Utama Blog Halaman 162

Tafsir Surah Al-Baqarah – Tafsir Ayat Ke-36 hingga Ke-39

0

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-36:

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيطانُ عَنها فَأَخرَجَهُما مِمّا كانا فيهِ ۖ وَقُلنَا اهبِطوا بَعضُكُم لِبَعضٍ عَدُوٌّ ۖ وَلَكُم فِي الأَرضِ مُستَقَرٌّ وَمَتاعٌ إِلىٰ حينٍ

“Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

فَأَزَلَّهُمَا الشَّيْطَانُ عَنْهَا

Telah menggelincirkan mereka berdua oleh syaitan darinya (syurga);

Oleh kerana iblis ingkar untuk taat sujud kepada Nabi Adam, maka Allah SWT halau Iblis dari syurga. Apabila dihalau, Iblis kata kerana dia dihalau, dia akan sesatkan seluruh anak cucu Adam (termasuk Nabi Adam sendiri). Supaya nanti akhirnya manusia akan masuk dalam neraka bersama dengannya. Allah SWT membenarkan Iblis untuk goda anak cucu Nabi Adam.

Allah SWT berikan alat perhubungan antara Nabi Adam dan Iblis. Tidak pasti bagaimana cara mereka berkomunikasi itu. Walaupun dia tidak berjumpa dengan Nabi Adam, kerana dia telah dikeluarkan dari syurga, tetapi Nabi Adam kenal Iblis. Kerana telah diberitahu kepada Nabi Adam bahawa Iblis adalah musuh mereka berdua. Telah diberitahu semasa mereka berdua ada dalam syurga lagi. Iblis minta supaya dia dibenarkan menggoda Nabi Adam dan anak cucunya sehingga hari dibangkitkan nanti. Allah SWT berikan tempoh kepadanya.

Syaitan telah hubungi Nabi Adam menceritakan bagaimana dia kena halau dari syurga. Ada banyak tafsir tentang perkara ini dan ulama tidak sepakat bagaimana cara Iblis dapat berhubung dengan Nabi Adam, jadi kita tidak mahu bincangkan di sini. Cukup kita tahu yang Iblis dapat berkomunikasi dengan Nabi Adam semasa Nabi Adam di dalam syurga.

Dia ‘nasihat’ kepada Nabi Adam kononnya supaya jangan jadi macam dia. Kononnya dia hendak nasihat kepada Nabi Adam cara untuk kekal dalam syurga. Maka, dia telah suruh Nabi Adam makan pokok yang terlarang itu. Tetapi Nabi Adam kata dia tidak boleh makan pokok itu. Sebab baginda ingat lagi bahawa Allah SWT telah melarangnya menghampiri pokok itu. Iblis kata, Allah SWT juga telah sekat dia dan kerana dia tidak makan pokok itulah yang menyebabkan dia kena halau dari Syurga. Lihatlah bagaimana liciknya tipuan dari Iblis.

Oleh kerana rayuan dan bisikan Iblis itu bertalu-talu, maka Nabi Adam akhirnya telah termakan pujukan Iblis. Iblis kata, kalau Nabi Adam makan pokok itu, dia akan jadi macam malaikat dan akan hidup kekal dalam syurga. Dan dia kata lagi, yang Tuhan kata, ‘jangan hampiri’, bukan Dia kata ‘jangan makan’. Maka, Nabi Adam akhirnya telah makan pokok larangan itu.

Bila dia makan, dia pun suruh Hawa makan juga. Takut nanti kalau Hawa tidak makan, mereka akan berpisah. Tetapi dalam tafsir lain, dikatakan bahawa Iblis goda Hawa dan Hawalah yang menyebabkan Nabi Adam makan. Itu adalah fitnah kepada kaum Hawa. Sampai memburukkan kaum wanita. Itu semua adalah karut sahaja. Padahal dalam Quran, dikatakan Nabi Adamlah yang makan dulu pokok itu. Orang Kristian sampai menamakan Hawa dengan nama ‘Eve’, dan mereka kata dari kata Eve itulah datangnya kata ‘evil’ – kejahatan kerana kepada mereka, Eve lah punca segala kejahatan.

Bila makan pokok itu, maka pakaian mereka tertanggal dengan sendiri. Telanjanglah mereka berdua. Maka, tahulah Nabi Adam bahawa mereka telah derhaka dengan Tuhan. Mereka telah mengambil daun dari pokok-pokok dalam Syurga untuk menutup tubuh mereka.

فَأَخْرَجَهُمَا مِمَّا كَانَا فِيهِ

Maka dikeluarkan mereka berdua daripada syurga, tempat yang pernah mereka tinggal padanya;

Allah SWT kata ‘jangan’, syaitan kata ‘boleh’. Maknanya dalam kehidupan seharian kita, syaitan akan pusing mana yang tidak boleh, dia akan suruh kita buat. Inilah caranya. Dia terbalikkan yang boleh dan tidak boleh. Panjang dan lama dia memujuk Nabi Adam sampai Nabi Adam termakan. Akhirnya syaitan berjaya menghalalkan yang haram.

Oleh itu, dari sebab asbab, syaitanlah penyebab turunnya Nabi Adam dari syurga. Dia bukannya suruh Nabi Adam buat salah tetapi dia pujuk. Maknanya, dia gunakan helah. Dan syaitan sampai namakan pokok itu Pokok Khuldi – Pokok Kekal. Jadi nama ‘khuldi’ ini adalah diberikan oleh syaitan, jadi pada saya, tidak sesuai kalau kita terus panggil pokok itu sebagai pokok Khuldi.

Syaitan akan sentiasa hendak gelongsor manusia dari ikut syariat. Lalu bagaimana kita hendak lawan dengan syaitan kerana kita tidak nampak mereka? Allah SWT ajar dalam ayat ini yang kalau ada keinginan untuk menolak syariat, itu adalah bisikan syaitan tersebut. Syaitan tidak suka wahyu ditegakkan. Allah SWT beri peringatan jangan kita terjadi macam tok nenek zaman dahulu.

Jika kita sendiri tidak belajar tafsir dan belajar agama dengan betul, bagaimana kita hendak tahu kita sedang ditipu oleh syaitan? Maka kenalah belajar supaya susah syaitan hendak tipu.

وَقُلْنَا اهْبِطُوا

Dan Kami (Allah SWT) berfirman: Keluarlah kamu dari syurga ini;

Dari bahasa yang digunakan, bukan bermaksud ‘kamu berdua’ tetapi dalam bentuk jamak (plural). Maka, ada mufassir yang kata, yang disuruh keluar dalam ayat ini termasuk sekali dengan Iblis.

بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ

Sebahagian dari kamu akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain;

Apabila mereka ada zuriat nanti, keturunan mereka akan jadi musuh sesama sendiri iaitu kita akan balik kepada kejadian asal manusia kerana setiap manusia ada nafsu yang berlainan. Keinginan pun berlainan. Ia membawa kepada perbezaan pendapat dan akan terjadilah permusuhan. Kadang-kadang sampai berperang.

Begitu juga, orang yang bawa ajaran yang hak juga akan dimusuhi oleh golongan yang batil. Dan berbagai-bagai lagi jenis permusuhan yang ada.

Termasuk juga dalam ayat ini, permusuhan antara syaitan dan manusia. Kerana Allah SWT telah beritahu kepada kita awal-awal lagi yang syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kita, bukan?

Allah SWT juga sebut dalam surah [ Isra: 53 ]:

إِنَّ الشَّيطانَ يَنزَغُ بَينَهُم ۚ إِنَّ الشَّيطانَ كانَ لِلإِنسانِ عَدُوًّا مُبينًا

Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.

وَلَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ

Bagi kamu di bumi itu tempat tinggal yang sementara;

مُسْتَقَرٌّ bermaksud tempat duduk sekejap sahaja. Akan tinggal sekejap di dunia ini dan kita akan tinggalkan ia setelah cukup masa itu ke dunia akhirat selama-lamanya.

وَمَتَاعٌ إِلَىٰ حِينٍ

dan suatu kesenangan sehingga tempoh kamu mati;

Perkataan مَتَاعٌ yang digunakan dalam ayat ini bermaksud ‘barang keperluan yang digunakan’. Tapi barang itu tidak penting. Macam kain buruk kita buat lap meja – ianya memang ada guna, tapi tidaklah ianya satu benda yang penting dan berharga sampai kita resah gelisah kalau kehilangannya, bukan?

Inilah hakikat dunia. Ia hanya untuk keperluan kita sahaja. Oleh itu, jangan kita jadi materialistik sampai dunia itu masuk ke dalam hati kita kerana dunia itu bersifat sementara sahaja.

Tafsir Ayat Ke-37

Allah SWT hendak ingatkan dalam ayat sebelum ini yang manusia akan ikut sifat tok nenek kita iaitu penyakit lupa dan kerana lupa itulah yang menyebabkan terkeluar dari syurga. Dan lupa itu pula disebabkan oleh syaitan.

Kalau bukan kerana syaitan, manusia tidak lupa. Lebih-lebih lagi lupa tentang syariat.

Kesilapan ‘lupa’ tidak sama dengan perbuatan yang sengaja. Lain hukuman kalau lupa dan sengaja.

Iblis tidak sujud bukan kerana lupa, tetapi sengaja tidak mahu sujud kerana degil. Tetapi Nabi Adam makan pokok itu kerana lupa. Maka, kerana silapnya adalah kerana lupa, harapan untuk kembali ke syurga masih ada lagi.

Memang Nabi Adam as sedar yang baginda telah melakukan kesilapan. Maka, apabila Nabi Adam sedar yang baginda telah melakukan kesilapan, maka baginda telah beristighfar memohon ampun kepada Allah SWT dengan harapan yang tinggi untuk merayu kepada Allah SWT supaya ampunkan segala dosanya. Namun, Allah SWT tidak pandang pun doa-doa dari Nabi Adam as itu. Maknanya, perkataan yang terbit dari akal manusia tidak diterima.

فَتَلَقّىٰ آدَمُ مِن رَبِّهِ كَلِماتٍ فَتابَ عَلَيهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ التَّوّابُ الرَّحيمُ

“Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah SWT menerima taubatnya; sesungguhnya Allah SWT, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

فَتَلَقَّىٰ آدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ

“Maka Nabi Adam telah menerima beberapa kalimah taubat daripada Tuhannya”

Akhir sekali, Allah SWT ajar sendiri cara untuk melafazkan doa keampunan kepada-Nya. Allah SWT hendak mengajar bahawa syariat tetap syariat iaitu amalan yang diterima adalah seperti yang diajar oleh-Nya.

Akal tidak boleh menandingi syariat. Sebab itu mereka yang belajar ilmu logik dan ilmu akal, ilmu kalam, jangan cuba melawan wahyu. Akal kena tunduk kepada wahyu.

Hanya apabila Adam belajar doa dari wahyu Ilahi, barulah Allah SWT menerima doa ampun Nabi Adam dan menerima taubatnya.

Sebab itulah dalam kita berdoa kepada Allah SWT dalam hal apa pun, adabnya adalah kita cari dulu doa yang ada dalam Al-Quran, kemudian cari doa yang Nabi ajar.

Carilah doa yang sesuai dengan keadaan kita. Kalau ada, maka gunalah doa itu. Insya Allah, ia lebih baik dari doa yang kita reka sendiri. Boleh doa yang kita reka, tetapi yang sebaik-baiknya, kita cari dulu doa yang ada dalam nas. Ada banyak doa yang sesuai yang Nabi telah ajar kepada umatnya terutama dalam Al-Quran.

Maka, apakah doa yang Allah SWT ajar kepada Nabi Adam itu? Doa itu ada disebut dalam [A’raf: 23]:

قالا رَبَّنا ظَلَمنا أَنفُسَنا وَإِن لَم تَغفِر لَنا وَتَرحَمنا لَنَكونَنَّ مِنَ الخاسِرينَ

Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

Maka, sesiapa yang kena bala, maka ajarkanlah doa Nabi Adam ini kepada dia. Kerana selalunya mereka yang jatuh bala itu adalah kerana dia ada salah dengan Tuhan. Oleh itu, dia kena minta ampun kepada Allah SWT dan sebaik-baik doa taubat adalah seperti yang diajar oleh Allah SWT.

فَتَابَ عَلَيْهِ

“maka diterima taubat Nabi Adam”;

Maknanya, kalau kita berdoa, kena cari doa yang Tuhan ajar dahulu. Dan ikut cara doa yang Allah SWT ajar dan tinggalkan cara yang Allah SWT larang. Oleh itu jangan reka cara doa yang salah, seperti menggunakan wasilah dengan Nabi, wali atau malaikat.

Jadi, sebaik-baik doa adalah doa yang telah diajar oleh Allah SWT dan Nabi. Kalau kita tidak jumpa, bolehlah kita buat setakat lafaz kita yang kita biasa.

إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

“Allah SWT taala itu sifat-Nya Maha Menerima taubat lagi Maha Belas Kasihan”

Ada dua sifat Allah SWT yang disebut dalam ayat ini: Menerima Taubat dan Maha Belas Kasihan.

Maksudnya, Allah SWT suka menerima taubat hamba-Nya. Apabila Allah SWT telah terima taubat hamba-Nya itu, Dia tidak akan menyusahkan hamba-Nya itu selama-lamanya di akhirat.

Dan sifat menerima taubat itu datang dari sifat Rahim Allah SWT.

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-38:

‎قُلنَا اهبِطوا مِنها جَميعًا ۖ فَإِمّا يَأتِيَنَّكُم مِنّي هُدًى فَمَن تَبِعَ هُدايَ فَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

“Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

‎قُلْنَا اهْبِطُوا مِنْهَا

“Turunlah kamu semua dari syurga ini”;

Sebelum ini adalah titah secara ringkas. Ini adalah titah dengan lebih lengkap. Arahan turun kali kedua ini dalam bentuk yang lembut, supaya manusia dapat pengajaran.

جَمِيعًا

“semua sekali”;

Maknanya, kamu dan isteri kamu dan zuriat-zuriat kamu sekali.

Di sini Allah SWT hendak memberitahu kita apakah ilat (sebab) yang menyebabkan manusia kena duduk di dunia juga. Segala kejadian yang menyebabkan Nabi Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga itu adalah sebagai alasan sahaja. Memang Allah SWT hendak menetapkan manusia tinggal di dunia. Manusia memang kena duduk di dunia dahulu. Semua anak Nabi Adam kena duduk di dunia dulu kerana dunia adalah tempat ujian.

‎فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِنِّي هُدًى

“Maka sekiranya datang kepada kamu dari Aku, petunjuk”;

Allah SWT kata dalam ayat ini bahawa petunjuk itu dari ‘Aku’. Maknanya, kena pastikan bahawa petunjuk itu dari Allah SWT – dari Al-Quran dan sunnah Nabi. Bukan dari yang lain. Ini menunjukkan bahawa akan ada petunjuk yang dari dua sumber itu kerana banyak orang Islam yang mengambil petunjuk dari sumber lain seperti tradisi turun temurun yang dibawa oleh tok nenek mereka. Itu bukan petunjuk dari Allah SWT. Maka kita kena biasakan diri kita dengan petunjuk yang sahih. Jangan pakai ambil sahaja.

Kita kena sentiasa peka dan bertanya dari manakah sesuatu amalan itu datang. Adakah dari Allah SWT atau dari sumber yang lain. Kita kena pastikan yang ianya sahih.

Maka, janganlah setakat jawab: “ini ustaz juga yang ajar…”. Kena pastikan ustaz itu ajar ambil dari ayat mana, hadis mana?

فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ

“Sesiapa yang mengikuti petunjuk itu”;

Perkataan yang digunakan adalah dalam bentuk ‘mufrad’ – seorang.

Kadang-kadang kita sahaja yang menerima hidayah dalam lingkungan keluarga kita, kita rasa kita keseorangan, kerana kita sahaja yang hendak amalkan sunnah.

Tetapi selepas itu dalam ayat ini juga, Allah SWT bertukar menggunakan perkataan ‘عَلَيْهِمْ’ – dalam bentuk jamak. Ini bermakna, walaupun kita mula keseorangan, kemudian Allah SWT akan beri kawan-kawan di dalam perjuangan menjalankan kehidupan yang berlandaskan iman yang benar.

Sekiranya kita tidak dapat juga kawan dalam dunia ini, Allah SWT akan beri kawan itu semasa di akhirat nanti.

Maka, janganlah takut kalau kita rasa macam kita seorang sahaja yang menerima jalan sunnah ini. Tidak ramai yang sanggup mengambil jalan yang sealiran dengan Al-Quran dan sunnah.

فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ

“maka tidak ada ketakutan atas mereka”;

Tidak ada ketakutan untuk mereka itu, sama ada di dunia atau di akhirat. Allah SWT sebut ‘takut’ dahulu, kerana itulah yang paling banyak bermain di fikiran manusia. Kalau nak dibandingkan dengan kesedihan. Takut adalah berkenaan perkara yang akan datang dan kesedihan adalah tentang perkara yang telah lalu. Kita selalunya takut tentang apakah yang akan terjadi di masa hadapan. Padahal, perkara itu belum terjadi lagi.

Tidak ada ketakutan itu adalah ketakutan untuk menghadapi akhirat.

Apabila dikatakan ‘la khaufun’, itu tidak bermakna semua ketakutan akan dihilangkan. Kalau semua perasaan takut dihilangkan, perkataan ‘la khaufa’ yang digunakan.

Ini adalah kerana, sebagai manusia, perasaan takut kadang kala berguna. Kerana takut sakitlah, kita makan ubat. Kerana takutlah, kita berhati-hati semasa kita memandu di jalan raya kerana kita takut berlaku kemalangan, serta berbagai lagi.

Di hari akhirat nanti, kita juga akan ada perasaan takut apabila berhadapan dengan Allah SWT nanti kerana kita tidak pasti apakah kita akan selamat atau tidak. Kita takut untuk masuk ke dalam neraka. Tetapi takut kita tidak sama dengan takut orang yang tidak beriman, kerana kita tahu bahawa Allah SWT akan melindungi kita.

وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

“dan mereka tidak berdukacita lagi”;

Ini bermaksud, seorang yang beriman tidak akan sedih. Ramai orang fikir bahawa kalau mengamalkan Islam dengan baik, mereka tidak akan dapat bergembira di dunia ini. Macam-macam mereka tidak boleh buat kerana Islam melarangnya.

Tetapi ayat ini hendak mengatakan bahawa orang-orang Islam yang beriman tidak akan bersedih. Mereka akan rasa tenang dan gembira sahaja dengan apa yang Allah SWT berikan kepada mereka dan mereka redha dengan apa yang Allah SWT suruh mereka lakukan.

Sebenarnya, mereka yang mencari kegembiraan kehidupan di dunia ini tidaklah gembira kerana mereka melawan kehendak naluri fitrah mereka yang mahukan kehidupan Islam. Dalam diri mereka, sebenarnya mereka hendakkan kebaikan yang ada dalam ajaran Islam, tetapi mereka telah mematikan perasaan fitrah itu. Contohnya, mereka yang berparti sampai tidak ingatkan diri itu, apabila mereka sedar dari mabuk itu, mereka akan rasa sedih. Mereka akan rasa bersalah dengan apa yang mereka lakukan cuma, mereka buat tidak tahu sahaja.

Tidak ada apa yang hendak disedihkan oleh orang beriman. Kalau kita diberikan ujian, kita tahu ujian itu adalah dari Allah SWT. Ia baik untuk kita kerana ianya akan menaikkan darjat untuk kita. Kalau kita sakit, itu sebenarnya akan menghapuskan dosa-dosa kita yang telah lalu. Kalau kita berperang dan kita kalah, atau kita mati, kita akan mati syahid. Dalam keadaan mana pun, kita akan mendapat kebaikan.

Ujian dunia ada dua jenis: ada yang jenis dugaan – kita ditimpa kemalangan, kemiskinan, kesakitan dan sebagainya. Satu lagi ujian yang mungkin lebih bahaya lagi adalah ujian ‘kesenangan hidup’. Apabila kita senang, kita lagi senang untuk lupa Allah SWT. Sebab kalau dalam keadaan susah, kita selalu ingat Allah SWT. Tetapi apabila senang, susah hendak ingat Allah SWT. Apabila senang, kadang-kadang susah hendak bersyukur kepada Allah SWT.

Apabila Allah SWT mengatakan bahawa orang-orang beriman ‘tidak akan sedih’, ianya juga hendak menyatakan bahawa akan ada orang lain yang akan bersedih. Mereka akan bersedih dan menyesal apabila hari kiamat kelak. Mereka akan sedih kerana mengenangkan kesilapan yang mereka telah lakukan semasa di dunia dulu. Mereka akan bersedih kerana mereka tidak menurut hidayah yang Allah SWT telah sampaikan.

Jika anak cucu Nabi Adam hendak balik ke syurga, kena ikut nasihat. Kalau datang wahyu hidayat, manusia akan jadi dua golongan. Sesiapa yang sanggup ikut nasihat, tidak akan berlaku ketakutan ke atas mereka tentang akhirat kerana mereka akan dimasukkan ke syurga. Dan tidak akan berdukacita lagi untuk tinggalkan dunia kerana dunia itu memang tempat sementara sahaja. خَوفٌ untuk benda yang akan berlaku di masa hadapan, manakala حزَن untuk perkara yang sudah lepas.

Orang-orang yang beriman kena ada sifat khauf (takut) di dunia iaitu merasa takut dengan perbuatan dosa mereka dan sebagai balasannya Allah SWT akan beri berita gembira di akhirat nanti.

Ayat ini adalah ayat pemberitahuan, iaitu Allah SWT beritahu bahawa mereka yang beriman tidak akan takut dan tidak akan bersedih di akhirat kelak.

Tafsir Al-Baqarah Ayat Ke-39

Ini pula kepada makhluk yang degil. Ingkar dengan hidayah. Benda yang benar, mereka kata ia adalah dusta. Mereka akan jadi pemegang geran neraka dan tidak akan masuk ke syurga. Bukan tinggal sekejap tetapi kekal di neraka buat selama-lamanya.

وَالَّذينَ كَفَروا وَكَذَّبوا بِآياتِنا أُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ ۖ هُم فيها خالِدونَ

“Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا

“Dan orang-orang yang kafir”:

Iaitu mereka ingkar dengan Al-Quran, dengan ajaran Nabi dan buat syirik kepada Allah SWT.

وَكَذَّبُوا بِآيَاتِنَا

“dan mendustakan ayat-ayat Kami”

Apabila sampai wahyu Allah SWT kepada mereka, mereka kata itu adalah dusta, dan kerana itu mereka tidak mahu terima.

Maknanya, mereka tolak ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang disampaikan oleh Rasulullah. Ini amat bahaya. Bukan sahaja tolak keseluruhan Al-Quran bahkan, tolak satu ayat sahaja sudah termasuk dalam ayat ini. (Itu sebab kena belajar tafsir, supaya faham Al-Quran. Bila telah faham, tidaklah sanggup hendak tolak mana-mana ayat-ayat Al-Quran).

أُولٰئِكَ أَصحابُ النّارِ

“mereka itu ialah ahli neraka”,

Mereka itu adalah ‘pemilik neraka’, ada ‘geran’ dalam neraka.

Pemilik sebenar tidak sama dengan orang mukmin yang masuk neraka. Ada orang mukmin yang akan masuk neraka untuk sementara kerana mereka telah melakukan dosa. Namun, mereka akhirnya akan keluar dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Mereka ini digelar ‘Jahannamiyyun’.

Orang mukmin itu adalah orang Islam yang tidak melakukan syirik kepada Allah SWT. Ada orang yang mengaku Muslim, tetapi dalam masa yang sama, dia juga melakukan syirik kepada Allah SWT dan dalam masa yang sama, ada ayat Al-Quran yang mereka tolak.

Mereka itu akan kekal dalam neraka walaupun semasa di dunia, mereka adalah orang Islam, mereka solat, puasa dan sebagainya.

هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

“mereka kekal di dalamnya”;

Allah SWT tekankan lagi yang mereka tidak akan dapat keluar dari neraka walaupun mereka dulu semasa di dunia mengaku seorang Muslim. Apatah lagi kalau orang itu adalah orang kafir, memang akan terus tinggal di neraka pun.

Maka kenalah kita berhati-hati dengan perkara akidah. Kena tahu mana tauhid dan mana syirik. Jangan sekali-kali tolak mana-mana ayat Al-Quran.

 

Allahu a’lam.

 

 

06.04.02 Faedah-faedah dari Mengetahui Sabab an-Nuzul (Bhg 02) فَوَائِدُ مَعْرِفَةِ سَبَبِ النُّزُولِ

0
SurahTaha, ayat 25

#NotaBroSyarief

Nota seterusnya menyusul. Bahagian ni agak mengelirukan. Tapi memadai sebagai maklumat umum, tanpe perlu terlalu mendalam. Sebab ini group asas untuk ilmu al-Quran.

#211216 Bilik (09) Ulum al-Quran –

Bab Sebab-sebab Penurunan al-Quran (أَسْبَابُ النُّزُول)

06.04.02 Faedah-faedah dari Mengetahui Sabab an-Nuzul (Bhg 02) – فَوَائِدُ مَعْرِفَةِ سَبَبِ النُّزُولِ

#UlumQuran #UiTOBilik09

3. Jika lafaz ayat bersifat umum dan terdapat dalil lain yang mengkhususkan, maka kefahaman bagi sebab nuzul ayat tersebut adalah terhad kepada bentuk pengkhususan tersebut, dan tidak boleh mengeluarkannya dari ruang lingkup yang khusus tersebut.

Contohnya, ayat berikut di mana Allah berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ لُعِنُوا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

“Sesungguhnya orang-orang yang melemparkan tuduhan terhadap wanita-wanita yang terpelihara kehormatannya, yang tidak menyedari (mereka sedang difitnah), yang beriman; mereka (yang memfitnah itu) akan dilaknat di dunia dan di akhirat; dan bagi mereka azab yang berat”

[an-Nur(24):23-25]

Ibn ‘Abbas menyebutkan:

هَذِهِ فِي عَائِشَةَ وَأَزْوَاجِ النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- وَلَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لِمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ تَوْبَةً،

‘Ayat (di atas) ini merujuk kepada ‘Aisyah dan isteri-isteri Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, dan Allah tidak berikan ruang taubat bagi orang yang melakukan (tuduhan) sedemikian.

وَجَعَلَ لِمَنْ رَمَى امْرَأَةً مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ مِنْ غَيْرِ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- التَّوْبَةَ، ثُمَّ قَرَأَ

Tetapi, Dia jadikan peluang bertaubat untuk orang yang menuduh mana-mana wanita di kalangan orang yang beriman, selain dari isteri-isteri Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.’

Lalu dia membacakan ayat berikut:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ

“Dan orang-orang yang melemparkan (tuduhan fitnah) kepada wanita-wanita yang terpelihara (kesuciaannya), kemudian mereka tidak mendatangkan empat orang saksi,

فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ

Maka, sebatlah mereka sebanyak 80 sebatan, dan jangan kalian terima persaksian mereka selama-lamanya,

وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Mereka adalah orang-orang yang fasiq,

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kecuali mereka yang bertaubat sesudah itu, dan mengusahakan pembaikan; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.”

[an-Nur(24):4-5]

Disebabkan itu pengkhususan penerimaan taubat bagi penuduh zina atau nama lainnya Qaazif (قاذف) yang bertaubat, tidak merangkumi pengkhususan mereka yang melakukan pertuduhan terhadap Aisyah atau isteri-isteri Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam yang lain.

walLaahu a’lam

Ruj: Mabahits fi ‘Ulum al-Quran, karangan Ust Manna’ Khalil al-Qattan
__

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-79 hingga Ke-82

0

Tafsir Surat Ghafir

Tafsir Ayat Ke-79

Ini adalah ayat Dalil Aqli.

اللَّهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَنعامَ لِتَركَبوا مِنها وَمِنها تَأكُلونَ

“Allah yang menjadikan binatang ternak bagi kamu; sebahagian di antaranya untuk kamu menunggangnya, dan sebahagian lagi untuk kamu makan.”

اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَنْعَامَ

Allahlah yang menjadikan untuk kamu binatang ternak

Allah SWT hendak memberitahu kita, Dialah yang menjadikan binatang ternak itu. Tidaklah binatang-binatang itu terjadi sendiri, bukan? Ada banyak nikmat yang kita boleh manfaat dari binatang-binatang itu. Kita telah mendapat manfaat, kenapa tidak kita seru Dia sahaja dalam doa kita, kenapa kita tidak sembah Dia sahaja dalam ibadat kita? Kenapa mahu seru dan sembah selain dari-Nya? Adakah yang kamu sembah dan seru itu menjadikan binatang ternak untuk kamu?

لِتَرْكَبُوا مِنْهَا

supaya kamu tunggang darinya

Ada binatang yang kita gunakan sebagai kenderaan. Zaman sekarang, kita pakai kereta jadi tidak terasa sangat. Namun, zaman dahulu itulah kenderaan utama yang digunakan oleh manusia. Allah SWT cerita kenderaan zaman dahulu kerana tidak mungkin Allah SWT bercerita pasal kereta pula dalam Al-Quran sedangkan kereta tidak direka lagi pada zaman itu?

Maka, kita yang sudah hidup dalam zaman moden ini, masih lagi dapat menghargai ayat ini kerana kita masih nampak lagi penggunaan binatang sebagai kenderaan di tempat-tempat tertentu, terutama di kawasan pendalaman. Dengan kenderaan itu manusia dapat bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan mudah jika dibandingkan dengan berjalan kaki. Itu adalah rahmat dari Allah SWT, kerana kalau tidak, tentu letih berjalan kaki sahaja ke sana dan ke mari.

وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ

dan di antara mereka dapat pula kamu makan.

Satu lagi manfaat yang dapat diambil adalah binatang ternak itu ada yang dimakan. Ada binatang ternak yang hanya dimakan, seperti lembu dan ada yang ditunggangi dan dimakan sekali, seperti unta dan kuda. Itu juga adalah nikmat yang amat besar. Allah SWT buat kenderaan yang boleh dimakan sekali, adakah boleh makan kereta kalau tidak ada makanan?

Tafsir Ayat Ke- 80

Allah SWT ingatkan lagi jasa-Nya.

وَلَكُم فيها مَنافِعُ وَلِتَبلُغوا عَلَيها حاجَةً في صُدورِكُم وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ

“Dan kamu pula beroleh berbagai faedah pada binatang ternak itu, dan supaya kamu dapat memenuhi sesuatu hajat yang ada dalam hati kamu dengan menggunakan binatang itu; dan di atas binatang-binatang ternak itu, serta di atas kapal-kapal, kamu diangkut.”

وَلَكُم فيها مَنافِعُ

Dan bagi kamu pada binatang-binatang ternak itu ada beberapa lagi perkara-perkara bermanfaat. Seperti boleh diambil bulunya untuk dibuat baju, kulit untuk jadikan kasut, susu untuk diminum sebagai penghilang dahaga, sebagai ubat dan macam-macam lagi kegunaan.

وَلِتَبلُغوا عَلَيها حاجَةً في صُدورِكُم

dan supaya kamu dapat capai macam-macam hajat dengan guna binatang-binatang itu yang ada dalam dada kamu.

Dengan binatang ternak itu, boleh menyelesaikan hajat dan keperluan kita. Boleh pergi ke tempat-tempat yang kita hendak pergi. Bukan sahaja dalam keperluan hidup kita yang biasa sahaja, tetapi jangan lupa ia juga digunakan untuk mencapai hajat kita dalam agama. Untuk mengerjakan Haji dan Umrah contohnya dan dengan kenderaan itulah yang dapat memudahkan perjalanan kita ke tempat-tempat lain untuk berdakwah termasuk digunakan untuk ke tempat pengajian.

وَعَلَيها وَعَلَى الفُلكِ تُحمَلونَ

dan di atas belakang binatang-binatang itu dan di atas kapal-kapal, kamu dibawa ke mana-mana.

Kamu diangkut untuk dipermudahkan perjalanan dengan binatang ternak tersebut. Dan Allah SWT menyebut pula tentang kenderaan laut. Kenderaan laut adalah cara pengangkutan yang sampai sekarang pun masih digunakan dengan meluas sekali walaupun kita sudah ada kapal terbang untuk perjalanan antara negara, namun kapal laut masih lagi cara yang lebih murah dan selamat.

Allah SWT ingatkan jasa-Nya kepada kita dalam ayat-ayat ini. Allah SWT sahaja yang buat semua ini. Maka, dalam ibadat dan doa, hanya beri kepada Allah SWT sahaja. Mengapa hendak beri kepada selain-Nya? Mereka ada beri apa-apa kah?

Tafsir Ayat Ke-81

وَيُريكُم آياتِهِ فَأَيَّ آياتِ اللَّهِ تُنكِرونَ

“Dan Dia memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kebesaran-Nya dan kekuasaan-Nya (melalui Rasul-rasul-Nya dan pada makhluk-makhluk yang dijadikan-Nya); maka di antara tanda-tanda kesempurnaan Allah SWT, yang mana satu, yang kamu ingkari?

وَيُرِيكُمْ آيَاتِهِ

Dan Dia perlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya

Dan banyak lagi ayat-ayat lain yang menceritakan tentang kudrat Allah SW. Boleh dilihat di dalam dunia, di ufuk, di dalam diri manusia sendiri dan sebagainya.

فَأَيَّ آيَاتِ اللَّهِ تُنْكِرُونَ

mana lagi dalil-dalil kudrat Allah SWT yang kamu ingkar lagi?

Mana dalil ayat-ayat yang kamu hendak ingkar lagi? Banyak sekali dalil yang telah diberikan untuk kita menyembah-Nya. Kamu beri hujah berbagai, tetapi kamu tidak ada hujah sebenarnya kecuali kamu tolak kerana degil sahaja kerana jika ada dalil bawa ke mari tunjukkan.

Tafsir Al-Quran kena dipelajari kerana jika tidak belajar tafsir maka senanglah ditipu oleh syaitan dengan perkara-perkara syirik. Mahu lawan bagaimana jika tidak belajar?

Disebabkan itulah ramai buat amalan yang bertentangan dengan syarak. Mereka tidak sedar pun yang amalan mereka itu berlawanan terus dengan ayat-ayat Al-Quran.

Syaitan amat licik. Hujah yang diberikan oleh syaitan kadangkala boleh diterima akal yang tidak dipandu oleh wahyu.

Tafsir Ayat Ke-82

Ini adalah ayat Takhwif Duniawi. Jika dengar hujah pun tidak mahu, maka pergilah saksikan sendiri.

أَفَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عاقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كانوا أَكثَرَ مِنهُم وَأَشَدَّ قُوَّةً وَآثارًا فِي الأَرضِ فَما أَغنىٰ عَنهُم ما كانوا يَكسِبونَ

“Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)? Orang-orang itu lebih ramai dari mereka, dan lebih dari mereka dari segi kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Dalam pada itu, apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya sedikit pun.”

أَفَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ

Apakah tidak mereka boleh berjalan di muka bumi

Allah SWT telah sebut tentang kenderaan yang digunakan dalam pengangkutan. Apa kah mereka tidak boleh gunakan cara pengangkutan yang berbagai itu untuk melihat dunia? Tentu boleh. Macam Musyrikin Mekah pun, mereka ada banyak mengembara dalam perjalanan perniagaan mereka ke Syam dan Yaman. Mereka tidak tengok kah kesan kaum-kaum yang sudah diazab?

Ayat ini bukan suruh kita pergi berjalan ke tempat-tempat itu. Ini adalah untuk mereka yang degil sahaja. Kalau degil juga, pergilah tengok kesan-kesan tempat yang telah diazab itu, supaya boleh berfikir kembali.

Namun, jika kita yang sudah terima hakikat ini, maka tidak perlulah pergi pula. Tidak sunnah untuk melawati tempat-tempat yang telah dikenakan azab. Nabi tidak benarkan dan kalau terpaksa lalu, kena lalu dengan cepat dan dengan rasa yang takut. Takut jika azab yang sama dikenakan kepada kita pula.

فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ

dan memperhatikan bagaimanakah akibat kesudahan mereka yang derhaka dulu sebelum mereka

Tentu mereka dapat lalu di kawasan-kawasan yang Allah SWT telah binasakan. Seperti kaum Aad, Tsamud dan kaum Luth di Laut Mati. Dulu Allah SWT telah pernah beri azab kepada kaum yang sebelum mereka, sekarang pun Allah SWT boleh buat lagi. Jangan kita sangka Allah SWT tidak boleh buat. Akan berlaku bila dah sampai peringkatnya.

Azab yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka telah derhaka kepada Allah SWT, kepada Rasul mereka. Jadi, kalau kamu pun derhaka juga, apa kamu rasa kamu akan selamat?

كَانُوا أَكْثَرَ مِنْهُمْ

Orang-orang itu lebih ramai dari mereka

Kamu ingat kamu hebat, kuat? Mereka yang kena azab itu lebih ramai dari kamu. Arab Mekah itu sikit sahaja, tubuh biasa sahaja. Musyrikin Mekah itu sebenarnya berlagak kuat. Itu sebab Allah SWT cakap macam ini.

وَأَشَدَّ قُوَّةً

Mereka dulu kebanyakannya lebih gagah

Kaum yang dulu itu lebih gagah dari Musyrikin Mekah. Kaum Aad itu boleh cabut pokok kurma dengan satu tangan sahaja. Maka janganlah hendak berlagak.

وَآثَارًا فِي الْأَرْضِ

dan banyak lagi kesan-kesan peninggalan sejarah atas muka bumi yang mereka tinggalkan

Tamadun mereka yang dibinasakan dulu lagi hebat dari kamu. Macam Pyramid di Mesir itu, sampai sekarang jika hendak buat balik pun kita tidak mampu. Arab Mekah ada apa? Kita ada apa?

فَمَا أَغْنَىٰ عَنْهُمْ

tidak ada lagi berguna yang boleh membantu mereka

Walaupun mereka ramai, kuat dan lebih bertamadun dari Musyrikin Mekah, mereka masih juga dikenakan azab oleh Allah SWT dan mereka tidak ada lagi atas muka bumi. Allah SWT hilang lenyapkan keturunan mereka.

مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

terhadap apa yang mereka dulu usahakan

Amalan-amalan syirik mereka tidak dapat membantu mereka. Tawassul mereka tidak dapat membantu. Pujaan mereka tidak dapat membantu. Yang mereka seru roh-roh Nabi, wali dan malaikat itu tidak ada pun yang dapat datang tolong. Sia-sia sahaja seru mereka siang dan malam.

Allahu a’lam.

Brosyarief

0

Nama Penuh

Ahmad Syarief bin Fadhli

Nama Pena

Brosyarief

Pendidikan

  • Universiti Islam Antarabangsa – Kejuruteraan Pembuatan (BA)
  • Universiti Islam Antarabangsa – calon MA bidang Quran dan Sunnah (dalam pengajian)

Pengajian Agama informal

  • Daurah Bahasa Arab Rabithah
  • Mustami’ Ulum a-Hadits, Takhrij al-Hadits, Tadwin asSunnah
  • Naqd al-Hadith, al-Jarh wat Ta’dil, Ma’ayir Ta’amul Sunnah (Dr Suyuthi Abd Manas, Ust KhairilHusaini, Dr Mojtaba, Dr Sa’ad ad-Din dll).
  • Ulum al-Quran, Manahijal-Mufassirin, khitab al-Qurani, Tafsir Mawdhu’I, Ayat al-Ahkam, dll (Dr Zahrul Fata, Dr Nadzirah, Dr Sofiyyah, Dr Layts Su’ud Jassem)
  • Daurah al-Kauthar
  • Tafsir Surat Yusuf (Syaikh Sajid Umar),
  • Tafsir Surah Taha (Syaikh Yahya Ibrahim)

Guru-Guru

  • Prof. Abullayts al-Khayr Abaadi
  • Dr Ibrahim Nuhu
  • Sy. Abdur Rahman al-‘Utsman
  • Ust Nouman Ali Khan
  • Dr Khairil Husaini
  • Dr Anwar Ahmad
  • Dr Arif Nazri

Profesion

Bekerja sendiri

Panelis Bilik

Laman web

www.brosyarief.my

Suami Pintu Syurga, Puasa Tertelan Kahak, Raya Ziarah Kubur

0

1. Suami adalah pintu Syurga rumah. Jika bergaduh atau engkar kepada suami, apakah semua ibadah isteri seperti solat, puasa, zikir dan lain-lain ditolak dan tidak diterima?
Suami sebagai dewa ini dalam agama Hindu sahaja. Dalam Islam sama sahaja. Semua kena buat amal. Mukalaf kena beramal dan bertanggujawab dengan diri dia.
Dalil:

أَلاَّ تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

“Bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” [An-Najm: 38.]

وَتِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي أُورِثْتُمُوهَا بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ

“Itulah Syurga yang diberikan kepada kamu disebabkan amal yang telah kamu kerjakan.” [Az-Zukhruf: 72].

2. Adakah batal solat atau puasa jika tertelan kahak dan adakah batal jika sengaja menelan?
Tidak batal, kerana ia termasuk umum Al-Balwa (kesulitan untuk menghindarinya). Fatwa Saudi Arabia, dari Syeikh Ibn Othaimin RH:
“Kahak tidak membatalkan puasa jika ditelan! Kerana sesungguhnya ia tidak keluar dari mulut, dan ia tidak ditelan sebagai makanan atau minuman, dan jika menelannya setelah sampai ke mulut, ia tidak membatalkan puasanya” [Al-Sharh Al-Mumthi’ ala Zaadil Mustaqni’, 6:248].

3. Boleh tolong jelaskan hukum menziarahi kubur pada hari raya?
Hukum ziarah kubur adalah sunat. Kebiasaan tradisi atau adat melayu ialah selepas solat Idil Fitri, tempat pertama yang diziarahi ialah kuburan. Kalau di Kelantan, selepas solat hari raya, maka jemaah akan beredar ke kubur untuk tahlil perdana. Di kubur ada Khalifah atau pak lebai yang akan menjadi tekong tahlil dan ratib di kuburan. Kemudian orang ramai akan bersedekah kepada kanak-kanak yang ada di kubur, duit dan coklat. Itu adat di Kelantan.
Ritual begini adalah tasyabbuh dengan perayaan orang musyrik, selepas mengunjungi kuil, mereka akan pergi ke kubur arwah ibubapa mereka.
Adat ini hendaklah dihentikan, kerana sunnah Nabi SAW selepas selesai solat baginda akan menziarahi beberapa rumah sebelum pulang ke rumahnya. Tidak ada satu laporan hadis, bahawa Nabi SAW akan pergi ke kubur pada 1 Syawal.
Waktu terbaik untuk menziarahi kubur ialah kita pergi pada hari sebelum hari raya, atau pada hari raya ke-3 atau ke-4 sebelum pulang semula ke tempat kita menetap selepas bercuti raya.

Hadis 62: Kain Hibarah Pakaian Paling Disukai Rasulullah

0

Panel : Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

62- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ هِشَامٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبِي، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: كَانَ أَحَبَّ الثِّيَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلْبَسُهُ الْحِبَرَةُ.

62- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Mu`az bin Hisyam, dia berkata: Telah bercerita kepada saya bapa saya, daripada Qatadah, daripada Anas bin Malik, dia berkata: Pakaian yang paling disukaï Rasuli Llah memakainya ialah kain hibarah.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini merakamkan penjelasan Anas bin Malik tentang kebiasaan pakaian Nabi, yang disebut sebagai pakaian yang Nabi paling suka memakainya, dan pakaian itu ialah kain hibarah.

Dalam persoalan pakaian, seseorang itu dikira menyukai sesuatu pakaian apabila dia sering memakainya, sama ada dia menyedarinya atau tidak. Ramai lelaki, apabila ditanya tentang hal ini, dia tidak menyedarinya. Ramai lelaki tidak menyedari warna kegemarannya, atau pakaian kesukaannya. Namun, dalam kehidupan seharian, apabila diperhatikan, lelaki itu biasanya akan memakai satu jenis pakaian yang sama, atau satu warna yang sama. Berbeza dengan wanita, apabila dia menyebut bahawa dia menyukaï sesuatu pakaian, tetapi dia tidak memakainya.

Justeru, hadis ini memberitahu bahawa Nabi tidaklah mempunyaï hanya satu pakaian sahaja, tetapi tidak pula mempunyaï terlalu banyak pakaian.

Berlainan dengan para wanita dewasa ini, yang menjadi seperti suatu pantangan atau `aib bagi mereka untuk memakai baju yang sama sekali lagi dalam minggu atau bulan yang sama. Untuk itu, ramai wanita yang memiliki baju melebihi sepuluh atau tiga puluh helai, atau sepenuh-penuh almari, agar mereka tidak dilihat memakai baju yang sama berulang-ulang kali.

Di dalam hadis ini, pakaian yang Nabi sering memakainya itu dianggap oleh Anas bin Malik sebagai pakaian yang disukaï Nabi memakainya, iaitu kain hibarah. Hibarah ialah sejenis kain buatan Yaman yang diperbuat daripada linen atau kapas yang dihiaskan. Ibnu Battal menyebut bahawa kain hibarah ialah pakaian paling mulia di sisi penduduk Yaman. Ad-Dawudiy menyebut bahawa hibarah ialah kain berwarna hijau. Al-Qastalaniy juga menyebut bahawa ia berwarna hijau, dan dikatakan bahawa alasan Nabi menyukaï kain hibarah ialah kerana hijau ialah warna pakaian ahli syurga.

Walau bagaimanapun, Ibnu l-Qayyim menyebut bahawa ia ialah dua helai kain buatan Yaman yang disulam dengan benang merah bersama hitam.

Apabila bercakap tentang tekstil yang digunakan pada zaman Nabi, kita hendaklah merujuk kembali kepada teknologi tekstil pada zaman tersebut. Ketika itu, mencelup kain dengan warna masih lagi terhad kepada beberapa jenis warna sahaja, dan pencelup yang digunakan hanyalah pencelup semulajadi berasaskan tumbuhan atau sumber alam. Kebanyakan fabrik adalah sama seperti warna asal bahannya, jika dari kapas, seperti warna kapas, dan jika dari pokok flaks (Linum usitatissimum), maka ia berwarna keperangan seperti warna tali kapal.

Untuk menyatakan bahawa fabrik yang Nabi gunakan berwarna merah sepenuhnya atau hijau sepenuhnya, ia tidaklah sesuai berdasarkan kajian tentang teknologi tekstil zaman tersebut. Justeru, apabila disebut merah, sebagai contoh, ia bermakna, kain dalam warnanya yang asal, tetapi mempunyaï corak, atau jalur berwarna merah. Jika disebut kain berwarna hijau, ia adalah kain dalam warnanya yang asal, tetapi mempunyai corak atau jalur berwarna hijau.

Disebabkan Madinah adalah laluan perdagangan dari Yaman ke Syam, maka banyak barang dagangan yang dibawa dari Yaman dan Syam, yang turut dijual di Madinah, antaranya ialah tekstil. Disebabkan itu, banyak nama fabrik adalah menggunakan nama tempat asal fabrik itu dihasilkan.

Pertikaian tentang warna sesuatu fabrik atau bahan mentah yang digunakan boleh jadi disebabkan terdapat beberapa jenis produk atau variasi yang berbeza. Contohnya, kain hibarah ini, yang ditetapkan sebagai pemalar ialah kualiti fabrik, manakala yang berubah ialah warna, satu jenis mungkin mempunyaï jalur atau corak berwarna merah, manakala satu jenis lagi mempunyai jalur atau corak berwarna hijau.

*******
*******
*******

Tafsir Surah At-Takatsur – Pengenalan dan Tafsir Ayat Pertama

0

Tafsir Surah At-Takatsur

Asal usul Surah

Maksud: Bermegah-megah

Surah ke: 102 ( akan tetapi kronologi penurunan ialah ke – 16 )

Bilangan ayat: 8

Kategori: Makkiyyah

2 kalimat, 123 huruf.

Kaitan dengan surah sebelumnya :

1. Dalam surah Al-Qari’ah, Allah SWT menyebut segolongan manusia yang akan memasuki neraka. Lalu surah ini menyebutkan mengenai antara perihal yang menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka tersebut.

2. Kita juga telah sebutkan bagaimana Surah At-Takathur ini adalah surah ke-4 dari kumpulan 4 surah yang berterusan: Zilzal, ‘Aadiyat (perangai mereka semasa di dunia sekarang), Al-Qari’ah, dan At-Takathur (perangai mereka di dunia sekarang).

Tafsir Ayat Pertama:

أَلهاكُمُ التَّكاثُرُ

“Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya”

Kalimah أَلْهَا dari kalimah ل ه و yang boleh membawa maksud percutian.

Iaitu sesuatu yang boleh menyebabkan kita leka dan terlupa kepada perkara yang lain. Dan benda itu adalah benda yang patut kita lakukan tetapi dilekakan dengan أَلْهَا, maka kita tinggalkan dari melakukannya.

Sama ada :

1. Perkara melekakan kita itu tidak penting, lebih kepada membuang masa sahaja dan tidak bermanfaat.

2. Ataupun kurang penting dari benda yang patut kita lakukan itu ( tidak tahu memberi keutamaan ).

Allah SWT sebut dalam ayat yang lain:

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُلهِكُم أَموالُكُم وَلا أَولادُكُم عَن ذِكرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفعَل ذٰلِكَ فَأُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ

Hai orang-orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah SWT. Barangsiapa yang berbuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang merugi.

[al Munafiqun:9]

Kekayaan dan anak-anak kita tidak sepatutnya melupakan kita kepada Allah SWT, sebaliknya ia sepatutnya mengingatkan lagi kita kepada Allah SWT.

Nafsu sebagai alat untuk dimanipulasikan, syaitan pula menjalankan usaha agar rancangan syaitan itu berjaya.

إِنَّ عِبَادِي لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَانٌ إِلَّا مَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْغَاوِينَ

“Sesungguhnya hamba-hamba-Ku, tidaklah ada bagimu (syaitan) sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). [ Al-Hijr: 42]

Kaitan keduanya antara syaitan dan nafsu, menjadikan manusia lalai akhirnya atas sebab kelemahan iman mereka sendiri.

Sikap manusia suka menyalahkan orang lain sedangkan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Allah SWT beritahu perangai sebegini dalam surah [ Insyiqaq: 22 – 24 ]

Apakah yang melekakan kita?

التّكَاثُرُ

Yang bermaksud “memperbanyak”.

Ada beberapa pendapat dalam “memperbanyak” ini :

Pertama:

Keinginan untuk mendapat banyak harta benda.

Tidak salah untuk pergi ke pelbagai kursus, untuk menimba ilmu. Namun, perkara yang utama ialah, cari jalan bagaimana hendak menjadi orang bertaqwa, kerana Allah SWT sebut dalam surah [ At-Talaq:

وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.[ At-Talaq: 3]

Kedua:

Persaingan dengan orang lain untuk mendapatkan keduniaan.

Ketiga:

Bangga jika mereka memiliki lebih dari orang lain.

Lihatlah contoh yang Allah SWT berikan dalam surah [ Al-Kahfi (18): 34]

وَكانَ لَهُ ثَمَرٌ فَقالَ لِصاحِبِهِ وَهُوَ يُحاوِرُهُ أَنا أَكثَرُ مِنكَ مالًا وَأَعَزُّ نَفَرًا

Dan dia mempunyai kekayaan besar, maka ia berkata kepada kawannya (yang mukmin) ketika bercakap-cakap dengan dia: “Hartaku lebih banyak dari pada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat”

Keempat:

Sentiasa mahu lebih dan lebih lagi.

Dari Anas, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

Anak Adam akan menjadi tua, dan akan tetap menemaninya dua perkara, iaitu keinginan dan cita-cita. [ HR Imam Bukhari dan Imam Muslim ].

Orang yang suka berbangga ini, sebenarnya hidup dia ‘stress’ kerana baru dapat nikmat sedikit atas dunia, hati telah kelam kabut. Manusia yang sejenis dengan dia adalah Qarun dan Firaun. Manakan tidak ‘stress’ baru diseru untuk beriman, sudah melenting.

Sifat bangga memang susah untuk dikawal, kerana fitrah pasti akan timbul. Cuma tindakan kita selepas itu, rendahkan hati, dengan sujud kepada Allah SWT. Lagi banyak nikmat yang kita perolehi lagi banyak bersujud tanda rendah hati, bersikap ‘down to earth’.

Bersikap rendah hati itu benteng iman barulah ‘sempoi’ hidup, bebas dan merdeka yang sebenar kerana hanya menjadi hamba Allah SWT, akan hadir perasaan gembira dan tidak ‘stress’ dengan dunia.

Ibrah dan Kesimpulan:

Pertama:

Sememangnya modus operandi Iblis / Syaitan adalah dengan melalaikan manusia daripada fokus untuk menjadi hamba Allah SWT yang taat.

Dengan mencantikkan perhiasan dunia kepada pandangan manusia yang lalai, sehingga merasakan tidak cukup dan mengejar untuk menambah lagi nikmat dunia.

Kedua:

Dunia hanyalah sebahagian yang terlalu kecil untuk manusia kejar. Sedang syurga di akhirat nanti jauh lebih utama dan kekal abadi untuk kita cita-citakan.

Anggap lah dunia ini umpama secubit garam. Biarlah secukup rasa sahaja. Jika tiada, boleh jadi tawar. Jika terlebih, sakit pula jadinya. Apa yang penting adalah “hidangan besar” keseluruhan yang akan kita persembahkan kepada Allah SWT.

Ketiga:

Kita hendaklah berhati-hati dengan sentiasa menyedarkan diri tentang hakikat sebenar kehidupan. Jangan sampai saat di kubur, baru kita perasan terdapat “bekas bekalan” sebenar kosong kerana tidak disediakan.

Allahu a’lam.

Bayar Zakat Anak, Cukur Bulu Kening

0

1. Wajibkah anak lelaki yang baligh berniat dalam hati untuk membayar zakat apabila zakat fitrah itu dibayar bapanya? Adakah zakatnya tidak sah jika dia tidak berniat atau tidak ambil peduli jika bapanya telah membayar zakat?
Yang berniat adalah si ayah yang mengeluarkan zakat untuk tanggungannya dan niat itu sudah memadai. Si anak hendak berniat buat apa sedangkan ibadat zakat itu dilakukan oleh orang yang menanggungnya. Anak di bawah tanggungan si ayah yang mengeluarkan zakat tersebut kecuali anak telah menjana pendapatan sendiri.

2. Sampai bilakah seorang bapa wajib membayar zakat fitrah untuk anaknya?
Si ayah wajib membayar zakat tanggungan dia, yakni siapa yang dia tanggung, maksudnya menjaga nafkah kerana belum ada pendapatan sendiri. Ini termasuk isteri, anak-anak, kedua ibubapa, nenek dan atuknya dan kalau zaman dulu termasuk hamba yang dia miliki. Anak-anak ditanggung sampai mereka memiliki pendapatan sendiri. [Ibn Qudamah, Al-Mughni, 7:169]

3. Bolehkah isteri mencukur bulu kening apabila disuruh suami?
Mencukur bulu kening dilaknat, maka tidak wajib taat kepada suami dalam perkara yang ditegah Nabi SAW.
Dalil:

لَعَنَ اللَّهُ النَّا مِصَاتِ و الْمُتَنَمِّصَاتِ

“Allah melaknat perempuan-perempuan yang mencukur alis dan perempuan-perempuan yang minta dicukur alisnya” [Muslim: 2125].

Syirik Kepada Allah SWT Setelah Berdoa

0

Syirik Kepada Allah SWT Setelah Berdoa

 

وَإِذَا مَسَّ ٱلْإِنسَٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُۥ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُۥ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِىَ مَا كَانَ يَدْعُوٓا۟ إِلَيْهِ مِن قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَٰبِ ٱلنَّارِ(٨)

“Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu musibah, ia segera berdoa kepada Tuhan-Nya dengan keadaan rujuk kembali bertaubat kepada-Nya; kemudian apabila Allah SWT memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) daripada-Nya, lupalah ia akan segala musibah yang menyebabkannya merayu kepada Allah SWT sebelum itu dan ia pula menjadikan sekutu-sekutu bagi Allah SWT, untuk menyesatkan dirinya (dan orang lain) dari jalan Allah SWT. Katakanlah (kepadanya): “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu bagi sementara, sesungguhnya engkau dari penduduk neraka.” [Az Zumar:8]

Maksud ayat di atas adalah, apabila Allah SWT memberi musibah kepada seseorang, seseorang itu akan berdoa terus kepada Allah SWT dan Allah SWT beri pertolongan kepadanya. Maka dia pun selamat. TETAPI apabila dia berjumpa dengan orang lain dia akan kata benda lain telah selamatkan dia. Sepatutnya dia mengatakan bahawa Allah SWT telah selamatkan dia dengan memberi pertolongan itu dan ini, maka dia selamat.

Inilah bahagian tauhid yang perlu kita belajar bersungguh-sungguh supaya kita tidak berkata-kata kepada Allah SWT sesuatu yang kita tidak tahu. Yang mana akibatnya adalah kita berlaku syirik kepada Allah SWT. Itulah maksud “mereka jadikan bagi Allah sekutu-sekutu”. Dengan demikian dia menyesatkan diri sendiri, akibat daripada cuai tidak belajar.

Allah SWT berfirman “..bersedap-sedaplah kamu dengan kekufuran kamu, sementara waktu. Jika kamu tidak bertaubat, kamu akan menjadi pemilik neraka sebenar”.

Wallahu a’lam.

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-76 hingga Ke-78

0

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-76

Ayat ke-76 ini sambungan dari Takhwif Ukhrawi (takut akan akhirat) yang disambung dari ayat-ayat sebelum ini. Allah SWT menceritakan keburukan akhirat kepada mereka yang menentang akidah tauhid.

Dikatakan kepada mereka di akhirat kelak:

ادخُلوا أَبوابَ جَهَنَّمَ خالِدينَ فيها ۖ فَبِئسَ مَثوَى المُتَكَبِّرينَ

“Masukilah pintu-pintu neraka Jahanam kekAllah SWT kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam”.

ادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ

Silalah masuk ke pintu-pintu neraka

Neraka ada tujuh pintu. Seperti disebut dalam ayat yang lain:

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوْعِدُهُمْ أَجْمَعِينَ . لَهَا سَبْعَةُ أَبْوَابٍ لِكُلِّ بَابٍ مِنْهُمْ جُزْءٌ مَقْسُوم

“Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengikut-pengikut setan) semuanya. Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka. (QS. al-Hijr: 43 – 44)

Masuk itu bukan dengan mudah-mudah, lenggang-lenggang tetapi dengan ditolak. Semasa ditolak jatuh, 70 tahun lamanya baru sampai ke dasar neraka, kerana neraka itu amatlah dalam.

Sepanjang masa itu, mereka terbakar dalam perjalanan!

خَالِدِينَ فِيهَا

Kekal kamu di dalamnya.

Mereka akan kekal dalam neraka kalau amalan yang dilakukan adalah amalan dan fahaman syirik. Kalau dosa lain, masih ada harapan lagi kalau mereka ada tauhid. Tetapi jika syirik, memang akan kekal dalam neraka.

Dalam hadis dikatakan, kalau neraka terbuka sebesar lubang jarum, hancur lebur bumi kita ini. Jadi neraka ini macam ‘pressure cooker’. Dan Neraka itu adalah 70 kali ganda dari kepanasan matahari. Memang tidak dapat dibayangkan.

فَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ

Seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang yang sombong

Ini bukan sombong kerana bawa kereta BMW tetapi sombong lain. Mereka dahulu sombong dalam berdoa hanya kepada Allah SWT. Mereka mengamalkan tawassul dengan Nabi, wali dan malaikat. Mereka sombong untuk terima kebenaran.

Adakah membaca tanpa memahami Al-Quran itu dikira sombong?

Tidaklah sombong tetapi jika tidak faham apa yang disampaikan oleh Al-Quran, maka ia menjadi orang yang jahil. Itu adalah bahaya kerana syaitan akan ambil peluang untuk menipu orang itu hingga buat perkara yang teruk. Disebabkan itulah penting untuk kita belajar tafsir Al-Quran.

Syaitan yang sama dari zaman dulu hingga sekarang, mengajar dan membisikkan perkara yang sama kepada manusia. Apabila manusia tidak rapat dengan wahyu, mereka mudah untuk ditipu.

Tafsir Ayat Ke-77:

Ayat Tasliah – pujukan Allah SWT kepada Nabi dan penyebar Tauhid.

فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۚ فَإِمّا نُرِيَنَّكَ بَعضَ الَّذي نَعِدُهُم أَو نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِلَينا يُرجَعونَ

“Maka bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah SWT (menyeksa musuh-musuhmu itu) adalah benar; oleh itu kiranya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari azab yang Kami janjikan kepada mereka, ataupun Kami wafatkanmu sebelum itu, (maka tetaplah mereka akan menerima balasan azab) kerana kepada Kamilah mereka akan dikembalikan”.

فَاصْبِرْ

Maka bersabarlah

Sabarlah wahai Muhammad SAW dan orang-orang yang sebar ugama. Kalau zaman Nabi SAW, bermacam-macam dugaan baginda lalui dan kena hadapi. Sahabat juga teruk hadapi ujian semasa di Mekah. Namun Allah SWT pujuk, sabarlah.

Kita pun tidak kurang juga. Sabarlah dalam sebar tauhid ini kepada manusia. Memang ramai yang akan menentang dan kata macam-macam kepada kamu – mereka kata kamu wahabi, kamu sesat, kamu hendak memecah belahkan umat dan sebagainya. Memang pedih kata-kata mereka itu, tetapi bersabarlah.

Ada yang sudah tidak mahu bertegur sapa. Ada adik-beradik tidak mahu jemput kenduri kahwin dan makan minum. Ada yang bila cakap dengan kita, asyik sinis sahaja dan berbagai-bagai lagi. Allah SWT pujuk: sabarlah.

إِنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Tuhan kamu adalah benar

Bersabarlah kerana janji Allah SWT untuk memberi bantuan itu memang benar. Dan janji Allah SWT untuk mengurniakan kepada kamu syurga yang penuh nikmat yang kamu akan kekal di dalamnya adalah benar. Maka sabarlah, kerana sekejap sahaja tinggal di dunia ini.

فَإِمَّا نُرِيَنَّكَ بَعْضَ الَّذِي نَعِدُهُمْ

Sama ada Kami perlihatkan kepada kamu setengah dari azab yang dijanjikan kepada mereka

Disebabkan mereka tolak ajakan tauhid itu, Allah SWT akan beri bala kepada mereka. Allah SWT beritahu yang mungkin baginda Nabi sempat tengok azab yang dikenakan kepada mereka.

Ini adalah kerana baginda dikenakan dengan kezaliman yang teruk oleh musyrikin Mekah itu. Jika baginda dapat lihat balasan yang dikenakan kepada mereka, tentu baginda berpuas hati.

Ini adalah ayat Takhwif Duniawi – mereka yang menentang boleh dikenakan azab semasa mereka di dunia lagi.

أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ

atau kamu dimatikan

Atau baginda tidak sempat tengok balasan kepada mereka kerana baginda dimatikan sebelum mereka dikenakan dengan azab.

Namun, Allah SWT telah tunjuk kepada baginda kemenangan yang dijanjikan kepada baginda. Dalam Perang Badar, baginda dapat sendiri melihat bagaimana pemuka-pemuka Quraish yang menentang baginda telah dibunuh.

Baginda juga dapat memasuki dan memenangi Kota Mekah dari tangan orang-orang musyrikin. Juga seluruh Jazirah Arab memeluk Islam semasa hayat baginda lagi. Jadi baginda dapat lihat sendiri kejayaan Islam depan mata baginda sendiri.

فَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ

Kepada Kami mereka semua akan dikembalikan.

Sama ada baginda sempat dan dapat tengok kesudahan yang buruk untuk mereka, atau baginda tidak dapat tengok, yakinlah yang mereka semua akan dikembalikan kepada Allah SWT juga dan mereka akan dikenakan dengan azab-azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Ini adalah Takhwif Ukhrawi pula.

Maknanya, Allah SWT hendak pujuk Nabi Muhammad SAW dan para sahabat: jangan takut, mereka akan tetap kena balasan atas kesalahan dan kezaliman mereka itu. Maka teruskanlah berdakwah.

وَإِنْ كَانَ طَائِفَةٌ مِنْكُمْ آمَنُوا بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ وَطَائِفَةٌ لَمْ يُؤْمِنُوا فَاصْبِرُوا حَتَّىٰ يَحْكُمَ اللَّهُ بَيْنَنَا ۚ وَهُوَ خَيْرُ الْحَاكِمِينَ

“Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita semua, dan Dia lah jua sebaik-baik hakim”. [Al-A’raf – 87].

Tafsir Ayat Ke-78

Ini adalah Dalil Naqli Ijmali – disebut tentang para Nabi tetapi tidak disebutkan nama mereka. Jadi disebut secara umum sahaja. Ijmali maksudnya ‘pukal’.

وَلَقَد أَرسَلنا رُسُلًا مِن قَبلِكَ مِنهُم مَن قَصَصنا عَلَيكَ وَمِنهُم مَن لَم نَقصُص عَلَيكَ ۗ وَما كانَ لِرَسولٍ أَن يَأتِيَ بِآيَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ فَإِذا جاءَ أَمرُ اللَّهِ قُضِيَ بِالحَقِّ وَخَسِرَ هُنالِكَ المُبطِلونَ

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah SWT; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah SWT (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah”.

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ

Sesungguhnya Kami utuskan beberapa rasul sebelum kamu wahai Muhammad

Sebelum Nabi Muhammad SAW diutus, telah datang Nabi-nabi lain kepada kaum mereka. Mereka juga telah menyampaikan perkara yang sama seperti yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dalam perkara akidah. Perkara syariat mungkin tidak sama, kerana syariat para Nabi tidak sama dari zaman ke zaman. Tetapi kalau tentang akidah, ia pasti sama sahaja tetap mereka juga ditolak oleh kaum mereka.

Ini juga adalah tasliah bagi Nabi – bukan baginda sahaja yang ditolak tetapi para Nabi dahulu pun kena tolak juga.

مِنْهُمْ مَنْ قَصَصْنَا عَلَيْكَ

Di antara mereka itu ada yang Kami ceritakan kepada kamu

Ada kisah para Nabi itu disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pengajaran. Ada yang disampaikan dalam Al-Quran yang kita juga boleh tahu tentang mereka.

وَمِنْهُمْ مَنْ لَمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ

dan di antara mereka tidak Kami ceritakan.

Ada ramai lagi para Nabi dan rasul. Kita mengetahui hanya 25 orang sahaja. Masih ada banyak lagi nama-nama yang tidak disebut. Al-Quran bukanlah buku sejarah yang menyebut semua kisah para Nabi. Yang penting adalah menyampaikan ajaran mereka yang perlu diikuti. Disebabkan kerana ramainya mereka, tentulah tidak cukup kalau dikisahkan semua dalam Al-Quran pula.

وَما كانَ لِرَسولٍ أَن يَأتِيَ بِآيَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ

Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan (atau menunjukkan sesuatu mukjizat) melainkan dengan izin Allah SWT;

Musyrikin Mekah telah minta Nabi Muhammad SAW menunjukkan mukjizat. Allah SWT beritahu bahawa mana-mana Nabi dan rasul pun, tidak ada kuasa sendiri. Mukjizat itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah SWT, bukan dengan kebolehan dan kudrat para Nabi itu.

Mukjizat itu juga tidak selalu berlaku seperti mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terjadi semasa baginda dan sahabat tidak ada air dalam perjalanan. Nabi minta bekas air dan baginda letak tangan dalam bekas air itu. Perawi hadis kata dia nampak air keluar dari celah jari Nabi SAW. Namun, tidaklah sahabat di kemudian hari minta Nabi seperti itu lagi macam itu bila tiada air. Sahabat-sahabat tidak buat begitu kerana mereka faham bahawa kejadian itu bukan atas kehendak Nabi tetapi atas kehendak Allah SWT.

Maknanya mukjizat itu bukan atas kehendak Nabi. Kalau berlaku, ianya tidak berulang-ulang. Berlaku kerap kali dan boleh dibuat itu adalah sihir. Iaitu sihir yang manusia belajar. Untuk mempelajari sihir ini kena kufur dahulu baru boleh menjadi sihir itu. Kita kata tiba-tiba tok guru boleh buat karomah sendiri. Padahal, karomah pun seperti mukjizat juga, terjadi kepada para wali, tetapi bukan atas kehendak dan kudrat mereka. Ia adalah atas pemberian Allah SWT juga, dan berlaku pun sekali sekala sahaja.

Apabila ada salah faham tentang perkara ini, maka banyaklah yang sesat kerana menyangka guru mereka, atau orang-orang tertentu itu ada karomah, padahal yang mereka buat itu adalah sihir semata-mata.

Sihir ini adalah proses, kalau ikut proses tertentu, ia akan menjadi. Kalaupun jin terlibat, ia cuma membantu sahaja. Namun, yang mengajar sihir kepada manusia adalah jin. Rujuk [Baqarah:102] Pada zaman Nabi Sulaiman a.s baginda hentikan sihir, buang segala buku-buku amalan sihir tetapi selepas baginda wafat jin telah mengajar sihir kepada manusia.

فَإِذا جاءَ أَمرُ اللَّهِ قُضِيَ بِالحَقِّ

“Dan apabila datang keputusan Allah SWT, maka diberi keputusan dengan adil”

Apabila Allah SWT buat keputusan di akhirat kelak atas akidah dan amalan makhluk semasa di dunia, maka, Allah SWT akan buat keputusan dengan adil. Allah SWT tidak akan hukum atas perkara yang tidak pernah dilakukan oleh makhluk. Keputusan yang dimaksudkan ada keputusan secara amali. Dalam Al-Quran telah ada teori, telah tahu mana benar dan yang mana tidak, cuma di akhirat kelak akan ditunjukkan secara praktikal.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa mereka yang mengamalkan syirik itu akan kekal dalam neraka. Mungkin ada yang hairan, tidak nampak pun kesalahan syirik itu, tetapi kenapa kekal dalam neraka? Dia buat kesalahan itu entah berapa tahun sahaja dan mereka akan kekal dalam neraka? Seolah-olah Allah SWT telah berlaku zalim. Maka, Allah SWT jawab Dia tidak zalim, keputusan yang diberikan itu adalah adil.

وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْمُبْطِلُونَ

Maka di situlah zahirnya kerugian orang-orang yang buat kebatilan

Maka akan zahirlah kerugian mereka yang mengamalkan akidah syirik itu. Mereka mungkin tidak nampak kerugian mereka di dunia, tetapi di akhirat akan nampak jelas.

Ini bermakna, bukanlah mereka hanya rugi di akhirat sahaja. Mereka memang sudah rugi semasa di dunia, namun semasa di dunia, mereka tidak nampak kerugian mereka, kerana mereka mungkin dapat pulangan dari amalan akidah syirik mereka itu. Ada yang amalkan amalan syirik boleh mendapat kuasa, kekayaan, kesenangan hidup dan sebagainya. Oleh kerana dapat kelebihan-kelebihan itu, mereka tidak bertaubat dan mereka sangka apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Mereka sebenarnya sedang rugi, cuma mereka sahaja yang tidak nampak. Di akhirat kelak, semuanya akan jadi nyata.

Soalan: Bagaimana halnya orang jahil yang tidak dapat bezakan antara kebenaran dengan kebatilan?

Jawapan: Orang jahil tidak akan selamat. Di dalam Al-Quran disebut tentang kelebihan dan keselamatan orang yang mengetahui. Allah SWT telah kutuk orang yang dilemahkan fikiran iaitu mereka yang ikut sahaja Firaun dan guru-guru yang salah. Bagaimana hendak berselindung di sebalik alasan ‘jahil’ sedangkan Allah SWT telah menurunkan Al-Quran, diikuti dengan akal, pancaindera, Rasul, penyebar tauhid, tanda-tanda pada alam dan fitrah dalam diri manusia. Semua itu telah diberikan oleh Allah SWT. Maka, jika jahil juga itu adalah kesalahan atas diri sendiri.

Wallahu a’lam.

 

Popular

Iklan

Iklan