Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-186 hingga Ke-189

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-186 hingga Ke-189

336
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-186

Ayat ini mengenai infaq. Sebelum mati, manusia akan diuji.

لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلْكِتَٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).

لَتُبْلَوُنَّ فِي أَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu.

Apabila sudah membuat keputusan untuk mengamalkan agama seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ, manusia pasti akan diuji dengan kekurangan harta benda – أَمْوَالِ. Lafaz لَتُبْلَوُنَّ bermaksud ujian dalam isim mubalaghah. Maknanya akan sentiasa diuji dan diuji dengan kuat.

Kita juga akan diuji pada kekurangan pada tubuh badan أَنفُسِ. Sama ada sakit, susah, mati dan sebagainya. Juga kita akan diuji dengan harta benda. Kadangkala untuk berdakwah agak susah kerana ia melibatkan kos yang banyak dan kalau kita tegur orang yang kita ada urusan ekonomi dengannya, mungkin kita disusahkan kerana hal itu.

Bagi mereka yang mengajar pula, takut untuk menyuarakan kebenaran kerana bimbang nanti sudah tidak dijemput untuk mengajar lagi. Bila tidak dijemput, satu sumber pendapatan sudah terganggu, bukan? Maka, kerana itu ramai yang menutup mulut sahaja dan tidak menegur kesalahan masyarakat di depan mata.

وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلْكِتَٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا أَذًى كَثِيرًا

Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati.

Ini adalah tasliah (ayat pujukan) kepada orang mukmin. Ahli Kitab yang dimaksudkan tentunya daripada golongan Yahudi dan Nasara. Kamu akan dengar dengan banyak kerana lafaz لَتَسْمَعُنَّ adalah dalam isim mubalaghah.

Musyrikin yang tidak ada kitab pun akan berkata kepada umat Islam dengan perkataan-perkataan yang akan menyakitkan hati. Banyak sungguh tuduhan dan tohmahan daripada mereka dan ia tidak akan putus.

Namun Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz أَذًى bermaksud kata-kata itu tidak mencederakan kita tetapi ia boleh menyakitkan hati kita. Sekarang pun masih ada lagi. Tambahan lagi dalam dunia yang penuh dengan media massa di mana-mana, maka amat senang sekali untuk mereka menyampaikan tohmahan mereka. Kalau telinga jenis nipis, memang tidak akan tahan dikeronyok oleh golongan yang jahil (namun pedas mulutnya).

وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah daripada perkara-perkara yang dikehendaki untuk diambil berat

Allah ‎ﷻ mengajar kita supaya jangan layan mereka dan berikan perhatian kepada tulisan-tulisan dan video yang mereka buat itu tetapi sebaliknya hendaklah kita terus bersabar dan bertaqwa serta meneruskan dakwah dan menegur kesalahan dalam masyarakat.

Orang Islam sekarang memang ramai yang tidak sabar. Ada orang buat kartun sahaja, sudah kecoh satu dunia. Melenting sampai menyebabkan kita sendiri yang naik malu. Orang kafir bagaikan sudah tahu perangai kita. Maka, ada yang sengaja hendak melihat kita melatah dan memperkatakan sesuatu yang akan menjentik hati umat Islam. Kemudian mereka duduk menunggu melihat umat Islam satu dunia kepanasan dan mula merepek-repek satu dunia.

Malangnya, yang membuat perkara memalukan itu hanya segelintir sahaja, namun nama Islam secara keseluruhan yang akan terpalit.

Sabar dan Taqwa. Inilah dua prinsip agama yang kita kena pegang sungguh-sungguh. Tugas kita adalah sabar. Sabar dalam menyempurnakan taat kepada Allah ‎ﷻ dan terus taat menjaga hukum – itulah maksud taqwa. Yang pertama kenalah menjaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ dan jangan sesekali derhaka kepada-Nya.

Dua sifat inilah yang sangat diutamakan dalam agama. Kalau dapat dijaga dua perkara ini, seorang mukmin akan berjaya. Kita semua tahu ia bukanlah perkara senang. Kita senanglah sebut di sini, namun belum tentu lagi kita mampu betul-betul melaksanakannya.

Tafsir Ayat Ke-187

Ayat ini adalah teguran kepada golongan Ahli Kitab. Mereka telah sesat daripada agama asal mereka. Namun kalaulah mereka membaca kitab mereka dengan betul, mereka akan menjumpai arahan untuk mempercayai Nabi akhir zaman.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَٰقَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلْكِتَٰبَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُ فَنَبَذُوهُ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ وَاشْتَرَوْا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka membuangnya ke belakang mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran (Kalamullah dan janji-Nya) itu.

وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَٰقَ الَّذِينَ أُوتُوا ٱلْكِتَٰبَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab

Allah ‎ﷻ beritahu dan mengingatkan kita bahawa ada perjanjian antara Allah ‎ﷻ dan Bani Israel itu. Mereka yang daripada golongan Ahli Kitab itu juga sedang membaca Al-Qur’an, maka mereka pun diingatkan semula dengan perjanjian mereka.

لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ

Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia,

Semasa mereka diberikan dengan Kitab Suci daripada Allah ‎ﷻ itu, sama ada Taurat atau Injil, mereka telah diarahkan untuk menjelaskan kepada manusia isi kandungan kitab itu. Antaranya di dalam Kitab Suci itu ada arahan untuk mengikut Nabi akhir zaman, barulah akan selamat dunia akhirat. Maknanya, mereka kena beritahu perkara itu kepada umat manusia.

Janganlah pula kita sangka ayat ini untuk golongan Ahli Kitab sahaja. Ia juga ditujukan sebagai peringatan kepada kita. Kita orang Islam pun kena menyampaikan dan mengajar Al-Qur’an kepada orang lain. Namun secara realitinya, jarang kita lihat ada pengajian Tafsir Al-Qur’an di negara ini. Hanya segelintir sahaja yang belajar tafsir.

Yang banyak hanya membaca sahaja. Ramai yang hari-hari membaca Al-Qur’an, namun sayangnya tidak memahami apa yang mereka baca. Padahal, kita kena faham apa yang kita baca, amalkan dan kemudian sebarkan dan ajar orang lain pula. Sekurang-kurangnya kepada anak isteri kita. Namun kalau kita sendiri tidak belajar, bagaimana kita hendak mengajar? Diri sendiri pun tidak lepas, bagaimana hendak ajar orang lain pula?

وَلَا تَكْتُمُونَهُ

dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya

Bukan sahaja disuruh sampaikan, tetapi ditambah lagi dengan larangan untuk menyembunyikan. Sepatutnya kalau sudah disuruh ‘sampaikan’, bermaksud secara automatik, tentulah tidak disembunyikan, bukan? Namun Allah ‎ﷻ tidak mahu ada yang keliru, ditambah lagi dengan penekanan supaya jangan ‘sembunyikan’. Maksudnya, ini adalah perkara yang amat penting sampai diberitahu dengan cara begini.

Oleh itu, kita juga diingatkan supaya jangan menyembunyikan ayat Al-Qur’an dan pengajaran di dalamnya. Malangnya, Ustaz-ustaz kita pun ada membuat juga kesalahan ini. Mereka tidak mengajar ayat-ayat Al-Qur’an dan tafsirnya, tetapi mereka akan ajar pendapat manusia yang ada dalam kitab yang berbagai-bagai.

Mereka tidak merujuk pun apa yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an. Sama ada mereka sendiri tolak, atau mereka sendiri tidak belajar dan tidak tahu. Ramai yang telah diberitahu bahawa apa yang mereka lakukan itu salah, tetapi mereka buat tidak endah sahaja, maka itu bermaksud mereka ‘tolak’.

Ada juga yang tidak tahu langsung bahawa apa yang mereka lakukan itu salah, kerana mereka sendiri tidak belajar, maka mereka itu ‘jahil’. Seperti yang telah disebut tadi, pengajaran tafsir Al-Qur’an memang jarang ada semenjak dahulu lagi. Malangnya masyarakat kita, orang jahil yang banyak mengajar mereka. Kalau tidak percaya, tanyalah ustaz-ustaz yang mengajar antum semua, adakah ustaz-ustaz antum itu sudah habis belajar tafsir 30 juzuk?

فَنَبَذُوهُ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ

Kemudian mereka membuangnya ke belakang mereka,

Mereka membuang ajaran dalam Kitab suci mereka itu. Dalam ayat ini dikatakan mereka ‘buang’. Ini adalah bahasa kiasan, bukannya mereka ambil dan buang kitab-kitab mereka itu. Maksudnya, mereka buat tidak endah arahan Allah ‎ﷻ. Mereka tidak menggunakan ajaran yang ada dalam kitab mereka itu. Mereka sebaliknya menggunakan kata-kata atau tulisan ulama’/pendita/rahib mereka, walaupun ia berlawanan dengan Taurat atau Injil.

Begitu juga dengan masyarakat kita, termasuk guru agama yang mengajar tanpa mengikut ajaran Al-Qur’an dan Sunnah. Mereka mengajar tanpa menggunakan ayat Al-Qur’an dan dalil daripada nas yang sahih, tetapi mereka menggunakan pendapat manusia iaitu pendapat yang dikeluarkan dalam kitab yang berbagai-bagai.

Kalau sudah menggunakan pendapat manusia serta ajaran dalam kitab sahaja (tanpa merujuk wahyu), maka akan ada sahaja pendapat yang membolehkan sesuatu perkara. Katakan apa sahaja – kalau hendak cari hujah tawassul, akan ada sahaja kitab yang kata boleh. Bagaimana dengan amalan bid’ah? Akan ada sahaja kitab yang mengatakan segala amalan itu adalah ‘Bidaah Hasanah’ dan banyak lagi. Maknanya mereka menolak Al-Qur’an dan Sunnah, dan mereka menggunakan pendapat manusia.

وَاشْتَرَوْا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit.

Dengan menyembunyikan isi-kandungan Kitab Suci dan menukarkan dengan yang lain, mereka akan mendapat upah atau habuan keduniaan. Mungkin mereka juga mendapat kedudukan yang tinggi dalam masyarakat dan sebagainya. Namun Allah ‎ﷻ kata yang itu semua adalah upah yang sedikit. Mereka mahu kehidupan yang senang dan terjamin dengan tidak mengajar isi Kitab. Oleh kerana itu mereka tolak kitab ke tepi.

Bagaimana mereka dapat upah itu? Mereka akan ikut sahaja apa kehendak masyarakat. Kalau masyarakat hendakkan fatwa atau hukum yang menyebelahi kehendak mereka, maka pendita atau rahib itu akan memberi fatwa yang membenarkan. Pendita atau rahib yang sebegini akan diberi upah atau habuan daripada masyarakat.

Bagaimana pula dengan orang kita? Ustaz-ustaz yang tidak menyampaikan ajaran daripada Al-Qur’an dan memberikan pendapat yang berlainan dengan kehendak Allah ‎ﷻ, seperti yang tertakluk dalam Al-Qur’an, akan dipanggil untuk mengajar. Apabila mengajar, mereka diberi upah, disanjung tinggi, diberi penghormatan dan lain-lain ‘faedah’ lagi dalam masyarakat. Inilah ustaz-ustaz ‘Sampul Putih’. Setelah habis mengajar, mereka diberikan sampul putih yang berisi imbuhan duit.

فَبِئْسَ مَا يَشْتَرُونَ

Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati daripada penukaran itu.

Apa sahaja habuan keduniaan yang mereka dapat itu adalah buruk sekali. Tidak berbaloi langsung kalau dibandingkan dengan azab yang mereka akan dapat di akhirat kelak.

Tafsir Ayat Ke-188

Sebenarnya, golongan Ahli Kitab berbangga dengan kesalahan yang mereka lakukan. Berbangga dengan kesalahan mereka menyembunyikan berita tentang kebenaran Islam dan kedatangan Nabi Muhammad ﷺ dan lain-lain yang memang terdapat dalam kitab mereka.

Dalam masa yang sama, mereka suka pula dipuji atas benda yang mereka tidak buat. Maksudnya, mereka sepatutnya menyebarkan ilmu kepada manusia, tetapi mereka tidak buat. Mereka cuma berbangga dengan kedudukan mereka dipandang sebagai orang yang ada ilmu. Sebab itu kalau dikatakan kepada mereka yang mereka itu ahli ilmu, Ahli Kitab, mereka suka benar.

Mereka suka dipanggil ahli ilmu, namun sebenarnya mereka menyembunyikan ilmu yang patut mereka sebarkan. Oleh itu, kalau kita berbangga orang panggil kita ulama’, panggil kita ‘ustaz’, tetapi kita tidak menyebarkan dan mengajarkan ilmu agama kepada manusia, itu adalah perangai orang Yahudi.

لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan – jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

لَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَفْرَحُونَ بِمَا أَتَوا

Jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan,

Apakah perlakuan jahat mereka itu? Amalan jahat mereka itu adalah menyembunyikan isi kitab mereka. Mereka merrasakan ilmu yang mereka ada itu hanya layak kepada bangsa mereka sahaja dan tidak layak kepada bangsa lain. Atau, mereka simpan dalam kalangan agamawan mereka sahaja, tanpa disebarkan kepada masyarakat awam.

وَّيُحِبُّونَ أَن يُحْمَدُوا بِمَا لَمْ يَفْعَلُوا

dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan

Perbuatan yang mereka tidak lakukan itu adalah mengajar kitab ajaran wahyu. Mereka tidak mengajar, malah mereka sembunyikan daripada masyarakat. Mereka suka dipanggil Ahli Kitab sebab mereka rasa mereka dipuji sebagai orang yang mahir tentang kitab. Sedangkan sepatutnya mereka sebarkan kitab itu.

Satu pengajaran yang kita boleh ambil juga daripada ayat ini adalah kita sudah tahu yang manusia memang suka dipuji namun kita kena berhati-hati. Pujian yang berlebihan boleh merosakkan orang. Bayangkan seorang penceramah yang dipuji melambung-lambung. Masalahnya, apabila selalu dipuji, manusia akan merasakan yang mereka sudah hebat, sudah tidak berbuat salah dan ini satu perasaan yang bahaya kalau ada pada orang yang berilmu.

Kita yang memuji pun akan merasakan seolah-olah mereka tidak membuat salah langsung. Kita memandang terlalu tinggi kepada mereka. Ini juga bahaya. Sepatutnya kita doakan sahaja kerana kebaikan yang mereka lakukan iaitu kalau kita lihat seseorang yang hebat, dan kita rasa yang dia telah melakukan sesuatu yang baik, maka kita doakan supaya Allah ‎ﷻ memberikan keberkatan kepadanya, dan juga supaya Allah ‎ﷻ menetapkan dia berada di atas jalan yang benar.

فَلَا تَحْسَبَنَّهُم بِمَفَازَةٍ مِّنَ الْعَذَابِ

jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat daripada seksa,

Jangan kamu sangka mereka akan selamat daripada azab. Lafaz مَفَازَةٍ adalah ‘pelepasan’ – lepas daripada azab. Kita sudah jelaskan maksud فَازَ sebelum ini. Maknanya puak Yahudi dan mereka yang berperangai seperti yang disebut dalam ayat ini, tidak akan terlepas daripada azab.

وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

Malah, mereka akan mendapat azab yang teruk yang tidak berkurangan sedikit pun. Mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya.

Tafsir Ayat Ke-189

Ini adalah ayat jenis i’adah (kembali) kepada tajuk tauhid iaitu kembali kepada kesimpulan surah ini. Inilah perkara yang paling penting, dan kerana itu Al-Qur’an akan selalu kembali kepada topik ini. Memang Al-Qur’an selalu menyebut tentang tauhid maka, oleh sebab itulah kita kena mahir bab tauhid ini.

Oleh itu, tidak ada alasan untuk kita kata tidak tahu, kerana Allah ‎ﷻ telah banyak kali mengulang dan mengingatkan di dalam Al-Qur’an. Kalau kita tidak tahu, ini adalah kerana jahil tidak belajar sahaja dan alasan ini tidak diterima. Ini kerana Allah ‎ﷻ telah memberikan nyawa yang panjang kepada kita. Takkan Al-Qur’an yang 30 juzuk sahaja ini tidak dapat habis belajar?

وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَالْأَرْضِ

Dan kepunyaan Allah jualah langit dan bumi,

Alam ini Allah ‎ﷻ yang punya. Oleh kerana itu Dia sahaja yang wajib dipuja dan disembah. Tidak boleh sembah yang lain selain Allah ‎ﷻ. Kenapa hendak sembah dan beribadat kepada selain daripada Allah ‎ﷻ sedangkan mereka tidak mempunyai kekuasaan di langit dan di bumi? Memang tidak patut kalau sembah dan puja yang tidak mempunyai apa-apa.

وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Oleh kerana kekuasaan dan kepunyaan alam ini adalah hak-Nya semata-mata, maka Dia boleh membuat apa sahaja yang Dia kehendaki. Kita tidak boleh persoalkan apa sahaja yang Allah ‎ﷻ lakukan kerana alam ini (termasuk kita juga) adalah milik-Nya. Sebagaimana kita juga, jika kita mempunyai harta, maka kita berhak untuk berbuat apa sahaja dengan harta kita itu, bukan?

Allah ‎ﷻ memuji Diri-Nya dalam ayat ini. Ayat sebelum ini tentang pujian, bukan? Telah diberi contoh bagaimana puak Yahudi suka dipuji. Oleh itu, Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini, kalau nak puji, pujilah Allah ‎ﷻ banyak-banyak kerana Dia yang paling layak dipuji.

Ini juga mengingatkan kita tentang hakikah pujian. Cuba fikirkan: Siapalah kita yang suka dipuji? Kita tidak ada apa-apa. Apa sahaja kelebihan yang kita ada, semua datang daripada Allah ‎ﷻ, bukan? Maka kalau kita berharap orang puji kita, maka ada masalah dengan hati kita sebenarnya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan