Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Seputar Persoalan Kesihatan Bilik 50 – Bahagian 12/2020

Soal Jawab Bersama Doktor: Seputar Persoalan Kesihatan Bilik 50 – Bahagian 12/2020

98
0
Iklan

Gejala tersedu

 Soalan 1:

Doktor, adakah tersedu bermakna kita kurang minum air?

Jawapan:

Tidak, ia berlaku apabila terdapat pengecutan pada otot diafragma.

[Tersedu daripada sudut kesihatan berlaku apabila pengecutan otot diafragma secara berulang kali disebabkan beberapa faktor.

Apabila anda menarik nafas, diafragma tertarik ke bawah untuk membantu menarik udara masuk ke dalam paru-paru. Malah, apabila kita menghembuskan nafas juga, diafragma menolak udara keluar daripada paru-paru. Ada ketikanya diafragma menjadi terganggu semasa kita membuat pergerakan menarik ke bawah dalam keadaan tersentap.

Akibatnya, kita menelan udara ke dalam kerongkong secara mengejut dan apabila udara berebut-rebut masuk itu melanggar kotak suara anda, maka terhasillah bunyi sedu.]

https://www.majalahsains.com/mengapa-manusia-tersedu/

 

Masalah mata putih kekuningan

Soalan 2:

Doktor, anak saya berumur 2 tahun 9 bulan mengalami gejala batuk berkahak dan demam. Selepas demam kebah, dia seperti mengalami sakit mata dan kawasan mata putih seperti kekuningan.  Adakah normal keadaan tersebut?

Jawapan:

Tidak semua orang mata putihnya cantik putih bersih.  Ia adalah normal.

 

Sakit Tumit

 Soalan 3:

Doktor, saya merasa sakit di tapak kaki bahagian tumit kiri terutamanya apabila berjalan kaki, adakah ini simptom sesuatu penyakit?

Jawapan:

Kesakitan di tumit adalah ‘Calcaneal spur’.  Perlu pada pemakaian kasut yang bertapak lembut dan gunakan selipar getah apabila berada di rumah.

 [‘Calcaneal spur’ atau ´Heel spur´ selalunya berkaitan dengan radang ´plantar fascia´. Ia boleh menyebabkan kesakitan yang amat sangat pada tumit dan kesakitan ini bertambah teruk semasa bergerak.

´Heel spur´ terjadi disebabkan oleh munculnya tulang yang abnormal pada tulang tumit (pemendakan garam kalsium yang berlaku akibat ketegangan plantar fasia). Ketegangan ini boleh berlaku kepada individu tertentu yang mempunyai tapak kaki abnormal (‘high arch’ atau ‘flat feet’). Perempuan mempunyai risiko yang lebih daripada lelaki untuk mengalami ´heel spur´ disebabkan jenis pemakaian kasut.]

http://www.myhealth.gov.my/heel-spur/

 

Penyakit Gout

Soalan 4:

Doktor, bolehkah pesakit gout mengamalkan pengambilan vitamin D?

Jawapan:

Pesakit gout boleh mengambil vitamin D sebagai suplemen tambahan.

[Gout merupakan satu bentuk artritis akut yang menyebabkan kesakitan teruk dan bengkak pada bahagian sendi. Ia disebabkan oleh pengumpulan asid urik yang tinggi di dalam badan.

Asid urik terhasil daripada pemecahan bahan kimia purin dalam badan. Kebiasaannya, purin hadir secara semula jadi di dalam badan, tetapi ia juga terdapat dalam sesetengah jenis makanan. Asid urik disingkirkan daripada badan melalui air kencing.

Diet untuk pesakit gout boleh membantu menurunkan paras asid urik dalam darah. Diet tidak boleh menyembuhkan sakit gout, tetapi ia boleh menurunkan risiko serangan gout dan melambatkan kerosakan sendi.

Pesakit gout yang mengamalkan diet bagi gout masih memerlukan ubat-ubatan untuk mengawal kesakitan dan menurunkan paras asid urik.]

http://www.myhealth.gov.my/diet-bagi-pesakit-gout/

 

Spondilosis Tulang Belakang Lumbar

Soalan 5:

Doktor, adakah pesakit yang ada spondilosis tulang belakang lumbar boleh hamil seperti biasa atau adakah lain-lain komplikasi/kesakitan?

Jawapan:

Boleh hamil seperti biasa dan kemungkinan akan ada kesakitan di bahagian pinggang apabila kandungan sudah melebihi 7 bulan dan seterusnya.

[‘Spondylolisthesis’ ialah keadaan di mana sebahagian tulang belakang (vertebra) terdorong ke bahagian hadapan. Ia kerap kali dikesan berlaku di kawasan ‘lumbosacral’.

Dalam sesetengah kes, ‘spondylolisthesis’ juga menyebabkan saraf tunjang menjadi terhimpit dan seterusnya mendatangkan kesan seperti sakit belakang dan kebas atau lemah pada satu atau kedua-dua belah kaki.]

https://physiomobile.my/spondylolisthesis/?v=0c23032714f8

 

Keradangan atau kegatalan kulit

Soalan 6:

Doktor, saya mengalami keadaan gatal-gatal yang berpanjangan di seluruh badan.  Sudah berpantang dalam pemakanan tetapi kegatalan masih tidak berkurangan.  Mohon saranan daripada doktor untuk mengatasi masalah yang saya hadapi.

Jawapan:

Cuba mandi tanpa menggunakan sabun iaitu hanya guna air sahaja. Hanya guna tuala muka dan gosokkan badan menggunakan tuala tersebut sudah memadai untuk membersihkan badan. Sukar untuk dipastikan penyakit tersebut kerana saya tidak melihat tahap kecederaan pada kulit.

[Kulit gatal, juga dikenali sebagai ‘pruritus’, iaitu rasa yang merimaskan dan tidak dapat dikawal yang membuat anda ingin menggaru untuk mengurangkan rasa gatal tersebut. Penyebab yang mungkin terjadi untuk kegatalan termasuklah penyakit dalaman atau penyakit kulit.]

https://www.doctoroncall.com.my/soalan/pruritus-gatal-kulit-penyebab-rawatan

 

Penyakit Asma dalam kalangan kanak-kanak

Soalan 7:

Anak saya lelaki berusia 2 tahun 10 bulan mudah dan sering batuk berkahak sehingga menjadi lelah dan adakala akan mengalami demam juga. Selain daripada pengambilan ubat, adakah amalan lain yang boleh membantu mengurangkan risiko jangkitan batuk?

Jawapan:

Kemungkinan anak puan ada serangan penyakit asma, sila berjumpa doktor mendapatkan untuk rawatan yang tepat.  Setiap kali batuk perlu gunakan ‘inhaler’ untuk meredakan, letakkan alat perantara atau ‘spacer’. Jika doktor telah diagnosis asma, penggunaan ubat batuk biasa akan menyebabkan batuk lebih teruk.

[Asma dalam kalangan kanak-kanak adalah penyakit yang biasa dan ia melibatkan semua peringkat umur. 10 -14 % kanak-kanak sekolah menghidap asma. Walau bagaimanapun, banyak kajian menunjukkan bahawa penyakit ini semakin menular dan lebih serius dalam kalangan kanak-kanak.

Ubat asma terbahagi kepada 3 jenis:

  • Ubat Pencegah

Ubat ini dapat mengelakkan serangan asma dengan mengawal radang di sistem pernafasan. Ia bertindak dengan mengurangkan bengkak dan pembentukan lendir di sistem pernafasan.

  • Ubat Pelega

Ubat ini bertindak dengan mengendurkan otot-otot pernafasan dan ini seterusnya akan membuka salur pernafasan yang sempit.

  • Ubat kawalan

Ubat ini bertindak mengendurkan otot pernafasan dan mengekalkan salur pernafasan dalam keadaan terbuka buat masa yang lama. Ia digunakan untuk kes serangan asma yang teruk.]

http://www.myhealth.gov.my/kanak-asma/

 

Tekanan Darah Rendah bagi ibu hamil

Soalan 8:

Doktor, isteri saya sedang hamil tetapi tekanan darahnya sangat rendah.  Adakah rawatan yang boleh menormalkan tekanan darah rendah?

Jawapan:

Banyakkan minum air dan pengambilan makanan yang mengandungi nutrien yang diperlukan. Tiada mudarat kesihatan walaupun tekanan darah rendah tetapi stabil.  Kebiasaannya bacaan yang normal ialah 90/60.

[Tekanan darah rendah ibu hamil adalah sesuatu yang tidak normal.  Gejala yang dialami oleh wanita mengandung dengan tekanan darah rendah juga sama seperti orang biasa mengalaminya seperti berasa pening atau pusing.  Keadaan ini boleh menjadi lebih teruk apabila bangun secara tiba-tiba dari tempat duduk. Ini boleh menyebabkan anda pengsan, satu keadaan yang sangat berbahaya bagi wanita hamil.

Minum lebih banyak air & rancang diet yang sihat.  Air adalah baik untuk mengatasi kekurangan air dalam badan, malah anda harus tahu bahawa air minuman juga dapat membantu mencegah tekanan darah rendah ibu hamil.  Air membantu meningkatkan tahap tekanan darah dan mengelakkan daripada pening.  Di samping itu, merancang diet dengan pelbagai pilihan makanan yang sihat seperti bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, ayam tanpa lemak, dan ikan.  Untuk mengelakkan tekanan darah daripada jatuh selepas makan, harus membahagikan makanan ke beberapa bahagian kecil untuk dimakan beberapa kali sehari.]

https://hellodoktor.com/kehamilan/penjagaan-ibu-hamil/tekanan-darah-rendah-semasa-kehamilan/#gref

 

Komen dan Soalan