Utama Bilik (01) Fiqh As Sunnah Kadar Zakat Fitrah

Kadar Zakat Fitrah

19
0

Kadar zakat fitrah.

كنا نُخرِجُ زكاةَ الفِطرِ، صاعًا من طعامٍ، أو صاعًا من شعيرٍ، أو صاعًا من تمرٍ، أو صاعًا من أقِطٍ، أو صاعًا من زبيبٍ .

الراوي : أبو سعيد الخدري | المحدث : البخاري | المصدر : صحيح البخاري

الصفحة أو الرقم: 1506 | خلاصة حكم المحدث : [صحيح]

“Kami mengeluarkan zakat fitrah 1 sha` makanan; 1 sha` gandum, atau 1 sha` tamar, atau 1 sha` keju, atau 1 sha` kismis.” – Shahih Al-Bukhari, no. 1506.

= = = = = = = = =

Penjelasan:

1. Kadar zakat fitrah adalah 1 sha` makanan asasi. Sha` (الصاع) bukanlah dalam unit timbangan, tetapi unit pengukuran yang digunakan oleh penduduk Madinah.

2. 1 sha` bersamaan dengan 4 mud. 1 mud (المد) pula bersamaan dengan cakupan penuh dua tapak tangan (ukuran sederhana) yang dirapatkan. Ini bererti 1 sha` bersamaan dengan 4 cakupan penuh dua tapak tangan yang dirapatkan.

3. Menurut Lajnah Ad-Da’imah, 1 sha` berat atau gandum, apabila ditukar ke unit kilogram, bersamaan dengan 3 kg.

4. Para `ulama’ berbeza pendapat tentang menunaikan zakat fitrah dengan wang:

(a) Sebahagiannya mengatakan zakat fitrah hendaklah ditunaikan dalam bentuk makanan:

(i) Inilah hukum asal dalam menunaikan zakat fitrah.

(ii) Di zaman Nabi ﷺ telah wujud dinar dan dirham, namun baginda tidak memerintahkan supaya zakat dikeluarkan dalam bentuk wang, begitu juga dengan para sahabat lain.

(iii) Harga setiap sha` makanan yang disebutkan adalah berbeza-beza (harga 1 sha` gandum berbeza dengan harga 1 sha` tamar, berbeza juga dengan harga 1 sha` keju dan 1 sha` kismis), lalu harga yang manakah yang seharusnya dijadikan acuan untuk menentukan nilai wang yang perlu dikeluarkan?

(b) Namun, sebahagian yang lain membolehkan zakat fitrah dibayar dalam bentuk wang:

(i) Terdapat beberapa orang `ulama’ daripada generasi salaf yang berpendapat sedemikian, antaranya: `Umar bin `Abd Al-`Aziz, Al-Hasan Al-Bashri, `Atha’, Ats-Tsauri, dan Abu Hanifah.

(ii) Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa pada zaman Rasulullah ﷺ tidak semua orang memiliki dinar atau dirham, bahkan lebih mudah bagi mereka untuk mengeluarkan zakat dalam bentuk makanan asasi. Berbeza pula dengan keperluan umat masa kini, pemberian zakat dalam bentuk wang benar-benar memberikan maslahah kepada penerima zakat.

#FiqhRamadhan

Komen dan Soalan