Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-197

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-197

1099
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-197

Sekarang Allah ‎ﷻ menyebut tentang larangan-larangan dalam mengerjakan Haji.

الحَجُّ أَشهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فيهِنَّ الحَجَّ فَلا رَفَثَ وَلا فُسوقَ وَلا جِدالَ فِي الحَجِّ ۗ وَما تَفعَلوا مِن خَيرٍ يَعلَمهُ اللَّهُ ۗ وَتَزَوَّدوا فَإِنَّ خَيرَ الزّادِ التَّقوىٰ ۚ وَاتَّقونِ يا أُولِي الأَلبابِ

(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعلُومَـٰتٌ‌

Haji itu adalah beberapa bulan yang sudah ditentukan;

Bulan Haji adalah Syawal, Dzulkaedah dan sepuluh hari pertama Bulan Dzulhijjah. Sepertimana solat mempunyai waktu-waktunya, begitu juga Haji. Tidak boleh dilakukan di luar waktunya.

Sekarang ini, ada pula ajaran sesat yang beri cadangan supaya bulan-bulan Haji itu dibuat pada bulan lain kononnya supaya tidak tertumpu pada satu waktu sahaja dan tidaklah sibuk sangat sampai menyebabkan kemalangan. Itu adalah cadangan yang mengarut. Kalau Haji dibuat di luar dari waktu yang telah ditetapkan, ia tidak akan diterima.

Apabila dikatakan ada tiga bulan Haji itu, maksudnya, ihram Haji hanya boleh dimulakan dalam tiga bulan ini sahaja.

Bulan-bulan Haji itu telah ditentukan sudah lama, sebelum Nabi Muhammad ﷺ dilahirkan lagi. Ini membenarkan bulan-bulan Haji yang telah diterima selama turun-temurun kerana ia adalah dari agama Nabi Ibrahim عليه السلام. Kedatangan Nabi Muhammad ﷺ tidak mengubah bulan-bulan Haji itu.

فَمَنْ فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ

Maka sesiapa yang sudah niat ihram menunaikan haji,

Sesiapa yang sudah niat buat ihram kena jaga tiga perkara:

فَلَا رَفَثَ

maka janganlah dia mencampuri isterinya;

Tidak boleh bersama dengan isteri untuk mengadakan hubungan kelamin. Malah tidak boleh bercakap perkara yang boleh menaikkan nafsu pun. Tidak juga boleh buat perkara yang boleh membawa kepada hubungan kelamin seperti bercumbu, berpelukan atau bercakap-cakap tentangnya.

Ini kena jaga kerana pada musim Haji ramai perempuan yang datang dengan tidak tutup muka, datang pula dari pelbagai negara yang kita tidak biasa lihat dan semua datang dengan niat untuk buat ibadat jadi tidak sesuai buat atau cakap perkara yang berkenaan jimak.

Ini adalah perkara pertama yang kena jaga. Kena jaga pandangan dan hati kita. Jangan hendak tengok-tengok orang lebih sangat. Nanti tengok lama sangat perempuan bangsa lain, sudah terkesan pula nanti. Jangan begitu.

وَلَا فُسُوقَ

dan jangan buat amalan-amalan yang berdosa

Jangan langgar hukum atau menzalimi sesiapa; jangan buat perkara yang berdosa. Antaranya, jangan caci maki orang lain. Kamu datang untuk buat ibadat, maka kena jaga akhlak dan tatatertib. Datang dari jauh dan sudah habis banyak belanja, maka jangan merugikan diri sendiri dengan berbuat dosa.

وَلَا جِدَالَ

dan tidak boleh bertengkar

Allah ‎ﷻ mengingatkan kerana semasa buat Haji, orang ramai sangat dan ada kemungkinan ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita. Jangan buat perkara yang boleh memecah belah umat sedangkan ibadah Haji untuk menyatukan umat. Kena tenang-tenangkan diri.

فِي الْحَجِّ

dalam musim haji;

Memang tidak boleh buat semua perkara itu. Kalau di luar Haji pun, ia dilarang dan tidak elok. Maka, ia lebih tidak elok kalau dilakukan pada waktu mengerjakan Haji kerana waktu itu adalah waktu untuk beribadat dan bermunajat kepada Allah ‎ﷻ. Kalau dilakukan juga, dosanya berkali-kali ganda.

Oleh itu, kena jaga tiga perkara itu. Haji Mabrur yang selalu disebut-sebut orang adalah untuk mereka yang boleh jaga semua perkara yang telah disebut di atas. Tanda Haji yang tidak mabrur adalah tidak berubah kehidupan dia ke arah kebaikan selepas dia balik dari Haji.

Untuk dapat Haji yang mabrur kena jaga hubungan baik dengan Allah ‎ﷻ dan manusia lain. Bukan senang hendak jaga sebab bila sudah berkumpul ramai pada satu tempat dan jumpa orang dari negara lain yang perangai tidak sama dengan kita, susah hendak menjaga mulut dan perasaan kita.

Kita sudah biasa dengan orang Malaysia, orang Melayu, tetapi kita tidak biasa dengan bangsa lain. Tentunya perangai mereka tidak sama. Tetapi memang kena jaga sebab rugi bila habis duit berpuluh ribu namun tidak dapat Haji Mabrur.

وَمَا تَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ

Dan apa sahaja yang kamu buat daripada perkara yang baik

Jadi untuk memudahkan kita berurusan di sana, maka dianjurkan buat kebaikan. Elok kita tolong orang lain daripada kita marah kepada orang lain. Sebab keadaan orang ramai dan keadaan tentunya tidak selesa. Maka kita tolong menolong untuk memudahkan orang lain.

Sebagai contoh, kalau giliran kita untuk masuk tandas tetapi kita nampak ada orang lain yang lebih memerlukan, maka kita beri peluang kepada orang lain dahulu. Apabila kita sudah set minda kita untuk menolong orang, kita akan mendapat satu perasaan yang lain macam. Kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain dan bukan lagi mencari kesalahan orang lain.

Ini kerana kebaikan dan keburukan ada di mana-mana, tetapi persoalannya, di manakah fokus kita? Kalau kita fokus kepada kebaikan, kita akan dapat kebaikan dan kalau kita fokus pada keburukan, kita akan nampak keburukan.

Ayat ini juga mengajar kita bahawa kita kena mengambil peluang keemasan semasa mengerjakan Haji itu untuk melakukan sebanyak-banyak mungkin ibadah yang lain seperti salat, zikir, baca Al-Qur’an dan kebaikan-kebaikan yang lain.

Antaranya tolong menolong orang lain yang ramai ada di sana kerana bukan selalu dapat peluang untuk mengerjakan Haji itu. Mungkin kita hanya dapat melakukannya sekali seumur hidup sahaja.

يَعْلَمْهُ اللَّهُ

nescaya Allah mengetahui

Allah ‎ﷻ mengetahui segala kebaikan yang kita lakukan dan Allah ‎ﷻ akan balas. Semoga dengan kebaikan yang kita lakukan itu, Allah ‎ﷻ akan memudahkan urusan kita semasa buat Haji itu. Allah ‎ﷻ juga mengetahui kalau ada perkara yang boleh menaikkan kemarahan kita tetapi kita tidak jadi marah. Itu pun Allah ‎ﷻ tahu juga.

Tidak perlu untuk diberitahu apa-apa kebaikan yang kita lakukan kerana Allah‎ ﷻ tahu. Tidak payah kita hendak beritahu orang lain.

وَتَزَوَّدُوا

Dan berbekallah

Apabila kita hendak pergi mengerjakan Haji, maka kita kena siapkan bekal untuk buat Haji sebab kita akan bermusafir jauh maka kena siap sedia segala kelengkapan semasa dalam perjalanan dan semasa di sana.

Kita kena bersiap dengan bekalan supaya jangan kita susahkan orang lain. Tidak boleh tumpang makan makanan orang, tumpang tempat tinggal orang dan sebagainya. زَوَّدُ bermaksud bawa bekalan yang lebih. Bukan cukup-cukup sahaja.

Janganlah zuhud sangat sampai kata: “Allah ‎ﷻ akan cukupkan kelengkapan”, konon-konon tawakal sangat dan ada sahaja makanan untuk kita. Jangan begitu, itu adalah fahaman yang salah.

Kita kena berusaha untuk melengkapkan kelengkapan kita, kemudian baru kita bertawakal kepada Allah ‎ﷻ. Itulah konsep tawakal yang sebenarnya – bersedia sedaya mungkin, kemudian baru serahkan kepada Allah ‎ﷻ.

فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ

sesungguhnya sebaik-baik bekal itu adalah taqwa.

Taqwa dalam ayat ini adalah menjaga diri daripada meminta-minta kepada orang lain. Bukannya orang miskin tidak boleh pergi Haji cuma kena jaga jangan sampai menyusahkan orang lain. Kena fikirkan persediaan untuk mengerjakan Haji itu.

وَاتَّقُونِ

Dan bertaqwalah kamu kepada Aku;

Taqwa itu bermaksud melakukan amal dengan menjaga hukum seperti yang diajar oleh Allah ‎ﷻ.

يَـٰٓأُوْلِى ٱلأَلبَـٰبِ

wahai orang-orang yang berakal waras.

Bermakna mereka yang berfikiran yang suci kerana sekarang sedang mengerjakan haji. Sepatutnya tidak boleh fikir tentang dunia sangat.

Ulul-Albab adalah mereka yang berfikiran waras dan mempunyai ilmu pengetahuan. Oleh itu, kita sebagai orang yang waras hendaklah sentiasa menambah ilmu pengetahuan kita di dalam hal agama. Janganlah berterusan duduk dalam kejahilan.

Ibadat Haji adalah latihan kepada Hari Kebangkitan. Ia mengingatkan kita bahawa kita semua akan dibangkitkan beramai-ramai satu hari nanti. Kerana itu kita pakai ihram yang sudah seperti kain kafan. Kita semua akan dibangkitkan dan dikumpulkan di Arafah. Maka, kita kena sucikan fikiran kita.

Ingatkan kepada peristiwa yang akan berlaku itu. Tidak sama kalau kita memikirkan sahaja dan berada dalam suasana yang boleh mengingatkan kita. Semasa buat Haji, kita akan berada bersama dengan lautan manusia. Itu baru sekumpulan manusia sahaja.

Bayangkan di Mahsyar nanti, semua makhluk akan berkumpul satu tempat, dari makhluk yang mula-mula dicipta sampailah kepada makhluk yang akhir sekali mati. Memang tidak dapat dibayangkan pun, namun cubalah.

Allahu a’lam

Komen dan Soalan