Utama At-Tazkirah Qurthubi At-Tazkirah Qurthubi: Bab Talqin Orang yang akan Mati

At-Tazkirah Qurthubi: Bab Talqin Orang yang akan Mati

462
0
Iklan

At-Tazkirah Qurthubi(w.671H)

Kod 10 Bab Talqin Orang yang akan Mati La Ilaha illalah (باب تلقين الميت لا إله إلا الله)

Bahagian 1: Hadith Muslim daripada Abu Sa’id al Khudri رضي الله عنه

مسلم عن أبي سعيد الخدري . قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : لقنوا موتاكم لا إله إلا الله (رواه مسلم 916)

“Talqinilah orang-orang (akan) mati antara kamu sekalian dengan لا إله إلا الله”. (HR Muslim no 916)

✍️ Fiqh gharibil hadith:

Daripada hadith ini kalimah (موتاكم ) telah menjadi isu besar dalam cara hendak beramal dengan hadith ini. Kalau ikut maksud asal, mautaakum adalah yang telah mati, maka hadith itu berbunyi, “Talqinilah orang yang sudah mati di kalangan kamu”. Maka mereka membaca talqin di kubur selepas dikebumikan. Ini kefahaman aliran perdana di Malaysia. Mereka mengajar mayat talqin di kubur- kubur sebelum didatangi malaikat. Manakala majoriti ahli hadith berpendapat (موتاكم ) itu adalah majaz (kiasan) sahaja. Ia merujuk kepada orang yang hampir mati, nazak.

Bahagian 2: Hadith talqin mayat daripada Abu Umamah al Bahili

حديث أبي أمامة في التلقين . رواه أبو بكر عبد العزيز في ” الشافي ” ) ص 175 . ضعيف . أخرجه الطبراني في ” الكبير ” عن سعيد بن عبد الله الأودي قال : ” شهدت أبا أمامة الباهلي وهو في النزع فقال : إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمر رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) فقال : أذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب عليه فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل : يا فلان بن فلان بن فلانة فإنه يسمع ولا يجيب ثم يقول : يا فلان بن فلانة فإنه يستوي قاعدا ثم يقول : يا فلان بن فلانة فانه يقول : أرشدنا رحمك الله ولكن لا تشعرون فليقل : اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة : أن لا اله الا الله وأن محمدا عبده ورسوله وأنك رضيت بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد نبيا وبالقرآن إماما فان منكرا ونكيرا يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول : انطلق بنا ما نقعد عند من لقن حجته فيكون الله حجيجه دونهما قال رجل : يا رسول الله فإن لم يعرف أمه ؟ قال : فينسبه إلى حواء : يا فلان بن حواء ”

“Jika salah seorang di antara kalian mati, maka ratakanlah tanah pada kuburnya (kuburkanlah). Hendaklah salah seorang dalam kalian berdiri di pinggir kuburnya dan hendaklah berkata : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia boleh mendengarnya tetapi tidak boleh menjawabnya. Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan duduk. Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan berkata : “Berilah kami petunjuk –semoga Allah merahmatimu-“ dan kalian tidak akan merasakannya. Kemudian hendaklah berkata : “Sebutlah sesuatu yang kamu bawa keluar dari dunia, iaitu persaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah ‎ﷻ, Muhammad hamba dan utusan-Nya, dan sesungguhnya kamu redho Allah menjadi Tuhanmu, Muhammad menjadi Nabimu, dan Al-Qur’an menjadi imammu”, sebab Mungkar dan Nakir saling berpegangan tangan dan berkata : “Mari kita pergi. Kita tidak akan duduk (menanyakan) di sisi orang yang telah ditalqini (dituntun) hujjahnya (jawabannya), maka Allah menjadi hajiij (yang mengalahkan dengan menampakkan hujah) baginya bukan Mungkar dan Nakir”. Kemudian seorang sahabat lelaki bertanya : “Wahai Rasulullah! Jika dia tidak tahu ibu si mayit?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: “Nisbatkan kepada Hawa, wahai fulan bin Hawa” (H.R. Thabrani, HR abu Bakar abdul Aziz, al Syaafi ms 175; at Tabrani dalam Mu’jam al kabir. Dhaif)

✍️ Tahqiq: Dhaif

قال النووي في ” المجموع ” ( 5 / 304 ) والعراقي في ” تخريج الإحياء ” ( 4 / 420 ) : ” إسناده ضعيف ” . وقال ابن القيم في ” زاد المعاد ” ( 1 / 206 ) : ” حديث لا يصح

Berkata Imam Nawawi رحمه الله (al Majmu’ 5/304). al Iraqi (takhrij al ihya’, 4/420). Ibn Qayyim, Zaad al Ma’aad 1/206.

Bahagian 3: Hadith Uthman, Dhaif

و ذكر ابن أبي الدنيا عن زيد بن أسلم قال : قال عثمان بن عفان : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إذا احتضر الميت فلقنوه لا إله إلا الله فإنه ما من عبد يختم له بها موته إلا كانت زاده إلى الجنة

Disebut oleh Ibn Abi Dunia daripada Zaid bin Aslam daripada Uthman bin Affan daripada Rasulullah ﷺ yang bersabda, “Apabila ada orang yang akan meninggal, maka talqinlah dia akan kalimah La Ilaha illallah kerana mana-mana orang yang akhir mautnya dengan kalimah tersebut, maka ia menjadi bekalan dia ke syurga.” (HR Ibn Abi Dunia, al Muhtadhirin, ms 20).

✍️ Tahqiq: Dhaif, kerana munqathi’ (putus sanad) antara Zaid dan Uthman.

Bahagian 4: Atsar Umar al Khattab رضي الله عنه, Dhaif

و قال عمر بن الخطاب رضي الله عنه : احضروا موتاكم و
لقنوهم : لا إله إلا الله و ذكروهم فإنهم يرون ما لا ترون

Berkata Umar al Khattab رضي الله عنه, “Hadirilah orang akan meninggal di kalangan kamu dan talqinlah mereka dengan La ilaha illallah dan peringatilah mereka kerana sesungguhnya mereka melihat apa yang kamu tidak lihat”.

Atsar riwayat Ibn Abi Dunya, Kitab al Muhtadhirin ms 22, Abu Muhammad al Isybili al Aqibah ms 144 (tanpa sanad)

Bahagian 5: Hadith Wa’ilah, Dhaif

و ذكر أبو نعيم من حديث مكحول عن إسماعيل بن عياش بن أبي معاذ عتبة ابن حميد عن مكحول عن وائلة بن الأسقع عن النبي صلى الله عليه و سلم : احضروا موتاكم و لقنوهم لا إله إلا الله و بشروهم بالجنة فإن الحكيم من الرجال يتحير عند ذلك المصرع و إن الشيطان أقرب ما يكون من ابن آدم عند ذلك المصرع . و الذي نفسي بيده لمعانية ملك الموت أشد من ألف ضربة السيف ، و الذي نفسي بيده لا تخرج نفس عبد من الدنيا حتى يتألم كل عرق منه على حياله . غريب من حديث مكحول لم نكبته إلا من حديث إسماعيل

Abu Nu’aim menyebut sebuah hadith daripada sanad Makhul daripada Ismail bin Iyasy daripada Abu Mu’adz ‘Utbah bin Hamid daripada Makhul daripada Wa’ilah bin al Asqa’ daripada Nabi ﷺ, “Hadirilah menyaksikan orang hampir mati dalam kalangan kamu dan talqinlah dia La ilaha illallah, beri khabar gembira akan syurga kerana orang yang bijak sekalipun akan bingung saat kematiannya. Sesungguhnya syaitan amat dekat kepadanya. Demi nyawaku yang dalam Genggaman-Nya, melihat malakul maut lebih ngeri daripada 1000 libasan pedang dan setiap nyawa yang keluar, setiap uratnya akan merasa sakit.”

Komen al Qurthubi رحمه الله: Hadith Makhul ini gharib (indikasi dhaif) dan kami hanya mencatat daripada jalur Ismail bin Iyasy.
Tahqiq al Albani: dhaif, silsilah al dhaifah, no. 2038

الراوي : واثلة بن الأسقع الليثي أبو فسيلة | المحدث : الألباني | المصدر : السلسلة الضعيفة
الصفحة أو الرقم: 2083 | خلاصة حكم المحدث : ضعيف
التخريج : أخرجه أبو نعيم في ((حلية الأولياء)) (5/186)

Bahagian 6: Hadith Muadz bin Jabal, Sahih

فصل : قال علماؤنا : تلقين الموتى هذه الكلمة سنة مأثورة عمل بها المسلمون . و ذلك ليكون آخر كلامهم لا إله إلا الله فيختم له بالسعادة ، و ليدخل في عموم قوله عليه السلام من كان آخر كلامه لا إله إلا الله دخل الجنة . أخرجه أبو داود من حديث معاذ بن جبل رضي الله عنه ، صححه أبو محمد عبد الحق

Isu talqin dan cara mentalqin:

Berkata ulama’ kami (guru al Qurthubi, yakni Abu al Abbas Ahmad bin Umar al Qurthubi, w.656H): “Menalqin orang yang hampir mati (sakarat) adalah sunnah makthurah (sunnah yang thabit) yang menjadi tradisi kaum Muslimin seterusnya bertujuan akhir kalam seseorang adalah kalimah La ilaha illallah. Semoga dia berakhir dengan kebahagiaan dan termasuk dalam keumuman hadith: “Siapa yang akhir kalamnya adalah La ilaha illallah, maka masuk syurga (من كان آخر كلامه لا إله إلا الله دخل الجنة) (HR Abu Daud daripada sanad akhir Mu’adz bin Jabal, disahihkan oleh Abu Muhammad Abdul Haqq al Isybili (kelahiran Isybil Spain, w.581H)

✍️ Takhrij/tahqiq:
Disahihkan oleh al Albani, sahih Abu Daud, no 3116

الراوي : معاذ بن جبل | المحدث : الألباني | المصدر : صحيح أبي داود
الصفحة أو الرقم: 3116 | خلاصة حكم المحدث : صحيح

Bahagian 7: Larangan Memperbanyak Talqin

فإذا تلقهنا المحتضر و قالها مرة واحدة فلا تعاد عليه ليلاً بفجر ، و قد كره أهل العلم الإكثار من التلقين ، و الإلحاح عليه إذا هو تلقنها أو فهم ذلك عنه . قال ابن المبارك : لقنوا الميت لا إله إلا الله فإذا قالها فدعوه

Apabila dipastikan orang yang hampir mati itu sudah dapat mengucap sekali, maka ia sudah mencukupi baginya, maka jangan diulangi lagi kerana akan menyeksakan dia. Ahli ilmu tidak menyukai perbuatan memperbanyak talqin apabila orang yang gering sudah memahaminya. Berkata Ibn Mubarak (tabi’ tabi’in Iraqi, w.181H),” tuntunilah orang yang hampir mati akan la ilaaha illallah; apabila dia sudah mengucap, maka biarkan dia”. (Abdul Haq al Isybili, al ‘Aaqibah, 145)

Bahagian 8: Larangan memperbanyak talqin, atsar Ibn Mabarak

قال الحسن بن عيسى : قال لي ابن المبارك : لقني ـ يعني الشهادة ـ و لا تعد علي إلا أن أتكلم بكلام ثان ، و المقصود أن يموت الرجل و ليس في قلبه إلا الله عز و جل لأن المدار على القلب ، و عمل القلب هو الذي ينظر فيه ، و تكون النجاة به

Berkata al Hasan bin Isa (budak milik Ibn Mubarak, wafat 240H) pernah berkata kepada aku, “Talqinlah daku yakni (ajar syahadah) dan jangan ulangi kecuali jika aku menyebut benda lain.”

Syarah: Maksud Ibn Mubarak ialah supaya orang yang akan mati tidak ada apa dalam hatinya melainkan Allah ‎ﷻ. Amal hati itulah yang mendapat perhatian Allah ‎ﷻ dan itulah yang membawa kepada keselamatan. (Dikeluarkan oleh Ibn Jauzi, Sifatus Safwah, 4:146)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan