Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-76 hingga Ke-78

Tafsir Surah Ghafir – Tafsir Ayat Ke-76 hingga Ke-78

1188
0
Iklan

Tafsir Surah Ghafir

Tafsir Ayat Ke-76

Ayat ke-76 ini sambungan dari Takhwif Ukhrawi (takut akan akhirat) yang disambung dari ayat-ayat sebelum ini. Allah SWT menceritakan keburukan akhirat kepada mereka yang menentang akidah tauhid.

Dikatakan kepada mereka di akhirat kelak:

ادخُلوا أَبوابَ جَهَنَّمَ خالِدينَ فيها ۖ فَبِئسَ مَثوَى المُتَكَبِّرينَ

“Masukilah pintu-pintu neraka Jahanam kekAllah SWT kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam”.

ادْخُلُوا أَبْوَابَ جَهَنَّمَ

Silalah masuk ke pintu-pintu neraka

Neraka ada tujuh pintu. Seperti disebut dalam ayat yang lain:

وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمَوْعِدُهُمْ أَجْمَعِينَ . لَهَا سَبْعَةُ أَبْوَابٍ لِكُلِّ بَابٍ مِنْهُمْ جُزْءٌ مَقْسُوم

“Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar tempat yang telah diancamkan kepada mereka (pengikut-pengikut setan) semuanya. Jahannam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka. (QS. al-Hijr: 43 – 44)

Masuk itu bukan dengan mudah-mudah, lenggang-lenggang tetapi dengan ditolak. Semasa ditolak jatuh, 70 tahun lamanya baru sampai ke dasar neraka, kerana neraka itu amatlah dalam.

Sepanjang masa itu, mereka terbakar dalam perjalanan!

خَالِدِينَ فِيهَا

Kekal kamu di dalamnya.

Mereka akan kekal dalam neraka kalau amalan yang dilakukan adalah amalan dan fahaman syirik. Kalau dosa lain, masih ada harapan lagi kalau mereka ada tauhid. Tetapi jika syirik, memang akan kekal dalam neraka.

Dalam hadis dikatakan, kalau neraka terbuka sebesar lubang jarum, hancur lebur bumi kita ini. Jadi neraka ini macam ‘pressure cooker’. Dan Neraka itu adalah 70 kali ganda dari kepanasan matahari. Memang tidak dapat dibayangkan.

فَبِئْسَ مَثْوَى الْمُتَكَبِّرِينَ

Seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang yang sombong

Ini bukan sombong kerana bawa kereta BMW tetapi sombong lain. Mereka dahulu sombong dalam berdoa hanya kepada Allah SWT. Mereka mengamalkan tawassul dengan Nabi, wali dan malaikat. Mereka sombong untuk terima kebenaran.

Adakah membaca tanpa memahami Al-Quran itu dikira sombong?

Tidaklah sombong tetapi jika tidak faham apa yang disampaikan oleh Al-Quran, maka ia menjadi orang yang jahil. Itu adalah bahaya kerana syaitan akan ambil peluang untuk menipu orang itu hingga buat perkara yang teruk. Disebabkan itulah penting untuk kita belajar tafsir Al-Quran.

Syaitan yang sama dari zaman dulu hingga sekarang, mengajar dan membisikkan perkara yang sama kepada manusia. Apabila manusia tidak rapat dengan wahyu, mereka mudah untuk ditipu.

Tafsir Ayat Ke-77:

Ayat Tasliah – pujukan Allah SWT kepada Nabi dan penyebar Tauhid.

فَاصبِر إِنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ ۚ فَإِمّا نُرِيَنَّكَ بَعضَ الَّذي نَعِدُهُم أَو نَتَوَفَّيَنَّكَ فَإِلَينا يُرجَعونَ

“Maka bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah SWT (menyeksa musuh-musuhmu itu) adalah benar; oleh itu kiranya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari azab yang Kami janjikan kepada mereka, ataupun Kami wafatkanmu sebelum itu, (maka tetaplah mereka akan menerima balasan azab) kerana kepada Kamilah mereka akan dikembalikan”.

فَاصْبِرْ

Maka bersabarlah

Sabarlah wahai Muhammad SAW dan orang-orang yang sebar ugama. Kalau zaman Nabi SAW, bermacam-macam dugaan baginda lalui dan kena hadapi. Sahabat juga teruk hadapi ujian semasa di Mekah. Namun Allah SWT pujuk, sabarlah.

Kita pun tidak kurang juga. Sabarlah dalam sebar tauhid ini kepada manusia. Memang ramai yang akan menentang dan kata macam-macam kepada kamu – mereka kata kamu wahabi, kamu sesat, kamu hendak memecah belahkan umat dan sebagainya. Memang pedih kata-kata mereka itu, tetapi bersabarlah.

Ada yang sudah tidak mahu bertegur sapa. Ada adik-beradik tidak mahu jemput kenduri kahwin dan makan minum. Ada yang bila cakap dengan kita, asyik sinis sahaja dan berbagai-bagai lagi. Allah SWT pujuk: sabarlah.

إِنَّ وَعْدَ اللهِ حَقٌّ

Sesungguhnya janji Tuhan kamu adalah benar

Bersabarlah kerana janji Allah SWT untuk memberi bantuan itu memang benar. Dan janji Allah SWT untuk mengurniakan kepada kamu syurga yang penuh nikmat yang kamu akan kekal di dalamnya adalah benar. Maka sabarlah, kerana sekejap sahaja tinggal di dunia ini.

فَإِمَّا نُرِيَنَّكَ بَعْضَ الَّذِي نَعِدُهُمْ

Sama ada Kami perlihatkan kepada kamu setengah dari azab yang dijanjikan kepada mereka

Disebabkan mereka tolak ajakan tauhid itu, Allah SWT akan beri bala kepada mereka. Allah SWT beritahu yang mungkin baginda Nabi sempat tengok azab yang dikenakan kepada mereka.

Ini adalah kerana baginda dikenakan dengan kezaliman yang teruk oleh musyrikin Mekah itu. Jika baginda dapat lihat balasan yang dikenakan kepada mereka, tentu baginda berpuas hati.

Ini adalah ayat Takhwif Duniawi – mereka yang menentang boleh dikenakan azab semasa mereka di dunia lagi.

أَوْ نَتَوَفَّيَنَّكَ

atau kamu dimatikan

Atau baginda tidak sempat tengok balasan kepada mereka kerana baginda dimatikan sebelum mereka dikenakan dengan azab.

Namun, Allah SWT telah tunjuk kepada baginda kemenangan yang dijanjikan kepada baginda. Dalam Perang Badar, baginda dapat sendiri melihat bagaimana pemuka-pemuka Quraish yang menentang baginda telah dibunuh.

Baginda juga dapat memasuki dan memenangi Kota Mekah dari tangan orang-orang musyrikin. Juga seluruh Jazirah Arab memeluk Islam semasa hayat baginda lagi. Jadi baginda dapat lihat sendiri kejayaan Islam depan mata baginda sendiri.

فَإِلَيْنَا يُرْجَعُونَ

Kepada Kami mereka semua akan dikembalikan.

Sama ada baginda sempat dan dapat tengok kesudahan yang buruk untuk mereka, atau baginda tidak dapat tengok, yakinlah yang mereka semua akan dikembalikan kepada Allah SWT juga dan mereka akan dikenakan dengan azab-azab yang telah dijanjikan kepada mereka. Ini adalah Takhwif Ukhrawi pula.

Maknanya, Allah SWT hendak pujuk Nabi Muhammad SAW dan para sahabat: jangan takut, mereka akan tetap kena balasan atas kesalahan dan kezaliman mereka itu. Maka teruskanlah berdakwah.

وَإِنْ كَانَ طَائِفَةٌ مِنْكُمْ آمَنُوا بِالَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ وَطَائِفَةٌ لَمْ يُؤْمِنُوا فَاصْبِرُوا حَتَّىٰ يَحْكُمَ اللَّهُ بَيْنَنَا ۚ وَهُوَ خَيْرُ الْحَاكِمِينَ

“Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu (perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka sabarlah sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita semua, dan Dia lah jua sebaik-baik hakim”. [Al-A’raf – 87].

Tafsir Ayat Ke-78

Ini adalah Dalil Naqli Ijmali – disebut tentang para Nabi tetapi tidak disebutkan nama mereka. Jadi disebut secara umum sahaja. Ijmali maksudnya ‘pukal’.

وَلَقَد أَرسَلنا رُسُلًا مِن قَبلِكَ مِنهُم مَن قَصَصنا عَلَيكَ وَمِنهُم مَن لَم نَقصُص عَلَيكَ ۗ وَما كانَ لِرَسولٍ أَن يَأتِيَ بِآيَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ فَإِذا جاءَ أَمرُ اللَّهِ قُضِيَ بِالحَقِّ وَخَسِرَ هُنالِكَ المُبطِلونَ

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelummu; di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah SWT; (maka janganlah diingkari apa yang dibawa oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah SWT (menimpakan azab) diputuskan hukum dengan adil; pada saat itu rugilah orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah”.

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ

Sesungguhnya Kami utuskan beberapa rasul sebelum kamu wahai Muhammad

Sebelum Nabi Muhammad SAW diutus, telah datang Nabi-nabi lain kepada kaum mereka. Mereka juga telah menyampaikan perkara yang sama seperti yang telah disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW dalam perkara akidah. Perkara syariat mungkin tidak sama, kerana syariat para Nabi tidak sama dari zaman ke zaman. Tetapi kalau tentang akidah, ia pasti sama sahaja tetap mereka juga ditolak oleh kaum mereka.

Ini juga adalah tasliah bagi Nabi – bukan baginda sahaja yang ditolak tetapi para Nabi dahulu pun kena tolak juga.

مِنْهُمْ مَنْ قَصَصْنَا عَلَيْكَ

Di antara mereka itu ada yang Kami ceritakan kepada kamu

Ada kisah para Nabi itu disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai pengajaran. Ada yang disampaikan dalam Al-Quran yang kita juga boleh tahu tentang mereka.

وَمِنْهُمْ مَنْ لَمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ

dan di antara mereka tidak Kami ceritakan.

Ada ramai lagi para Nabi dan rasul. Kita mengetahui hanya 25 orang sahaja. Masih ada banyak lagi nama-nama yang tidak disebut. Al-Quran bukanlah buku sejarah yang menyebut semua kisah para Nabi. Yang penting adalah menyampaikan ajaran mereka yang perlu diikuti. Disebabkan kerana ramainya mereka, tentulah tidak cukup kalau dikisahkan semua dalam Al-Quran pula.

وَما كانَ لِرَسولٍ أَن يَأتِيَ بِآيَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ

Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa sesuatu keterangan (atau menunjukkan sesuatu mukjizat) melainkan dengan izin Allah SWT;

Musyrikin Mekah telah minta Nabi Muhammad SAW menunjukkan mukjizat. Allah SWT beritahu bahawa mana-mana Nabi dan rasul pun, tidak ada kuasa sendiri. Mukjizat itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah SWT, bukan dengan kebolehan dan kudrat para Nabi itu.

Mukjizat itu juga tidak selalu berlaku seperti mukjizat Nabi Muhammad SAW yang terjadi semasa baginda dan sahabat tidak ada air dalam perjalanan. Nabi minta bekas air dan baginda letak tangan dalam bekas air itu. Perawi hadis kata dia nampak air keluar dari celah jari Nabi SAW. Namun, tidaklah sahabat di kemudian hari minta Nabi seperti itu lagi macam itu bila tiada air. Sahabat-sahabat tidak buat begitu kerana mereka faham bahawa kejadian itu bukan atas kehendak Nabi tetapi atas kehendak Allah SWT.

Maknanya mukjizat itu bukan atas kehendak Nabi. Kalau berlaku, ianya tidak berulang-ulang. Berlaku kerap kali dan boleh dibuat itu adalah sihir. Iaitu sihir yang manusia belajar. Untuk mempelajari sihir ini kena kufur dahulu baru boleh menjadi sihir itu. Kita kata tiba-tiba tok guru boleh buat karomah sendiri. Padahal, karomah pun seperti mukjizat juga, terjadi kepada para wali, tetapi bukan atas kehendak dan kudrat mereka. Ia adalah atas pemberian Allah SWT juga, dan berlaku pun sekali sekala sahaja.

Apabila ada salah faham tentang perkara ini, maka banyaklah yang sesat kerana menyangka guru mereka, atau orang-orang tertentu itu ada karomah, padahal yang mereka buat itu adalah sihir semata-mata.

Sihir ini adalah proses, kalau ikut proses tertentu, ia akan menjadi. Kalaupun jin terlibat, ia cuma membantu sahaja. Namun, yang mengajar sihir kepada manusia adalah jin. Rujuk [Baqarah:102] Pada zaman Nabi Sulaiman a.s baginda hentikan sihir, buang segala buku-buku amalan sihir tetapi selepas baginda wafat jin telah mengajar sihir kepada manusia.

فَإِذا جاءَ أَمرُ اللَّهِ قُضِيَ بِالحَقِّ

“Dan apabila datang keputusan Allah SWT, maka diberi keputusan dengan adil”

Apabila Allah SWT buat keputusan di akhirat kelak atas akidah dan amalan makhluk semasa di dunia, maka, Allah SWT akan buat keputusan dengan adil. Allah SWT tidak akan hukum atas perkara yang tidak pernah dilakukan oleh makhluk. Keputusan yang dimaksudkan ada keputusan secara amali. Dalam Al-Quran telah ada teori, telah tahu mana benar dan yang mana tidak, cuma di akhirat kelak akan ditunjukkan secara praktikal.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut bahawa mereka yang mengamalkan syirik itu akan kekal dalam neraka. Mungkin ada yang hairan, tidak nampak pun kesalahan syirik itu, tetapi kenapa kekal dalam neraka? Dia buat kesalahan itu entah berapa tahun sahaja dan mereka akan kekal dalam neraka? Seolah-olah Allah SWT telah berlaku zalim. Maka, Allah SWT jawab Dia tidak zalim, keputusan yang diberikan itu adalah adil.

وَخَسِرَ هُنَالِكَ الْمُبْطِلُونَ

Maka di situlah zahirnya kerugian orang-orang yang buat kebatilan

Maka akan zahirlah kerugian mereka yang mengamalkan akidah syirik itu. Mereka mungkin tidak nampak kerugian mereka di dunia, tetapi di akhirat akan nampak jelas.

Ini bermakna, bukanlah mereka hanya rugi di akhirat sahaja. Mereka memang sudah rugi semasa di dunia, namun semasa di dunia, mereka tidak nampak kerugian mereka, kerana mereka mungkin dapat pulangan dari amalan akidah syirik mereka itu. Ada yang amalkan amalan syirik boleh mendapat kuasa, kekayaan, kesenangan hidup dan sebagainya. Oleh kerana dapat kelebihan-kelebihan itu, mereka tidak bertaubat dan mereka sangka apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Mereka sebenarnya sedang rugi, cuma mereka sahaja yang tidak nampak. Di akhirat kelak, semuanya akan jadi nyata.

Soalan: Bagaimana halnya orang jahil yang tidak dapat bezakan antara kebenaran dengan kebatilan?

Jawapan: Orang jahil tidak akan selamat. Di dalam Al-Quran disebut tentang kelebihan dan keselamatan orang yang mengetahui. Allah SWT telah kutuk orang yang dilemahkan fikiran iaitu mereka yang ikut sahaja Firaun dan guru-guru yang salah. Bagaimana hendak berselindung di sebalik alasan ‘jahil’ sedangkan Allah SWT telah menurunkan Al-Quran, diikuti dengan akal, pancaindera, Rasul, penyebar tauhid, tanda-tanda pada alam dan fitrah dalam diri manusia. Semua itu telah diberikan oleh Allah SWT. Maka, jika jahil juga itu adalah kesalahan atas diri sendiri.

Wallahu a’lam.

 

Komen dan Soalan