Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-93 hingga Ke-95

Tafsir Surah Ali-Imran: Tafsir Ayat Ke-93 hingga Ke-95

603
0
Iklan

Tafsir Surah Ali-Imran

Tafsir Ayat Ke-93

Ayat ini adalah tentang kesamaran Ahli Kitab tentang halal dan haram daging unta. Mereka keliru tentang agama dan tentang penetapan hukum. Maka disentuh di dalam ayat ini.

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِي إِسرٰءِيلَ إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرٰءيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِ مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّورَٮٰةُ‌ۗ قُلْ فَأْتُوا بِٱلتَّورَٮٰةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israel, kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika ada makanan yang diharamkan kepada kamu – wahai Bani Israel – sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

كُلُّ الطَّعَامِ كَانَ حِلًّا لِّبَنِي إِسْرٰءيلَ

Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israel,

Sebenarnya, semua adalah halal termasuk unta. Perkataan كُلُّ itu, bukanlah bermaksud semua sekali. Perumpamaan seorang  suami yang berkata kepada isterinya: “Aku dah beri semuanya kepada kamu, apa lagi yang kamu hendak?”

Tentulah suami itu tidak beri semua, bukan? Banyak lagi yang dia belum bagi, mungkin rumah, kereta, mahligai, tanah, bulan, bintang dan sebagainya. Oleh itu, maksud كُلُّ itu maknanya banyak makanan yang halal kepada mereka.

إِلَّا مَا حَرَّمَ إِسْرٰءيلُ عَلَىٰ نَفْسِهِ

kecuali makanan yang diharamkan oleh Israel (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri

Ini dikecualikan kepada Nabi Yaakub عليه السلام ke atas dirinya sendiri kerana sebab-sebab rawatan atau ada yang kata, baginda tidak suka makan daging unta. Bukannya baginda haramkan, cuma baginda sendiri tidak makan (baginda menahan untuk dirinya sahaja).

Namun malangnya, ada keturunan baginda yang mengharamkan kepada diri mereka apabila mereka tahu yang Nabi Yaakub عليه السلام tidak makan unta.

Kita kena tahu bahawa إِسْرَائِيلُ adalah nama gelaran kepada Nabi Yaakub عليه السلام.

مِن قَبْلِ أَن تُنَزَّلَ ٱلتَّورَٮٰةُ‌ۗ

sebelum diturunkan Kitab Taurat.

Kejadian pantang Nabi Yaakub عليه السلام itu terjadi sebelum turunnya Taurat. Sebelum dan selepas turunnya Taurat, memakan unta adalah halal. Bacalah Taurat, mana ada yang mengatakan haram daging unta.

Ini adalah satu perkara yang besar yang banyak bersangkutan dengan kita juga, bukan tentang unta sahaja. Puak Bani Israel telah mengharamkan makanan yang Allah ‎ﷻ tidak haramkan kepada mereka. Oleh itu, mereka telah melakukan satu kesalahan yang besar, kerana menghalal dan mengharamkan sesuatu adalah haq Allah ‎ﷻ sahaja.

Allah ‎ﷻ yang menentukan yang mana halal dan mana haram. Kalau mereka pandai-pandai haramkan, maka mereka telah mengambil haq Allah ‎ﷻ dan ini adalah perkara yang berat. Oleh itu, mengharamkan benda yang halal akan menyebabkan murtad.

Maka, bagaimana dengan kalangan masyarakat kita yang memandai-mandai mengharamkan/pantang beberapa jenis makanan kepada diri mereka? Contohnya, semasa bersalin, semasa mengamalkan ilmu-ilmu rahsia yang entah dari mana, mengharamkan jenis-jenis makanan kepada keturunan mereka, dan sebagainya. Perkara ini ada dibincangkan dengan panjang lebar dalam Surah al-An’am.

قُلْ فَأْتُوا بِٱلتَّورَٮٰةِ فَاتْلُوهَا إِن كُنتُمْ صٰدِقِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

Allah ‎ﷻ memerintahkan Nabi Muhammad ﷺ cabar mereka untuk keluarkan kitab Taurat dan tunjuk di manakah ada dikatakan yang unta itu haram dimakan?

Tafsir Ayat Ke-94

فَمَنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ مِن بَعْدِ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظّٰلِمُونَ

(Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Sesiapa yang mengadakan benda baru dalam agama, mereka itu dikira sebagai zalim. Ini adalah kerana agama ini adalah hak Allah, disampaikan melalui Rasul-rasul baginda. Maka tidak patut kalau kita datangkan perkara baru dalam agama yang tidak ada asalnya daripada Allah dan Nabi.

Adil itu adalah meletakkan sesuatu itu pada tempatnya dan zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Jadi kalau ambil tugas dan haq Allah, maka itu adalah zalim.

Begitulah kita menentang amalan-amalan bid’ah dalam masyarakat kita. Mereka dengan mudah melakukan amalan bid’ah, seperti ia tidak ada apa, padahal itu adalah mereka-reka perkara baru dalam agama. Mereka tidak faham apakah maksud ‘bid’ah’ itu, sampaikan ada yang menggunakan tiket ‘Bid’ah Hasanah’ di dalam membolehkan amalan yang mereka lakukan. Ini adalah amat bahaya sekali.

Tafsir Ayat Ke-95

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik.

قُلْ صَدَقَ اللَّهُ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Benarlah (apa yang difirmankan oleh) Allah,

Allah ‎ﷻ adalah benar dalam wahyu yang diturunkan.

Apa yang Allah ‎ﷻ firman adalah benar. Maka kenalah ikut apa sahaja yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Mulakan dengan belajar apa yang Allah ‎ﷻ sampaikan. Kalau tidak tahu, bagaimana hendak ikut?

فَاتَّبِعُوا مِلَّةَ إِبْرٰهِيمَ

maka ikutilah kamu akan agama Nabi Ibrahim

Ikutlah agama Nabi Ibrahim عليه السلام yang meninggalkan syirik. Maksud مِلَّةَ adalah satu penyatuan agama yang disebabkan oleh cinta iaitu cara hidup yang diamalkan oleh ramai orang.

حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

yang berdasarkan Tauhid, dan bukanlah dia daripada orang-orang musyrik.

Agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim عليه السلام adalah agama Islam yang hanif – yang lurus dan fokus kepada Allah ‎ﷻ.

Selalu apabila disebutkan agama Nabi Ibrahim عليه السلام yang ‘hanif’, ditambah bahawa baginda ‘tidak syirik’. Kenapa perlu ditambah pula sedangkan kalimah ‘hanif’ itu sendiri sudah ada konotasi tauhid?

Ini adalah kerana puak Musyrikin Mekah juga ada menggelarkan diri mereka beragama hanif, kerana mereka kata mereka ikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام tetapi Allah ‎ﷻ tekankan di sini kalau agama Nabi Ibrahim عليه السلام, ia adalah tauhid dan tidak ada syirik di dalamnya.

Seperti orang kita jugalah – mengaku beragama Islam dan mengikut ajaran Nabi Muhammad ﷺ, tetapi sebenarnya ada antara mereka yang mengamalkan juga fahaman dan amalan syirik yang mereka tidak sedari. Mereka tidak sedar kerana mereka tidak belajar wahyu. Jadi mereka sangka mereka beriman dan sudah mengamalkan tauhid, namun belum tentu lagi. Kena periksa dengan wahyu Allah ‎ﷻ baru tahu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan