Utama Blog Halaman 120

Pelaksanaan Zakat Fitrah

0

Zakat fitrah paling afdhal dikeluarkan sebelum berangkat ke tempat solat `Id.

أمرنا رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم بزكاةِ الفطرِ أن تُؤدَّى قبلَ خروجِ الناسِ إلى الصلاةِ قال فكان ابنُ عمرَ يُؤَدِّيها قبلَ ذلك باليومِ واليومينِ

الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود

الصفحة أو الرقم: 1610 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه

“Rasulullah ﷺ memerintahkan kami untuk menunaikan zakat fitrah sebelum orang ramai keluar ke tempat solat.” Katanya: “Ibn `Umar menunaikannya seharai atau dua hari sebelum hari `Id.” – Sunan Abi Dawud, no. 1610.

* shahih menurut Syu`aib Al-Arna’uth.

فرض رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زكاة الفطرِ طُهرَةً للصائمِ من اللغوِ والرفثِ وطُعْمَةً للمساكينِ من أدَّاها قبلَ الصلاةِ فهي زكاةٌ مقبولَةٌ ومنْ أدَّاها بعدَ الصلاةِ فهيَ صدقةٌ منَ الصدقاتِ

الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود

الصفحة أو الرقم: 1609 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه

Rasulullah ﷺ mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan perkataan kotor, sekali gus untuk memberi makan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat `Id, maka itu adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat `Id, maka itu hanya sekadar sedekah. – Sunan Abi Dawud, no. 1609.

* hasan menurut Syu`aib Al-Arna’uth.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Waktu asal pelaksanaan zakat fitrah adalah antara solat Subuh dan solat `Id. Namun sebahagian `ulama’ berpendapat zakat fitrah boleh ditunaikan sehari atau dua hari sebelum `Id, sebagaimana yang dilakukan oleh Ibn `Umar. Bahkan sebahagiannya mengatakan zakat fitrah boleh di awal Ramadhan.

2. Orang yang tidak sempat menunaikan zakat fitrah sebelum solat `Id tetap dikehendaki untuk menunaikan zakat fitrah, walaupun statusnya hanyalah seperti sedekah biasa.

 

Apa itu al-Haqqah?

0

UiTO Channel: Tazkirah Harian:

~Tadabbur Kalamullah 7 Rabiulawal 1437H~

الْحَاقَّةُ * مَا الْحَاقَّةُ * وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحَاقَّةُ

Al-Haqqah. Apa itu al-Haqqah? Dan tahukah kamu apakah al-Haqqah itu?[Surah al-Haqqah 1-3]

#Imam ar-Razi dalam tafsirnya mengatakan: “Seluruh ahli tafsir berpendapat bahawa yg dimaksud dengan al-Haqqah ialah HARI KIAMAT

#Selain al-Haqqah, hari kiamat dinamakan juga al-Qariah yang bermaksud hari kegoncangan kerana seluruh alam pada waktu itu akan bergoncang hebat.

#Kegoncangan hari kiamat lebih dahsyat dan lebih hebat dari gempa, lebih hebat daripada angin puting beliung. Sebab langit akan runtuh, bumi akan hancur, gunung ganang menjadi abu yang berterbangan. Seluruh peraturan alam yang ada akan berubah sama sekali pada masa itu.

#Dalam ayat yang lain Allah memaklumkan tentang kedahsyatan kiamat:

Ibnu ‘Abbas berkata mengenai ayat:

إِذَا زُلْزِلَتِ الْأَرْضُ زِلْزَالَهَا

Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat)

Maksudnya adalah bumi bergoncang dari bawahnya. (Tafsir al-Quran al-Azim).

Firman Allah dlm surah lain:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ

Hai manusia, bertakwalah kepada Rabbmu, sesungguhnya kegoncangan hari kiamat itu adalah suatu kejadian yang sangat besar (dahsyat).(Surah al-Hajj 1)

♡Percaya atau tidak kiamat pasti dan tetap akan berlaku dengan dahsyatnya. Berlumba-lumbalah sedahsyat yang mampu untuk melakukan kebaikan dan perintah Allah sebagai bekal untuk digunakan bagi kehidupan selepas
kiamat♡

🐊Ust naim
https://m.facebook.com/ustazmuhamadnaim

Telegram:
Telegram.me/tadabburkalamullah
(Buka link👆dan klik join)

Orang yang Layak menerima Zakat Fitrah

0

Orang yang layak menerima zakat fitrah.

فرض رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زكاة الفطرِ طُهرَةً للصائمِ من اللغوِ والرفثِ وطُعْمَةً للمساكينِ من أدَّاها قبلَ الصلاةِ فهي زكاةٌ مقبولَةٌ ومنْ أدَّاها بعدَ الصلاةِ فهيَ صدقةٌ منَ الصدقاتِ

الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود

الصفحة أو الرقم: 1609 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه

Rasulullah ﷺ mewajibkan zakat fitrah untuk mensucikan orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan perkataan kotor, sekali gus untuk memberi makan kepada orang-orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat `Id, maka itu adalah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat `Id, maka itu hanya sekadar sedekah. – Sunan Abi Dawud, no. 1609.

* hasan menurut Syu`aib Al-Arna’uth.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Sebahagian `ulama’ membezakan antara penerima zakat fitrah dengan penerima zakat yang lain, kerana berdasarkan hadits Ibn `Abbas yang menyebutkan secara jelas bahawa penerima zakat fitrah hanyalah orang miskin.

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلْفُقَرَآءِ وَٱلْمَسَٰكِينِ وَٱلْعَٰمِلِينَ عَلَيْهَا وَٱلْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِى ٱلرِّقَابِ وَٱلْغَٰرِمِينَ وَفِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبْنِ ٱلسَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu´allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. [ At-Taubah: 60 ]

Menurut fatwa yang telah diputuskan bersama oleh Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ berkenaan takrifan pada setiap asnaf penerima zakat pada tahun 1987:

1. Fakir:

  • Pendapatan bulanan di bawah 50% daripada keperluan sara hidup dirinya berserta tanggungan.
  • Atau tidak mempunyai kuasa berusaha/ bekerja/ menanggung kerana tua atau cacat pada badan.
  • Dan sesiapa yang di tanggung baginya oleh bapa, suami, isteri, anak, cucu atau mana-mana orang atau mana-mana badan yang menanggung bagi tanggungannya yang mencukupi maka ia tidak termasuk fakir.

2.  Miskin:

  • Pendapatan bulanan melebihi 50% daripada keperluan sara hidup dirinya berserta tanggungan tetapi tidak mencapai 100% kadar minima.

 

Kadar Zakat Fitrah

0

Kadar zakat fitrah.

كنا نُخرِجُ زكاةَ الفِطرِ، صاعًا من طعامٍ، أو صاعًا من شعيرٍ، أو صاعًا من تمرٍ، أو صاعًا من أقِطٍ، أو صاعًا من زبيبٍ .

الراوي : أبو سعيد الخدري | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري

الصفحة أو الرقم: 1506 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Kami mengeluarkan zakat fitrah 1 sha` makanan; 1 sha` gandum, atau 1 sha` tamar, atau 1 sha` keju, atau 1 sha` kismis.” – Shahih Al-Bukhari, no. 1506.

= = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Kadar zakat fitrah adalah 1 sha` makanan asasi. Sha` (الصاع) bukanlah dalam unit timbangan, tetapi unit pengukuran yang digunakan oleh penduduk Madinah.

2. 1 sha` bersamaan dengan 4 mud. 1 mud (المد) pula bersamaan dengan cakupan penuh dua tapak tangan (ukuran sederhana) yang dirapatkan. Ini bererti 1 sha` bersamaan dengan 4 cakupan penuh dua tapak tangan yang dirapatkan.

3. Menurut Lajnah Ad-Da’imah, 1 sha` berat atau gandum, apabila ditukar ke unit kilogram, bersamaan dengan 3 kg.

4. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang menunaikan zakat fitrah dengan wang:

(a) Sebahagiannya mengatakan zakat fitrah hendaklah ditunaikan dalam bentuk makanan:

(i) Inilah hukum asal dalam menunaikan zakat fitrah.

(ii) Di zaman Nabi ﷺ telah wujud dinar dan dirham, namun baginda tidak memerintahkan supaya zakat dikeluarkan dalam bentuk wang, begitu juga dengan para sahabat lain.

(iii) Harga setiap sha` makanan yang disebutkan adalah berbeza-beza (harga 1 sha` gandum berbeza dengan harga 1 sha` tamar, berbeza juga dengan harga 1 sha` keju dan 1 sha` kismis), lalu harga yang manakah yang seharusnya dijadikan acuan untuk menentukan nilai wang yang perlu dikeluarkan?

(b) Namun, sebahagian yang lain membolehkan zakat fitrah dibayar dalam bentuk wang:

(i) Terdapat beberapa orang `ulama’ daripada generasi salaf yang berpendapat sedemikian, antaranya: `Umar bin `Abd Al-`Aziz, Al-Hasan Al-Bashri, `Atha’, Ats-Tsauri, dan Abu Hanifah.

(ii) Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa pada zaman Rasulullah ﷺ tidak semua orang memiliki dinar atau dirham, bahkan lebih mudah bagi mereka untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk makanan asasi. Berbeza pula dengan keperluan umat masa kini, pemberian zakat dalam bentuk wang benar-benar memberikan maslahah kepada penerima zakat.

#FiqhRamadhan

Zakat Fitrah Hukumnya Wajib

0

Zakat fitrah hukumnya wajib

فرَض رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم زكاةَ الفِطرِ، صاعًا من تمرٍ أو صاعًا من شعيرٍ، على العبدِ والحرِّ، والذكرِ والأنثى، والصغيرِ والكبيرِ، من المسلمينَ، وأمَر بها أن تؤدَّى قبلَ خروجِ الناسِ إلى الصلاةِ .

الراوي : عبدالله بن عمر | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري

الصفحة أو الرقم: 1503 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

Rasulullah ﷺ mewajibkan zakat fitrah, satu sha` tamar atau satu sha` gandum, ke atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan wanita, anak kecil dan orang dewasa, yang muslim, dan baginda memerintahkan untuk menunaikannya sebelum orang ramai keluar ke tempat solat. – Shahih Al-Bukhari, no. 1503.

فقال رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم من سأل وعنده ما يُغنيهِ فإنما يَسْتكثِرُ من النارِ وقال النُّفَيلِيُّ في موضعٍ آخرَ من جمرِ جهنمَ فقالوا يا رسولَ اللهِ وما يُغْنِيهِ وقال النفيليُّ في موضعٍ آخرَ وما الغِنَى الذي لا تَنْبغِي معه المسألةُ قال قدرُ ما يُغَدِّيه ويُعَشِّيه وقال النُّفَيْلِيُّ في موضعٍ آخرَ أنْ يكونَ له شِبَعُ يومٍ وليلةٍ أو ليلةٍ ويومٍ

الراوي : سهل بن الحنظلية | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود

الصفحة أو الرقم: 1629 | خلاصة حكم المحدث : سكت عنه

Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan api neraka.” (Kata An-Nufaili dalam riwayat yang lain: “… bara neraka Jahanam.”). Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apa yang dimaksudkan dengan yang cukup baginya?” (Kata An-Nufaili dalam riwayat yang lain: “Apakah yang dimaksudkan dengan cukup yang membuatkan dia tidak layak untuk meminta-minta?”) Jawab baginda: “Sekadar apa yang cukup untuknya makan siang dan malam.” (Kata An-Nufaili dalam riwayat lain: “Apa yang mengenyangkannya sehari semalam, atau semalam sehari.”). – Sunan Abi Dawud, no. 1629.

* shahih menurut Muqbil Hadi Al-Wadi`i.

= = = = = = = = = =

Penjelasan:

1. An-Nufaili adalah guru kepada Abu Dawud, dan beliau telah meriwayatkan hadis ini sebanyak 2 kali kepada Abu Dawud:

(a) Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan api neraka.” Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apa yang dimaksudkan dengan yang cukup baginya?” Jawab baginda: “Sekadar apa yang cukup untuknya makan siang dan malam.”

(b) Rasulullah ﷺ bersabda: “Sesiapa yang meminta-minta sedangkan dia memiliki apa yang cukup baginya, sesungguhnya dia memperbanyakkan bara neraka Jahanam.” Mereka bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan cukup yang membuatkan dia tidak layak untuk meminta-minta?” Jawab baginda: “Apa yang mengenyangkannya sehari semalam, atau semalam sehari.”

2.  Berdasarkan kedua-dua hadis ini, para `ulama’ membuat kesimpulan bahawa zakat fitrah diwajibkan kepada:

(a) Setiap muslim, sama ada lelaki atau wanita, sama ada orang yang merdeka atau hamba, sama ada dewasa atau kanak-kanak, dan

(b) Mampu mengeluarkan zakat, iaitu mereka yang mempunyai lebihan makanan untuk diri sendiri dan orang yang ditanggungnya pada malam `Id dan keesokan harinya.

1 sha’= 2.6 kg beras

1 gantang=1 sha’=2.6 kg

#Fiqh Ramadhan

 

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-43 hingga Ke-47

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-43

Dalil Wahyi

فَاستَمسِك بِالَّذي أوحِيَ إِلَيكَ ۖ إِنَّكَ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.

فَاسْتَمْسِكْ بِالَّذِي أُوحِيَ إِلَيْكَ

Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu;

Kalimah اسْتَمْسِ bermaksud ‘berpegang dengan kuat sungguh’. Tidak lepaskan langsung. Pegang dengan kemas. Kita dapat tahu kerana kalimah اسْتَمْسِ adalah dalam wazan yang banyak huruf, maka ini menunjukkan peningkatan dari kalimah yang biasa.

Maknanya, bukan pegang biasa, tetapi pegang sungguh. Oleh itu jangan putus semangat berpegang dengan al-Quran, walau ramai yang menolak. Seramai mana jua yang menentang, tetap kena sampaikan juga kepada manusia. Walau apa pun terjadi, maka tetapkan pendirian kita dengan al-Quran ini.

Teruskan belajar tafsir untuk memahami ayat-ayat al-Quran. Maka akan bertambah keyakinan kita kepada al-Quran. Maknanya kita kena belajar Tafsir al-Quran, kena faham, selalu membaca, amalkan dan akhir sekali kena sebarkan serta ajar kepada orang lain.

Kalau setakat kita sahaja yang faham, masih tidak cukup lagi. Kena melakukan keseluruhan perkara itu barulah dikatakan berpegang sungguh dengan al-Quran itu. Kepada yang sudah belajar, kena selalu baca dan menelaah pelajaran tafsir yang mereka sudah pelajari kerana al-Quran ini perlu diulang-ulang dalam bentuk bacaan dan juga tadabbur.

Semakin banyak kita ulang, semakin banyak kita akan faham. Kita kena pastikan yang kehidupan kita mengikut aliran yang dikehendaki oleh Allah SWT. Maka hendaklah kita selalu periksa cara kehidupan dengan landasan al-Quran.

Untuk melakukannya, kita kena selalu baca al-Quran. Mungkin kita terjumpa perkara yang kita tidak lakukan lagi, atau kita jumpa kesalahan diri kita yang dilakukan kerana kita lupa kepada mana-mana ayat. Bila baca balik, baru teringat dan baru betulkan diri balik.

إِنَّكَ عَلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus

Selagi berpegang dengan al-Quran, kita akan berada atas jalan yang lurus. Maka, kalau orang kita yang buat tidak kisah dengan al-Quran, bagaimana? Adakah cukup dengan membaca sahaja, tetapi tidak faham? Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda kena sampaikan wahyu kepada manusia kerana baginda telah berada di atas jalan yang benar tetapi kita kena baca ianya ditujukan kepada kita juga.

Kalau kehidupan kita sama seperti yang dilandaskan dengan al-Quran, maka kehidupan kita di atas jalan yang lurus. Itu kalau kehidupan kita adalah selari dengan al-Quran. Jika Nabi Muhammad SAW, memang sudah selari. Kita selalu meminta jalan yang lurus di dalam surah al-Fatihah, dan kita baca setiap hari doa permintaan kepada jalan yang lurus itu dalam solat kita.

Ketahuilah, hanya dengan al-Quran ini sahajalah yang dapat membawa kita di atas jalan yang lurus itu. Al-Quran inilah yang boleh memandu kita ke jalan yang lurus. Masalahnya, ada yang rasa mereka berpegang dengan al-Quran berdasarkan apa yang disebut oleh guru dan ustaz mereka.

Mereka sendiri tidak belajar tafsir kerana mereka kata mereka ‘tidak layak’ hendak belajar Tafsir al-Quran. Al-Quran itu mereka kata, memerlukan ilmu yang tinggi untuk mula belajar. Mereka kata, orang yang tahap ustaz sahaja yang boleh faham. Malah, mereka kata ustaz juga belum tentu boleh faham al-Quran.

Jadi mereka sangka apa yang diajar oleh guru dan ustaz mereka itu sudah sama dengan kehendak al-Quran. Itu adalah sangkaan mereka sahaja. Mereka tidak tahu yang ustaz mereka sendiri juga tidak belajar dan tidak pegang ajaran dalam al-Quran sebab ustaz itu sendiri tidak belajar al-Quran.

Ustaz mereka itu pula sangka guru kepada guru mereka ikut al-Quran juga. Semuanya atas sangkaan. Mereka sangka, kerana status seseorang itu ‘ustaz’, tentunya dia sudah belajar dan faham al-Quran atau mereka sangka sudah tentu amalan dan aqidah ustaz mereka itu bertepatan dengan al-Quran.

Belum tentu lagi sebenarnya sebab kena periksa betul-betul dan tanya dia sendiri, sudah belajar tafsir al-Quran ke belum? Kalau dia sendiri tidak belajar tafsir al-Quran, maka dia sendiri sudah ada masalah.

Tafsir Ayat ke-44

Manusia akan ditanya tentang al-Quran nanti di akhirat. Apakah yang hendak dijawab kalau tidak belajar tafsir al-Quran?

وَإِنَّهُ لَذِكرٌ لَّكَ وَلِقَومِكَ ۖ وَسَوفَ تُسئلونَ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).

وَإِنَّهُ لَذِكْرٌ لَّكَ وَلِقَوْمِكَ

Dan sesungguhnya Al-Quran itu memberikan peringatan kepadamu dan kepada kaummu;

Peringatan dalam al-Quran diberikan kepada manusia kerana manusia selalu lupa. Oleh itu, mereka akan diingatkan berkali-kali di dalam al-Quran. Sebab itulah kita kena selalu membaca al-Quran supaya kita sentiasa diingatkan. Jangan bila sudah habis belajar kita sudah sangka yang kita sudah faham semuanya.

Ini juga bermaksud ‘arahan’ kepada kita. al-Quran itu mengandungi hukum dan arahan yang perlu kita ikuti. Maka untuk ikuti arahan dalam al-Quran, kenalah faham dulu, bukan? Ramai orang kata mereka taat dengan agama, mahu taat kepada al-Quran tetapi kalau tidak belajar lagi, macam mana mereka hendak tahu apakah yang perlu ditaati?

Ini juga bermaksud kita perlulah menggunakan al-Quran itu untuk mengingati Allah SWT. Ini kerana dalam ayat-ayat al-Quran, banyak disebutkan tentang Allah SWT. Dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang. Setiap ayat Al-Quran akan mengingatkan kita kepada Allah SWT dan juga memberi isyarat kepada kita bahawa al-Quran ini perlulah menjadi zikir kita. Sebaik-baik zikir adalah dengan menggunakan ayat al-Quran.

Zikir Nabi selalunya adalah ayat-ayat al-Quran. Malangnya, masyarakat kita ramai yang menggunakan zikir-zikir lain dan kurang menggunakan al-Quran. Zikir-zikir lain itu, mereka sanggup baca beratus dan beribu kali, tetapi al-Quran mereka tidak gunakan sebagai zikir mereka.

Tambah malang lagi, ramai yang menggunakan zikir yang tidak diajar oleh Nabi SAW. Itu sudah jadi bidaah. Mereka tinggalkan yang lebih baik dan buat pula benda yang patut mereka lakukan.

Untuk menjadikan al-Quran itu sebagai zikir, kita sepatutnya menghafal al-Quran itu. Supaya di mana-mana sahaja, kita boleh terus membaca ayat al-Quran, jadi tidak perlu ada mushaf al-Quran tetapi berapa banyak ayat yang kita hafal. Semoga ini menjadi motivasi kepada kita untuk menghafal al-Quran sebanyak mungkin.

Mungkin bukanlah jadi hafiz, tetapi sekurangnya adalah surah-surah yang kita boleh jadikan bacaan harian kita semasa sedang memandu, sedang berjalan dan sebagainya. Ayat ini juga memberi isyarat bahawa dengan al-Quran, ia akan memuliakan kita kerana kita akan diingati.

Lihatlah bagaimana Nabi Muhammad SAW itu diingati dan disebut-sebut sampai ke hari ini kerana al-Quran. Al-Quran itu telah menjadi penghormatan kepada Nabi SAW dan juga kepada sahabat baginda. Oleh kerana mereka telah memegang Al-Quran itu dengan kemas, mereka telah dapat memerintah dunia satu masa dahulu. Mereka telah sebarkan al-Quran ini ke merata tempat sampai ia telah sampai kepada kita dan kerana itulah, kita berterusan menyebut nama mereka.

Ya, Islam suatu waktu dulu memang kuat dan terkenal kerana mereka rapat dan mengamalkan ajaran al-Quran tetapi lihatlah apabila muslim sudah meninggalkan ajaran al-Quran, kita tidak ada nilai lagi di mata dunia. Kita diperlekehkan, tidak dipandang tinggi. Memang benarlah al-Quran itu telah meninggikan nama baginda.

Nampak sekali pandang macam wahyu al-Quran itu telah menyusahkan Nabi SAW tetapi sebenarnya ia menaikkan nama baginda dan nama orang Arab juga turut naik. Orang sanjung para sahabat Nabi SAW itu sampai sekarang dan orang Arab itu juga terkenal di dunia sampai sekarang.

Sedangkan waktu Nabi SAW dulu dunia tidak kisah jua tentang mereka. Semua itu dengan berkat al-Quran. Al-Quran itu bukan untuk Nabi SAW sahaja tetapi untuk umatnya juga. Maka kalau kita mengaku yang kita ini adalah umat Nabi Muhammad SAW, maka kita hendaklah menjadikan al-Quran itu sebagai peringatan untuk kita.

وَسَوْفَ تُسْئلُونَ

dan kamu akan ditanya kelak

Ini adalah ayat amaran kepada kita. Kita akan ditanya tentang apa yang kita buat dengan al-Quran ini? Adakah kita telah belajar tentang isi kandungannya dan telah amalkan? Kita akan ditanya di akhirat kelak sama ada kita telah menunaikan hak yang dituntut atas kita seperti yang tertulis dalam al-Quran ini.

Kalau tidak belajar, bagaimana hendak tahu? Bukan itu sahaja, kita juga akan ditanya sama ada kita sudah sampaikan ajaran al-Quran ini kepada orang lain atau tidak?

Ini adalah soalan yang berat sekali kerana ramai yang tidak berdakwah. Mereka kalau belajar , mereka akan belajar sendiri sahaja. Mereka tidak ajak orang lain belajar sekali kerana mereka rasa malu. Takut orang kata mereka ‘pelik’ pula kerana belajar tafsir al-Quran.

Mereka tidak berani hendak tegur kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Orang lain buat salah yang bertentangan dengan al-Quran, mereka lihat sahaja dan tidak tegur. Nanti kita akan ditanya nanti: kenapa kamu tidak tegur? Kenapa kamu biarkan sahaja dia buat benda yang salah? Apa yang kita hendak jawab di hadapan Allah SWT nanti apabila Allah SWT tanya kita tentang semua soalan-soalan itu?

Tafsir Ayat ke-45

Dalil Naqli Ijmali (kerana tidak disebut nama Rasul)

وَاسئل مَن أَرسَلنا مِن قَبلِكَ مِن رُّسُلِنا أَجَعَلنا مِن دونِ الرَّحمٰنِ ءآلِهَةً يُعبَدونَ

Dan bertanyalah kepada mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain dari Allah Yang Maha Pemurah.

وَاسْئلْ مَنْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رُّسُلِنَا

Dan tanyalah kepada mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu;

Macam mana hendak tanya kepada Rasul-rasul itu, sedangkan para Rasul yang terdahulu itu semuanya sudah wafat? Maknanya, Nabi Muhammad SAW disuruh tanya kepada pengikut-pengikut mereka kerana ada orang Yahudi dan Nasrani di kalangan mereka.

Tanya kepada mereka, adakah Rasul-rasul mereka dulu pernah suruh kaumnya menyembah ilah selain Allah SWT? Tentu tidak pernah. Mereka tidak dapat menipu kerana kitab-kitab yang diutuskan kepada Rasul-rasul itu masih ada lagi. Boleh diperiksa jikalau mereka menipu.

Satu lagi pendapat mengatakan yang Nabi SAW disuruh tanya terus kepada Rasul-Rasul itu semasa baginda mi’raj ke langit. Bukankah Nabi Muhammad SAW telah dapat bertemu dengan Rasul-Rasul yang dahulu semasa baginda mi’raj atau, ia sebagai isyarat bahawa, kalaulah Nabi Muhammad SAW tanya mereka juga, jawapan yang sama akan diberikan – tidak langsung ada ilah lain untuk disembah. Maknanya, tidak perlu tanya sudah tahu.

أَجَعَلْنَا مِن دُونِ الرَّحْمَٰنِ ءآلِهَةً يُعْبَدُونَ

pernahkah Kami menjadikan selain dari Allah Yang Maha Pemurah, sebarang ilah untuk disembah?

Pernahkah Nabi-nabi dahulu suruh umat mereka menyembah ilah yang lain? Adakah di dalam Injil dan Taurat ada suruh? Tentu mereka menidakkannya kerana semua Rasul membawa ajaran tauhid yang sama.

Tafsir Ayat ke-46

Ini adalah jenis Dalil Naqli Tafsili kerana ada disebut nama Nabi Musa a.s. Walaupun surah ini adalah surah Makkiyyah tetapi mungkin masyarakat Mekah sudah tahu serba sedikit tentang Nabi Musa kerana mereka dulu juga ada agama. Ini kerana mereka kata mereka ikut Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail tetapi mereka tidak tahu kisah baginda secara terperinci kerana mereka cetek agama.

وَلَقَد أَرسَلنا موسىٰ بِئآيٰتِنا إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَإيهِ فَقالَ إِنّي رَسولُ رَبِّ العٰلَمينَ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami, kepada Firaun dan kaumnya, lalu dia berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِئآيٰتِنَا إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَمَلَإيهِ

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Nabi Musa dengan membawa tanda-tanda (mukjizat-mukjizat) Kami, kepada Firaun dan kaumnya,

Tanda yang dimaksudkan adalah mukjizat-mukjizat. Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat baginda bagaimana tongkat baginda menjadi ular dan apabila baginda memasukkan tangan ke ketiak baginda, tangannya itu bercahaya.

‘Firaun’ adalah nama gelaran yang diberikan kepada pemerintah Mesir sahaja, dan dikatakan yang nama Firaun semasa zaman Nabi Musa yang sebenar adalah al-Walid. Nabi Musa telah menunjukkan mukjizat-mukjizat itu kepada Firaun tersebut dan pembesar-pembesarnya, iaitu ahli kabinet beliau yang terdiri dari ahli keluarganya juga.

Walaupun disebut Musa diutuskan kepada ‘Firaun dan pembesar-pembesarnya’, ia merangkumi semua rakyat sekali kerana pengikut akan mengikut pemimpin. Pengikutnya itu semuanya taat kepada agama Firaun kerana manusia mengikut agama ketua mereka.

فَقَالَ إِنِّي رَسُولُ رَبِّ الْعٰلَمِينَ

lalu baginda berkata: “Sesungguhnya aku ini ialah Rasul dari Tuhan sekalian alam”.

Nabi Musa disuruh untuk memperkenalkan diri baginda kepada Firaun. Memang kena kenalkan kedudukan baginda. Memang dulu baginda adalah anak angkat Firaun dan duduk di istana tetapi sekarang, baginda sudah diutuskan sebagai Rasul. Status sudah berlainan maka kena kenalkan diri balik kerana sekarang Nabi Musa datang sebagai Nabi dan Rasul.

Tafsir Ayat ke-47

Selepas Nabi Musa menyampaikan dakwah kepada mereka, apa tindakan mereka?

فَلَمّا جاءَهُم بِئآيٰتِنا إِذا هُم مِّنها يَضحَكونَ

Maka apabila ia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami, mereka dengan serta-merta mencemuh dan menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.

فَلَمَّا جَاءَهُم بِئآيٰتِنَا

Maka apabila dia datang kepada mereka dengan membawa tanda-tanda kekuasaan Kami,

Nabi Musa telah datang dengan membawa mukjizat-mukjizat kepada mereka; baginda juga telah menyampaikan ajaran wahyu yang telah dipelajarinya dari bapa mertuanya, Nabi Syuaib a.s. (mengikut satu pendapat) dan wahyu yang baginda dapat terus dari Allah SWT.

Wahyu itu belum lagi Taurat kerana baginda hanya dapat Taurat apabila baginda telah menyeberang lautan selepas melarikan diri dari Firaun. Jadi ini adalah wahyu yang baginda dapat terus dari Allah.

إِذَا هُم مِّنْهَا يَضْحَكُونَ

mereka dengan serta-merta menggelakkan (apa yang dibawanya) itu.

Mereka ketawa kerana mengejek-ngejek dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa. Mereka turut mempersendakan kerana mereka degil, memperlekehkan apa yang dibawa oleh baginda, memandang rendah dan anggap remeh semua tanda-tanda itu dan wahyu-wahyu Nabi Musa.

Samalah juga seperti yang dilakukan kepada Nabi Muhammad SAW oleh Musyrikin Mekah. Perkara yang sama juga turut dilakukan kepada penyebar tauhid zaman sekarang. Mereka yang degil akan tetap tolak ajaran tauhid dan mempersendakan mereka yang membawanya.

Allahu a’lam.

Hikmah Dirahsiakan Lailatul Qadar

0

Hikmah Dirahsiakan Lailatul Qadar     

Keberadaan Lailatul Qadar dirahsiakan oleh Allah SWT dengan hikmah yang dikehendaki-Nya iaitu (boleh jadi) agar para hamba bersungguh-sungguh beribadah di setiap malam, dengan harapan agar mendapatkan Lailatul Qadar. Bagi siapa yang meyakini bahawa Lailatul Qadar ada pada malam tertentu, maka ia akan menghidupkan malam tersebut dengan ibadah. Dan bagi siapa yang ingin memastikan dirinya mendapatkan malam tersebut, hendaknya ia mencurahkan semua waktunya untuk beribadah kepada-Nya sepanjang bulan Ramadhan sebagai bentuk syukur kepada-Nya dan membenarkan janji-Nya. Insya Allah, inilah hikmah utama dirahsiakannya Lailatul Qadar. Dan inilah yang disyaratkan dalam sabda Nabi SAW:

خَرَجْتُ لِأُخْبِرَكُمْ فَتَلَاحَى فُلَانٌ وَفُلَانٌ وَإِنَّهَا رُفِعَتْ وَعَسَى أَنْ يَكُونَ خَيْرًا لَكُمْ فَالْتَمِسُوهَا فِي التَّاسِعَةِ وَالسَّابِعَةِ وَالْخَامِسَةِ

“Sesungguhnya aku telah keluar untuk memberitahu kepada kalian (waktu Lailatul Qadar itu). Tetapi (di tengah jalan) aku bertemu dengan fulan dan fulan yang sedang bertengkar, sehingga aku terlupa bilakah malam itu. Semoga ini lebih baik bagi kalian. Oleh sebab itu, carilah malam tersebut pada (malam) kesembilan, ketujuh, dan kelima (dari sepuluh hari terakhir).” (HR al-Bukhari).

Apa yang perlu dilakukan pada Lailatul Qadar

Sufyan al-Thawri: “Berdoa pada malam itu lebih aku sukai daripada solat. Sekiranya seseorang membaca al-Quran lalu berdoa dan meminta kepada Allah, mudah-mudahan ia akan mendapatkannya.”

Ibn Rajab al-Hanbali: “Maksud beliau, memperbanyak doa lebih baik berbanding solat yang tidak memperbanyakkan doa di dalamnya. Jika seseorang membaca al-Quran dan berdoa, maka amalan ini adalah sangat baik. Rasulullah bertahajud pada malam-malam Ramadan dengan membaca al-Quran. Setiap kali melalui ayat rahmat, baginda berdoa. Setiap kali melalui ayat azab, baginda meminta perlindungan. Justeru baginda menghimpun ibadah solat, membaca al-Quran, berdoa dan bertafakur. Ini adalah amalan yang terbaik dan paling sempurna pada malam-malam Ramadan dan selainnya.” (Lata’if al-Ma’arif).

Imam al-Syafii berkata: “Aku menggalakkan bersungguh-sungguh beribadah pada siang hari Lailatul Qadar sepertimana (menggalakkan bersungguh-sungguh beribadah) pada malam harinya.”

Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan memperbanyak mendoakan perkara-perkara penting bagi seluruh kaum muslimin. Ini adalah syiar kaum solihin dan hamba Allah yang ‘Arifin.” (al-Azkar).

 

Allahu a’lam.

 

 

APA AMALAN NAK BUAT 10 AKHIR RAMADHAN?

0

APA AMALAN NAK BUAT 10 AKHIR RAMADHAN?

Disebutkan di dalam sebuah hadith :-

Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain” ( Riwayat Muslim, no 1175 )

Sebuah lagi hadis menyebut :-

انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها

Ertinya : “Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)” ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره

Ertinya : ” Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

APA AMALAN YANG PERLU DILAKUKAN?

Semua jenis amalan soleh dan ikhlaskan niat sedaya mungkin, antara amalan:-

  1. Solat fardhu berjemaah setiap waktu.
  2. Solat sunat Rawatib & lain-lain solat sunat.
  3. Iktikaf di masjid bagi yang mampu.
  4. Memperbanyak tilawah Al-Quran.
  5. Memperbanyakkan Sedeqah.
  6. Membantu orang dalam melaksanakan kebaikan dan melepaskan kesukarannya.
  7. Banyakkan berdoa dan yakin akan kemaqbulannya.
  8. Basahi lidah dengan zikir yang dilafazkan, bukan sekadar dalam hati.
  9. Taati dan berkhidmat kepada ibubapa.
  10. Taati dan tambahkan khidmat kepada suami dan anak-anak.
  11. Tambah khidmat pada isteri dan anak-anak.
  12. Menjaga pandangan mata dari yang diharamkan.
  13. Hentikan mengadu domba dan mengumpat serta cerca maki.
  14. IKHLASKAN DIRI bila laksana semua di atas kerana Alah bukan manusia.
  15. Banyakkan taubat dan istighfar.
  16. Selesaikan hutang yang tertunggak.
  17. Mohon maaf atas kesalahan terhadap mangsa (jika ada) dan pulangkan wang dan harta yang diambil tanpa izin.
  18. Hidupkan akhir malam(1 jam sebelum subuh) dengan ibadah dan solat hak.
  19. dan banyak lagi.

WAKTUNYA

Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.

Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.

Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.

Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.

Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.

Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.

Hadith Nabi menyebut:-

التمسوها في العشر الأواخر من رمضان

Ertinya : ” Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.

TARIKH LAILATUL QADAR BERUBAH @ TETAP?

Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu’ 6/450).

Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu sama ada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabda Nabi SAW:-

أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر

Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir” ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)

Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamanya di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka’ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-

ليلة القدر ليلة سبع وعشرين

Ertinya : “Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )

DOA TERPENTING MALAM AL-QADAR

Allah SWT pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Antaranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-

فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ

Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia”, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat [Al-Baqarah: 200 ].

Jelas dalam ayat ini Allah SWT menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.

Lalu Allah SWT mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat dan dilebihkan ‘portion’ atau bahagian akhirat apabila di tambah “selamatkan dari api neraka”. Bererti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.

Lihat doa yang diingini Allah SWT:-

وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Ertinya : “Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: “”Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka” ( Al-Baqarah : 201 )

Di malam-malam akhir Ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah SWT. Inilah yang disebut dalam jawapan Nabi SAW kepada Aisyah r.a :-

وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني

Ertinya : “Berkatalah Aisyah, Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : ” Sebutlah doa ” Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan”

MESTI ADA TANDAKAH JIKA DAPAT?

Sabda Nabi SAW :

من يقم ليلة القدر فيوافقها..

Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya…” ( Riwayat Muslim)

Hadith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.

Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, sama ada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki dan kelebihan oleh Allah SWT untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.

Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendak-Nya.

Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?

Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :

waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.

Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah SWT dengan jelas iaitu :-

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 20/134 ).

WANITA HAID

Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah SWT Maha Adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-

1) Berzikir

2) Berdoa

3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.

4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.

Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.

Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

Sekian.

#DrZaharuddinAbdRahman

Amalan Rasulullah SAW dan para sahabat pada malam-malam akhir Ramadan

0

Ada 3 amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

Pertama : Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

Kedua : Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud : “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi mereka bersepakat bahawa Rasulullah SAW melebihkan ibadahnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

Ibadah yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ‘Ash bermaksud : “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”

Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada malam yang akhir ini sangat penting sehingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.

Baginda tidak akan melalui ayat-ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah SWT  memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat-ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah SWT daripada azab itu.

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir bulan Ramadan sehingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata : “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apalagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasullah SAW  dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Muslim, bermaksud :”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”

Ketiga : Memperbanyak doa

Rasulullah SAW bersabda doa adalah otak segala ibadah. Doa juga kunci daripada semua ibadah. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar itu adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah SWT sebagaimana doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Aishah. Doanya berbunyi : “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku).”

Pada malam itu Allah SWT akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa:-

  1. orang yang meminum arak;
  2. anak yang derhaka kepada ibu bapa;
  3. orang yang selalu bertengkar; dan
  4. mereka yang memutuskan silaturahim.

Pentingnya doa pada malam al-Qadar sehingga Syofyan al-Sauri berkata: “Doa lebih aku sukai pada malam itu daripada solat.”

Demikianlah amalan sebaiknya dilakukan pada malam itu.

Semoga kita termasuk orang yang mendapat keberkatan malam itu hingga selepas Ramadan, seakan-akan anak yang baru lahir dari rahim ibunya, bersih daripada segala dosa.

Allahu a’lam.

Tafsir Surah Az-Zukhruf – Tafsir Ayat Ke-38 hingga Ke-42

0

Tafsir Surah Az-Zukhruf

Tafsir Ayat Ke-38

Sebelum ini telah disebut mereka yang telah dihadiahkan dengan qarin yang membisikkan perkara buruk tentang agama, mengajak membuat keburukan dan sebagainya.

Tafsir Ayat ke-38

Mereka hanya sedar apabila berada di akhirat kelak dan apabila dimasukkan ke dalam neraka. Itulah bahayanya.

حَتّىٰ إِذا جاءَنا قالَ يٰلَيتَ بَيني وَبَينَكَ بُعدَ المَشرِقَينِ فَبِئسَ القَرينُ

Sehingga apabila ia (yang terjerumus dalam kesesatan itu) datang kepada Kami (pada hari kiamat), berkatalah ia (kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya (kalau di dunia dahulu ada sekatan yang memisahkan) antaraku denganmu sejauh timur dengan barat! Kerana (engkau) adalah sejahat-jahat teman”.

حَتَّىٰ إِذَا جَاءَنَا

Sehingga apabila dia datang kepada Kami

Ia datang kepada Allah SWT pada Hari Kiamat, sama ada Hari Kiamat yang besar, atau Kiamat Kecil kepada setiap manusia, iaitu mati. Setiap manusia akan datang bertemu Allah SWT. Mereka datang bersama dengan qarin-qarin mereka. Waktu itu baru menyesal yang amat sangat.

قَالَ يٰلَيْتَ بَيْنِي وَبَيْنَكَ بُعْدَ الْمَشْرِقَيْنِ

berkatalah dia (kepada Syaitannya): “Alangkah baiknya antaraku denganmu sejauh dua timur!

Mereka melafazkan kata-kata ini dengan rasa yang amat sesal dan amat marah. Mereka harap supaya antara mereka dan qarinnya itu amat jauh sekali. Selalunya kalau dengan kawan rapat kita, kita hendak selalu duduk rapat dengan mereka, bukan?

Namun dengan qarinnya yang menyesatkannya itu, dia berharap kalaulah di dunia dahulu mereka amat jauh dan di akhirat kelak juga, mereka hendak jauh dari qarin mereka itu. Itulah bahayanya kalau kita salah berkawan. Walaupun kita orang baik, tetapi kalau silap pilih kawan, kita akan terikut-ikut dengan perangai buruknya. Oleh itu, pandai-pandailah pilih kawan rapat kita.

Kenapa digunakan perkataan ‘dua timur’? Kita tahu matahari naik dari arah timur. Namun, tempat naiknya itu tidak sama sepanjang tahun. Ia berubah-ubah dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Maksudnya, yang dimaksudkan antara ‘dua timur’ itu adalah jarak terjauh antara tempat naik matahari itu. Maknanya, sejauh yang mungkin. Begitulah perasaan mereka yang telah ditipu dengan qarinnya yang jahat itu.

فَبِئْسَ الْقَرِينُ

sejahat-jahat teman

Memang mereka itu adalah sejahat-jahat dan seburuk-buruk teman. Mereka menyesatkan manusia dari jalan yang benar. Ini memang jenis kawan yang tidak berguna langsung. Ini adalah kata-kata penyesalan yang disebut oleh mereka yang ingkar untuk belajar Tafsir al-Quran sehinggakan tidak mengendahkan apakah yang diajar dalam al-Quran. Mereka akan kata begini di Mahsyar nanti. Mereka sendiri akan laknat syaitan mereka itu waktu itu.

Semoga kita tidaklah tergolong antara mereka itu. Maka kenalah cari kelas pengajian tafsir al-Quran sebelum terlambat.

Tafsir Ayat ke-39

Lalu dikatakan kepada mereka sebagai jawapan kepada harapan mereka itu

وَلَن يَنفَعَكُمُ اليَومَ إِذ ظَّلَمتُم أَنَّكُم فِي العَذابِ مُشتَرِكونَ

(Lalu dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini, setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, (maka apa yang kamu cita-citakan itu) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab”.

وَلَن يَنفَعَكُمُ الْيَوْمَ إِذ ظَّلَمْتُمْ

“Pada hari ini, tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu, jika kamu menzalimi diri kamu sendiri.

Sebelum ini, telah disebut bagaimana mereka yang ditipu berharap semoga mereka dijauhkan dari qarin mereka yang telah menyesatkan mereka. Allah SWT beritahu dalam ayat ini, kalau mereka dijauhkan di akhirat kelak, ia tidak akan memberi manfaat dan faedah kepada mereka. Ini kerana mereka dua-dua akan masuk neraka bersama-sama. Sesalan dan laknat mereka kepada syaitan mereka itu sudah tidak berguna waktu itu. Sudah terlambat.

‘Menzalimi diri sendiri’ bermaksud melakukan syirik kepada Allah SWT. Sepatutnya kita hanya buat ibadat dan doa kepada Allah SWT sahaja tetapi kita ibadat dan berdoa juga kepada selain Allah SWT.

أَنَّكُمْ فِي الْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ

kerana sesungguhnya kamu dan teman-teman kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab”.

Maksudnya, mereka yang melakukan syirik dan bersama-sama syaitan dan juga guru-guru yang sesat yang mengajar mereka amalan sesat itu akan bersama-sama menerima azab di dalam neraka. Bagi yang mengajar dan yang diajar akan sama-sama masuk neraka. Tidaklah mereka boleh menolong mereka yang lain.

Mereka bersama semasa di dunia, melakukan kesalahan, dan di akhirat nanti mereka juga akan bersama menerima azab.

Tafsir Ayat ke-40

Ayat Zajrun (teguran keras)

أَفَأَنتَ تُسمِعُ الصُّمَّ أَو تَهدِي العُميَ وَمَن كانَ في ضَلٰلٍ مُّبينٍ

Maka (mengapa engkau berdukacita wahai Muhammad) adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak mendengar, atau menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta (mata hatinya), dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?

أَفَأَنتَ تُسْمِعُ الصُّمَّ

Adakah engkau berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak mendengar,

Selepas sudah belajar tafsir al-Quran, seseorang itu akan kasihan kepada orang lain yang masih tidak tahu tentang al-Quran ini. Termasuklah juga Nabi Muhammad SAW, orang yang pertama sekali menerima wahyu al-Quran.

Baginda tidak buang masa untuk beritahu umat baginda tentang al-Quran dan tauhid kepada manusia tetapi ramai manusia yang tolak baginda. Bayangkan, manusia sehebat Nabi Muhammad SAW juga ada orang tolak, apatah lagi kita? Maka Nabi SAW bersedih kerana kaum kerabat baginda turut tolak baginda.

Malah yang paling kuat menentang baginda SAW adalah keluarga baginda sendiri. Sampaikan Abu Lahab itu ikut belakang baginda SAW semasa baginda dakwah dan melarang orang lain dari dengar bacaan al-Quran dari baginda SAW.

Mereka beritahu kepada orang luar yang Nabi Muhammad SAW itu adalah gila dan bahawa mereka itu ahli keluarga Muhammad SAW itu (jadi mereka tentu kenal baginda). Maka orang hendak dengar baginda menjadi susah hendak dengar kerana keluarga baginda sendiri pun tolak. Maka kalau keluarga kita sendiri tolak kita, ia perkara biasa sahaja.

Oleh itu, dalam ayat ini, Nabi Muhammad SAW ditanya: adakah baginda SAW boleh memperdengarkan orang yang pekak? Orang yang pekak dalam ayat ini adalah mereka yang tidak mahu belajar Tafsir al-Quran.

Mereka diibaratkan sebagai orang yang pekak kerana qarin-qarin dari kalangan syaitan itu tidak beri mereka berada di atas jalan yang benar, tidak beri manusia mendengar ajaran-ajaran al-Quran. Oleh kerana itu kalau kita beritahu kepada mereka tentang kebenaran, mereka tidak mahu dengar. Mereka tidak faham apa yang kita sampaikan kepada mereka.

Mereka dengar, tetapi tidak faham. Mereka ini adalah golongan yang sudah ditutup pintu hati mereka dari terima kebenaran lagi – kufur ‘Peringkat Empat’ (Khatmul Qalbi).

Maka, janganlah kita patah hati kalau orang yang kita dakwahkan tidak menerima apa yang kita beritahu kepada mereka. Mereka tidak terima kerana memang mereka pekak! Mereka pekak kerana Allah SWT telah tutup pintu hati mereka.

أَوْ تَهْدِي الْعُمْيَ

atau menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta

Bayangkan kalau seorang yang buta datang kepada kita dan minta kita tunjukkan jalan kepada mereka. Kalau kita tunjukkan jalan kepada mereka, masih mereka tidak nampak, bukan?

Begitulah juga dengan mereka yang buta mata hatinya dari al-Quran. Kalau kita tunjukkan kebenaran kepada mereka, mereka tidak boleh hendak nampak. Kita menjadi hairan kenapa mereka tidak dapat faham. Itu adalah kerana mereka telah dibutakan oleh qarin-qarin mereka.

وَمَن كَانَ فِي ضَلٰلٍ مُّبِينٍ

dan juga orang-orang yang berada dalam kesesatan yang nyata?

Allah SWT memberitahu kepada Nabi Muhammad SAW dan kita juga, bahawa kita tidak akan dapat memberi hidayah kepada mereka yang berada atas kesesatan yang nyata itu.Inilah bahayanya kalau mereka sudah diberikan dengan qarin-qarin itu.

Namun, walaupun begitu kita tetap kena sampaikan juga al-Quran ini kepada orang lain kerana kita tidak tahu siapakah yang telah ditutup pintu hati itu. Jangan kita pula memandai buat keputusan dan hukum yang seseorang itu telah ditutup pintu hatinya.

Untuk menyelesaikan masalah mereka itu, kena heret juga mereka untuk belajar tafsir al-Quran supaya mereka dapat faham dan qarin-qarin itu akan pergi dengan sendiri. Tidak perlu hendak buat majlis buang qarin, buang saka dan sebagainya, mereka akan pergi dengan sendiri.

Tafsir Ayat ke-41

Ayat Takhwif Duniawi.

Ayat sebelum ini adalah tentang mereka yang tidak mempedulikan ayat-ayat al-Quran, tidak mahu belajar Tafsir al-Quran. Jadi, apakah sambungan firman Allah SWT tentang mereka?

فَإِمّا نَذهَبَنَّ بِكَ فَإِنّا مِنهُم مُّنتَقِمونَ

Oleh itu (bertenanglah engkau, kerana) kalaulah Kami wafatkan engkau (sebelum Kami perlihatkan kepadamu azab yang akan menimpa mereka), maka sesungguhnya Kami tetap menyeksa mereka.

فَإِمَّا نَذْهَبَنَّ بِكَ

Kalaulah Kami ambil engkau

Perkataan نَذْهَبَنَّ dari kata dasar ذ ه ب yang bermaksud ‘pergi’, ‘bawa’, ‘ambil’. Maksudnya dalam ayat ini adalah ‘wafat’kan – iaitu diambil nyawa Nabi Muhammad SAW.

Maksudnya, jikalau Allah SWT wafatkan baginda sebelum Allah SWT perlihatkan kepada baginda SAW dengan azab yang akan menimpa mereka yang tidak mahu mempelajari dan berpegang dengan al-Quran, tidak menghiraukan al-Quran.

Ini kerana ayat sebelum ini tentang mereka yang tidak mahu belajar tafsir al-Quran kerana Nabi Muhammad SAW tetap akan mati apabila sudah sampai masanya. Mungkin baginda tidak dapat melihat kesudahan mereka yang menolak untuk menerima wahyu al-Quran.

Kalimah نَذْهَبَنَّ juga boleh bermaksud, kalau Allah SWT ‘bawa’ keluar dari Nabi Muhammad SAW dari Mekah. Apa akan jadi kalau Allah SWT pindahkan baginda dari Mekah? Tidakkah rugi penduduk Mekah itu? Tidakkah bahaya untuk mereka?

فَإِنَّا مِنْهُم مُّنتَقِمُونَ

maka sesungguhnya Kami tetap menyeksakan mereka.

Apakah balasan kepada mereka yang tidak menghiraukan ayat-ayat al-Quran? Balasan kepada mereka adalah azab. Walaupun mungkin Nabi tidak nampak azab yang dikenakan kepada mereka, tetapi Allah SWT hendak beritahu kepada baginda, mereka tetap juga akan dikenakan dengan azab itu. Jangan risau tentang perkara itu. Apabila Allah SWT kata ‘tetap’, ia pasti akan berlaku.

Maksud kedua, kalau Allah SWT membawakan Nabi Muhammad SAW keluar dari Mekah, tentu mereka akan dikenakan dengan azab yang akan menghancurkan mereka. Mereka tidak kena azab waktu itu adalah kerana Nabi SAW ada bersama mereka. Kalaulah Nabi SAW sudah tiada di situ lagi, tentu mereka sudah kena azab kerana kesyirikan yang mereka telah lakukan.

Dalam sejarah para Rasul, kita boleh melihat bagaimana bila seseorang Rasul itu disuruh pergi meninggalkan kaumnya, maka itu tanda bahawa mereka akan dikenakan dengan azab. Maka bahaya kalau Nabi sudah tinggalkan mereka dan pergi ke tempat lain. Mereka sahaja yang tidak faham.

Tafsir Ayat ke-42

أَو نُرِيَنَّكَ الَّذي وَعَدنٰهُم فَإِنّا عَلَيهِم مُّقتَدِرونَ

Atau sekiranya Kami (hendak) memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka (dari azab seksa itu), maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.

أَوْ نُرِيَنَّكَ الَّذِي وَعَدْنٰهُمْ

Atau sekiranya Kami memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka

Atau mungkin sahaja Allah SWT tunjukkan kepada baginda, bagaimana mereka dikenakan dengan azab seksa itu yang telah dijanjikan kepada mereka. Mereka telah dijanjikan dengan ancaman azab jikalau tidak menghiraukan al-Quran. Mereka boleh dikenakan azab itu di hadapan mata Nabi Muhammad SAW.

Memang ada balasan yang memang Nabi SAW nampak sendiri, seperti kejadian Perang Badar dan Uhud. Peperangan itu adalah cara bagaimana Allah SWT tunjukkan azab yang dikenakan kepada penentang baginda SAW. Oleh kerana itulah dalam Perang Badr, yang kena bunuh adalah pemuka-pemuka Quraish dan penentang baginda SAW yang paling kuat.

فَإِنَّا عَلَيْهِم مُّقْتَدِرُونَ

maka Kami tetap berkuasa terhadap mereka.

Allah SWT berkuasa untuk memberi azab kepada mereka. Allah Maha Berkuasa dalam segala-gala hal. Allah Maha Berkuasa ke atas mereka dan Allah SWT boleh beri azab kepada mereka bila-bila masa jua.

Allah SWT boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki ke atas mereka. Ikut Allah lah sama ada Dia hendak mengazab mereka depan mata Nabi atau tidak, di dunia atau di akhirat sahaja. Ini kerana ada kemungkinan Allah SWT tidak azab mereka di dunia, tetapi diazab di akhirat kelak.

Allahu a’lam.

Popular

Iklan

Iklan