Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-198

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-198

591
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-198

لَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَن تَبتَغوا فَضلًا مِّن رَّبِّكُم ۚ فَإِذا أَفَضتُم مِّن عَرَفَـٰتٍ فَاذكُرُوا اللَّهَ عِندَ المَشعَرِ الحَرامِ ۖ وَاذكُروهُ كَما هَدَٮٰڪُم وَإِن كُنتُم مِّن قَبلِهِ لَمِنَ الضّالّينَ

Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Dia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلًا مِّنْ رَّبِّكُمْ

Dan tidak menjadi dosa atas kamu untuk kamu mencari kurnia dari Tuhan kamu;

Iaitu mencari kurnia rezeki dengan berniaga semasa mengerjakan Haji. Allah ‎ﷻ benarkan orang yang sedang mengerjakan Haji untuk berniaga semasa di sana. Maklumlah peluang setahun sekali berkumpul Muslim dari seluruh dunia.

Kita hendak juga beli barang barang dari negara lain. Maka dibenarkan bertukar jual beli untuk kebaikan. Boleh bawa barang-barang jualan untuk diniagakan di sana. Dahulu pun Mekah adalah tempat perniagaan.

Kenapa Allah ‎ﷻ kata ‘tidak berdosa’? Ini adalah kerana pada Zaman Jahiliah dahulu, mereka mengambil peluang musim Haji untuk membuka bazar besar-besaran, membuat pertunjukan dan berniaga besar-besaran.

Jadi, apabila mereka sudah masuk Islam, mereka takut dan rasa bahawa perbuatan menjalankan perniagaan waktu itu adalah berdosa kerana waktu itu sepatutnya digunakan untuk bermunajat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Sebab itu Allah ‎ﷻ kena beritahu bahawa ia tidak berdosa.

Tetapi, walaupun dibenarkan, perlulah berjaga-jaga. Janganlah pula jadikan tujuan utama pergi Haji itu sebagai peluang untuk berniaga. Ia berbalik kepada tujuan asal dan niat kita. Kalau niat kita adalah kerana hendak menunaikan ibadat Haji, ikhlas kerana Allah ‎ﷻ, maka bolehlah menjalankan perniagaan untuk mendapatkan sumber pendapatan untuk menjalankan ibadah Haji itu.

Kena tengok apakah niat yang paling kuat. Maka kalau berniaga itu niat kedua sahaja, maka ia dibolehkan. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang ada kekurangan dalam perbelanjaan. Namun jangan berlebih-lebih. Kena ingat tujuan asal ke situ.

فَإِذَا أَفَضْتُمْ مِّنْ عَرَفَـٰتٍ

Maka apabila kamu bergerak dari Arafah

Perkataan أَفَضْ dari segi bahasa bermaksud ‘melimpah’. Seperti kalau kita menuang air ke dalam cawan dan cawan itu penuh, maka air yang kita tuang itu akan melimpah keluar. Ini kerana ramai sangat orang di Padang Arafah pada waktu itu, nampak seolah-olah manusia-manusia itu melimpah turun dari Arafah.

Ia juga memberi isyarat mereka bergerak dengan cepat kerana air pun bergerak dengan cepat apabila melimpah. Mereka yang mengerjakan Haji akan pergi ke Arafah pada hari ke 8 dan akan tinggal selama sehari di situ.

Arafah dari lafaz عرف yang bermaksud ‘tahu’ – arif. Ia adalah tempat untuk manusia mengenal Allah ‎ﷻ dan mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Di sinilah mereka akan terbangkit perasaan dan kesedaran betapa kerdilnya mereka kalau dibandingkan dengan Allah ‎ﷻ. Mereka dapat tahu dengan mendalam betapa mereka memerlukan Allah ‎ﷻ.

Di sinilah juga mereka dapat rasa bagaimana keadaannya nanti apabila seluruh makhluk akan dihadapkan di hadapan Allah ‎ﷻ dalam keadaan berbondong-bondong dan bersesak-sesak.

Salah satu dari Rukun Haji adalah Wukuf di Arafah pada 9 DzulHijjah. Dalam satu hadith Nabi ﷺ pernah bersabda:

حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَعَلِيُّ بْنُ مُحَمَّدٍ قَالَا حَدَّثَنَا وَكِيعٌ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ بُكَيْرِ بْنِ عَطَاءٍ سَمِعْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ يَعْمَرَ الدِّيلِيَّ قَالَ شَهِدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ وَاقِفٌ بِعَرَفَةَ وَأَتَاهُ نَاسٌ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ الْحَجُّ قَالَ الْحَجُّ عَرَفَةُ فَمَنْ جَاءَ قَبْلَ صَلَاةِ الْفَجْرِ لَيْلَةَ جَمْعٍ فَقَدْ تَمَّ حَجُّهُ أَيَّامُ مِنًى ثَلَاثَةٌ فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ثُمَّ أَرْدَفَ رَجُلًا خَلْفَهُ فَجَعَلَ يُنَادِي بِهِنَّ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ أَنْبَأَنَا الثَّوْرِيُّ عَنْ بُكَيْرِ بْنِ عَطَاءٍ اللَّيْثِيِّ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَعْمَرَ الدِّيلِيِّ قَالَ أَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَجَاءَهُ نَفَرٌ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ فَذَكَرَ نَحْوَهُ قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى مَا أُرَ لِلثَّوْرِيِّ حَدِيثًا أَشْرَفَ مِنْهُ

Telah menceritakan kepada kami Abu Bakar bin Abu Syaibah dan Ali bin Muhamad, keduanya berkata; telah menceritakan kepada kami Waki’; telah menceritakan kepada kami Sufyan daripada Bukair bin Atha`; Aku mendengar Abdurahman bin Ya’mar Ad-Dili, beliau berkata; “Aku menyaksikan Rasulullah ﷺ ketika sedang wukuf di Arafah, dan sekelompok orang dari kalangan penduduk Najd mendatangi baginda, mereka bertanya; ‘Wahai Rasulullah, bagaimana (cara melaksanakan) haji? ‘ Baginda menjawab: ‘ Haji itu adalah Arafah. Maka barang siapa datang ke Arafah sebelum fajar malam berkumpulnya manusia, maka telah sempurnalah ibadah haji. Hari-hari Mina itu tiga hari, barangsiapa ingin cepat berangkat (dari Mina) sesudah dua hari, maka tidak ada dosa baginya, dan barang siapa ingin menangguhkan (keberangkatannya dari dua hari), maka tidak ada dosa pula baginya.’ Kemudian seorang lelaki di belakang baginda mengiringi ucapannya dan turut menyerukan ucapan tersebut.’ Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Yahya; telah menceritakan kepada kami Abdurrazak; telah memberitakan kepada kami Ats Tsauri daripada Bukair bin Atha` Al Laitsi daripada Abdurrahman bin Ya’mar Ad Dili berkata; Aku mendatangi Rasulullah ﷺ di Arafah, lalu datanglah seseorang dari penduduk Najd, lalu beliau sebutkan hadith tersebut. Muhammad bin Yahya berkata; Aku tidak diperlihatkan daripada Ats Tsauri sebuah hadith yang lebih baik dari ini.” (Sunan Ibnu Majah Hadith no. 3006)

Hari Arafah juga adalah satu hari utama dalam sejarah Islam. Hari Arafah adalah hari disempurnakannya Islam dan dicukupkan nikmat.

حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ الْحُمَيْدِيُّ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ عَنْ مِسْعَرٍ وَغَيْرِهِ عَنْ قَيْسِ بْنِ مُسْلِمٍ عَنْ طَارِقِ بْنِ شِهَابٍ قَالَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْيَهُودِ لِعُمَرَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ لَوْ أَنَّ عَلَيْنَا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ { الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا } لَاتَّخَذْنَا ذَلِكَ الْيَوْمَ عِيدًا فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي لَأَعْلَمُ أَيَّ يَوْمٍ نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ نَزَلَتْ يَوْمَ عَرَفَةَ فِي يَوْمِ جُمُعَةٍ سَمِعَ سُفْيَانُ مِنْ مِسْعَرٍ وَمِسْعَرٌ قَيْسًا وَقَيْسٌ طَارِقًا

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Zubair Al Humaidi telah menceritakan kepada kami Sufyan daripada Mis’ar dan lainnya daripada Qais bin Muslim daripada Thariq bin Syihab beliau berkata, “Seorang lelaki Yahudi berkata kepada Umar رضي الله عنه, “Wahai Amirul Mukminin, ada satu ayat dalam kitab kalian yang kalian baca, kalau ayat itu diturunkan kepada kami, orang-orang Yahudi, pasti kami menjadikan hari diturunkannya itu sebagai hari raya.“ Umar رضي الله عنه berkata, “Ayat yang mana itu?“ Dia menjawab, “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredhai Islam itu jadi agama bagimu.“ (QS al-Maidah [5]: 3). Umar رضي الله عنه menjawab, “Kami mengetahui hari dan tempat diturunkannya ayat kepada Nabi ﷺ pada saat itu baginda berada di Arafah pada hari Juma’at.“ (Sahih Bukhari Hadith no. 6726)

فَاذْكُرُوا اللَّهَ

hendaklah kamu ingat kepada Allah

Hendaklah ingat kepada Allah ‎ﷻ banyak-banyak. Memang semasa melakukan ibadah, kita kena ingat untuk siapa kita lakukan ibadah itu.

عِنْدَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ

ketika kamu di Masy’ar Al-Haraam;

Masa itu keadaan sudah menjadi payah kerana orang yang amat ramai. Maka semua kena ingat kepada Allah ‎ﷻ lebih-lebih lagi ketika di satu bukit dekat Muzdalifah. Sebab itulah diwajibkan untuk bermalam di Muzdalifah.

Masy’ar Al-Haraam merujuk kepada bukit Muzdalifah. Kalimah مَشْعَرِ adalah sesuatu yang membangkitkan perasaan dalam hati kita.

Kenapa di sini Allah ‎ﷻ suruh ingat Dia banyak-banyak? Kerana semasa di Arafah itu, manusia ramai sangat, takut kita sibuk tengok orang lain. Waktu itu bercampur lelaki dan perempuan. Ada bangsa yang kita tidak biasa tengok. Ada yang datang dari luar negara. Jadi ada kemungkinan ramai sudah tidak ingat Allah ‎ﷻ, tetapi sibuk tengok orang di sekeliling.

Bermacam-macam perangai boleh dilihat di situ yang boleh mengasyikkan kita. Sebab ramai datang dari segala pelusuk dunia dengan berbagai ragam masing-masing. Itulah dugaan semasa berada di situ. Maka kena kuatkan diri untuk ingat Allah ‎ﷻ di situ.

Dalam ibadat Haji, di sini perlu dilakukan salat Maghrib dan Isyak secara jamak dalam waktu Isyak kerana Nabi ﷺ telah melakukannya begitu.

وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَٮٰڪُم

Dan ingatlah Dia sepertimana Dia telah beri hidayat kepada kamu;

Kita pergi Haji kerana Allah ‎ﷻ telah beri hidayah kepada kita masuk Islam. Inilah masanya untuk mengingati Allah ‎ﷻ sebanyak-banyaknya, mensyukuri-Nya dan bermunajat kepada-Nya. Waktu itu walaupun kita dalam limpahan manusia yang ramai, tetapi cubalah duduk berseorangan dengan Allah ‎ﷻ.

Waktu itu bukanlah kita sepatutnya bercakap-cakap dengan orang lain. Tetapi bercakaplah dengan Allah ‎ﷻ dalam bahasa yang kita faham.

Sebagaimana Allah ‎ﷻ telah beri hidayah kepada kamu sampai kamu boleh datang ke Mekah. Hendak sampai pun sudah doa sakan – berdoa supaya Allah ‎ﷻ memudahkan kumpul duit, selamat sampai ke sana dan macam-macam lagi. Masa kamu hendak ke Mekah kamu sudah banyak berdoa kepada Allah ‎ﷻ, maka semasa di Mekah kamu kena doa lebih banyak lagi.

Lafaz ‘Ingatlah Dia seperti yang Dia telah beri hidayah kepada kamu’ juga bermaksud: dalam segala ibadat kita, zikir kita, hendaklah mengikut cara yang Allah ‎ﷻ telah ajar. Janganlah reka cara-cara yang baru.

Ini menekankan kepentingan kita belajar sunnah dan jangan buat amalan bid’ah dalam agama. Termasuk dalam perkara ini, ibadah Haji itu mestilah dijalankan sebagaimana yang diajar oleh Nabi ﷺ.

وَإِنْ كُنْتُمْ مِّنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ

Dan kamu sebelum ini adalah dari golongan yang sesat.

Sebelum ini kita tidak tahu bagaimana hendak buat ibadah. Kita dahulu, tidak tahu agama. Kepada para sahabat, mereka dahulu syirik dan jahil agama dan sunnah. Kita pun sekarang, ada dahulu yang buat amal syirik, buat amal bid’ah, buat banyak salah. Tetapi Allah ‎ﷻ masih beri hidayah sampai boleh buat Haji, sampai boleh kenal agama. Maka bersyukurlah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan