Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ke-50

Tafsir Surah Ali Imran: Tafsir Ayat Ke-46 hingga Ke-50

540
0
Iklan

Tafsir Surah Ali Imran
Tafsir Ayat Ke-46

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ وَكَهلًا وَمِنَ الصّٰلِحينَ

“Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dia masih kecil dalam buaian, dan semasa dia dewasa, dan dia adalah dari orang-orang yang soleh.”

وَيُكَلِّمُ النّاسَ فِي المَهدِ

“Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dalam buaian,

Dalam riwayat ada disebut, Maryam رضي الله عنها telah mengandung dan melahirkan pada hari yang sama. Apabila beliau membawa pulang anaknya (Nabi Isa عليه السلام) yang baru dilahirkan itu, dan terpaksa menghadapi kaumnya yang tidak mahu percaya serta menuduhnya melakukan perkara yang tidak elok, tentulah beliau tidak mampu menjawab tuduhan tersebut. Maka beliau diarahkan oleh Allah ‎ﷻ untuk tunjukkan sahaja kepada Nabi Isa عليه السلام yang berada dalam dukungannya.

Nabi Isa عليه السلام sendiri yang menjawab tuduhan kaumnya itu semasa dalam pelukan ibunya lagi walaupun baginda baru sahaja entah berapa jam lahir ke dunia. Ini adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام. Ini disebut dalam Surah Maryam dengan lebih panjang lagi.

وَكَهلًا

dan semasa dia dewasa

Kalimah كَهْلً bermaksud umur 40 ke atas. Maknanya Nabi Isa عليه السلام dikatakan bercakap-cakap pada usia selepas 40. Apakah yang peliknya bercakap di usia dewasa? Yang ajaibnya, baginda telah diangkat ke langit semasa baginda berumur 33 tahun.

Ini memberi isyarat bahawa baginda akan turun semula ke dunia dan akan bercakap-cakap dengan manusia sehingga ke usia كَهْلً. Mengikut riwayat, baginda akan turun dalam umur yang sama – 33 tahun. Kemudian baginda akan berkahwin dan beramal ibadat dengan syari’at Nabi Muhammad ﷺ.

Baginda juga dikatakan akan hidup selama 24 tahun lagi di dunia sebelum wafat. Oleh itu, tidak benar kalau ada yang kata baginda sudah mati. Akidah yang benar adalah Nabi Isa عليه السلام telah diangkat ke langit dan akan dikembalikan ke dunia nanti.

وَمِنَ الصّٰلِحينَ

dan dia adalah dari orang-orang yang soleh

Ini adalah sifat kelima baginda yang disebut dalam ayat-ayat ini. Baginda adalah orang soleh darjat Nabi, bukan darjat orang biasa.

Tafsir Ayat Ke-47

Sekarang adalah balasan daripada Maryam رضي الله عنها.

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ ۖ قالَ كَذٰلِكِ اللَّهُ يَخلُقُ ما يَشاءُ ۚ إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?” Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”

قالَت رَبِّ أَنّىٰ يَكونُ لي وَلَدٌ وَلَم يَمسَسني بَشَرٌ

Maryam berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?”

Ini adalah soalan yang keluar daripada Maryam رضي الله عنها. Bukanlah beliau tidak yakin dengan berita yang disampaikan oleh Allah ‎ﷻ melalui malaikat itu. Beliau yakin yang Allah ‎ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Kita pun sudah belajar beliau biasa mendapat makanan dengan cara yang luarbiasa. Jadi hal-hal yang lain daripada kebiasaan dan tidak dapat diterima oleh akal yang logik, adalah perkara biasa untuk beliau sebenarnya.

Oleh sebab itu, apabila diberitahu yang beliau akan mendapat anak, beliau boleh menerimanya. Cuma, beliau hendak tahu caranya sahaja. Begitulah juga soalan Nabi Zakariya عليه السلام – ingin mengetahui caranya sahaja. Ini kerana kalau diikutkan dengan cara biasa, tidak mungkin akan terjadi kerana beliau tidak pernah disentuh oleh lelaki (baik dengan cara haram ataupun halal).

Daripada ayat ini juga, kita dapat tahu yang Maryam رضي الله عنها pun bercakap terus dengan Allah ‎ﷻ. Ini kerana beliau juga tahu yang malaikat hanyalah penyampai berita sahaja. Jadi Maryam رضي الله عنها tidak bertanya kepada malaikat yang menyampaikan maklumat itu. Maryam رضي الله عنها tanya terus kepada Allah ‎ﷻ.

قالَ كَذٰلِكِ

Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya,

Allah ‎ﷻ jawab, dengan keadaan beliau begitulah juga. Tidak perlu ada lelaki yang bersetubuh dengannya, Allah‎ ﷻ boleh sahaja menjadikan anak. Allah ‎ﷻ tidak perlu mengikut proses yang biasa.

اللَّهُ يَخلُقُ ما يَشاءُ

Allah menjadikan apa yang dikehendaki-Nya;

Sebab Dia adalah Tuhan. Dia boleh berbuat apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Ayat ini menggunakan lafaz يَخْلُقُ. Ini berbeza dengan kelahiran Nabi Yahya عليه السلام (digunakan lafaz جعل). Ini kerana dalam kes Maryam رضي الله عنها ini, memang digunakan lafaz يَخْلُقُ kerana dijadikan daripada tiada kepada ada dengan lafaz Kun fa Yakun. Sedangkan untuk kejadian anak-anak yang normal, mestilah melalui proses kejadian dan dalam keadaan itu digunakan lafaz جعل.

Namun begitu, dengan menggunakan lafaz يَخْلُقُ dalam ayat ini hendak menekankan yang Nabi Isa عليه السلام adalah ‘makhluk’: bukanlah kejadian luar biasa, bukanlah baginda ini merupakan ‘Anak Tuhan’, tetapi dijadikan oleh Allah ‎ﷻ, sama seperti makhluk-makhluk yang lain. Nabi Isa عليه السلام adalah ciptaan Allah ‎ﷻ, bukannya daripada juzuk (sebahagian daripada) Allah ‎ﷻ.

إِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ

apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Dia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah ‘, lalu menjadilah ia

Apabila Allah ‎ﷻ hendakkan sesuatu, mudah sahaja bagi-Nya. Lafaz kun fayakun ini hanya sebagai isyarat kepada kita betapa mudahnya dan cepatnya Allah ‎ﷻ hendak menjadikan sesuatu. Allah ‎ﷻ tidak perlu lafaz pun, ia akan terjadi juga.

Tafsir Ayat Ke-48

Ini adalah sifat ke-enam.

وَيُعَلِّمُهُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ وَٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

وَيُعَلِّمُهُ الكِتٰبَ وَالحِكمَةَ

Dan Allah akan mengajarnya al-Kitab dan hikmah,

Lafaz الكِتابَ dalam ayat ini adalah Al-Qur’an. Apabila baginda dibangkitkan semula, baginda akan diajar Kitab Al-Qur’an dan baginda akan beramal dengan syariat dari Al-Qur’an.

Dan baginda juga akan diajar dengan sunnah Nabi Muhammad ﷺ. Kerana itu baginda kena belajar Al-Qur’an dan sunnah. Walaupun baginda adalah seorang Nabi, tetapi baginda tidak boleh pakai syariat lain selain daripada syariat Nabi Muhammad ﷺ.

Begitulah, walaupun seorang Nabi yang mulia macam mana pun, kena juga pakai syariat Nabi Muhammad ﷺ. Maka, tidak ada pilihan lain kepada manusia. Maka janganlah dilanggar syariat itu. Kenalah belajar syariat Nabi Muhammad ﷺ.

Jangan jadi sesat dengan menggunakan fahaman yang salah seperti yang diamalkan oleh puak tarekat sufi. Mereka amat bodoh ilmu agama sampaikan ada syariat yang dilanggar oleh mereka kerana hendak pakai pendapat guru mereka. Mereka kata ilmu dan darjat guru sudah terlalu tinggi sampai tidak perlu ikut syariat.

Semoga kita dan anak cucu kita terselamat dari ajaran sesat yang dibawa oleh golongan-golongan sebegitu.

وَٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

Nabi Isa tahu dengan mendalam kitab Taurat (sebelum baginda diangkat ke langit). Kita telah tahu yang baginda telah diberikan dengan Kitab Injil. Namun baginda juga mahir dan hafal kitab Taurat itu. Waktu itu pendita dan pemuka puak Yahudi telah menukar isi kandungan kitab Taurat. Mereka telah memesongkan ajaran agama yang berlainan dengan apa yang ditulis dalam Kitab Taurat.

Jadi apabila mereka memesongkan Kitab Taurat, Nabi Isa telah beritahu yang benar. Baginda beritahu, apa yang disampaikan oleh pendita Yahudi itu tidak seperti yang termaktub dalam Taurat. Maka tentunya marah pendita-pendita Yahudi itu kerana Nabi Isa telah bongkar perbuatan buruk mereka itu. Susahlah mereka cari makan kalau apa yang mereka bawa sekarang dipersoalkan.

Mereka hendak lawan pun susah, kerana kalau mereka berkeras, Nabi Isa boleh suruh mereka keluarkan kitab Taurat yang asli dan boleh sama-sama periksa siapa yang benar. Maka kerana itu akhirnya mereka buat perancangan untuk bunuh Nabi Isa.

Tafsir Ayat Ke-49

Sifat ke tujuh dan seterusnya.

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرٰءِيلَ أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم ۖ أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ ۖ وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) daripada Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

وَرَسولًا إِلىٰ بَني إِسرٰءِيلَ

Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israel,

Nabi Isa عليه السلام adalah Rasul Bani Israel tetapi baginda akan menjadi Umat Nabi akhir zaman (Nabi Muhammad ﷺ).

Ayat ini dijadikan dalil bahawa Nabi Isa عليه السلام itu hanya Nabi untuk Bani Israel sahaja. Maka kalau sekarang selain daripada Bani Israel (seperti orang Cina dan India) menganut agama Kristian, maka memang tidak patut.

أَنّي قَد جِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم

Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa tanda dari Tuhan kamu

Nabi Isa عليه السلام bukan datang dengan tangan kosong tetapi dengan tanda daripada Allah ‎ﷻ. Tanda baginda itu seorang Nabi, baginda datang dengan mukjizat. Baginda menegaskan yang tanda itu daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada baginda sendiri. Baginda tiada keupayaan untuk membuat mukjizat sendiri.

Inilah satu kekeliruan penganut Kristian. Mereka terkeliru dengan menyangkakan Nabi Isa عليه السلام mempunyai kuasa yang luar biasa melebihi manusia lain, sehinggakan mereka mengangkat baginda sebagai ‘Anak Tuhan’. Ini adalah kerana salah faham tentang mukjizat. Padahal mukjizat itu datang daripada kuasa Allah ‎ﷻ sahaja, bukan daripada baginda sendiri.

Masyarakat Islam yang jahil agama pun ada perasaan begitu terhadap Nabi Muhammad ﷺ. Mereka berkata Nabi Muhammad ﷺ bukan manusia biasa. Ini adalah kekeliruan kerana mereka jahil ilmu wahyu sahaja. Jadi, jangan sangka ayat ini tentang Nabi Isa عليه السلام dan penganut Kristian sahaja, tetapi ia boleh digunakan kepada masyarakat Islam kita yang jahil juga.

أَنّي أَخلُقُ لَكُم مِّنَ الطّينِ كَهَيئَةِ الطَّيرِ

iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung,

Sekarang disampaikan satu persatu mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa عليه السلام. Pertamanya tentang tanah liat yang dibentuk oleh baginda sehingga menyerupai seekor burung. Tentunya ia bukan burung asli. Baru lembaga burung sahaja. Buat bentuk macam ini biasa lagi.

فَأَنفُخُ فيهِ فَيَكونُ طَيرًا بِإِذنِ اللَّهِ

kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah;

Dengan izin Allah ‎ﷻ, apabila ditiup ukiran burung itu, maka ia hidup. Ini baru hebat dan mencabar akal mereka pada waktu itu.

Hendaklah ditekankan dengan kuat di sini bahawa ia terjadi ‘dengan izin Allah’. Kita kena sebut sebab kisah ini tidak sama kalau dalam Injil. Mereka buang lafaz ‘dengan izin Allah’ sampaikan penganut Kristian sangka yang Nabi Isa عليه السلام yang mempunyai kuasa itu.

وَأُبرِئُ الأَكمَهَ وَالأَبرَصَ وَأُحيِي المَوتىٰ بِإِذنِ اللَّهِ

dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah;

Mukjizat baginda yang seterusnya adalah menyembuhkan orang yang buta semenjak lahir (buat asli). Kalau buta semasa dewasa, itu belum hebat lagi.

Baginda juga boleh menyembuhkan orang yang berpenyakit sopak dan menghidupkan orang yang telah mati.

Mukjizat-mukjizat ini penting pada zaman itu kerana masyarakat waktu itu kuat dalam ilmu perubatan dan mereka memandang tinggi orang yang boleh mengubati. Kebiasaannya begitulah, mukjizat para Nabi berkaitan dengan masyarakat sezaman dengan mereka.

Kalau Nabi Musa عليه السلام, mukjizat utama baginda adalah untuk berlawan dengan sihir kerana masyarakat baginda kuat mengamalkan sihir. Kalau Nabi Muhammad ﷺ, mukjizat baginda yang terbesar adalah Al-Qur’an kerana baginda hidup di zaman manusia hebat dengan bahasa. Maka diberikan Al-Qur’an yang mengalahkan semua pemuka dalam bahasa pada zaman itu.

Sekali lagi, Allah ‎ﷻ menekankan dalam ayat ini yang kelebihan itu semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Maka janganlah terkeliru yang kuasa itu datang daripada Nabi Isa عليه السلام pula.

وَأُنَبِّئُكُم بِما تَأكُلونَ

dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan

Baginda boleh beritahu mereka apa yang mereka makan sebelum itu – makan rotikah dan sebagainya.

وَما تَدَّخِرونَ في بُيوتِكُم

dan apa yang kamu simpan di rumah kamu

Baginda boleh beritahu apa yang mereka sorok di rumah mereka. Macam kita sorokkan barang berharga di rumah kita juga. Ada yang diletakkan di bawah katil, bawah bantal, atau kita tebuk lubang dalam dinding, bawah lantai, mungkin berbagai-bagai cara lagi.

Baginda boleh cakap apa yang mereka disimpan di rumah mereka. Tentunya mereka terkejut kerana mereka sudah sorok baik-baik, tetapi Nabi Isa عليه السلام boleh tahu juga. Apakah baginda ada memasang CCTV di rumah mereka? Tentu tidak kerana ini adalah mukjizat Nabi Isa عليه السلام.

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيَةً لَّكُم إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda bagi kamu, jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman

Segala semua itu adalah tanda yang jelas yang baginda adalah Rasul. Kalau bukan bantuan daripada Allah ‎ﷻ, baginda tidak boleh tahu. Mukjizat sebegitu hanya diberikan kepada para Rasul sahaja.

Dalam riwayat ada disebut yang semua mukjizat itu dibuat dengan syarat. Sebelum baginda melakukan mukjizat itu, mereka kena berjanji untuk beriman kalau baginda tunjukkan. Maka, bukanlah baginda sentiasa melakukan perkara-perkara itu. Hanya sesekali sahaja dan bila perlu sebagai bukti kenabian baginda dan sebagai methode dakwah baginda.

Tafsir Ayat Ke-50

وَمُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّورَٮٰةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم ۚ وَجِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطيعونِ

Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

وَمُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّورَٮٰةِ

Dan juga mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang ada di hadapanku

Nabi Isa ‎ﷻ akan membenarkan kitab wahyu yang sebelumnya. Iaitu kitab yang ada di hadapan mereka, iaitu Taurat. Nabi Isa ‎ﷻ bukan hendak mengubah kitab Taurat itu. Satu pendapat yang kuat mengatakan bahawa syari’at yang dipakai oleh Nabi Isa ‎ﷻ waktu itu adalah daripada Kitab Taurat.

وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعضَ الَّذي حُرِّمَ عَلَيكُم

dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan kepada kamu;

Baginda akan menghalalkan benda-benda yang sebelum ini diharamkan. Sebab yang diharamkan itu adalah halal sebenarnya tetapi telah diharamkan oleh ulama’ mereka, bukannya Taurat.

Atau mungkin Allah ‎ﷻ yang mengharamkan, dan dihalalkan pula di dalam Kitab Injil. Maka ini termasuk dalam perkara nasikh mansukh. Ini membuktikan bahawa dalam Injil pun terdapat nasikh dan mansukh. Oleh itu, tidak patut kalau mereka pertikaikan hukum-hukum yang dimansukhkan di dalam Islam. Nasikh dan mansukh adalah perkara biasa sahaja di dalam agama.

Atau, seperti yang kita telah kata, mereka sendiri yang mengharamkan pada diri mereka. Maka Nabi Isa عليه السلام datang untuk menghalalkannya kembali. Sebagai contoh, Nabi Yaakub عليه السلام tidak boleh makan daging unta atas sebab-sebab kesihatan. Atau kerana baginda tidak suka rasa daging unta. Seperti kita juga, ada makanan yang kita tidak suka, maka itu merupakan perkara biasa sahaja. Yang pastinya, bukanlah Nabi Yaakub عليه السلام mengharamkan daging unta. Namun begitu kaum Yahudi mengharamkan daging unta ke atas diri mereka.

Sebahagian sahaja yang dihalalkan oleh Nabi Isa عليه السلام. Itulah penting kita lihat perkataan بَعْضَ itu yang bermaksud ‘sebahagian’. Ini penting kerana orang Kristian sudah salah faham terus. Mereka kata oleh kerana Nabi Isa عليه السلام sudah mati disalib, itu telah menyucikan segala dosa mereka, jadi mereka kata yang mereka sudah terselamat dan boleh berbuat apa-apa sahaja.

Inilah bala bagi mereka. Pada mereka, tujuan Nabi Isa عليه السلام itu disalib adalah untuk menyucikan dosa mereka, yang mereka panggil ‘Cardinal Sins’ – Dosa Keturunan. Pada mereka, semua bayi yang dilahirkan, terus berdosa dan hanya akan hilang dosa itu jikalau menerima Jesus sebagai penyelamat. Ini amatlah bertentangan dengan fahaman agama Islam kerana semua bayi dilahirkan suci tanpa dosa sebenarnya.

وَجِئتُكُم بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكُم

dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa tanda dari Tuhan kamu.

Nabi Isa عليه السلام datang dengan ayat Tuhan, bukan cakap sendiri. Baginda telah tunjukkan bukti dan dalil.

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَطيعونِ

Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.

Sepatutnya, dengan segala dalil dan bukti yang diberikan, mereka bertaqwa kepada Allah ‎ﷻ.

Manakala tanda taqwa adalah dengan mentaati baginda. Itulah sekurang-kurangnya yang perlu dilakukan oleh umat para Nabi kepada Nabi mereka.

Inilah yang selalu dikatakan oleh semua Nabi kepada umat mereka. Begitu juga dengan Nabi Muhammad ﷺ. Oleh kerana itu, selain daripada belajar tafsir Al-Qur’an, kenalah juga belajar hadith Nabi, supaya kita tahu apakah perkara yang sunnah dalam agama.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan