Allah ‎ﷻ tidak perlu membuat makhluk yang tidak berdosa lagi. Maka Allah ‎ﷻ menjadikan kita supaya kita ada membuat kesalahan dan akan meminta ampun kepada-Nya kerana Dia suka kita minta ampun kepada-Nya.

Allah ‎ﷻ memuji manusia yang taat kepada-Nya di hadapan malaikat. Malaikat tidak pelik kalau mereka taat dan takut kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka nampak benda-benda ghaib. Namun kita yang tidak nampak Allah ‎ﷻ dan tidak nampak alam kerajaan Allah ‎ﷻ ini, bila kita takut kepada-Nya dan taat kepada-Nya, memang ia adalah sesuatu yang hebat.

Semua nama-nama Allah ‎ﷻ ada maksud di sebaliknya yang kita kena belajar dan perhalusi. Bukanlah nama kosong sahaja sebagaimana nama rekaan manusia. Contoh Parti Keadilan, tidak semestinya parti itu adil. Ada orang bernama Nur Islam, tidak semestinya melambangkan Islam. Ada yang nama Qawwi, tidak semestinya kuat.]

Bab: Pengaruh Nama Allah ‎ﷻ dalam Penciptaan Alam Semesta (Sambungan)

[Memanglah kita tidak suka musibah yang terjadi ke atas kita tambahan pula yang bertimpa-timpa. Anak meninggal, suami isteri meninggal, cerai berkali-kali, bertunang asyik putus, siapa yang mahu? Namun ketahuilah yang ada hikmah di dalamnya kerana apa sahaja yang Allah ‎ﷻ lakukan, tentulah ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak nampak.

Namun begitu, kadangkala kita akhirnya nampak juga setelah sekian lama, mungkin mengambil masa bertahun-tahun lamanya. Pada ketika itu mulalah kita berkata: “Patutlah aku tak jadi tunang dengan A, dapatlah aku kenal dengan B, lagi baik insannya; dengan ibubapa A dua-dua meninggal, dia kena duduk dengan pakcik dia. Tapi pakcik dia orang senang, dapatlah bagi pendidikan yang lebih kat dia.. sekarang dah jadi doktor dah.. kalau dengan ibubapa dia, mungkin tak mampu…. etc.”

Namun begitu, ketika dugaan itu menimpa diri, memang kita akan berasa amat perit dan pedih serta sedih sekali tetapi kalau kita yakin dengan perancangan Allah ‎ﷻ, kita pasti akan dapat menerimanya. Walaupun kita mungkin tidak faham lagi pada waktu itu kenapa sesuatu itu terjadi.]

Barangsiapa yang merenungkan nama-nama dan sifat-sifat Allah dalam alam semesta, maka hal tersebut akan menunjukkan hamba kepada iman terhadap kesempurnaan Rabb Ta’ala dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya serta perbuatan-perbuatan Allah yang terpuji.

Allah Ta’ala, dalam setiap takdir-Nya memiliki hikmah yang mendalam, tanda-tanda kekuasaan-Nya yang jelas dan pengenalan kepada hambaNya tentang nama-nama dan sifat-sifat-Nya. Selain itu, menyeru mereka untuk mencintai, mengingat, bersyukur, dan beribadah kepada-Nya dengan nama-nama-Nya yang baik.

[Sebagai contoh lihat Rum: 48 – 50

ٱللَّهُ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَيَبْسُطُهُۥ فِى ٱلسَّمَآءِ كَيْفَ يَشَآءُ وَيَجْعَلُهُۥ كِسَفًا فَتَرَى ٱلْوَدْقَ يَخْرُجُ مِنْ خِلَٰلِهِۦ ۖ فَإِذَآ أَصَابَ بِهِۦ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦٓ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

Allah, Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikannya bergumpal-gumpal; lalu kamu lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila hujan itu turun mengenai hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya, tiba-tiba mereka menjadi gembira.

Ini merupakan sejenis awan yang dikenali sebagai ‘Stratus’ iaitu awan yang rata. Hujan yang turun tidak diikuti dengan petir dan kilat. Sebab itu ada hujan tiba-tiba turun sahaja tanpa kilat dan petir. Jadi ini merupakan sejenis hujan yang tenang sahaja.

وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلِ أَن يُنَزَّلَ عَلَيْهِم مِّن قَبْلِهِۦ لَمُبْلِسِينَ

Dan Sesungguhnya sebelum hujan diturunkan kepada mereka, mereka benar-benar telah berputus asa.

فَٱنظُرْ إِلَىٰٓ ءَاثَٰرِ رَحْمَتِ ٱللَّهِ كَيْفَ يُحْىِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَآ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ لَمُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ ۖ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maka perhatikanlah bekas-bekas rahmat Allah, bagaimana Allah menghidupkan bumi yang sudah mati. Sesungguhnya (Tuhan yang berkuasa seperti) demikian benar-benar (berkuasa) menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Hati manusia yang sugul pun boleh bertukar menjadi gembira apabila hujan diturunkan kepada mereka. Dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ juga boleh menghidupkan hati yang mati. Ini terjadi kalau dapat dilihat pada kesan rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Ia berlaku apabila kita melihat perbuatan Allah ‎ﷻ dalam alam ini.]

Setiap nama mengandung ibadah khusus di dalamnya -baik secara ilmu, pengenalan dan keadaan. Hal ini tidak terwujud, kecuali dengan perenungan, persaksian yang bermanfaat tentang nama yang sesuai dengannya. Orang yang paling sempurna peribadahannya adalah orang yang melaksanakan konsekuensi nama-nama dan sifat-sifat yang telah dikhabarkan-Nya kepada manusia.

[Manusia yang sempurna adalah yang mengenali nama-nama Allah ‎ﷻ dan mengambil pengajaran daripada nama-nama itu. Makin banyak tahu, maka makin banyak penyerahan kepada Allah ‎ﷻ, makin banyak pemahaman tentang Allah ‎ﷻ.]

Dia tidak terhalang oleh salah satu nama dalam melaksanakan konsekuensi nama yang lain. Contohnya: ketika dia melaksanakan konsekuensi nama Allah ‘Al-Qadiir” (Yang Mahakuasa) dia tidak tercegah untuk beribadah atau melaksanakan konsekuensi nama Allah yang lain iaitu “Al-Halim” (Yang Maha lembut) dan “Ar-Rahim” (Yang Maha Pemurah), dan tidak terhalang oleh nama Allah “Al-Mu’thi” (Yang Maha Pemberi) dari pengamalan nama Allah “Al-Maani” (Yang Maha Pencegah) dan tidak terhalang oleh pengamalan nama Allah yang bersifat kecintaan, kebaikan, kemuliaan, kelembutan dan pemberian keutamaan dari pengamalan nama Allah yang bersifat keadilan, kemuliaan, keagungan, kebesaran dan lain sebagainya.

Inilah metode orang-orang sempurna yang berjalan menuju kepadaNya dan itulah jalan yang bersumber dari metode Al-Qur’an.

[Maksudnya di sini dia terima SEMUA nama-nama Allah ‎ﷻ. Dia tidaklah menolak mana-mana nama Allah ‎ﷻ. Sebagaimana penganut Kristian yang sudah menjadi pening kerana hanya menerima Tuhan bersifat rahman sahaja… sedangkan Allah ‎ﷻ ada juga mempunyai sifat menghukum, sifat keras dan sebagainya. Pada orang yang alim, dia tahu Allah ‎ﷻ mempunyai banyak sifat dan tidaklah melihat sifat-sifat itu berlawanan. Ada masa sifat ini yang lebih, ada masa lain sifat lain pula yang lebih.

Contohnya Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja, tetapi Dia bersifat lembut dengan hamba-Nya. Tidaklah hanya buat begitu sahaja. Memang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja, tetapi apa yang Allah‎ ﷻ lakukan adalah dalam bentuk lemah lembut dan kasih sayang. Jika manusia diberikan kuasa untuk boleh berbuat apa sahaja, mesti ada yang menggunakan kuasa itu dengan kekerasan, bukan?

Sebagaimana kita dengan emak ayah kita. Memang ada kalanya mereka garang tidak memberi kita makan apa sahaja yang kita hendak makan. Namun, kalau kita selalu meminta dan merayu kepada mereka, akhirnya mereka akan beri juga. Mereka memang ada kuasa ke atas kita, tetapi kerana kita merayu, maka mereka berilah juga. Ini kerana mereka juga ada sifat belas kasihan kepada kita. Allah‎ ﷻ tentu lebih lagi kasih dan sayang kepada hamba-Nya.

Kalau kita lihat sifat Allah ‎ﷻ yang boleh berbuat apa sahaja, agaknya kita rasa tidak perlu untuk kita meminta apa sahaja kepada Allah ‎ﷻ. Akan tetapi dalam masa yang sama, kalau kita ingat yang Allah‎ ﷻ ada sifat Halim dan Rahim itu, maka kita tergerak untuk meminta kepada-Nya. Sifat-sifat Allah ‎ﷻ seiringan, bukanlah satu mengalahkan yang lain.

Satu lagi sifat Allah‎ ﷻ adalah memberi tetapi dalam masa yang sama Allah ‎ﷻ menahannya pula. Ini seolah-olah seperti berlawanan pula, bukan? Kedua-dua sifat Allah ‎ﷻ ini bekerja sebenarnya. Ini kerana ada masa Allah ‎ﷻ memberi dan ada kala Allah ‎ﷻ menyekat. Sebagai contoh, kita tahu yang memberi rezeki adalah Allah ‎ﷻ; tetapi kadangkala kita lupa yang menahan rezeki itu juga Allah ‎ﷻ.

Kadangkala Allah ‎ﷻ memberi pangkat, tetapi kadangkala Allah ‎ﷻ menahan kita daripada naik pangkat. Yang bagi pangkat, Dia, yang tahan pun Dia juga. Janganlah pula salahkan orang lain.

Para ustaz pun kadangkala ada masalah untuk memahami perkara ini. Bila anak murid ramai, dia suka tetapi bila ada ustaz lain mengajar dan mengambil anak muridnya, dia marah pula. Sedangkan yang memberikan anak murid itu adalah Allah ‎ﷻ dan yang memberikan anak murid kepada ustaz lain pun, Dia juga. Maka kalau kita faham hal ini, tidaklah kita gelabah dan terasa hati.

Apabila gagal untuk memahami akan hal inilah yang menyebabkan kita marah kepada kerajaan apabila ekonomi merudum, seolah-olah kerajaan pula yang menyekat rezeki kita. Sedangkan Allah ‎ﷻ juga yang menyekat rezeki kita, bukan? Itu adalah suasana berbeza yang Allah ‎ﷻ wujudkan sebagai ujian bagi kita. Jadi, janganlah kita lihat satu sifat sahaja, tetapi lupa kepada sifat yang lain pula. Jika kita beriman dengan satu nama sahaja, maka kita akan ada masalah nanti, akan murung pula nanti.

Semua ini adalah atas sifat keadilan Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ itu maha adil. Namun ada yang tidak faham. Ada yang tanya kalau Allah ‎ﷻ adil, kenapa tidak diberikan ganjaran syurga sahaja kepada semua manusia? Jawabnya cuba lihat contoh keadaan situasi universiti kita. Kalaulah semua yang masuk universiti itu diberi kelulusan yang sama, sama ada yang ada belajar atau tidak, adakah itu adil? Tentulah tidak. Ia hanya layak kepada yang belajar dan berusaha sahaja. Cuba bayangkan seseorang itu memasuki universiti untuk menjadi doktor, tetapi dia tidak belajar pun, adakah anda yakin untuk mendapat rawatan dan nasihat perubatan daripadanya ?]

PROJEK RAMADHAN UKHUWAH SIRI 1 2021

0

Bismillah…

الحمد لله والصلاة والسلام على محمد وآله وصحبه أجمعين

PROJEK RAMADHAN UKHUWAH SIRI 1

MENCARI BAROQAH DENGAN INFAQ

Hendaknya seseorang tidak meremehkan infaq meskipun dengan jumlah yang sedikit kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala kelak akan menyelamatkan seseorang dari neraka dengan sebab sedekah separuh kurma. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda”

“Jagalah diri kalian dari neraka meskipun hanya dengan sedekah setengah biji kurma. Barangsiapa yang tidak mampu, maka ucapkanlah perkataan yang baik.” (HR. Bukhari no. 1413, 3595 dan Muslim no. 1016)

1. Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre (PPAUC), pusat pengajian al-Quran dan Hadith yang menyediakan pengajian Tahfiz al-Quran dan Pengajian ilmu-ilmu Islam bagi perempuan. Sempena kedatangan bulan Ramadhan, pihak kami di PPAUC ingin mengajak saudara/i sekalian memberi bantuan infaq/zakat & menaja Berbuka Puasa dan Sahur buat pelajar-pelajar di sini.

Segala sumbangan boleh dihulurkan ke akaun bank atas nama:

Ahsanul Ulum Centre
CIMB Islamic – 8602811864
———————

Untuk keterangan lanjut sila hubungi Ustaz Abu Tolhah
http://www.wasap.my/+60179272521/infaq

Akhukum,
Abu Tolhah Solahuddin @AbuTolhahSolahuddin
Mudir Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre
Denai Alam 40160
Shah Alam Selangor.

FB: Pusat Pengajian Ahsanul Ulum
IG: http://instagram.com/ahsanululum06
YouTube Channel: https://www.youtube.com/channel/UC13lsRAZKh8REgxhnnxv6Dw

2. Program Bakul Semurni Ramadhan 2021

Program Tahunan mengumpulkan sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar Negeri Sembilan.

Bentuk sumbangan keperluan asas seperti beras , minyak masak, tepung gandum , biskut , kurma , kordial , nasi impit , sardin , susu tin dan sebagainya.

Agihan sumbangan Bakul Semurni Ramadhan 👇

🧺BAHAU/JEMPOL/ K PILAH/PALONG- 200 orang asnaf .
🧺MANTIN/LENGGENG / SG MACHANG – 200 orang asnaf.
🧺JELEBU – 200 orang asnaf .
🧺 SEREMBAN /REMBAU/ PORT DICKSON – 400 orang asnaf .

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun UKHUWAH

PERSATUAN UKHUWAH TEGUH MALAYSIA
MAYBANK ISLAMIC BERHAD
NO. AKAUN : 562058070928
Ruj: BakulRamadhanN9

Sebarang pertanyaan mengenai Bakul Ramadhan N9 boleh hubungi wakil Skuad Prihatin Ukhuwah cawangan Selatan tn Judyn @Sir_Judyn
+60122096957
http://www.wasap.my/60122096957/BakulRamadhan

Jazaakumullahu khayran.

Sedikit infaq daripada antum segalanya buat mereka.

Ramadhan Kareem.

@NorM99 11/4/2021

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-135 hingga Ke-137

0

Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-135

Sambungan penerangan tentang sifat-sifat orang yang bertaqwa:

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

وَالَّذينَ إِذا فَعَلوا فٰحِشَةً

Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji,

Ini adalah sifat mereka kalau mereka tergelincir melakukan dosa yang kecil. Ini adalah jenis dosa-dosa yang melibatkan kekejian seperti zina atau dosa yang boleh membawa kepada zina.

Ia adalah sesuatu yang memalukan, yang kita malu kalau orang lain tahu. Termasuk kalau suami atau isteri kita pun tahu.  Ini termasuklah kalau dosa melihat video lucah. Juga termasuk kalau bercakap perkara yang lucah kerana perbuatan-perbuatan itu boleh membawa kepada perbuatan zina.

أَو ظَلَموا أَنفُسَهُم

atau menganiaya diri sendiri,

Atau mereka menzalimi diri mereka dengan membuat dosa kecil, mungkin marah kepada orang lain kerana tidak dapat menahan emosi mereka, seperti yang dianjurkan dalam ayat sebelum ini.

Memang semua dosa-dosa itu akan terjadi kerana Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz إِذا (apabila) bukan إذ (jika). Maknanya semua manusia akan tergelincir sekali sekala melakukan kesalahan dan dosa, tidak kira sama ada orang bertaqwa ataupun tidak. Bezanya, apa yang mereka buat setelah melakukan kesalahan. Ada yang bertaubat dan ada yang terus menerus melakukan dosa itu.

Kadang-kadang syaitan akan mengambil kesempatan atas kesalahan dan dosa yang kita lakukan itu. Mereka mahu kita terus melakukan dosa itu. Maka, jangan kita tertipu dengan bisikan syaitan. Syaitan menggunakan kesalahan yang kita lakukan itu untuk menjauhkan kita daripada Allah ‎ﷻ.

Contohnya, syaitan akan bisikkan: “Habislah kau, Tuhan takkan sayang kepada kau lagi… Buang masa sahaja kau solat… Itu kau cuma menunjuk sahaja…baik kau tak payah solat langsung.. kalau kau bertaubat pun, nanti kau akan buat lagi dosa itu .”

Itu semua adalah bisikan-bisikan syaitan supaya kita lemah semangat dalam agama dan lupa kepada sifat Rahmah Allah ‎ﷻ dan kesanggupan Allah ‎ﷻ menerima taubat manusia. Ini adalah kerana Syaitan mahu menjauhkan kita daripada Allah ‎ﷻ. Kalau kita rasa Allah ‎ﷻ tidak mengampunkan dosa kita, maka tentulah kita akan putus asa dengan Allah ‎ﷻ dan menjauhkan diri daripada Allah ‎ﷻ. Jadi, syaitan akan menang.

Kita kena ingat yang Allah ‎ﷻ itu Maha Penerima Taubat. Jika kita melakukan kesalahan dengan banyak pun, Allah ‎ﷻ mampu menerima taubat kita, asalkan kita mahu berhenti dan terus memperbaiki diri kita.

Namun begitu, bagaimana kalau kita melakukan kesalahan itu sekali lagi (kesalahan yang sama)? Ketahuilah yang Allah ‎ﷻ masih sanggup menerima taubat kita walaupun kita telah bertaubat atas dosa yang kita sudah buat, tetapi selepas bertaubat buat lagi. Asalkan semasa kita bertaubat dahulu, memang kita benar-benar bertaubat.

Cuma kadang-kadang, walaupun sudah benar-benar bertaubat, tergelincir juga lagi. Kalau jadi begitu, jangan putus harap dengan Allah ‎ﷻ, bertaubat sekali lagi. Tidak ada bilangan terhad yang Allah ‎ﷻ hadkan untuk kita bertaubat. Asalkan kita bersungguh-sungguh bertaubat dan kemudian kita bertaubat dengan ikhlas lagi.

Jadi memang manusia akan tergelincir dari jalan yang benar. Apakah yang dilakukan oleh orang yang bartaqwa?

ذَكَرُوا اللَّهَ فَاستَغفَروا لِذُنوبِهِم

mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka

Mereka tidak menunggu lama. Tidaklah mereka terus membuat dosa itu. Bila mereka terlanjur, mereka akan cepat ingat kebesaran Allah ‎ﷻ, maka mereka akan takut dan terus bertaubat. Ini kerana mereka ada ilmu dan mereka tahu apakah kesalahan yang mereka lakukan dan mereka tahu apakah kesan kepada dosa yang mereka lakukan itu. Melainkan orang yang tidak kenal Allah ‎ﷻ sahaja yang tidak akan bertaubat.

Mereka yang tidak kenal Allah ‎ﷻ akan leka dalam melakukan dosa sampai mereka mati. Sedangkan orang yang bertaqwa itu takut kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka kenal Allah ‎ﷻ. Mereka tahu Allah ‎ﷻ boleh mengazab mereka bila-bila masa sahaja, termasuk mengambil nyawa mereka semasa mereka sedang melakukan dosa itu.

Jadi, mereka tidak akan berterusan dalam melakukan dosa itu. Mereka akan teringat: “Kalau Allah cabut nyawa aku semasa aku di tempat maksiat ini, bagaimana nasib aku nanti?.. Nauzubillah…”

وَمَن يَغفِرُ الذُّنوبَ إِلَّا اللَّهُ

dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah

Mereka yang bertaqwa akan terus meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana mereka tahu yang mereka tidak ada tempat lain untuk bergantung lagi selain daripada Allah ‎ﷻ. Ke mana lagi mereka hendak mengharap? Ada tuhan lain kah? Ada dunia lain kah yang mereka boleh pergi? Tentu tidak ada.

Ini seperti anak kita, kalau kita marah bagaimana sekalipun, sampai dia menangis meraung, nama kita juga dia sebut sebab dia tahu dia hendak pergi ke mana lagi, bukan? Dia tahu kitalah sahaja tempat dia bergantung, kitalah sahaja emak dan ayah dia, dan dia tidak ada tempat lain untuk lari.

Apabila hamba meminta ampun, ada kemungkinan Allah ‎ﷻ akan memaafkan kerana apabila hamba mendapat taufik untuk meminta ampun, maknanya Allah ‎ﷻ yang menggerakkan hati dia untuk minta ampun. Kalau Allah ‎ﷻ yang gerakkan, maknanya Allah ‎ﷻ sudah hendak ampunkan.

Namun jikalau Allah ‎ﷻ telah taqdirkan untuk tidak mengampunkan dosa orang itu, orang itu tidak ada tergerak hati pun untuk minta ampun. Tanyalah kepada mereka yang sedang melakukan dosa dan tanya mereka kenapa mereka tidak minta ampun? Kerana mereka tidak teringat pun untuk meminta ampun lagi.

وَلَم يُصِرّوا عَلىٰ ما فَعَلوا وَهُم يَعلَمونَ

dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui

Orang yang bertaqwa pun kadangkala akan tergelincir, cuma mereka tidak terus menerus dalam membuat dosa. Ini kerana mereka mengetahui itu adalah salah. Mereka tidak terikat dengan dosa itu. Ini bahaya kerana ada orang seperti itu. Mereka itu bagaikan sudah tidak boleh meninggalkan terus dosa itu walaupun akal dan hati mereka tahu yang perbuatan mereka itu berdosa.

Malangnya, mereka bagaikan seperti sudah kena ‘ikat’. Ini kerana mereka dahulunya selalu mengikut bisikan syaitan, sampaikan syaitan sudah ‘ikat’ mereka dan sudah boleh beri arahan kepada mereka.

Tafsir Ayat Ke-136

Ada orang yang baik dari asal lagi dan ada yang jadi baik kemudian. Pada Allah ‎ﷻ itu semua sama sahaja. Yang penting adalah penghujung hidup kita. Adakah kita mati dalam keadaan beriman atau tidak? Adakah kita sempat bertaubat atau tidak? Ini yang penting.

أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَّغفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِم وَجَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها ۚ وَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan daripada Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

أُولٰئِكَ جَزاؤُهُم مَّغفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِم

Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka,

Sebelum ini telah disebut antara sifat-sifat orang yang bertaqwa, dan bagi mereka akan mendapat keampunan daripada Allah ‎ﷻ. Ingatlah yang Allah ‎ﷻ amat suka memberi ampun. Dia cuma mahu kita berpaling kepada-Nya sahaja. Walau berkali-kali kita meminta ampun kepada-Nya, Dia tidak kisah, malah Dia lebih suka.

وَجَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها

dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya;

Sesudah dosa mereka diampunkan, mereka akan dimasukkan ke dalam syurga dan sebaik-baik balasan adalah syurga. Kita tidak dapat hendak bayangkan bagaimana rupa syurga itu tetapi Allah ‎ﷻ beri bayangan sungai yang mengalir di bawah syurga itu, kerana manusia memang suka tinggal di kawasan yang ada air.

Kalau nikmat besar mana pun, tetapi kalau kita tahu yang kita tinggal sekejap sahaja, itu bukan nikmat yang besar. Maka Allah ‎ﷻ beritahu yang ahli syurga akan kekal di syurga itu selama-lamanya.

وَنِعمَ أَجرُ العٰمِلينَ

dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Lafaz وَنِعمَ membawa maksud ‘takjub’. Allah ‎ﷻ sendiri yang kata, maka ini memberi isyarat bahawa syurga itu adalah nikmat yang menakjubkan ahlinya, tidak terbayang hebatnya. Alangkah nikmatnya!

Kalimah العامِلينَ bermaksud orang yang buat kerja. Maknanya hendak mendapatkan syurga kena ada usaha, bukan dapat dengan percuma. Bukannya boleh masuk syurga dengan goyang kaki sahaja dan tunggu untuk masuk syurga. Memang kita akan masuk syurga dengan amal kita namun hanya dengan rahmat Allah ‎ﷻ. Akan tetapi bagaimana hendak dapat mendapatkan rahmat Allah ‎ﷻ? Tentulah dengan amal yang kita lakukan.

Maka kita kena buat ibadah, jaga diri daripada melakukan dosa dan kena sebarkan agama ini. Kena sebarkan kerana kita bukan hendak selamat seorang diri sahaja, tetapi kena ajak dan ajar kepada orang lain lagi. Terutama sekali kita hendak ahli keluarga kita pun selamat juga, kerana kita hendak duduk bersama mereka di dalam syurga, bukan?

Tafsir Ayat Ke-137

Ini adalah jenis ayat takhwif duniawi. Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah mengajar kita untuk meminta ampun di atas dosa-dosa kita. Namun begitu kadang-kadang manusia tidak fikirkan dosa yang mereka sedang lakukan. Mereka lama duduk leka dalam melakukan dosa dan hidup dalam maksiat.

Namun apabila diuji dengan bencana, baru mereka nampak kesalahan yang mereka lakukan kerana apabila manusia diuji dengan bala, mereka akan kurang ego, dan mula memikirkan manakah kesalahan yang mereka lakukan. Itulah antara tujuan bala diberikan kepada manusia.

Allah ‎ﷻ tidak selalu buat begitu kerana Allah‎ ﷻ hendak manusia fikir sendiri. Mereka yang bijak akan dapat fikir sendiri mana yang baik dan mana yang tidak. Sebab itu Allah ‎ﷻ selalu menekankan untuk gunakan fikiran yang waras supaya kita tidak perlu tunggu bala dikenakan kepada kita baru hendak bertaubat, kerana bala itu berat kepada kita.

Maka, Allah ‎ﷻ suruh kita lihat bagaimana keadaan orang-orang terdahulu yang telah ditimpa bala supaya kita beringat dan supaya kita jangan jadi seperti mereka. “A smart person learns from his mistakes; a smarter person learns from other people’s mistake”. (Orang yang cerdik belajar daripada pengalamannya sendiri, orang yang lebih cerdik belajar daripada pengalaman orang lain)

قَد خَلَت مِن قَبلِكُم سُنَنٌ فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-Rasul).

قَد خَلَت مِن قَبلِكُم سُنَنٌ

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu peraturan-peraturan Allah yang tetap;

Sebelum ini telah berlaku azab-azab Allah ‎ﷻ yang diturunkan kepada manusia. Jika manusia zaman sekarang sedang menderhaka, bukan mereka sahaja mula menderhaka, dari dulu lagi, sudah banyak puak yang menderhaka.

فَسيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ المُكَذِّبينَ

oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan

ِAllah ‎ﷻ suruh mereka yang berdosa itu untuk berjalan mengembara di dunia dan lihat sendiri bagaimana nasib orang-orang yang terdahulu yang hidup dalam dosa. Lihatlah bagaimana kisah kaum Nabi Luth عليه السلام di Laut Mati itu. Para sahabat juga menceritakan bagaimana mereka melalui kawasan Kaum Aad dan Tsamud dan kemusnahan di sana.

Mereka itu semua dikenakan dengan azab yang berat kerana mereka telah mendustakan para Nabi. Maksudnya mereka tidak terima ajaran Nabi malah mengatakan Nabi berdusta dengan membawa ajaran yang baru dan bukan daripada Allah ‎ﷻ.

Kita telah belajar dalam sejarah dan dalam ayat-ayat Al-Qur’an bagaimana mereka telah diazab. Maka janganlah hendak tunggu azab atau bala kena kepada kita baru hendak taat kepada Allah ‎ﷻ dan ajaran Rasulullah. Itu tidak bijak namanya. Kita belajarlah daripada kesilapan orang lain. Janganlah kita sangka yang itu semua adalah kisah-kisah dahulu sahaja dan tidak mungkin kena kepada kita. Itu adalah sangkaan yang amat bahaya.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-130 hingga Ke-134

0

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat 130

Sekarang kita sudah masuk hal infaq. Ayat ini adalah jenis yang dipanggil Jumlah Mu’taridah (perubahan topik). Kerana ayat-ayat sebelum ini tentang perang dan tiba-tiba masuk kepada ayat tentang riba’ pula. Apakah kaitannya?

Kita hidup sementara dan kita sepatutnya menggunakan masa hidup kita di dunia untuk kumpul pahala sebanyak yang boleh. Maka, kena guna peluang semasa di dunia. Dan infaq adalah salah satu cara untuk boleh dapat pahala. Macam-macam cara boleh infaq. Kita kena ingat bahawa harta yang kita infaq itulah yang jadi harta kita sebenarnya. Kerana kalau kita tidak infaq, harta itu akan diwarisi oleh orang lain, sudah jadi harta orang lain, bukan harta kita lagi.

Tetapi kalau kita infaq, Allah akan simpan harta itu di sisi-Nya dan Allah akan balas dengan kebaikan. Topik infaq telah banyak disebut dalam surah Baqarah dan sekarang disambung dalam surah Ali Imran ini kerana seperti kita telah sebut, ada pertalian antara surah Baqarah dan surah Ali Imran.

Dan infaq disebut selepas disebut tentang Jihad kerana infaq penting dalam menjalankan jihad Fisabilillah. Banyak belanja diperlukan untuk menjalankan Jihad.

Kenapa pula riba’ ada kena mengena dengan infaq? Kerana dalam Al-Qur’an sebut kepentingan infaq, ada pula manusia yang bukan sahaja tidak infaq, tapi sebaliknya cari dan kumpul harta yang banyak dengan cara haram, iaitu dengan cara riba’. Ianya amat berlawanan dengan infaq. Mereka yang mengamalkan riba’ adalah orang yang mementingkan harta sampai sanggup hisap darah orang lain.

Anda rasa adakah orang sebegini akan infaq dan berperang Fisabilillah? Tentu tidak. Maka Allah beri peringatan kepada kita tentang keburukan mengamalkan riba’.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَأكُلُوا ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضعٰفًا مُّضٰعَفَةً ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَأكُلُوا ٱلرِّبَوٰٓاْ أَضعٰفًا مُّضاعَفَةً

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba’ dengan berlipat-lipat ganda,

Orang yang mengamalkan riba’ adalah orang yang tamak dunia. Dalam kepala otak mereka, mereka cuma ingat hendak kumpul harta sahaja. Mereka akan cari jalan untuk memperbanyakkan harta mereka berlipat kali ganda.

Oleh kerana itu, ada orang yang amalkan riba’ dengan beri pinjam kepada orang lain dengan syarat, kena bayar lebih lagi. Yang lebihan itu selalunya dipanggil ‘bunga’. Dan kalau tidak dapat bayar dalam waktu yang dijanjikan, ‘bunga’ akan meningkat lagi dan lebih menyusahkan orang yang meminjam itu. Kadang-kadang apabila sudah lama, ‘bunga’ itu lebih banyak lagi dari pinjaman pokok yang asal.

وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ

dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

Allah ingatkan kita supaya bertaqwa dengan jaga hukum. Hukum makan riba’ adalah haram. Kita telah tafsir tentang riba’ dalam Surah Baqarah, tentang bagaimana buruk sekali hukum riba’ itu dan apakah ancaman Allah SWT kepada mereka yang memakan harta hasil dari riba’.

Maka, janganlah amalkan riba’, sebaliknya hendaklah bertaqwa kalau kamu mahu menjadi orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Namun, memang zaman sekarang amat susah untuk lari dari riba’. Kalau tidak terlibat secara langsung pun, tentu ada terkena sikit-sikit. Maka alangkah baiknya kalau bahaya sistem riba’ ini diketahui oleh lebih ramai lagi supaya sistem riba’ ini lama kelamaan boleh hilang terus.

Tafsir Ayat Ke-131

Ayat takhwif ukhrawi (penakutan tentang akhirat).

وَاتَّقُوا النّارَ الَّتي أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ

Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

وَاتَّقُوا النّارَ

Dan peliharalah diri kamu dari api neraka,

Ancaman neraka diberikan kepada mereka yang mengamalkan riba’. Amat banyak bahaya riba’ ini dan kesannya yang mendalam kepada ekonomi dunia dan individu. Maka, Allah SWT beri penekanan tentang bahayanya hinggakan neraka dijadikan sebagai galang ganti bagi mereka yang terlibat dengan riba’.

الَّتي أُعِدَّت لِلكٰفِرينَ

yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Neraka itu sudah siap ada, sedang menunggu dimasuki oleh orang kafir. Orang kafir ada geran neraka (mereka akan kekal dalam neraka). Orang Islam sepatutnya akan masuk syurga. Tetapi ada juga yang akan masuk neraka dahulu kerana walaupun mereka beriman dan tidak mengamalkan syirik, tetapi mungkin mereka ada dosa yang perlu dibersihkan di neraka.

Tetapi mereka tidak akan kekal di neraka kerana orang mukmin memegang geran di syurga, bukan di neraka. Mereka duduk untuk sekian waktu sahaja di neraka. Istilah bagi mereka ini adalah jahannamiyyun (pernah duduk dalam neraka jahannam).

Kalau kita lihat ayat ini yang diberikan selepas diberikan ayat riba’, ini menunjukkan yang riba’ dikaitkan dengan kufur. Mereka yang mengamalkan riba mengamalkan perbuatan orang kafir. Maka, ini adalah amat berat sekali dan kerana itu kita kenalah berhati-hati.

Tafsir Ayat Ke-132

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, mudah-mudahan kamu diberi rahmat.

وَأَطيعُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul

Janganlah amalkan riba’, sebaliknya hendaklah kamu taat kepada Allah ‎ﷻ dan untuk taat kepada Allah ‎ﷻ, hendaklah taat kepada Rasul kerana Rasul itu menyampaikan arahan Allah ‎ﷻ.

Maka, untuk taat kepada Allah ‎ﷻ hendaklah kita belajar tafsir Al-Qur’an, barulah faham apa perkara yang kita hendak taat dan untuk taat kepada Rasul, hendaklah kita belajar sunnah (belajar syarah Hadith). Kalau kita tidak belajar dua perkara itu, bagaimana kita kata kita ‘taat’, sedangkan apa perkara yang perlu taat pun kita tidak tahu?

لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

mudah-mudahan kamu diberi rahmat.

Mudah-mudahan dengan kita taat kepada Allah ‎ﷻ dan rasul itu, kita akan mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ. Rahmat ini adalah penting kerana kita hanya dapat masuk syurga kerana rahmat Allah ‎ﷻ sahaja. Kita tidak akan dapat masuk syurga dengan cara lain; tidak dengan amal ibadat kita, dengan pujuk rayu dan sebagainya, tidak.

Hanya dengan rahmat Allah ‎ﷻ sahaja kita akan dapat masuk syurga, maka kita amat berkehendak kepada rahmat daripada Allah ‎ﷻ ini. Untuk mendapat rahmat daripada Allah ‎ﷻ, hendaklah kita mulakan dengan taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Untuk taat kepada Allah ‎ﷻ dan Rasul, kita tidak boleh tidak, kena belajar tafsir Al-Qur’an dan hadith Nabi yang sahih.

Tafsir Ayat Ke-133

Ayat tabshir ukhrawi.

 وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم

Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu

‘Keampunan’ itu maksudnya kita berdoa supaya biar tidak ada dosa langsung. Ini adalah kerana dosa boleh menyebabkan kemurkaan Allah ‎ﷻ. Dosa juga akan menyebabkan kita masuk ke dalam neraka dan kita tidak mahu langsung ke dalam neraka walau sekejap mana pun.

Dalam ayat ini Allah ‎ﷻ menyuruh kita bersegera untuk meminta ampun. Malangnya kita ini kalau hal dunia laju sahaja; hendak pergi kerja, hendakkan kesenangan, hendak jumpa kekasih, hendak mendapatkan subsidi dan sebagainya. Namun dalam bab meminta keampunan, selalunya kita lembab, bukan?

وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ

dan Syurga, yang bidangnya seluas segala langit dan bumi

Bukan hanya bersegera kepada keampunan daripada Allah ‎ﷻ, tetapi bersegeralah untuk mendapatkan syurga.

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang syurga itu sebesar langit dan bumi. Ini adalah tashbih (perbandingan) sahaja. Allah ‎ﷻ membandingkan keluasan syurga itu supaya kita bolehlah untuk agak-agak. Sebab bagi orang Arab, tidak ada yang lebih besar daripada langit dan bumi. Itu sahaja yang mereka nampak. Allah ‎ﷻ hendak memberikan kefahaman kepada mereka.

Namun begitu, tidaklah semestinya syurga itu benar-benar sebesar langit dan bumi. Mungkin lebih besar lagi.

أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ

yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

Kalau neraka itu disediakan untuk orang kafir, syurga itu pula disediakan untuk orang yang bertaqwa. Memang setiap kita sudah ada tempat di dalam syurga (tetapi tinggal masuk atau tidak, sahaja).

Taqwa itu maksudnya bebas daripada syirik. Juga sedar tentang Allah ‎ﷻ sentiasa memerhatikan setiap perbuatan kita dan menjaga hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

Tafsir Ayat Ke-134

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ sebut bahawa syurga itu untuk orang-orang bertaqwa. Sekarang Allah ‎ﷻ beritahu apakah sifat-sifat muttaqin itu.

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ

Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah,

Mereka yang sentiasa infaq dalam keadaan senang dan susah. Infaq adalah lawan kepada riba’. Riba’ adalah perkara paling buruk yang boleh dilakukan dengan harta dan infaq adalah perkara yang paling baik yang boleh dilakukan dengan harta.

Mereka bukan sahaja infaq semasa mereka senang, tetapi semasa susah juga. Mungkin senang hendak infaq semasa senang, tetapi bagaimana kalau kita sendiri pun susah juga? Waktu itu memang menguji iman kita sungguh, bukan? Mereka yang dapat melakukannya tentulah seorang yang hebat sekali.

Maka inilah sifat ihsan: mencari redha Allah ‎ﷻ dalam waktu susah atau pun senang. Mereka tidak kisah keadaan diri mereka. Kesenangan atau kesusahan tidak mengubah iman mereka dan dekatnya mereka kepada Allah ‎ﷻ.

وَالكٰظِمينَ الغَيظَ

dan orang-orang yang menahan kemarahannya,

Mereka yang menelan kemarahan. Memang mereka marah yang amat sangat (الغَيظَ) tetapi mereka tahan kemarahan mereka itu. Kemarahan itu tidak ditunjukkan ke muka pun. Ini kerana ada jenis orang yang marah, tetapi dia merengus atau mukanya masam atau kelat sangat. Yang dimaksudkan dalam ayat ini, di wajahnya pun tidak nampak kemarahan itu, walaupun dia boleh menghukum orang yang menyebabkan kemarahannya itu. Sebagai contoh, ada budak yang cakap tidak elok kepada kita, tentu kita boleh tampar dia kerana dia budak sahaja, tetapi kita tahankan sahaja.

Ini tidak sama dengan kemarahan kepada seseorang yang kita tidak boleh balas kepada orang itu, sebab kita lemah kalau dibandingkan dengan dia. Contohnya, kita tidak boleh buat apa-apa kepada menteri kerana kita lemah jika dibandingkan dengan dia. Ini bukan maksud yang hendak disampaikan dalam ayat ini.

Ayat yang kita sedang baca ini adalah tentang mereka yang boleh buat sesuatu kepada orang yang menyebabkan kemarahannya itu, tetapi dia tahan, dia ‘telan’ kemarahannya. Sebagai contoh, pekerja kita buat kita marah. Tentu kita boleh buang dia daripada kerja, atau kita tengking dia, atau kita potong gaji dia, tetapi kita tidak lakukan. Itulah yang dimaksudkan.

وَالعافينَ عَنِ النّاسِ

dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.

Satu lagi sifat mereka yang disebut dalam ayat ini adalah mereka yang boleh memaafkan kesilapan dan kecuaian orang lain sebab dia fikir kesudahan di akhirat nanti. Dia maafkan sahaja supaya tidak panjang cerita.

Ini kerana kalau hendak mendapatkan keadilan daripada orang itu juga, dia pula hendak tunggu orang itu di Mahsyar untuk perbicaraan dijalankan dan keadilan ditegakkan; dan kalau hendak ditunggu begitu, maka lambat pula dia boleh masuk syurga (kalau dia seorang yang layak masuk syurga dengan awal).

Jadi dia tahu, lebih baik kalau dia terus maafkan, supaya dia pun dapat pahala kerana memaafkan kesalahan orang lain, dan dia pun tidak perlu menunggu lama di Mahsyar nanti, supaya dia boleh terus masuk syurga.

وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ

Allah suka kepada hamba yang memiliki hati yang baik.

Allah ‎ﷻ beritahu yang Dia suka orang yang memiliki sifat-sifat begini. Memang memaafkan kesalahan orang itu amat berat, tetapi kalau boleh melakukannya, ia tanda orang yang berhati baik dan itu juga tanda-tanda ahli syurga sebagaimana dalam hadith berikut:

حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ حَدَّثَنَا مَعْمَرٌ عَنِ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَطْلُعُ عَلَيْكُمْ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ تَنْطِفُ لِحْيَتُهُ مِنْ وُضُوئِهِ قَدْ تَعَلَّقَ نَعْلَيْهِ فِي يَدِهِ الشِّمَالِ فَلَمَّا كَانَ الْغَدُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ ذَلِكَ فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ مِثْلَ الْمَرَّةِ الْأُولَى فَلَمَّا كَانَ الْيَوْمُ الثَّالِثُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِثْلَ مَقَالَتِهِ أَيْضًا فَطَلَعَ ذَلِكَ الرَّجُلُ عَلَى مِثْلِ حَالِهِ الْأُولَى فَلَمَّا قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَبِعَهُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ فَقَالَ إِنِّي لَاحَيْتُ أَبِي فَأَقْسَمْتُ أَنْ لَا أَدْخُلَ عَلَيْهِ ثَلَاثًا فَإِنْ رَأَيْتَ أَنْ تُؤْوِيَنِي إِلَيْكَ حَتَّى تَمْضِيَ فَعَلْتَ قَالَ نَعَمْ قَالَ أَنَسٌ وَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ يُحَدِّثُ أَنَّهُ بَاتَ مَعَهُ تِلْكَ اللَّيَالِي الثَّلَاثَ فَلَمْ يَرَهُ يَقُومُ مِنْ اللَّيْلِ شَيْئًا غَيْرَ أَنَّهُ إِذَا تَعَارَّ وَتَقَلَّبَ عَلَى فِرَاشِهِ ذَكَرَ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَكَبَّرَ حَتَّى يَقُومَ لِصَلَاةِ الْفَجْرِ قَالَ عَبْدُ اللَّهِ غَيْرَ أَنِّي لَمْ أَسْمَعْهُ يَقُولُ إِلَّا خَيْرًا فَلَمَّا مَضَتْ الثَّلَاثُ لَيَالٍ وَكِدْتُ أَنْ أَحْتَقِرَ عَمَلَهُ قُلْتُ يَا عَبْدَ اللَّهِ إِنِّي لَمْ يَكُنْ بَيْنِي وَبَيْنَ أَبِي غَضَبٌ وَلَا هَجْرٌ ثَمَّ وَلَكِنْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَكَ ثَلَاثَ مِرَارٍ يَطْلُعُ عَلَيْكُمْ الْآنَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ فَطَلَعْتَ أَنْتَ الثَّلَاثَ مِرَارٍ فَأَرَدْتُ أَنْ آوِيَ إِلَيْكَ لِأَنْظُرَ مَا عَمَلُكَ فَأَقْتَدِيَ بِهِ فَلَمْ أَرَكَ تَعْمَلُ كَثِيرَ عَمَلٍ فَمَا الَّذِي بَلَغَ بِكَ مَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ قَالَ فَلَمَّا وَلَّيْتُ دَعَانِي فَقَالَ مَا هُوَ إِلَّا مَا رَأَيْتَ غَيْرَ أَنِّي لَا أَجِدُ فِي نَفْسِي لِأَحَدٍ مِنْ الْمُسْلِمِينَ غِشًّا وَلَا أَحْسُدُ أَحَدًا عَلَى خَيْرٍ أَعْطَاهُ اللَّهُ إِيَّاهُ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ هَذِهِ الَّتِي بَلَغَتْ بِكَ وَهِيَ الَّتِي لَا نُطِيقُ

Telah menceritakan kepada kami Abdurrazaq telah menceritakan kepada kami Ma ‘mar daripada Az-Zuhri berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Anas bin Malik رضي الله عنه berkata, ketika kami sedang duduk bersama Rasulullah ﷺ, baginda bersabda, “Akan muncul seorang laki-laki penghuni syurga”, lalu muncul seorang laki-laki Ansar yang janggutnya masih bertitisan air sisa wudhu, sambil menggantungkan kedua sandalnya pada tangan kirinya. Esok harinya Nabi ﷺ bersabda seperti itu juga, lalu muncul laki laki itu lagi seperti yang pertama, dan pada hari ketiga Nabi ﷺ bersabda seperti itu juga dan muncul laki laki itu kembali seperti keadaan dia yang pertama. Ketika Nabi ﷺ berdiri, Abdullah bin Amru bin Al-Ash رضي الله عنه mengikuti laki-laki tersebut dengan berkata ” Kawan, saya ini sebenarnya sedang bertengkar dengan ayahku dan saya bersumpah untuk tidak menemuinya selama tiga hari, jika boleh, izinkan saya tinggal di tempatmu sehingga tiga malam”, “Tentu”, jawab laki-laki tersebut. Anas bin Malik رضي الله عنه berkata, Abdullah رضي الله عنه bercerita; aku tinggal bersama laki-laki tersebut selama tiga malam, anehnya tidak pernah aku mendapatinya mengerjakan salat malam sama sekali, hanya jika dia bangun daripada tidurnya dan beranjak dari ranjangnya, lalu berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan bertakbir sampai dia mendirikan salat fajar, selain itu juga dia tidak pernah mendengar dia berkata kecuali yang baik-baik saja, maka ketika berlalu tiga malam dan hampir hampir saja saya menganggap remeh amalannya, saya berkata, ” Wahai kawan, sebenarnya antara saya dengan ayahku sama sekali tidak ada pertengkaran dan saling mendiamkan seperti yang telah saya katakan, akan tetapi saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda tentang dirimu sebanyak tiga kali, “Akan muncul pada kalian seorang laki-laki penghuni syurga, lalu kamulah yang muncul tiga kali tersebut, maka saya ingin tinggal bersamamu agar dapat melihat apa yang kamu kerjakan hingga saya dapat mengikutinya, namun saya tidak pernah melihatmu mengerjakan amalan yang banyak, lalu amalan apa yang membuat Rasulullah ﷺ sampai mengatakan engkau ahli syurga?”, laki-laki itu menjawab, “Tidak ada amalan yang saya kerjakan melainkan seperti apa yang telah kamu lihat”, maka tatkala aku berpaling laki-laki tersebut memanggilku dan berkata, “Tidak ada amalan yang saya kerjakan melainkan seperti apa yang telah kamu lihat, hanya saya tidak pernah mendapatkan pada diriku, rasa ingin menipu terhadap siapapun daripada kaum muslimin, dan saya juga tidak pernah merasa iri dengki kepada seorang (memaafkan) atas kebaikan yang telah dikurniakan oleh Allah kepada seseorang”, maka Abdullah رضي الله عنه berkata, “Inilah amalan yang menjadikanmu mencapai darjat yang tidak mampu kami lakukan.” (Riwayat Ahmad No. 12236)

Syarah hadith: Tidak pernah iri dan dengki kepada siapapun adalah buah daripada sikap memaafkan kepada orang lain, kerana realiti kehidupan sering membuat manusia emosi, marah dan benci, terlebih jika dia jauh hubungannya dengan Allah ‎ﷻ, jika dia hanya melihat kehidupan ini daripada kacamata material, kepentingan dan kemaslahatan peribadinya saja, jika selalu membandingkan dan melihat kepada yang dilapangkan dan diluaskan rezekinya oleh Allah ‎ﷻ serta tidak pernah melihat kepada yang diuji dengan kekurangan dan lain-lain lagi.

Allahu a’lam.

SOAL JAWAB DALAM BICARA SUNNAH THTL: KETAATAN ISTERI KEPADA SUAMI

0

🔴 Apa hikmah pengajaran disebalik ketaatan isteri kepada suami dengan kelayakan syurga?

Adakah ketaatan kepada suami ini sama analogi seperti beriman kepada Allah? Wanita sering dipengaruhi dengan perasaan was-was, maka apabila dia tidak taat pada suami, maka seolah-olah dia tidak yakin pada suami. Sedangkan ketaatan memerlukan keyakinan. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh taat kepada perintah Allahﷻ apabila dia tidak yakin kepadaNya? Apa pandangan sheikh?

✅ Ini adalah sistem Al-Qur’an:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
“Laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri), karena Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (perempuan), dan karena mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dan hartanya.” [An-Nisa’:34]

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Dan mereka (para wanita) memiliki hak seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang pantas. Tetapi para suami mempunyai kelebihan di atas mereka. Allah Mahaperkasa, Mahabijaksana.” [Al-Baqarah : 228]

Ini tidak termasuk dalam Rukun Iman.
Rukun Iman ada 6 perkara:
1. Beriman kepada Allah ﷻ
2. Beriman kepada Malaikat
3. Beriman kepada Kitab
4. Beriman kepada Rasul
5. Beriman kepada Hari Akhirat
6. Beriman kepada Qadha dan Qadar.

Tidak boleh ada rukun yang ke 7 iaitu beriman dengan suami.

Taat kepada suami ini berada dalam Fiqh Huquq atau hak-hak ketaatan ke atas wanita:
1. Taat kpd Allah ﷻ
2. Taat kepada Rasul
3. Taat kepada suami.

Dalil:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
“Apabila seorang isteri mengerjakan shalat yang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (menjaga kehormatannya), dan taat kepada suaminya, niscaya ia akan masuk Surga dari pintu mana saja yang dikehendakinya.” sahih Ibn Hibban 1296, Alalbani, sahih Al Jaami’ 661

Tetapi ia taat bersyarat, taat dalam urusan yang ma’ruf sahaja. Jika suami memerintahkan untuk mengerjakan yang haram, maka tidak ada ketaatan.

@SnJFiqhWanita

SOAL JAWAB DALAM BICARA SUNNAH THTL: KENAPA KAHWIN MUSLIM KENA TUKAR AGAMA

0

🔴 Persoalan dari seseorang mengenai perkahwinan dengan orang bukan Islam. Mengapakah apabila orang bukan Islam berhasrat mahu berkahwin dengan orang Islam, dia perlu menganut Islam terlebih dahulu? Sedangkan bagi orang Islam yang berhasrat mahu berkahwin dengan penganut agama lain, dia tidak perlu keluar Islam. Pasangan yang menganut agama lain itu yang wajib meninggalkan agamanya.

Perkahwinan atau Fiqh Munakahat ditentukan oleh syariat.

1️⃣Lelaki Islam boleh berkahwin dengan perempuan ahlil kitab yang baik tanpa perempuan itu memeluk Islam.

Dalil:
(Dan dihalalkan mengawini) wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu” [Al-Maidah/5: 5]

2️⃣Lelaki Islam tidak boleh berkahwin dengan perempuan musyrik (penyembah berhala)
“dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik, sebelum mereka beriman” [Al-Baqarah 2:221]

:three:Wanita Islam boleh berkahwin dengan lelaki Ahli Kitab dan musyrikin setelah mereka memeluk Islam.

Dalil:
“Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (dengan wanita-wanita mukmin) sebelum mereka beriman” [Al-Baqarah 2:221]

Urusan nikah kawin di Malaysia adalah dibawah Akta Kekeluargaan Islam, maka sebelum berkahwin dan didaftarkan perlulah melalui SOP Majlis Agama terlebih dahulu. Oleh kerana di Malaysia, Islam adalah sebagai agama resmi persekutuan, maka begitulah sistemnya, orang Islam sama ada lelaki dan perempuan jika mahu berkahwin antara agama, maka calon bukan muslim wajib memeluk Islam terlebih dahulu.

Tetapi pejuang hak asasi manusia, puak jaringan Liberal, puak Atheis membantah. Mereka mahukan perkahwinan antara agama dibenarkan tanpa perlu menukar agama. Hak kebebasan mutlak sebegini tidak diterima di Malaysia. tetapi ia sudah diterima di negara Barat.

Saya takut anda terpengaruh dengan agenda pejuang hak asasi manusia dan liberalis

@SnJFfiqhWanita

Soal Jawab Bersama Doktor: Seputar Persoalan Kesihatan Bilik 50 – Bahagian 4/2021

0

Kekejangan pada otot bahagian kaki

Soalan 1:

Doktor, saya mengalami masalah kekejangan pada tapak kaki kebelakangan ini sehingga menyebabkan saya berasa tidak selesa ketika melakukan aktiviti harian malah ada kalanya kekejangan merebak pada betis kaki?

Jawapan:

Jika rumah anda berlantai simen, pemakaian selipar getah yang agak lembut mungkin boleh membantu mengurangkan masalah kekejangan pada tapak kaki.

[Kekejangan otot selalunya berlaku secara tiba-tiba dan ia tidak mampu dikawal. Keadaan ini selalunya melibatkan otot bahagian betis dan pesakit selalunya terduduk kesakitan disebabkan masalah ini.

Antara anggota badan yang kerap mengalami kekejangan otot adalah seperti berikut:

  • Leher
  • Abdomen
  • Tapak kaki
  • Tangan]

https://thediagnosa.com/kaki-kejang-punca-rawatan-menghentikan/

 

Masalah sakit tulang paha

Soalan 2:

Doktor, ibu saya mengalami sakit tulang di sebelah tepi paha kiri dan tidak boleh kerap melakukan pergerakan. Apakah penyebab dan cara penyembuhan yang sesuai?

Jawapan:

Mungkin ada terpelecok atau jatuh dan mungkin mengalami kecederaan patah di leher tulang paha. Boleh cuba rapatkan kedua-dua belah kaki dan padankan panjangnya untuk melihat kedudukan kedua-duanya jika ada perbezaan.

[Tulang paha anda adalah tulang terpanjang dan terkuat di dalam badan anda. Oleh sebab tulang paha ini kuat, ia biasanya memerlukan daya yang kuat untuk berlakunya kepatahan. Kemalangan kereta sebagai contoh merupakan salah satu punca patah tulang paha.

Bahagian paha yang panjang dan lurus dipanggil batang paha. Apabila berlaku kepatahan pada mana-mana bahagian tulang paha, ia dipanggil patah batang paha.  Kepatahan tulang paha adalah sangat berbeza-beza bergantung kepada daya yang menjadi punca kepatahan.]

https://hellodoktor.com/penyakit-muskuloskeletal/patah-tulang/patah-tulang-peha/

 

Masalah kegagalan fungsi buah pinggang

Soalan 3:

Mertua saya seorang pesakit buah pinggang tahap 4. Tidak berpantang dalam pemakanan. Beliau gemar makan nasi lemak atau makanan yang berlemak malah kerap mengambil suplemen tambahan tanpa nasihat doktor. Beliau tidak berselera makan tetapi makan kerap untuk mengisi perut, kini dia mengadu sakit perut pula.

Doktor, adakah sakit perut tersebut berpunca kerana tidak berpantang makan atau kerana pengambilan suplemen?

Jawapan:

Jika sudah menjalani rawatan dialisis, tidak perlulah terlalu berpantang dalam pemakanan.  Tetapi perlu berjumpa doktor untuk mengenal pasti kerosakan buah pinggang dan punca sakit perut.

[Apabila buah pinggang tidak lagi boleh bekerja dengan baik, pesakit perlu mengawal jenis dan jumlah makanan yang diambil. Pesakit dan pakar pemakanan boleh membuat pelan pemakanan harian yang betul iaitu:

  • Memenuhi keperluan pemakanan anda
  • Kurangkan beban kerja pada buah pinggang anda
  • Mengawal pengumpulan sisa makanan seperti urea
  • Mengurangkan gejala seperti keletihan, loya, gatal-gatal dan rasa kurang selesa dalam mulut anda
  • Mengawal kesan gula darah yang tinggi jika anda mempunyai diabetes

Setiap orang mempunyai keperluan yang berbeza bergantung kepada umur, sejarah perubatan dan fungsi buah pinggang. pakar pemakanan anda akan bekerjasama dengan anda untuk mereka merancang pemakanan harian yang sesuai untuk anda.]

http://www.islahdialisis.com/tahukah-anda/78-pemakanan-nutrisi

 

Pemakanan untuk pesakit Gastrik

Soalan 4:

Doktor, bolehkah pesakit gastrik atau ‘Gerd’ banyak meminum air putih?

Jawapan:

Boleh, tiada masalah.

[Beberapa jenis makanan yang membantu dalam mengatasi masalah GERD anda dan boleh menjadikannya sebagai rutin pemakanan anda selepas ini.

  1. Dada Ayam – sebaiknya di panggang
  2. Air Putih – air gula tidak bagus untuk GERD
  3. Teh Halia – Dinasihatkan mengelakkan dari minum kopi dan teh kerana ianya mempunyai banyak kafein dan kafein tidak bagus untuk GERD
  4. Tembikai – buah yang kurang berasid.

Anda dinasihatkan untuk tidak mengambil sebarang buah oren kerana buah oren mempunyai asid buah.

  1. Nasi Perang – nasi yang lebih lama untuk dicerna dan bagus untuk GERD.
  2. Oat – sarapan yang bagus. Perut akan terasa penuh dan tahan lebih lama kenyang.
  3. Kentang – di panggang atau bakar.

Jangan goreng dengan bawang kerana boleh menyebabkan gastrik yang lebih teruk.

  1. Minyak Zaitun – Makanan berminyak akan membuatkan GERD semakin teruk tetapi kalau mahu yang lebih lembut, cuba masak menggunakan minyak zaitun.
  2. Sayur salad – ianya sangat baik untuk GERD kerana ianya kurang angin.
  3. Sayur Adas – Boleh melegakan sakit GERD sebab kurang berasid.]

https://www.themalayapost.my/jenis-makanan-yang-sesuai-bagi-penderita-gerd/

 

Masalah penagihan ketum

Soalan 5:

Doktor, bolehkah penagih ketum berhenti mengambil ketum?

Jawapan:

Boleh.

https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/risiko-pengambilan-ketum-kesihatan-anda/

 

Popular

Iklan

Iklan