Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Sawan @ Epilepsi

Soal Jawab Bersama Doktor: Sawan @ Epilepsi

775
0
Iklan

Epilepsi atau sawan adalah satu keadaan yang boleh menyebabkan seseorang mengalami kejang berulang kali. Kerosakan atau perubahan dalam otak dikenali sebagai punca kepada sebilangan kecil kes sawan atau epilepsi. Tetapi dalam kebanyakan kes yang telah berlaku, punca sebenar itu masih belum diketahui.

Di dalam otak manusia terdapat neuron atau sel saraf yang merupakan sebahagian daripada sistem saraf. Setiap sel saraf berkomunikasi dengan menggunakan impuls elektrik. Dalam kes epilepsi, sawan berlaku apabila impuls elektrik yang dihasilkan secara berlebihan, telah menyebabkan tingkah laku atau pergerakan badan yang tidak terkawal.

Kejang atau istilah ‘tarik’ memang merupakan simptom utama sawan, tetapi tidak semestinya orang yang mengalami sawan berpenyakit epilepsi. Dalam dunia perubatan, seseorang itu hanya disyaki berpengidap penyakit epilepsi selepas telah mengalami sawan atau “tarik” lebih daripada sekali. Tahap sawan bagi setiap pesakit epilepsi berbeza-beza. Sesetengah orang hanya alami sawan beberapa saat atau beberapa minit saja. Sesetengah orang pula mengalami sawan di beberapa bahagian badan mereka untuk tempoh lebih lama malah ada yang tidak sedar diri untuk jangka waktu tertentu.

Punca Sawan atau Epilepsi

Epilepsi boleh mula menyerang pada sebarang usia walaupun kebanyakan kes ini berlaku sejak zaman kanak-kanak. Disebabkan hal tersebut, epilepsi diklasifikasikan kepada dua iaitu Idiopatik dan Simptomatic.

Epilepsi idiopatik (disebut juga sebagai epilepsi utama) merupakan jenis epilepsi yang punca kejadiannya tidak atau sukar diketahui. Sesetengah pakar mengesyaki bahawa keadaan ini disebabkan oleh faktor genetik (keturunan). Sedangkan Epilepsi Simptomatik (disebut juga epilepsi menengah) merupakan jenis epilepsi yang penyebabnya dapat diketahui. Beberapa faktor seperti kecederaan kepala, tumor otak, dan strok dianggap sebagai punca kepada epilepsi sekunder (menengah) ini.

Rawatan dan Komplikasi Epilepsi

Sehingga kini tiada ubat atau kaedah khusus yang boleh menyembuhkan sawan atau epilepsi ini sepenuhnya. Rawatan seperti ubat anti-epileptik atau OAE mampu mencegah terjadinya kejang sehingga pesakit boleh melakukan aktiviti sehari-hari secara normal dengan mudah dan selamat.

Selain ubat-ubatan, pengendalian epilepsi juga perlu dimulai dengan cara hidup yang sihat seperti bersukan secara teratur, tidak mengambil minuman beralkohol secara berlebihan atau mengambil diet khusus.

Berlakunya kekejangan atau ‘tarik’ pada pesakit epilepsi perlu ditangani dengan betul untuk mengelakkan berlakunya keadaan yang boleh membahayakan nyawa pesakit. Contohnya jatuh, tenggelam atau mengalami kemalangan ketika memandu akibat kekejangan anggota badan.

Epilepsi juga boleh menyebabkan kematian secara tiba-tiba namun ia adalah kes yang jarang berlaku. Status epileptikus adalah satu keadaan dimana seseorang itu mengalami sawan lebih daripada 5 minit atau mengalami satu siri kejang anggota tubuh yang pendek. Apabila satu siri kejang pendek berlaku, orang yang mempunyai status epileptikus ini akan berada dalam keadaan yang tidak sedarkan diri sepenuhnya. Status epileptikus boleh menyebabkan kerosakan pada otak secara kekal malah boleh juga menyebabkan kematian.

Q&A

Soalan 1:

Apakah tindakan yang perlu dilakukan jika kita berada di tempat kejadian atau berhadapan dengan seseorang yang diserang penyakit sawan secara tiba-tiba?

Jawapan:

Letakkan pesakit di tempat yang selamat dan jauhkan apa-apa barang yang boleh membahayakan pesakit tersebut.  Diingatkan juga jangan cuba masukkan apa-apa ke dalam mulut pesakit.

 Soalan 2:

Benarkah menurut petua orang tua jika terjadi sawan perlu meletakkan barangan seperti  menggigit sudu besi untuk mengelakkan pesakit tergigit lidahnya sendiri?

Jawapan:

Tidak benar. Pesakit hendaklah dimiringkan badannya untuk mengelakkan daripada tergigit lidah atau mencederakan dirinya sendiri dan pesakit perlu segera bawa ke hospital yang berhampiran.

Soalan 3:

a) Adakah cara mengiringkan badan pesakit juga dilakukan pada bayi yang diserang sawan?

b) Adakah penyakit sawan merbahaya atau boleh memudaratkan kesihatan pesakit?

Jawapan:

a) Benar, bayi yang terkena sawan juga perlu dimiringkan tetapi jika sawan disebabkan oleh demam yang tinggi, perlu redakan demam dan cuba turunkan suhu dengan meletakkan tuala basah di badan bayi.

b) Bayi yang diserang sawan kerana demam boleh berlaku kurang dari 20 minit dan tidak memudaratkan. Tetapi jika pada kanak-kanak dan dewasa yang tidak demam panas dan bukan pula sebab jangkitan di otak atau stroke, penyakit ini dinamakan Epilepsi.

Komen dan Soalan