Utama Bilik (64) Syamail Muhammadiyyah Hadis 62: Kain Hibarah Pakaian Paling Disukai Rasulullah

Hadis 62: Kain Hibarah Pakaian Paling Disukai Rasulullah

549
0
Iklan

Panel : Ustaz ADÖULINÉ Lacharouphe

62- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَشَّارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ هِشَامٍ، قَالَ: حَدَّثَنِي أَبِي، عَنْ قَتَادَةَ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: كَانَ أَحَبَّ الثِّيَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَلْبَسُهُ الْحِبَرَةُ.

62- Telah bercerita kepada kami Muhammad bin Basysyar, dia berkata: Telah bercerita kepada kami Mu`az bin Hisyam, dia berkata: Telah bercerita kepada saya bapa saya, daripada Qatadah, daripada Anas bin Malik, dia berkata: Pakaian yang paling disukaï Rasuli Llah memakainya ialah kain hibarah.

Syarah Adou_Fr:

Hadis ini merakamkan penjelasan Anas bin Malik tentang kebiasaan pakaian Nabi, yang disebut sebagai pakaian yang Nabi paling suka memakainya, dan pakaian itu ialah kain hibarah.

Dalam persoalan pakaian, seseorang itu dikira menyukai sesuatu pakaian apabila dia sering memakainya, sama ada dia menyedarinya atau tidak. Ramai lelaki, apabila ditanya tentang hal ini, dia tidak menyedarinya. Ramai lelaki tidak menyedari warna kegemarannya, atau pakaian kesukaannya. Namun, dalam kehidupan seharian, apabila diperhatikan, lelaki itu biasanya akan memakai satu jenis pakaian yang sama, atau satu warna yang sama. Berbeza dengan wanita, apabila dia menyebut bahawa dia menyukaï sesuatu pakaian, tetapi dia tidak memakainya.

Justeru, hadis ini memberitahu bahawa Nabi tidaklah mempunyaï hanya satu pakaian sahaja, tetapi tidak pula mempunyaï terlalu banyak pakaian.

Berlainan dengan para wanita dewasa ini, yang menjadi seperti suatu pantangan atau `aib bagi mereka untuk memakai baju yang sama sekali lagi dalam minggu atau bulan yang sama. Untuk itu, ramai wanita yang memiliki baju melebihi sepuluh atau tiga puluh helai, atau sepenuh-penuh almari, agar mereka tidak dilihat memakai baju yang sama berulang-ulang kali.

Di dalam hadis ini, pakaian yang Nabi sering memakainya itu dianggap oleh Anas bin Malik sebagai pakaian yang disukaï Nabi memakainya, iaitu kain hibarah. Hibarah ialah sejenis kain buatan Yaman yang diperbuat daripada linen atau kapas yang dihiaskan. Ibnu Battal menyebut bahawa kain hibarah ialah pakaian paling mulia di sisi penduduk Yaman. Ad-Dawudiy menyebut bahawa hibarah ialah kain berwarna hijau. Al-Qastalaniy juga menyebut bahawa ia berwarna hijau, dan dikatakan bahawa alasan Nabi menyukaï kain hibarah ialah kerana hijau ialah warna pakaian ahli syurga.

Walau bagaimanapun, Ibnu l-Qayyim menyebut bahawa ia ialah dua helai kain buatan Yaman yang disulam dengan benang merah bersama hitam.

Apabila bercakap tentang tekstil yang digunakan pada zaman Nabi, kita hendaklah merujuk kembali kepada teknologi tekstil pada zaman tersebut. Ketika itu, mencelup kain dengan warna masih lagi terhad kepada beberapa jenis warna sahaja, dan pencelup yang digunakan hanyalah pencelup semulajadi berasaskan tumbuhan atau sumber alam. Kebanyakan fabrik adalah sama seperti warna asal bahannya, jika dari kapas, seperti warna kapas, dan jika dari pokok flaks (Linum usitatissimum), maka ia berwarna keperangan seperti warna tali kapal.

Untuk menyatakan bahawa fabrik yang Nabi gunakan berwarna merah sepenuhnya atau hijau sepenuhnya, ia tidaklah sesuai berdasarkan kajian tentang teknologi tekstil zaman tersebut. Justeru, apabila disebut merah, sebagai contoh, ia bermakna, kain dalam warnanya yang asal, tetapi mempunyaï corak, atau jalur berwarna merah. Jika disebut kain berwarna hijau, ia adalah kain dalam warnanya yang asal, tetapi mempunyai corak atau jalur berwarna hijau.

Disebabkan Madinah adalah laluan perdagangan dari Yaman ke Syam, maka banyak barang dagangan yang dibawa dari Yaman dan Syam, yang turut dijual di Madinah, antaranya ialah tekstil. Disebabkan itu, banyak nama fabrik adalah menggunakan nama tempat asal fabrik itu dihasilkan.

Pertikaian tentang warna sesuatu fabrik atau bahan mentah yang digunakan boleh jadi disebabkan terdapat beberapa jenis produk atau variasi yang berbeza. Contohnya, kain hibarah ini, yang ditetapkan sebagai pemalar ialah kualiti fabrik, manakala yang berubah ialah warna, satu jenis mungkin mempunyaï jalur atau corak berwarna merah, manakala satu jenis lagi mempunyai jalur atau corak berwarna hijau.

*******
*******
*******

Komen dan Soalan